Senin, 07 Oktober 2013

Sifat orang Thariqat / Tasawuf

Telah menyebut Al-Arif Al-Rabbani Kamil Mukamil
Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a. dalam kitabnya
“Kanzul Manan” sebagaimana berikut;Tiada patut
mendengar bagi Ilmu ini (Thoriqat / Tasawuf)
melainkan bagi orang yang bersifat dengan empat
sifat ini iaitu;
1.Zahid dengan meninggalkan segala yang lebih
daripada yang halal
2.Ilmu Syariat yang membaikkan zhohirnya,
3.Tawakkal dan
4.Keyakinan kepada Allah dan Rasul
Inilah syarat-syarat utama yang perlu dimiliki oleh
seseorang yang ingin mengikut jalan atau thoriqat
Ilmu Tasauf ini. Tegasnya bagi sesiapa yang ingin
belajar atau menuntut ilmu ini, atau mendengar
ilmu ini, membicara dan membahaskan ilmu ini,
mereka hendaklah memperlengkapkan diri mereka
dengan empat perkara tersebut. Tanpa salah satu
atau mana-mana dari empat syarat-syarat yang
tersebut itu, maka tidaklah patut bagi seseorang
itu mendengar apalah lagi memperkatakan sesuatu
mengenai Ilmu Tasauf ini.1. Zahid.
Adalah makna zahid ialah meninggalkan segala
yang lebih-lebih daripada yang halal. Ini adalah
kerana seorang yang Salik itu merupakan orang
musafir kepada Tuhannya. Maka manakala jika
ada sertanya sesuatu yang melebihi dari kadar
keperluan dan hajatnya dalam perjalanannya,
nescaya ianya akan menjadi penegah dan
penghalang untuknya melangkahkan kaki. Ini
adalah kerana Hadrat Haq Subhanahuwa Taala itu
diharamkan masuk atas orang yang membawa di
belakangnya sesuatu tanggungan(sangkutan
keduniaan).
Dalam arti kata yang lain, hendaklah disucikan
tangannya daripada mengambil sesuatu yang lebih
daripada dunia dan disucikan hatinya daripada
berhadap kepadaNya kerana adalah pada Hadrat
yang Qudsi itu ditegahkan masuk orang yang
penuh hatinya dengan Akdar dunia yang
Masyiwallah(sesuatu selain daripada Allah) seperti
kata Sheikh Ibni Athoillah As-Kandari;
Bagaimana terang bercahaya hatinya sedangkan
segala rupa Akuan(cita-cita dunia) termeteri pada
muka cerminnya atau;
Bagaimana ia suka berjalan kepada Allah Taala
padahal tertambat dengan segala keinginan
syahwatnya atau;
Bagaimana ia loba masuk pada Hadrat Allah Taala
sedangkan ia tiada bersuci dari segala junub
kelalaiannya atau;
Bagaimana ia harap hendak faham akan keindahan
Asror atau rahsia-rahsia yang halus(yang dalam)
pada hal ia tidak taubat daripada kesalahannya.
Antara alamat orang yang zahid ialah sebagaimana
yang disebut dalam Kitab Sira Ssalikin di mana
telah berkata Imam Ghazali;Adapun alamat Zahid
itu tiga perkara iaitu;
1. Tiada ia suka dengan suatu yang ada
kepadanya dan tiada dukacita di atas ketiadaan
sesuatu padanya seperti firman Allah yang
bermaksud; “Supaya tiada dukacita kamu atas
sesuatu yang luput dan tiada suka dengan sesuatu
yang datang kepada kamu”.
2. Bersamaan padanya orang yang memuji dan
menghinanya.
2. IlmuYang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah
Ilmu Syariat yang ruang lingkupnya bergantung
dengan perkara-perkara yang membaikkan
zhohirnya. Maka manakala tiada mengetahui oleh
orang yang Salik ilmu-ilmu atau jalan untuk
membaikkan zhohirnya nescaya tiadalah dapat ia
mengetahui akan jalan untuk membaikkan
batinnya. Ini adalah kerana orang yang tiada
berhenti pada pintunya tiadalah masuk di dalam
tempat perhentian ahbabnya(kekasihnya). Dengan
kerana itulah, maka hiasilah olehmu wahai orang
Salik dengan pakaian syariat dan berhiaslah
dengan adab thoriqat, nescaya teranglah atasmu
beberapa cahaya hakikat dan jadilah kamu ahli
bagi Mukhotobah yakni berkhabar-khabaran dan
ahli Musyawarah yakni orang yang berkhabar-
khabaran pada malam dan dapatlah kamu akan
lazat Mukhotobah. Ini adalah kerana untuk
terbukanya sesuatu yang hakikat yang didapati dari
Alam Ghaib, perlulah ada sesuatu Wirid atau
amalan syariat yang sempurna.
Tersebut dalam bicara Kitab Hikam Ibni Athoillah
As-Kanddari bahawa tidak akan ada Warid tanpa
Wirid. Yang dimaksudkan dengan wirid ialah apa
sahaja amalan zhohir atau batin yang dilakukan
secara Istiqamah dan terhasilah Warid Ilahiyyah
iaitu pembukaan dan pencampakan Nur Ketuhanan
yang membukakan sesuatu yang sebelum ini
tertutup atau terhijab. Dengan terbukanya sesuatu
rahsia di Alam Ghaib ini, maka terserlah bahagian-
bahagian hakikat atau makrifat mengikut kadar
yang diizinkan.
3. Tawakkal
Amat perlu bagi seorang Salik itu memakai
pakaian tawakkal kerana Tawakkal itu ialah
memadai dengan pengetahuan Allah pada mu
daripada bergantung hati akan yang lain. Maka
apabila engkau ketahui bahawasanya;
Allah itu Tuhan Yang ‘Alim yakni yang mengetahui
dengan segala hal kamu; lagi
Allah itu Amat Kuasa atas memadakan(menjamin)
akan segala hajatmu;
lagi Allah itu terlebih kasih sayang bagimu lebih
daripada kasih sayang ibu-bapamu malah
melebihi akan kasih-sayangmu pada dirimu
sendiri,
nescaya berhimpunlah hatimu itu atas Allah dan
tiada berhadap dengan hatimu melainkan
kepadaNya(Allah). Dan tiada engkau jatuhkan
pandangan dan ingatan itu melainkan padanya
(berhadap kepada Allah).Adalah tawakkal ini
terlebih-lebih sangat dikehendaki oleh orang yang
Salik itu pada perjalannnya melebihi sangat
berkehendaknya seorang yang dahaga kepada air.
4. Yakin
Yakin ialah I’tiqad(pegangan) yang putus dengan
barang yang mengkhabarkan oleh Allah dan
RasulNya. Dengan keyakinan itulah ia akan
berpegang kepada perkara yang sebenarnya
dengan tiada syak pada Allah dan Rasul atas jalan
putus sekira-kira gholib atas hatinya dan jadilah
segala yang ghaib itu seperti dilihatnya. Maka
diketahui dengan perasaannya bahawasanya Allah
Taala tiada menjadikan Jin dan Manusia melainkan
untuk beribadat kepadaNya. Maka tiada dijadikan
akan segala pancainderanya melainkan kerana
disuruh mengerjakan taat dengannya dan tiadalah
dijadikan hati melainkan kerena tempat untuk
berzikir(ingat/yakin) akan Dia dan supaya jangan
hati itu tidak bimbangkan(cenderung dan kasih)
dengan sesuatu yang lain selain daripada Allah.
Maka barangsiapa berhasil baginya yakin yang
zauqi(rasa yang melenyapkan isyarat) atas jalan ini
nescaya;
mereka tiada akan memalingkan lidahnya
melainkan di dalam zikir akan Dia dan
tiadalah mereka memalingkan telinganya melainkan
dengan mendengar kalam Allah dan kalam
RasulNya dan kalam AuliyaNya dan kepada tiap-
tiap sesuatu yang menyampaikan dia kepada
TuhanNya dan
tiada berpaling matanya melainkan pada barang
yang memberi manfaat dan menunjuk akan dia
kepada jalan Allah.
Dan demikianlah dikirakan(ditilik) dirinya pada
tempat penerimaan segala nikmat yang memberi
nikmat dengan dia oleh MaulaNya(Allah) hinggalah
tercapailah ia akan Maqam orang yang Syaakirin
iaitu orang yang memalingkan pandangannya
bahawa sekelian nikmat yang diberikan Allah ke
atasnya kepada sesuatu yang dijadikan untuk
tujuan kembali kepada jalan Allah. Maka tatkala itu
tercapailah ia akan bertambah pemberianNya
seperti maksud Allah Taala (Walai in syakar tum
laiziidannakum).“Dan apabila kamu bersyukur,
pasti Allah menambahnya”Bermula Maqam yakin
itu ialah diketahui oleh seseorang bahawa Allah
Taala melihat atas tiap-tiap waktu dan ketika
seperti kata Sheikh Abi Madyan r.a
Bermula Haq Taala itu melihat atas segala rahsia
hambaNya dan zhohirnya pada tiap-tiap nafas dan
tiap-tiap hal(kelakuannya). Maka di mana ada hati
melihat akan Dia(Allah) hal keadaannya memberi
bekas akan TuhanNya daripada yang lain, nescaya
dipeliharakan akan dia daripada kedatangan
percubaan dan daripada fitnah yang menyesatkan
dia daripada memandang yang lain daripada Allah.
Inilah hikmah atau edaran(pusingan) Ahli Sufiah
iaitu Maqam Muroqobah dan Maqam Ihsan iaitu
mengetahui bahawasnya Allah Taala melihat ia
pada sekelian ketikanya dan mengetahui pula
Allah Taala akan barang yang di dalam dirinya .
Maka jadilah ia;
bersamaan pada zhohir dan batinnya dan
bersamaan pada khulwatnya(sendirian) dan
jalwahnya (di dalam tengah orang ramai)
bersamaan padanya zhohir.
Maka tiada dilihat dalam segala kelakuannya itu
melainkan MaulaNya(Allah) dan tiada berhadap
pada menyampaikan hajatnya melainkan
kepadaNya. Dan hasillah daripada Sheikh Abi
Madyan r.a;Bahawasanya pati jalan untuk sampai
kepada Allah itu bahawa mengetahui orang yang
Salik akan bahawasnya Allah Taala itu Tuhan Yang
Melihat atas segala rahsianya dan zhohirnya pada
tiap-tiap nafas dan tiap-tiap kelakuannya.
Petikan dari Kitab “Kanzul Manan” ‘ala Hikam Abi
Madyan r.a

Tidak ada komentar:

Posting Komentar