Rabu, 30 Oktober 2013

20: SYARIAT MENYELAMATKANMANUSIA


Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari
Tuhannya, lalu Dia ampunkannya kerana
sesungguhnya Allah itu Pengampun dan
Penyayang. Kami berkata: “Pergilah kamu
sekalian dari (syurga) itu, kemudian jika datang
petunjuk (agama) daripada-Ku dan sesiapa yang
ikut petunjuk itu tidaklah ada ketakutan atas
mereka dan tidaklah mereka berdukacita”.
( Ayat 37 & 38 : Surah al-Baqarah )
Hai Bani Adam! Sesungguhnya Kami telah
turunkan atas kamu pakaian untuk menutup
kemaluan kamu dan pakaian perhiasan dan juga
pakaian takwa, ini lebih baik. Yang demikian itu
adalah tanda-tanda (kurnia) Allah supaya kamu
ingat. ( Ayat 26 : Surah al-A’raaf )
Nabi Adam a.s hanya dipakaikan dengan syariat
apabila beliau a.s masuk ke dalam dunia. Beliau
a.s tidak dibebankan dengan syariat sewaktu
beliau a.s berada di dalam syurga. Syariat
menjadi pakaian kebal yang dengannya
keturunan Adam a.s boleh selamat daripada
fitnah dan tipu daya dunia. Dunia adalah
umpama racun dan syariat adalah penawarnya.
Sesiapa yang masuk ke dalam dunia tanpa
memakai syariat akan ditelan oleh dunia dan
diheret kepada alam syaitan.
Syariat adalah peraturan atau sistem yang
digubal oleh Allah s.w.t untuk dipatuhi oleh
manusia dalam mengadakan perhubungan
dengan Tuhan, dengan sesama manusia dan
dengan makhluk lain dalam alam maya ini.
Syariat sampai kepada umat manusia melalui
manusia pilihan Tuhan yang berkedudukan
sebagai nabi-nabi. Nabi-nabi bertanggungjawab
menerima, memahami, mengamalkan dan
menyebarkan syariat yang diturunkan oleh Allah
s.w.t. Dasar syariat adalah taat kepada Allah
s.w.t dengan mematuhi perintah-Nya dan
menjauhi larangan-Nya. Peraturan yang terdapat
dalam syariat yang dibawa oleh seorang Nabi
harus ada perbezaan dengan peraturan yang
terdapat dalam syariat yang dibawa oleh Nabi
yang lain. Walaupun ada perubahan pada
peraturan syariat tetapi tuntutan mentaati syariat
tidak berubah.
Syariat Nabi Daud a.s mengizinkan lelaki
berkahwin seberapa ramai yang mereka mampu
tetapi syariat Nabi Muhammad s.a.w
menghadkan setakat 4 orang isteri sahaja dalam
satu masa. Haram bagi umat Nabi Muhammad
s.a.w berkahwin lebih daripada empat orang
dalam satu masa, walaupun umat Nabi Daud a.s
boleh berbuat demikian. Umat Nabi Muhammad
s.a.w tidak boleh bersandar kepada syariat Nabi
Daud a.s bagi berkahwin lebih daripada empat
orang.
Jika diperhatikan kepada tuntutan mentaati
syariat yang dibawa oleh Nabi bagi satu-satu
umat, dapatlah difahamkan bahawa dosa dan
pahala yang dikatakan oleh syariat bukanlah
kerana tidak melakukan atau melakukan
peraturan semata-mata. Hukum dosa dan pahala
bergantung kepada tidak mentaati atau mentaati
Allah s.w.t berhubung dengan peraturan yang
Dia tetapkan. Orang munafik boleh melakukan
perbuatan sembahyang dengan sempurna, tetapi
ia tidak disertakan dengan ketaatan kepada Allah
s.w.t, maka perbuatannya itu tidak
mendatangkan pahala. Darjah pahala bergantung
kepada kekuatan taat dan dalam melakukan
peraturan syariat itu dituntut supaya
melakukannya dengan cara yang betul, tidak
boleh membuat cara sendiri yang menyalahi
peraturan syariat.
Bagi setiap umat telah Kami tetapkan upacara
ibadat (syariat) yang mereka akan lalui. Maka
janganlah sekali-kali mereka membantah engkau
dalam perkara ini; dan serulah kepada Tuhan
engkau. Sesungguhnya engkau adalah di atas
petunjuk yang lurus. ( Ayat 67 : Surah al-
Hajj )
Umat satu nabi wajib berpegang kepada syariat
yang dibawa oleh nabi tersebut, tidak boleh lari
kepada syariat nabi yang lain, melainkan telah
datang nabi lain yang membawa syariat yang
lebih lengkap dan sempurna. Apabila datang
Nabi Muhammad s.a.w sekalian umat manusia
wajib berpegang kepada syariat yang dibawa
oleh baginda s.a.w. Umat Nabi Muhammad tidak
boleh meninggalkan syariat baginda s.a.w
kerana mahu mengikuti Nabi-nabi yang
terdahulu. Umat Nabi Muhammad s.a.w wajib
berpegang kepada firman Allah s.w.t:
Hari ini Aku sempurnakan agama kamu bagi
kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku.
Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat)
kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )
Umat Nabi Muhammad s.a.w sangat bertuah
kerana Allah s.w.t telah kurniakan kepada
mereka nikmat yang lengkap iaitu agama Islam,
sehingga mereka tidak perlu lagi merujuk kepada
apa yang telah diturunkan terdahulu. Allah s.w.t
menjamin bahawa Dia reda menerima Islam
sebagai agama bagi umat Nabi Muhammad
s.a.w. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi
orang yang benar-benar mencari keredaan Allah
s.w.t untuk tetap berjalan di atas landasan yang
telah dibina oleh Islam. Islam adalah
perlembagaan yang cukup lengkap, mencakupi
perkara zahir dan juga perkara batin. Islam telah
menjelaskan apa yang mesti dibuat dan apa
yang mesti tidak dibuat dan bagaimana mahu
bertindak menghadapi sesuatu perkara. Umat
Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian
sesuatu masalah. Segala penyelesaian sudah
dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujukkan
kepada Islam itu sendiri, nescaya segala
kemusykilan akan terjawab.
Setiap umat Islam dituntut supaya beriman
kepada peraturan yang Tuhan telah tetapkan,
mempelajarinya, mengamalkannya dan
menyebarkannya sekadar kemampuan masing-
masing. Hubungan kaum Muslimin dengan syariat
Islam adalah percaya, mempelajari dan
melaksanakan. Oleh kerana darjat zahir dan
rohani manusia tidak serupa maka terdapatlah
perbezaan tahap kepercayaan, pengetahuan dan
kekuatan melaksanakannya. Perbezaan tersebut
menyebabkan umat Islam mudah bersepakat
dalam perkara pokok, bertolak ansur pada
perkara cabang dan tidak bersefahaman pada
perkara ranting. Kegoncangan pada ranting tidak
seharusnya menggoncangkan pokok perpaduan
umat Islam. Perbezaan pada tumpuan
pelaksanaan tidak seharusnya menyekat
kerjasama sesama Muslim. Masalah khilafiah
tidak seharusnya menjarakkan kumpulan yang
berlainan mazhab.
Al-Quran yang sampai kepada kita sekarang ini
mengandungi 6,666 ayat. Tidak mungkin ada
orang Islam masa ini yang mampu menyesuaikan
dirinya dengan 6,666 ayat tersebut sekaligus,
dengan serta merta atau dalam jangka masa
yang singkat. Rasulullah s.a.w membawa
pengikut-pengikut baginda s.a.w ‘ke dalam’ al-
Quran secara berperingkat-peringkat dan
baginda s.a.w mengambil masa lebih daripada
dua puluh tahun untuk membawa mereka
‘berjalan di dalam’ 6,666 ayat tersebut. Allah
s.w.t dan Rasul-Nya sangat berhikmah di dalam
mendidik umat manusia. Pada masa berlaku
peperangan Badar arak masih belum
diharamkan. Sebahagian daripada syuhada
Badar terdiri daripada mereka yang kuat
meminum arak tetapi Allah s.w.t, dengan kasihan
belas dan rahmat-Nya, menerima sekalian ahli
Badar sebagai ahli syurga.
Rasulullah s.a.w memberi tumpuan kepada
akidah, diikuti oleh akhlak. Al-Quran
mengajarkan beriman, kemudian beramal salih.
Allah s.w.t memperingatkan bahawa Dia
mengampunkan segala dosa, termasuk dosa
zina, meminum arak dan sebagainya tetapi Dia
tidak mengampunkan dosa syirik. Umat manusia
harus diselamatkan daripada dosa yang tidak
diampunkan Tuhan terlebih dahulu sebelum dosa
yang Tuhan ampunkan. Golongan Muslim yang
berilmu berkewajipan menyelamatkan golongan
Muslim yang jahil daripada lembah syirik. Dalam
berbuat demikian perbezaan fahaman tidak boleh
dijadikan penghalang. Puak yang berkuasa dan
puak yang berilmu sama-sama akan disoal oleh
Tuhan nanti apakah yang mereka buat bagi
membersihkan akidah umat manusia. Puak
berilmu tidak boleh memberi alasan yang puak
berkuasa tidak menerima nasihat.
Tanggungjawab ahli ilmu tidak terlepas dengan
alasan yang demikian. Dengan sedikit ‘suntikan’
daripada puak yang berilmu akan menjadikan
puak yang berkuasa boleh melakukan berbagai-
bagai perkara demi kebaikan syariat Tuhan.
Dengan sedikit tolak-ansur daripada puak yang
berkuasa akan membolehkan puak yang berilmu
menyampaikan banyak perkara demi syariat
Tuhan.
Muslim yang mempunyai kesedaran dan
kemampuan haruslah mengkaji dengan
mendalam apakah yang terlebih terdesak
diperlukan oleh umat Islam masa kini. Setelah
mengetahui penyakit semasa yang melanda umat
Islam itu puak berilmu dan puak berkuasa sama-
sama berkewajipan mencari penawar di antara
6,666 ayat al-Quran. Penawar yang diperlukan
dengan segera itulah yang mesti dihulurkan
kepada orang ramai terlebih dahulu. Mengubati
penyakit secara bersistematik lebih berkesan
daripada mengubati semua jenis penyakit
sekaligus. Syariat telah menyediakan segala jenis
ubat untuk semua jenis penyakit. Ahli ilmu dan
pemerintah haruslah faham menyusun jadual
pengubatan umat.
Kita perlu menjiwai Islam untuk merasai nikmat
Islam yang Tuhan kurniakan. Orang Islam bukan
sahaja mendukung Islam untuk dirinya sahaja
malah dia juga mendukung Islam untuk ahlinya,
saudara-saudara Muslim yang lain dan juga umat
manusia seluruhnya. Kewajipan manusia adalah
melakukan apa yang Tuhan aturkan dengan
penuh ketaatan kepada-Nya, sementara hak
mengatur diserahkan kepada Allah s.w.t.
Sekiranya Allah s.w.t mengaturkan seseorang itu
menjadi alim dan mendapat kuasa ketika
masyarakat Islam sedang menghadapi ancaman
perang, orang alim dan berkuasa itu
berkewajipan membuka syariat bahagian jihad,
keperluan memperkuatkan ketenteraan, strategi
peperangan dan lain-lain yang bersangkutan
dengan perang, terlebih dahulu daripada
bahagian syariat yang lain. Mengajar cara
pembahagian harta pusaka kepada orang yang
sedang bersiap ke medan perang adalah kurang
sesuai. Dalam tabligh (menyampaikan), bukan
sahaja perlu ada siddik dan amanah, malah perlu
juga ada fatanah (kebijaksanaan).
Rasulullah s.a.w bertabligh secara siddik,
amanah dan fatanah. Setelah berjaya menawan
Makkah baginda s.a.w memaafkan secara
beramai-ramai orang Makkah yang pernah
berperang menentang baginda s.a.w. Baginda
s.a.w tidak ghairah melakukan hukum qisas.
Beberapa orang yang baginda s.a.w telah
umumkan untuk dibunuh pun kemudiannya
baginda s.a.w maafkan. Kemaafan daripada
baginda s.a.w telah menarik orang-orang yang
bersalah itu kepada Islam. Sekiranya baginda
s.a.w telah melakukan hukuman bunuh tentu
ramai daripada orang Makkah yang mati sebagai
orang kafir musyrik. Kebijaksanaan baginda
s.a.w telah menyelamatkan ramai manusia
daripada azab neraka.
Allah s.w.t menghargai orang alim yang
menggunakan kebijaksanaan dalam
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat
Islam. Pelaksanaan peraturan Tuhan kepada
umat manusia yang tidak mengerti haruslah
dengan kasih sayang, belas kasihan dan simpati.
Bukankah Rasulullah s.a.w telah mendoakan
bagi penduduk Taif yang mengkasari baginda
s.a.w dengan doa yang baik: “Wahai Tuhan.
Maafkan mereka kerana mereka tidak mengerti”.
Rasulullah s.a.w mengerti setakat mana pengikut
baginda s.a.w mampu memikul beban. Baginda
s.a.w tidak meletakkan beban melebihi
keupayaan mereka. Sebab itulah dakwah
baginda s.a.w berjaya. Baginda s.a.w telah
memberi contoh, ketika berdakwah di Makkah,
bilangan kaum Muslimin masih sangat sedikit.
Baginda s.a.w tidak menggerakkan kaum
Muslimin supaya berperang dengan kaum
musyrikin. Jika baginda s.a.w berbuat demikian
tentu sahaja kaum Muslimin akan terhapus
sebelum agama Islam sempat berkembang di
atas muka bumi. Umat Islam dituntut
melaksanakan syariat Tuhan secara bijaksana.
Serahkan urusan mentadbir kepada Tuhan. Kaum
Muslimin perlu bertindak sesuai dengan
pentadbiran Tuhan. Umat Islam yang tinggal di
negeri yang sering dilanda banjir dituntut
menyediakan kelengkapan banjir, tidak dituntut
menyediakan kelengkapan gempa bumi. Dalam
menguruskan hal-ehwal kaum Muslimin secara
bijaksana, Muslim yang ditakdirkan berkuasa
dengan Muslim yang ditakdirkan berilmu wajib
bekerjasama demi mencari keredaan Allah s.w.t.
Syariat mengajarkan prinsip satu untuk ramai
kerana Allah s.w.t. Lelaki bertanggungjawab
menyelamatkan dirinya dan ahlinya daripada api
neraka. Orang yang berharta berkewajipan
mengeluarkan zakat bagi membantu orang
miskin. Orang yang memiliki makanan yang
cukup perlu mempastikan jirannya tidak tidur
dalam kelaparan. Orang yang berilmu
berkewajipan mengajar orang yang jahil. Orang
yang berkuasa berkewajipan melindungi orang
yang lemah. Setiap anggota masyarakat perlu
menyumbangkan sesuatu untuk kesejahteraan
masyarakatnya.
Syariat Islam mengajarkan supaya menyebarkan
yang makruf dan mencegah yang munkar. Muslim
diajar supaya mengasihani orang yang dizalimi
dan juga orang yang berbuat kezaliman.
Mengasihani orang yang dizalimi adalah dengan
cara menyelamatkannya daripada kezaliman dan
mengasihani orang yang berbuat zalim adalah
dengan cara menyekatnya daripada berbuat
kezaliman atau setidak-tidaknya menasihatinya.
Dalam menyebarkan yang makruf dan mencegah
yang munkar tidak ada istilah ‘menjaga tepi kain
orang lain’.
Satu perkara yang sangat diberati oleh syariat
adalah perbuatan menzalimi diri sendiri. Tuhan
memberi ancaman yang keras terhadap mereka
yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka.
Syariat Islam melarang kaum Muslimin sengaja
mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan
walaupun atas alasan berserah kepada takdir.
Rasulullah s.a.w menyuruh kaum Muslimin
mengikat unta mereka terlebih dahulu baharulah
bertawakal. Umar al-Khattab melarang orang
ramai memasuki kampung yang sedang dilanda
wabak taun dan pergi ke kampung yang tidak
ada taun. Lari daripada takdir yang
memudaratkan dan pergi kepada takdir yang
mensejahterakan masih lagi dalam medan takdir.
Maksud menzalimi diri sendiri sangat luas. Zalim
adalah lawan kepada adil. Maksud adil adalah
meletakkan sesuatu pada kedudukan yang benar
dan layak baginya. Jika meletakkan sesuatu
pada kedudukan yang tidak benar dan tidak
layak, ia dinamakan zalim. Menggunakan
pancaindera yang dikurniakan Tuhan untuk
melakukan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan
adalah melakukan kezaliman kepada
pancaindera atau diri sendiri.
Kezaliman yang paling besar dilakukan oleh
hamba Tuhan adalah meletakkan Tuhan pada
taraf yang tidak benar dan tidak layak bagi-Nya.
Ketuhanan Allah s.w.t meliputi bidang
penyembahan, pematuhan, pemujaan,
penyayangan dan kebaktian. Ada batas yang
mesti dipelihara agar tidak terjadi perbuatan
yang menurunkan taraf ketuhanan Allah s.w.t
daripada yang sepatutnya. Batas tersebut juga
dipelihara agar apa sahaja yang selain Tuhan
tidak sampai kepada taraf tersebut. Jangan
sekali-kali terjadi penyembahan, perhambaan,
ketaatan, pemujian dan penyayangan hak
ketuhanan Allah s.w.t turun daripada taraf
ketuhanan-Nya dan jangan pula yang selain
Tuhan naik kepada taraf ketuhanan. Jika
percerobohan dilakukan maka perbuatan yang
demikian dikatakan menzalimi hak ketuhanan
Allah s.w.t dan ia diistilahkan sebagai syirik.
Syirik adalah menyengutukan hak ketuhanan
Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Meletakkan
taraf Isa al-Masih sebagai anak Tuhan adalah
syirik. Menganggap Uzair sebagai anak Tuhan
adalah syirik. Mengiktikadkan Nur Muhammad
sebagai penjelmaan Tuhan atau Tuhan sendiri
adalah syirik. Nur Muhammad bukanlah Allah
s.w.t sebagaimana Isa al-Masih (zahirnya atau
rohaninya iaitu nurnya) bukan anak Allah s.w.t.
Mematuhi guru dengan sepenuh jiwa raga
sehingga perkara haram dihalalkan dan perkara
halal diharamkan masih juga dipatuhi, pun
termasuk di dalam perbuatan syirik. Mencari
rezeki yang baik tetapi dengan meninggalkan hak
ketuhanan Allah s.w.t yang wajib dilaksanakan
juga berunsur syirik. Kasih sayang sesama
makhluk yang menyebabkan tenggelam hukum
dan peraturan Tuhan juga berunsur syirik. Besar
atau kecilnya syirik itu bergantung kepada sejauh
mana hak ketuhanan Allah s.w.t dicerobohi. Al-
Quran menceritakan beberapa keadaan syirik.
Dan berkata orang-orang Yahudi: “Uzair anak
Allah”. Dan berkata orang-orang Nasrani: “Al-
Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata
mereka dengan mulut mereka; menyerupai
perkataan orang-orang kafir yang dahulu.
Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka
dapat dipalingkan? Telah mereka ambil guru-guru
mereka dan pendeta-pendeta mereka menjadi
Tuhan selain Allah dan (juga) al-Masih anak
Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan
melainkan supaya menyembah kepada Allah,
Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan
melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang
mereka sekutukan. ( Ayat 30 & 31 : Surah
at-Taubah )
Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat
41 : Surah Saba’ )
Tidakkah engkau perhatikan mereka yang
mempertuhankan nafsu mereka? Maka apakah
engkau boleh jadi pemelihara atas mereka?
( Ayat 43 : Surah al-Furqaan )
Selain yang dinyatakan di atas al-Quran juga
menceritakan beberapa perkara yang boleh
menggelincirkan manusia kepada syirik.
Katakanlah: “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak
kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu,
harta yang kamu dapati, perniagaan yang kamu
takut akan mundur dan tempat kediaman yang
kamu sukai, lebih tercinta kepada kamu daripada
Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-
Nya, maka tunggulah sehingga Allah
mendatangkan ketentuan-Nya. Dan Allah itu tidak
akan memberi petunjuk kepada kaum yang
fasik”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )
Syirik adalah kezaliman yang paling besar boleh
dilakukan oleh seseorang kepada dirinya sendiri,
bukan kepada Tuhan. Tuhan tidak cedera
lantaran manusia berbuat syirik dan tidak
beruntung Tuhan jika manusia berbakti kepada-
Nya. Apa yang manusia lakukan memberi
keuntungan atau kerugian kepada dirinya sendiri,
bukan kepada Tuhan. Syirik adalah kerugian
manusia yang paling besar kerana Allah s.w.t
sangat tegas menghadapi orang yang berbuat
syirik. Oleh itu tugas seseorang Muslim adalah
menghapuskan syirik pada dirinya dan juga pada
saudara-saudara Muslimnya yang lain. Tugas
utama penguasa Muslim dan ulama Muslim juga
demikian. Syirik adalah musuh utama umat
manusia. Di dalam berjihad menentang
kemusyrikan kaum Muslimin mestilah bersatu
sekalipun mereka tidak boleh bersatu dalam
bidang yang lain.
Selain syirik, syariat juga menekankan soal
perbuatan munkar. Kerosakan akidah dinamakan
syirik dan kerosakan akhlak dinamakan
perbuatan munkar. Dalam soal kemunkaran,
rujukannya secara umum adalah fitrah
kemanusiaan, nilai-nilai murni kemanusiaan yang
dipersetujui oleh syarak. Fitrah kemanusiaan
yang sejati sangat hampir dengan fitrah Muslim,
tetapi jarang yang sampai kepada tahap
kesedaran fitrah yang sejati kerana bakat fitrah
mereka dihijab oleh kemampuan berfikir yang
terhad, pengaruh pendidikan, pengalaman dan
sebagainya. Sekalipun manusia boleh sampai
kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati
namun, ia belum boleh dikatakan fitrah Muslim
kerana ia tidak berkeupayaan menyingkap
tentang Tuhan. Ia mesti tunduk kepada
perkhabaran yang datang daripada Tuhan
baharulah fitrah kemanusiaan yang sejati itu
beroleh kedudukan sebagai fitrah Muslim. Fitrah
kemanusiaan yang sejati hanya memerlukan iman
untuk menjadikannya fitrah Muslim.
Nilai-nilai murni kemanusiaan yang disertai iman
menjadi rujukan dalam menentukan sesuatu
perkara itu munkar atau tidak. Perbuatan munkar
adalah perbuatan yang menyalahi akhlak Muslim.
Perbuatan yang sesuai dengan akhlak Muslim
dan dilakukan dengan disertai iman, dinamakan
perbuatan makruf. Perbuatan makruf termasuk
dalam kategori amal salih. Amal yang tidak salih
itulah yang munkar.
Amal yang tidak salih secara automatiknya
adalah amal yang munkar, tetapi amal yang pada
zahirnya kelihatan salih belum tentu ianya salih.
Ia hanya menjadi salih jika ia disertai oleh iman.
Tidak ada amal salih tanpa iman. Sebab itulah
sistem yang digubal oleh cerdik pandai bukan
Islam, walaupun sesuai dengan nilai-nilai murni
kemanusiaan, jika diambil bulat-bulat ia tidak
mampu melahirkan amal salih kerana tidak ada
dasar iman padanya. Itulah punca kegagalan
badan dunia menyebarkan perkara makruf dan
mencegah yang munkar. Umat Islam sendiri jika
menggubal sistem yang tidak berlandaskan iman
akan menemui kegagalan yang serupa.
Kemunkaran hanya boleh dihancurkan oleh
kekuatan iman.
Fitrah kemanusiaan yang tidak disertakan iman
tidak dapat melihat rasional di sebalik
kebanyakan peraturan syariat, terutamanya
dalam bidang penghakiman dan penghukuman
terhadap orang yang melakukan jenayah.
Penghukuman menurut syarak biasanya
dipandang sebagai keterlaluan, di luar peri
kemanusiaan. Fitrah kemanusiaan hanya
memandang kepada sekop kehidupan dunia
sahaja, sedangkan syarak mengenakan hukuman
yang berat di dalam dunia bagi menyelamatkan
pesalah daripada hukuman berat di akhirat.
Syarak melihat dunia sebagai kehidupan yang
sangat singkat sementara akhirat adalah
kehidupan yang abadi. Menderita dalam tempuh
yang singkat lebih baik daripada menderita
berkekalan. Tuhan tidak suka menghukum
hamba-Nya dua kali. Hamba-Nya yang telah
menjalani hukuman menurut syarak tidak perlu
lagi dihukum di akhirat. Atas dasar inilah
hukuman menurut syarak dipandang berat
menurut nilai kemanusiaan sejagat.
Syariat memberi penumpuan kepada penyucian
akidah dan akhlak. Akidah yang bersih daripada
syirik menjadi dasar syariat. Akhlak yang mulia
menjadi pengapit kepada akidah yang benar.
Apabila dua perkara ini sudah teguh baharulah
perkara-perkara lain boleh berdiri dengan tegap.
Selama tiga belas tahun berdakwah di Makkah
Nabi Muhammad s.a.w menumpukan soal akidah
dan akhlak. Bidang syariat yang lain banyak
dipraktikkan setelah baginda s.a.w berhijrah ke
Madinah.
Bidang syariat yang paling penting adalah
pengajaran tentang Tuhan dan pengabdian
kepada-Nya. Syariat mengajarkan bahawa Allah
s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dia adalah
pergantungan sekalian makhluk, tidak ada
makhluk yang merdeka daripada-Nya. Dia tidak
beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada
sesiapa boleh mendakwakan bahawa dirinya
adalah sebahagian daripada Tuhan. Dia tidak
serupa dengan sesuatu dan Dia Mendengar serta
Melihat. Dia menguasai seluruh alam maya.
Syariat memperkenalkan Tuhan dalam dua aspek
penting. Dalam aspek pertama syariat
menceritakan bahawa Tuhan adalah Maha Kaya
dari seluruh alam. Tuhan tidak memerlukan apa-
apa daripada sesiapa pun. Tuhan tidak
bergantung kepada sesuatu. Tuhan tidak ditanya
tentang apa yang Dia lakukan tetapi makhluk
ditanya tentang apa yang mereka perbuat.
Syariat juga mengajarkan bahawa jika manusia
bersyukur maka kebaikan syukur itu pergi
kepadanya, bukan kepada Tuhan. Jika manusia
kufur ia memudaratkan diri manusia sendiri,
tidak menjejaskan ketuhanan Allah s.w.t. Dalam
aspek kedua syariat memperkenalkan Tuhan
sebagai pergantungan sekalian makhluk, Dia
melakukan apa yang Dia kehendaki kepada
makhluk-Nya. Dia meletakkan ketentuan kepada
setiap yang Dia ciptakan. Semua makhluk tidak
berupaya mengubah ketentuan yang telah Tuhan
tetapkan pada azali. Semua makhluk tunduk
patuh kepada ketentuan-Nya. Gabungan dua
aspek tersebut menceritakan bahawa Allah s.w.t
adalah Tuhan Yang Maha Kaya dari segala
sesuatu, tidak berkehendakkan apa-apa pun
daripada sesiapa pun, tetapi sekalian makhluk
bergantung, berhajat dan berkehendak kepada-
Nya. Begitulah dasar akidah seorang Muslim
yang disimpulkan dengan kalimah:
Bagi menghuraikan dasar akidah tersebut
diadakan pengajian sifat dua puluh. Sifat dua
puluh dan apa jua sifat yang dinisbahkan kepada
Allah s.w.t, termasuklah nama-nama-Nya,
tertakluk kepada dasar:
Makrifat melalui syariat diperolehi dengan iman
bukan dengan hujah dan dalil. Hujah dan dalil
berguna bagi orang cenderung menggunakan
akal fikiran. Akal fikiran mempunyai had
kemampuannya. Apabila sampai kepada had
kemampuannya akal terpaksa tunduk, menyerah
sepenuhnya kepada perkhabaran yang dibawa
oleh syariat. Baharulah akal itu menjadi Muslim.
Makrifat secara syariat juga menjadi permulaan
setelah berakhirnya makrifat secara kasyaf dan
pengalaman kerohanian. Kasyaf membawa
seseorang kepada suasana kehairanan menemui
kenyataan bahawa Tuhan melampaui segala
perkenalan. Ahli kasyaf pun tunduk, menyerah
kepada perkhabaran yang terdapat dalam
syariat. Baharulah hati yang mengalami kasyaf
benar-benar menjadi Muslim.
Apa juga jalan yang diikuti, permulaan jalan
adalah syariat dan penghujung jalan juga syariat,
baharulah perjalanan itu menjadi bulatan yang
lengkap. Syariat yang ditemui pada permulaan
jalan adalah syariat secara umum, dipegang oleh
orang awam. Syariat pada akhir perjalanan
adalah syariat khusus dan lengkap, dipegang
oleh orang arif. Apa juga tarekat yang dijalani
sekiranya tidak ditemui syariat pada akhir
perjalanannya, maka tarekat tersebut tidak
mencapai Kebenaran Hakiki. Sekiranya sesuatu
tarekat itu membawa seseorang kepada penafian
terhadap syariat, sekiranya ahli tarekat itu
mempunyai kesedaran, wajiblah dia berundur
daripada jalan yang dilaluinya itu.
Selain menyampaikan pengetahuan tentang
Tuhan, syariat juga mengajarkan cara-cara
melakukan ibadat dan pengabdian kepada
Tuhan. Hanya ibadat yang dilakukan menurut
peraturan syariat sahaja diterima oleh Tuhan
sebagai ibadat. Misalnya, syariat menentukan
syarat dan rukun sembahyang. Tidak menepati
syarat dan tidak menyempurnakan rukun tidak
dinamakan sembahyang. Akal dan kasyaf tidak
akan menemui cara yang betul bagi menyembah
Tuhan. Hanya syariat, semata-mata syariat
mengajarkan cara pengabdian yang sebenarnya
terhadap Allah s.w.t.
Syariat juga menyampaikan perkhabaran tentang
malaikat dan Nabi-nabi. Malaikat dikenali dengan
mengetahui asal kejadiannya daripada nur yang
murni yang berbeza daripada cahaya matahari
atau sebarang cahaya yang diketahui oleh
manusia. Perlu juga diketahui beberapa malaikat
yang menjadi pemimpin kepada malaikat-
malaikat sekaliannya. Mengenali Nabi pula
adalah dengan mempelajari sejarah perjalanan
mereka, tahu keturunan mereka dan tahu pula
siapakah di antara mereka yang menerima kitab
dan suhuf serta tahu kitab-kitab tersebut.
Pengetahuan tentang perjalanan Nabi-nabi bagi
meningkatkan kedudukan kerohanian dalam
melaksanakan tuntutan syariat. Seterusnya
syariat mengajarkan manusia tentang akhirat.
Matlamat utama manusia adalah akhirat dan
dunia menjadi jalan kepada akhirat. Di samping
mencari kesejahteraan hidup di dunia manusia
lebih dituntut mencari keselamatan di akhirat.
Kehidupan dunia hanyalah sementara dan
kehidupan akhirat berkekalan, tanpa kesudahan.
syariat juga mengajar manusia supaya mengakui
kelemahan mereka. Oleh yang demikian mereka
dikehendaki beriman kepada Qadak dan Qadar.
Keyakinan kepada akhirat menggerakkan
manusia supaya rajin beramal. Keyakinan
kepada Qadak dan Qadar memimpin manusia
menjadi hamba yang tunduk kepada ketuhanan
Allah s.w.t. Apa yang diajar oleh syariat
membentuk sifat aslim iaitu berserah diri kepada
Tuhan. Orang Islam yang bersifat aslim itulah
yang benar-benar tunduk, patuh dan
melaksanakan hukum Tuhan sebagaimana
layaknya dibuat oleh seorang hamba yang
merdeka.
Orang yang melalui jalan syariat akan berjaya
apabila sampai kepada makam mukmin. Allah
s.w.t berfirman:
Sesungguhnya Allah akan membeli orang-orang
mukmin, dirinya dan hartanya dengan syurga,
iaitu mereka yang berjihad pada jalan Allah, lalu
mereka membunuh dan terbunuh, sebagai satu
perjanjian yang benar di tentang itu (yang
tersebut) dalam Taurat dan Injil dan Quran;
kerana bukankah tidak ada yang sempurnakan
janjinya lebih daripada Allah? Lantaran itu
bergembiralah dengan perjanjian kamu yang
kamu janjikan kepada-Nya, kerana yang
demikian adalah kebahagiaan yang besar.
( Ayat 111 : Surah at-Taubah )
Orang yang mencapai darjat mukmin ada harga
pada sisi Allah s.w.t hinggakan Dia sanggup
membeli mereka dengan harga syurga, harta
yang paling tinggi nilainya dalam seluruh alam
makhluk. Tidak ada keraguan lagi kedudukan
mereka sebagai ahli syurga. Makam yang di
bawah daripada makam mukmin ada dua.
Pertama adalah mereka yang dijamin sebagai
ahli neraka. Kedua adalah mereka yang mungkin
ke syurga atau mungkin ke neraka, hanya belas
kasihan Tuhan yang boleh menyelamatkan
mereka. Ketika hayat masih ada ujilah diri sendiri
apakah sudah mencapai taraf mukmin atau
belum. Alat pengujinya adalah firman Allah s.w.t:
Orang-orang mukmin apabila diperingatkan
dengan Allah nescaya gementarlah hati mereka,
dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-
Nya menambahkan bagi mereka keimanan; dan
kepada Tuhan mereka berserah diri. (Iaitu) orang
yang mendirikan sembahyang dan
membelanjakan sebahagian daripada apa yang
Kami kurniakan kepada mereka. ( Ayat 2 & 3 :
Surah al-Anfaal )
Jika tanda yang tersebut di atas tidak ada
waspadalah! Mungkin neraka menunggu di akhir
perjalanan hidup di dunia ini. Mulalah bekerja
untuk menyelamatkan diri dengan berniaga
dengan Allah s.w.t, menjualkan diri kepadanya
dengan cara berjihad pada jalan-Nya. Mudah-
mudahan Tuhan sudi membeli.
Kejayaan bagi mereka yang berjihad pada jalan
Allah s.w.t adalah mereka dikurniakan petunjuk
dengan nur tawajjuh yang berperanan
memalingkan hati kepada Allah s.w.t dan
membentenginya daripada apa yang cuba
memesungkannya. Orang yang dikurniakan nur
tawajjuh dinamakan orang salih yang berpegang
teguh dengan syariat Allah s.w.t. nur tawajjuh
membuat mereka berasa damai dan tenang serta
bertambah kehampiran dengan Allah s.w.t.
Mereka tidak berasa berat untuk melakukan
ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana
semakin banyak mereka beribadat semakin
mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan
menghadap Allah s.w.t) dan semakin mereka
berasa lazat beribadat. Orang salih adalah ahli
syariat yang memakai pakaian warak dan
berjalan dengan nur tawajjuh.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar