BERBAGAI-BAGAI
JENIS AMAL ADALAH KERANA BERBAGAI-BAGAI AHWAL (HAL-HAL)
Hikmat 9 di atas ringkas tetapi padat.
Hikmat ini merupakan lanjutan kepada Hikmat 8 yang dihuraikan sebelum ini.
Hikmat yang ke lapan menjelaskan setakat perhentian di hadapan pintu gerbang
dan belum menyentuh makrifat. Hikmat ke sembilan ini memberi gambaran tentang
makrifat tetapi tidak dikatakan makrifat dan tidak dihuraikan secara terus
terang sebaliknya diperkatakan sebagai ahwal. Ahwal adalah jamak bagi perkataan
hal. Hikmat ini membawa erti hal membentuk keadaan amal. Amal adalah perbuatan
atau kelakuan lahiriah dan hal adalah suasana atau kelakuan hati. Amal
berkaitan dengan lahiriah manakala hal berkaitan dengan batiniah. Oleh
kerana hati menguasai sekalian anggota maka kelakuan hati iaitu hal menentukan
bentuk amal iaitu perbuatan lahiriah.
Dalam pandangan tasauf, hal diertikan
sebagai pengalaman rohani dalam proses mencapai hakikat dan makrifat. Hal
merupakan zauk atau rasa yang berkaitan dengan hakikat ketuhanan yang melahirkan
makrifatullah (pengenalan tentang Allah s.w.t). Oleh itu, tanpa hal tidak
ada hakikat dan tidak diperolehi makrifat. Ahli ilmu membina makrifat melalui
dalil ilmiah tetapi ahli tasauf bermakrifat melalui pengalaman tentang
hakikat.
Sebelum memperolehi pengalaman hakikat,
ahli kerohanian terlebih dahulu memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban
kepadanya. Ada orang mencari kasyaf yang dapat melihat makhluk ghaib seperti
jin. Dalam proses mencapai hakikat ketuhanan kasyaf yang demikian tidak
penting.
Kasyaf yang penting adalah yang dapat mengenali tipu daya syaitan
yang bersembunyi dalam berbagai-bagai bentuk dan suasana dunia ini. Kasyaf
yang menerima hakikat sesuatu, walau apa jua rupa yang dihadapi, penting
bagi pengembara kerohanian. Rasulullah s.a.w sendiri sebagai ahli kasyaf
yang paling unggul hanya melihat Jibrail a.s dalam rupanya yang asli dua
kali sahaja, walaupun pada setiap kali Jibrail a.s menemui Rasulullah s.a.w
dengan rupa yang berbeza-beza, Rasulullah s.a.w tetap mengenalinya sebagai
Jibrail a.s. Kasyaf yang seperti inilah yang diperlukan agar seseorang
itu tidak tertipu dengan tipu daya syaitan yang menjelma dalam berbagai-bagai
rupa yang hebat dan menawan sekalipun, seperti rupa seorang yang kelihatan
alim dan warak.
Bila seseorang ahli kerohanian memperolehi
kasyaf maka dia telah bersedia untuk menerima kedatangan hal atau zauk
iaitu pengalaman kerohanian tentang hakikat ketuhanan. Hal tidak mungkin
diperolehi dengan beramal dan menuntut ilmu. Sebelum ini pernah dinyatakan
bahawa tidak ada jalan untuk masuk ke dalam gerbang makrifat. Seseorang
hanya mampu beramal dan menuntut ilmu untuk sampai hampir dengan pintu
gerbangnya. Apabila sampai di situ seseorang hanya menanti kurniaan Allah
s.w.t, semata-mata kurniaan Allah s.w.t yang membawa makrifat kepada hamba-hamba-Nya.
Kurniaan Allah s.w.t yang mengandungi makrifat itu dinamakan hal. Allah
s.w.t memancarkan Nur-Nya ke dalam hati hamba-Nya dan akibat dari pancaran
itu hati akan mendapat sesuatu pengalaman atau terbentuk satu suasana di
dalam hati.
Misalnya, pancaran Nur Ilahi membuat hati mengalami hal bahawa
Allah Maha Perkasa. Apa yang terbentuk di dalam hati itu tidak dapat digambarkan
tetapi kesannya dapat dilihat pada tubuhnya yang menggigil hingga dia jatuh
pengsan. Pancaran Nur Ilahi membuat hati mengalami hal atau zauk atau merasai
keperkasaan Allah s.w.t dan pengalaman ini dinamakan hakikat, iaitu hati
mengalami hakikat keperkasaan Allah s.w.t.
Pengalaman hati tersebut membuatnya
berpengetahuan tentang maksud Allah Maha Perkasa. Jadi, pengalaman yang
diperolehi daripada zauk hakikat melahirkan pengetahuan tentang Tuhan.
Pengetahuan itu dinamakan makrifat. Orang yang berkenaan dikatakan bermakrifat
terhadap keperkasaan Allah s.w.t. Oleh itu untuk mencapai makrifat seseorang
itu haruslah mengalami hakikat. Inilah jenis makrifat yang tertinggi. Makrifat
tanpa pengalaman hati adalah makrifat secara ilmu. Makrifat secara ilmu
boleh didapati dengan belajar, sementara secara zauk didapati tanpa belajar.
Ahli tasauf tidak berhenti setakat makrifat secara ilmu malah mereka mempersiapkan
hati mereka agar sesuai menerima kedatangan makrifat secara zauk.
Ada orang yang memperolehi hal sekali
sahaja dan dikuasai oleh hal dalam tempuh yang tertentu sahaja dan ada
juga yang berkekalan di dalam hal. Hal yang berterusan atau berkekalan
dinamakan wisal iaitu penyerapan hal secara berterusan, kekal atau baqa.
Orang yang mencapai wisal akan terus hidup dengan cara hal yang berkenaan.
Hal-hal (ahwal) dan wisal boleh dibahagikan kepada lima jenis:
1 : Abid:
Abid adalah orang yang dikuasai
oleh hal atau zauk yang membuat dia merasakan secara bersangatan bahawa
dirinya hanyalah seorang hamba yang tidak memiliki apa-apa dan tidak mempunyai
sebarang daya dan upaya untuk melakukan sesuatu. Kekuatan, keupayaan, bakat-bakat
dan apa sahaja yang ada dengannya adalah daya dan upaya yang daripada
Allah s.w.t. Semuanya itu adalah kurniaan-Nya semata-mata. Allah s.w.t
sebagai Pemilik yang sebenar, apabila Dia memberi, maka Dia berhak mengambil
kembali pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Seorang abid benar-benar
bersandar kepada Allah s.w.t hinggakan sekiranya dia melepaskan sandaran
itu dia akan jatuh, tidak bermaya, tidak boleh bergerak, kerana dia benar-benar
melihat dirinya kehilangan apa yang datangnya dari Allah s.w.t. Hal atau
suasana yang menguasai hati abid itu akan melahirkan amal atau kelakuan
sangat kuat beribadat, tidak memperdulikan dunia dan isinya, tidak mengambil
bahagian dalam urusan orang lain, sangat takut berjauhan dari Allah s.w.t
dan gemar bersendirian. Dia merasakan apa sahaja yang selain Allah s.w.t
akan menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t.
2 : Asyikin:
Asyikin ialah orang yang mendapat
asyik dengan sifat Keindahan Allah s.w.t. Rupa, bentuk, warna dan ukuran
tidak menjadi soal kepadanya kerana apa sahaja yang dilihatnya menjadi
cermin yang dia melihat Keindahan serta Keelokan Allah s.w.t di dalamnya.
Amal atau kelakuan asyikin ialah gemar merenung alam maya dan memuji Keindahan
Allah s.w.t pada apa yang disaksikannya. Dia boleh duduk menikmati keindahan
alam beberapa jam tanpa berasa jemu. Kilauan ombak dan titikan hujan memukau
pandangan hatinya. Semua yang kelihatan adalah warna Keindahan dan Keelokan
Allah s.w.t. Orang yang menjadi asyikin tidak memperdulikan lagi adab dan
peraturan masyarakat. Kesedarannya bukan lagi pada alam ini. Dia mempunyai
alamnya sendiri yang di dalamnya hanyalah Keindahan Allah s.w.t.
3 : Muttakhaliq:
Muttakhaliq adalah orang yang mencapai
yang Haq dan bertukar sifatnya. Hatinya dikuasai oleh suasana Qurbi
Faraidh atau Qurbi Nawafil. Dalam Qurbi Faraidh, muttakhaliq merasakan
dirinya adalah alat dan Allah s.w.t menjadi Pengguna alat. Dia melihat
perbuatan atau kelakuan dirinya terjadi tanpa dia merancang dan campur
tangan, bahkan dia tidak mampu mengubah apa yang mahu terjadi pada kelakuan
dan perbuatannya. Dia menjadi orang yang berpisah daripada dirinya sendiri.
Dia melihat dirinya melakukan sesuatu perbuatan seperti dia melihat
orang lain yang melakukannya, yang dia tidak berdaya mengawal atau mempengaruhinya.
Hal Qurbi Faraidh adalah dia melihat bahawa Allah s.w.t melakukan apa yang
Dia kehendaki. Perbuatan dia sendiri adalah gerakan Allah s.w.t, dan diamnya
juga adalah gerakan Allah s.w.t. Orang ini tidak mempunyai kehendak sendiri,
tidak ada ikhtiar dan tadbir. Apa yang mengenai dirinya, seperti perkataan
dan perbuatan, berlaku secara spontan. Kelakuan atau amal Qurbi Faraidh
ialah bercampur-campur di antara logik dengan tidak logik, mengikut adat
dengan merombak adat, kelakuan alim dengan jahil. Dalam banyak perkara
penjelasan yang boleh diberikannya ialah, “Tidak tahu! Allah s.w.t berbuat
apa yang Dia kehendaki”.
Dalam suasana Qurbi Nawafil pula
muttakhaliq melihat dengan mata hatinya sifat-sifat Allah s.w.t yang menguasai
bakat dan keupayaan pada sekalian anggotanya dan dia menjadi pelaku atau
pengguna sifat-sifat tersebut, iaitu dia menjadi khalifah dirinya sendiri.
Hal Qurbi Nawafil ialah berbuat dengan izin Allah s.w.t kerana Allah s.w.t
mengurniakan kepadanya kebolehan untuk berbuat sesuatu. Contoh Qurbi Nawafil
adalah kelakuan Nabi Isa a.s yang membentuk rupa burung dari tanah liat
lalu menyuruh burung itu terbang dengan izin Allah s.w.t, juga kelakuan
beliau a.s menyeru orang mati supaya bangkit dari kuburnya. Nabi Isa a.s
melihat sifat-sifat Allah s.w.t yang diizinkan menjadi bakat dan keupayaan
beliau a.s, sebab itu beliau a.s tidak ragu-ragu untuk menggunakan bakat
tersebut menjadikan burung dan menghidupkan orang mati dengan izin Allah
s.w.t.
4 : Muwahhid:
Muwahhid fana dalam zat, zatnya
lenyap dan Zat Mutlak yang menguasainya. Hal bagi muwahhid ialah dirinya
tidak ada, yang ada hanya Allah s.w.t. Orang ini telah putus hubungannya
dengan kesedaran basyariah dan sekalian maujud. Kelakuan atau amalnya tidak
lagi seperti manusia biasa kerana dia telah terlepas dari sifat-sifat kemanusiaan
dan kemakhlukan. Misalkan dia bernama Abdullah, dan jika ditanya kepadanya
di manakah Abdullah, maka dia akan menjawab Abdullah tidak ada, yang ada
hanyalah Allah! Dia benar-benar telah lenyap dari ke‘Abdullah-an’ dan benar-benar
dikuasai oleh ke‘Allah-an’. Ketika dia dikuasai oleh hal dia terlepas daripada
beban hukum syarak. Dia mungkin melaungkan, “Akulah Allah! Maha Suci Aku!
Sembahlah Aku!” Dia telah fana dari ‘aku’ dirinya dan dikuasai oleh kewujudan
‘Aku Hakiki’. Walau bagaimana pun sikap dan kelakuannya dia tetap dalam
keredaan Allah s.w.t. Apabila dia tidak dikuasai oleh hal, kesedarannya
kembali dan dia menjadi ahli syariat yang taat. Perlu diketahui bahawa
hal tidak boleh dibuat-buat dan orang yang dikuasai oleh hal tidak berupaya
menahannya. Ahli hal karam dalam lakuan Allah s.w.t. Bila dia melaungkan
, “Akulah Allah!” bukan bermakna dia mengaku telah menjadi Tuhan, tetapi
dirinya telah fana, apa yang terucap melalui lidahnya sebenarnya adalah
dari Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengatakan Dia adalah Tuhan dengan menggunakan
lidah muwahhid yang sedang fana itu.
Berbeza pula golongan mulhid. Si
mulhid tidak dikuasai oleh hal, tidak ada zauk, tetapi berkelakuan dan
bercakap seperti orang yang di dalam zauk. Orang ini dikuasai oleh ilmu
tentang hakikat bukan mengalami hakikat secara zauk. Si mulhid membuang
syariat serta beriman berdasarkan ilmu semata-mata. Dia berpuas hati bercakap
tentang iman dan tauhid tanpa beramal menurut tuntutan syariat. Orang ini
bercakap sebagai Tuhan sedangkan dia di dalam kesedaran kemanusiaan, masih
gelojoh dengan keinginan hawa nafsu. Orang-orang sufi bersepakat mengatakan
bahawa sesiapa yang mengatakan, “Ana al-Haq!” sedangkan dia masih sedar
tentang dirinya maka orang berkenaan adalah sesat dan kufur!
5 : Mutahaqqiq:
Mutahaqqiq ialah orang yang setelah
fana dalam zat turun kembali kepada kesedaran sifat, seperti yang terjadi
kepada nabi-nabi dan wali-wali demi melaksanakan amanat sebagai khalifah
Allah di atas muka bumi dan kehidupan dunia yang wajib diuruskan. Dalam
kesedaran zat seseorang tidak keluar dari khalwatnya dengan Allah
s.w.t dan tidak peduli tentang keruntuhan rumah tangga dan kehancuran dunia
seluruhnya. Sebab itu orang yang demikian tidak boleh dijadikan pemimpin.
Dia mesti turun kepada kesedaran sifat baharulah dia boleh memimpin orang
lain. Orang yang telah mengalami kefanaan dalam zat kemudian disedarkan
dalam sifat adalah benar-benar pemimpin yang dilantik oleh Allah s.w.t
menjadi Khalifah-Nya untuk memakmurkan makhluk Allah s.w.t dan memimpin
umat manusia menuju jalan yang diredai Allah s.w.t. Orang inilah yang menjadi
ahli makrifat yang sejati, ahli hakikat yang sejati, ahli tarekat
yang sejati dan ahli syariat yang sejati, berkumpul padanya dalam satu
kesatuan yang menjadikannya Insan Rabbani. Insan Rabbani peringkat tertinggi
ialah para nabi-nabi dan Allah s.w.t kurniakan kepada mereka maksum, sementara
yang tidak menjadi nabi dilantik sebagai wali-Nya yang diberi perlindungan
dan pemeliharaan.
Ahwal (hal-hal) yang menguasai hati
nurani berbeza-beza, dengan itu akan mencetuskan kelakuan amal yang berbeza-beza.
Ahwal mesti difahami dengan sebenar-benarnya oleh orang yang memasuki latihan
tarekat kerohanian, supaya dia mengetahui, dalam amal yang bagaimanakah
dia mendapat kedamaian dan mencapai maksud dan tujuan, apakah dengan sembahyang,
zikir atau puasa. Dia mesti berpegang sungguh-sungguh kepada amal yang
dicetuskan oleh hal tadi, agar dia cepat dan selamat sampai ke puncak.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar