Kamis, 31 Oktober 2013

3: FITRAH (FIKIRAN, ILHAM DANKASYAF) DAN WAHYU


Semua manusia berasal daripada diri yang satu
iaitu Nabi Adam a.s. Sekalian yang lahir
daripada Adam a.s dinamakan bangsa manusia.
Tidak ada keturunan Adam a.s yang berbangsa
haiwan, tumbuh-tumbuhan atau gali-galian.
Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi
manusia kerana mereka semua memiliki
kemanusiaan. Tidak ada manusia yang tidak
memiliki kemanusiaan. Benih kemanusiaan yang
pertama disemaikan pada kejadian Adam a.s
dan kemudian benih tersebut ‘berjalan’ kepada
Siti Hawa, ibu yang mulia dan diberkati dengan
keturunan yang amat ramai. Ketika Adam a.s dan
Ibu Hawa berada di dalam syurga benih
kemanusiaan itu hanya aktif pada mereka berdua
sahaja., tidak ‘membiak’. Setelah mereka
dikeluarkan daripada syurga dan ditempatkan di
bumi, di dalam dunia, baharulah benih
kemanusiaan itu menampakkan keupayaannya
melahirkan generasi manusia. Benih
kemanusiaan akan terus bekerja melahirkan
manusia hingga ke hari kiamat. Apabila berlaku
kiamat baharulah benih kemanusiaan itu berhenti
melahirkan manusia.
Bermula daripada Adam a.s sampailah kepada
manusia terakhir pada hari kiamat, benih
kemanusiaan ‘berjalan’ terus, melahirkan
keturunan manusia yang berpecah-pecah kepada
berbagai-bagai bangsa, suku dan keluarga.
Perjalanan benih tersebut sangat sempurna
sehingga tidak berlaku kesilapan pada
pekerjaannya. Jika benih kemanusiaan
melakukan kesilapan nescaya ada ibu-ibu
manusia yang melahirkan ikan, beruang,
rambutan dan lain-lain. Kesempurnaan benih
kemanusiaan menyebabkan manusia akan terus
melahirkan manusia sahaja tidak bangsa lain.
Keturunan Adam a.s membiak melalui proses
percantuman benih lelaki dengan benih
perempuan. Walaupun pada zahirnya
percantuman benih menjadi proses pembiakan
keturunan manusia tetapi bukanlah benih lelaki
dan benih perempuan itu yang mengawal
kewujudan dan kesinambungan bangsa manusia.
Adam a.s diciptakan bukan daripada benih lelaki
atau benih perempuan namun, Adam a.s tetap
memiliki kemanusiaan. Nabi Isa a.s diciptakan
tanpa melalui proses percantuman benih lelaki
dengan benih perempuan namun, Isa a.s tetap
memiliki kemanusiaan. Setiap manusia tidak
terlepas daripada kemanusiaan yang tidak
dimengerti hakikatnya. Jika semua manusia
bermula dari Adam a.s hinggalah kepada
manusia terakhir yang ada pada hari kiamat,
dibedah untuk dikaji perihal kemanusiaan itu
tentu sekali perbuatan tersebut hanya sia-sia
sahaja. Tidak mungkin dijumpai hakikat
kemanusiaan pada mana-mana manusia tetapi
peranan dan pengaruhnya pada setiap manusia
tidak dapat dipertikaikan.
Jika mahu memahami tentang hakikat ia harus
dilihat dari sumbernya. Sumber segala kejadian
ada pada sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t
menciptakan makhluk-Nya menurut Iradat-Nya,
dengan Kudrat-Nya dan sesuai dengan Ilmu-Nya.
Apa juga yang Allah s.w.t berkehendak
menciptakan sudah termaktub di dalam Ilmu-
Nya. Apa yang pada sisi Allah s.w.t atau pada
Ilmu-Nya itu dinamakan hakikat. Sebelum Allah
s.w.t menciptakan alam dan benda-benda alam,
hakikat alam dan hakikat-hakikat benda alam
sudah pun ada pada Ilmu-Nya. Hakikat adalah
kewujudan yang memerintah atau mengawal.
Segala yang diciptakan Allah s.w.t, yang mengisi
ruang alam, dikawal oleh hakikat masing-masing.
Hakikat yang berhubung dengan kejadian
manusia dinamakan Hakikat Manusia atau
Hakikat Insan. Hakikat Insan mengawal kejadian
manusia sejak manusia pertama hinggalah
kepada manusia yang penghabisan. Apa juga
yang dikawal oleh Hakikat Insan akan lahir
sebagai manusia. Hakikat Malaikat mengawal
kewujudan malaikat. Hakikat Haiwan mengawal
kewujudan haiwan dan demikian juga dengan
hakikat-hakikat yang lain. Haiwan tidak boleh
menjadi manusia dan manusia tidak boleh
menjadi malaikat apa lagi menjadi Tuhan. Hakikat
masing-masing tidak mengizinkan perkara yang
demikian terjadi.
Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati
perubahan bagi “Sunnatullah” itu. (Ayat 62 :
Surah al-Ahzaab)
Tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat
(janji-janji) Allah. ( Ayat 64 : Surah Yunus )
Tiada suatupun dari makhluk yang bergerak di
muka bumi melainkan Allah jualah yang
menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di
atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud)
Hakikat adalah suasana pentadbiran Tuhan.
Suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk.
Oleh itu ia tidak boleh ditemui pada makhluk
tetapi kehadirannya menguasai dan mengawal
kewujudan dan kesinambungan kewujudan
makhluk boleh dirasai. Akal yang sihat juga boleh
mengakui kebenaran ini. Tanpa kawalan
daripada alam hakikat nescaya berlaku huru-hara
pada kejadian makhluk. Tentu sekali semua
haiwan mahu menjadi buraq. Manusia dan jin
mahu menjadi malaikat. Semua orang mahu lahir
sebagai putera raja. Tetapi semua itu tidak
berlaku kerana benteng hakikat sangat teguh,
tidak dapat dirobohkan oleh makhluk. Pada
Hakikat Insan sudah ada maklumat yang jelas
dan muktamad tentang kejadian semua manusia
termasuklah giliran masing-masing masuk ke
alam dunia ini.
Di antara semua hakikat-hakikat, hakikat yang
menguasai manusia merupakan hakikat yang
paling utama kerana ia mengadakan hubungan
yang istimewa di antara insan dengan Tuhannya.
(Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman
kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak
menciptakan manusia - Adam - dari tanah.
Kemudian apabila Aku sempurnakan
kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari
(ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud
kepadanya. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )
Adam a.s ditempa daripada tanah. Bahagian
Adam a.s yang ditempa daripada tanah ini
dinamakan jasad, tubuh badan atau diri yang
zahir. Jasad yang dari tanah itu walaupun sudah
sempurna kejadiannya, cukup lengkap dengan
sekalian anggota namun, ia tetap kaku, tidak
dapat bergerak, tidak merasakan apa-apa dan
tidak dapat berkata-kata. Ia sudah mempunyai
otak tetapi otaknya tidak dapat berfikir. Ia sudah
mempunyai mata tetapi matanya tidak dapat
melihat. Ia sudah mempunyai telinga tetapi
telinganya tidak dapat mendengar. Ia hanyalah
satu lembaga yang kaku. Tetapi sebaik sahaja ia
menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t segala-
galanya berubah dengan serta merta. Otaknya
mula berfungsi. Mata, telinga dan semua
anggotanya juga mula berfungsi. Ia juga boleh
merasa. Ia bukan lagi satu lembaga yang kaku
tetapi ia sudah menjadi insan yang hidup, boleh
berfikir, boleh berkata-kata, boleh bergerak dan
boleh merasa. Keajaiban itu berlaku semata-
mata kerana tiupan dari Roh Allah s.w.t.
Bahagian Adam a.s yang menerima tiupan
daripada Roh Allah s.w.t itu dinamakan Diri
Batin atau rohani.
Roh Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t dan juga
bukan nyawa yang menghidupkan Allah s.w.t.
Allah s.w.t hidup dengan Zat-Nya, bukan dengan
nyawa atau roh dan bukan juga dengan sifat
hidup. Sifat hidup bergantung kepada Allah s.w.t
tetapi Allah s.w.t tidak bergantung kepada sifat
hidup. Roh Allah s.w.t sama halnya seperti
Tangan Allah s.w.t, Kalam Allah s.w.t,
Pendengaran Allah s.w.t dan lain-lain yang
dinisbahkan kepada-Nya. Semuanya bukanlah
Allah s.w.t tetapi adalah keadaan atau sifat atau
misal atau ibarat yang memperkenalkan Diri-Nya
sekadar layak Dia dikenali oleh makhluk-Nya.
Hakikat Diri-Nya yang sebenar tidak mampu
disifatkan, diibaratkan atau dimisalkan kerana
Dia adalah:
Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-
Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran)-Nya,
( Ayat 11 : Surah asy-Syura )
Sekalipun Dia tidak boleh disifatkan tetapi Dia
adalah:
Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat
( Ayat 11 : Surah asy-Syura )
Allah s.w.t sendiri mengatakan Dia Mendengar
dan Melihat. Dia mengadakan penyifatan setelah
terlebih dahulu Dia menafikan segala bentuk
penyifatan. Dia tidak serupa dengan apa sahaja
yang terlintas di dalam fikiran, cita-cita dan
khayalan manusia. Dia tidak serupa dengan apa
juga yang nyata dan yang ghaib, yang zahir dan
yang batin. Bila Dia mengatakan Dia Mendengar
dan Melihat maka Mendengar dan Melihat-Nya
tidak serupa dengan apa juga keadaan
mendengar dan melihat yang diketahui atau tidak
diketahui oleh manusia. Bila Dia mengatakan Dia
Berkata-kata maka Kalam-Nya tidak serupa
dengan apa juga bentuk percakapan baik yang
boleh difikirkan oleh manusia mahu pun yang
tidak boleh difikirkan oleh manusia. Perkataan
Allah s.w.t tidak serupa dengan apa juga bentuk
perkataan. Kalam-Nya tidak berhuruf dan tidak
bersuara. Apabila Dia tujukan firman-Nya kepada
Nabi Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab,
digubah-Nya Kalam-Nya dalam bahasa Arab
yang berhuruf dan bersuara dan Dia masih
menisbahkan Kalam-Nya yang berhuruf dan
bersuara dalam bahasa Arab itu sebagai Kalam-
Nya. Oleh kerana Dia sendiri memperakui yang
demikian adalah Kalam-Nya sesiapa
menafikannya adalah kufur, tetapi sesiapa
mengatakan Allah s.w.t bercakap dalam bahasa
Arab maka terlebih kufur lagi keadaannya.
Konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan
apabila memperkatakan tentang Allah s.w.t pada
aspek yang disifatkan. Apabila Allah s.w.t
memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia maka
Dia wujudkan penyifatan yang mampu diterima
oleh manusia, sesuai dengan keupayaan
mengenal yang ada dengan manusia, tetapi Yang
Haq itu melampaui apa yang disifatkan. Aspek
Allah s.w.t yang disifatkan merupakan pintu atau
perantaraan yang menghubungkan hamba
dengan Allah s.w.t yang tidak mampu disifatkan.
Sekalipun Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya
melalui sifat-sifat yang diketahui oleh manusia
tetapi mengadakan lembaga bagi Allah s.w.t
adalah sesat yang nyata. Sesiapa yang menjadi
jelas kepadanya konsep nafi dan isbat
sesungguhnya dia telah memperolehi nikmat
yang tidak terhingga nilainya.
Tiada Tuhan melainkan Allah
Roh Allah s.w.t adalah perantaraan yang
kerananya manusia memperolehi kehidupan. Roh
Allah s.w.t adalah suasana pentadbiran Allah
s.w.t yang mengawal bidang kehidupan. Adam
a.s memperolehi sifat hidup kerana tiupan Roh
Allah s.w.t atau Hakikat Roh yang ada pada sisi
Allah s.w.t. Apabila keturunan Adam a.s
berkembang biak kesemua mereka tidak terlepas
daripada kawalan Hakikat Roh yang menjadi
sumber kepada penghidupan yang bermula
dengan penghidupan Adam a.s. Walau berapa
ramai sekalipun manusia diciptakan mereka tetap
menerima kehidupan daripada sumber yang
sama iaitu suasana pentadbiran Allah s.w.t yang
diistilahkan sebagai Roh-Nya atau Hakikat Roh.
Suasana ketuhanan itu mempunyai bakat dan
keupayaan untuk menghidupkan setiap jasad
secara berasingan dan bebas daripada jasad-
jasad yang lain. Setiap jasad memiliki keupayaan
untuk hidup sendiri, walaupun ada jasad yang
mengalami kematian namun jasad-jasad lain
terus juga hidup. Jasad yang sudah diciptakan
boleh juga hidup sekalipun masih banyak lagi
jasad yang belum dizahirkan.
Adam a.s dan keturunan beliau a.s diciptakan
dengan bermatlamat:
Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu berfirman kepada
malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak
menjadikan seorang khalifah di bumi”. ( Ayat
30 : Surah al-Baqarah )
Adam a.s dan keturunan beliau a.s yang
dibangsakan sebagai manusia diciptakan Allah
s.w.t untuk dijadikan khalifah di bumi. Khalifah
boleh diartikan menurut beberapa pengertian.
Pada pengertian pertama khalifah bermaksud
pengganti kepada makhluk yang telah pupus.
Satu ketika dahulu bumi ini pernah didiami oleh
satu bangsa makhluk tetapi makhluk tersebut
telah dibinasakan oleh Allah s.w.t kerana mereka
berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Sejak
makhluk bangsa tersebut pupus tidak ada lagi
makhluk berakal yang mendiami bumi. Adam a.s
diciptakan untuk menggantikan bangsa yang
telah pupus itu. Khalifah pada makna yang kedua
bermaksud pengganti Rasulullah s.a.w, yang
menjadi pemimpin umat Islam setelah baginda
s.a.w wafat. Khalifah dalam segi ini ada dua
kategori iaitu khalifah rasyidin (yang dipimpin)
dan khalifah umum. Saidina-saidina Abu Bakar,
Umar, Usman dan Ali termasuk dalam golongan
khalifah rasyidin yang mendapat pimpinan Allah
s.w.t dan dijamin kebenaran mereka. Pimpinan
mereka mendapat keredaan Allah s.w.t.
Perbuatan dan perkataan khalifah rasyidin boleh
dijadikan rujukan dalam pembentukan hukum-
hukum agama, selepas al-Quran dan as-Sunah.
Khalifah yang selain mereka tidak memiliki darjat
yang demikian. Pada makna yang ke tiga pula
khalifah bermaksud makhluk atau golongan yang
memiliki ciri-ciri khusus mengatasi semua
makhluk atau golongan lain. Ia bermaksud
bangsa manusia yang memiliki bakat-bakat serta
keupayaan melebihi makhluk lain dalam
menguruskan hal-ehwal di bumi yang meliputi
kehidupan manusia sendiri dan juga makhluk
yang lain.
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-
anak Adam; dan Kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat
dan di laut; dan Kami memberikan rezeki kepada
mereka dari benda-benda yang baik-baik serta
Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-
lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang
telah Kami ciptakankan. ( Ayat 70 : Surah
Bani Israil )
Bangsa manusia dibekalkan dengan bakat-bakat
dan keupayaan semulajadi yang melebihkan
mereka daripada makhluk yang lain sehingga
mereka boleh memimpin makhluk lain di bumi
atau menjadi khalifah di bumi. Bakat
kekhalifahan sudah dibekalkan kepada manusia
sejak manusia pertama diciptakan.
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan
nama benda-benda dan gunanya, (Ayat 31 :
Surah al-Baqarah)
Allah s.w.t membekalkan kepada Adam a.s
bakat kekhalifahan sesuai dengan tujuan beliau
a.s diciptakan. Bakat kekhalifahan yang
dibekalkan kepada Adam a.s dan bangsa
manusia itu dinamakan fitrah manusia. Makhluk
lain juga dibekalkan dengan fitrah masing-masing
tetapi fitrah yang dikurniakan kepada bangsa
manusia adalah yang paling utama dan paling
sempurna. Pada fitrah manusia terkumpul semua
fitrah kejadian alam. Lantaran itu manusia
berpengetahuan tentang tabii makhluk yang lain
seperti malaikat, haiwan, angin, tumbuh-
tumbuhan, syaitan dan lain-lain. Fitrah manusia
yang bersifat universal itu membuat manusia
boleh memakai sifat-sifat anasir alam yang lain.
Mereka boleh bersifat seperti malaikat atau
syaitan atau haiwan atau pun membeku seperti
galian. Fitrah itu juga membuat manusia boleh
mengambil manfaat daripada anasir alam.
Mereka boleh menciptakan kenderaan udara dan
terbang seperti burung dan kenderaan air untuk
berenang seperti ikan apa lagi kenderaan darat
untuk mereka bergerak seperti kuda.
Alat penting yang ada dengan manusia dalam
menjalankan tugas kekhalifahan adalah beberapa
bakat fitrah insan yang ada dengan mereka.
Bakat fitrah yang pertama adalah akal fikiran.
Melalui bakat fitrah akal ini manusia mampu
membentuk kehidupan yang teratur dan juga
mampu mengambil manfaat daripada benda-
benda alam yang ada di sekeliling mereka. Daya
fikir yang menjadi bakat fitrah ini berkait rapat
dengan satu lagi bakat fitrah iaitu ilham. Ilham
sebagai bakat fitrah tahap ke dua adalah lebih
seni daripada akal fikiran. Ilham menjadi
pencetus atau penggerak kepada daya fikir untuk
meneroka dan mengembangkan apa yang
dicetuskan oleh ilham itu.
Bakat fitrah yang ke tiga diceritakan oleh al-
Quran:
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan
segala nama benda-benda dan gunanya,
kemudian ditunjukkannyakan kepada malaikat
lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama
benda-benda itu semuanya, jika kamu golongan
yang benar”. Malaikat menjawab: “Maha Suci
Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain dari apa yang Engkau
ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau
jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana”. Allah berfirman: “Wahai Adam!
Terangkanlah nama benda-benda ini semua
kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam
menerangkan nama benda-benda itu kepada
mereka, Allah berfirman: “Bukankah telah Aku
katakan kepada kamu bahawasanya Aku
mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan
Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan
apa yang kamu sembunyikan”. ( Ayat 31 –
33 : Surah al-Baqarah )
Allah s.w.t mengetahui rahsia semua langit dan
bumi. Dia mengetahui yang nyata dan yang
disembunyikan. Sebahagian daripada
pengetahuan tersebut Allah s.w.t simpankan
pada fitrah Adam a.s sebagaimana firman-Nya
yang bermaksud: “Dan Kami ajarkan kepada
Adam nama-nama sekaliannya”. Maksud nama
di sini adalah nama beserta segala maklumat
yang terperinci yang berkait dengan yang
dinamakan itu. Bakat fitrah yang mengetahui
sebahagian daripada yang nyata dan yang
disembunyikan mengikut apa yang dibekalkan
oleh Allah s.w.t itu dinamakan kasyaf.
Pengetahuan Adam a.s melalui kekuatan kasyaf
melebihi pengetahuan malaikat.
Keistimewaan yang ada pada fitrah insan adalah
kerana perkaitannya dengan tiupan Roh Allah
s.w.t.
.. lalu Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)-Ku,
maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Ayat
72 : Surah Saad)
Dan (ingatlah) tatkala Kami berfirman kepada
malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam!” ( Ayat
34 : Surah al-Baqarah )
Semua makhluk termasuk malaikat diperintahkan
sujud kepada Adam a.s kerana fitrah Adam a.s
ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t.
Kadang-kadang istilah ‘Rahsia’ atau ‘Rahsia
Allah s.w.t’ digunakan oleh orang sufi bagi
menceritakan maksud ‘tiupan Roh Allah s.w.t’
itu. Istilah Rahsia digunakan bagi menerangkan
bahawa ‘tiupan Roh Allah s.w.t’ bukanlah
sesuatu yang boleh dihuraikan dengan jelas. Ia
adalah sebenarnya rahsia kerana jarang manusia
yang diberi pengetahuan tentangnya dan
kumpulan sedikit yang diberi pengetahuan itu
tidak mampu menghuraikannya dengan jelas
kepada orang lain. Pemahaman itu ditanamkan
sebagai keyakinan bukan huraian akal. Rahsia
Allah s.w.t itulah yang membuka medan
perhubungan di antara Allah s.w.t dengan
hamba-Nya. Rahsia Allah s.w.t itulah yang
menanamkan kefahaman tentang Allah s.w.t yang
“ ”; Allah Mendengar dan Melihat;
Allah Maha Esa dan berbagai-bagai aspek
ketuhanan.
Orang sufi banyak menggunakan istilah yang
maksudnya kurang jelas bagi orang awam
sedangkan istilah yang demikian tidak ditemui
pada zaman Rasulullah s.a.w. Perlu diketahui
bahawa huruf dan perkataan adalah alat untuk
menyampaikan maksud. Kadang-kadang huruf
dan perkataan gagal menyampaikan maksud
yang tersirat. Apabila ia gagal menyampaikan
maksud ia menjadi tabir yang menyembunyikan
maksud. Ayat yang serupa apabila diucapkan
oleh orang yang berlainan boleh membawa
pengertian yang berbeza. Jika seorang jejaka
asing berkata kepada seorang gadis, ‘Aku cinta
padamu,’ ia tidak menyampaikan maksud yang
jelas kepada gadis tersebut, tetapi jika
kekasihnya yang mengucapkan demikian si gadis
itu akan mendapat maksud yang jelas. Walaupun
ayat yang serupa digunakan tetapi perbezaan
orang yang mengatakannya membawa pengertian
yang berbeza-beza.
Hanya sebilangan kecil sahaja yang dapat
mengeluarkan ucapan yang maksud sebenarnya
masuk terus kepada pemahaman si pendengar.
Golongan yang paling arif dalam bidang tersebut
adalah para nabi dan yang terutama di antara
mereka adalah Nabi Muhammad s.a.w. Apabila
Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan sesuatu
perkara maka maksud yang sebenar terus
tertanam dan terpahat dalam hati si pendengar.
Apabila baginda s.a.w mengatakan, “Allah
Mendengar dan Melihat,” maka maksud Allah
Mendengar dan Melihat itu menjadi jelas pada
fahaman orang yang menerima pengajaran
daripada baginda s.a.w, hinggakan huraian lanjut
tidak diperlukan kerana orang berkenaan benar-
benar mengerti apa yang baginda s.a.w
maksudkan. Kaum Muslimin beriman kepada
perkataan Rasulullah s.a.w yang melahirkan
kefahaman pada mereka dan mereka tidak perlu
bertakwil lagi. Perkataan yang keluar secara
langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w
berkekuatan menghancurkan hijab, membuka
keghaiban dan menyampaikan maksud yang
tersirat, melebihi apa juga bentuk amalan
menghancurkan hijab atau menyingkap
keghaiban yang dilakukan oleh sesiapapun, sama
ada ahli ibadat atau ahli suluk. Sebab itu para
sahabat baginda s.a.w tidak perlu menjalani
latihan khusus seperti berkhalwat atau bersuluk.
Apabila Rasulullah s.a.w mengatakan, “Allah
lebih hampir kepada kamu dari urat leher kamu
sendiri”, maka para sahabat mendapat
kefahaman yang jitu tentang kehampiran Allah
s.w.t yang baginda s.a.w maksudkan itu. Mereka
tidak memerlukan ulasan kerana perkataan yang
keluar secara langsung dari mulut Rasulullah
s.a.w memberi kefahaman yang lebih jelas
daripada apa juga bentuk dan cara penjelasan.
Perkataan Rasulullah s.a.w sudah membukakan
rahsia dan yang tersembunyi berhubung apa
yang baginda s.a.w katakan, maka tidak ada
keperluan kepada istilah tambahan, yang rahsia
atau yang samar-samar.
Semakin jauh zaman meninggalkan Rasulullah
s.a.w semakin berkurangan kekuatan perkataan
yang diucapkan oleh manusia, walaupun mereka
menggunakan bahasa dan perkataan yang
pernah baginda s.a.w ucapkan. Ayat al-Quran
yang dibaca pada hari ini sama dengan ayat al-
Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w
dahulu tetapi tidak ada manusia pada hari ini
dapat membacakan al-Quran dengan cara
menyampaikan maksud sebenar dan setepat
yang dibacakan itu kepada pendengar
sebagaimana yang telah dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w. Guru-guru hari ini perlu
mencari kekuatan tambahan kepada perkataan
mereka dengan memperbanyakkan perkataan
yang diperkatakan dalam bentuk terjemahan,
huraian, tafsiran, ulasan, perumpamaan dan
sebagainya. Apabila sampai kepada perkara-
perkara ghaib dan tersembunyi guru perlu
mengadakan pintu untuk menahan murid yang
belum layak merempuh ke hadapan dan sebagai
jalan masuk kepada murid yang sudah layak.
Pintu tersebut adalah istilah-istilah yang baharu
digunakan, yang tidak digunakan sebelumnya. Ia
menjadi sempadan memisahkan yang khusus
daripada yang awam. Di antara istilah baharu itu
adalah Rahsia Allah s.w.t yang menceritakan
tentang perkaitan insan dengan tiupan Roh Allah
s.w.t. Istilah tersebut menyekat orang awam
daripada mencari-cari maksud yang tersirat dan
istilah itu juga menjadi stesen loncatan bagi
mereka yang memperolehi kefahaman tentang
perkara tersebut. Kefahaman yang diperolehi itu
adalah kefahaman yang tidak dapat dihuraikan,
tetapi dimengerti halnya dan melaluinya orang
khusus maju terus dalam mengenal Allah s.w.t.
Allah s.w.t mengurniakan fitrah sejagat kepada
manusia kerana mereka memikul amanah serta
beban tugas yang suci lagi mulia:
(Allah bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah
Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab:
“Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi
saksi”. (Ayat 172 : Surah al-A’raaf)
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah
dan beribadat kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah
adz-Dzaariyaat )
Fitrah manusia bukan sekadar berperanan dalam
mentadbir penghidupan menurut tabiat
semulajadi kemanusiaan malah lebih penting lagi
ia adalah persediaan buat manusia melakukan
kehambaan (ubudiah) terhadap Allah s.w.t.
Manusia yang bergerak dalam sekop fitrahnya
mampu memperolehi maklumat melalui akal
fikiran, ilham dan kasyaf. Pancaindera dan
fikiran bergabung di dalam mendapatkan
maklumat mengenai perkara yang zahir.
Maklumat yang diperolehi dengan cara ini boleh
dikembangkan oleh akal fikiran dengan
menggunakan hukum logik dan formula-formula
yang dapat disusun oleh akal fikiran. Kebolehan
berfikir yang dihasilkan oleh fitrah manusia
mampu membawa manusia meneroka segala
bidang lahiriah seperti sains, teknologi maklumat,
matematik, astronomi, kedoktoran, pentadbiran
negara dan lain-lain. Sempadan bagi akal fikiran
adalah logik. Ia tidak mampu mengolah sesuatu
yang telah keluar daripada daerah logik.
Bakat-bakat fitrah merupakan kenyataan kepada
firman Tuhan yang bermaksud: “Dan telah
diajarkan kepada Adam nama-nama semuanya”.
Segala maklumat yang perlu bagi manusia
menjalankan tugasnya sebagai khalifah di bumi
sudah pun ada pada fitrahnya. Proses
pembelajaran, pengalaman, penyelidikan dan
sebagainya merupakan cara mencungkil
maklumat yang tersimpan di dalam khazanah
fitrah, bukan membawa masuk maklumat yang
baharu. Pada satu tahap, maklumat di dalam
khazanah fitrah dicungkil melalui cara berfikir.
Kebolehan berfikir ini dikuasai oleh semua
manusia kecuali orang gila.
Apa yang Tuhan ajarkan kepada Adam a.s (dan
manusia sekaliannya) bukan sekadar penggunaan
akal fikiran. Apabila fitrah sampai kepada
kemuncak kekuatan berfikir yang dimilikinya iaitu
apabila hukum logik gagal memberi huraian maka
fitrah beralih kepada bakat keduanya iaitu ilham.
Bidang ilham sesuai untuk diterokai oleh mereka
yang fitrahnya bebas daripada hukum logik, iaitu
tarikan anasir alam, pengaruh kebendaan dan
hawa nafsu. Kebanyakan yang termasuk di dalam
golongan ini adalah ahli falsafah yang telah
membebaskan hati mereka daripada sempadan
kebendaan. Bila hati sudah berjaya melepaskan
diri daripada kongkongan kebendaan dapatlah ia
masuk ke dalam bidang ilham yang berada di
sebalik alam kebendaan. Ilham membuka
kefahaman tentang unsur ghaib yang
mempengaruhi perjalanan kehidupan yang zahir.
Ilham boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu
ilham ahli falsafah dan ilham ahli sufi (ahli
kerohanian). Ahli falsafah menggunakan kekuatan
dirinya untuk berjuang menentang hawa nafsu
dan membebaskannya daripada tarikan anasir-
anasir alam. Bila telah berjaya berbuat demikian
rohaninya mampu memandang kepada keghaiban
yang menyelimuti alam zahir. Dia dapat
menyaksikan tenaga ghaib yang membentuk
sistem dan mempengaruhi perjalanan segala
yang zahir. Di sebalik semua itu dia dapat
melihat kesempurnaan: kesempurnaan peraturan
dan perjalanan alam maya dan kesempurnaan
Pencipta segala kesempurnaan itu. Renungan
ahli falsafah berakhir dengan pengakuan tentang
wujudnya kekuasaan Mutlak yang mencipta dan
mengatur perjalanan alam ini. Kelarutan
(kefanaan) di dalam kesempurnaan itu
menjadikan ahli falsafah mencintai yang
sempurna dan bergerak membentuk
kesempurnaan di dalam kehidupan ini.
Ahli sufi pula di samping berjuang menentang
hawa nafsu dan tuntutan badaniah dia juga
membenamkan dirinya ke dalam zikir atau
ingatan kepada Allah s.w.t secara terus
menerus. Pergantungannya tidak terlepas
daripada Tuhan. Apabila dia berjaya di dalam
perjalanannya dia berjaya di dalam keadaan
ingat dan bergantung kepada Allah s.w.t. Oleh
itu ilham yang terbuka kepadanya lebih berkaitan
dengan Tuhan daripada makhluk Tuhan.
Perhatiannya terhadap makhluk, termasuklah
dirinya sendiri, mengecil dan perhatiannya
kepada Tuhan membesar. Jika ilham ahli falsafah
lebih tertumpu kepada kesempurnaan dan
kerapian penciptaan iaitu perbuatan Tuhan, ilham
ahli sufi pula tertumpu kepada keelokan dan
kesempurnaan sifat Tuhan yang menciptakan
segala kesempurnaan dan keelokan itu. Ilham
ahli falsafah melahirkan rasa kekaguman
terhadap Pencipta sementara ilham ahli sufi pula
melahirkan rasa kehampiran dan keasyikan
terhadap Pencipta Yang Maha Indah lagi Maha
Sempurna. Ilham sufi bukan sekadar melahirkan
pengakuan dan keasyikan terhadap Yang Maha
Mencipta dan Maha Mengatur, malah ahli sufi
juga memperolehi keyakinan tentang
kedudukannya pada taraf kehambaan yang perlu
membuktikan kehambaan itu, tetapi ilham sufi
tidak mampu membuka rahsia ketuhanan dan
tidak berupaya membentuk cara pengabdian
kepada Tuhan sebagaimana yang dikehendaki
oleh Tuhan.
Fitrah tidak mengaku kalah pada tahap ilham. Ia
maju lagi meneroka lebih tinggi dengan
menggunakan bakatnya yang ke tiga iaitu kasyaf.
Kasyaf adalah terbukanya perkara ghaib kepada
alam perasaan dan penyaksian mata hati. Apa
yang difikirkan dan ditemui melalui ilham dapat
dirasakan atau disaksikan melalui kasyaf. Bidang
kasyaf membuka perkara yang tersembunyi
disebalik yang nyata dan juga membuka bidang
alam ghaib yang tidak dapat dipandang dengan
mata, tidak dapat difikirkan dan dikhayalkan dan
terkeluar dari medan logik. Bidang kasyaf
memungkinkan seseorang memperolehi
pengetahuan tentang alam rohani seperti Alam
Jin, Alam Barzakh, syurga dan neraka. Kasyaf
boleh meneroka lebih jauh kepada suasana yang
dinisbahkan kepada ketuhanan. Suasana
ketuhanan yang dibukakan kepada ahli kasyaf
adalah sebagai perkenalan dari Tuhan kepada
hamba. Oleh kerana Tuhan adalah: “
” maka suasana yang dinisbahkan
kepada ketuhanan atau diibaratkan kepada
Tuhan yang dibukakan kepada ahli kasyaf adalah
dalam bentuk misal, ibarat atau penyifatan.
Suasana misal yang disaksikan itu menanamkan
kefahaman tentang Tuhan yang tidak boleh
dimisalkan.
Pengetahuan yang diperolehi secara fikiran dan
ilham dipanggil makrifat (pengenalan) secara
ilmu. Pengetahuan yang diperolehi secara kasyaf
pula dinamakan makrifat secara zauk atau
penyaksian mata hati. Apabila kasyaf sampai
kepada kemuncak penyaksiannya maka tiada
apa lagi yang dapat disaksikan. Kasyaf pada
tahap ini hanya merasakan dengan penuh yakin
tanpa menyaksikan tentang Wujud Tuhan yang
tanpa misal, tanpa sifat, tanpa ibarat dan tidak
boleh dikatakan apa-apa kerana Allah s.w.t
adalah :
Medan kasyaf yang sangat luas itu diterokai oleh
sufi yang telah membuang segala kepentingan
diri sendiri lantaran kecintaan mereka kepada
Allah s.w.t. Melalui kasyaf, yang paling tinggi
dapat disaksikan adalah suasana atau keadaan
yang dinisbahkan kepada Tuhan tetapi bukanlah
Tuhan. Apabila melepasi tahap penyaksian
kasyaf sampai kepada batasan terakhir iaitu
merasai secara zauk Wujud Tuhan yang tidak
dapat disifatkan dan Dia Maha Esa, tiada
sesuatu beserta-Nya. Kemuncak kasyaf adalah
kejahilan di mana tidak ada lagi bahasa yang
mampu bercerita tentang Tuhan. Ahli kasyaf yang
masuk kepada tahap ini berada dalam suasana
yang dipanggil kehairan-hairanan di mana dia
merasakan telah mengenal Tuhan tetapi tidak
mampu menyingkap pengenalan tersebut. Dia
dikatakan faham tanpa sesuatu kefahaman dan
tahu tanpa sesuatu pengetahuan.
Kasyaf tidak tahu menyebut Allah s.w.t
sebagaimana Dia mahu disebut. Kasyaf tidak
tahu menceritakan Allah s.w.t sebagaimana yang
Dia mahu diceritakan. Kasyaf tidak berupaya
memperkenalkan Allah s.w.t sebagaimana Dia
mahu Diri-Nya dikenali. Kasyaf juga tidak tahu
bentuk pengabdian yang Allah s.w.t mahukan
dari hamba-Nya. Kasyaf tidak dapat mengajar
manusia cara menyembah Allah s.w.t. Jadi,
fitrah manusia dengan segala bakat-bakatnya
tidak dapat membuka Kebenaran Hakiki
mengenai Allah s.w.t. Dalam soal ini fitrah
sampai kepada keadaan mesti tunduk, patuh dan
taat dengan seluruh penyerahan kepada Allah
s.w.t dan menyatakan hajat kepada bimbingan
yang langsung daripada-Nya serta bermohon
agar Dia sendiri membuka Yang Haq itu.
Hanya Allah s.w.t boleh menyatakan apa yang
Dia kehendaki. Hanya Dia yang berhak
menentukan cara pengabdian dan penyembahan
kepada-Nya. Hanya Dia yang mampu
memperkenalkan Diri-Nya sebagaimana yang Dia
mahu. Dalam perkara ini manusia tidak ada
pilihan melainkan berhajat kepada WAHYU yang
datang dari Allah s.w.t sendiri bagi
menghakimkan fikiran, ilham dan kasyaf.
Kebenaran yang dikatakan oleh wahyu itulah
yang kebenaran sejati, yang paling benar, tidak
boleh dicabar oleh fikiran, ilham dan kasyaf.
Tugas fikiran, ilham dan kasyaf adalah
membuktikan kebenaran wahyu bukan mencari
kebenaran yang lain daripada itu.
Tanpa bimbingan wahyu manusia membentuk
berbagai-bagai kepercayaan dan cara
menyembah Tuhan. Golongan yang hanya
menggunakan akal hanya berminat dengan
perkara kebendaan. Golongan ini kurang
berminat tentang Tuhan. Dari kalangan mereka
muncul puak ateis yang tidak percaya kepada
Tuhan dan perkara ghaib. Dari kalangan ahli
falsafah pula muncul ideologi idealisma yang
kemudiannya diterima oleh orang ramai sebagai
agama. Agama yang muncul melalui cara ini
berasaskan fitrah kemanusiaan semata-mata.
Golongan ini melihat kesempurnaan yang
diletakkan oleh Pencipta kepada kejadian alam
tetapi keadaan Pencipta itu sendiri tertutup
kepada mereka. Oleh yang demikian perhatian
mereka kuat tertuju kepada kejadian alam.
Apabila sikap menghormati dan mencintai anasir
alam sudah berlebihan ia bertukar menjadi
penyembahan. Kesudahannya muncullah agama
yang mengadakan anasir alam sebagai sekutu
Tuhan. Golongan sufi yang belum matang pula
mendapat gambaran yang tidak tepat tentang
Tuhan. Di dalam golongan ini bukan sahaja
terdapat kaum Muslimin yang memasuki jalan
sufi, ia termasuk juga penganut kepercayaan lain
yang membuat latihan tarekat menurut
kepercayaan mereka. Bila alam ghaib terbuka
kepada mereka, biasanya di samping melihat
kesempurnaan sifat Tuhan mereka juga melihat
kesempurnaan diri sendiri yang ditempa oleh
Tuhan. Sebahagian daripada mereka terdorong
ke dalam rasa takjub dan taasub terhadap
kesempurnaan diri, lalu melihat sifat ketuhanan
pada diri. Dari golongan mereka muncullah puak
yang mempertuhankan Isa al-Masih, Uzair,
Buddha dan lain-lain. Ada pula yang
mempertuhankan diri sendiri. Banyak lagi
kekeliruan yang muncul dalam akidah manusia
apabila mereka tidak bersandar kepada wahyu.
Kebenaran yang sejati tentang Tuhan dan cara
menyembah-Nya hanya boleh didapati daripada
wahyu.
Bangsa manusia telah memilih seorang wakil
yang paling sempurna dari kalangan mereka,
seorang insan yang paling tinggi kecerdasan
akalnya, paling luas medan ilhamnya dan paling
terang suluhan kasyafnya. Wakil yang sempurna
itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum
wahyu datang wakil yang sempurna itu telah
menjalani latihan khalwat di Gua Hiraa. Melalui
proses tersebut kesempurnaan baginda s.a.w
menjadi lebih sempurna tetapi kesempurnaan
yang paling sempurna itu pun tetap tunduk
kepada hukum Allah s.w.t iaitu berhajat kepada
jawapan dan bimbingan yang langsung daripada-
Nya, tidak mampu diteka oleh akal, tidak mampu
dihurai oleh ilham dan tidak mampu disuluh oleh
kasyaf walaupun kesemua bakat-bakat tersebut
berada di dalam kesempurnaan. Apabila Allah
s.w.t mendatangkan jawapan dengan wahyu-Nya
baharulah hilang segala kesamaran dan
kekusutan dan tersingkaplah hijab yang menutupi
Yang Haq! Fikiran, ilham dan kasyaf wajib akur
dengan apa yang wahyu kata kerana wahyu
itulah Kalam al-Hak. Pada tanggal 17 Ramadan,
tahun 41 dari usia Nabi Muhammad s.a.w,
wahyu yang pertama menyinari fitrah suci
baginda s.a.w. Terbukalah era baharu di dalam
kehidupan manusia dan penduduk seluruh alam.
Yang samar telah terang. Yang tertutup telah
terbuka. Yang terhijab telah tersingkap. Yang
tidak boleh diperkatakan sudah boleh
diperkatakan. Yang Haq telah nyata tanpa ragu-
ragu lagi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar