Kamis, 24 Oktober 2013

BANGUNAN ALAM MAKHLUK


1: ALAM SYAHADAH
Alam keseluruhannya dinamakan alam kejadian
atau alam makhluk atau segala sesuatu yang
Allah ciptakan daripada yang sekecil-kecilnya
hinggalah ke sebesar-besarnya. Makhluk
kejadian Allah boleh dibahagikan kepada tiga
peringkat alam.
1: Alam Syahadah
2: Alam Misal
3: Alam Arwah.
Alam Syahadah adalah benda dalam erti kata
yang luas. Jangan menyangka sesuatu yang
jauh dan tidak dapat dipandang dengan mata
kasar itu sebagai bukan benda. Jika bintang
merupakan benda yang paling jauh kelihatan
pada pandangan kita, yang lebih jauh daripada
bintang dan tidak dapat dipandang juga
termasuk dalam kumpulan kebendaan. Benda
atau jisim boleh dibahagikan kepada tiga
kategori:
1: Jisim yang boleh dilihat dan dipegang
2: Jisim tipis yang ditembusi pandangan
(transparent)
3: Jisim halus yang ghaib.
Ketiga-tiga jenis jisim tersebut boleh didapati di
dalam Alam Syahadah. Alam Syahadah pula
boleh dibahagikan kepada empat peringkat
alam.
1: Alam Langit Dunia
2: Alam Bumi
3: Alam Langit-langit
4: Alam al-Kursi Yang Agung.
ALAM LANGIT DUNIA
Satu bahagian kecil daripada alam ini ialah
planet bumi di mana tinggal di atasnya makhluk
yang berbangsa manusia. Planet bumi bersama-
sama bulan dan planet-planet yang lain berada
di dalam satu tingkatan alam yang dinamakan
Sistem Matahari. Pada mulanya ahli astronomi
menyangkakan matahari menjadi pusat kepada
alam. Penemuan kemudiannya menunjukkan
matahari hanyalah sebiji bintang di antara jutaan
bintang-bintang. Apabila ilmu astronomi
semakin maju manusia menemui maklumat
bahawa kumpulan bintang-bintang yang sangat
banyak membentuk satu galaxy. Ahli astronomi
membuat anggaran terdapat kira-kira satu ratus
ribu juta bintang dalam galaxy yang ada planet
bumi. Bintang-bintang berpusing mengelilingi
satu pusat yang dipanggil Pusat Sistem Galaxy.
Ahli astronomi membuat kiraan dan mendapati
matahari kita mengambil masa 225 juta tahun
untuk mengelilingi Pusat Sistem Galaxy satu
pusingan.
Di samping galaxy yang terkandung planet bumi
terdapat pula galaxy-galaxy lain. Bintang-
bintang bagi setiap galaxy mengelilingi Pusat
Sistem Galaxy masing-masing. Ada ahli
astronomi membuat kiraan dan menganggarkan
terdapat kira-kira 10 ribu juta galaxy semuanya.
Ukuran di antara bintang-bintang dan galaxy-
galaxy tidak lagi diukur dengan kiraan batu atau
kilometer, tetapi digunakan sukatan tahun
cahaya. Cahaya bergerak selaju 186,000 batu
satu saat. Hasil kiraan ahli astronomi mendapati
jarak matahari kita dengan bintang yang paling
hampir ialah 4 ¼ tahun cahaya.
Tiap galaxy bergerak dengan kelajuan yang
berbeza. Galaxy yang dekat dengan kita lambat
pergerakannya sementara yang lebih jauh lebih
pantas pergerakannya. Pada jarak tertentu
galaxy tidak kelihatan lagi kerana ia sudah lebih
laju daripada cahaya lalu membawa cahayanya
bersama-sama dan tidak mungkin lagi cahaya
tersebut sampai ke bumi. Hasil kiraan ahli
astronomi mendapati jarak di mana galaxy
membawa cahaya bersama-samanya ialah tidak
kurang daripada 13 ribu juta tahun cahaya.
Inilah perbatasan ahli astronomi yang dapat
dicapai melalui bantuan teleskop yang paling
canggih. Kesemua galaxy tersebut berada di
dalam satu alam yang bulat dan mengembang
seumpama belon yang ditiupkan angin ke
dalamnya.
Hasil penemuan melalui teleskop melahirkan
teori-teori untuk menceritakan keadaan galaxy-
galaxy selepas batas teleskop. Timbullah istilah
Group, Metagalaxy, Teragalaxy dan sebagainya,
sehingga sampai kepada yang tanpa batas
(infinity).
Teori-teori tersebut adalah bersifat mungkin dan
agak-agak sahaja. Walaupun bersifat mungkin
dan agak-agak tetapi bila disandarkan kepada
sains dan teknologi manusia umum dapat
menerimanya sebagai kebenaran. Malangnya
teori yang dibuat oleh ahli agama berdasarkan
kitab ilmu alam yang paling jitu yang ‘ditulis’
sendiri oleh Pencipta alam, tidak dapat diterima
umum kerana tidak saintifik. Sains siapa yang
lebih hebat di antara sains yang menghidupkan
orang ‘mati’ dengan memasukkan darah dan
memindahkan organ dengan sains yang
membangkitkan orang yang di dalam kubur
hanya dengan berkata, :”Bangunlah kamu
dengan izin Allah”. Sesungguhnya sains
“Dengan izin Allah” tidak dapat dicabar dan
tidak mungkin dicabar oleh sains manusia buat
selama-lamanya. Oleh itu apabila sains manusia
mengaku kalah berpindahlah kepada sains
“:Dengan izin Allah”. Pasti keterangan yang
lebih lanjut dan jelas dapat diperolehi.
Ahli agama yang mendapat sains “Dengan izin
Allah” dinamakan ahli al-hak, ertinya pakar yang
sebenarnya. Ada juga kalangan masyarakat
menamakan mereka sebagai manusia
kebenaran atau orang kebenaran. Malangnya
pula manusia kebenaran ini dianggap sebagai
orang yang ‘betul bendul’. Tertutuplah rahsianya
sebagai ahli sains yang hakiki dan tidak adalah
orang yang bertanyakan perkara sains
kepadanya.
Penghulu kepada sekalian ahli al-hak, Nabi
Muhamamd .s.a.w, telah menjelajah ke seluruh
alam maya sehingga ke puncak yang paling
tinggi, yang tidak ada lagi alam kejadian
selepas itu. Baginda s.a.w menceritakan apa
yang baginda saksikan. Cerita yang dikhabarkan
oleh Rasulullah s.a.w menjadi pedoman bagi
ahli al-hak yang lain untuk mencungkil rahsia
alam maya, seterusnya membina teori alam
maya berdasarkan keterangan Rasulullah s.a.w
dan penyaksian mereka sendiri. Bertaburanlah
maklumat tentang alam maya yang telah
dikeluarkan oleh manusia-manusia kebenaran
yang tidak pernah mempelajari sains dan tidak
tahu istilah-istilah sains. Mereka menggunakan
istilah mereka sendiri. Timbullah teori bumi
berada di atas tanduk lembu. Lembu pula
berada di atas belakang ikan nun. Lembu
memakan rumput yang tumbuh di atas belakang
ikan. Apabila lembu bergerak berlakulah
kegoncangan di atas bumi. Mendengar teori
yang demikian orang terus menutup telinga,
tidak masuk akal, Israiliyat dan karut. Padahal
teori itu dikeluarkan oleh seorang yang diperakui
ilmunya oleh Rasulullah s.a.w kerana baginda
sendiri mendoakan agar mengurniakannya ilmu
dan kefahaman. Beliau adalah Ibnu Abbas r.a.
Apabila ahli nujum membuat teori mengenai
bintang 12, di antara 12 bintang tersebut ada
dua bintang yang dinamakan lembu dan ikan.
Ada pengaruh mempengaruhi di antara bintang
lembu dengan bintang ikan dan juga bintang-
bintang lain kepada penduduk di atas muka
bumi. Teori ahli nujum tersebut diterima dengan
penuh yakin sehingga boleh dikatakan semua
orang tahu bintangnya masing-masing. Mereka
boleh percaya kepada bintang lembu dan ikan
yang dikatakan oleh ahli nujum tetapi menolak
perkataan ahli kasyaf yang dapat menyaksikan
apa yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Kita kembali kepada Alam Langit Dunia. Kita
mulai dari satu planet yang bernama bumi di
mana kita tinggal di atasnya. Planet yang kita
tinggal ini dinamakan bumi kerana kita
mendiaminya. Jika kita mendiami bulan maka
bulanlah bumi kita. Jika kita mendiami matahari
maka mataharilah bumi kita. Jadi, maksud bumi
adalah relatif. Yang menjadi identiti bumi ialah
ia berada di dalam satu kerangka. Bagi planet
bumi kita banjaran gunung-gunung menjadi
kerangka. Gunung di atas bulan menjadi
kerangka bulan.
Apabila planet bumi yang kecil ini berada di
dalam satu kumpulan yang mengandungi
berjuta-juta bintang ia dinamakan galaxy.
Terdapat banyak galaxy sehingga sampai
kepada satu peringkat semua galaxy tersebut
berada di dalam satu kerangka. Seperti di
planet bumi kerangka galaxy juga dinamakan
gunung. Ia diistilahkan sebagai Gunung Qaf.
Gunung Qaf merupakan satu alam yang luas
yang terdapat di dalamnya banyak galaxy. Di
samping Gunung Qaf yang planet bumi ada di
dalamnya terdapat enam Gunung Qaf yang lain.
Jumlah Gunung Qaf semuanya adalah tujuh.
Tujuh Gunung Qaf itu berada atau terapung-
apung di dalam ruang angkasa yang luas yang
dikelilingi oleh satu bulatan yang dinamakan
Langit Dunia atau Langit Rendah atau Langit
Pertama.
Apabila planet bumi sudah menjadi terlalu kecil
dibandingkan dengan kewujudan yang lain,
konsep bumi itu pun berubah. Pada peringkat
ini satu alam di dalam satu Gunung Qaf
dinamakan satu bumi. Tujuh Gunung Qaf
menjadi tujuh bumi. Terdapat tujuh bumi yang
dilengkungi oleh Langit Dunia. Seluruh alam di
dalam Langit Dunia ini dinamakan Alam al-Mulk.
Jika istilah Alam al-Mulk dirasakan tidak sesuai
maka boleh juga digunakan istilah Universe.
Begitulah keadaan Universe yang digambarkan
oleh ahli al-hak berdasarkan penyaksian mata
hati mereka.
ALAM BUMI
Langit Dunia, iaitu langit pertama merupakan
permulaan Alam Malakut Bawah yang
dinamakan juga Alam Barzakh, tempat roh yang
meninggalkan jasad berhenti sementara
menunggu ditiup sangkakala. Langit Dunia
dengan segala isinya menjadi satu alam kecil
terapung di dalam ruang angkasa alam Langit
Kedua. Begitulah keadaannya sehinggalah
sampai ke alam Langit Ketujuh.
Selepas Langit Ketujuh terdapat satu tingkat
Alam Ghaib, bukan lagi Alam Syahadah. Alam
Ghaib ini terdiri daripada benda juga Cuma ia
ghaib daripada pancaindera. Bahagian pertama
daripada Alam Ghaib ini dinamakan Sidratul
Muntaha. Sidrat bermakna pokok bidara dan
muntaha bermakna yang penghabisan. Sidratul
Muntaha bermakna pokok bidara yang
penghabisan. Ia merupakan satu tingkat alam
yang menjadi perbatasan, tempat berhenti
perjalanan dan ilmu makhluk yang dari alam
atas dengan alam bawah. Apa sahaja yang
datang dari bawah terhenti di Sidratul Muntaha
dan apa sahaja yang turun dari atas juga
terhenti di Sidratul Muntaha. Hanya yang
mendapat keizinan dapat menyeberangi
perbatasan ini.
Peristiwa mikraj menceritakan, “Kemudian
baginda s.a.w sampai ke langit ke tujuh…tiba-
tiba didapatinya Nabi Ibrahim a.s…Kemudian
aku (Nabi Muhamamd s.a.w diangkat ke
Sidratul Muntaha. Tiba-tiba kelihatan buahnya
seperti tempayan dan daunnya seperti telinga
gajah”.
Pada planet bumi kita ada pulau-pulau seperti
tempayan dan semenanjung seperti telinga
gajah. Alam Sidratul Muntaha juga mempunyai
ciri-ciri yang demikian.
Pada bahagian tengah Sidratul Muntaha
terdapatlah Baitul Makmur yang menjadi pusat
pentadbiran alam bawah. Di bahagian atas
Sidratul Muntaha terdapat satu lagi bahagian
Alam Ghaib yang dinamakan al-Kursi berbentuk
empat persegi. Seluruh alam maya yang
diperkatakan hingga kini berada di dalam ruang
alam al-Kursi yang ghaib ini. Al-Kursi pula
menjadi alam yang kecil di dalam ruang alam
Arasy ar-Rahman, yang masih lagi di dalam
peringkat Alam Ghaib. Di bawah daripada Arasy
ar-Rahman terdapat satu kumpulan syurga tujuh
tingkat: Darul Jalal, Darussalam, Jannatul
Ma’wa, Jannatul Khuldi, Jannatul Na’im,
Jannatul Firdaus dan Jannatul ‘Adn.
Di kanan Arasy ar-Rahman terdapat pula
sempadan yang memisahkan alam yang di
atasnya dengan alam yang di bawahnya,
dinamakan Sidratul Muntaha kedua. Arasy ar-
Rahman dan Sidratul Muntaha kedua berada di
dalam ruang angkasa bulatan Alam Syahadah
semula yang dinamakan al-Mastawa. Al-
Mastawa bukan lagi Alam Ghaib tetapi alam
nyata. Pada keliling permukaan al-Mastawa
terdapat Loh Mahfuz yang padanya al-Qalam
menulis perintah Allah.
Al-Mastawa dengan segala isi kandungannya
berada dalam satu bulatan alam yang juga Alam
Syahadah, yang dinamakan Bumi Rendah atau
Bumi Pertama. Alam Bumi Pertama ini
dikelilingi oleh tiga lapisan alam. Lapisan
pertama dinamakan Alam Laut. Lapisan Kedua
dinamakan Alam Angin. Lapisan ketiga
dinamakan Alam Kegelapan. Semuanya berada
di dalam ruang angkasa Bumi Kedua. Bumi
Kedua berada di dalam ruang angkasa Bumi
Ketiga dan Begitulah seterusnya hingga ke
Bumi Ketujuh.
Semua peringkat alam sehingga alam Bumi
Ketujuh berada di dalam ruang angkasa bulatan
alam yang dinamakan Alam Gunung Kemurkaan.
Alam Gunung Kemurkaan berada di dalam
bulatan alam yang dinamakan Alam Lautan
Kegelapan. Di dalam Alam Lautan Kegelapan di
bawah Alam Gunung Kemurkaan terdapat an-
Nar atau neraka. Ada tujuh tingkat neraka:
Jahannam, Sa’ir, Luzi, Huthamah, Jahim, Saqar
dan Hawiyah.
Alam Lautan Kegelapan dikelilingi oleh lapisan
alam yang dinamakan Alam Kegelapan. Di
dalamnya terdapat Sijjin, penjara tempat
disimpan roh-roh dan catatan amalan orang-
orang kafir. Mengelilingi Alam Kegelapan ialah
Alam Gunung Pendakian. Alam Gunung
Pendakian dengan segala isinya berada di
dalam kerangka yang dinamakan juga Gunung
Qaf. Semua peringkat alam yang diperkatakan
hingga kini termasuklah Gunung Qaf terakhir ini
diistilahkan sebagai Alam Bumi. Ia masih di
dalam peringkat Alam Malakut Bawah atau Alam
Barzakh.
ALAM LANGIT-LANGIT
Alam Bumi bergerak pada satu lakaran
mengelilingi satu pusat yang dinamakan Kalbu
Langit-langit. Selepas lakaran pusingan Alam
Bumi ada pula tujuh lakaran lain, menjadikan
lapan lakaran semuanya. Pada lakaran pertama
hanya Alam Bumi berpusing mengelilingi Kalbu
Langit-langit. Pada lakaran kedua terdapat
70,000 bulatan alam-alam mengelilingi Kalbu
Langit-langit. Begitu juga pada lakaran ketiga
sehingga lakaran ke lapan. Bulatan alam pada
tujuh lakaran selepas lakaran Alam Bumi
tersebut dinamakan Alam Langit-langit tujuh
lapis. Alam Langit-langit ini sangat indah dan
menjadi syurga Barzakh yang sekarang didiami
oleh para malaikat. Ini adalah kumpulan syurga
yang kedua, jua mempunyai tujuh tingkat dan
memakai nama yang sama seperti syurga
kumpulan pertama.
Selepas lakaran pusingan Alam Langit-langit
ada satu lagi lakaran yang ke sembilan. Pada
lakaran yang ke sembilan ini terdapat dua belas
buah bulatan alam yang juga mengelilingi Kalbu
Langit-langit. Alam yang dua belas ini
dinamakan Buruj Alam Atas. Dan diberi nama
mengikut lambang malaikat yang memerintah
pada setiap alam tersebut: biri-biri, lembu,
kembar dua, ketam, singa, gadis, neraka, busur
panah, kambing, timba dan ikan. Begitulah
nama 12 Buruj Alam Atas.
Sebenarnya terdapat juga Buruj Alam Bawah,
iaitu bintang-bintang tertentu dalam Langit
Dunia yang menjadi tempat pengawalan
malaikat, menjaga supaya tidak ada syaitan
yang dapat naik ke atas untuk mencuri
maklumat dari alam atas. Mana-mana syaitan
cuba menceroboh akan dipanah dengan panah
api. Buruj Alam Atas pula bukanlah bintang
tetapi adalah 12 buah alam yang sangat luas.
Planet bumi tempat kita tinggal ini apabila ia
berpusing satu pusingan pada paksinya
terjadilah satu hari. Apabila ia berpusing satu
pusingan mengelilingi matahari terjadilah satu
tahun matahari. Alam Bumi yang besar di dalam
Alam Barzakh itu apabila berpusing satu
pusingan di atas paksinya satu hari Alam Bumi
yang dinamakan Hari Allah, bersamaan dengan
satu ribu tahun matahari.
“Dan satu hari di sisi Tuhan kamu adalah seribu
tahun mengikut hitungan kamu”. (Surah al-Hajj,
ayat 47).
Ukuran kelajuan pada peringkat ini bukan lagi
kelajuan cahaya tetapi kelajuan malaikat, nur
yang jauh lebih seni daripada sebarang cahaya
yang diketahui.
“”Malaikat dan roh naik kepada-Nya pada satu
hari yang kadar ukurannya lima puluh ribu
tahun”. (Surah al-Ma’arij, ayat 4).
Satu hari perjalanan malaikat bersamaan lima
puluh ribu tahun matahari.
Kalbu Langit-langit memancarkan nur keseluruh
alam-alam di sekelilingnya. Nur yang
dipancarkan itu adalah ilmu Allah. Malaikat
katibun menerima pancaran tersebut dan
menulisnya di Loh Mahfuz dalam Alam Bumi.
AL-KURSI YANG AGUNG
Semua alam-alam yang diperkatakan sehingga
ini berada di dalam ruang angkasa al-Kursi al-
A’dzam (al-Kursi Yang Agung), yang menjadi
batas terakhir Alam Syahadah. Alam selepas al-
Kursi Yang Agung ini adalah Alam Ghaib yang
dinamakan Alam Misal.
2: ALAM MISAL
Alam Syahadah yang berbataskan al-Kursi Yang
Agung dengan segala isinya berada di dalam
ruang angkasa Alam Ghaib yang dinamakan al-
Arasy al-Majid (al-Arasy Yang Megah), yang
sudah termasuk dalam peringkat Alam Misal.
Rasulullah s.a.w memberi gambaran tentang
keluasan al-Arasy al-Majid, “Hai Abu Zar. Langit
yang tujuh dan bumi yang tujuh di sisi al-Kursi
hanya seumpama sebentuk cincin di atas
padang pasir luas, dan al-Kursi di sisi al-Arasy
hanya seumpama sebentuk cincin di atas
padang pasir yang luas pula. Lebihnya al-Arasy
daripada al-Kursi seperti lebihnya padang pasir
yang luas daripada sebentuk cincin tersebut”.
Di bawah al-Arasy al-Majid terdapat pula
sempadan yang memisahkan makhluk alam
bawah daripada makhluk alam atas. Sempadan
ini dinamakan Sidratul Muntaha ke tiga. Al-
Arasy al-Majid mempunyai 18,000 tiang. Di sisi
tiap-tiap tiang terdapat gugusan alam-alam
yang merupakan syurga kumpulan ke tiga.
Syurga kumpulan ini dinamakan Jannatul
Firdaus Atas. Ia merupakan salah satu syurga
yang tidak binasa bila berlaku kiamat. Syurga
Jannatul Firdaus Atas menjadi sempadan
terakhir Alam Barzakh atau Alam Malakut
Bawah. Al-Arasy al-Majid yang di dalamnya
terkandung Alam Barzakh, sudah termasuk di
dalam peringkat Alam Malakut Atas.
Al-Arasy al-Majid mengelilingi satu pusat, pada
satu lakaran. Pusat yang dikelilingi oleh al-Arasy
al-Majid ini dinamakan Kalbu Alam. Lakaran
pusingan al-Arasy al-Majid merupakan salah
satu daripada seribu lakaran. Pada setiap
lakaran itu terdapat satu buah alam yang
besarnya lebih kurang sebesar al-Arasy al-
Majid. Jadi, terdapat seribu alam-alam
mengelilingi Kalbu Alam. Alam-alam tersebut
dinamakan alam Arasy-arasy. Kalbu Alam
menjadi pusat dan menguasai Arasy-arasy
tersebut.
Al-Arasy al-Majid sama dengan Arasy-arasy
yang lain terletak di dalam ruang angkasa alam
yang dinamakan Alam Hijab. Alam Hijab yang
mengandungi Arasy-arasy ini berada di dalam
peringkat Alam Hijab yang lain pula, berlapis-
lapis sehingga 70,000 lapis bagi satu peringkat
Alam Hijab yang dinamakan Hijab Nur Putih.
Kemudian ia diikuti oleh peringkat Alam Hijab
yang lain, hinggalah kepada beberapa
peringkat. Setiap peringkat mengandungi 70,000
lapisan Hijab. Peringkat terakhir dinamakan
Hijab Ketunggalan, yang juga terdiri daripada
70,000 lapisan. Peringkat Hijab Ketunggalan
berakhir dengan lapisan Hijab yang dinamakan
Hijab Hamparan Emas.
Alam-alam bermula daripada al-Arasy al-Majid
hingga ke lapisan Hijab Hamparan Emas
merupakan syurga yang dinamakan Iliyyun. Ia
juga terdiri daripada tujuh tingkat seperti
syurga-syurga yang lain. Di Iliyyun inilah
disimpan catatan amalan orang-orang yang
beriman yang baik-baik.
Di atas permukaan Hijab Hamparan Emas
terdapat umbi bagi Sidratul Muntaha ke empat.
Seluruh alam yang dinyatakan sehingga ini
berada di dalam ruang alam yang dinamakan al-
Arasy al-Karim (al-Arasy yang mulia). Ia menjadi
batasan terakhir Alam Misal.
Manusia yang berada dalam Alam Syahadah di
planet bumi, lebih-lebih lagi yang terkongkong
dengan alam jasad, hanya memandang kepada
yang zahir atau nyata sahaja. Akal fikirannya
sukar menggambarkan betapa seninya jisim
pada Alam Misal. Tetapi bagi seorang insan
yang tinggi makamnya di sisi Allah dapat masuk
ke dalam Alam Misal dan melihat keadaan di
dalam alam tersebut, dan mendapati Alam Misal
adalah satu alam yang boleh disaksikan dan
dirasa, seperti Alam Syahadah juga. Apa yang
ghaib itu apabila dibukakan ia menjadi nyata
dan boleh berinteraksi dengannya. Jika ada
kerusi di dalam alam ghaib itu maka kerusi
tersebut boleh diduduki. Jika ada buah-buahan
di sana maka buah-buahan tersebut boleh
dimakan. Begitu juga air yang ada di sana.
Jisim tipis dalam Alam Misal dipanggil an-Nuur.
Jisim bersifat nuur adalah jisim yang sangat
murni. Ia juga merupakan benda-benda seperti
benda-benda yang ada dalam Alam Syahadah.
Ada yang bercahaya menyilaukan pandangan,
ada yang cair seperti air dan ada yang padat
seperti tanah dan logam. Tetapi ia lebih murni,
lebih indah dan lebih ajaib daripada apa yang
ada dalam Alam Syahadah.
3: ALAM ARWAH
Peringkat terakhir Alam Misal ialah al-Arasy al-
Karim, selepasnya bermula pula Alam Arwah
(Alam Roh). Pada Alam Arwah terdapat juga
alam-alam Hijab. Seluruh al-Arasy al-Karim
bersama-sama segala isi kandungannya berada
di dalam bulatan sejenis Alam Hijab yang lebih
ghaib dan lebih seni. Ada beberapa peringkat
Alam Hijab dalam Alam Arwah. Setiap peringkat
ada 7,000 lapis Hijab. Lapisan pertama
daripada Alam Hijab itu dinamakan Hijab
Permata.
Hadis mengenai mikraj menceritakan, “Hingga
aku sampai pada Hamparan Emas. Kemudian
aku maju lagi bersama malaikat wakil Hijab
Hamparan Emas terus ke Hijab Permata, lalu
mengetuk-ngetuknya. Berkata malaikat di
belakang Hijab, ‘Siapa ini?’ Ia menjawab, ‘Tuan
punya Hijab Hamparan Emas dan ini
Muhammad Rasul Rabbil ‘Izzati’. Berkata
malaikat itu, ‘Allahu Akbar!’ Ia pun
menghulurkan tangannya dari bawah Hijab dan
meletakkan daku di hadapannya. Begitulah
keadaannya dari satu Hijab kepada Hijab yang
lain hingga aku melampaui 70,000 Hijab, tebal
tiap-tiap Hijab 500 tahun”.
“Maka meluncurlah bersamaku malaikat itu
lebih cepat dari sekelip mata hingga sampai ke
Hijab Permata. Ia mengetuk pintu Hijab. Berkata
malaikat dari sebalik Hijab, ‘Siapa ini?’ Ia
berkata, ‘Saya tuan punya Hamparan Emas. Ini
Muhamamd Rasul al-‘Arabi bersamaku.’ Berkata
malaikat itu, ‘Allahu Akbar!’ Lalu ia
mengeluarkan tangannya dari bawah Hijab
hingga dia meletakkan daku dihadapannya.
Begitulah keadaannya dari satu Hijab kepada
Hijab yang lain. Tiap-tiap satu Hijab
perjalanannya lima ratus tahun dan di antara
satu Hijab dengan Hijab yang lain lima ratus
tahun”.
Semua lapisan Alam Hijab bermula selepas al-
Arasy al-Karim merupakan syurga-syurga yang
dipanggil secara tunggal dengan nama Darul
Khulud, negeri yang abadi. Ia juga mengandungi
tujuh tingkat dengan tujuh nama seperti syurga-
syurga yang lain. Jannatul ‘And merupakan
syurga yang paling tinggi, paling besar dan
paling indah. Di dalamnya ada Syajaratul Thubi,
pokok thubi, yang terdapat padanya satu syurga
yang menjadi induk bagi semua syurga,
dinamakan Darul Qarar, negeri ketetapan.
Di atas Jannatul ‘And adalah al-Arasy
al-‘Adzim, arasy yang besar. Ia dinamakan juga
al-Arasy al-Muhith, arasy yang meliputi,
maksudnya meliputi seluruh alam makhluk. Al-
Arasy al-‘Adzim merupakan bulatan terakhir
atau kerangka yang paling luar bagi seluruh
alam kejadian, alam makhluk atau apa sahaja
yang Allah ciptakan. Al-Arasy al-‘Adzim
mengandungi 70 juta lapisan kulit-kulit yang di
antara satu kulit dengan kulit yang lain terdapat
ruang angkasa. Al-Arasy al-‘Adzim dijadikan
daripada nuur, jisim yang bersifat nurani, lagi
seni dan tinggi. Hadis menceritakan tentang
nuur al-Arasy al-’Adzim, “Diliputi pada tiap-tiap
hari oleh seribu warna dari nuur”.
“(Diliputi) 70,000 warna dari nuur, tiada dapat
dipandang kepadanya oleh seorang pun dari
makhluk”.
“Nuur al-Arasy al-‘Adzim kalau dizahirkan
kepada penduduk dunia ini dan (dalam
keadaan) ia telah merendahkan diri (kepada
Allah) nescaya lemah cahaya matahari
bersamanya sebagaimana lemah cahaya pelita
bersamanya (cahaya matahari) dan lebih kurang
lagi”.
Meskipun nuur al-Arasy al-‘Adzim itu sangat
kuat namun, orang yang mencapai makam yang
tinggi pada sisi Allah dapat mendekatinya tanpa
terjadi apa-apa dan mendapatinya suatu jisim
alam yang sangat indah, tiada bandingannya.
Di bawah al-Arasy al-‘Adzim ada pula Loh
Mahfuz yang kedua. Catatan yang tertulis di sini
diambil oleh malaikat dan diturunkan kepada
Kalbu Alam yang kemudian memancarkannya
kepada Alam-alam Arasy, termasuklah al-Arasy
al-Majid. Dari al-Arasy al-Majid ia diturunkan
pula kepada Kalbu Langit-langit yang
kemudiannya dipancarkan kepada Alam Langit-
langit termasuklah Alam bumi di dalam Alam
Barzakh. Begitulah salah satu cara perintah
Tuhan turun seperingkat demi peringkat hingga
sampai kepada masing-masing yang telah
ditentukan.
Di bahagian atas al-Arasy al-‘Adzim yang paling
luar dan paling tinggi terdapat satu alam yang
besar dan indah dinamakan Qubah. Ia
merupakan tempat yang paling tinggi dalam
seluruh alam makhluk. Qubah ini merupakan
syurga yang lebih indah daripada syurga-syurga
yang lain. Ia juga terdiri daripada tujuh peringkat
syurga seperti syurga-syurga yang lain.
Di dalam alam Qubah yang besar ini, pada
bahagian yang paling atas, terdapat satu Qubah
yang lebih kecil yang terdiri dari Permata Putih,
berupa seperti sebuah mahligai yang besar
terapung di ruang angkasa Qubah besar. Qubah
Permata Putih ini merupakan tempat terakhir
perjalanan mikraj Rasulullah s.a.w.
Qubah besar menjadi pusat pentadbiran alam di
bawahnya sebagaimana Baitul Makmur menjadi
pusat pentadbiran alam yang lebih bawah.
Qubah yang kecil pula menjadi inti atau istana
bagi Qubah besar.
Apabila dilihat kepada keseluruhan alam
makhluk maka bahagian yang ada Qubah itu
diisyaratkan sebagai bahagian atas. Jika
dibandingkan dengan sebiji buah maka Qubah
itu adalah umpama tampuk yang
menentukannya sebagai bahagian atas dan
lawannya sebagai bahagian bawah.
Hingga kepada al-Arasy al-‘Adzim yang terdiri
daripada 70 juta lapisan dengan Qubah di
bahagian atasnya, maka tamatlah perbicaraan
mengenai Alam Malakut Atas dan berakhir juga
ilmu manusia tentang alam. Al-Arasy al-‘Adzim
itulah kerangka alam. Ia adalah sebesar-besar
makhluk. Seluruh alam atau kejadian yang
Tuhan jadikan berada di dalamnya. Sekaliannya
dinamakan Alam sahaja, atau dinamakan juga
Alam Kejadian atau Alam Makhluk atau A’yan
Luar atau al-Mumkinat (segala yang mungkin)
atau Alam Yang Baharu atau Yang Selain Allah.
Semuanya menggambarkan apa yang termasuk
di dalam kalimah “KUN” (jadilah kamu).
Jisim dalam Alam Arwah bersifat latif atau halus
atau murni atau terlebih ghaib. Insan yang tinggi
makamnya pada sisi Allah memasuki alam yang
terlebih ghaib ini dan mendapati alam ini sama
seperti Alam Syahadah juga, berjisim dan
berbentuk benda dalam bebagai-bagai keadaan
yang boleh disaksikan dan dirasa. Jadi, seluruh
alam, iaitu Alam Syahadah, Alam Misal dan
Alam Arwah merupakan alam benda yang jika
diizinkan boleh disaksikan samada dengan
pancaindera ataupun dengan hati. Hati insan
bersifat nurani, sama seperti sifat Alam Malakut.
Kekuatan pancaran nuurnya boleh menembusi
tujuh petala langit dan tujuh petala bumi untuk
menyaksikan dan memperolehi makrifat tentang
Alam Makhluk atau Alam Kejadian.
“Orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah
untuk menerima Islam lalu ia beroleh nuur dari
Tuhannya”. (Surah az-Zumar, ayat 22).
“Allah jualah nuur bagi semua langit dan bumi”.
(Surah an-Nuur, ayat 35).
“Perumpamaan nuur-Nya seperti sebuah lubang
di dinding di dalamnya mengandungi pelita.
Pelita itu berada di dalam kaca. Kaca itu
bagaikan bintang berkilau-kilauan. Dinyalakan
dari pohon kayu yang berkat iaitu minyak zaitun
yang bukan dari timur dan bukan dari barat.
Hampir minyaknya mengeluarkan cahaya
dengan sendirinya biarpun tidak disentuh api”.
(Surah an-Nuur, ayat 35).
“Nuur di atas nuur”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Dipimpin Allah kepada nuur-Nya bagi siapa
yang dikehendaki-Nya”. (Surah an-Nuur, ayat
35).
PENUTUP
Bagaimana ahli al-kasyaf menyaksikan alam
yang begitu luas dan jauh? Adakah dia perlu
menaiki sejenis kenderaan dan terbang ke
seluruh alam maya untuk menyaksikannya?
Nabi Muhamamd s.a.w telah menaiki boraq dan
mengembara ke seluruh alam di bawah
bumbung Langit Dunia (Langit Pertama).
Kemudian baginda s.a.w mikraj menggunakan
tangga yang dihulurkan dari alam atas
seumpama lif yang dibawa turun dari tingkat
atas. Tetapi boraq hanya untuk kegunaan nabi-
nabi tidak bagi manusia biasa, walaupun
seorang yang kasyaf. Namun, Allah s.w.t
mempunyai caranya sendiri untuk
memperlihatkan alam ciptaan-Nya kepada
sesiapa yang Dia kehendaki.
Cuba kamu pandang kepada sebuah bangunan.
Kamu dapat melihat bangunan tersebut kerana
ada cahaya dari sumber cahaya iaitu matahari.
Cahaya matahari menerpa ke arah bangunan itu
lalu membawa seluruh bangunan tersebut
kepada mata kamu. Mata kamu juga bercahaya
sebagai persediaan untuk menerima pancaran
cahaya matahari yang datang. Jika mata kamu
terpejam atau berselaput tidak mungkin cahaya
matahari boleh memasukinya. Pertemuan
cahaya matahari dari atas dengan cahaya mata
di bawah melahirkan gambar pada belakang
bola mata kamu. Gambar yang tertera pada
skrin bola mata kamu itu dalam keadaan
terbalik. Otak berperanan membetulkannya
kembali. Otak boleh berfungsi sebagai kesan
aktiviti akal. Akallah yang melihat bangunan
tersebut. Seluruh bangunan yang begitu besar
boleh masuk ke dalam akal kamu.
Andainya kamu berada di tempat yang tinggi
dan pandangan kamu cukup kuat maka kamu
boleh melihat seluruh planet bumi berada di
dalam akal kamu. Akal kamu menjadi seperti
satu ruang angkasa yang luas yang memuatkan
planet bumi. Jika kamu berada pada tempat
yang lebih tinggi dan pandangan kamu lebih
kuat kamu akan dapat menyaksikan seluruh
Alam Syahadah. Begitulah keadaannya hingga
kamu dapat melihat seluruh Alam Misal dan
Alam Arwah. Jadilah diri kamu seolah-olah satu
ruang angkasa yang di dalamnya terapung-
apung seluruh alam makhluk.
Jika kamu memandang kepada sebuah
bangunan maka bangunan itu yang datang
kepada kamu bukan kamu yang pergi
kepadanya. Kamu tidak bergerak satu langkah
pun. Begitu juga keadaan ahli al-kasyaf yang
tidak bergerak dari tikar sembahyangnya namun
dia dapat menyaksikan seluruh alam makhluk.
Keadaan ini boleh terjadi kerana Allah jualah
nuur bagi langit dan bumi. Nuur-Nya juga
memancar di dalam kalbu orang mukmin. Nuur
di atas nuur. Nuur dari alam atas membawa
turun seluruh alam kejadian dan dapat
ditangkap oleh nuur di bawah iaitu kalbu orang
mukmin. Jadi, kalbu orang mukmin itu meliputi
seluruh alam makhluk tanpa dia perlu terbang
ke mana-mana.
“Dipimpin Allah kepada nuur-Nya siapa yang
Dia kehendaki”.
“Katakanlah: Roh adalah urusan Tuhanku”.
Urusan Tuhan, inilah makam terakhir seorang
hamba. Tidak ada apa-apa lagi padanya
melainkan urusan Tuhan. Apabila dia sudah
larut di dalam urusan Tuhan maka urusan
Tuhanlah yang memperjalankannya ke seluruh
alam maya hingga terdampar ke Sidratul
Muntaha. Seterusnya memanjat ke Qubah yang
menjadi puncak segala alam kejadian. Tidak
ada apa-apa lagi kecuali:
“ALLAH, RABBIL ‘IZZATI!’
Allah jualah yang memiliki Hijab Yang Teguh.
Selesai perbicaraan mengenai Alam Makhluk.
Semoga saudara-saudara tidak memandang
alam dalam sekop yang sempit sehingga berasa
curiga bagaimana orang kafir boleh pergi ke
bulan yang kononnya sudah termasuk bahagian
alam langit. Semoga perbicaraan ini lebih
membuat saudara mengagumi kebesaran dan
kebijaksanaan Allah menciptakan alam makhluk
ini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar