Selasa, 29 Oktober 2013

34: Perjalanan Menuju Allah


Keadaan hamba yang dipersiapkan untuk
memasuki jalan kerohanian itu sudah sangat
berbeza daripada keadaannya yang asal.
Minatnya kepada orang ramai sudah tidak ada
lagi. Dia tidak memperdulikan lagi televisyen,
radio, surat khabar, talipon, kunjungan sahabat
handai dan lain-lain. Dia lebih suka bersendirian.
Dalam suasana bersendirian itulah dia dibawa
kepada stesen kerohanian yang pertama.
STESEN PERTAMA
Si hamba membetulkan niatnya: “Ilahi!
Engkaulah maksud dan tujuan. Keredaan
Engkau yang daku cari”. Tiada niat lain lagi
baginya. Dia tidak mengharapkan untuk menjadi
wali atau mendapat kekeramatan. Dia tidak
meminta ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Dia
adalah umpama seorang pesalah yang sedang
menanti dengan rela hukuman pancung yang
akan dijatuhkan kepadanya. Dia menyerahkan
‘batang lehernya’ bulat-bulat kepada
‘pancungan’ takdir.
Dalam penyerahan itu si hamba merasakan
hatinya seperti disinari cahaya yang terang, lebih
terang daripada segala cahaya yang ada di
bumi. Dalam suasana hati yang demikian dia
merasakan kewujudan jalinan hubungan yang erat
dengan Kenabian Ibrahim a.s. Rasa kehadiran
Ibrahimiyah membuat si hamba mengenangkan
keluhuran Nabi Ibrahim a.s yang hanif, dengan
kekuatan sabar, reda dan tawakalnya. Ibrahim
a.s meninggalkan isteri yang sarat mengandung
di tempat yang tidak ada penghuni, demi
menjunjung perintah Tuhan. Ibrahim a.s sanggup
mengorbankan anak kesayangan demi
menjunjung perintah Tuhan. Ibrahim a.s
mempunyai kekuatan hati kerana hati beliau a.s
berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
Sewaktu akan dicampakkan ke dalam api
Ibrahim a.s berkata: “Tuhanku melihat
keadaanku. Dia tahu apa yang baik untukku. Dia
tidak akan membiarkan daku”. Api kehilangan
keupayaan membakar apabila berhadapan
dengan kekuatan penyerahan Ibrahim a.s.
Si hamba berdoa kepada Tuhan: “Wahai
Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku sebahagian
daripada apa yang telah Engkau kurniakan
kepada Khalil-Mu, Ibrahim a.s. Kurniakanlah
kepadaku rasa penyerahan yang sebenarnya
kepada-Mu. Perkuatkanlah kesabaranku
menghadapi ujian-Mu. Teguhkan tawakalku
menanti keputusan-Mu. Kurniakanlah kepadaku
keredaan yang sebenarnya dalam menerima
takdir yang datang daripada-Mu, baik atau
buruk”.
Hati si hamba sentiasa memanggil Tuhannya: “Ya
Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!”
Inilah hamba-Mu yang berdiri kerana menjunjung
perintah-Mu. Inilah hamba-Mu yang rukuk kerana
memuji dan memuja-Mu. Inilah hamba-Mu yang
sujud kerana mengharapkan Wajah-Mu. Wahai
Tuhanku. Janganlah Engkau jadikan kejahilan dan
kedaifanku sebagai hujah untuk Engkau tidak
menerima kedatanganku”.
Kemudian didatangkan kecenderungan membaca
al-Quran kepada hati si hamba. Si hamba
memulakannya dengan membaca Surah al-
Hadiid, Surah yang ke lima puluh tujuh. Dia
membacanya dengan penuh penghayatan dan
memahami maksudnya. Surah ini mengajar
manusia supaya sanggup berkorban kerana Allah
s.w.t demi menegakkan kebenaran. Diterangkan
bahawa kehidupan di dalam dunia ini adalah
perjuangan di antara yang benar dengan yang
salah. Orang yang beriman kepada Allah s.w.t,
Rasul-Nya dan hari akhirat mestilah
mempertahankan keyakinan yang benar dan apa
sahaja yang benar. Surah ini juga
memperingatkan bahawa mengenakan tipu daya
kepada manusia. Manusia mestilah sedar
bahawa dunia dengan segala kemewahannya
tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan
perjuangan pada jalan Allah s.w.t. Manusia
digesa supaya mengejar nikmat yang ada pada
sisi Allah s.w.t, disediakan untuk orang yang
bertaubat dan bertakwa. Manusia juga
diperingatkan supaya bersabar menerima ujian
daripada Allah s.w.t. Ia mengajar manusia
supaya beriman kepada Qadak dan Qadar.
Tidaklah mengena satu bencana atas bumi dan
tidak pula pada diri kamu melainkan semua itu
sudah tercatit dalam Kitab sebelum Kami
melakukannya. Yang demikian bagi Allah
sangatlah mudah. Allah khabarkan demikian
supaya kamu tidak berputus asa terhadap apa
yang telah hilang daripada kamu dan tidak
menyombong dengan apa yang datang kepada
kamu. Dan Allah tidak suka kepada orang yang
menyombong. (Ayat 22 & 23 : Surah al-
Hadiid )
Allah s.w.t menerangkan bahawa segala yang
berlaku adalah menurut takdir yang Dia telah
tentukan. Membuat yang demikian sangatlah
mudah bagi Tuhan kerana Ilmu-Nya meliputi yang
awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin.
Orang yang beriman tidak seharusnya berputus
asa apabila berpisah daripada sesuatu yang dia
sayangi kerana mungkin menurut Ilmu Allah s.w.t
yang demikian baik baginya. Kesusahan dan bala
bencana membuat manusia menjadi sabar, reda,
bertawakal dan bersyukur, lalu dia dibawa
hampir dengan-Nya. Ini jauh lebih baik daripada
apa yang terpisah daripadanya.
Surah al-Hadiid juga memperkenalkan Allah s.w.t
melalui nama-nama-Nya. Nama-nama Tuhan
menjadi jambatan menghubungkan hamba
dengan Tuhan. Jika nama Tuhan ditilik dengan
hati nescaya terlihat apa yang tidak dapat dilihat
oleh mata.
Seterusnya si hamba membaca pula Surah as-
Sajdah, Surah yang ke tiga puluh dua. Surah ini
mengajak manusia memerhatikan hubungan
mereka dengan Pencipta. Tuhan menciptakan
manusia pertama daripada tanah dan keturunan
manusia dikembangkan melalui air mani. Tuhan
sempurnakan ciptaan manusia dengan
pengurniaan kepada mereka roh dan
diperlengkapkan dengan berbagai-bagai bakat
serta keupayaan. Surah ini menceritakan
keadaan orang yang beriman sujud kepada-Nya
apabila mereka diperingatkan dengan-Nya Orang
beriman memisahkan diri mereka daripada
tempat tidur pada malam hari kerana melakukan
ibadat kepada-Nya, memuji dan memuja-Nya
dengan rasa takut dan harap. Manusia diberitahu
bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta, Pengatur
dan Pengurus segala-galanya. Hanya Dia yang
berkuasa memberi pertolongan dan pembelaan.
Dia Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Oleh
itu layaklah jika hamba mengadu dan merayu
kepada-Nya sahaja, tidak kepada yang lain.
Manusia diperingatkan supaya menggunakan
bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan
kepada mereka untuk berbakti kepada-Nya
bukan berbuat maksiat.
Si hamba semakin merasakan keakraban dengan
al-Quran. Dibacanya pula Surah Luqman dengan
penuh penghayatan. Surah ini menceritakan sifat
orang yang beriman seperti yang telah
digambarkan oleh Surah as-Sajdah. Luqman
adalah seorang hamba Allah yang salih. Beliau
banyak bertafakur merenung alam keliling dan
kehidupan di dalamnya. Tuhan bukakan
kepadanya rahsia kehidupan. Beliau dapat
melihat kehidupan ini dengan pandangan
hikmah, kerana itu beliau digelar ahli hikmah.
Ahli hikmah melihat yang tersirat sedangkan
orang lain melihat yang tersurat.
Keseronokan membaca al-Quran berterusan.
Dibacanya pula Surah Yusuf. Surah ini
menceritakan bahawa orang yang memperolehi
hikmah adalah orang yang tahan menanggung
ujian. Ujian merupakan proses penyucian dan
pembentukan jiwa manusia.
Si hamba beralih pula kepada Surah Saba'.
Surah Yusuf menceritakan hamba-Nya yang diuji
dengan kesusahan. Surah Sabaa pula
menceritakan tentang hamba-hamba-Nya yang
diuji dengan kesenangan dan kekuasaan. Nabi
Daud a. s menjadi raja yang sangat luas daerah
kekuasaannya, hinggakan angin dan gunung
ditundukkan kepadanya. Anakandanya, Sulaiman
a.s, mewarisi kekuasaan tersebut. Kekuasaan
Sulaiman a.s ditambah lagi hinggakan haiwan
dan jin tunduk kepadanya. Kerajaan dan
kekuasaan yang begitu luar biasa tidak sedikit
pun menggugat iman Daud a.s dan Sulaiman
a.s.
Si hamba kemudiannya membaca Surah Faatir.
Surah ini menggambarkan dengan indah
bangunan alam maya ciptaan Tuhan. Diceritakan
keharmonian perjalanan anggota-anggota alam.
Manusia yang menggunakan akal fikiran akan
dapat menghayati kerapian ciptaan Tuhan untuk
mereka merasakan kebesaran dan keagungan
Tuhan. Surah Faatir menekankan bahawa segala-
galanya berpusat kepada Kudrat dan Iradat
Tuhan yang tidak terbatas. Semuanya diciptakan
dan diaturkan oleh satu kuasa sahaja, iaitu Allah
Yang Maha Esa. Manusia diciptakan dan
dihantarkan ke bumi. Kemudian dikirimkan
petunjuk supaya manusia dapat menjalankan
urusan dan bertugas sebagai khalifah di bumi.
Mereka diberi peringatan bahawa mereka akan
berhadapan dengan gangguan-gangguan.
Gangguan tersebut memperingatkan mereka
kepada tujuan mereka dihantarkan ke bumi.
Setelah membaca Surah-surah al-Hadiid, as-
Sajdah, Luqman, Yusuf, Saba’ dan Faatir, si
hamba mendapat keinsafan yang mendalam.
Dibacanya pula Surah at-Taubah sebagai
pengakuan bahawa dia bertaubat daripada
segala kesalahan dan kekeliruannya.
Si hamba menghayati tujuh buah Surah daripada
al-Quran. Pembacaan al-Quran kali ini sangat
menyentuh jiwanya. Hatinya berasa terang dan
jelas memandang kepada jalan yang mahu
ditujunya. Tujuan dan matlamatnya untuk
menghampiri Tuhan semakin teguh.
Sesungguhnya membaca al-Quran dalam
suasana kehadiran Hakikat Ibrahimiyah
memperkuatkan tapak kakinya untuk terus
berjalan kepada Tuhan. Tidak ada apa lagi yang
boleh mengalihkan pandangannya daripada
matlamatnya.
Kemudian hatinya dibawa kepada suasana
kehadiran Hakikat Musawiyah. Musa a.s adalah
Kalim Allah, iaitu orang yang Allah s.w.t
bercakap-cakap dengannya. Musa a.s mengerti
tentang Kalam Allah s.w.t yang tidak bersuara
dan berhuruf. Dalam suasana kehadiran
Musawiyah itu si hamba memulakan pembacaan
al-Quran dari permulaannya. Dimulakannya
dengan membaca Surah al-Faatihah, Ibu Kitab,
kunci pembuka keghaiban, cahaya yang terang
benderang menerangi hati nurani. Hati yang
diterangi oleh cahaya al-Faatihah merenung al-
Quran, huruf demi huruf, ayat demi ayat. Al-
Quran dibaca bukan sekadar mengeluarkan bunyi
dan erti-makna malah lebih mendalam daripada
itu al-Quran melahirkan daya rasa yang seni,
yang melampaui apa yang mampu disampaikan
oleh bunyi dan makna. “Jika ada satu Kitab yang
mampu dijalankan gunung-gunung dengannya
atau dibelah bumi dengannya atau dibuat
bercakap orang yang telah mati dengannya,
maka al-Quran adalah Kitab tersebut”. Apabila
hati menghayati maksud ayat ini, maka al-Quran
jualah yang membawa hati kepada jalan yang
lurus, membelahnya untuk diisi dengan kebaikan
dan menghidupkannya untuk memandang kepada
Tuhan. Bacaan al-Quran bertindak seumpama air
sejuk yang enak menyerap ke seluruh rongga
dan ruang. Bacaannya memberi kesan kepada
seluruh diri zahir dan Diri Batin, menyerap ke
seluruh maujud, menjadi darah dan daging,
menjadi cita-cita dan keinginan. nur al-Quran
menghancurkan hijab yang didirikan oleh syaitan,
dunia dan hawa nafsu. Tenaga nur al-Quran akan
menghapuskan apa sahaja yang cuba menawan
hati. nur al-Quran membebaskan hati daripada
segala bentuk perhambaan kepada makhluk dan
menetapkan satu perhambaan sahaja iaitu
perhambaan kepada Allah s.w.t yang tidak
bersekutu dengan-Nya sesuatu apa jua pun. Bila
ruang hati sudah penuh dengan nur al-Quran
baharulah manusia itu benar-benar menjadi
hamba Allah yang sesuai dengan Kalam Allah
s.w.t. Penghayatan bacaan al-Quran tanpa
penyerapan nur al-Quran tidak memadai untuk
membentuk insan al-Quran, seperti generasi
Muslim yang diasuh secara langsung oleh Nabi
Muhammad s.a.w.
Si hamba sampai kepada ayat 54, Surah al-
Baqarah:
Dan (ingatlah) tatkala Musa berkata kepada
kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu
telah menzalimi diri-diri kamu dengan sebab
kamu menyembah anak sapi. Oleh itu minta
ampun kepada Tuhan dan bunuhlah diri-diri
kamu. Yang demikian itu baik bagi kamu pada
sisi Tuhan kamu. Lantas Dia ampunkan kamu
kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun,
Penyayang.” ( Ayat 54 : Surah al-Baqarah )
Hati si hamba disentuh oleh ayat di atas. Bukan
kaum Nabi Musa a.s sahaja yang menzalimi diri
mereka. Manusia lain juga tidak kurang
menzalimi diri sendiri. Mereka juga ‘menyembah
berbagai-bagai anak sapi’ yang dibentuk oleh
hawa nafsu mereka. Musa a.s menyarankan agar
bertaubat dan diri yang zalim itu dibunuh. Si
hamba yang berada dalam suasana kehadiran
Hakikat Musawiyah menyahut seruan ayat 54,
Surah al-Baqarah itu. Si hamba berdiri
menghadap kiblat sambil mengangkat tangannya.
Dia melafazkan dengan penuh kekhusyukan:
Aku bertaubat daripada menzalimi diri
sendiri.
Si hamba mengerti bahawa kezaliman yang
paling besar adalah meletakkan taraf ketuhanan
Allah s.w.t tidak pada kedudukan yang adil dan
meletakkan taraf makhluk melebihi apa yang
sepatutnya. Dia benar-benar ikhlas ‘membunuh’
dirinya yang zalim agar diri yang adil sahaja
tegak berdiri. Si hamba bersyukur kepada Allah
s.w.t kerana memberinya taufik, hidayat dan
kekuatan untuk melakukan taubat yang demikian.
Peristiharan hamba yang ikhlas itu menjadi
kenyataan kepada firman Tuhan:
Dan tidak! Aku bersumpah dengan jiwa yang
selalu menegur dirinya (nafsu lawwamah).
( Ayat 2 : Surah al-Qiyamah )
Nafsu lawwamah adalah diri hamba yang
menginsafi segala kesalahan yang telah
dilakukannya dan benar-benar ingin memperbaiki
diri sendiri.
STESEN KE DUA
Sambil membaca al-Quran si hamba
memperbanyakkan zikir. Dipalukannya zikir itu
kuat-kuat ke dalam lubuk hatinya, seumpama
jentera yang memukul tiang konkrit ke dalam
tanah hingga bergegar tanah di sekelilingnya.
Ucapan zikir bergema di dalam diri. Gemanya
menyelinap ke seluruh ruang diri.
Di dalam suasana kehadiran Hakikat Musawiyah
hati si hamba diperkuatkan bagi melawan anasir
syirik yang cuba menguasai jiwanya. Kemudian
dia berpindah pula kepada suasana kehadiran
Hakikat Isaiyah. Si hamba meneruskan
pembacaan al-Quran dalam suasana yang
baharu ini. Dalam suasana ini hati banyak
memerhatikan urusan taubat. Hati mencari-cari
cara taubat yang lebih baik. Dia mahu
memutuskan dirinya daripada rantai-rantai yang
mungkin boleh mengheretnya semula kepada
kesalahan. Dia mahu menjadi orang yang benar
dengan taubatnya.
Dia terus membaca al-Quran dari satu Surah ke
Surah yang lain dalam suasana hati memohon
keampunan kepada Allah s.w.t, mengharapkan
taubatnya diterima oleh-Nya. Dalam suasana
bertaubat memohon keampunan Allah s.w.t,
dalam kehadiran Hakikat Isaiyah atau dalam
sinaran cahaya kenabian Isa a.s, si hamba
mendapat pengertian bahawa bertaubat bukan
sekadar menyesal dan meninggalkan kesalahan.
Lebih penting daripada itu adalah menyesuaikan
baki hayat yang masih ada dengan al-Quran
secara zahir dan batin. Taubat adalah pintu
kepada al-Quran, bukan sekadar pintu
meninggalkan kesalahan dan dosa. Taubat yang
sebenarnya berlaku di dalam sinaran nur al-
Quran, dalam suasana hati yang sama dengan
hati orang yang sedang mengerjakan
sembahyang dengan khusyuk. Setelah selesai
membaca Surah Maryam sebelum memasuki
daerah Surah Taha, si hamba ‘digerakkan’
supaya meletakkan tangannya ke atas dada al-
Quran, pada muka pertama Surah Taha dan dia
mengucapkan:
Aku bertaubat daripada perbuatan syirik
dan munkar.
Kemudian si hamba menadah tangannya ke
langit dan bermunajat kepada Tuhan: “Wahai
Tuhanku! Engkau Mengetahui kezaliman dan
kejahatan diriku. Jika tidak kepada Engkau
kepada siapa lagi hendakku pohonkan
keampunan. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan
Yang Maha Mengampuni dan Maha Mengasihani.
Ya Allah, ya Tuhanku! Ampuni segala dosa-
dosaku, dosa-dosa kedua ibu-bapaku ,dosa-
dosa isteri dan anak-anakku, dosa-dosa
saudara-saudaraku dan dosa-dosa sekalian
kaum Muslimin dan Muslimat. Sesungguhnya
Engkau jualah yang mengampunkan dosa-dosa
hamba-Mu. Amin!” Si hamba menyapu mukanya
dengan kedua-dua tapak tangannya yang telah
menyentuh al-Quran dan menadah ke langit itu.
Dia merasakan aliran wap sejuk berjalan ke
seluruh tubuhnya. Dia berada dalam keadaan
demikian beberapa ketika.
STESEN KE TIGA
Si hamba meneruskan perjalanannya di dalam
daerah-daerah Surah al-Quran. Hatinya
memasuki suasana kehadiran kenabian Daud a.s.
Nabi Daud a.s telah menerima tanah kepunyaan
Nasuha untuk didirikan masjid. Nasuha yang
pada mulanya enggan menyerahkan tanah
tersebut tetapi kemudian mendapat taufik dan
hidayat daripada Tuhan, lalu dia bertaubat.
Taubat itu dinamakan taubat nasuha, iaitu taubat
orang yang meyakini akan berjumpa dengan
Tuhan dan kembali kepada-Nya. Setelah
menerima tanah Nasuha, bekerjalah Nabi Daud
a.s membina rumah Allah. Si hamba yang telah
benar dengan taubatnya bekerja membina
hatinya untuk menjadi rumah Allah.
Setelah melepasi daerah Surah Muhammad, si
hamba masuk ke dalam daerah Surah al-Fat-h,
sampai kepada ayat ke 29.
Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang
yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan)
berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat
mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan
keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di
muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat
mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil,
sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu
Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan
tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana
Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan
(kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah
janjikan mereka yang beriman dan beramal salih
dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang
besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )
Si hamba membaca ayat di atas dengan
khusyuk. Diulanginya beberapa kali. Kemudian
dia digerakkan supaya menghadap kiblat dan
mengangkat tangannya. Dia mengadakan baiah
(janji setia) dengan sepenuh jiwa raganya:
Daku mengadakan baiah dengan
Rasulullah s.a.w
Tangan kanan yang menyaksikan baiah di atas
diletakkannya ke dada sebelah kiri, berbetulan
dengan kedudukan hati. Sebaik sahaja tapak
tangannya yang menyaksikan baiah itu
menyentuh dadanya dirasakannya seolah-olah
“Muhammad ur-Rasulullah ” menjadi pedang
yang tajam memancung tangkal hatinya.
Pancungan tersebut seumpama petir memanah
ke hatinya. Terlalu kuat pancungan dan panahan
tersebut hinggakan dia terbaring. Dia merasakan
tusukan bisa di dalam hatinya. Dia bermohon
kepada Allah s.w.t agar diberikan kepadanya
kekuatan untuk menahan bisa yang sedang
merobekkan hatinya itu. Pada saat itu
Kaabatullah muncul dalam pandangan mata
hatinya. Dalam penyaksian tersebut hatinya
‘mengucup’ Hajaral Aswad dengan penuh rasa
tawadhuk kepada Allah s.w.t. Baharulah
berkurangan kepedihan yang menikan hatinya.
Pengalaman yang singkat itu membuat si hamba
mengerti kebesaran ucapan kalimah
“Muhammad-ur-Rasulullah.” Ia adalah pedang
kebenaran yang memancung apa sahaja yang
selain Allah s.w.t yang berada di dalam hati. Ia
merobekkan istana iblis yang telah sekian lama
terbina di sana. Ia meruntuhkan dinding dan
tembok yang didirikan oleh syaitan, hawa nafsu
dan dunia. Pedang kebenaran menghalau segala
yang keji. Bila segala yang keji sudah menyingkir
terbinalah sebuah istana yang indah di dalam
hati.
Kalbu (hati) orang mukmin adalah istana Allah.
STESEN KE EMPAT
Hati si hamba masuk pula kepada suasana
kehadiran Cahaya Kenabian Sulaiman a.s.
Sulaiman a.s menyudahkan pembinaan masjid
yang pembinaannya dimulakan oleh
ayahandannya, Daud a.s. Mereka membina
masjid di atas tanah Nasuha yang bertaubat.
Daud a.s dan Sulaiman a.s merupakan dua
orang hamba Allah yang diberikan kerajaan dan
kekuasaan yang tidak diberikan kepada manusia
lain. Kurniaan Allah s.w.t yang begitu besar
menambahkan kesyukuran mereka. Si hamba
yang telah memasuki pintu taubat menemui pula
pintu kesyukuran.
Si hamba yang hatinya dikuasai oleh rasa
bersyukur kepada Allah s.w.t meneruskan
pembacaan al-Quran. Alunan kesyukuran pada
jiwa ketika membaca al-Quran berbeza daripada
alunan taubat. Kedua-duanya tidak mampu
dihuraikan. Hati yang telah merasainya akan
mengerti. Di dalam alunan kesyukuran itu si
hamba sampai kepada daerah Surah ar-Rahman.
Dia sampai kepada ayat ke 13:
Dan kurniaan Tuhan kamu yang mana lagi
hendak kamu dustakan? ( yat 13 : Surah ar-
Rahman )
Si hamba terpegun sejenak. Bacaannya terhenti.
Dicubanya membaca sekali lagi ayat tersebut
tetapi lidahnya kelu. Dia merasakan kekerdilan
diri yang amat sangat. Apabila dia mencuba lagi
untuk meneruskan bacaannya dirasakannya
sebuah gunung yang besar terhempap ke atas
kepalanya. Tiba-tiba mata hatinya menyaksikan
keagungan ar-Rahman. Keagungan ar-Rahman
menguasai hatinya. Dia merasakan seolah-olah
nafasnya dan perjalanan darahnya terhenti.
Ingatan kepada ar-Rahman itu menggoncangkan
sekalian maujudnya. Apabila dia berhadapan
dengan ar-Rahman dirasakannya dirinya
umpama lilin yang cair dimakan api, umpama
tepung yang diterbangkan angin kencang. Tidak
ada daya dan upayanya untuk menghampiri
daerah ar-Rahman. Dia sujud ke Hadrat Tuhan
ar-Rahman dan bermunajat: “Wahai ar-Rahman!
Engkau perlihatkan Keagungan-Mu kepada
hamba-Mu yang kerdil dan daif ini. Dalam serba
kelemahan dan kekurangan ini hamba-Mu
memohonkan keampunan dan kemaafan-Mu.
Maafkan daku wahai Yang Maha Agung! Tidak
terdaya hamba-Mu ini melalui Surah ar-Rahman
Yang Agung ini. Izinkan daku meneruskan
perjalananku kepada Surah-surah yang lain
dengan meninggalkan apa yang tidak terdaya
daku melaluinya”.
Pengalaman berhadapan dengan Surah ar-
Rahman membuatkan si hamba mengerti
bagaimana Gunung Thursina hancur lebur bila
dihadapkan kepada tajalli Tuhan. Berhadapan
dengan Surah ar-Rahmaan sudah menghancur-
leburkan kewujudan insan, Apa lagi jika benar-
benar berhadapan dengan keagungan-Nya.
Kesucian dan kemuliaan malaikat Jabrail a.s
masih tidak cukup kuat untuk berhadapan
dengan keagungan Allah ar-Rahman!
Si hamba sampai kepada daerah Surah al-Ikhlas.
Diulangi bacaannya beberapa kali. Kemudian
diletakkan tangannya di atas dada Surah al-
Ikhlas dan diucapkannya dengan penuh
kekhusyukan.:
Diucapkannya kalimah di atas beberapa kali
dengan sepenuh jiwa raganya. Dia merasakan
sesuatu keanehan. Dirasakannya kalimah suci itu
menyelinap ke seluruh tubuhnya dan ke seluruh
jiwa raganya. Tiada ruang lagi pada dirinya yang
tidak diresapi oleh kalimah suci itu. Sekalian
maujudnya menyaksikan:
Tapak tangan kanannya yang menyentuh dada al-
Quran semasa dia mengucapkan Kalimah
Syahadah tadi diletakkannya di dadanya,
berbetulan dengan hati. Seluruh maujudnya,
zahir dan batin, dikuasai oleh kalimah La ilaha
illa Llah . Ia menjalar ke dalam darah, daging,
urat saraf, tulang belulang dan seluruh tubuhnya
dari hujung rambut sampai hujung kaki.
Sekaliannya menyaksikan dengan penuh
tawadhuk kepada Tuhan bahawa La ilaha illa
Llah . Apa yang dirasainya daripada ucapan
Kalimah Tauhid kali ini sangat berbeza daripada
yang sudah-sudah. Tidak pernah dia
merasakannya begini, walaupun dia selalu
mengucapkan kalimah tersebut. Pengalaman La
ilaha illa Llah yang diperolehinya kali ini tidak
akan ditukarkan dengan sesuatu, walaupun
dengan sebuah gunung emas. Dunia dan isinya
bukanlah harga untuk ditukar dengan kalimah
suci ini. Si hamba bermunajat kepada Tuhan
dengan segala kerendahan hatinya: “Ya Allah! Ya
Ahad! Bawalah daku kepada-Mu. Jangan Engkau
tinggalkan daku walau satu detik pun. Jangan
Engkau biarkan yang selain-Mu mengurus daku
walau satu saat pun. Janganlah Engkau
kembalikan daku kepada pekerjaan zalim,
munkar dan melampaui batas. Daku berlindung
kepada-Mu pada setiap waktu. Engkau jualah
sebaik-baik Pelindung!”
Kemudian si hamba mengucapkan:
“Aku reda Allah s.w.t jualah Tuhan, Islam
jualah agama, Muhammad s.a.w adalah
Nabi dan Rasul, al-Quran adalah imam
(ikutan), Kaabah adalah Kiblat dan
Mukminin serta Mukminat adalah
saudara!”
Kemudian si hamba menghabiskan bacaan al-
Quran hingga ke Surah yang terakhir. Dia telah
diberi kesempatan mengalami sesuatu yang unik
semasa melalui daerah-daerah Surah al-Quran.
Pengalaman hati sukar dijelaskan. Hati yang
merasai suka, duka, senang dan susah. Hati
mengalami suasana yang dipanggil sabar, reda,
tawakal dan syukur. Hati juga merasai suasana
kehadiran cahaya kenabian, sebagaimana hati
mengalami kehadiran (Hadrat) Ilahi. Merasai
kehadiran cahaya kenabian bukan berhadapan
secara nyata, bertutur-kata dengan mereka. Rasa
kehadiran berlaku di dalam hati. Tutur-katanya
bukanlah percakapan tetapi pengertian yang tiba-
tiba tertanam pada lubuk hati.
STESEN KE LIMA
Setelah selesai membaca al-Quran si hamba
meneruskan perjalanannya dengan
memperbanyakkan zikir dan bersembahyang
sunnat, sesuai dengan firman Tuhan:
Sesungguhnya aku adalah Allah! Tidak ada
Tuhan melainkan Aku. Sebab itu abdikan dirimu
kepada-Ku dan dirikanlah sembahyang buat
mengingati Aku. ( Ayat 14 : Surah Taha )
Pengembaraan di dalam sembahyang
membentuk hati yang kuat berserah diri kepada
Allah s.w.t. Keinginan untuk bertemu dengan-Nya
semakin kuat. Si hamba yakin bahawa hanya
dengan menyerahkan segala urusan kepada-Nya
sahaja boleh membawa seseorang hamba
hampir kepada-Nya. Dalam keadaan demikian
pergantungan si hamba itu kepada Allah s.w.t
semakin teguh. Pengharapannya kepada makhluk
tinggal hanya sedikit sahaja lagi. Ingatannya
kepada Allah s.w.t sangat kuat dan ingatannya
kepada makhluk sangat berkurangan. Lama
kelamaan kuatlah penghayatan dalam hatinya
suasana: “Maksud dan tujuan hanyalah Allah
s.w.t. Keredaan-Nya yang dicari”.
Dalam keasyikan mengerjakan berbagai-bagai
sembahyang sunnat itu hati si hamba disentuh
oleh sepotong ayat yang sering dibaca dalam
sembahyang. Si hamba dengan ikhlas membuat
penyaksian:
Dengan Nama Allah, Pemurah,
Penyayang.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku,
hidupku dan matiku semuanya untuk
Allah, Tuhan sekalian alam.
Si hamba memperakui bahawa tiada daya dan
upaya melainkan dengan Allah s.w.t. Oleh
kerana segala daya dan upaya adalah hak Allah
s.w.t, maka segala sembahyang, ibadat-ibadat,
seluruh penghidupan dan juga kematian adalah
diperuntukkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada
yang lain. Tidak ada motif keduniaan dan
keakhiratan.
STESEN KE ENAM
Si hamba tenggelam dalam penghayatan bahawa
tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah
s.w.t. Bertambah kuat dia melakukan
sembahyang dan zikir sebagai menyatakan
bahawa segala daya dan upaya yang dikurniakan
Allah s.w.t kepadanya digunakannya untuk
mencari keredaan Allah s.w.t jua. Hatinya
menyaksikan bahawa segala perkara, semua
kejadian, apa sahaja yang bergerak dan yang
diam, semuanya terjadi kerana daya dan upaya
yang dari Allah s.w.t. Pergantian malam dengan
siang, pasang dan surut air laut, senang dan
susah, sihat dan sakit dan semuanya adalah
kenyataan kepada daya dan upaya yang dari
Allah s.w.t jua. Daya dan upaya yang dari Allah
s.w.t itu muncul dalam berbagai-bagai keadaan,
rupa bentuk, sifat, ruang dan waktu. Si hamba
melihat perbuatan dan kelakuan muncul daripada
dirinya sebenarnya adalah daya dan upaya yang
datang dari Allah s.w.t.
STESEN KE TUJUH
Dalam suasana yang dipenuhi dengan
sembahyang dan zikir si hamba digerakkan untuk
bertafakur. Dia gemar merenung segala perkara
dan menghubungkannya dengan Tuhan. Sesuatu
perkara yang pada mulanya kelihatan sulit,
setelah direnungnya dengan mendalam dia
mendapat jawapan yang memuaskan hatinya.
Melalui proses tafakur itulah dia banyak
mendapat kefahaman tentang berbagai-bagai
perkara yang pernah dimusykilkannya dahulu.
Dahulu akalnya tidak mampu mencari jawapan.
Kini dia mendapat jawapan dengan mudah.
Sedikit demi sedikit, melalui penemuan secara
bertafakur, hatinya merasakan bahawa jawapan
yang datang kepadanya bukan terjadi dengan
tiba-tiba, tetapi ia berlaku secara terancang dan
diuruskan dengan bijaksana. Hatinya merasakan
bahawa dirinya diberi pengajaran dengan cara
yang sangat misteri. Dari situ dia menyedari
bahawa ada Pembimbing Rohani yang bertindak
memberinya petunjuk, panduan dan nasihat
dengan cara yang sangat sukar untuk difahami.
Dia tidak mengetahui hakikat pembimbing
tersebut tetapi dia merasakan kehampiran
dengannya. Rasa kehadiran pembimbing tersebut
membuatnya lebih berani bertafakur mengenai
perkara-perkara ketuhanan yang pada zahirnya
sukar dimengerti. Apa juga perkara yang
mencetus minatnya untuk bertafakur, didapatinya
jawapan yang memuaskan hatinya. Melalui
proses tersebut dia mula mengenal Tuhan
melalui pandangan yang berbeza daripada
pengenalannya yang lalu.
Kehadiran Pembimbing Rohani menjadikan si
hamba bersikap pasif, jiwanya tenang dan yakin,
membiarkan Petunjuk Ghaib ‘membawanya’ ke
mana sahaja. Pada peringkat ini si hamba
seolah-olah memiliki dua jenis diri. Diri pertama
adalah diri yang memiliki sifat kemanusiaan
biasa. Diri kedua adalah diri yang bergerak di
bawah kekuasaan Petunjuk Ghaib atau
Pembimbing Rohani. Bila dikuasai oleh Petunjuk
Ghaib akan lahirlah perbuatan yang ganjil, tidak
logik yang kadang-kadang menyalahi adab sopan
dan nilai kemanusiaan biasa. Walaupun lahir
perbuatan yang kelihatan bodoh dan remeh
temeh tetapi baginya perbuatan yang dicetuskan
oleh Petunjuk Ghaib itu mengandungi pengajaran
yang halus tentang Tuhan. Oleh itu si hamba
berasa tenang dan tenteram walaupun keganjilan
yang muncul pada dirinya telah membuat orang-
orang yang hampir dengannya menjadi gelisah.
Si hamba bukan sekadar melihat Haula dan
Kuwwata sebagai bakat dan tenaga yang
menggerakkan makhluk, malah dilihatnya Haula
dan Kuwwata adalah jambatan yang
menghubungkan hamba dengan Tuhan. Tanpa
Haula dan Kuwwata tidak mungkin hamba boleh
menghadap kepada-Nya dan menghampiri-Nya.
Haula dan Kuwwata adalah urusan-Nya yang
pada satu aspek memungkinkan makhluk
bergerak dan melahirkan kesan, sementara pada
aspek yang lain pula merupakan ‘Rahsia’ yang
memungkinkan hamba berhubung dengan Tuhan.
STESEN KE LAPAN
Si hamba masih lagi di dalam suasana
bersembahyang, berzikir dan bertafakur. Rasa
kehambaannya semakin mendalam. Dia hanya
mementingkan soal hubungannya dengan Tuhan.
Soal-soal kehidupan harian tidak mendapat
perhatiannya. Dia tidak mengambil berat tentang
soal-soal zahiriah seperti makan, minum,
pakaian dan lain-lain. Kelakuannya sudah agak
berlainan dengan kelakuan orang biasa. Cara dia
makan kadang-kadang menimbulkan fitnah
kepada orang yang memandangnya. Dia dapat
melihat keganjilan yang berlaku kepada dirinya
tetapi dia tidak berdaya menghalangnya dan juga
dia tidak keberatan hal yang demikian terjadi
kepada dirinya. Dia merasakan dirinya benar-
benar tidak berdaya dan upaya. Dia merasakan
dirinya digerakkan untuk melakukan sesuatu
tanpa dia boleh membantah atau mengubahnya.
Dia melihat anggotanya sebagai alat yang
digunakan oleh kuasa dalaman yang
menguasainya. Dia lebih banyak berada dalam
keadaan dia tidak tahu mengapa dia berbuat
sesuatu yang ganjil. Perbuatan yang tidak dapat
dikawalnya itu disandarkannya kepada
Pembimbingnya. Dia yakin bahawa dengan
mematuhi Petunjuk Ghaib itu dia akan sampai
kepada Tuhan.
Dia benar-benar mahu mengabdikan diri kepada
Tuhan. Bukankah dia telah menyaksikan bahawa:
Dengan nama Allah, Pemurah,
Penyayang.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku,
hidupku dan matiku semuanya untuk
Allah, Tuhan sekalian alam.
Tiap kali dia membaca ayat tersebut di dalam
sembahyang jiwanya menggeletar, darah daging
dan urat sarafnya ikut menggeletar.
Tiba-tiba muncul dalam lubuk hatinya firman
Tuhan:
Adakah manusia menyangka bahawa mereka
akan dibiarkan berkata: “Kami telah beriman”,
padahal mereka tidak diuji? ( Ayat 2 : Surah
al-'Ankabut )
Dia mendengar dari dalam lubuk hatinya ‘Juru-
bicara’ mengatakan: “Apakah kamu menyangka
akan dibiarkan berkata, ‘Sembahyangku,
ibadatku, hidupku dan matiku semuanya kerana
Allah’, padahal engkau tidak diuji?” Ucapan
Juru-bicara tersebut sangat menyentuh jiwanya.
Adakah dia benar dengan apa yang selalu
dibacakannya di dalam sembahyang itu?
Allah s.w.t adalah Maharaja yang sangat
cemburu. Dia tidak mengizinkan hamba-Nya
mempersekutukan kasih sayang dan taat setia
kepada-Nya. Dia tidak mahu ada yang selain-
Nya lebih dicintai dan ditaati daripada kecintaan
dan ketaatan kepada-Nya. Tanda Dia cemburu
adalah Dia mengharamkan sesiapa sahaja
menyamakan Diri-Nya dengan sesuatu. Dia tidak
mengampunkan dosa syirik. Si hamba itu telah
mengatakan bahawa dia mencintai Allah s.w.t
lebih daripada segala yang lain. Pengakuan itu
adalah bohong belaka kerana dia melebihkan
kasihnya kepada dirinya daripada kasihnya
kepada Tuhannya. Dia tidak mahu dirinya
mengalami kesusahan dan penderitaan dalam
membuktikan kecintaan-Nya kepada Allah s.w.t.
Jika seseorang hamba itu benar-benar mencintai
Tuhannya dia akan sanggup menyerahkan dirinya
kepada Tuhannya.
Juru-bicara dari dalam hatinya membacakan
firman Tuhan:
Katakanlah: “Kami datang dari Allah dan
kepada-Nya kami kembali”. ( Ayat 156 :
Surah al-Baqarah )
Si hamba terpegun sejenak. Dia merasakan ayat
tersebut ditujukan khusus untuknya. “Kembalikan
sembahyang kamu kepada Allah! Kembalikan
ibadat kamu kepada Allah! Kembalikan hidup
kamu kepada Allah! Kembalikan mati kamu
kepada Allah!” Itulah gema yang memenuhi ruang
hatinya. Sujudlah si hamba itu kepada Tuhannya
dengan penuh tawadhuk dan bermunajatlah dia
kepada Tuhannya: “Ya Allah! Engkaulah Tuhan,
tiada Tuhan kecuali Engkau. Aku hanyalah
hamba-Mu. Tidak ada satu hak pun pada diriku.
Semuanya adalah hak Engkau. Nyawaku juga
adalah hak Engkau. Engkau berhak mengambil
apa yang menjadi hak Engkau. Aku tidak akan
membantah atau mengeluh menerima ketentuan-
Mu. Terimalah daku sebagai hamba yang
berserah diri kepada-Mu. Izinkan daku
mengerjakan sembahyang buat kali penghabisan
sebelum Engkau mengambil nyawaku”.
Si hamba berdiri untuk mengerjakan
sembahyang. Baginya itulah sembahyangnya
yang penghabisan dalam hidupnya. Dia berdiri,
rukuk dan sujud dengan penuh penyerahan.
Tidak ada keresahan atau terkilan. Tidak ada
takut atau berdukacita. Tidak ada kegembiraan
atau keghairahan. Hatinya menyerah sepenuhnya
kepada Allah s.w.t, tanpa sebarang perasaan,
harapan dan cita-cita. “Ya Allah! Inilah hamba-
Mu yang berdiri dengan penuh penyerahan
kepada-Mu. Ya Allah! Inilah hamba-Mu yang
rukuk dengan penuh penyerahan kepada-Mu. Ya
Allah! Inilah hamba-Mu yang sujud dengan penuh
penyerahan kepada-Mu. Lakukanlah apa yang
Engkau kehendaki”. Begitulah lebih kurang
suasana hati si hamba ketika melakukan
sembahyang yang penghabisan. Selepas
mengucapkan salam si hamba sujud dengan
penuh akur kepada ketentuan Tuhannya. Dia
sujud lama sekali tanpa menyedari apa yang
berlaku kepada dirinya dan di mana dia sedang
berada. Kemudian hatinya mendengar ucapan
Juru-bicara dari dalam dirinya: “Bangkitlah dari
sujudmu sebagai insan baharu yang mati
makhluk dari hatinya sehingga tidak melihat lagi
ada makhluk yang berkuasa mendatangkan
manfaat dan mudarat, yang tidak berkehendak
lagi kepada dunia dan akhirat dan yang hidup
dengan lakuan Allah s.w.t semata-mata”.
Si hamba bangkit dari sujudnya dan
mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t.
STESEN KE SEMBILAN
Rasa kekerdilan diri semakin kuat menguasai hati
si hamba. Bila diri berasa kerdil dapatlah hati
merasakan kebesaran, ketinggian dan keagungan
Allah s.w.t. Apa sahaja yang berkait dengan
Allah s.w.t akan menggetarkan hati nurani.
Nama-nama Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya dan ayat-
ayat-Nya memberi kesan yang kuat kepada hati.
Setiap disebut atau didengarnya nama dan ayat-
ayat Allah s.w.t hatinya merasakan seperti
ditikam dengan lembing tajam. Setiap patah
suara azan yang berkemundang di udara
‘menerpa’ ke dadanya seumpama anak panah
yang bisa. Dalam keadaan yang demikian si
hamba sujud mengakui kebesaran, ketinggian
dan keagungan Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam.
Pengalaman yang demikian membuatnya
mengerti maksud mukmin yang diceritakan oleh
al-Quran.
Orang-orang mukmin apabila diperingatkan
dengan Allah nescaya gementarlan hati mereka.
(Ayat 2 : Surah al-Anfaal )
Si hamba bersyukur kepada Allah s.w.t kerana
mengajarkan maksud ayat al-Quran melalui
pengalaman yang membuatnya lebih mengerti
dengan apa yang al-Quran katakan. Dia telah
dikurniakan nikmat yang besar kerana diberi
kesempatan untuk memahami maksud ayat al-
Quran melalui pengalaman rasa. Bertambahlah
kesyukurannya dan rasa kekerdilan diri di
hadapan keagungan Allah s.w.t.
Di dalam suasana kekerdilan diri berhadapan
dengan keagungan Allah s.w.t itu Juru-bicara
dari dalam dirinya membacakan ayat:
Masuklah engkau ke dalam golongan
hamba-Ku dan masuklah engkau ke
dalam syurga-Ku. ( Ayat 30 : Surah al-
Fajr )
Si hamba tersentak mendengar ‘ucapan’
tersebut. Dia tergamam seketika. Sebelum
sesuatu berputik di dalam hatinya dia
‘mendengar’ peringatan daripada Petunjuk
Ghaib: “Apa yang kamu cari masih jauh di
hadapan. Jangan kamu berhenti dan
terpesona dengan keindahan syurga” . Si
hamba dengan merendahkan diri bermunajat
kepada Tuhannya: “Wahai Tuhanku!
Tutupkanlah pandanganku daripada
melihat syurga-Mu agar keindahannya
tidak memukau daku, yang nanti
menyebabkan langkahku menuju-Mu
terhenti. Wahai Tuhan Yang Maha
Mengasihani. Janganlah Engkau jadikan
syurga sebagai penghalang di antara
Engkau dengan aku. Ambillah kembali
syurga-Mu dan serahkannya kepada
sesiapa sahaja yang ada tuntutan
terhadap diriku agar aku bebas daripada
mereka dan hanya menjadi hamba-Mu
sahaja. Janganlah Engkau adakan selain-
Mu sebagai hijab di antara Engkau
dengan aku. Inilah hamba-Mu yang tidak
ada maksud dan tujuan selain Engkau,
wahai Tuhanku!”
STESEN KE SEPULUH
Si hamba membebaskan dirinya daripada
sebarang pergantungan kepada daya usaha dan
ikhtiar memilih, kosong daripada kehendak dan
tujuan yang bersangkutan dengan dunia dan juga
akhirat. Hatinya menjadi kosong daripada hawa
nafsu, keinginan, harapan, cita-cita dan angan-
angan. Jadilah hatinya benar-benar kosong. Dia
adalah umpama mayat di tangan pemandi
mayat.
Si hamba telah membuktikan kehambaan dan
pengabdiannya kepada Tuhan dengan rela
menyerahkan apa sahaja kepada-Nya dan
bersedia menjalankan perintah-Nya seperti
malaikat yang bersifat teguh. Apakah itu sudah
memadai bagi menghilangkan kecemburuan
Tuhan Yang Maha Cemburu? Pengorbanan yang
demikian boleh dilakukan oleh seorang manusia
untuk kekasihnya yang juga seorang manusia.
Bukan sedikit manusia yang sanggup membunuh
diri demi kekasihnya. Bukan sedikit manusia
yang sanggup membinasakan orang lain demi
kekasihnya. Pengorbanan untuk Allah s.w.t
mestilah lebih agung daripada segala bentuk
pengorbanan yang boleh dilakukan oleh manusia
untuk sesama manusia. Pengorbanan yang paling
tinggi boleh dilakukan oleh seorang hamba untuk
Tuhannya adalah menetapkan keesaan-Nya,
tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu, baik
daripada anasir bumi atau langit, anasir nyata
atau ghaib atau apa sahaja termasuklah dirinya
sendiri. Allah Maha Esa , bagaimana yang lain
boleh berhadapan dengan-Nya? Selagi ada
istilah hamba selagi itu ada hamba yang
berhadapan dengan-Nya. Selagi ada
kesanggupan melakukan sesuatu selagi itu ada
diri yang berkesanggupan berhadapan dengan-
Nya. Selagi mengharapkan pangkat kewalian
selagi itulah ada diri yang berharap menjadi wali
berhadapan dengan-Nya. Selagi bercita-cita
untuk dunia dan akhirat selagi itulah ada diri
yang bercita-cita berhadapan dengan-Nya.
Selagi ada itu dan ini selagi itulah ada diri yang
itu dan ini berhadapan dengan-Nya. Tidak ada
yang layak berhadapan dengan-Nya kerana Dia
Maha Esa. Siapakah yang boleh duduk
dalam majlis keesaan-Nya melainkan
Diri-Nya sendiri?
Apa juga yang tersisa pada si hamba
dilenyapkan. Jadilah si hamba itu seumpama
tong kosong yang berlubang. Setiap kali hujan
turun ia menyucikan sisa-sisa kekotoran yang
melekat pada dindingnya. Apabila dinding itu
sudah tidak ada sebarang kekotoran, maka air
yang bersih dan jernih keluar daripadanya tanpa
sedikit pun berubah rupa dan warnanya
sebagaimana air yang masuk ke dalamnya. Apa
yang turun dari langit itulah juga keluar daripada
tong kosong yang berlubang dan suci bersih.
Tidak ada pertukaran dan perubahan.
STESEN KE SEBELAS
Si hamba telah menyerahkan apa sahaja yang
bernama hak kepada Yang Empunya hak. Hati si
hamba kosong daripada segala-galanya.
Perhatian terhadap dirinya sendiri sudah tidak
ada lagi, begitu juga dengan perhatiannya
kepada segala sesuatu di sekelilingnya. Bila hati
si hamba benar-benar kosong, maka Allah s.w.t
penuhkannya dengan Kehendak dan Tujuan-Nya
semata-mata. Allah s.w.t yang nengurus
kehidupan si hamba yang telah terpisah daripada
segala hak itu. Allah s.w.t yang menguasai Loh
Kun. Si hamba menjadi alat yang melaluinya
Urusan Allah s.w.t menjadi nyata. Bila Allah
s.w.t katakan: “Jadi!” maka jadilah ia. Bila Allah
s.w.t katakan: “Bergerak!” maka bergeraklah ia.
Bila Allah s.w.t katakan: “Diam!” maka diamlah
ia. Bila Allah s.w.t katakan:
Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak
ada Tuhan melainkan Aku! Sembahlah
Aku!
Si hamba pun mengatakan:
Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak
ada Tuhan melainkan Aku! Sembahlah
Aku!
Bila Allah s.w.t mengatakan:
Aku adalah Yang Haq !
Si hamba pun mengatakan:
Aku adalah Yang Haq !
STESEN KE DUA BELAS
Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada
Tuhan melainkan Aku! Sembahlah Aku dan
dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.
( Ayat 14 : Surah Taha )
Allah s.w.t memerintahkan supaya mendirikan
sembahyang. Si hamba berdiri mengerjakan
sembahyang. Dalam suasana tong kosong yang
berlubang, apa juga suasana sembahyang yang
Tuhan kurniakan itulah yang zahir padanya.
Bagaimana kedudukan sembahyang pada sisi
Tuhan begitulah yang nyata pada si hamba. Allah
s.w.t mengatakan sembahyang itu adalah ingatan
kepada-Nya, maka yang ada dalam sembahyang
itu adalah ingatan kepada-Nya. Bila kesedaran
terhadap diri sendiri sudah tidak ada, si hamba
hanya menjadi ‘yang menyaksikan’. Si hamba
sudah ‘tidak ada’ untuk ingat kepada Allah s.w.t.
Oleh itu ‘yang ada’ adalah Allah s.w.t yang ingat
kepada Diri-Nya sendiri. Si hamba sudah ‘tidak
ada’ untuk mengerjakan sembahyang, ‘yang ada’
adalah Allah s.w.t dan sembahyang itu adalah
“Puji-pujian Allah s.w.t kepada Diri-Nya.” Pada
ketika si hamba berada dalam suasana ‘dirinya
tidak ada’. Dia mengalami suasana “Keesaan
Allah s.w.t.” Dalam majlis keesaan tidak ada
dua. Tidak ada yang ada dalam majlis keesaan-
Nya melainkan Dia. Dia yang memuji Diri-Nya.
Pujian Allah s.w.t kepada Diri-Nya adalah
kelazatan yang paling lazat dan kebahagiaan
yang paling bahagia, melebihi apa yang ada di
bumi, di langit dan di syurga. Buat seketika hati
si hamba diizinkan menikmati kelazatan dan
kebahagiaan yang maha agung itu dalam
suasana dirinya ‘tidak ada’, yang ada hanyalah
Yang Maha Esa. Siapakah yang layak
mendampingi-Nya melainkan Diri-Nya sendiri.
Siapakah yang layak berhadapan dengan-Nya
melainkan Diri-Nya sendiri. Siapakah yang layak
berkata-kata dengan-Nya melainkan Diri-Nya
sendiri. Siapakah yang layak mendengar ucapan-
Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Dalam Majlis
Keesaan yang ada hanyalah Yang Maha Esa.
Allah s.w.t mengizinkan sebahagian daripada
hamba-hamba-Nya mendapat pengertian tentang
“Allah Maha Esa” melalui pengalaman
kerohanian ketika hamba-hamba tersebut hilang
perhatian dan kesedaran kepada sesuatu kecuali
Allah s.w.t Yang Maha Esa. Apa yang berlaku
kepada si hamba pada ketika itu seolah-olah
Tuhan berkata: “Aku cabutkan dirimu buat
seketika untuk Aku masukkan suasana keesaan-
Ku agar engkau mengenali keesaan-Ku.”
STESEN KE TIGA BELAS
Yang nyata sudah ghaib. Yang ghaib sudah
hilang. Tiada lagi kenyataan dan yang
menyatakan. Tiada lagi ilmu untuk
membahaskan. Tiada lagi penyaksian untuk
menyaksikan. Tiada lagi cahaya untuk
menerangkan. Tiada lagi kewujudan untuk
membuktikan. Alam perasaan dan rujukan sudah
tiada. Tiada atas tiada bawah. Tiada hadapan
tiada belakang. Tiada kanan tiada kiri. Tiada
ruang tiada zaman. Tiada siang tiada malam.
Tiada panjang tiada pendek. Tiada jauh tiada
dekat. Tiada perpisahan tiada penyatuan. Tiada
persamaan tiada perbezaan. Tiada perkaitan
dengan wujud tiada perkaitan dengan tidak
wujud.
Tahu berkamil dengan tidak tahu. Kenal berkamil
dengan tidak kenal. Itulah Allah, Rabbil ‘Izzati!
Benteng keteguhan-Nya tidak mungkin
diruntuhkan!
“Sesungguhnya Engkau adalah Allah
yang aku saksikan dengan mata
keyakinan, bukan dengan mata zahir,
bukan dengan mata ilmu dan bukan juga
dengan mata makrifat; tiada huruf, tiada
suara, tiada rupa, tiada warna, tiada
cahaya kerana sesungguhnya Engkau
adalah:
Tiada sesuatu serupa dengan-Nya

Tidak ada komentar:

Posting Komentar