Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Kamis, 31 Oktober 2013
2: NABI MUHAMMAD S.A.W INSANFITRAH
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia
fitrah yang sejak awal kejadian baginda s.a.w
sentiasa bergerak di atas landasan fitrah insan
yang suci murni. Fitrah yang suci bersih lagi
murni akan mencetuskan perjuangan dalam jiwa
apabila insan itu dibaluti oleh suasana yang
penuh dengan kemunkaran, kezaliman,
penyembahan berhala dan benda-benda alam,
perebutan kuasa, kegilaan kepada harta dan
berbagai-bagai adat serta kebudayaan yang
menyimpang jauh daripada sifat fitrah yang asli.
Perjuangan dalam jiwa Nabi Muhammad s.a.w
sampai ke kemuncaknya apabila baginda s.a.w
mencapai usia 36 tahun. Kejahilan, kesyirikan,
kekafiran, kemunkaran dan kezaliman yang
berleluasa di dalam masyarakat menjadi beban
yang sangat berat menghimpit jiwa fitrah baginda
s.a.w. Tekanan tersebut menjadi lebih kuat
lantaran segala kerosakan itu terjadi kepada
orang-orang yang hampir dengan baginda s.a.w,
kaum keluarga dan masyarakat yang sama
keturunan dengan baginda s.a.w, sedangkan
jalan untuk menyelamatkan mereka tidak terbuka.
Jiwa fitrah yang sangat mengasihi sesama
manusia sangat menginginkan keselamatan dan
kesejahteraan kepada sekalian manusia. Jiwa
yang seperti inilah yang selalu menderita apabila
melihat kerosakan yang terjadi kepada orang lain.
Fitrah yang suci murni memiliki bakat yang
istimewa iaitu kebolehan untuk mengenal dan
mengerti tentang sesuatu yang benar dan juga
memiliki keupayaan untuk bergerak kepada yang
benar itu. Apabila mencapai usia 36 tahun Nabi
Muhammad s.a.w diheret oleh fitrah suci
baginda s.a.w ke Gua Hiraa, kira-kira 10 km ke
utara Makkah. Gua tersebut terletak di atas
Gunung Hiraa, kira-kira 20 meter dari puncak
gunung. Seorang lelaki yang kuat memerlukan
masa kira-kira 40 minit untuk mendaki dari
bawah hingga ke aras Gua Hiraa. Laluan masuk
ke dalam gua tersebut sangat sempit, di celah
dua buah ketulan batu besar yang hampir-hampir
bertaut. Seseorang yang ingin melaluinya perlu
menyusup dengan bersusah payah. Setelah
berjaya melepasi laluan yang sempit itu
seseorang itu akan masuk ke dalam satu ruang
kosong yang sempit juga. Ruangnya tidak
memadai untuk seorang manusia tidur dengan
selesa di dalamnya.
Gua tersebut disembunyikan oleh batu-batu
besar, hampir-hampir tidak ada cahaya matahari
yang masuk ke dalamnya. Batu-batu di sekitar
gua itu berwarna hitam kemerah-merahan yang
boleh menimbulkan rasa gerun dalam hati
sesiapa yang menyaksikan pemandangan di
sana. Bahagian yang terdapat Gua Hiraa
merupakan bahagian yang paling menggerunkan
di antara semua bahagian Gunung Hiraa.
Tarikan Fitrah telah membawa Nabi Muhammad
s.a.w ke tempat yang tidak ada manusia mahu
pergi, apa lagi tinggal beberapa hari di sana
siang dan malam. Bulan Ramadan merupakan
tempoh yang paling baginda s.a.w gemar
berkhalwat di Gua Hiraa. Baginda s.a.w
berulang-alik ke Gua Hiraa sehinggalah wahyu
yang pertama turun ketika usia baginda s.a.w
menjangkau 40 tahun.
Suasana Gua Hiraa menceritakan bahawa hanya
insan yang berjiwa besar dan sangat berani serta
bersemangat waja sahaja yang sanggup tinggal
di sana seorang diri, siang dan malam dan
berhari-hari lamanya. Hanya tawakal dan
keyakinan yang teguh membuat seseorang
mampu bertahan di dalam kegelapan Gua Hiraa,
tidak dapat melihat binatang bisa seperti ular
dan jengking yang mungkin muncul pada bila-
bila masa sahaja. Insan yang boleh tinggal di
sana pastilah di dalam jiwanya tidak ada sebesar
zarah pun rasa takut kepada makhluk, kecintaan
kepada dunia, harta benda, pangkat dan
kemuliaan. Hanya jiwa Islam (berserah diri
sepenuhnya kepada Allah s.w.t) yang sempurna
dapat tinggal sendirian di dalam Gua Hiraa.
Tujuan, harapan dan pergantungan hanyalah
Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha
Perkasa.
Semakin mendekati usia 40 tahun semakin kerap
Nabi Muhammad s.a.w mengunjungi Gua Hiraa.
Apabila berada di luar gua, terutamanya pada
waktu malam, baginda s.a.w merenung
bangunan alam maya, melihat kerapian
susunannya dan keindahan gubahannya. Apabila
berada di dalam gua baginda s.a.w merasakan
ketenangan, kedamaian dan kelazatan. Gua Hiraa
yang gelap gelita dan sunyi sepi memisahkan
baginda s.a.w daripada seluruh alam dan
sekalian makhluk. Kegelapan membungkus jasad
hinggakan pengaruh jasad tidak lagi menghijab
hati nurani. Apabila terpisah daripada segala
yang maujud, fitrah suci akan merdeka dari
segala sesuatu kecuali Allah s.w.t. Cahaya fitrah
yang suci lagi murni memancar dengan terang
benderang menyuluh ke seluruh pelusuk alam
maya menyaksikan dengan jelas apa yang tidak
mampu dipandang dengan mata. Tiap sesuatu
menjadi terang benderang di dalam sinaran fitrah
suci Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada satu
zarah pun yang terlindung daripada pandangan
mata hati baginda s.a.w. Semuanya jelas dan
nyata namun, masih ada satu yang tidak dapat
disingkap oleh fitrah, walaupun seseorang itu
manusia suci.
Fitrah mampu menyingkap rahsia kemanusiaan
sehingga manusia boleh membentuk tatasusila
kehidupan yang sesuai untuk dijalani oleh semua
umat manusia. Fitrah boleh membentuk sistem
moral yang baik. Fitrah dapat menguruskan
pentadbiran negara dan perdagangan. Fitrah
dapat meneroka alam maya dan benda-benda
alam. Tetapi apabila berhadapan dengan
Pencipta manusia dan alam sekaliannya dan juga
Pencipta fitrah itu sendiri maka fitrah hanya
mampu berkata, “Allah!” dan masuk kepada
penyerahan tanpa takwil.
Apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w di
Gua Hiraa pernah dialami juga oleh Nabi Ibrahim
a.s, sebagaimana diceritakan oleh al-Quran:
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi
Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di
langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia
dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-
penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu
malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang
(bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah
Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu
terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka
kepada yang terbenam hilang.” Kemudian
apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan
cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka
setelah bulan itu terbenam berkatalah ia: “Demi
sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk
oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum
yang sesat”. Kemudian apabila ia melihat
matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya),
berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar!”
Setelah matahari terbenam, ia berkata pula:
“Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri
(bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah
dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka
dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit
dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid
dan bukanlah aku dari orang-orang yang
menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)
”. ( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )
Tafakur membawa Nabi Ibrahim a.s berhujah
dengan fahaman-fahaman yang menjadikan
benda-benda alam sebagai tuhan-tuhan. Tafakur
dan hujah berakhir pada tahap: “Aku hadapkan
wajahku kepada yang menciptakan semua langit
dan bumi. Aku hadapkan dengan fitrah yang
hanif. Aku tidak mempersekutukan-Nya dengan
apa-apa pun”. Tahap terakhir ini Allah s.w.t
bukakan kepada para hamba-Nya yang Dia
kehendaki. Hadapkan fitrah suci kepada-Nya
dengan penuh keikhlasan tanpa mengadakan
sebarang takwil mengenai-Nya dan tidak
mengadakan sekutu bagi-Nya. Dia sendiri
menentukan bila dan bagaimana Dia
berkehendak mengadakan pembukaan kepada
hamba-Nya.
Pada 17 Ramadan, tahun 41 daripada umur Nabi
Muhammad s.a.w, datanglah malaikat Jibrail a.s
membawa wahyu yang pertama daripada Tuhan
Azza wa Jalla, sebagai menyempurnakan lagi
fitrah Nabi Muhammad s.a.w, menaikkan fitrah
insan kepada darjat fitrah Muslim, menjawab
segala yang terkilan, menghuraikan segala yang
kusut dan membukakan segala yang tertutup.
Sempurnalah kesempurnaan Muhammad bin
Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim
dipersiapkan untuk menanggung mahkota seluruh
alam, menjadi penutup sekalian nabi-nabi,
menjadi penyelamat umat manusia dan dunia
seluruhnya, menjadi rahmat kepada sekalian
alam dan menjadi kekasih Allah!
Tajuk 3
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar