JANGAN
MENANTIKAN SELESAI SEGALA HALANGAN, KERANA YANG DEMIKIAN AKAN MENGHALANG
KAMU DARI MENDEKATI ALLAH S.W.T MELALUI SESUATU YANG ENGKAU DIDUDUKKAN
DI DALAMNYA.
Setelah merenung Hikmat yang lalu
kita telah dapat melihat dan menghayati persoalan Qadar secara terperinci
hingga kepada batas hembusan satu nafas. Pada setiap ketika kita didudukkan
di dalam medan Qadar. Qadar membawa kepada kita kejadian, suasana, rupa
bentuk, nama-nama dan lain-lain. Masing-masing menarik hati kita kepadanya.
Apa sahaja yang bertindak menarik hati menjadi penghalang untuk kita mendekati
Allah s.w.t. Oleh sebab perjalanan Qadar tidak akan berhenti maka kewujudan
halangan-halangan juga tidak akan habis. Jika kita lemas di dalam lautan
Qadar, pandangan kita disilaukan oleh warna-warnanya dan kita dimabukkan
oleh gelombangnya, maka selama-lamanya kita akan terhijab dari Allah s.w.t.
Tujuan kita beriman kepada Qadak dan Qadar bukanlah untuk kita lemas di
dalam lautannya. Kita hendaklah tahu mengikuti rentak ombaknya dan tiupan
anginnya sambil perhatian kita tertuju kepada daratan, bukan membiarkan
diri kita terkubur di dasar laut. Ketika menghadapi ombak Qadar kita hendaklah
menjaga perahu yang kita naiki. Perahu tersebut ialah sama ada perahu asbab
atau perahu tajrid. Jika kita menaiki perahu asbab kita perlu berdayung
dan menjaga kemudinya sesuai mengikut perjalanan sebab musabab. Jika kita
berada dalam perahu tajrid kita akan ditolak oleh kuasa enjin tajrid tetapi
kita masih perlu mengawal kemudinya agar tidak lari dari daratan yang dituju.
Setiap Qadar yang sampai kepada kita membawa
kita memasuki ruang dan waktu. Pada setiap ruang dan waktu yang kita ditempatkan
itu ada kewajipan yang perlu kita laksanakan. Ia merupakan amanah yang
dipertaruhkan oleh Allah s.w.t kepada kita. Qadar adalah utusan yang mengajak
kita memerhatikan perbuatan Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya
dan Zat-Nya Yang Maha Suci, Maha Mulia dan Maha Tinggi. Tidak ada satu
Qadar, tidak ada satu ruang dan waktu yang padanya tidak terdapat ayat-ayat
atau tanda-tanda yang menceritakan tentang Allah s.w.t. Kegagalan untuk
melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t itu adalah kerana perhatian
hanya tertumpu kepada makhluk dan kejadian yang menjadi sebab musabab yang
dibawa oleh Qadar yang menempati sesuatu ruang dan waktu itu. Apabila
perhatian tertumpu kepada makhluk dan kejadian maka makhluk dan kejadian
itu menjadi hijab antara hamba dengan Allah s.w.t. Hamba akan melihat makhluk
dan kejadian mempunyai kesan terhadap sesuatu dan dia lupa kepada kekuasaan
Allah s.w.t yang mengawal segala sesuatu itu. Kewajipan si hamba ialah
menghapuskan hijab tersebut agar apa juga Qadar, ruang dan waktu yang dia
berada di dalamnya, dia tetap melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t. Hatinya
tidak putus bergantung kepada Allah s.w.t. Ingatannya tidak luput dari
mengingati Allah s.w.t. Mata hatinya tidak lepas dari memerhatikan sesuatu
tentang Allah s.w.t. Ingatan dan perasaannya sentiasa bersama Allah s.w.t.
Setiap Qadar, ruang dan waktu adalah kesempatan baginya mendekati Allah
s.w.t.
Hati kita boleh mengarah kepada dunia
atau kepada akhirat ketika menerima kedatangan sesuatu Qadar. Biasanya
tarikan kepada dunia kita anggapkan sebagai halangan sementara tarikan
kepada akhirat kita anggap sebagai jalan yang menyampaikan. Sebenarnya
kedua-duanya adalah halangan kerana kedua-duanya adalah alam atau makhluk
yang Tuhan ciptakan. Syurga, bidadari, Kursi dan Arasy adalah makhluk yang
Tuhan ciptakan. Alam ini kesemuanya adalah gelap gelita, yang meneranginya
adalah kerana nampaknya Allah s.w.t padanya (Hikmat 14). Alam adalah cermin
yang memperlihatkan cahaya Allah s.w.t yang padanya ada kenyataan Allah
s.w.t.
Oleh yang demikian walau di dalam Qadar apa sekali pun kita berada,
kesempatan untuk melihat Allah s.w.t dan mendekat kepada-Nya tetap ada.
Kesempatan ini adalah hak Allah s.w.t terhadap hamba-Nya. Hak ini wajib
ditunaikan pada waktu itu juga, tidak boleh ditunda kepada waktu
yang lain, kerana pada waktu yang lain ada pula hak Allah s.w.t yang lain.
Setengah ulama memfatwakan bahawa
sembahyang yang terlepas dari waktunya boleh dilakukan semula secara qada.
Sekali pun sembahyang boleh dibuat secara qada tetapi hak Allah s.w.t yang
telah terlepas tidak boleh diqada. Hamba yang benar-benar menyempurnakan
kewajipannya terhadap hak Allah s.w.t ialah yang tidak berkelip mata hatinya
memandang kepada Allah s.w.t, tidak kira didudukkan dalam suasana atau
Qadar apa sekalipun. Setiap waktu dan ruang yang dimasukinya adalah jambatan
yang menghubungkannya dengan Tuhannya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar