Kamis, 31 Oktober 2013

KATA PENGANTAR


Segala pujian terkhusus bagi Allah s.w.t,
Pencipta sekalian alam. Selawat dan salam ke
atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w
serta seluruh pejuang kebenaran sehingga akhir
zaman.
Manusia merupakan makhluk istimewa dicipta
oleh Allah s.w.t namun, keistimewaan tersebut
bergantung kepada realiti dirinya, kesedaran
serta ketaatan terhadap apa yang diperintahkan
oleh Penciptanya. Kemuliaan manusia sehingga
dilantik menjadi khalifah dan diangkat menjadi
rasul-rasul dan nabi-nabi adalah membuktikan
tentang hakikat kejadian tersebut serta
tanggungjawab yang bakal dipikul olehnya.
Cabaran duniawi yang besar serta liputan
kebenaran yang sentiasa tertutup oleh
pandangan kebendaan, hawa nafsu dan
dorongan jiwa yang rendah menyebabkan
manusia sentiasa mencari jalan-jalan yang
pelbagai. Ada yang cuba mengerti hakikat
kejadian alam dan keindahan; lalu ia tersungkur
dengan keindahan alam yang tidak
berpenghujung kepada Penciptanya. Ada yang
mencari kedamaian dengan melalui pelbagai
jalan yang difikir oleh akal, tanpa panduan Ilahi;
lalu ia melalui jalan-jalan kesesatan dan berakhir
dengan kefanaan dalam kesesatan. Benarlah
wahyu Allah s.w.t dalam hadis Qudsi yang
bermaksud:
Betapa banyak angin yang bertiup mematikan
lampu-lampu,
Betapa ramai abid, musnah disebabkan rasa
bangga dan ujub,
Betapa ramainya orang kaya, musnah kerana
kekayaannya,
Betapa ramai orang fakir, musnah kerana
kefakirannya,
Betapa ramai orang yang sihat, musnah kerana
kesihatannya,
Betapa ramai orang alim, musnah kerana
ilmunya,
Betapa ramai orang jahil, musnah kerana
kejahilannya
Pencarian jalan yang benar mestilah lahir dari
kesedaran yang benar kemudian melalui hanya
lorong-lorong makrifah yang telah dirintis oleh
Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Pencarian ini
bilamana telah melalui jalannya yang benar,
bukan sekadar mampu mengutip mutiara
keindahan makrifah, tetapi jauh di sebalik itu,
ialah kemampuan untuk membawa dan
membesarkan laluan tersebut, agar dengannya
tidak akan membawa manusia ke jalan yang
sesat, dan memandu manusia lain untuk melalui
jalan tersebut.
Sebahagian manusia takut untuk melalui jalan-
jalan yang masih kabur, agar ia selamat dari
kesesatan; walaupun di saat yang sama ia
berada dalam kegelapan. Terdapat pula
kumpulan yang berhati-hati untuk menempuhi
jalan-jalan ini. Tindakan ini ada kebaikannya,
kerana bilamana datang pertunjuk dan panduan
maka ia akan menerangi jalan-jalan yang gelap
tersebut, dan ia seharusnya menjalani jalan-jalan
tersebut setakat yang ia yakin dengan
kebenarannya. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah
s.w.t dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Kilat itu pula hampir-hampir menyambar
penglihatan mereka; setiap kali kilat itu
menerangi mereka (dengan pancarannya) mereka
berjalan dengan cahayanya, dan apabila gelap
menyelubungi mereka, berhentilah mereka
menunggu dengan kebingungan. Dan sekiranya
Allah menghendaki, nescaya dihilangkan
pendengaran dan penglihatan mereka;
sesungguhnya Allah Maha berkuasa di atas
segala sesuatu”.
Namun apa yang lebih membimbangkan ialah
ketakutannya untuk mencari dan meneliti jalan-
jalan kebenaran menyebabkan ia terus berhenti
di atas kesesatan yang berpanjangan. Firman
Allah s.w.t yang bermaksud:
“Mereka (seolah-olah) orang yang pekak, bisu
dan buta. Dengan keadaan itu mereka tidak akan
dapat kembali kepada kebenaran”.
Hakikat kebenaran bukanlah jalan yang sukar,
kerana laluannya dipenuhi dengan lampu
pertunjuk yang sentiasa menerangi manusia.
Hanya keinginan untuk menempuhi jalan-jalan
tersebut serta kejahilannya menyebabkan ia
menyangka jalan-jalan kenabian dan kerasulan,
dengan berpegang kepada Islam, akan
menyebabkan mereka tidak lagi dapat menikmati
keindahan duniawi, lalu kehidupannya akan
malap dan tidak bersinar (ceria). Bisikan
kebatilan ini terus menghantui jiwa manusia,
lantaran itulah jalan-jalan kebenaran walaupun
telah diterangi dengan panduan cahaya pertunjuk
Ilahi, masih tidak mendapat tempat yang
sewajarnya.
Kita tidak seharusnya menafikan juga
kebimbangan ini disebabkan oleh sejarah lampau
yang menakutkan manusia untuk melalui jalan-
jalan tarekat dan tasauf, yang terlalu banyak
didorongi oleh nilai-nilai mistik yang
mengelirukan, bercampur dengan penyelewengan
dan kekeliruan yang dibina di atas nama tarekat
dan tasauf; tambahan pula perkembangan
ideologi rasionalisma yang menguasai dunia kini
yang disertakan dengan budaya lojik yang
terpahat dalam minda manusia kini,
menyebabkan jalan-jalan ini tidak mendapat
kedudukan yang sepatutnya. Lantaran itu,
keindahan syariat Islam hanyalah serpihan yang
berkecai dalam setiap sudut. Ia umpama
permata yang tiada sinar atau bunga yang telah
hilang madunya, maka jadilah manusia kini
sebagai manusia yang telah hilang
kemanusiaannya.
Buku Kebenaran Hakiki tulisan saudara
Mohamad Nasir diharapkan menjadi pembuka
minat kepada umat Islam untuk mengetahui
kebenaran dan mendekatkan diri kepada Allah
s.w.t. Dengan menggunakan pendekatan yang
mudah serta persembahan yang menarik, maka
diharapkan pembaca akan lebih dekat
memahami beberapa persoalan yang berlaku
dalam sejarah umat Islam; di samping panduan
dalam kehidupannya. Pendekatan yang beliau
gunakan dalam penulisan ini bukanlah sesuatu
yang asing atau baru; hanya masing-masing
penulis mengolah dengan gayanya tersendiri dan
beliau adalah sebahagian dari umat Islam yang
memikirkan sesuatu sumbangan yang boleh
diberikan kepada perjuangan dan kemurniaan
aqidah Islam.
Meneliti nukilan saudara Nasir, maka saya
mempunyai anggapan besar ia akan menjadi
suatu hasil penulisan yang cuba menjelaskan
hakikat jalan-jalan yang indah, yang cuba
dikongsikan bersama pembaca yang lain.
Walaupun hakikat keindahan sesuatu tidak akan
sama antara yang melalui dan merasainya
dengan segolongan yang hanya mengetahui
melalui pembacaan atau mendengar dari
seseorang yang menempuhi jalan-jalan tersebut,
“Keenakan sebiji buah hanya dapat dihayati oleh
yang memakannya”, namun diharapkan ianya
menjadi pendorong yang kuat kepada semua
pembaca untuk meneruskan penelitian dan
pengamatan terhadap jalan-jalan kebenaran yang
murni ini, agar seluruh keindahan Islam dapat
dihayati dalam ertikata sebenar, zahir dan batin.
Saya mengakui pengamatan yang singkat yang
saya lakukan mungkin mempunyai banyak
kelemahan, namun dengan rendah diri saya
memohon tunjukajar dan pandangan baik semua
pembaca. Penulisan ini diharapkan menjadi
dorongan kepada penulis untuk terus
berkecimpung memberikan sumbangan untuk
kemajuan dan meningkatkan lagi khazanah
ilmuan Islam.
Semoga diberkati Allah s.w.t.
Akhukum fil Islam
Dato’ Haji Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Pensyarah Kanan
ITM Cawangan Pahang
20 April 1999.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar