Kamis, 31 Oktober 2013

4: RASULULLAH S.A.W DAN PARASAHABAT FANA DALAM WAHYU BAQADALAM UBUDIAH


Pada hari Isnin 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos
tahun 610 Masehi, ketika Nabi Muhammad s.a.w
berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari, datanglah
malaikat Jibrail a.s kepada baginda s.a.w yang
sedang berkhalwat di Gua Hiraa. Jibrail a.s yang
muncul secara tiba-tiba itu terus berkata:
“Baca!” Nabi Muhammad s.a.w menjawab:
“Saya tidak tahu membaca”. Jibrail a.s terus
menangkap Nabi Muhammad s.a.w. Diserkupnya
baginda s.a.w dengan kain rida’ dan dipeluknya
sehingga baginda s.a.w mengalami kesukaran
untuk bernafas. Kemudian dilepaskannya dan
disuruhnya baginda s.a.w membaca seperti
mulanya. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak
tahu membaca. Sekali lagi Jibrail a.s menangkap
Nabi Muhammad s.a.w dan dilakukannya seperti
mula-mula tadi. Pelukan Jibrail a.s kali ini lebih
erat daripada yang pertama tadi, menyebabkan
baginda s.a.w hampir-hampir tidak dapat
bernafas. Kemudian baginda s.a.w dilepaskan
oleh Jibrail a.s dan disuruhnya lagi baginda
s.a.w membaca. Baginda s.a.w masih
mengatakan tidak tahu membaca. Buat kali ke
tiga Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad
s.a.w, menutup baginda s.a.w dengan kain rida’
dan memeluk baginda s.a.w dengan erat.
Perbuatan yang demikian sangat memayahkan
baginda s.a.w bernafas. Setelah melepaskan
baginda s.a.w buat kali ke tiganya, Jibrail a.s
membacakan firman Allah:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
Ia menciptakan manusia dari segumpal darah
beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena
dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang
tidak diketahuinya. ( Ayat 1 – 5 : Surah
al-‘Alaq )
Termetrailah wahyu pertama di dalam dada Nabi
Muhammad s.a.w. Sekali Jibrail a.s
membacakan wahyu kepada Nabi Muhammad
s.a.w, wahyu tersebut akan melekat, terpahat
pada hati baginda s.a.w, tidak akan hilang atau
pudar buat selama-lamanya. Baginda s.a.w
mengikuti bacaan Jibrail a.s dengan fasih. Setiap
huruf dan ayat yang baginda s.a.w bacakan
membuka segala tutupan dan menghuraikan
segala simpulan yang tidak mampu dihuraikan
oleh fitrah baginda s.a.w selama baginda s.a.w
berkhalwat di Gua Hiraa. Apa yang tidak mampu
disingkap oleh akal dan renungan batin sudah
terjawab dengan kedatangan wahyu. Kebenaran
yang disampaikan oleh wahyu adalah kebenaran
yang muktamad.
Nabi Muhammad s.a.w menerima perkhabaran
wahyu dengan sepenuh jiwa raga tanpa sebarang
keraguan walaupun sebesar zarah. Baginda
s.a.w yakin penuh dengan kebenaran berita dan
janji yang wahyu sampaikan. Wahyu sentiasa
turun membimbing baginda s.a.w serta memberi
ketetapan hati, meneguhkan kepercayaan dan
pendirian baginda s.a.w di dalam melaksanakan
amanah yang Allah s.w.t serahkan kepada
baginda s.a.w. Tempoh wahyu turun kepada
baginda s.a.w adalah 22 tahun, 2 bulan dan 22
hari.
Wahyu turun kepada Nabi Muhammad s.a.w
melalui tujuh cara. Cara yang pertama adalah
mimpi yang benar. Apabila baginda s.a.w
melihat sesuatu di dalam mimpi, pandangan
yang kelihatan adalah terang seperti cuaca
subuh. Apa yang baginda s.a.w saksikan di
dalam mimpi benar-benar berlaku. Wahyu cara
ke dua dihantarkan oleh malaikat kepada hati
baginda s.a.w. Baginda s.a.w mengetahui
sesuatu secara spontan, tanpa berfikir atau
merenung. Wahyu cara ke tiga dibawa oleh
malaikat Jibrail a.s yang menggunakan bentuk
misal. Contohnya Jibrail a.s pernah memakai
rupa salah seorang daripada sahabat Rasulullah
s.a.w yang elok wajahnya iaitu Dihyah bin
Khalifah al-Kalbi. Sahabat inilah yang kemudian
hari menjadi wakil Rasulullah s.a.w
menyampaikan surat baginda s.a.w kepada
Heraklius, penguasa kerajaan Roman Timur.
Wahyu cara ke empat pula datang kepada
Rasulullah s.a.w seperti suara loceng. Wahyu
cara inilah yang paling berat dan memenatkan
baginda s.a.w. Baginda s.a.w pernah berpeluh
pada musim dingin tatkala menerima kedatangan
wahyu cara ke empat ini. Pernah satu ketika
paha Rasulullah s.a.w sedang menindih paha
Zaid bin Sabit ketika wahyu yang seperti suara
loceng ini turun kepada baginda s.a.w. Zaid
merasakan seolah-olah pahanya akan pecah
menanggung paha Rasulullah s.a.w yang sedang
menerima wahyu tersebut. Wahyu cara ke lima
datang kepada Rasulullah s.a.w dengan menderu
seperti suara lebah. Pada cara ke enam pula
Jibrail a.s datang kepada Rasulullah s.a.w dalam
rupanya yang asli. Wahyu cara ke tujuh adalah
penyampaian secara langsung daripada Allah
s.w.t kepada Rasulullah s.a.w, tanpa sebarang
perantaraan, seperti yang pernah dialami oleh
Nabi Musa a.s.
Ketegasan dan keteguhan Rasulullah s.a.w
menyampaikan dakwah melalui bimbingan wahyu
ternyata pada kata-kata baginda s.a.w kepada
bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, yang
menyampaikan kepada baginda s.a.w
permintaan kaumnya agar baginda s.a.w
menghentikan pekerjaan dakwah. Baginda s.a.w
memberikan jawapan yang tegas: “Wahai
bapaku. Walaupun mereka meletakkan matahari
pada bahuku yang kanan dan bulan pada bahuku
yang kiri dengan maksud daku meninggalkan
tugasku, tidak akan daku tinggalkannya
sehinggalah agama ini menang atau daku binasa
sebelumnya!”
Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melepaskan
pergantungan kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w
memperolehi berbagai-bagai kemuliaan dan
ketinggian tetapi segala puji-pujian diperuntukkan
kepada Allah s.w.t semata-mata. Apabila
baginda s.a.w dipuji oleh orang ramai baginda
s.a.w mengembalikan pujian itu kepada Allah
s.w.t. Baginda s.a.w sangat cermat dan tegas di
dalam menanggung wahyu. Apa yang
diperintahkan oleh Allah s.w.t baginda s.a.w
melaksanakannya sendiri terlebih dahulu
sebelum menyuruh orang lain melakukannya.
Baginda s.a.w telah menunjukkan contoh teladan
melalui diri baginda s.a.w sendiri. Tidak ada
istilah hukum yang wajib untuk orang ramai tetapi
tidak wajib untuk Rasulullah s.a.w. Hukum Allah
s.w.t berjalan sama rata sama rasa, kepada
Rasulullah s.a.w dan juga kepada umat baginda
s.a.w. Jika umat baginda s.a.w wajib
mengerjakan sembahyang lima waktu sehari
semalam baginda s.a.w juga wajib berbuat
demikian, malah baginda s.a.w lakukan melebihi
daripada apa yang dikerjakan oleh orang lain.
Baginda s.a.w memperbanyakkan sembahyang
malam hingga bengkak tumit baginda s.a.w,
tetapi umat baginda s.a.w tidak diwajibkan
berbuat demikian, walaupun digalakkan.
Nabi Muhammad s.a.w sangat mengasihi umat
manusia. Baginda s.a.w pernah disakiti oleh
kaum baginda s.a.w tetapi baginda s.a.w
mengelakkan daripada mendoakan keburukan
untuk mereka. Baginda s.a.w lebih suka
mendoakan: “Wahai Tuhanku! Tunjukilah kaumku
kerana mereka tidak mengerti.” Kadang-kadang
baginda s.a.w mendoakan: “Wahai Tuhanku!
Ampunilah kaumku kerana mereka tidak tahu”.
Begitulah halusnya nilai budi dan akhlak
Rasulullah s.a.w yang diasuh oleh wahyu.
Rasulullah s.a.w menerima wahyu sebagai
kebenaran yang Mutlak. Apa juga bakat yang ada
dengan baginda s.a.w seperti fikiran, ilham dan
kasyaf, baginda s.a.w gunakan sebaik mungkin
bagi menterjemahkan wahyu dan menyatakan
kebenaran wahyu itu. Tidak pernah terjadi
baginda s.a.w mengeluarkan buah fikiran, ilham
atau kasyaf yang berbeza dengan wahyu.
Baginda s.a.w menggunakan segala bakat
baginda s.a.w untuk menyokong wahyu. Cara
yang baginda amalkan menyebabkan Hadis
menjadi sumber hukum selepas al-Quran. Hadis
yang benar daripada Rasulullah s.a.w tidak
sezarah pun bercanggah dengan al-Quran.
Rasulullah s.a.w dengan perintah, petunjuk dan
bimbingan wahyu menjalani kehidupan di dalam
dunia ini sebagai manusia biasa bukan sebagai
malaikat atau manusia luar biasa. Baginda s.a.w
menjalani kehidupan yang ada urusan beristeri
dan berkeluarga, bermasyarakat, merasai
kenyang dan lapar, sihat dan sakit dan segala
aspek kehidupan manusia biasa, hinggakan
baginda s.a.w menjalani juga proses kematian
walaupun ada Nabi yang tidak menjalani proses
tersebut. Kehidupan yang baginda s.a.w jalani itu
berdasarkan bimbingan wahyu yang maha benar.
Baginda s.a.w adalah orang yang paling arif
mengenai maksud wahyu. Terjemahan wahyu
yang baginda s.a.w tunjukkan dengan prinsip
dan amalan kehidupan baginda s.a.w sendiri
merupakan suasana kehidupan yang paling
utama, paling baik, paling mulia dan paling
tinggi. Suasana demikian juga yang dijalani oleh
para sahabat baginda s.a.w. Mereka adalah
puak yang bergerak di atas muka bumi, di dalam
dunia, menyebarkan apa yang diajarkan oleh
Rasulullah s.a.w.
Setelah diangkat menjadi Rasul Allah, Nabi
Muhammad s.a.w menerima perintah mengenai
enam perkara yang menjadi dasar pembentukan
umat yang ingin kembali kepada kemurnian fitrah
mereka dan melaksanakan kewajipan kehambaan
kepada Allah s.w.t. Enam dasar yang konkrit itu
adalah:
1: menyampaikan, mengajak serta membimbing
umat manusia supaya mematuhi sekalian
perintah Allah s.w.t dan menjauhi sekalian
larangan-Nya dengan sepenuh kekuatan dan
kebijaksanaan.
2: bersyukur kepada Allah s.w.t yang
menciptakan dan mengurniakan nikmat
kesinambungan hidup sehingga umat manusia
tidak menemui kesukaran di dalam menjalani
kehidupan dan mendapatkan keperluan mereka.
3: membersihkan pakaian dan perbuatan zahir
serta amalan hati bagi mencapai kesempurnaan
takwa.
4: meninggalkan segala yang keji dan munkar
seperti syirik, berhala, arak, judi, zina, riba dan
lain-lain yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
5: mengikhlaskan niat dan amalan supaya
kepentingan diri tidak merobohkan benteng
keadilan dan supaya fitnah kebendaan tidak
memesongkan haluan ubudiah (kehambaan)
terhadap Allah s.w.t.
6: semua perkara yang dinyatakan di atas
hendaklah dilengkapkan dengan sabar kerana
dugaan di dalam melakukan kebaikan jauh lebih
kuat daripada dugaan meninggalkan kejahatan.
Sabar menjadi prinsip yang kukuh
mempertahankan diri dalam menghadapi
halangan dan penentangan di sepanjang jalan
menyebarkan dan melakukan kebaikan.
Wahyu telah memberi jawapan yang konkrit
terhadap permasalahan yang tidak mampu
dihurai oleh fikiran, ilham dan kasyaf. Apabila
wahyu datang selesailah perjuangan batin Nabi
Muhammad s.a.w di dalam mencari hakikat yang
sebenar. Kebenaran Hakiki yang baginda s.a.w
terima melalui wahyu itu dipertanggungjawabkan
kepada baginda s.a.w untuk disampaikan pula
kepada sekalian manusia. Baginda s.a.w tidak
boleh lagi memencilkan diri di dalam Gua Hiraa.
Apabila cahaya kebenaran memancar di dalam
lubuk hati dan bidang tugas dibukakan, baginda
s.a.w mesti keluar kepada orang ramai, kepada
dunia, bagi menyampaikan amanah yang baginda
s.a.w tanggung dengan bersuluhkan cahaya
kebenaran.
Wahyu menceritakan tentang Allah s.w.t, Tuhan
yang bersifat dengan sifat-sifat Kesempurnaan,
Yang Maha Mulia dan memiliki nama-nama yang
baik-baik. Diterangkan juga tentang kejadian
manusia. Wahyu mengajar manusia berbuat
kebaktian kepada Allah s.w.t. Diajarkan cara
perhubungan dengan sesama manusia. Wahyu
sangat menekankan soal takwa iaitu mematuhi
titah perintah Allah s.w.t, tidak keluar daripada
sempadan jalan yang lurus yang telah digariskan
oleh Allah s.w.t sendiri. Wahyu mendidik
manusia supaya hidup sebagai hamba Tuhan
dengan sebenar-benar kehambaan. Wahyu telah
dengan tegas dan jelas meletakkan manusia
pada taraf hamba Tuhan, bukan taraf yang lain
daripada itu.
Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh
mengajarkan al-Quran kepada kaum Muslimin.
Pendidikan al-Quran berkembang dengan sangat
pesat setelah baginda s.a.w dan kaum Muslimin
berhijrah ke Madinah. Jika Rasulullah s.a.w
sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-
Quran, kaum Muslimin pula sangat bersungguh-
sungguh mempelajarinya. Sebahagian daripada
kaum Muhajirin yang berhijrah ke Madinah
terpaksa tinggal di luar kota Madinah, di satu
kawasan yang bernama Sunuh, kira-kira 20 km
dari masjid Rasulullah s.a.w. Di sana mereka
mendirikan rumah-rumah dan menguruskan
kebun-kebun. Saidina Abu Bakar dan Saidina
Umar adalah di antara mereka yang tinggal di
Sunuh. Jarak 20km itu tidak menghalang mereka
mempelajari al-Quran daripada Rasulullah s.a.w.
Mereka telah menyusun jadual pembelajaran al-
Quran dengan rapi. Tiap-tiap hari mereka
menghantarkan dua atau tiga orang wakil dari
Sunuh pergi ke Madinah. Sepanjang hari wakil
dari Sunuh akan mendapatkan apa sahaja yang
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, terutamanya
ayat-ayat al-Quran yang baharu turun. Mereka
mempelajari al-Quran secara menghafal dan
memahami dengan lengkap. Jika ada larangan
atau perintah atau amalan yang disampaikan
oleh al-Quran mereka akan mendapatkan
penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada
Rasulullah s.a.w. Apa juga ayat yang turun pada
hari itu mesti dihafalkan pada hari itu juga
kerana pada hari esoknya mungkin ada pula
ayat-ayat yang baharu turun. Setelah hari petang
mereka kembali semula ke Sunuh dan pada
malam itu juga atau paling lewat keesokan
harinya semua pelajaran yang diterima daripada
Rasulullah s.a.w sudah disampaikan kepada
semua kaum Muslimin di Sunuh. Mereka
mempelajari al-Quran tanpa bertangguh-tangguh.
Al-Quran dipelajari secara menyeluruh iaitu
membaca, menghafal, memahami dan
mengamalkan. Program pembelajaran al-Quran
yang diatur oleh Saidina Abu Bakar dan sahabat-
sahabat beliau di Sunuh sungguh berkesan
sehingga mereka boleh menjalankan kegiatan
harian untuk menampung perbelanjaan mereka
dan pada masa yang sama mereka boleh
mempelajari al-Quran dengan sempurna.
Kegiatan pertanian, perniagaan, penternakan,
pertukangan dan lain-lain boleh berjalan dengan
lancar jika pembelajaran al-Quran dilakukan
dengan bersistematik. Kesungguhan mempelajari
al-Quran tidak menjejaskan urusan kehidupan
harian.
Rasulullah s.a.w sangat teliti di dalam
menyampaikan ayat-ayat suci al-Quran kepada
kaum Muslimin. Setiap kali turun ayat baginda
s.a.w akan mengumpulkan sahabat-sahabat
baginda s.a.w dan ayat yang baharu turun itu
disampaikan dengan pembacaan yang betul,
sebutan setiap huruf mengikut kadar panjang dan
pendek yang harus dibunyikan. Bacaan yang
tepat sebutannya dihafal berulang-ulang
sehingga ayat-ayat tersebut benar-benar melekat
di dalam ingatan dan hati mereka. Mereka tidak
berganjak daripada majlis Rasulullah s.a.w
sebelum mereka dapat menyebut ayat-ayat al-
Quran dengan betul dan menghafalnya dengan
baik. Bukan sekadar membaca dan menghafal,
malah mereka juga dilengkapkan dengan
pengetahuan dan pengertian yang jelas tentang
maksud ayat, kedudukan susunannya di dalam
al-Quran dan hubung-kaitnya dengan ayat-ayat
yang lain. Jika ayat tersebut melibatkan
peraturan dan amalan maka kaedah peraturan
dan amalan itu difahami benar-benar. Semua itu
mereka pelajari secara langsung daripada
Rasulullah s.a.w. Kemudian apa yang sudah
mereka pelajari itu mereka sampaikan pula
kepada kawan-kawan mereka yang tidak sempat
menghadiri majlis Rasulullah s.a.w.
Selain dihafal, ayat-ayat al-Quran juga ditulis di
atas kulit binatang, tulang-tulang yang lebar,
pelepah-pelepah tamar yang sudah dikeringkan
dan batu-batu yang lebar. Jadi, ayat al-Quran
bukan sahaja dipelihara di dalam dada kaum
Muslimin malah ia juga dipelihara secara
bertulis. Lembaran al-Quran yang bertulis itu
disimpan di rumah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w telah mewariskan al-Quran
kepada umat baginda s.a.w dengan cara yang
paling berkesan dan selamat. Atas kebijaksanaan
baginda s.a.w umat Islam yang datang kemudian
dapat menerima al-Quran dalam keasliannya.
Selain daripada jurutulis wahyu yang khusus
terdapat kira-kira 40 orang yang mengambil
bahagian di dalam bidang penulisan wahyu. Cara
yang demikian lebih memudahkan kaum
Muslimin menyebarkan al-Quran.
Rasulullah s.a.w sangat menekankan soal
menghafal al-Quran. Baginda s.a.w memberi
petunjuk mengenai penghafalan ayat-ayat al-
Quran dengan sabda baginda s.a.w yang
bermaksud: “Perumpamaan orang yang
menghafal al-Quran adalah seperti orang yang
memiliki unta yang diikat. Jika unta itu dijaga ia
terpelihara. Jika dilepaskan ia akan hilang”.
Baginda s.a.w mengajarkan supaya mengikat
hafalan al-Quran dengan cara terus mengulangi
bacaannya seberapa kerap yang terdaya. Selain
daripada menghafal, pemahaman dan amalan
juga dititik-beratkan. Ibnu Mas’ud menceritakan:
“Apabila seseorang kami mempelajari sepuluh
ayat dari al-Quran kami tidak akan berpindah
kepada ayat lain sebelum kami mengetahui
benar-benar maksudnya dan tahu cara beramal
dengannya”. Ramai para sahabat menceritakan
bahawa Rasulullah s.a.w mengajarkan ayat-ayat
al-Quran kepada mereka secara sepuluh ayat
sekali belajar, tetapi lengkap dengan menghafal,
memahami maksud, tahu mengamalkannya dan
tahu kedudukannya berhubung dengan ayat-ayat
lain yang turun terdahulu. Mereka mempelajari al-
Quran, menyimpan serta mengamalkannya.
Rasulullah s.a.w selama-lamanya membaca al-
Quran secara tartil, membaca dengan terang dan
perlahan-lahan, mengeluarkan bunyi setiap huruf
dengan jelas. Cara bacaan yang demikian
baginda s.a.w sebarkan kepada para sahabat.
Cara tersebut selain memberi faedah kepada
para pembaca juga memudahkan pendengar
mengikuti serta menghafalnya.
Rasulullah s.a.w berjaya membentuk satu umat
yang tidak pernah wujud di atas muka bumi
seperti mereka sebelumnya dan tidak akan ada
lagi yang menyamai mereka sesudahnya. Itulah
umat yang setiap ahlinya terdiri daripada orang
yang arif tentang al-Quran. Jika dilihat al-Quran
dari sudut perlembagaan negara maka setiap ahli
masyarakatnya adalah ahli politik yang arif
tentang peraturan negara. Jika dilihat al-Quran
sebagai kod etika sosial maka setiap ahli
masyarakatnya adalah pemimpin yang
bertanggung-jawab kepada apa yang dipimpin,
baik keluarga, perniagaan, pertanian,
penternakan dan sebagainya. Jika dilihat al-
Quran sebagai kitab ilmu perang maka setiap
ahli masyarakatnya adalah perajurit yang sentiasa
bersedia menyahut panggilan jihad. Jika al-Quran
dilihat sebagai peraturan kehidupan maka setiap
ahlinya adalah ahli syariat yang taat. Jika dilihat
al-Quran sebagai penyampai khabar tentang
Allah s.w.t maka setiap ahli masyarakatnya
adalah ahli makrifat yang benar-benar mengenal
Allah s.w.t. Jika dilihat al-Quran sebagai ajaran
penyucian hati maka setiap ahli masyarakatnya
adalah yang sangat mendalam pengertian
mereka mengenai hati. Mereka beragama secara
menyeluruh. Darah, daging, tulang, sumsun dan
urat saraf adalah Muslim. Pendengaran,
penglihatan, penciuman, pergerakan dan akal
fikiran mereka adalah Muslim. Hati mereka
adalah Muslim. Roh mereka adalah Muslim.
Mereka memakai satu makam sahaja iaitu
makam HAMBA ALLAH! Mereka tidak tahu
perbezaan istilah-istilah syariat, tarekat, hakikat,
makrifat, ilmu tauhid, ilmu fikah, ilmu tasauf dan
yang seumpamanya. Mereka adalah ahli al-Quran
dan ilmu mereka adalah ilmu al-Quran.
Rasulullah s.a.w menyiramkan roh dan jiwa raga
sahabat baginda s.a.w dengan air al-Quran.
Lahirlah individu yang cergas dalam segala
bidang. Mereka yang menjadi petani bekerja
bersungguh-sungguh dengan segala kemahiran
yang mereka miliki bagi menghasilkan makanan
dan keperluan kaum Muslimin. Peniaga pula
mengumpulkan harta sebanyak mungkin secara
halal untuk disumbangkan kepada pembangunan
umat dan juga jihad fi-sabilillah. Apa juga nikmat
yang diperolehi diperakui sebagai kurniaan Allah
s.w.t yang dipertaruhkan sebagai amanah, bukan
sebagai milik individu sepenuhnya. Individu yang
menerima kurniaan tersebut mentadbirkannya
secara yang diredai oleh Allah s.w.t. Apabila
pemilikan harta longgar pada hati mudahlah
melepaskannya demi kepentingan agama Allah
s.w.t kerana Allah s.w.t adalah Pemilik sebenar.
Saidina Abu Bakar as-Siddik melepaskan
kesemua hartanya demi jihad fi-sabilillah. Para
sahabat yang lain menyumbangkan menurut
kadar masing-masing. Tidak ada yang menuntut
harta sebagai pemilikan mereka sepenuhnya.
Kaum Ansar telah membuktikannya dengan
kesanggupan mereka melepaskan harta dan
tanah pemilikan mereka demi membantu
saudara-saudara mereka kaum Muhajirin. Apa
yang dilepaskan itu diserahkan sepenuhnya
kepada Rasulullah s.a.w. Terpulang kepada
baginda s.a.w bagaimana mahu membahagikan
harta Ansar tersebut.
Al-Quran telah membimbing Nabi Muhammad
s.a.w dan kaum Muslimin agar bergerak cergas
dalam segala bidang bagi membentuk kehidupan
yang sihat sejahtera sesuai dengan kehendak
dan peraturan Allah s.w.t. Kehidupan dunia yang
demikian menjadi asas kepada kehidupan
akhirat. Kesungguhan Rasulullah s.a.w dan para
sahabat baginda s.a.w membina kesejahteraan
di bumi dapat dilihat melalui program dan
strategi pertahanan dan ketenteraan yang rapi
disusun oleh baginda s.a.w bersama-sama para
sahabat baginda s.a.w. Ketika berlaku Perang
Badar dalam tahun ke dua hijrah tentera Islam
terdiri daripada 313 orang dengan alat
kelengkapan perang yang sangat sederhana.
Ketika berlaku Perang Uhud dalam tahun ke tiga
hijrah tentera Islam berjumlah 700 orang dengan
kelengkapan perang yang lebih baik daripada
ketika Perang Badar dahulu. Dalam tahun ke
lima hijrah berlaku pula Perang Khandak. Dalam
peperangan tersebut tentera Islam sudah
berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan
perang yang mencukupi. Dalam tahun ke enam
hijrah Rasulullah s.a.w memimpin 1,700 orang
kaum Muslimin menuju Makkah dengan bilangan
kuda sebanyak 200 ekor. Dalam tahun ke
sepuluh hijrah baginda s.a.w memimpin 10,000
orang tentera Muslimin menakluki kota Makkah.
Bilangan kuda pada masa itu sudah berjumlah
1,000 ekor. Pada tahun ke sembilan hijrah
baginda s.a.w memimpin hampir 40,000 orang
tentera Muslimin ke Tabbuk dalam daerah Syam.
Mereka menggunakan 10,000 ekor kuda dan
20,000 ekor unta. Mereka mampu meredah jarak
2,000 batu yang sebahagian besarnya adalah
padang pasir. Bukan pekerjaan yang mudah
membentuk 40,000 orang tentera yang tinggal di
merata tempat dalam Semenanjung Arab. Mereka
terdiri daripada berbagai-bagai suku dan kaum.
Kerja penyelarasan pasukan tentera yang begitu
besar bukanlah mudah. 40,000 orang tentera,
10,000 ekor kuda dan 20,000 ekor unta
berkumpul di Madinah pada satu masa sebelum
berangkat ke Tabbuk. Tempat tinggal, makan
dan minum mereka semua diperlukan. Pekerjaan
yang berat itu dapat diselenggarakan oleh kaum
Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w.
Apa yang tidak dapat dibuat oleh umat lain
mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad
s.a.w kerana mereka mendapat pimpinan yang
langsung dari Allah s.w.t melalui wahyu-Nya,
melalui Rasul-Nya. Al-Quran telah berjaya
membentuk umat yang menjadi penolong dan
pembela agama Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w
mengatakan di Arafah bahawa orang yang boleh
menolong agama Islam adalah mereka yang
memberikan sepenuh hatinya kepada Islam dan
bekerja dalam segala jurusan untuk Islam. Orang
yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja
tidak dapat menyumbangkan kepada
perkembangan Islam secara berkesan. Hanya
mereka yang menyerah secara menyeluruh
dirinya, tenaganya, hartanya dan masanya untuk
Islam benar-benar mampu menaikkan Islam.
Orang yang menolong Islam dalam satu jurusan
sahaja, misalnya dalam jurusan ibadat sahaja
atau dalam jurusan ekonomi sahaja atau politik
sahaja, tidak banyak membantu kepada
pertumbuhan dan perkembangan agama Islam.
Hanya puak Ansar (orang yang menolong dan
membela Islam dalam segala bidang) dapat
menyokong perkembangan Islam. Orang Ansar
mengenepikan segala kepentingan diri demi
agama Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t!
Rasulullah s.a.w juga memberikan perhatian
kepada bidang ekonomi. Di dalam pelan
pembangunan Madinah baginda s.a.w tidak lupa
menyediakan kawasan untuk dijadikan pusat
perniagaan kaum Muslimin. Sebelumnya kaum
Muslimin Madinah berkumpul di pasar Yahudi
Banu Kainuka. Sistem pasar tersebut berjalan
menurut peraturan Yahudi. Rasulullah s.a.w
sangat tidak menyukai apa sahaja yang
bercanggah dengan peraturan Allah s.w.t.
Baginda s.a.w mahu kaum Muslimin berniaga
menurut prinsip perekonomian Islam. Oleh itu
baginda s.a.w membuka pusat perniagaan yang
baharu. Baginda s.a.w bersabda yang
maksudnya: “Inilah tapak tempat perniagaan
kamu, semoga ia tidak sempit dan tidak dipungut
hasil padanya”. Muncullah sebuah pekan kecil
yang berperanan sebagai pasar bebas cukai milik
kaum Muslimin Madinah. Pusat perniagaan yang
dibuka oleh Rasulullah s.a.w itu diberkati Allah
s.w.t. Pengunjungnya sentiasa bertambah dan
pada masa yang sama pasar Yahudi menjadi
semakin lengang.
Tugas Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi
bukan sekadar menyediakan kawasan perniagaan
sahaja. Baginda s.a.w juga melindunginya agar
keadilan dalam perniagaan ditegakkan di sana.
Satu ketika baginda s.a.w melihat ada didirikan
khemah di kawasan perniagaan tersebut.
Baginda s.a.w memerintahkan agar khemah itu
dibakar. Sebelum terjadi perlumbaan mengawal
kepentingan diri sendiri dengan mencabut hak
orang lain, awal-awal lagi Rasulullah s.a.w
mencabut pokok yang berbisa itu, sebelum ia
sempat tumbuh segar dan merosakkan sistem
perekonomian kaum Muslimin. Baginda s.a.w
tidak mahu ruang perniagaan menjadi sempit
lantaran didirikan bangunan di atasnya. Tidak
ada pemilikan dan penguasaan individu di dalam
kawasan perniagaan yang di bina oleh Rasulullah
s.a.w.
Pada masa yang lain pula Rasulullah s.a.w
melihat ada peniaga yang menumpuk gandum.
Baginda s.a.w memasukkan tangan baginda
s.a.w ke dalam tumpukan gandum itu dan
mendapati bahagian bawahnya basah. Baginda
s.a.w memerintahkan agar bahagian yang basah
diletakkan di atas supaya pembeli tidak tertipu.
Baginda s.a.w juga menegur sikap peniaga yang
sengaja menaikkan harga barang. Baginda s.a.w
bersabda yang maksudnya: “Orang yang
membawa barang ke pasar ini seperti orang yang
berjihad fi-sabilillah. Orang yang menaikkan
harga barang seperti orang yang kufur dengan
Allah s.w.t”.
Di dalam pelan pembangunan Madinah masjid
menjadi pusat atau jantung yang segala aktiviti
bergerak mengelilinginya. ‘Roh’ kepada jantung
itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Daripada
masjid baginda s.a.w memancarkan kehidupan
yang baik yang berbentuk kerohanian dan juga
kebendaan. Jika masjid diibaratkan jantung,
maka darah yang dihantarkan oleh jantung
kepada semua bahagian adalah al-Quran. Darah
al-Quran memberikan kekuatan kepada kaum
Muslimin. Kaum Muslimin bekerja di atas dasar
mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
Pembangunan kebendaan berdasarkan prinsip
keadilan dan kebenaran.
Wahyu meninggalkan kesan yang sangat
mendalam kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut
baginda s.a.w. Setiap kali wahyu turun terjadilah
perubahan pada diri mereka dan suasana di
sekeliling mereka. Wahyu yang dibacakan sendiri
oleh Rasulullah s.a.w mempunyai kekuatan untuk
mendatangkan perubahan. Apabila Rasulullah
s.a.w membaca wahyu yang menegur sesuatu
perkara yang ada pada mereka, maka dengan
segera mereka mengambil tindakan
menyesuaikan diri dengan teguran tersebut.
Amalan, kepercayaan, tradisi dan apa sahaja
mereka boleh lepaskan dengan mudah apabila
datang perintah wahyu. Pekerjaan berat dan
belum pernah mereka lakukan akan menjadi
ringan jika wahyu memerintahkan mereka
melakukan pekerjaan tersebut. Apabila datang
wahyu mengharamkan arak, orang yang sedang
memegang botol arak terus mencampakkannya,
sekalipun mereka merupakan orang yang
ketagihkan arak. Begitulah kekuatan wahyu yang
dibacakan secara langsung oleh Rasulullah
s.a.w. Kaum Muslimin sentiasa mengharapkan
kedatangan wahyu untuk memberi petunjuk,
bimbingan dan teguran kepada mereka.
Kedatangan wahyu adalah umpama kedatangan
kekasih yang mereka rindui. Mereka fana di
dalam wahyu hinggakan tidak ada perkataan
yang menguasai mereka melebihi perkataan
Allah s.w.t. Mereka baqa di dalam perintah
wahyu iaitu kehambaan kepada Allah s.w.t
hinggakan tidak ada yang menguasai mereka
melainkan peraturan Allah s.w.t. Itulah umat
Nabi Muhammad s.a.w yang fana dalam wahyu
dan baqa dalam ubudiah (kehambaan).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar