Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Selasa, 29 Oktober 2013
30: Tarekat Kehidupan Harian
Setiap orang yang hidup dalam dunia ini
membina kehidupan masing-masing berdasarkan
dorongan naluri semulajadi seperti keinginan
berkeluarga, mencari rezeki, memiliki tempat
tinggal dan sebagainya yang mensejahterakan
kehidupan di dalam alam ini. Hasilnya seseorang
itu berjaya memiliki sesuatu seperti pekerjaan
yang baik, tempat tinggal yang selesa dan
kemudahan asas yang lain yang diperlukan.
Masing-masing juga sudah berkeluarga, hidup
bahagia bersama isteri dan anak-anak. Bukan
mudah mahu membina kehidupan yang selesa
dan bahagia itu. Seseorang itu perlu melalui
kesusahan dan pengorbanan bagi
memperolehinya. Adakah jika seseorang itu
mahu memasuki bidang kerohanian dia mesti
meninggalkan atau membuang apa sahaja yang
telah dimilikinya itu? Patutkah dia meninggalkan
pekerjaan, rumah tangga, isteri, anak-anak dan
masyarakat lalu lari ke hutan dan gua?
Orang yang cenderung kepada aliran tarekat
tasauf gemar menjadikan kehidupan wali-wali
yang dibaca daripada buku-buku sebagai contoh
tauladan. Aspek kewalian yang paling menarik
perhatian adalah kekeramatan. Kekeramatan
dianggap sebagai bukti ketinggian makam
seseorang wali itu. Kebolehan wali mengeluarkan
kekeramatan dikaitkan dengan sifat zuhud dan
bertawakal penuh yang dimiliki oleh wali
tersebut. Orang yang berminat kepada tarekat
tasauf itu mengandaikan jika mahu memperolehi
pangkat kewalian dan boleh mengeluarkan
kekeramatan, perlulah dia memilih hidup
bertajrid sepenuhnya dengan meninggalkan
ikhtiar dan dia perlu bertawakal sepenuhnya
kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid
membuat seseorang meninggalkan pekerjaan,
isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia
seluruhnya. Dia lari ke hutan, ke puncak gunung
dan ke gua-gua. Dia mengasingkan dirinya
daripada segala-galanya yang dia anggap boleh
menghalang perkembangan kerohaniannya.
Ketika di dalam pengasingan itu dia meniru cara
hidup wali-wali. Dia memaksa dirinya supaya
menjadi kuat beribadat dan berzikir. Tidak
memperdulikan keselamatan dirinya dan tidak
mengambil tahu apa yang berlaku di
sekelilingnya.
Biasanya orang yang bertajrid secara melulu ini
tidak dapat bertahan lama. Kesabarannya tidak
cukup kuat untuk menanggung kesusahan yang
mendatanginya semasa dalam pengasingan.
Kerinduan kepada anak-anak selalu mengganggu
jiwanya. Kecemburuan terhadap isteri yang jauh
di mata merisaukan fikirannya. Harta yang
banyak ditinggalkan mungkin sudah direbut oleh
orang lain. Dia pula tidak dapat makan dengan
mencukupi, tidurnya juga tidak selesa. Tubuhnya
menjadi lemah dan semangatnya juga lemah.
Akhirnya dia tidak tahan lagi menanggung
penderitaan dan kegelisahan. Dia lari daripada
alam pengasingan dan kembali kepada
kehidupannya yang lama. Setelah kembali dia
melihat kerugian yang sudah dialaminya selama
dia lari ke hutan. Kerugian perlu dituntut ganti.
Kali ini dia menggunakan apa juga cara untuk
menebus semula masa dan peluang yang telah
terlepas daripadanya. Kelakuannya menjadi lebih
buruk daripada sebelum dia lari ke dalam alam
pengasingan dahulu.
Bertajrid secara melulu memberi kesan yang
tidak baik kepada orang yang mencintai jalan
kerohanian. Tidak mungkin seseorang yang
baharu mahu memulakan latihan tarekat
kerohanian beramal seperti wali-wali yang sudah
berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan
mencampakkan segala-galanya yang dimilikinya
secara tergesa-gesa membuatkan dia
berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang
menggoncangkan imannya dan boleh
menyebabkan dia berputus asa. Dia tidak
seharusnya meniru secara melulu kehidupan
wali-wali yang sudah mencapai makam
keteguhan. Seseorang perlu melihat kepada
dirinya sendiri; mengenalpasti kedudukannya,
kemampuannya dan daya tahannya.
Ketika masih di dalam makam asbab dia perlu
bertindak sesuai dengan hukum sebab akibat.
Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya.
Dia juga perlu mengadakan sebab bagi
mensejahterakan kehidupannya. Sebagai
persediaan memasuki bidang kerohanian dia
terlebih dahulu perlu bergerak di atas landasan
sebab musabab yang boleh memperkuatkan
daya tahan dan kesabarannya. Dia masih lagi
terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih
melihat tindakan makhluk mempunyai kesan dan
pengaruh. Oleh yang demikian adalah wajar jika
dia juga mengadakan tindakan menurut hukum
sebab musabab dengan menggunakan bakat
kemanusiaannya demi mengatur perancangan
dengan rapi agar apa yang dia hajati boleh
tercapai. Jika niatnya benar dan baik, perjalanan
sebab musabab akan membantunya menuju ke
arah yang dihajatinya. Tanda seseorang itu
diletakkan di dalam sempadan asbab sebagai
kenderaannya menuju matlamat, adalah urusan
dan tindakannya menurut peraturan sebab
musabab tidak menyebabkannya mengabaikan
kewajipannya terhadap tuntutan agama. Dia tetap
berasa mudah untuk berbakti kepada Allah s.w.t,
tidak menggunakan cara yang diharamkan oleh
Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat dunia
dan tidak dengkikan nikmat yang Allah s.w.t
kurniakan kepada orang lain. Apabila ahli asbab
berjalan menurut hukum sebab musabab yang
tidak menyalahi syarak, jiwanya akan
berkembang dengan baik dan teratur, tanpa
menghadapi kegoncangan yang dia tidak berdaya
menanggungnya. Rohaninya akan menjadi kuat
sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam
suasana tajrid secara teratur dan selamat.
Akhirnya dia mampu bertajrid sepenuhnya.
Dalam kehidupan harian ada juga orang yang
dipaksa oleh takdir supaya terjun ke dalam
lautan tajrid. Orang ini asalnya tergolong di
dalam kumpulan ahli asbab yang hidup menurut
hukum sebab musabab seperti orang ramai.
Kehidupan dalam daerahasbab itu tidak
menambahkan kemantapan rohaninya. Dia
memerlukan perubahan bidang kehidupan
baharulah rohaninya boleh berkembang maju.
Bagi tujuan menambahkan kekuatan
kerohaniannya takdir memisahkannya daripada
apa sahaja yang menghalangnya daripada
berjalan kepada Tuhan. Pada peringkat
permulaan menerima kedatangan takdir yang
demikian, sebagai seorang yang masih terikat
dengan hukum sebab akibat, dia akan berusaha
sedaya upayanya untuk menahan takdir yang
tidak diingininya itu. Bila dia tidak berdaya
menolong dirinya sendiri dia akan meminta
pertolongan dengan orang lain yang mempunyai
kuasa. Kuasa yang ada dengan manusia tidak
mampu juga menolongnya menyekat kemaraan
takdir yang mendatanginya itu. Dia boleh
mengadakan sebab tetapi akibat yang
diharapkan tidak berlaku. Dia menghadapi
keadaan di mana hukum sebab akibat tidak
berdaya menembusi benteng takdir. Setelah
puas berusaha dan meminta pertolongan orang
lain, dia tidak ada pilihan lagi kecuali lari kepada
Tuhan. Dia merayu sambil menangis, memohon
Tuhan menolongnya, melepaskannya daripada
takdir yang menimpanya itu. Walau bagaimana
sekalipun dia merayu namun tangan takdir yang
mencengkamnya tidak juga terlepas. Akhirnya dia
tidak berkuasa melawan lagi. Dia mengaku kalah
dan tunduk kepada perjalanan takdir yang
menguasainya. Redalah dia dengan apa juga
takdir yang menimpanya. Dia tidak lagi merayu
kepada Tuhan, sebaliknya dia menyerah bulat-
bulat kepada-Nya. Tidak ada lagi ikhtiar, pilihan
dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang
hamba Allah s.w.t yang bertajrid sepenuhnya.
Bila seseorang hamba benar-benar bertajrid
maka Allah s.w.t akan menguruskan
kehidupannya.
Beberapa banyak binatang yang melata yang
tidak sanggup membawa rezekinya. Allah yang
menjamin rezekinya, juga terhadap kamu. Dia
Maha Mendengar Maha Mengetahui. ( Ayat
60 : Surah al-‘Ankabut )
Makhluk Tuhan seperti burung, ikan, ulat, semut,
kuman dan berbagai-bagai lagi tidak memiliki
kebun dan kilang makanan. Mereka adalah ahli
tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Tuhan.
Manusia tajrid juga dijamin rezekinya oleh Tuhan.
Bukan sekadar rezeki yang dijamin oleh Tuhan,
malah segala aspek kehidupannya diuruskan oleh
Tuhan. Tuhan mencabut kehendak dirinya yang
lama dan digantikan-Nya dengan kehendak yang
lain yang sesuai dengan kehendak-Nya. Tuhan
memeliharanya daripada melakukan apa yang
Dia murkai. Apa sahaja yang Dia mahu hantarkan
kepada hamba-Nya yang bertajrid, ditapis-Nya
agar ia tidak merosakkan iman dan iktikadnya.
Dia memelihara hamba-Nya yang demikian
daripada gangguan manusia lain yang tidak
mengerti. Dia yang membela hamba-Nya yang
demikian yang teraniaya. Penjagaan Tuhan
terhadap hamba-Nya yang bertajrid melebihi
penjagaan seorang ibu terhadap anaknya yang
masih bayi. Allah s.w.t menghalang tangan
manusia yang kotor dan aniaya daripada sampai
kepada hamba-Nya yang menyerahkan urusan
kepada-Nya.
Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-
Nya itu dalam daerah tajrid adalah Dia
memudahkan baginya rezeki dan penyelesaian
masalahnya dengan cara yang tidak disangkanya.
Jiwanya dijaga agar sentiasa tenteram walaupun
berlaku kekurangan rezeki atau dia ditimpa oleh
kesusahan. Allah s.w.t membela hamba-Nya
yang bertajrid secara langsung atau dihantarkan-
Nya makhluk-Nya untuk membantu hamba-Nya
itu. Orang yang berperang dengan hamba Allah
s.w.t yang bertajrid sebenarnya berperang
dengan Allah s.w.t kerana hamba tersebut telah
menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya
dan Tuhan menghantarkan tentera-Nya yang
tidak kelihatan bagi melindungi hamba-Nya yang
bertajrid itu.
Seseorang hamba perlulah menerima dengan
rela kedudukan yang Tuhan kurniakan
kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t Yang
Maha Mengerti dan Maha Mentadbir. Apa yang
penting dilakukan bukanlah mengubah dengan
serta merta bentuk kehidupan yang sedang
dimiliki. Tumpuan awal hendaklah ditujukan
kepada mengubah suasana hati walaupun
suasana kehidupan belum berubah. Ketika masih
dalam daerahasbab tidaklah wajar jika seseorang
mencampakkan segala-galanya. Mulailah dengan
kehidupan yang sedia ada tetapi dengan suasana
hati yang berbeza. Hati hendaklah dipaksakan
supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t, ada
hubungan dengan-Nya. Segala sesuatu dan
segala perkara hendaklah dilihat sebagai ada
pertalian dengan urusan dan pentadbiran Tuhan.
Tidak ada sesuatu yang bebas bergerak sendiri
tanpa tadbir Ilahi.
Beriman kepada Qadak dan Qadar memainkan
peranan yang penting dalam tarekat kehidupan
harian. Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan.
Apa sahaja yang dinisbahkan sebagai urusan
Tuhan walaupun boleh dijelaskan melalui bakat
dan nilai yang ada dengan manusia tetapi
maksud yang sebenar melampaui penjelasan
tersebut. Beriman kepada Qadak dan Qadar
mengandungi penyerahan tanpa takwil terhadap
apa yang tidak mampu dihuraikan secara
terperinci melalui kekuatan akal, logik dan dalil.
Walau bagaimana pun bolehlah dikatakan Qadak
dan Qadar adalah suasana Ilmu Tuhan mengenai
segala perkara yang Dia berkehendak
menciptakan. Suasana dalam Ilmu Tuhan adalah
awalnya itulah akhirnya dan zahirnya itulah
batinnya, tidak ada perpisahan. Penciptaan
manusia pertama dengan penciptaan manusia
terakhir tidak ada jarak masa, ruang dan zaman
dalam Ilmu Tuhan, tetapi perkara tersebut ada
pada penciptaan yang nyata atau makhluk. Oleh
sebab itu Tuhan mengetahui hal-ehwal manusia
pertama dan terakhir sekaligus. Tuhan
mengetahui yang azali dan yang abadi sekaligus.
Tidak ada sesuatu yang melindungi sesuatu yang
lain pada pengetahuan Tuhan. Tuhan mengetahui
roh seseorang dan pada masa yang sama juga
Dia mengetahui jasadnya. Tidak akan berlaku
keadaan Tuhan tersalah meletakkan roh kepada
jasad yang bukan untuknya. Roh adalah urusan
Tuhan. Segala maklumat yang berhubung dengan
penciptaan sesuatu makhluk itu telah
disimpankan pada roh urusan-Nya itu. Roh
urusan-Nya akan bergerak menurut ketentuan
yang Tuhan letakkan padanya dan ia mengheret
yang di bawah jagaannya menurut ketentuan
yang sama. Dengan cara yang demikian apa
yang Tuhan telah tentukan pada Ilmu-Nya berlaku
dalam alam makhluk.
Qadak dan Qadar memperkenalkan Kudrat,
Iradat dan Ilmu Tuhan yang menguruskan segala
perkara mengenai makhluk seperti penciptaan,
keutuhan sebagai ciptaan yang mampu
mengeluarkan kesan dan ciptaan itu menjadi
asas kepada kewujudan di dunia dan di akhirat.
Medan takdir menjadi cermin yang padanya
manusia dapat melihat sesuatu mengenai Tuhan
dan melaluinya manusia mengenal Tuhan.
Beriman kepada Qadak dan Qadar
mempereratkan hubungan hamba dengan Hadrat
Tuhan yang “Dia beserta kamu walau di mana
kamu berada”; “ Ke mana kamu hadapkan muka
kamu di sana ada Wajah Tuhan (perihal tentang
Tuhan”; “Tidak ada daya dan upaya melainkan
beserta Allah”. Tanpa iman kepada Qadak dan
Qadar tidak boleh wujud hubungan yang erat di
antara hati hamba dengan Tuhan.
Beriman kepada Qadak dan Qadar juga
membuatkan manusia mengakui keberkesanan
bakat-bakat yang Tuhan kurniakan kepadanya
menyertai penciptaannya. Pengakuan tersebut
membuat manusia menghargai bakat-bakat
kurniaan Tuhan itu dan menggunakannya
menurut peraturan Tuhan demi mencari
keredaan-Nya. Beriman kepada Qadak dan
Qadar cara begini membuat manusia melihat
bakat-bakat dirinya sebagai alat yang Tuhan
amanahkan kepadanya untuk dijaga dan
digunakan sebaik mungkin. Alat-alat tersebut
akan diserahkan kembali kepada Tuhan, Pemilik
sebenar yang akan memerikasanya.
Dalam perjalanan takdir seseorang manusia,
muncul kehendak diri kepada sesuatu. Bakat-
bakat diri digerakkan bagi mendapatkan apa
yang dikehendaki itu. Biasa terjadi kekuatan
bakat diri tidak mampu mendapatkan apa yang
diingini. Kejadian seperti ini menambahkan
kesedaran manusia kepada Pemilik sebenar yang
berkuasa mengatasi hak yang ada pada
pengguna. Dengan demikian pengguna akan rasa
bersyukur dalam menggunakan alat yang
dipinjamkan kepadanya dan dia juga sentiasa
ingat kepada Pemilik sebenar, berhajat kepada-
Nya dan tunduk kepada keputusan-Nya yang
Mutlak. Manusia itu juga sedar bahawa Pemilik
sebenar boleh mengambil balik apa yang
dipinjamkan-Nya kepada hamba-Nya, pada bila-
bila masa yang Dia kehendaki dan tiada siapa
dapat menghalang-Nya.
Terjemahan kepada suasana beriman kepada
Qadak dan Qadar bergantung kepada kedudukan
seseorang. Orang yang didudukkan di dalam
medan asbab perlu melihat kepada perjuangan,
usaha, ikhtiar, doa dan sebagainya dalam
melaksanakan tuntutan imannya itu. Orang yang
berada dalam medan tajrid tidak melihat kepada
perkara-perkara yang demikian. Mata hatinya
tertutup daripada melihat kepada kekuatan
dirinya dan bakatnya. Walaupun seseorang itu
bermakam pada asbab atau tajrid, pasti ada
sesuatu yang berlaku pada dirinya, ada
perbuatan, perkataan dan lain-lain. Perkara yang
berlaku pada ahli asbab adalah serupa dengan
yang berlaku pada ahli tajrid. Misalkan, pada ahli
asbab ada perbuatan memanjat pokok kerana
mahu memetik buah kelapa. Pada ahli tajrid juga
ada perbuatan yang serupa. Ahli asbab melihat
perbuatan tersebut sebagai perbuatan dirinya.
Dia menggunakan bakat-bakat yang lahir
bersama kelahirannya. Ahli tajrid melihat
perbuatan tersebut sebagai takdirnya. Takdir
yang menggunakan bakat-bakat yang tersimpan
pada dirinya. Oleh yang demikian, orang yang
berada dalam medan asbab secara fikiran dan
perasaannya, tidak seharusnya menggunakan
hujah ahli tajrid untuk merombak kepercayaan
kepada Qadak dan Qadar. Ahli tajrid pula tidak
seharusnya menyalahkan huraian mengenai
Qadak dan Qadar yang dibuat oleh ahli asbab
dengan menggunakan fikiran dan perasaan
asbab. Mengetahui kedudukan masing-masing
boleh mengelakkan perbalahan yang tidak
berkesudahan tentang Qadak dan Qadar.
Fitnah kehidupan harian lebih banyak mengenai
ahli asbab daripada ahli tajrid. Orang tajrid
dipertahankan oleh perasaan reda dengan apa
juga takdir yang menimpanya. Ahli asbab pula
perlu bertahan dengan kepercayaan kepada hari
akhirat. Beriman kepada Akhirat menjadi benteng
yang mempertahankan ahli asbab daripada jatuh
ke dalam jurang kemusnahan, sama ada
kemusnahan pada jiwa atau pada akidah apabila
berhadapan dengan kegoncangan yang berlaku
pada kehidupannya. Akhirat adalah pemisah di
antara orang yang beriman dengan orang yang
kafir. Di dalam dunia ini orang yang beriman
boleh mengadakan ikhtiar sebagaimana yang
dilakukan oleh orang kafir, tetapi sering terjadi
usaha orang kafir lebih mendatangkan
keuntungan. Orang yang beriman mesti meyakini
bahawa pengadilan di dunia tidak muktamad.
Banyak daripada balasan baik untuk orang yang
beriman disimpan di akhirat, bukan kerana
Tuhan berkira dengan orang yang beriman tetapi
kerana balasan yang Tuhan sediakan itu tidak
layak dimuatkan di dalam dunia. Dunia ini terlalu
sempit untuk dimuatkan dengan balasan baik
yang Tuhan sediakan untuk orang mukmin. Orang
mukmin melakukan kebaikan dengan kekuatan
rohani yang berunsur nur atau cahaya. Cahaya
boleh meliputi ruang yang luas dan melintasi
zaman. Cahaya daripada sebahagian bintang
mengambil masa beratus tahun untuk sampai ke
bumi dan ada pula bintang yang cahayanya tidak
akan sampai ke bumi. Cahaya rohani manusia
lebih latif daripada cahaya bintang. Nabi Ibrahim
a.s yang mempunyai kekuatan rohani yang tinggi,
berdoa kepada Tuhan agar Kaabatullah
dikunjungi orang bagi mengerjakan haji. Kekuatan
doa Nabi Ibrahim a.s yang timbul daripada
rohani yang suci bersih itu menarik manusia
berduyun-duyun ke Makkah, sehingga ke hari
kiamat. Ruang yang ada dalam dunia ini tidak
cukup memuatkan balasan kepada kebaikan
yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s yang
hanyalah sepotong doa, belum dicampurkan
dengan kebaikan-kebaikan yang lain. Ruang yang
cukup luas bagi memuatkan balasan orang
mukmin berada di akhirat. Oleh kerana orang
mukmin perlu menunggu untuk mendapatkan
balasannya maka Tuhan menggandakan balasan
tersebut.
Keadaan orang kafir berbeza daripada orang
mukmin. Orang kafir berbuat kebaikan bukan
atas dasar beriman kepada Allah s.w.t. Oleh itu
tidak ada balasan kebaikan bagi mereka di
akhirat. Balasan kebaikan orang kafir
diselesaikan di dunia ini juga. Sebab itulah usaha
mereka yang sedikit mendapat pulangan yang
banyak. Tuhan sentiasa memberi lebih banyak
daripada apa yang mereka usahakan supaya
mereka tidak ada hak lagi untuk membuat
tuntutan di akhirat.
Allah s.w.t ciptakan manusia sebagai hamba-
Nya dan untuk-Nya. Sebab itu hati hamba
cenderung untuk kembali kepada-Nya. Dia telah
sediakan jalan kembali kepada-Nya. Itulah jalan
yang lurus. Orang yang mengikuti jalan yang
lurus bertindak sesuai dengan tujuan dia
diciptakan dan citarasanya yang asli. Apabila
tujuan, tindakan dan citarasa bersepakat akan
lahirlah kedamaian dalam hati. Kesejahteraan
hati diperolehi di atas jalan yang lurus. Jika
seseorang hamba lari dari jalan yang lurus
hatinya akan memberontak. Akibatnya dia tidak
akan merasakan kedamaian. Dia akan merasakan
kekosongan di dalam jiwa. Rasa kekosongan itu
menggerakkannya mencari tetapi dia sendiri
tidak tahu apa yang dicarinya. Ketidak-pastian
yang menguasainya membuatnya mencari
menurut sangkaan. Sangkaan tidak
menemukannya dengan yang sebenarnya dicari.
Bila pencarian berlaku di luar daripada
sempadan yang lurus yang ditemui hanyalah
bayangan. Bayangan tidak membawa
kebahagiaan yang sejati. Harta kekayaan,
pangkat kebesaran dan lain-lain yang digunakan
bagi mencari di luar daripada sempadan jalan
yang lurus hanya memberi pulangan yang sia-sia.
Hanya jalan yang lurus boleh membawa hamba
kepada kebenaran yang dicari. Pada jalan yang
lurus, harta dan pangkat akan mendatangkan
keberkatan kepada dirinya dan memberi manfaat
kepada makhluk Tuhan. Segala pemilikan
menjadi alat bagi mendapatkan keredaan Allah
s.w.t, berbakti kepada-Nya dan membantu
makhluk-Nya. Bila tindakan dibuat sesuai dengan
peraturan jalan yang lurus hati akan menjadi
damai dan sejahtera. Tiada lagi pemberontakan
dan tiada lagi kekosongan.
Suka, duka, senang, susah, bahagia, celaka dan
semuanya ditanggung oleh hati kerana hati yang
memerintah sekalian anggota dan hati yang
membuat keputusan dan pilihan. Hati perlu
diperkuatkan agar ia dapat membuat pilihan yang
baik dan benar dan mengawal anggotanya
daripada lari ke jalan yang tidak lurus. Kekuatan
hati boleh dipertingkatkan dengan amalan zikir.
Hati perlu dibenamkan ke dalam suasana zikir
sebanyak mungkin. Kekuatan zikir hati menyata
sebagai zikir anggota. Bila anggota sudah
dikuasai oleh zikir ia tidak lagi keluar daripada
jalan yang lurus.
Tarekat kehidupan harian perlu dilakukan dalam
suasana hati yang mengingati Allah s.w.t iaitu
zikir. Seseorang itu perlu berzikir ketika berjalan,
memandu, memasak, berbaring dan pada semua
keadaan. Kepenatan bekerja perlu direhatkan
dengan zikir. Biar roh zikir menguasai semua
aktiviti kehidupan. Berjalan ke bilik mesyuarat
dengan zikir, bagi memperolehi keberkatan pada
semua keputusan yang akan dibuat nanti.
Menunggu kapal terbang sampai dengan berzikir,
menaiki kapal terbang dengan zikir dan turun
dari kapal terbang juga dengan zikir. Jika
seseorang itu dicabut nyawanya maka dia
‘keluar’ bersama ingatan kepada Allah s.w.t.
Selain daripada melakukan zikir beserta kegiatan
harian, zikir perlu juga dibuat secara khusus,
terutamanya pada waktu malam, setelah segala
kegiatan harian berakhir. Zikir secara khusus
memudahkan zikir secara perbuatan dan
perkataan dalam kehidupan harian.
Zikir mengubah suasana hati. Tarekat kehidupan
harian mengubah kerohanian tanpa mengubah
penghidupan harian. Orang masih boleh bekerja,
menjaga isteri dan anak-anak serta berkhidmat
kepada masyarakat. Bila tidak ada perubahan
yang mendadak tidak ada pula kegoncangan
yang mencabar iman. Dunia dan kehidupannya
menjadi tarekat. Takwa (memelihara batasan
yang ditentukan Tuhan) menjadi suluk.
Perkataannya menjadi zikir, perbuatannya
menjadi zikir dan perasaannya juga zikir. Roh
amal bagi tarekat kehidupan harian adalah
ikhlas. Apabila seseorang sudah berjaya
mencapai makam ikhlas dalam menjalani
kehidupannya dengan mematuhi perintah Tuhan,
sesungguhnya dia sudah memperolehi nikmat
yang sangat besar. Dia sudah berjaya mengikuti
kehidupan Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat
baginda s.a.w.
Tajuk
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar