Selasa, 29 Oktober 2013

24: Zikir Meliputi Perkataan, PerbuatanDan Perasaan


Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada
Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah
sembahyang bagi mengingati Aku! ( Ayat 14 :
Surah Taha )
Sembahyang mengandungi perbuatan anggota
zahir, perkataan yang dilafazkan dan penyertaan
hati yang benar menghadap kepada Allah s.w.t
dengan sepenuh jiwa raga. Mengingati Allah
s.w.t melalui sembahyang merupakan zikir yang
paling sempurna. Perbuatan menjadi zikir,
perkataan menjadi zikir dan perasaan menjadi
zikir. Sekalian maujud berada dalam suasana
zikir. Zikir dalam sembahyang menggabungkan
pengakuan bahawa yang diingatkan itu adalah
Allah s.w.t; bahawa Allah s.w.t yang diingati itu
adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan
Dia; bahawa Allah adalah Tuhan yang disembah;
bahawa menyembah Allah s.w.t adalah dengan
perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa
sahaja yang dilakukan adalah kerana mentaati-
Nya dan kerana ingat kepada-Nya.
Zikir yang di dalam sembahyang menjadi induk
kepada zikir-zikir di luar sembahyang. Menyebut
nama-nama Allah s.w.t adalah zikir. Perkataan
yang baik-baik diucapkan kerana Allah s.w.t
adalah zikir. Nasihat menasihati kerana Allah
s.w.t adalah zikir. Menyeru manusia ke jalan
Allah s.w.t adalah zikir. Semua itu merupakan
zikir perkataan. Zikir perbuatan pula meliputi
segala bentuk amalan dan kelakukan yang sesuai
dengan syarak demi mencari keredaan Allah
s.w.t. Berdiri, rukuk dan sujud dalam
sembahyang adalah zikir. Melakukan pekerjaan
yang halal kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi
peraturan yang Allah s.w.t turunkan, adalah zikir.
Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah s.w.t
adalah zikir. Apa juga perbuatan yang tidak
menyalahi peraturan syariat jika dibuat kerana
Allah s.w.t maka ia menjadi zikir. Tidak
melakukan apa-apa pun boleh menjadi zikir.
Orang yang menahan anggotanya, lidahnya dan
hatinya daripada menyertai perbuatan maksiat
sebenarnya melakukan zikir jika dia berbuat
demikian kerana Allah s.w.t. Semua itu menjadi
zikir jika dibuat kerana Allah s.w.t, kerana
mematuhi perintah-Nya, kerana mencari
keredaan-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.
Jadi, perbuatan dan perkataan terikat dengan
amalan hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya
dikira sebagai zikir jika ada zikir hati iaitu hati
ingat kepada Allah s.w.t, ikhlas dalam melakukan
perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya
Tanpa zikir hati tidak ada zikir-zikir yang lain,
kerana setiap amalan digantungkan kepada niat
yang lahir dalam hati.
Zikir adalah mengingati Allah s.w.t sebaik dan
seikhlas mungkin. Mengingati nama-nama dan
sifat-sifat-Nya adalah zikir. Melihat matahari,
bulan dan bintang di langit sambil mengenang
kebijaksanaan Allah s.w.t merupakan zikir.
Melihat kilat memancar dan mendengar guruh
berdentum sambil mengenangkan keperkasaan
Allah s.w.t adalah zikir. Melihat fajar subuh,
melihat dan mencium bunga yang indah lagi
harum sambil mengenang keelokan Allah s.w.t
adalah zikir juga namanya. Jadi, zikir adalah
pekerjaan sepanjang masa, setiap ketika, semua
suasana, pada setiap sedutan dan hembusan
nafas dan pada setiap denyutan nadi. Kehidupan
ini merupakan zikir daim (zikir berkekalan) jika
mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang
Allah s.w.t.
Misalkan seorang sedang melakukan zikir hati
dan perkataan; menyebut dan mengingati nama-
nama dan sifat-sifat Allah s.w.t. Tiba-tiba datang
seorang kanak-kanak di hadapannya. Anak kecil
itu memegang sebotol racun. Anak kecil mahu
meminum racun tersebut. Pada ketika itu ahli
zikir tadi berkewajipan meninggalkan pekerjaan
zikir yang sedang dilakukannya dan berpindah
kepada zikir menyelamatkan anak kecil yang
mahu meminum racun itu. Perpindahan
perbuatan tidak memutuskan zikir atau
ingatannya kepada Allah s.w.t. Dia menyebut
nama Tuhan kerana ingat kepada Tuhan. Dia
menyelamatkan anak kecil itu kerana mentaati
perintah Tuhan. Tuhan yang mentakdirkan anak
kecil itu mahu meminum racun di hadapannya.
Tuhan juga mengadakan syariat yang mewajibkan
membuang kemudaratan. Taat kepada perintah
Tuhan dan reda dengan takdir Tuhan yang
datang serta bertindak menurut peraturan syariat
Tuhan merupakan zikir yang sangat mulia pada
sisi Tuhan. Zikir yang begini termasuk di dalam
golongan zikir yang berkekalan atau zikir daim.
Zikir daim sukar diperolehi. Kebanyakan manusia
melakukan pekerjaan yang baik-baik yang
seharusnya menjadi zikir tetapi dilakukan tanpa
ingatan kepada Allah s.w.t dan bukan dengan
penghayatan mematuhi syariat-Nya. Kekuatan
dalaman perlu ditambah bagi memperolehi zikir
daim. Bagi tujuan tersebut perlulah dilakukan
zikir sebutan iaitu zikir nafi-isbat (ucapan kalimah
“La ilaha illa Llah ”) dan zikir nama-nama serta
sifat-sifat-Nya. Zikir yang seperti ini memberi
kesan kepada menguatkan rasa kecintaan dan
ingatan kepada Allah s.w.t. Ia membuka
kesedaran-kesedaran dalaman seperti yang telah
dinyatakan pada tajuk yang membicarakan
perjalanan Latifah Rabbaniah. Kekuatan
kesedaran dalaman mendorong seseorang
melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah
s.w.t yang dicintainya, yang hampir dengannya.
Zikir nafi-isbat dan sebutan nama-nama serta
sifat-sifat-Nya menjadi jalan kepada zikir dalam
bentuk mentaati peraturan-Nya tanpa lupa
kepada-Nya. Jadi, perlu dilakukan zikir secara
sebutan untuk memudahkan zikir secara amalan
atau perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan
terhasillah zikir yang berkekalan.
Zikir atau mengingati Allah s.w.t haruslah
dilakukan menurut kadar kemampuan masing-
masing. Zikir yang paling baik diucapkan adalah
seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w
dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud:
“Ucapan zikir yang paling baik adalah yang aku
dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan
kalimah ‘La ilaha illa Llah ’ .”
Orang yang tidak pernah berzikir adalah orang
yang sangat keras hatinya dan kuat dikuasai oleh
syaitan, hawa nafsu dan dunia. Cahaya api
syaitan, fatamorgana dunia dan karat hawa nafsu
membaluti hatinya sehingga tidak ada ingatannya
kepada Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-
ayat Tuhan tidak diterima oleh hatinya. Beginilah
keadaan orang Islam yang dijajah oleh sifat
munafik. Orang yang masih mempunyai
kesedaran perlu memaksakan dirinya untuk
berzikir, sekalipun hanya berzikir dengan lidah
sedangkan hatinya masih lalai dengan berbagai-
bagai ingatan yang selain Allah s.w.t. Pada
tahap pemaksaan diri ini, lidah menyebut Nama
Allah s.w.t tetapi hati dan ingatan mungkin
tertuju kepada pekerjaan, harta, perempuan,
hiburan dan lain-lain. Beginilah tahap orang Islam
biasa. Orang yang berada pada tahap ini perlu
meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir
dia kan lebih mudah dihanyutkan di dalam
kelalaian. Tanpa ucapan zikir syaitan akan lebih
mudah memancarkan gambar-gambar tipuan
kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat
menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan
sebagai juru ingat. Sebutan lidah menjadi
sahabat yang memperingatkan hati yang lalai.
Berlakulah pertembungan di antara tenaga zikir
dengan tenaga syaitan yang menutupi hati.
Tenaga syaitan akan mencuba untuk menghalang
tenaga zikir daripada memasuki hati. Tindakan
syaitan itu membuatkan orang yang ingin berzikir
itu menjadi malas dan mengantuk. Oleh yang
demikian perlulah dilakukan mujahadah,
memerangi syaitan yang menghalang lidah
daripada berzikir itu. Zikir yang dilakukan dengan
bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi
benteng yang didirikan oleh syaitan. Tenaga zikir
yang berjaya memasuki hati akan bertindak
sebagai pencuci, menyucikan karat-karat yang
ada pada dinding hati. Pada peringkat
permulaannya zikir masuk ke dalam hati sebagai
Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan yang
diucapkan. Apabila karat pada dinding hati
sudah berkurangan ucapan zikir akan disertai
oleh rasa kelazatan. Hati yang sudah merasai
nikmat zikir itu tidak perlu kepada paksaan lagi.
Lidah tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah hidup
dalam hati secara diam, jelira dan melazatkan.
Perhatian bukan sekadar kepada nama-nama
dan sifat-sifat yang diingatkan malah ia lebih
tertuju kepada Yang Empunya nama dan sifat.
Inilah kedudukan orang yang beriman.
Zikir yang lebih mendalam membawa hati
berhadap kepada Hadrat Tuhan, menyaksikan
Tuhan pada setiap masa dan suasana. Apa
sahaja yang dilihat dan dibuat
memperingatkannya kepada Tuhan. Inilah
peringkat zikir daim yang dikurniakan kepada
mereka yang beriman dan bersungguh-sungguh
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Kehidupan
mereka dipenuhi oleh zikir sepanjang masa.
Tidur mereka juga menjadi zikir.
Zikir yang diucapkan dengan perkataan
membantu hati mengingati Tuhan. Bagi
sebahagian manusia berzikir secara kuat lebih
memberi kesan daripada berzikir secara
perlahan, terutamanya bagi mereka yang baharu
memulakan amalan zikir. Zikir secara senyap di
dalam hati adalah pergerakan perasaan. Hati
menghayati apa yang dizikirkan dan terbentuklah
alunan perasaan sesuai dengan apa yang
dihayati. Pada tahap yang lebih mendalam zikir
bukan lagi sebutan atau ingatan kepada Nama,
tetapi hati menyaksikan Keperkasaan dan
Keelokan Tuhan. Bila hati sudah boleh
menyaksikan Keelokan dan Keperkasaan Tuhan,
itu tandanya seseorang itu sudah ada hubungan
semula dengan roh suci yang mengenal Tuhan.
Pancaran cahaya makrifat daripada roh suci
membuat hati dapat melihat kenyataan sifat-sifat
Tuhan.
Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam,
ucapan serta ingatan dan perhatian yang
berhubung dengan Tuhan menimbulkan
keghairahan atau zauk. Zauk itu terjadi kerana
kuatnya tarikan Hadrat Tuhan kepada hati.
Ingatan dan penyaksian terhadap Hadrat Tuhan
akan memberi kesan yang sangat kuat kepada
hati. Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang
Maha Perkasa boleh menyebabkan seseorang itu
menjadi pengsan kerana takutnya hati kepada
keperkasaan Allah s.w.t. Hati yang menyaksikan
Hadrat Tuhan Yang Maha Lemah-lembut akan
mengalami rasa kenikmatan dan kebahagiaan
yang amat sangat.
Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, hati
diperkuatkan lagi supaya mampu menerima
‘sentuhan’ Hadrat Tuhan itu. Penyaksian
terhadap Hadrat Tuhan tidak lagi melahirkan
keghairahan atau zauk atau kegoncangan kepada
hati. Hati mengalami suasana Hadrat Tuhan
dalam keadaan damai dan sejahtera. Pada tahap
ini hati akan mengenali Tuhan sebagai Raja Yang
Maha Berkuasa. Berada pada sisi Raja tersebut
membuat hati merasakan kesejahteraan dan
keselamatan yang tidak terhingga, hilang rasa
takut dan dukacita.
Pada tahap kesedaran yang paling dalam hati
berhadap kepada Hadrat Tuhan yang bernama
Allah s.w.t, yang menguasai semua Hadrat, yang
melampaui segala nama dan sifat, segala
kenyataan dan ibarat. Hati sampai kepada tahap
jahil setelah berpengetahuan. Ilmu gagal
menghuraikan tentang Allah s.w.t. makrifat gagal
memperkenalkan Allah s.w.t. Apa sahaja yang
terbentuk, tergambar, terfikir, yang disaksikan
dengan mata luar dan juga mata dalam dan
segala-galanya tersungkur di hadapan Hadrat
Allah s.w.t, yang tiada Tuhan melainkan Dia,
Maha Perkasa. Sesungguhnya tidak ada sesuatu
yang menyamai Allah s.w.t, Dia Maha Esa. Hati
yang berhadapan dengan Hadrat Allah s.w.t
benar-benar mengalami dan mengenali maksud
keesaan Allah s.w.t. Hati pun tunduk, menyerah
sepenuhnya kepada Allah s.w.t, Tuhan Maha
Mencipta. Baharulah sempurna penyerahannya,
baharulah lengkap perjalanan Islamnya.
Setelah itu rohnya menjadi seakan-akan roh yang
baharu, seumpama baharu lahir. Roh yang
baharu itu adalah Roh Islam yang telah mengenal
Allah s.w.t yang melampaui segala sesuatu tetapi
memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-
sifat-Nya, menyata kepada Roh Islam, iaitu Roh
yang lebih tulen dan seni daripada semua roh-
roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui
Kebenaran Hakiki. Pada roh tersebut bercantum
tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak
kenal, nafi dengan isbat. Roh Islam itulah yang
benar-benar mengerti maksud nafi dan isbat
pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Llah”.
Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa
yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya
untuk memberi peringatan tentang hari
pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min
Roh Islam yang mengenderai hati Islam dan
memiliki nafsu Islam, akal Islam dan pancaindera
Islam kembali kepada kehidupan dunia untuk
mengajak dan membimbing orang lain kepada
Yang Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam
mengeluarkan yang Islam sahaja. Jiwanya Islam,
perkataannya Islam, perbuatannya Islam,
diamnya Islam, tidurnya Islam dan segala-gala
yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang
paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad
s.a.w. Baginda s.a.w merupakan contoh
tauladan Islam yang paling sempurna, paling
baik.
Zikir memainkan peranan yang penting dalam
melahirkan Roh Islam. Bagi orang yang inginkan
kebenaran dan melihat kebenaran, menjadi
kewajipan baginya mengingati Allah s.w.t
sebanyak mungkin.
Lantas apabila kamu telah selesaikan
sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu,
maka hendaklah kamu ingat kepada Allah s.w.t
sambil berdiri, dan sambil duduk, dan sambil
(berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi
apabila kamu telah tenteram, maka hendaklah
kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana
sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu
kewajipan yang ditentukan mwaktunya. ( Ayat
103 : Surah an-Nisaa’ )
Yang mengingati Allah sambil berdiri dan sambil
duduk dan sambil berbaring, dan memikirkan
tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil
berkata): “Wahai Tuhan kami! Engkau tidak
jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci
Engkau. Lantaran itu peliharakanlah kami
daripada seksa neraka”. ( Ayat 191 : Surah
a-Li ‘Imran )
Setiap Muslim seharusnya mencari kehidupan
berzikir; berzikir sambil duduk dan sambil
berbaring; bekerja di dalam berzikir; berehat di
dalam berzikir dan tidur di dalam berzikir. Lidah
berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati berzikir.
Tentera Islam yang sedang berperang dengan
musuh pun dituntut berzikir, apa lagi kaum
Muslimin yang berada dalam suasana aman.
Muslim sejati sentiasa berzikir, mengingati dan
mentaati Allah s.w.t.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar