Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Rabu, 30 Oktober 2013
19. KEHIDUPAN DUNIA
Roh Insan yang sangat suci hanya menyata
apabila ia dibaluti oleh jasad dan bakatnya hanya
menonjol apabila ia ditempatkan di dalam dunia.
Ketika Adam a.s mendiami syurga bakat
kekhalifahannya tidak menyata. Setelah
dimasukkan ke dalam dunia baharulah nyata
Adam a.s sebagai khalifah Tuhan. Keturunan
Adam a.s juga menanggung kewajipan
kekhalifahan itu di dalam dunia ini juga. Di dalam
dunia yang sangat luas ini Adam a.s dan
keturunannya ditempatkan pada satu tempat
yang bernama bumi. Kehidupan di dunia dengan
kehidupan di bumi adalah perkara yang sama
bagi Adam a.s dan keturunannya. Kehidupan
dunia ini adalah satu-satunya peluang untuk
manusia. Manusia tidak diberi peluang yang
kedua kali.
Dan barangsiapa yang buta di sini, maka di
akhirat pun dia buta dan lebih sesatlah jalannya.
( Ayat 72 : Surah al-Isra’ )
Bukan buta mata di kepala tetapi buta mata
pada hati. Jika ketika hidup di dalam dunia tidak
menemui jalan kembali kepada Tuhan, sesudah
matinya pun tidak menemui jalan. Kesesatan
jalan di akhirat lebih menggerunkan daripada
buta mata di dunia. Apa juga yang manusia
mahu usahakan maka dunia inilah kebunnya.
Kehidupan dalam dunia inilah yang menentukan
nasib manusia ketika sakratul maut, dalam alam
kubur, di Padang Mahsyar, di Hisab, di atas
jambatan menyeberangi neraka dan pada
kehidupan yang abadi. Perbezaan di antara
dunia dan akhirat hanya satu sahaja, iaitu di
akhirat ada peluang untuk melihat Tuhan secara
terang-terangan, sementara di dunia melihat
Tuhan melalui hijab-hijab. Urusan Islam, iman,
tauhid dan makrifat selesai di dalam dunia ini
juga. Apa yang diperolehi di dunia ini itulah yang
akan dibawa ke akhirat.
Tugas menjadikan dunia sebagai kebun akhirat
bukanlah mudah. Suasana semulajadi dunia
menjadi cabaran kepada petani-petani akhirat.
Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat:
“Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi”,
mereka berkata: “Adakah Engkau mahu jadikan
padanya makhluk yang akan berbuat bencana
padanya dan akan menumpahkan darah?
Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau
dan memuliakan Engkau”. Dia berfirman: “Aku
mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”.
( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )
Para malaikat sudah dapat membayangkan
kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk
berbangsa manusia sebelum lagi manusia
pertama diciptakan. Sifat kehidupan dunia yang
ada dalam pengetahuan malaikat adalah
huruhara dan pertumpahan darah. Dunia adalah
ibu, sementara huruhara dan pertumpahan darah
adalah anak-anaknya. Kelahiran huruhara dan
pertumpahan darah adalah sesuatu yang sesuai
dengan suasana dunia itu sendiri secara
semulajadi. Manusia sebagai khalifah bertugas
membersihkan dunia daripada huruhara dan
pertumpahan darah itu. Khalifah tidak seharusnya
membiarkan dunia terus melahirkan anak-anak
jahat dan nakal.
Tuhan memperjelaskan lagi keadaan huruhara
penghidupan dunia:
Tuhan berfirman: “Pergilah kamu (Adam dan
Hawa). Sebahagian daripada kamu (manusia)
jadi musuh kepada sebahagiannya. Dan adalah
bagi kamu di bumi itu tempat ketetapan dan
bekalan hingga satu masa (mati dan kiamat)”.
( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )
Kehidupan dalam dunia membawa manusia
bermusuhan sesama sendiri. Dalam dunia yang
huruhara, penuh dengan permusuhan dan
pertumpahan darah itulah manusia menetap
sehingga sampai ajal mereka dan sehingga
berlaku kiamat. Tuhan mengajar manusia supaya
mengambil bekalan semasa hidup di dunia.
Tuhan mengajar manusia supaya menghargai
tempuh singkat yang Tuhan berikan kepada
mereka di dunia ini.
Dia berfirman: “Padanya (bumi) kamu hidup dan
di situlah kamu akan mati dan daripadanya kamu
akan dikeluarkan. ( Ayat 25 : Surah al-
A’raaf )
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan
tidak akan disempurnakan balasan kamu
melainkan pada hari kiamat. Lantaran itu
barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan
dimasukkan ke dalam syurga maka selamatlah
dia, kerana penghidupan dunia ini tidak lain
melainkan menipu-daya. ( Ayat 185 : Surah
a-Li ‘Imran )
Alam dihukumkan dengan kiamat dan setiap
yang hidup dihukumkan dengan mati. Manusia
hidup dalam dunia, mati dalam dunia dan
dibangkitkan daripada dunia. Dunia yang dikenali
sebagai medan asbab akan melahirkan berbagai-
bagai usaha dan tindakan. Sifat dunia tidak
mengizinkan usaha dan tindakan melahirkan hasil
yang sempurna. Banyak daripada pokok yang
ditanam tidak sempat berbuah atau buahnya
tidak semanis yang dijangkakan. Tuhan
memperingatkan bahawa apa juga yang manusia
tanam di dunia buah yang sempurna muncul di
akhirat. Buah yang manis, masam atau beracun
akan dirasai dengan sempurna setelah berlaku
kiamat. Apa yang diperolehi di dalam dunia lebih
banyak bersifat bayangan yang menipu-daya.
Manusia terdiri daripada dua jenis anasir iaitu
tubuh zahir dan hati seni. Gabungan anasir zahir
yang kasar dengan anasir rohani yang seni
membuat manusia boleh berfungsi sebagai
cermin yang membalikkan wajah yang
memandang kepadanya. Tubuh kasar umpama
muka cermin yang gelap di sebelah belakang
dan rohani pula umpama muka cermin yang
terang di hadapan. Susunan manusia yang
demikian menyebabkan manusia boleh menerima
suluhan cahaya Ilahi. Kebolehan ini dinamakan
mengenal Tuhan melalui mata hati. Makhluk yang
mempunyai satu jenis badan sahaja tidak
memiliki kebolehan yang demikian. Malaikat yang
hanya memiliki badan yang terang dan haiwan
yang hanya memiliki badan yang kasar tidak
boleh berfungsi sebagaimana manusia. Malaikat
hanya mengenal Tuhan dalam satu aspek sahaja
iaitu aspek tanzih. Haiwan pula tidak mengenal
Tuhan. Hanya manusia yang boleh mengenal
Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih, iaitu
Tuhan yang tidak serupa dengan sesuatu dan Dia
yang memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-
sifat-Nya.
Sifat semulajadi manusia yang mampu menerima
suluhan cahaya Ilahi itu tertutup kerana manusia
hidup di dalam dunia. Dunia menjadi anasir yang
merosakkan gabungan badan yang gelap dengan
rohani yang cerah. Dalam dunia ini wujud satu
jenis makhluk yang diciptakan daripada cahaya
api, dinamakan syaitan berbangsa jin. Cahaya
api syaitan ini boleh menyelinap masuk ke dalam
badan manusia yang gelap dan menjadikannya
lutsinar, menyebabkan suluhan yang datang dari
alam ghaib tidak melekat pada cermin hati.
Peringatan yang di sampaikan oleh nabi-nabi
tidak berbekas pada hati. Sekalipun nabi-nabi
memperlihatkan mukjizat namun hati tetap tidak
dapat melihat kebenarannya. Beginilah yang
terjadi kepada manusia yang hidup di dalam
dunia dan diganggu oleh cahaya api syaitan.
Badan cahaya api syaitan menjadi tembok
menghalang cahaya kebenaran daripada masuk
ke dalam hati. Apabila cahaya kebenaran tidak
melekat pada hati maka hati tidak mengenal
apakah yang benar. Hati yang sudah jahil itu
menjadi kain putih yang menerima apa sahaja
yang ditayangkan oleh syaitan. Syaitan
mengadakan berbagai-bagai gambaran dan
dihantarkannya kepada hati. Hati menyangkakan
bentuk yang dihantar oleh syaitan itulah
kebenaran. Hasilnya muncullah penjelmaan
mengambil alih tempat kebenaran. Penjelmaan
gubahan syaitan itulah yang diterima oleh
manusia sebagai yang benar. Manusia yang di
dalam keadaan sedemikian beramal menurut
gubahan syaitan tetapi menyangkakan mereka
berada di atas jalan yang lurus. Lahirlah
keyakinan yang dibina di atas asas yang sesat.
Ada manusia menyembah batu dengan
menyangkakan itulah jalan yang benar. Ada
manusia membunuh diri dengan keyakinan
mereka mati syahid. Amalan sesat telah menjadi
kepercayaan yang suci lantaran mereka
diperdayakan oleh syaitan.
Dunia yang dihuni oleh syaitan melahirkan
berbagai-bagai tipu daya. Semua bidang
kehidupan manusia diresapi oleh tipu daya
syaitan. Syaitan membina jalan yang selari dan
hampir dengan jalan yang lurus dan diperhiaskan
jalan itu sehingga apa sahaja yang ada padanya
kelihatan bersesuaian dengan jalan yang lurus.
Akibat perhiasan yang dipamerkan oleh syaitan,
fitrah manusia hilang kekuatan untuk melonjak
kepada fitrah Muslim. Mereka berpuas hati
dengan berpegang kepada fitrah kemanusiaan
sahaja dan dalam keadaan yang demikian fitrah
kemanusiaan tidak berkekuatan menyekat tarikan
syaitan. Akibatnya nilai-nilai murni kemanusiaan
dicampur adukkan dengan nilai-nilai palsu yang
datang dari syaitan. Ramai daripada penganut
agama Islam sendiri mencampur adukkan nilai
Islam dengan nilai syaitan. Di sana sini banyak
terjadi orang yang bersembahyang tetapi masih
melakukan perbuatan zina dan meminum arak.
Orang yang menunaikan fardu haji masih
melakukan rasuah. Orang yang berpuasa tetapi
masih mencuri dan menipu. Orang yang
mengucapkan dua Kalimah Syahadah masih juga
pergi ke kubur-kubur kerana meminta nombor
toto. Perilaku orang yang mengaku beragama
Islam tidak berbeza dengan orang yang ternyata
kafir. Semua itu terjadi kerana warna syaitan
melindungi warna kebenaran. Orang yang telah
menerima dan mengguna-pakai warna syaitan itu
dinamakan ahli dunia.
Dalang yang mengarahkan perjalanan ahli dunia
adalah raja syaitan iaitu iblis. Iblis adalah
sumber kejahatan dan syaitan adalah penyebar
kejahatan iblis itu. Iblis sentiasa mengheret
manusia supaya menyalahi ubudiah kepada
Tuhan. Iblis memasukkan sifat-sifatnya kepada
manusia bagi menyekat atau melengah-
lengahkan mereka menunaikan perintah Tuhan.
Sifat iblis adalah kufur atau engkar kepada
kebenaran. Apabila sifat iblis membaluti hati
manusia ia akan bertindak sebagai tenaga yang
menghalang apa juga kebenaran yang mahu
masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh
menerima sesuatu kebenaran itu namun tenaga
yang muncul daripada sifat iblis menghalang
hujah akal daripada diterima oleh hati. Sebab itu
orang yang mengenal dan mengakui kebenaran
masih juga menolak kebenaran itu dan berbuat
yang tidak benar. Orang yang mengakui berzina
adalah berdosa tetapi masih juga melakukannya.
Orang yang mengakui rasuah itu berdosa masih
juga berbuat rasuah. Bahkan orang-orang yang
menggubal undang-undang berdasarkan
kebenaran yang diperolehi melalui akalnya masih
juga melanggar undang-undang tersebut. Akal
mengakui kewajipan bersembahyang dan
anggota melakukan perbuatan sembahyang tetapi
hati yang dikuasai oleh sifat iblis tidak mampu
lari daripada kemaksiatan.
Syaitan menjadi ejen yang menghantar sifat-sifat
iblis kepada manusia. Syaitan masuk ke dalam
tubuh manusia melalui perjalanan darah. Darah
yang dimasuki oleh syaitan akan menerbitkan
rangsangan atau dorongan yang mengajak
manusia melakukan kejahatan. Syaitan hanya
mampu memberi rangsangan tetapi tidak mampu
menggerakkan anggota manusia untuk melakukan
sesuatu. Nafsu manusia sendiri yang bertindak
menggerakkan anggotanya supaya melakukan
kejahatan sebagaimana yang dirangsang oleh
syaitan. Nafsu adalah umpama tuan rumah dan
syaitan umpama pendatang haram. Tuan rumah
sendiri yang mengizinkan pendatang haram
memasuki rumahnya dan membiarkannya
memerintah di dalam rumah itu. Syaitan
bertindak sebagai pengajar dan nafsu yang
menerima pengajaran syaitan bertindak sebagai
pelaku.
Nafsu yang jahat, seperti tuan rumah yang jahat,
melakukan kejahatan di dalam rumahnya
walaupun kejahatan daripada luar tidak masuk.
Nafsu yang rendah memang cenderung kepada
kejahatan walaupun tidak menerima rangsangan
syaitan. Rangsangan syaitan ditujukan kepada
perkara yang menyalahi ubudiah, kederhakaan
kepada Tuhan, berbuat syirik dan kufur terhadap
kebenaran. Apabila manusia menolak satu
rangsangan jahat, syaitan dengan cepat
mencadangkan kejahatan yang lain. Asal sahaja
kejahatan dilakukan syaitan sudah berasa senang
dan puas. Jika syaitan gagal merangsang
manusia supaya meninggalkan sembahyang,
syaitan akan berpindah kepada merangsang agar
manusia bersembahyang dengan lalai. Jika
manusia berjaya meneruskan sembahyangnya
sehingga selesai, syaitan beralih kepada
merangsang agar manusia berasa riak dengan
sembahyangnya. Sikap nafsu berbeza dengan
sikap syaitan. Nafsu gemar kepada perkara-
perkara yang menyeronokkan, suka kepada
kebesaran dan kemuliaan dan cenderung kepada
yang melalaikan. Tabiat nafsu, jika ia inginkan
sesuatu, ia akan mengejar atau menanti sesuatu
itu. Ia tidak mahu menyerah kalah sebelum ia
mendapatkannya. Ia boleh mendiamkan diri
walaupun bagi tempuh yang lama. Bila ada
kesempatan ia akan muncul semula, selagi
keinginannya belum tercapai. Cita-cita
merupakan bakat nafsu. Mencitai kesejahteraan
hidup adalah bakat nafsu yang baik. Banyak pula
bakat nafsu yang tidak baik. Nafsu yang
menginginkan seorang perempuan cantik tidak
berhenti mengingininya walaupun perempuan itu
sudah menjadi isteri orang lain. Sebab itulah
nafsu yang tidak dikawal oleh iman sanggup
merosakkan rumah tangga orang lain demi
mencapai keinginannya. Begitu juga keinginan
nafsu kepada kereta mewah. Ketika tidak mampu
ia mendiamkan diri. Sebaik sahaja ada
kemampuan, kereta mewah yang diingininya
itulah yang pertama sekali dibelinya. Keinginan
dan cita-cita nafsu tidak mudah berubah, tetapi
rangsangan syaitan mudah berubah daripada
satu kejahatan kepada kejahatan yang lain. Nafsu
yang rendah merosakkan nilai-nilai murni
kemanusiaan dan syaitan pula merosakkan
kehambaan kepada Tuhan. Gabungan keduanya
menjadikan manusia golongan yang engkar dan
berbuat maksiat.
Banyak sekali kerosakan yang berlaku kerana
nafsu. Al-Quran menceritakan sebahagian
daripadanya.
Sesungguhnya nafsu ammarah sangat mengheret
kepada kejahatan. (Ayat 53 : Surah Yusuf )
Nafsu pada peringkat yang paling rendah dan
paling buruk dinamakan nafsu ammarah.
Ammarah adalah sifat nafsu yang berkongsi
dengan sifat syaitan, iaitu nafsu yang warnanya
diresapi oleh warna syaitan. Nafsu pada
peringkat ammarah berkedudukan sama dengan
syaitan. Inilah nafsu yang sesat.
Tidakkah engkau perhatikan orang yang
mengambil nafsunya sebagai tuhan dan dia
disesatkan oleh Allah kerana Allah mengetahui
(kejahatan hatinya), lalu ditutup Allah akan
pendengarannya dan penglihatannya tertutup .
( Ayat 23 : Surah al-Jaathiyah )
Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat
41 : Surah Saba’ )
Kesesatan nafsu boleh sampai kepada peringkat
mempertuhankan jin. Syaitan adalah bangsa jin.
Jin yang berbangsa syaitan inilah yang
dipertuhankan oleh nafsu manusia. Bila nafsu lari
dari sumbernya, iaitu roh yang suci murni dan ia
bersyarikat pula dengan syaitan dari bangsa jin,
berlakulah kerosakan pada akidah dan akhlak
manusia. Dari segi akidah manusia boleh
mempertuhankan nafsunya atau
mempertuhankan jin atau mempertuhankan
kedua-duanya sekali. Nafsu manusia dengan diri
manusia (ego) adalah perkara yang sama.
Mempertuhankan nafsu dan mempertuhankan
ego diri adalah yang sama. Firaun dan Namrud
mengaku menjadi tuhan. Mereka
mempertuhankan nafsu. Qarun mengaku menjadi
tuhan harta. Qarun juga mempertuhankan nafsu.
Sebahagian manusia mempertuhankan roh.
Mereka juga mempertuhankan nafsu. Ramai
manusia menolak peraturan Allah s.w.t kerana
mahu memuaskan nafsu mereka. Mereka juga
termasuk di dalam golongan yang
mempertuhankan nafsu. Pertuhanan nafsu yang
paling halus adalah sifat riak, melakukan
kebaikan untuk mendapat pujian orang ramai
demi menaikkan ego nafsunya. Nafsu yang
mempersekutukan dirinya dengan Tuhan itulah
yang mengundangkan pertuhanan jin. Nafsu yang
boleh masuk ke dalam alam khayal ciptaan
syaitan mengambil bentuk-bentuk tuhan yang
digubah oleh syaitan. Jin suka menjelma dalam
bentuk haiwan seperti ular, gajah putih, kera dan
lain-lain. Penjelmaan jin dalam bentuk haiwan itu
dalam keadaan luar biasa, seperti ular berkepala
tujuh, gajah bergading emas, kera sakti dan lain-
lain yang menguatkan sangkaan manusia jahil
bahawa itulah tuhan. Mereka yang menerima
tuhan-tuhan yang demikian memanggilnya
sebagai dewa-dewi, ratu, puteri dan lain-lain. Itu
semua adalah jin yang mengenakan tipu daya
kepada manusia yang jahil tentang Tuhan.
Kerosakan akidah yang berlaku kepada umat
manusia berpunca daripada iblis yang memusuhi
bangsa manusia sejak manusia yang pertama
diciptakan oleh Allah s.w.t. Iblis telah bersumpah
untuk menyesatkan keturunan Adam a.s. Al-
Quran menceritakan:
(Iblis) berkata: “Beri tempuh akan daku wahai
Tuhanku, kerana aku akan menyesatkan mereka
hingga hari kiamat.” Tuhan berfirman: “Kamu
diberi tempuh.” Iblis berkata: “Oleh kerana aku
telah sesat, maka aku akan halang mereka
daripada jalanMu yang lurus. Aku datang kepada
mereka dari hadapan, belakang, kanan dan kiri
dan Engkau dapati kebanyakan mereka tidak
mensyukuri Engkau. ( Ayat 14 – 17 : Surah
al-A’raaf )
Hasil daripada gerakan iblis dan kuncu-
kuncunya, iaitu syaitan, dan tewasnya nafsu
manusia kepada mereka, maka terjadilah apa
yang diceritakan oleh al-Quran:
Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah
Allah penyakit mereka dan bagi mereka azab
yang pedih akibat dusta mereka. ( Ayat 10 :
Surah al-Baqarah )
Dan sesungguhnya Kami telah sediakan untuk
neraka jahanam beberapa ramai dari jin dan
manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak
mengerti, mempunyai mata tetapi tidak melihat,
mempunyai telinga tetapi tidak mendengar.
Mereka adalah seperti haiwan bahkan lebih hina
daripada itu dan mereka adalah orang-orang
yang lalai . ( Ayat 179 : Surah al-A’raaf )
Kami jadikan manusia dalam bentuk yang paling
baik kemudian kembalikan dia ke tempat yang
paling rendah. ( Ayat 4 & 5 : Surah at-Tiin )
Dikunci Allah akan hati mereka dan pendengaran
mereka dan penglihatan mereka tertutup.
( Ayat 7 : Surah al-Baqarah )
Manusia yang sudah parah dijangkiti oleh
penyakit iblis akan mengikuti iblis kepada
kedudukan yang paling buruk.
Itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, maka
ditulikan pendengaran mereka, dibutakan
penglihatan mereka. Tidakkah mereka merenung
al-Quran? Bahkan dalam hati mereka terdapat
kunci-kunci. ( Ayat 23 & 24 : Surah
Muhammad )
Azazil yang telah berbuat ibadat kepada Tuhan
selama beribu tahun, apabila mendapat laknat
dari Tuhan, bertukarlah keadaannya, terhapus
semua ibadatnya yang telah lalu dan dia berubah
menjadi iblis. Jika Tuhan melaknati seseorang
manusia dia akan bertukar menjadi syaitan
berbangsa manusia. Iblis, syaitan berbangsa jin
dan syaitan berbangsa manusia akan menjadi
penghuni neraka jahanam. Mereka kekal di
dalamnya.
Fitnah dan tipu daya yang menanti manusia di
dalam dunia sangat besar dan bahaya. Setiap
kelahiran keturunan Adam a.s akan disambut
oleh syaitan yang menjadi bakat iblis. Cahaya
syaitan akan mewarnai cermin hati manusia. Apa
yang singgah pada hati akan berubah
keasliannya. Hati manusia akan terlindung
daripada menyaksikan yang benar. Hanya satu
sahaja yang sangat berkesan memelihara dan
membersihkan cermin hati daripada warna
syaitan. Itulah syariat!
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar