Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Senin, 28 Oktober 2013
41: PENUTUP
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang ‘arsitek’
dan ‘jurutera’ yang paling arif dalam membuat
reka bentuk dan mendirikan bangunan Islam.
Siapa saja yang mahu mendirikan bangunan
Islam mestilah merujuk kepada pelan dan
bangunan yang sudah baginda asaskan
pembinaannya. Dasar yang baginda s.a.w
reka bentukkan sudah mengambil kira keperluan
struktur tambahan yang akan diperlukan di
kemudian hari nanti, sesuai dengan perubahan
zaman dan suasana. Namun ada had struktur
tambahan yang boleh diterimanya. Jika
tambahan dilakukan secara tidak bersesuaian
dengan pelan dasarnya maka yang dibina itu
akan runtuh. Hanya arkitek dan jurutera yang
mahir sahaja, yang ilmu mereka sesuai dengan
ilmu Nabi Muhammad s.a.w yang boleh
mendirikan struktur tambahan tanpa
membahayakan bangunan yang dibina.
Benih Islam yang ditanam oleh Nabi Muhammad
s.a.w sudah tumbuh menjadi sebatang pohon
yang tegap dan rindang. Akar tunjangnya
tertanam kejap di dalam bumi. Pohon tersebut
sudah sempurna tumbuhnya sewaktu Nabi
Muhammad s.a.w masih hidup. Ia telah
mengeluarkan dahan-dahan, ranting-ranting,
bunga-bunga dan buah-buah pada segenap
arah. Tidak ada satu arah pun yang tidak dicapai
olehnya. Walaupun begitu pokok yang begitu
subur masih mampu mengeluarkan dahan
baru, ranting baru, daun baru, bunga
baru dan buah baru sebagai tambahan
kepada pokok yang asal. Sekalipun bahagian
tersebut baru tumbuh tetapi ia tetap daripada
pokok yang sama, yang tumbuh bersama
peredaran masa. Selagi yang baru tumbuh itu
daripada pokok yang sama maka ia tetap
mempunyai zat yang sama dengan pokok yang
ditanam oleh Rasulullah s.a.w. Sekiranya yang
baharu tumbuh itu datangnya daripada pokok
yang baharu ditanam, maka ia tidak sesuai lagi
dengan pokok asal yang ditanam oleh Rasulullah
s.a.w. Oleh yang demikian setiap Muslim
haruslah berwaspada terhadap pembaharuan
yang dilakukan. Dahan dan ranting boleh
bertambah tetapi mestilah daripada pokok yang
sama.
Penambahan dan pembaharuan boleh muncul
dalam bidang yang bersangkutan dengan dunia
dan juga akhirat. Perubahan zaman
mengwujudkan sistem teknologi, perekonomian,
sosial dan politik yang lebih kompleks. Jangan
dikira sesuatu yang kompleks itu tidak dapat
ditangani oleh Islam. Jangan mudah beralih
kepada sesuatu yang bukan Islam. Selusuri
kembali dari ranting ke dahan, dari dahan ke
batang dan seterusnya ke akar umbi. Jika proses
penyelusuran itu dilakukan dengan bijaksana dan
ia boleh kembali kepada dasarnya, maka yang
sudah ada mampu menangani apa yang baharu
dijumpai itu. Jika tidak ditemui jalan kembali,
maka mulailah dari akarnya, kepada
batangnya, dan dahannya. Kemudian baru
pergi kepada ranting yang baharu tumbuh, yang
terdapat buah kepada permasalahan yang
baharu mendatang itu.
Ketelitian yang lebih lagi diperlukan dalam
menangani permasalahan yang menyentuh soal
akhirat dan hubungan dengan Tuhan terutamanya
dalam soal aliran tarekat. Walau apa juga nama
diletakkan kepada sesuatu aliran tarekat itu,
janganlah dialih pandangan daripada dasarnya,
iaitu tarekat Nabi Muhammad s.a.w dan para
sahabat baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w dan
para sahabat telah menunjukkan tarekat yang
paling benar dan paling baik. Tarekat yang
datang kemudian mestilah membentuk kehidupan
yang bersesuaian dengan kehidupan Nabi
Muhammad s.a.w dan para sahabat. Jangan
membentuk ideologi dan tatacara yang
tersendiri. Selagi tidak ditemui persesuaian
dengan Sunah Rasulullah s.a.w janganlah dikira
sudah berakhir perjalanan tarekat. Jika tidak
ditemui juga, maka aliran tarekat yang sedang
diikuti itu haruslah ditinggalkan kerana ia
mungkin dahan yang tumbuh daripada pokok
yang tidak ditanam oleh Rasulullah s.a.w dan ia
tidak mampu membawa kepada Yang Haq.
Tujuan kehidupan di bumi bukan mencari makam
dan pengalaman kerohanian, tetapi membentuk
kehidupan yang bersesuaian dengan kehidupan
Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Peri
kehidupan baginda s.a.w dan para sahabat
hendaklah difahami benar-benar. Apa yang
tersembunyi dalam Sir Nabi Muhammad s.a.w
dan para sahabat nyata keluar sebagai buahnya
yang dapat dilihat pada rupa tarekat, Islam,
iman, tauhid, hakikat dan makrifat yang keluar
daripada mereka. Sekaliannya itu menyata dalam
perilaku kehidupan mereka. Setiap orang Islam
mestilah mengeluarkan buah yang serupa,
baharulah benar-benar sah bahawa yang
tersembunyi dalam dirinya serupa dengan yang
ada pada Rasulullah s.a.w dan para sahabat.
Jika perilaku masih menyerupai orang kafir,
orang munafik, orang fasiq dan tidak melepaskan
maksiat, janganlah dianggap diri sudah berada di
atas jalan yang benar. Jika akhlak tidak
mengikuti akhlak Rasulullah s.a.w dan para
sahabat janganlah mengira diri sudah menjadi
orang arif dan memiliki ilmu yang sesuai dengan
ilmu Rasulullah s.a.w. Jika tidak dapat
membezakan yang benar dengan yang batal
janganlah menyangka diri sudah menjadi ahli
hakikat dan ahli makrifat. Tidak dinamakan
bermakrifat jika tidak mengenal hakikat yang
benar dan yang salah, tidak tahu yang halal dan
yang haram dan tidak boleh membezakan Tuhan
dengan hamba Tuhan.
Tujuan bersyariat dan bertarekat adalah untuk
menghidupkan alat yang di dalam diri yang
mampu mengasingkan yang benar daripada yang
batal, yang benar daripada yang salah. Apabila
keupayaan mengasingkan yang benar daripada
yang batal itu menjadi sifat yang sebati,
baharulah sah bahawa syariat dan tarekat yang
diamalkannya itu mengeluarkan buah yang baik.
Daya dan upaya yang memisahkan yang benar
daripada yang salah secara spontan adalah buah
kepada makrifat. Tanpa daya dan upaya tersebut
orang yang mengaku dirinya bermakrifat
sebenarnya menanam pokok yang tidak berbuah.
Duri dan parasit yang muncul pada batangnya
disangkakan buah yang enak. Akibatnya mereka
memakan duri dan parasit tanpa mereka sedari.
Daya dan upaya yang mampu mengasingkan
yang benar daripada yang salah secara spontan
akan melahirkan ghirah (kecemburuan) dalam
jiwa orang-orang yang beriman. Keghirahan itu
yang membuat orang beriman mempertahankan
kebenaran agamanya, tidak mengizinkan agama
Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dipersendakan
atau diperhinakan dan tidak sekali-kali
membiarkan perbuatan syirik dan mungkar
bermaharajalela di dalam kalangan umat.
Keghirahan itu yang membuat orang yang
beriman mempertahankan peraturan Islam, tidak
sekali-kali merombak apa yang sudah siap
ditenun oleh Nabi Muhammad s.a.w. Hati
mukmin yang ghirah mencintai Allah s.w.t,
mencinta Rasul Allah, mencintai berjuang pada
jalan Allah dan juga mencinta makhluk Allah.
Sahabat-sahabat baginda s.a.w telah
membuktikan kecintaan mereka kepada umat
manusia dengan kesediaan diri mereka terkorban
dan harta benda mereka melayang demi
menyelamatkan umat manusia daripada api
neraka. Mukmin yang ghirah bekerja menarik
manusia kepada syurga dan menutup jalan-jalan
ke neraka.
Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara
sekalian alam. Selawat disertai salam
atas yang paling mulia di antara Rasul-
rasul, Muhammad Rasul yang Amin, dan
atas sekalian keluarga dan sahabat-
sahabat baginda.
Maha Suci Tuhan dengan segala
Kemuliaan-Nya dan berfirman
dengannya. Maha Suci Tuhan yang
bersifat dengan Kebesaran dan
Kemurahan. Maha Suci Tuhan yang
menghinggakan bilangan sesuatu dengan
Ilmu-Nya.
Maha Suci Tuhan yang tiada
layaknya Tasbih melainkan untuk-Nya.
Maha Suci Tuhan yang mempunyai
nikmat dan kurnia. Maha Suci Tuhan
yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan.
Maha Suci Tuhan yang mempunyai
kekuasaan. Daku bermohon kepada
Tuhan dengan Kemuliaan Arasy-Mu
dengan Rahmat-Mu yang setinggi-
tingginya dari Kitab-Mu, dengan Nama-
Mu Yang Agung. Kesungguhan-Mu yang
tinggi dan Kalimat-Mu Yang Sempurna
lagi Lengkap yang tidak dilampaui oleh
orang yang berbuat baik dan orang yang
berbuat kejahatan. Anugerahilah Rahmat
Kurnia-Mu kepada Nabi Muhammad
s.a.w dan keluarga Nabi Muhammad
s.a.w.
Wahai Tuhan yang mensejahterakan.
Sejahterakanlah agama kami,
sejahterakanlah iman kami,
sejahterakanlah tauhid kami,
sejahterakanlah makrifat kami,
sejahterakanlah roh kami dan
sejehterakanlah jasad kami. Wahai Yang
Memberi Rahmat dan Yang Mengasihani.
Wahai Tuhan kami. Janganlah Engkau
seksa kami sekiranya kami lupa atau
kami keliru. Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau pikulkan atas kami
seksa sebagaimana Engkau pikulkan atas
orang-orang yang terdahulu daripada
kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau pikulkan atas kami (perintah-
perintah) yang tidak kuat kami
mengerjakannya; dan hapuskanlah (dosa-
dosa) kami, dan lindungilah kami
(daripada dosa-dosa), dan kasihanilah
kami. Engkau jua Penolong kami; oleh
sebab itu tolonglah kami atas
(mengalahkan) kaum yang kafir.
Wahai Tuhan kami! Berilah kami di dunia
kebaikan dan di akhirat pun kebaikan.
Dan peliharalah kami daripada seksaan
neraka.
Selawat serta salam ke atas Sayyidina
Muhammad, ke atas keluarga dan
sahabat-sahabat baginda s.a.w.
Maha Suci Tuhanmu, Tuhan Maha
Perkasa dari apa yang mereka sifatkan.
Dan sejahtera atas mereka yang diutus.
Dan segala puji kepunyaan Allah, Tuhan
bagi sekalian alam.
MOHAMAD NASIR BIN MAJID
(TOK FAQIR AN-NASIRIN)
Seberang Takir
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar