Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Kamis, 24 Oktober 2013
ISTILAH-ISTILAH TASAUF 1
abadi : Tidak ada kesudahan. Kesudahan bagi
tiap-tiap yang bernyawa adalah kematian dan
kesudahan bagi makhluk ciptaan Tuhan adalah
kiamat. Dalam suasana yang abadi kematian dan
kiamat tidak ada lagi. Ini adalah suasana akhirat.
abd: Makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t
dan dihukumkan bahawa mereka berhajat dan
bergantung kepada-Nya. Tidak ada makhluk yang
boleh berdiri sendiri tanpa sokongan Tuhan.
Abdul Rab: Hamba Tuhan. Keterangannya lihat
Hakikat Abdul Rab.
abid: Hamba yang dikuasai oleh rasa ketidak-
upayaan diri dan dia semata-mata bergantung
kepada daya dan upaya yang dikurniakan oleh
Allah s.w.t dalam keadaan Dia berhak dan boleh
mengambil kembali daya dan upaya tersebut
pada bila-bila masa sahaja yang Dia kehendaki.
Hamba tersebut bersandar kepada Allah s.w.t
semata-mata dan segala kegiatan hidupnya
digunakan untuk beribadat kepada-Nya.
‘adam: Sesuatu yang tidak ada atau tidak
wujud, yang merupakan zat asli makhluk.
Makhluk diciptakan daripada tidak ada.
af’al: Perbuatan atau amalan.
afdal: Lebih baik, lebih mulia dan lebih tinggi
kedudukannya.
Agama Tauhid: Agama yang tidak
menyengutukan Tuhan dengan sesuatu, iaitu
agama Islam.
agresif: Cenderung bertindak ganas.
Ahadiyyah: Keadaan Allah s.w.t Yang Maha
Esa yang dibukakan kepada seseorang melalui
pengalaman kerohanian.
ahli asbab: Orang yang melihat kepada
keberkesanan hukum sebab musabab semata-
mata sehingga dia melupakan ketentuan dan
pentadbiran Tuhan yang menguasai sistem sebab
musabab itu. Pergantungan orang ini hanyalah
kepada usaha dan ikhtiar dalam mengadakan
sebab untuk menghasilkan akibat. Mereka tidak
dapat melihat hakikat kekuasaan Tuhan yang
mengawal hukum sebab-akibat tersebut.
ahli bidaah: Orang yang mengamalkan sesuatu
yang tidak menurut perkataan, perbuatan dan
isyarat yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w.
ahli ilmu: Orang yang mempunyai ilmu
pengetahuan dan berpegang kepada dalil-dalil
yang ditemui melalui ilmunya.
ahli kasyaf: Orang yang dibukakan keghaiban
kepadanya sehingga mata hatinya dapat
menyaksikan hakikat yang ‘berada’ di sebalik
yang nyata.
ahli kerohanian: Orang yang telah memasuki
bidang atau makam hati dan mengalami hal-hal
yang berhubung dengan Tuhan.
ahli maksiat: Orang yang cenderung membuat
perkara-perkara yang dilarang oleh Tuhan.
Peringatan dan ancaman yang dibawa oleh
Rasul-rasul tidak memberi bekas pada hatinya.
ahli suffah: Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah
ke Madinah, ada juga kumpulan orang-orang
miskin dan faqir ikut sama berhijrah ke sana.
Tujuan mereka berhijrah adalah untuk berada di
samping Rasulullah s.a.w. Walaupun disediakan
tempat tinggal untuk orang-orang yang berhijrah,
tetapi tempat tersebut agak jauh dari masjid
Rasulullah s.a.w. Kumpulan faqir miskin tadi
lebih suka tinggal berhampiran dengan masjid
baginda s.a.w. Oleh yang demikian baginda
s.a.w mendirikan tempat menginap untuk mereka
di beranda masjid. Mereka tang tinggal di
beranda masjid Rasulullah s.a.w itu dipanggil
ahli suffah iaitu orang yang tinggal di beranda
masjid Rasulullah s.a.w. Kerja mereka adalah
mempelajari wahyu dan hadis dan
menyebarkannya kepada kaum Muslimin yang
lain.
Ahli Sunah wal Jamaah: Satu bentuk
kefahaman dan pegangan di kalangan umat Islam
yang dalam banyak perkara berbeza dengan
kumpulan-kumpulan yang lain seperti Syiah,
Muktazilah dan Khawarij.
ahli taat: Orang yang berpegang teguh kepada
hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan
dan menjauhi segala larangan-Nya.
ahli tajrid: Orang yang menyaksikan kekuasaan
Tuhan ‘berjalan’ pada segala perkara dan
kejadian termasuklah sebab-sebab yang
menghasilkan akibat-akibat. Apabila mereka
melihat ‘tangan’ Tuhan pada segala perkara,
maka pegangan dan sandaran mereka hanyalah
kepada Tuhan, tidak lagi kepada makhluk yang
berjalan dalam hukum sebab musabab.
ahli tarekat: Orang yang mengamalkan sesuatu
aliran tarekat.
ahli tasauf: Orang yang arif dalam bidang
tasauf.
ahwal: Hal-hal, iaitu pengalaman-pengalaman
yang berhubung dengan ketuhanan yang dialami
oleh hati.
akidah: Kepercayaan kepada Tuhan yang
dianuti oleh seseorang.
Aku Hakiki: Apabila dikuasai oleh suasana
kefanaan yang kuat seseorang itu hilang
kesedaran terhadap dirinya. Dia tidak melihat
lagi kepada ‘aku’ dirinya, sebaliknya apa sahaja
yang mengenai dirinya diisbatkannya kepada
Tuhan. ‘Aku’ dirinya diisbatkannya kepada ‘Aku’
Tuhan yang diistilahkan sebagai Aku Hakiki.
Alam Ajsam: Alam jisim. Alam benda-benda.
Alam al-Mulk: Alam nyata, alam yang
mengandungi dunia di dalamnya.
Alam Arwah: Alam roh-roh di mana sekalian
roh-roh yang Tuhan jadikan ditempatkan sebelum
roh-roh tersebut bercantum dengan jasad atau
badan.
alam asbab: Suasana yang pada zahirnya
sangat ketara dikuasai oleh perjalanan hukum
sebab dan akibat.
alam baqa: Lihat baqa.
Alam Barzakh: Tingkat alam selepas bumbung
langit rendah iaitu langit dunia. Ia merupakan
sebahagian daripada peringkat alam yang
dinamakan Alam Malakut Bawah. Roh orang yang
jasadnya mengalami kematian dibawa keluar
meninggalkan bumbung langit dunia dan
ditempatkan di Alam Barzakh.
alam fana: Lihat fana.
Alam Insan: Manusia yang bercantum rohani
dan jasad.
Alam Jin: Satu ruang di bawah bumbung langit
dunia di mana ditempatkan makhluk halus seperti
jin dan lain-lain.
Alam Kabir: Alam besar, iaitu alam makhluk
sekaliannya.
Alam Langit: Alam selepas bumbung langit
dunia.
Alam Malakut : Alam tempat kediaman
malaikat.
Alam Malakut Atas: Bahagian alam yang
tinggi, didiami oleh malaikat-malikat dan lain-lain
unsur nur yang seni yang bertugas memelihara
alam dan menjalankan perintah Tuhan. Alam
arwah merupakan sebahagian daripada Alam
Malakut Atas. Kursi dan Arasy juga termasuk di
dalam bahagiannya.
Alam Malakut Bawah: Bahagian alam
selepas alam dunia didiami oleh malaikat-
malaikat yang menerima tugas yang berhubung
dengan alam bawah. Alam Barzakh termasuk di
dalam ruang Alam Malakut Bawah.
Alam Misal: Alam di mana unsur rohani belum
bercantum dengan badan kebendaan. Alam Misal
jenis ini berada di dalam Alam Malakut. Ia
merupakan peralihan daripada Alam Arwah
menuju kepada peringkat Alam Nasut, di mana
unsur rohani yang dari Alam Arwah itu mendapat
badan masing-masing. Alam Misal merupakan
perincian kepada Alam Arwah. Pada tahap Alam
Misal roh-roh individu mendapat bakat-bakat
dan keupayaan masing-masing, hanya menunggu
giliran masing-masing mendapatkan tubuh bagi
mempamerkan bakat dan keupayaan roh
tersebut. Alam Misal jenis kedua berada di
bawah bumbung langit dunia, sebagaimana yang
dilihat oleh Rasulullah s.a.w sewaktu baginda
s.a.w melakukan Israk. Dalam Alam Misal jenis
kedua ini perkara-perkara ghaib dan abstrak
diberikan bentuk atau gambaran bagi melahirkan
pengenalan terhadap benda dan perkara
tersebut. Dalam Alam Misal inilah Rasulullah
s.a.w menemui iman Masitah dalam misal
sebagai bau-bauan yang sangat harum.
Alam Nasut: Alam kebendaan di mana unsur
rohani mempunyai badan masing-masing.
Alam Saghir: Alam kecil, iaitu manusia atau
Alam Insan.
Alam Syahadah: Alam nyata, iaitu bahagian
alam yang unsur rohani menerima badan masing-
masing.
amal salih: Kebaikan yang dilakukan kerana
mentaati perintah Allah s.w.t dan dilakukan
dengan ikhlas.
ammarah: Nafsu ammarah.
amr: Urusan atau Perintah Tuhan, iaitu suasana
tiada pilihan melainkan menjalankan dengan
tepat apa yang Tuhan telah tentukan. Semua
maklumat yang lengkap dan terperinci sudah
dibekalkan pada amr Tuhan. Ia juga dibekalkan
dengan bakat dan keupayaan untuk menyatakan
maklumat yang ada padanya.
Ansar: Penolong agama Allah s.w.t dengan jiwa
dan harta mereka. Mereka berkhidmat dan
berkorban untuk agama Allah s.w.t dalam semua
bidang tanpa kepentingan diri sendiri. Mereka
sanggup berpisah dengan pemilikan mereka
demi membantu saudara-saudara Muslim dan
demi jihad pada jalan Allah s.w.t.
Arasy: Sempadan yang memagari semua
kejadian Tuhan. Apa sahaja yang Tuhan ciptakan
berada di dalam pagar Arasy. Tidak ada satu
pun kejadian Tuhan, baik yang nyata, yang ghaib
atau yang tersembunyi berada di luar Arasy.
Arasy merupakan hijab yang kukuh. Tidak ada
makhluk yang berupaya menembusi Arasy untuk
berdampingan atau bersekutu dengan Tuhan,
walaupun makhluk itu merupakan malaikat yang
paling tinggi darjatnya. Ilmu makhluk juga tidak
mampu menembusi Arasy walaupun ilmu
malaikat yang paling mulia. Arasy adalah
daripada unsur nur yang paling latif atau paling
seni, lebih seni daripada nur yang menjadi zat
kejadian malaikat Jibrail. Oleh sebab itu Jibrail
tidak berupaya untuk mengikuti Rasulullah s.a.w
memasuki alam Arasy. Nabi Muhammad s.a.w
berupaya berbuat demikian kerana roh baginda
s.a.w adalah juga daripada unsur nur yang
paling latif yang bersesuaian dengan Nur Arasy.
Arasy Yang Agung: Sempadan Arasy yang
paling luar. Ia merupakan kejadian Tuhan yang
paling besar. Ia dinamakan juga kulit atau
kerangka alam.
Arasy Yang Meliputi: Sempadan Arasy yang
paling luar. Ia merupakan kejadian Tuhan yang
paling besar. Ia dinamakan juga kulit atau
kerangka alam.
arifbillah: Orang yang mengenal Allah s.w.t dan
memiliki ilmu ketuhanan yang mendalam.
ariffin: Arifbillah.
asbab: Perjalanan dan keberkesanan hukum
sebab musabab sebagaimana yang telah
ditentukan oleh Allah s.w.t.
aslim: Sifat orang Islam, iaitu berserah diri
kepada Allah s.w.t. Orang yang berserah diri
kepada Tuhan melakukan sesuatu menurut
peraturan yang Tuhan tetapkan. Mereka juga
mengambil manfaat daripada keberkesanan
sistem sebab musabab yang Tuhan tentukan
tetapi mereka tidak lupa kepada Kuasa Mutlak
yang menguasai sistem tersebut. Oleh yang
demikian mereka tidak berpisah dengan sifat
sabar, tawakal dan reda.
asma’: Nama, biasanya yang dimaksudkan ialah
nama Tuhan.
asyikin: Orang yang mendapat asyik dengan hal
ketuhanan seperti nama dan sifat-Nya. Orang
yang asyik dengan satu-satu nama Tuhan akan
melihat kenyataan nama tersebut pada apa
sahaja yang dia pandang. Penyaksian yang
demikian melahirkan kelazatan dan kepuasan
pada jiwanya. Begitu juga keadaan orang yang
asyik dengan sifat Tuhan.
ateis: Orang yang tidak percaya kepada Wujud
Tuhan.
athar: Benda-benda yang Tuhan jadikan dan
letakkan kesan padanya.
aurad: Wirid-wirid.
azali: Suasana Pentadbiran Tuhan atau yang
berada pada sisi Tuhan, yang tidak ada
permulaan.
baqa: Suasana kerohanian selepas peringkat
fana. Dalam kebaqaan hati merasakan kekal,
iaitu tidak berpisah dengan Allah s.w.t.
baqabillah: Baqa atau kekal bersama-sama
Allah s.w.t
Balhut: Keadaan Zat Allah s.w.t yang tidak
dapat dihuraikan.
barzakh: Sempadan yang memisahkan dua
perkara atau keadaan yang berlainan.
basirah: Mata hati atau keupayaan mengenal
yang ada pada rohani.
benih kemanusiaan: Sumber penciptaan
makhluk bangsa manusia.
bidaah: Perbuatan dan perkara-perkara yang
tidak sesuai dengan Sunah Rasulullah s.a.w.
Cinta Allah s.w.t: Salah satu bakat ketuhanan
yang ada pada Nur Allah s.w.t adalah kekuatan
untuk menarik hati supaya mencintai Allah s.w.t.
Hati yang menerima pancaran Nur yang demikian
akan merasai kecintaan Allah s.w.t kepadanya
dan pada masa yang sama lahirlah di dalam hati
itu rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara
bersangatan yang bercampur dengan keasyikan.
Orang yang menerima pancaran Nur Cinta Allah
s.w.t itu biasanya sampai kepada keadaan yang
dipanggil gilakan Allah s.w.t. Hatinya hanya
dipenuhi oleh Allah s.w.t, tidak ada tempat untuk
yang lain.
Cinta Ilahi: Sama seperti Cinta Allah s.w.t.
Diri Batin: Rohani atau hati nurani insan yang
berhubungan dengan Latifah Rabbaniah ataupun
bahagian diri manusia yang bermula daripada
‘tiupan Roh Allah s.w.t’, bukan bermula daripada
‘adam. Tubuh badan memperolehi bakat dan
keupayaan kerana pertaliannya dengan Diri
Batin.
duniawi: Benda-benda dan perkara-perkara
keduniaan.
fadilat: Kelebihan, kemuliaan atau ketinggian.
falsafah: Satu jenis ilmu yang berlandaskan
kekuatan akal yang bebas daripada pengaruh
hawa nafsu, dunia dan tarikan anasir-anasir
kebendaan. Akal yang demikian mampu
mencungkil nilai-nilai kemanusiaan yang asli. Ia
juga mampu melepasi kongkongan kebendaan
untuk merenung kepada perkara-perkara ghaib
dan abstrak yang berkait rapat dengan
perjalanan anasir kebendaan dan alam. Akal
yang demikian boleh sampai kepada tahap
pertemuan dengan kenyataan tentang kewujudan
Kuasa Mutlak yang mengawal sekalian makhluk.
fana: Peringkat pengalaman kerohanian di mana
seseorang mengalami suasana ketiadaan
kesedaran dan ingatan terhadap kewujudan diri
sendiri dan makhluk lainnya. Fana dalam Allah
s.w.t adalah pengalaman di mana seseorang
mengalami suasana yang dinisbahkan kepada
Allah s.w.t, seperti perbuatan, nama, sifat dan
zat Allah s.w.t. Fana dan baqa adalah suasana
kerohanian yang dialami sebelum seseorang itu
kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa.
fanafillah: Fana dalam Allah s.w.t, di mana
seseorang mengalami suasana yang dinisbahkan
kepada Allah s.w.t, seperti perbuatan, nama,
sifat dan Zat Allah s.w.t. Fana dan baqa adalah
suasana kerohanian yang dialami sebelum
seseorang itu kembali kepada kesedaran
kemanusiaan biasa.
fana hakiki: Fana dalam ad-din, iaitu hilang
kehendak diri di dalam kehendak agama. Tidak
ada yang dikehendaki melainkan apa yang
agama berkehendakkan dia melakukannya.
Kehendak peribadinya tunduk kepada kehendak
Allah s.w.t. Setelah seseorang hamba itu fana
daripada dirinya, kehendak dirinya, perasaannya
dan juga daripada makhluk sekaliannya, maka
Allah s.w.t bawakan si hamba itu kepada
suasana yang bersesuaian kehendaknya dengan
kehendak Allah s.w.t dan agama-Nya.
faqir: Orang yang meletakkan pergantungan
kepada Allah s.w.t semata-mata kerana Dia
jualah yang memiliki sifat-sifat iftiqar yang
mewajibkan makhluk berhajat dan bergantung
kepada-Nya. Kefanaan di dalam Allah s.w.t juga
diistilahkan sebagai faqir. Orang faqir adalah
orang yang melihat ‘dari Allah’, ‘beserta Allah’
dan ‘kepada Allah’.
fardu: Kewajipan yang dituntut oleh agama. Tidak
melakukan fardu merupakan perlanggaran
kepada peraturan agama.
fardu ain: Kewajipan yang ditanggung oleh
setiap orang Islam secara individu seperti
sembahyang, puasa dan lain-lain.
fardu kifayah: Kewajipan yang dikongsikan
oleh orang-orang Islam seperti mengebumikan
mayat dan lain-lain.
fasiq: Orang yang engkar kepada perintah
agama dan mengadakan perlanggaran terhadap
peraturan agama secara terbuka.
fatanah: Bijaksana. Ia adalah salah satu
daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah
s.a.w. Di dalam perkara-perkara yang
memerlukan kesabaran, penyerahan dan
sebagainya, ia disertai oleh kebijaksanaan.
Begitulah sikap yang telah ditunjukkan oleh
Rasulullah s.a.w.
fi-sabilillah: Perjuangan pada jalan Allah s.w.t.
fitrah: Bakat-bakat, keupayaan dan daya nilai
semulajadi yang Tuhan bekalkan bersama-sama
dengan penciptaan makhluk-Nya. Fitrah setiap
kejadian akan mengheret kejadian tersebut untuk
mempamerkan sesuatu yang dengannya kejadian
itu dikenali.
fitrah insan: Bakat-bakat, keupayaan dan daya
nilai yang Tuhan kurniakan kepada manusia sejak
manusia yang pertama diciptakan. Fitrah insan
mengwujudkan makhluk bangsa manusia dengan
identiti kemanusiaan yang nyata dan berbeza
dengan makhluk yang lain. Fitrah insan juga
menggerakkan manusia membina kehidupan di
dalam dunia ini dengan berlandaskan nilai moral
yang murni.
fitrah manusia: Sama seperti fitrah insan.
fitrah Muslim: Apabila fitrah insan disinari oleh
cahaya iman ia meningkat kepada darjat fitrah
Muslim. Nilai murni yang ada pada fitrah insan
adalah berlandaskan kemanusiaan semata-mata.
Apabila nilai murni tersebut dilandaskan kepada
kepercayaan kepada Allah s.w.t dan kepatuhan
kepada peraturannya baharulah fitrah insan itu
menjadi Muslim.
Ghaibul Ghuyub: Keghaiban alam dan
makhluk masih boleh dijangkau oleh ilmu dan
kasyaf atau masih boleh dijangkau oleh alam
perasaan. Keghaiban Allah s.w.t melepasi
kemampuan jangkauan ilmu, kasyaf dan alam
perasaan. Benteng keperkasaan Allah s.w.t
menahan apa sahaja daripada menyentuh-Nya.
Keghaiban yang begini dinamakan Ghaibul
Ghuyub.
Ghaibul Mutlak: Sama seperti Ghaibul
Ghuyub.
ghirah: Kecemburuan beragama. Perasaan yang
demikian menggerakkan seseorang menjaga
kemuliaan dan kesucian agamanya dan
mempertahankannya daripada musuh-musuh
yang cuba merosakkan agamanya dan juga
penganut agamanya.
Habiballah: Lihat Hakikat Habiballah.
Hadrat: Rasa kehadiran Allah s.w.t yang
dialami oleh hati, seperti rasa kehampiran-Nya,
keperkasaan-Nya, keelokan-Nya dan sebagainya.
hakikat: Kebenaran yang tulen dan sejati
mengenai sesuatu perkara. Kebenaran yang
paling benar adalah yang pada sisi Tuhan dan
hanya Tuhan yang mengetahuinya dan ia
dinamakan hakikat kepada sesuatu perkara itu.
Manusia diberikan sedikit ilmu sahaja mengenai
hakikat tersebut.
Hakikat Abdul Rab: Kewujudan hamba dalam
ilmu Allah s.w.t. Dalam perjalanan kerohanian
selepas peringkat fana seseorang itu memasuki
peringkat baqa. Dalam kebaqaan itulah dia
menyaksikan hakikat dirinya yang pada sisi
Tuhan sebagai hamba Tuhan. Sebelum alam
diciptakan wujud kehambaannya sudah pun ada
pada sisi Tuhan. Hakikat dirinya itu tidak
berpisah dengan Tuhan sejak azali sehinggalah
kepada yang abadi. Penyaksian yang demikian
membuatnya merasakan kekal atau baqa
bersama-sama Allah s.w.t.
Hakikat Adam/Adamiyah: Hakikat kepada
Nabi Adam a.s. Ia adalah kewujudan pada sisi
Tuhan, dalam ilmu Tuhan, yang berdasarkan
kepadanya Adam a.s dan keturunannya
diciptakan. Apa sahaja yang diciptakan oleh
Tuhan menunjukkan bahawa perkara tersebut
sudahpun ada pada sisi-Nya sebelum ia
diciptakan. Salik bertembung dengan Hakikat
Adamiyah ketika terjadi keasyikan pada peringkat
kalbu. Kesan pertembungan dengan Hakikat
Adamiyah menyebabkan muncul cahaya nur
berwarna kuning yang bergemerlapan pada
cermin hati salik. Nur yang menyinari hati salik itu
mendorong salik untuk kuat bertaubat kepada
Allah s.w.t dan memperbanyakkan ibadatnya.
Hakikat Ahmad/Ahmadiah : Urusan
pentadbiran Tuhan mengenai roh yang paling latif
yang menjadi penjana kepada sekalian
kehidupan. Ia adalah roh Nabi Muhammad s.a.w
atau biasanya dipanggil Roh Muhammad. Dalam
suasana roh ia dinamakan Ahmad.
Hakikat Alam: Kewujudan alam dalam ilmu
Tuhan.
Hakikat Asma’ : Kewujudan pada sisi Tuhan,
dalam ilmu Tuhan, dinamakan Hakikat. Ia adalah
hal atau keadaan Tuhan ataupun suasana
pentadbiran dan urusan Tuhan, samada
mengenainya diri-Nya ataupun makhluk-Nya.
Salah satu hal-hal mengenai Tuhan adalah nama-
nama-Nya. Nama Tuhan adalah wujud Hakikat,
iaitu wujud pemerintah yang menguasai sekalian
makhluk. Boleh juga dikatakan bahawa nama-
nama Tuhan adalah bakat-bakat ketuhanan atau
Rububiah. Dalam pengalaman kerohanian
seseorang sampai kepada peringkat
menyaksikan hubungan nama-nama Tuhan
dengan Diri-Nya yang menguasai nama-nama
tersebut dan kekuatan serta bakat ketuhanan
yang ada pada nama-nama Tuhan terhadap
sekalian makhluk. Pengalaman yang demikian
dikatakan dia mengalami Hakikat Asma’.
Hakikat Habiballah: Nabi Muhammad s.a.w
boleh dilihat dari beberapa aspek. Baginda s.a.w
adalah rasul-Nya yang membawa perkhabaran
mengenai-Nya secara sempurna. Dalam aspek
kerasulan yang paling lengkap dan sempurna ini
baginda s.a.w dilihat sebagai bekas yang
mempamerkan apa yang ada pada sisi Tuhan
yang dinamakan Hakikat Muhammad. Baginda
s.a.w adalah makhluk yang paling mengenali
Allah s.w.t. Baginda adalah yang paling
mengetahui cara-cara pengabdian kepada-Nya.
Baginda juga merupakan orang yang paling
mengasihi Allah s.w.t dan baginda jugalah
makhluk yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t.
Allah s.w.t menjadikan Nabi Muhammad s.a.w
sebagai rahmat kepada sekalian alam. Apabila
melihat Nabi Muhammad s.a.w dalam aspek
rahmaniat Tuhan baginda s.a.w dipanggil
Habiballah atau kekasih Allah. Habiballah adalah
hamba Tuhan yang paling benar dan paling
diredai-Nya. Baginda s.a.w telah menunjukkan
jalan yang paling benar dan paling diredai itu.
Dalam pengalaman kerohanian seseorang
menyaksikan Nabi Muhammad s.a.w dalam
berbagai-bagai aspek seperti Hakikat
Muhammad, Nur Muhammad, Muhammad Insan
Kamil dan lain-lain. Semua aspek-aspek tersebut
adalah kewujudan dalam ilmu Allah s.w.t.
Penghayatan, daya rasa, ingatan dan kesedaran
di dalam ilmu itu bercampur dengan kemabukan,
kefanaan dan kebaqaan atau dikatakan berada
dalam suasana hakikat. Apabila seseorang dapat
melihat Nabi Muhammad s.a.w sebagai
Habiballah yang berjalan sebagai manusia biasa
di atas muka bumi, memakai sifat-sifat dan nilai
kemanusiaan, baharulah dia dapat kembali
kepada kesedaran biasa dengan sempurna atau
baharulah dia boleh keluar dari makam hakikat
dan masuk sepenuhnya kepada makam syariat.
Penghijrahan dari makam hakikat kepada makam
syariat sukar dilakukan kerana kesan kefanaan,
kemabukan, zauk dan kebaqaan sukar hilang dari
hati salik.
Hakikat Haiwan : Kewujudan dalam ilmu Tuhan
yang mengawal penciptaan keturunan semua
haiwan.
Hakikat hamba Tuhan: Sama seperti Hakikat
Abdul Rab.
Hakikat Ibrahim/Ibrahimiyah : Hakikat
kepada Nabi Ibrahim a.s iaitu kewujudan hakikat
yang pada sisi Tuhan yang mengawal penciptaan
Nabi Ibrahim a.s. Hakikat nabi-nabi mempunyai
pengaruh dan kesan terhadap hakikat-hakikat
yang lain. Hakikat Nabi Muhammad s.a.w
mempunyai kesan dan pengaruh yang paling
besar dan paling kuat terhadap semua hakikat-
hakikat. Di bawah daripada itu adalah hakikat
nabi-nabi yang lain termasuklah Hakikat Nabi
Ibrahim a.as. Hakikat adalah suasana ketuhanan
mengenai makhluk-Nya. Apa sahaja urusan
Tuhan dinyatakan sebagai nur. Malaikat yang
menjalankan urusan Tuhan adalah nur. Kesan
hakikat yang diterima oleh cermin hati adalah
dalam suasana nur juga. Hakikat Ibrahimiyah
diterima oleh hati ketika berlaku keasyikan pada
makam roh, iaitu roh haiwani yang
menghidupkan jasad.. Pertembungan dengan
kesan Hakikat Ibrahimiyah tersebut membuat
mata hati menyaksikan nur atau cahaya
berwarna merah yang bergemerlapan. Ini bukan
bermakna Hakikat Ibrahimiyah itu berwarna
merah. Kesan daripada hakikat umpama haba
yang ‘memanaskan’ cermin hati dan hasilnya
muncullah cahaya api dalam cermin hati itu.
Begitu juga keadaannya apabila berlaku
pertembungan hati dengan kesan hakikat-hakikat
yang lain. Pancaran nur Hakikat Ibrahimiyah itu
mendorong hati supaya kuat berserah diri kepada
Allah s.w.t dan kuat bersabar dalam menempuh
ujian.
Hakikat Insan: Suasana, keadaan atau hal
Pentadbiran Tuhan yang mengenai umat manusia
dan menguasai kewujudannya. Apa sahaja yang
Tuhan tentukan untuk umat manusia sejak azali
sampailah kepada yang abadi telah ada pada
suasana Hakikat Insan yang pada sisi Tuhan. Apa
sahaja yang terzahir daripada penguasaan
Hakikat Insan akan menjadi manusia.
Hakikat Insan Kamil: Hakikat Insan Kamil
adalah suasana kerohanian pada permulaan
baqa, setelah melepasi peringkat fana. Dalam
suasana tersebut sering muncul kesedaran
tentang kesatuan wujud (wahdatul wujud) di
mana Wujud Tuhan dengan wujud hamba
disaksikan sebagai satu. Hakikat Insan Kamil
merupakan pertemuan makam kehambaan
dengan makam ketuhanan. Dalam suasana inilah
ucapan “ana al-Haq!” selalu keluar dari mulut
orang yang sedang karam di dalam kesedaran
Insan Kamil itu. Ada juga orang yang memasuki
suasana ini tanpa hilang kesedaran
kehambaannya. Dia hanya menyaksikan Insan
Kamil bukan menjadi Insan Kamil. Dalam hal ini
Insan Kamil menjadi titik permulaan untuk dia
menyaksikan hakikat kehambaan dirinya di dalam
ilmu Allah s.w.t atau pada sisi-Nya.
Hakikat Isa/Isaiyah: Pertembungan hati
dengan Hakikat Isaiyah berlaku ketika terjadi
keasyikan pada peringkat kebatinan yang
dinamakan khafi. Kesan pertembungan itu
menyebabkan cermin hati tertangkap cahaya nur
yang berwarna hitam yang bergemerlapan. Ketika
ini gelombang kefanaan sedang kuat melambung
hati salik. Kesedaran pancainderanya sudah
tidak ada lagi. Dalam suasana yang demikian
akan lahirlah sifat-sifat dan perwatakan yang
dianggap sebagai tidak normal mengikut
penilaian orang ramai. Nur yang terpancar
melalui pertembungan dengan Hakikat Isaiyah itu
membuat hati bertambah kasih kepada Tuhan
dan ingatan hanya tertuju kepada-Nya semata-
mata. Hubungan salik dengan yang selain Allah
s.w.t tidak aktif. Pada tahap ini ingatan dan
kesedaran salik hanyalah tertumpu kepada Allah
s.w.t hinggakan dia tidak tahu dirinya dan
makhluk lainnya.
Hakikat Kacang : Suasana, keadaan atau hal
pentadbiran Tuhan yang menguasai kewujudan
generasi kacang. Apa sahaja yang terzahir
melalui penguasaan Hakikat Kacang akan
menjadi kacang.
hakikat kemanusiaan : Sama seperti Hakikat
Insan, iaitu suasana pentadbiran Tuhan mengenai
generasi manusia.
hakikat kenabian: Suasana pentadbiran Tuhan
yang berhubung dengan penciptaan nabi-nabi.
Hakikat ini adalah Hakikat Muhammadiah yang
menjadi penjana ilmu nabi-nabi. Setiap nabi
memperolehi bahagian tertentu daripada
pancaran nur Hakikat Muhammadiah, sementara
Nabi Muhammad s.a.w memperolehi pancaran
tersebut secara penuh.
hakikat kepada semua hakikat-hakikat: `
Hakikat Muhammadiah.
hakikat kewalian: Suasana pentadbiran Tuhan
yang berhubung dengan penciptaan wali-wali.
Wali-wali menerima kesan pancaran nur Hakikat
Insan Kamil dan Hakikat Abdul Rab. Darjat
seseorang wali itu bergantung kepada kekuatan
nur Insan Kamil dan Abdul Rab yang
diterimanya.
Hakikat Khalifah: Setelah menemui hakikat
dirinya sebagai Hakikat Abdul Rab salik
memperolehi sepenuhnya kesedaran
kemanusiaannya yang hilang ketika fana dan
mula kembali sedikit demi sedikit ketika baqa.
Pancaran nur Hakikat Khalifah memberi kekuatan
dan bimbingan kepada salik untuk menguruskan
hal-ehwal kehidupannya dan juga bidang yang
diamanahkan kepadanya. Salik yang telah
sampai ke peringkat ini sudah melepasi kesan
kemabukan dan kefanaan dan dia boleh kembali
kepada kehidupan orang ramai tanpa
menimbulkan fitnah dan kekeliruan.
Hakikat Malaikat: Suasana pentadbiran Tuhan
berhubung dengan penciptaan malaikat-malaikat.
Hakikat Manusia: Sama seperti Hakikat Insan.
Hakikat Maut: Bakat ketuhanan atau Rububiah
yang mengawal dan berkuasa dalam bidang
mematikan setiap yang hidup. Nur Rububiah
yang menguasai maut itu menyinari malaikat
Izrail, maka Izrail memperolehi pengetahuan
tentang perjalanan maut dan bakat serta
keupayaan mematikan dipikul oleh Izrail.
Hakikat Muhammad/Muhammadiah:
Hakikat yang menyeluruh iaitu Hakikat yang
menguasai sekalian hakikat-hakikat. Semua
hakikat-hakikat yang lain merupakan bahagian-
bahagian daripada Hakikat yang satu ini. Hakikat
Muhammadiah adalah Hakikat yang penuh dan
lengkap dan hakikat yang lain mempamerkan apa
yang ada dengan Hakikat Muhammadiah itu.
Gabungan semua hakikat-hakikat itu baharu
menyamai Hakikat Muhammadiah ini. Apa sahaja
yang selain Allah s.w.t bermula atau dijanakan
oleh Hakikat Muhammadiah. Apabila Hakikat
Muhammadiah dilihat sebagai urusan Allah s.w.t
dan dalam aspek hubungannya dengan Allah
s.w.t ia dikenali sebagai Nur Allah. Apabila ia
dilihat dalam aspek penjana kewujudan Nabi
Muhammad s.a.w ia dikenali sebagai Nur
Muhammad. Apabila ia dilihat dalam segi
penjana manusia-manusia yang sempurna ia
dikenali sebagai Insan Kamil. Apabila ia dilihat
dalam segi penjana kepada sekalian kewujudan
makhluk ia dinamakan Hakikat Insan atau Hakikat
Alam. Pertembungan hati salik dengan Hakikat
Muhammadiah berlaku dalam kefanaan, ketika
ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri dan
makhluk sekaliannya sudah tidak ada lagi.
Pandangan mata hati kepada Hakikat
Muhammadiah menimbulkan makrifat tentang
urusan pentadbiran Tuhan yang meliputi segala
sesuatu. Pengalaman kerohanian yang mengenai
Hakikat Muhammadiah ini berlaku pada alam
kebatinan yang dinamakan akhfa, iaitu batin atau
kesedaran kerohanian yang paling dalam. Kesan
daripada pancaran nur Hakikat Muhammad atau
Nur Muhammad menyebabkan muncul cahaya
hijau yang bergemerlapan pada cermin hati salik.
Hakikat Musa/Musawiyah: Hakikat kepada
Nabi Musa a.s. Pertembungan hati salik dengan
Hakikat Musawiyah berlaku dalam keasyikan
pada makam Sir, iaitu Roh Insan yang menerima
tiupan daripada hakikat roh atau dipanggil Roh
Allah. Sinaran nur Hakikat Musawiyah melahirkan
kecintaan kepada Allah s.w.t yang tidak berbelah
bahagi.
Hakikat Nuh/Nuhiyah: Hakikat kepada Nabi
Nuh a.s. Peranannya dan makamnya sama
dengan Hakikat Ibrahimiyah. Sinaran nur Hakikat
Nuhiyah menambahkan kekuatan salik untuk
memperbetulkan jalannya menuju Allah s.w.t.
Hakikat Roh: Urusan Tuhan yang berhubung
dengan roh-roh. Ia dinamakan Roh Allah, iaitu
hakikat yang berada pada sisi Allah s.w.t yang
menguasai semua roh-roh.
Hakikat Syariat: Kebenaran yang sebenar
mengenai syariat yang diturunkan oleh Tuhan.
Kefahaman mengenai hakikat syariat dan hakikat-
hakikat yang lain dibukakan oleh Tuhan kepada
sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-Nya
yang dikehendaki-Nya, sekadar yang
dikehendaki-Nya. Kefahaman sebenar tentang
hakikat hanya terjadi melalui pembukaan Tuhan
bukan melalui pembelajaran.
Hakikat Yang Menyeluruh: Hakikat
Muhammadiah.
Hakikat Wali: Suasana, keadaan atau hal
pentadbiran Tuhan yang menguasai kewalian.
Sesiapa yang menerima penguasaan Hakikat
Wali akan menjadi wali.
hal: Pengalaman kerohanian mengenai Tuhan
yang dialami oleh hati. Pengalaman hubungan
hati dengan Tuhan itu membentuk rasa, zauk
atau hal yang melahirkan pengenalan tentang
Tuhan.
hamba rabbani: Hamba yang sampai kepada
tahap bersesuaian kehendaknya dengan
kehendak Allah s.w.t. Apa sahaja yang sampai
dan keluar daripadanya semuanya sudah ditapis
dan diredai oleh Allah s.w.t. Hamba yang
demikian menjadi wakil-Nya dan diizinkan untuk
menggunakan cop mohor-Nya dalam
melaksanakan tugasnya. Perkara-perkara
luarbiasa selalu muncul daripada hamba-hamba
yang demikian.
haqqul yaqin: Keyakinan yang sebenar-
benarnya. Dalam suasana haqqul yaqin, ilmu dan
pengalaman kerohanian, termasuklah penemuan
melalui kasyaf, adalah bersesuaian dengan al-
Quran dan as-Sunah.
Haq: Yang Sebenarnya, iaitu Tuhan.
hari akhirat : Suasana alam dan sekalian
makhluk selepas berlakunya kiamat. Walaupun ia
dinamakan hari tetapi ia tidak terlibat lagi dengan
masa kerana sukatan masa diukur dengan
peredaran bumi mengelilingi matahari. Dalam
suasana akhirat tidak ada lagi neraca pengukur
masa. Masanya ialah tanpa kesudahan atau
abadi.
hari kebangkitan: Hari akhirat.
hari kiamat: Saat atau ketika Allah s.w.t
menghancur-leburkan sekalian makhluk. Ikut
hancur ialah sistem sebab musabab dan sistem
alam. Kemudian Allah s.w.t bina alam yang
baharu dengan sistem yang baharu. Dalam alam
yang baharu itu tidak ada lagi ruang untuk
beramal. Apa juga amalan yang hendak
dilakukan mestilah dilakukan sebelum berlaku
kiamat.
Haula dan Kuwwata: Kekuatan dan
kekuasaan Allah s.w.t yang daripadanya makhluk
memperolehi daya, upaya dan bakat yang
dengan itu makhluk boleh memiliki berbagai-
bagai kebolehan seperti bergerak, berkehendak,
mendengar, melihat, merasa, berfikir dan lain-
lain.
hidayat: Pimpinan dari Tuhan.
hijab: Kegelapan yang menutupi hati daripada
menyaksikan kepada Alam Malakut dan hal-hal
ketuhanan. Hati berhubung dengan Alam malakut
dan hal-hal ketuhanan melalui nur. Kegelapan
nafsu, tarikan anasir-anasir alam dan waswas
syaitan menutupi cermin hati daripada menerima
nur yang datangnya dari alam ghaib.
Hijab al-‘Izzati : Hijab ketuhanan iaitu
kekuasaan Tuhan yang menghalang segala
sesuatu daripada menceroboh keesaan-Nya.
Tidak ada makhluk yang dapat duduk
bersebelahan dengan Allah s.w.t. Tidak ada ilmu
dan makrifat yang dapat membatasi-Nya.
Hijab Keteguhan: Hijab al-‘Izzati.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar