Rabu, 30 Oktober 2013

17: HADRAT ILAHI


Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada satu
pun perbuatan manusia yang memberi kesan
kepada Tuhan. Tidak ada kebaktian manusia
yang sampai kepada Tuhan. Tidak ada doa dan
rayuan manusia yang boleh masuk ke dalam
majlis keesaan Tuhan. Jadi, dalam menyembah
Allah s.w.t adakah manusia hanyalah sebuah
robot yang berdiri, rukuk dan sujud? Adakah
dalam melakukan kebaktian kepada Allah s.w.t
manusia hanyalah sebuah jentera yang bergerak?
Apakah kerana Allah s.w.t melampaui segala
sesuatu maka tidak ada sebarang cara
perhubungan hamba dengan-Nya?
Seorang lelaki bekerja mencari batu-batu
permata di dalam gua. Satu hari, ketika dia
sedang asyik mengumpulkan batu-batu permata,
tiba-tiba muncul seekor ular besar di
hadapannya. Dia ketakutan dan lari sekuat-kuat
tenaganya. Sejak kejadian itu setiap kali dia
melihat kepada gua dia akan ‘ternampak’ ular
besar. Kehadiran ular besar menguasai hatinya.
Dua orang lelaki bersahabat baik dan saling
berkasih sayang. Suatu hari, salah seorang
daripada mereka meninggal dunia. Sahabat yang
masih hidup itu sering mengunjungi anak
sahabatnya yang telah meninggal itu. Lelaki itu
‘melihat’ kehadiran sahabatnya pada si anak itu.
Dalam sebuah negeri ada seorang perempuan
pelacur yang sangat cantik, menawan,
memberahikan dan mempesonakan sebarang
lelaki yang memandang kepadanya. Tidak ada
lelaki yang dapat menahan keinginannya apabila
melihat perempuan tersebut. Setiap hari
perempuan itu akan menunggu pelanggannya
dengan mempamerkan wajahnya di jendela
rumahnya. Lelaki yang melintasi rumahnya pasti
akan berhenti apabila melihat kepadanya.
Perempuan itu tidak pernah kecewa menarik
lelaki kepadanya. Pada suatu hari lalu seorang
lelaki salih dihadapan rumahnya. Lelaki salih itu
adalah seorang ahli ibadat yang tidak pernah
berbuat maksiat. Secara tidak sengaja lelaki salih
itu terpandang kepada perempuan tadi. Seperti
besi di tarik oleh besi berani kaki lelaki salih itu
berjalan ke arah rumah perempuan tersebut dan
masuk ke dalamnya. Perempuan itu bersedia
melayaninya. Lelaki salih itu pun sudah ada
keinginan terhadap perempuan cantik itu. Tetapi
sebaik sahaja lelaki salih itu menyentuh
perempuan itu, tangan lelaki salih itu tiba-tiba
menggeletar. Tubuhnya menggigil dan mukanya
pucat. Perempuan itu berasa hairan lalu
menanyakan keadaan tersebut. Salih itu
memberitahu perempuan itu bahawa Tuhan
Melihat perbuatannya dan Mendengar
perkataannya. Dia sangat takutkan Tuhan.
Penyaksiannya terhadap Tuhan itulah yang
menjadikan sekalian tubuhnya menggigil dan
mukanya pucat. Kehadiran Tuhan menguasai
hatinya.
Al-Quran menceritakan tentang peristiwa yang di
alami oleh Nabi Yusuf a.s.
Dan sebenarnya perempuan itu telah
berleinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula
(mungkin timbul) keinginannya kepada
perempuan itu; kalaulah tidak ia menyedari
kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan
zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk
menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang
tidak baik dan perbuatan keji, kerana
sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang
ikhlas (dibersihkan dari segala dosa). ( Ayat
24 : Surah Yusuf )
Pada saat yang genting itu Nabi Yusuf a.s
menyaksikan kehadiran Tuhannya. Kehadiran
Tuhan yang dialami oleh hati itu diistilahkan
sebagai Hadrat Ilahi. Hamba-hamba yang ikhlas
dengan Allah s.w.t, yang telah dipersucikan,
dikurniakan makam ihsan, iaitu menyaksikan
Hadrat Tuhan atau merasai kehadiran-Nya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sembahlah Tuhanmu seolah-olah kamu melihat-
Nya. Sekalipun kamu tidak melihat-Nya,
ketahuilah Dia melihat kamu”. Hamba-hamba
yang ikhlas dan dipersucikan menyembah Allah
s.w.t dalam keadaan hati mereka merasai
kehadiran Allah s.w.t. Suasana hati yang
demikian dikatakan hati menyaksikan Hadrat
Ilahi. Itulah ihsan.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan
tentang Hadrat Tuhan. Tuhan berfirman:
Allah jualah nur bagi semua langit dan bumi
( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Ke mana sahaja kamu menghadap muka kamu di
sana ada Wajah Allah. Sesungguhnya Allah itu
Maha Luas, Maha Mengetahui. ( Ayat 115 :
Surah al-Baqarah )
Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. ( Ayat
4 : Surah al-Hadiid )
Dan Dia beserta kamu walau di mana kamu
berada. Dan Allah melihat apa yang kamu
kerjakan. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah
yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang
melempar tatkala kamu melempar, tetapi Allah
yang melempar. (Ayat 17 : Surah al-Anfaal)
Kalimah yang sering diucapkan: –
tiada daya dan upaya melainkan beserta Allah”
adalah peringatan kepada Hadrat Ilahi: Hadrat-
Nya Mendengar; Hadrat-Nya Melihat; Hadrat-Nya
beserta makhluk-Nya; Hadrat-Nya menerangi
langit dan bumi; Hadrat-Nya menghadap kepada
hamba yang menyembah-Nya; Hadrat-Nya
bersemayam di atas Arasy dan lain-lain. Tidak
ada satu keadaan, ruang atau zaman yang
makhluk boleh terlepas daripada Hadrat-Nya
yang menguasai sekalian makhluk:
walau siapa sekalipun makhluk
itu. Carilah satu tempat yang paling tersembunyi
yang tidak dapat dilihat oleh-Nya, jika kamu
boleh melepasi Hadrat-Nya. Lakukan satu
perbuatan yang tidak memerlukan daya dan
upaya yang dari-Nya, jika kamu boleh bebas
daripada Hadrat-Nya. Tidak mungkin, sekali-kali
tidak mungkin, kerana Hadrat Allah s.w.t meliputi
sekalian alam, meliputi segala sesuatu,
membatasi segala kejadian.
Dia yang telah menciptakan semua langit dan
bumi dalam enam masa; kemudian itu Dia
bersemayam di Arasy. Dia mengetahui apa yang
masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar
daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit
serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap
bersama-sama kamu di mana sahaja kamu
berada, dan Allah Maha Melihat apa sahaja yang
kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya segala
kekuasaan di semua langit dan bumi; dan
kepada Allah akan kembali segala urusan.
( Ayat 4 & 5 : Surah al-Hadiid )
Tidak ada satu suasana pun yang terlepas
daripada kehadiran atau Hadrat Tuhan, tetapi
jarang sekali penghayatan terhadap yang
demikian menguasai hati nurani manusia,
walaupun mereka mempunyai pengetahuan
mengenainya. Manusia mengetahui bahawa
Tuhan Melihat dan Mendengar tetapi mereka
tidak malu melakukan maksiat di hadapan Hadrat
Tuhan Yang Melihat dan Mendengar. Manusia
tahu Hadrat Tuhan sentiasa bersama-nya, tetapi
masih lagi takut apabila mereka berada di tempat
sunyi sendirian. Akal fikiran yang melahirkan
pengetahuan tidak mampu berhubung dengan
suasana Hadrat Ilahi. Hatilah yang berhubung
dengan Hadrat Allah s.w.t kerana hati yang
boleh diisi dengan iman. Semakin kuat iman
semakin kuat suasana Hadrat Ilahi menguasai
hati. Apabila sampai kepada satu peringkat, hati
menjadi sebati dengan suasana Hadrat Ilahi.
Lahirlah rasa malu dan gerun kepada Tuhan
kerana dia merasai kehadiran Tuhan Melihat
perbuatannya dan Mendengar perkataannya dan
bisikan hatinya.
Suasana Hadrat Ilahi yang dirasakan atau dialami
berbeza dari seorang manusia dengan manusia
yang lain dan juga pada satu tempat dengan
tempat yang lain. Tuhan sendiri menentukan
tempat-tempat yang kehadiran-Nya boleh
dirasakan lebih kuat daripada tempat-tempat
yang lain. Di atas muka bumi ini tempat yang
ditentukan oleh Tuhan sebagai tempat yang
paling kuat menerima Hadrat-Nya adalah di
Baitullah, Tanah Haram Makkah. Orang yang
sudah menziarahi semua tempat di atas muka
bumi akan mendapati tidak ada tempat untuk
merasai kehadiran Allah s.w.t melebihi apa yang
dirasakan pada sisi Kaabatullah. Selain Makkah
tempat-tempat yang boleh dirasakan kehadiran
Tuhan yang kuat adalah Madinah, Baitul Maqdis,
Madyan, Bukit Thursina dan Baitulehem. Rasa
kehadiran Tuhan pada tempat-tempat yang lain
berlebih kurang menurut kadar yang ditentukan
oleh Allah s.w.t dan bergantung kepada hati
seseorang insan.
Oleh kerana pada sisi Kaabah insan dapat
merasakan kehadiran Tuhan secara maksima,
maka Kaabah menjadi Kiblat manusia
menyembah Allah s.w.t. Walaupun kehadiran
Tuhan di sana begitu kuat namun Tuhan bukan
berada dalam Kaabah dan bukanlah Kaabah itu
Tuhan. Apabila berdiri pada sembahyang
menghadap kepada Kaabah bukan bermakna
Kaabah yang disembah atau Kaabah dijadikan
misal Tuhan. Dada menghadap Kaabah tetapi
hati menghadap Allah s.w.t, Tuhan kepada
manusia, hati manusia dan Kaabah. Walau di
mana pun berdiri menghadap Kaabah hati
menghayati suasana Hadrat Ilahi yang sekuat di
Kaabah.
Mengapa Tuhan memilih Kaabah untuk
menyatakan Hadrat-Nya yang paling kuat di atas
muka bumi? Tuhan berbuat menurut kehendak-
Nya, tidak tertakluk kepada hujah manusia.
Muslim tunduk menyerah kepada kehendak
Tuhan. Tuhan memerintahkan supaya menjadikan
Kaabah sebagai Kiblat. Muslim menerima
perintah Tuhan itu dengan patuh dan ikhlas
melaksanakannya. Menolak sembahyang atau
menolak Kaabah sebagai Kiblat membuatkan
seseorang itu menjadi kufur.
Pada Alam Langit-langit pula tempat yang paling
kuat menerima Hadrat Tuhan adalah Baitul
Makmur. Kedudukan Baitullah kepada manusia
sama dengan kedudukan Baitul Makmur kepada
malaikat. Seramai tujuh puluh ribu malaikat
memasuki Baitul Makmur setiap hari. Sekali
memasuki mereka tidak keluar lagi sampai ke
hari kiamat.
Pada sekalian alam atau semua kejadian Tuhan,
tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan
berada di Arasy, iaitu tempat Nabi Muhammad
s.a.w menerima perintah sembahyang lima
waktu sehari semalam. Hanya Nabi Muhammad
s.a.w seorang sahaja yang pernah sampai di
sana. Jibrail a.s tidak sampai ke tempat
tersebut.
Terdapat perbezaan kekuatan suasana Hadrat
pada tempat-tempat yang diberkati Allah s.w.t.
Kaabah diistilahkan sebagai Rumah Allah, Baitul
Makmur pula Rumah Yang Aman Sentosa dan
Arasy adalah Takhta Kerajaan. Bolehlah
diibaratkan Kaabatullah sebagai Negeri Hadrat,
Baitul Makmur sebagai Istana Hadrat dan Arasy
sebagai Takhta Hadrat (ibarat ini hanyalah
perbandingan sekadar untuk kefahaman). Nabi
Muhammad s.a.w memulakan perjalanan
baginda s.a.w daripada Baitullah. Baginda s.a.w
Mikraj ke Baitul Makmur dan kemudian diangkat
ke Arasy, tempat perjalanan yang paling tinggi.
Pada Baitullah Rasulullah s.a.w menerima
kedatangan Jibrail a.s. Dalam suasana Baitullah
manusia menerima suasana Hadrat dalam
keadaan manusia dihijab oleh cahaya malaikat.
Keadaan ini perlu kerana manusia umum tidak
dapat bertahan menerima suasana Hadrat tanpa
hijab malaikat. Pada Baitul Makmur pula makhluk
dihijab dari suasana Hadrat oleh cahaya Arasy.
Pada Arasy pula Hadrat tidak terhijab, sebaliknya
Hadrat itu sendiri yang menjadi hijab, melindungi
makhluk daripada kehebatan Keagungan Allah
s.w.t. Di Arasy, dalam suasana tidak terhijab
daripada Hadrat Tuhan, Nabi Muhammad s.a.w
menerima firman Tuhan tanpa perantaraan.
Walaupun tanpa perantaraan Nabi Muhammad
s.a.w mendengar Kalam Tuhan di sebalik hijab,
iaitu Hijab Hadrat atau hijab ketuhanan, bukan
hijab cahaya malaikat atau yang lain.
Dan tidaklah terdapat seorang manusia pun yang
Allah berkata-kata dengannya, kecuali dengan
wahyu atau dari belakang hijab atau dikirim-Nya
utusan, lalu dia mewahyukan dengan izin-Nya
apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia
adalah Maha Tinggi, Maha Bijaksana. (Ayat
51 : Surah asy- Syura )
Nabi Musa a.s telah mendengar perkataan Tuhan
dari sebalik hijab tanpa Allah s.w.t
memperlihatkan Diri-Nya. Oleh kerana terlalu
asyik mendengar Kalam Tuhan, Nabi Musa a.s
teringin untuk melihat-Nya.
Dan tatkala Musa datang di waktu (yang) Kami
(tentukan itu) dan Tuhannya Berkata-kata
dengannya, berkatalah dia: “Hai Tuhanku!
Tunjukkanlah Diri-Mu kepadaku supaya aku lihat
Engkau. ( Ayat 143 : Surah al-A’raaf )
Permintaan Nabi Musa a.s itu dijawab oleh
Tuhan:
Dia berfirman: “Sekali-kali engkau tidak akan
dapat melihat Aku, tetapi lihatlah kepada gunung
itu, jika ia tetap pada tempatnya maka engkau
akan melihat Daku!” Tatkala Tuhannya
mentajallikan kepada gunung maka hancurlah ia
dan tersungkurlah Musa pengsan. Setelah dia
sedar berkatalah dia: “Maha Suci Engkau, dan
aku adalah yang pertama sekali beriman”. (Ayat
143 : Surah al-A’raaf )
Jika Kalam Tuhan didengar disebalik hijab,
melihat Tuhan juga di sebalik hijab, iaitu melihat
Hadrat-Nya, merasakan kehadiran-Nya dengan
iman, dengan penuh keyakinan. Nabi Musa a.s
mendengar perkataan Tuhan di Gunung Thursina
dan meminta untuk melihat-Nya. Nabi
Muhammad s.a.w mendengar perkataan Tuhan
di Arasy, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak
meminta untuk melihat-Nya. Setelah kembali ke
Makkah baginda s.a.w ditanya oleh Abu Zarr
adakah baginda s.a.w telah melihat Allah s.w.t?
Baginda s.a.w menjawab: “Semuanya cahaya,
bagaimana aku dapat melihat-Nya”. Hijab
ketuhanan yang meliputi makhluk menyebabkan
tidak mungkin makhluk melihat-Nya secara
terang-terangan sebelum berlaku kiamat.
Manusia dapat mengalami Hadrat Ilahi kerana
Dia memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-
Nya, melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia
sendiri.
Dan pada diri kamu apakah tidak kamu
perhatikan? ( Ayat 21 : Surah adz-
Dzaariyaat)
Nilai-nilai yang ada dengan manusia mengajar
kepada manusia mengenai aspek tasybih Tuhan.
Bakat yang ada dengan manusia membolehkan
manusia berhubung dengan Tuhan. Manusia
mempunyai bakat yang istimewa ini kerana
manusia ada perkaitan dengan roh.
(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada
malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak
menciptakan manusia daripada tanah. Maka
apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku
tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah
kamu meniarap kepadanya dalam keadaan
sujud”. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )
Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy.
Dia turunkan roh dari urusan-Nya kepada
barangsiapa yang Dia kehendaki daripada
hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan
tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-
Mu’min )
Seterusnya Allah s.w.t berfirman:
Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau
satu roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah
engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman.
Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri
petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami
kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan
sesungguhnya engkau akan memimpin kepada
jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang
kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit
dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada
Allah akan sampai segala urusan. ( Ayat 52 &
53 : Surah asy-Syura )
Dan mereka bertanya kepada engkau tentang
Roh. Katakanlah: “Roh itu adalah urusan
Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan
sedikit”. ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )
Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan
dengan roh yang termasuk dalam kategori urusan
Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t menjadi nur
yang memberi petunjuk kepada manusia. Hati
nurani yang diterangi oleh nur ini akan terpimpin
kepada jalan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t
itulah memungkinkan segala urusan sampai ke
Hadrat-Nya. Amalan, doa, rayuan dan apa
sahaja yang manusia lakukan sampai kepada
Allah s.w.t kerana roh urusan Allah s.w.t.
Bagaimana semua itu terjadi tidak dapat
diterangkan kerana manusia diberi sedikit sahaja
ilmu mengenai roh urusan Allah s.w.t itu. Dengan
ilmu yang sedikit itulah manusia mencuba
menggerakkan kefahaman mengenainya.
Tuhan mengajar manusia melalui nilai-nilai yang
ada pada diri manusia sendiri. Manusia wujud,
hidup, mendengar, melihat, berkata-kata,
berkehendak dan berpengetahuan. Melalui nilai-
nilai tersebut Tuhan mengatakan Dia Wujud,
Hidup, Mendengar, Melihat, Berkata-kata,
Berkehendak dan Berilmu. Oleh kerana manusia
memiliki unsur seni yang diistilahkan sebagai
roh, maka Allah s.w.t menggunakan istilah roh
juga agar mudah manusia memahami tentang roh
urusan Tuhan. Tetapi manusia jangan lupa apa
yang dinisbahkan kepada Tuhan melampaui
segala sesuatu, melampaui bahasa dan
pengetahuan, melampaui penyifatan dan ibarat
dan tidak ada sesuatu yang serupa dengan apa
yang dinisbahkan kepada-Nya. Tuhan bukakan
ilmu mengenai ini sedikit sahaja, hanya sekadar
mencukupi untuk membuat manusia beriman
mengenainya.
Roh manusia yang ada perkaitan dengan tiupan
Roh Allah s.w.t adalah sesuatu yang sangat unik
dan istimewa. Adam a.s yang diciptakan
daripada tanah berkeadaan seperti mayat
sehinggalah beliau a.s menerima tiupan Roh
Allah s.w.t. Kesan daripada tiupan Roh Allah
s.w.t dinamakan Roh Insan yang padanya
terkumpul segala bakat-bakat yang diperlukan
oleh manusia, seperti bakat-bakat mendengar,
melihat dan lain-lain. Tiupan Roh Allah s.w.t
menjadikan manusia hidup dan mempunyai daya
dan upaya. Tiupan Roh Allah s.w.t juga
melahirkan nafsu dan akal yang berguna bagi
mengarahkan perjalanan kehidupan dan
penggunaan bakat-bakat yang ada dengan
manusia. Apabila keupayaan untuk hidup, bakat-
bakat, nafsu dan akal berkumpul dan bersatu
dengan jasad jadilah ia seorang manusia yang
cukup sifat dan sempurna kejadiannya. Ia
menjadi makhluk yang berjasad dan berhati
nurani atau dikatakan juga manusia yang memiliki
aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir
manusia umpama mayat dan aspek batinnya
umpama malaikat. Ketika Adam a.s berada di
dalam syurga aspek zahirnya tidak menyerlah,
kurang pengaruhnya. Pada tahap itu kedudukan
Adam a.s sama dengan malaikat. Setelah Adam
a.s dihantar ke dunia aspek zahirnya berada di
dalam suasana yang sesuai dengannya. Aspek
zahir menjadi kuat dan cuba mempengaruhi
aspek batin agar tunduk kepada keinginannya.
Manusia pada aspek mayat tidak lagi
menumpang aspek malaikat, malah ia cuba
menggunakan aspek malaikat untuk memenuhi
kepentingan dan keperluannya. Mungkin juga
kerana ia menyedari yang ia akan kembali
menjadi mayat, sedangkan aspek malaikat akan
terus hidup, maka apa sahaja yang dia ingini
mesti diperolehi sekarang, jangan bertangguh-
tangguh lagi.
Bakat-bakat manusia seperti mendengar dan
melihat dimiliki oleh kedua-dua aspek manusia
iaitu zahir dan batin. Oleh kerana pengaruh zahir
lebih kuat maka bakat aspek batin tidak mampu
digunakan oleh manusia. Hijab zahiriah terlalu
kuat sehingga manusia tidak mampu
menyaksikan perkara-perkara ghaib, apa lagi
hal-hal ketuhanan. Manusia seperti ini tidak
dapat merasakan kehadiran Tuhan. Apabila
terhijab daripada kehadiran Tuhan, amal ibadat
yang dilakukan tidak memberi kesan dan tidak
mampu melindungi manusia daripada terjerumus
ke dalam kejahatan.
Manusia dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan
(kehadiran Tuhan) apabila bakat-bakat rohnya
berfungsi. Roh manusia sangat istimewa. Roh
yang Tuhan kurniakan kepada manusia
menyebabkan manusia boleh mengenal Tuhan
apabila Tuhan mengajar mereka mengenali-Nya
melalui bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada
dengan mereka sendiri.
Keajaiban yang dimiliki oleh roh menyebabkan
ada manusia yang salah mengerti tentang roh
mereka. Mereka beranggapan roh itulah Tuhan,
penjelmaan Tuhan atau Tuhan adalah batin
(nyawa) kepada roh. Diri, roh dan Tuhan
dikatakan yang sama. Fahaman ini adalah sesat
dan kufur. Tuhan mengajar manusia mengenali-
Nya melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia
bukan untuk menyesatkan manusia dengan akal
dan khayalan mereka. Manusia mempunyai sifat
melihat. Tuhan mengatakan Dia Melihat.
Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh
bukanlah Penglihatan Tuhan. Ke dua-duanya
tidak sama dan tidak serupa. Penglihatan
manusia dan juga penglihatan roh adalah ciptaan
Tuhan. Tuhan boleh menciptakan penglihatan
untuk manusia dan roh kerana Dia memiliki
Penglihatan. Oleh kerana Dia yang memiliki
Penglihatan maka Dia tahu bagaimana mahu
menciptakan penglihatan. Tuhan berpengetahuan
dalam menciptakan penglihatan untuk makhluk-
Nya. Jika Tuhan tidak memiliki Penglihatan maka
Tuhan menciptakan penglihatan makhluk dalam
kejahilan. Keadaan ini adalah mustahil bagi
Tuhan. Tuhan Maha Tahu tentang apa yang
diciptakan-Nya kerana setiap nilai dan bakat
yang diciptakan-Nya dimiliki-Nya sendiri secara
Mutlak. Nilai Mutlak yang dimiliki oleh Tuhan
menyebabkan Dia boleh mengadakan nilai-nilai
tersebut yang tidak Mutlak. Oleh kerana itu tiada
hujah bagi manusia mengatakan Tuhan tidak
melihat perbuatan mereka kerana Tuhan memiliki
Penglihatan Mutlak. Penglihatan Mutlak
menyaksikan apa sahaja yang dipandang oleh
penglihatan yang tidak Mutlak. Tidak mungkin
penglihatan yang tidak Mutlak memandang tanpa
penyaksian Penglihatan Mutlak.
Tuhan juga memiliki Roh Mutlak, lantaran itu Dia
boleh mengadakan roh yang tidak Mutlak untuk
manusia. Pendengaran, Penglihatan dan lain-lain
adalah bakat Roh Mutlak. Roh tidak Mutlak juga
memiliki bakat-bakat mendengar, melihat dan
lain-lain. Keadaan yang demikian menyebabkan
orang sufi sering mengatakan insan diciptakan
dengan bayangan ar-Rahman. Ungkapan yang
demikian melahirkan kefahaman yang insan
adalah bayangan Tuhan. Sebenarnya bakat
manusia tidak boleh dihubungkan dengan bakat
Tuhan seperti menghubungkan bayang dengan
yang empunya bayang. Wujud manusia dan sifat
manusia tidak bertembung dengan Wujud Tuhan
dan sifat Tuhan. Roh manusia bukanlah Roh
Tuhan. Roh menggambarkan bakat-bakat yang
banyak berkumpul dalam kesatuan. Bakat-bakat
mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak,
berkuasa, berpengetahuan dan hidup adalah
bakat yang satu iaitu roh. Apabila disebut roh ia
meliputi semua bakat dan nilai. Apabila Bakat-
bakat yang demikian dilihat pada suasana
ketuhanan, maka suasana tersebut dinamakan
Kudrat. Istilah Roh Tuhan adalah satu bentuk
pengajaran Tuhan kepada manusia melalui nilai
yang ada dengan manusia sendiri, supaya
mudah manusia memperolehi kefahaman. Orang
yang menyamakan rohnya dengan Roh Tuhan
dan menyamakan dirinya dengan Tuhan wajiblah
bertaubat sebelum nyawa sampai di halkum.
Yakinlah hamba tetap hamba dan Tuhan tetap
Tuhan, tidak ada kamil berkamil, satu bersatu,
sama menyama. Bertaubatlah daripada iktikad
yang salah!
Suasana Hadrat yang di alami oleh hati nurani
dikenali sebagai hakikat atau hal ketuhanan.
Hakikat dialami dalam dua keadaan. Dalam
keadaan yang pertama orang yang mengalaminya
tidak sedarkan kewujudan dirinya dan dalam
keadaan yang ke dua pula pengalaman hakikat
tidak mencabut kesedaran dan kehambaannya.
Misalnya, dalam satu pengalaman hakikat, orang
yang hilang kesedaran mengucapkan: “Ana al-
haq! (Akulah Tuhan)”, tetapi orang yang menetap
dalam kesedaran dan kehambaan yang
mengalami hakikat yang sama mengucapkan:
“Hua al-Haq! (Dia jualah Tuhan)”. Jenis pertama
merasakan dia menjadi Tuhan. Jenis ke dua
mengenali apa yang dimaksudkan sebagai
Tuhan. Yang pertama hilang kesedaran diri lalu
mengaku menjadi Tuhan. Yang ke dua pula
mengenali Tuhan sebagai Tuhan dan hamba
sebagai hamba. Jenis pertama dikurung oleh
bayang dan mendapati sukar untuk melepasi
peringkat itu. Jenis ke dua menetap di atas
kenyataan yang benar dan lebih mudah untuk
sampai kepada Kebenaran Hakiki.
Allah s.w.t mempunyai satu Hadrat bernama ar-
Rahman. Orang yang hilang kesedaran masuk
kepada bayangan ar-Rahman lalu merasakan
dirinya adalah ar-Rahman. Dia merasakan
dirinya sangat pemurah, mahu mengabulkan apa
sahaja yang orang minta. Tetapi ‘ar-Rahman’-nya
hanyalah bayangan. Oleh itu apa yang boleh
diberinya juga adalah bayangan iaitu
pengharapan dan angan-angan. Orang yang
menemui Hadrat ar-Rahman dalam kesedaran
mengalami hal yang berbeza. Dia tidak diganggu
oleh bayangan. Dia mengalami suasana kesucian
yang Maha Suci, kebesaran yang Maha Besar,
keagungan yang Maha Agung. Pada ketika itu dia
merasakan setiap zarah kewujudannya sama
seperti debu tepung. Apabila berhadapan
dengan Tuhan ar-Rahman dia merasakan setiap
zarah kewujudannya relai seumpama debu
tepung ditiup angin kencang. Bila dia keluar
daripada pengalaman tersebut dia mendapat
pengertian tentang keagungan Tuhan ar-Rahman.
Dia mengerti keadaan hancurnya Gunung
Thursina tatkala Tuhan hadapkan keagungan-Nya
ke sana. Dia mengerti maksud perkataan Jibrail
a.s: “Jika aku melangkah satu langkah lagi
cahaya keagungan Allah s.w.t akan membakar
daku”. Dia mengerti maksud perkataan
Rasulullah s.a.w: “Cahaya di mana-mana,
bagaimana aku boleh melihat-Nya”.
Orang yang menetap dalam kehambaan
mengalami hakikat dan memperolehi makrifat
melalui pengalaman, bukan sekadar melalui ilmu.
Ketika merasakan zarah kewujudannya tertanggal
satu-satu dia mengenal Tuhan yang boleh
dikenal. Setelah zarah-zarah kewujudannya
‘diterbangkan angin kencang’ dan ‘hilang’, dia
mengenali Tuhan yang melampaui segala
pengenalan. Lalu dia mendapat pengertian
bahawa yang benar-benar kenal Tuhan adalah
Tuhan sendiri. Hanya Dia yang mengenali Diri-
Nya. Kami mengenali-Nya melalui-Nya, sekadar
yang Dia izinkan kami mengenali-Nya.
Pengalaman hakikat cara demikian
menggabungkan tahu dengan tidak tahu, faham
dengan tidak faham dan kenal dengan tidak
kenal.
Perkara yang sering menimbulkan kekeliruan
orang ramai adalah persoalan Qadak dan Qadar.
Qadak dan Qadar berhubung dengan Ilmu Tuhan
atau suasana Pentadbiran Tuhan. Ada orang
yang Tuhan izinkan ‘masuk’ ke dalam suasana
Ilmu-Nya. Apa yang ditemui pada Hadrat Ilmu
Tuhan adalah hakikat-hakikat yang menguasai
perjalanan alam. Hakikat atau urusan Tuhan yang
berhubung dengan manusia dinamakan Hakikat
Insan. Urusan Tuhan yang berhubung dengan
alam dinamakan Hakikat Alam. Urusan yang
mencakupi segala perkara dinamakan hakikat
kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang
menyeluruh. Pengalaman hakikat-hakikat pada
Hadrat Ilmu Tuhan membawa seseorang kepada
jalan yang menggabungkan dua jalan iaitu jalan
nabi dan jalan asma’. Jalan nabi adalah syariat
iaitu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan
oleh Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya.
Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan
untuk mengabdikan diri kepadaKu. ( Ayat 56 :
Surah adz-Dzaariyaat )
Jalan asma’ adalah menyaksikan Rububiah
(ketuhanan) pada setiap masa dan dalam semua
suasana.
Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah,
Tuhanku dan Tuhan kamu. Tidak ada satu pun
yang melata melainkan Dia jualah yang
memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya
Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat
56 : Surah Hud )
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah
jualah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu
yang melempar ketika kamu melempar tetapi
Allah jualah yang melempar. ( Ayat 17 : Surah
al-Anfaal )
Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan asma’
atau jalan hakikat adalah menyaksikan Hadrat
Ilahi dalam segala perkara dan pada semua
suasana. Bila dua jalan berpadu lahirlah amal
zahir dan amal batin yang sesuai dengan
peraturan dan kehendak Allah s.w.t, mengambil
Qadak dan Qadar melalui nilai-nilai yang ada
dengan manusia, berusaha dan beramal, dan
pada masa yang sama beriman dan bertawakal
kepada Tuhan yang memegang perjalanan segala
urusan. Tidak ada sesuatu yang bebas daripada
hakikat ketuhanan yang menguasainya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar