JANGAN
MEMINTA KEPADA ALLAH S.W.T SUPAYA DIPINDAHKAN DARI SATU HAL KEPADA HAL
YANG LAIN, SEBAB JIKA ALLAH S.W.T MENGKEHENDAKI DIPINDAHKAN KAMU TANPA
MERUBAH KEADAAN KAMU YANG LAMA.
Hal adalah pengalaman hati tentang hakikat.
Hal tidak boleh didapati melalui amal dan juga ilmu. Tidak boleh dikatakan
bahawa amalan menurut tarekat tasauf menjamin seseorang murid memperolehi
hal. Latihan secara tarekat tasauf hanya menyucikan hati agar hati
itu menjadi bekas yang sesuai bagi menerima kedatangan hal-hal (ahwal).
Hal hanya diperolehi kerana anugerah Allah s.w.t. Mungkin timbul pertanyaan
mengapa ditekankan soal amal seperti yang dinyatakan dalam Hikmat
yang lalu sedangkan amal itu sendiri tidak menyampaikan kepada Tuhan?
Perlu difahami bahawa seseorang hamba
tidak mungkin berjumpa dengan Tuhan jika Tuhan tidak mahu bertemu dengannya.
Tetapi, jika Tuhan mahu menemui seseorang hamba maka dia akan dipersiapkan
agar layak berhadapan dengan Tuhan pada pertemuan yang sangat suci dan
mulia. Jika seorang hamba didatangi kecenderungan untuk menyucikan dirinya,
itu adalah tanda bahawa dia diberi kesempatan untuk dipersiapkan agar layak
dibawa berjumpa dengan Tuhan. Hamba yang bijaksana adalah yang tidak melepaskan
kesempatan tersebut, tidak menunda-nunda kepada waktu yang lain. Dia tahu
bahawa dia menerima undangan dari Tuhan Yang Maha Mulia, lalu dia menyerahkan
dirinya untuk dipersiapkan sehingga kepada tahap dia layak menghadap Tuhan
sekalian alam. Makam di mana hamba dipersiapkan ini dinamakan aslim atau
menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan. Tuhan yang tahu bagaimana mahu mempersiapkan
hamba yang Dia mahu temui. Tujuan amalan tarekat tasauf ialah mempersiapkan
para hamba agar berkeadaan bersiap sedia dan layak untuk dibawa berjumpa
dengan Tuhan (memperolehi makrifat Allah s.w.t).
Walaupun hal merupakan
anugerah Allah s.w.t semata-mata, tetapi hal hanya mendatangi hati para
hamba yang bersedia menerimanya.
Murid atau salik yang memperolehi
hal akan meningkatkan ibadatnya sehingga suasana yang dicetuskan oleh hal
itu sebati dengannya dan membentuk keperibadian yang sesuai dengan cetusan
hal tersebut. Hal yang menetap itu dinamakan makam. Hal yang diperolehi
dengan anugerah bila diusahakan akan menjadi makam. Misalnya, Allah s.w.t
mengizinkan seorang salik mendapat hal di mana dia merasai bahawa dia sentiasa
berhadapan dengan Allah s.w.t, Allah s.w.t melihatnya zahir dan batin,
mendengar ucapan lidahnya dan bisikan hatinya. Salik memperteguhkan daya
rasa tersebut dengan cara memperkuatkan amal ibadat yang sedang dilakukannya
sewaktu hal tersebut datang kepadanya, sama ada ianya sembahyang, puasa
atau zikir, sehingga daya rasa tadi menjadi sebati dengannya. Dengan demikian
dia mencapai makam ihsan.
Satu sifat semula-jadi manusia adalah
tergesa-gesa, bukan sahaja dalam perkara duniawi malah dalam perkara ukhrawi
juga. Salik yang rohaninya belum mantap masih dibaluti oleh sifat-sifat
kemanusiaan. Apabila dia mengalami satu hal dia akan merasai nikmatnya.
Rindulah dia untuk menikmati hal yang lain pula. Lalu dia memohon kepada
Allah s.w.t supaya ditukarkan halnya. Sekiranya hal yang datang tidak diperteguhkan
ia tidak menjadi makam. Bila hal berlalu ia menjadi kenangan, tidak menjadi
keperibadian. Meminta perubahan kepada hal yang lain adalah tanda kekeliruan
dan boleh membantut perkembangan kerohanian.
Kekuatan yang paling utama adalah
berserah kepada Allah s.w.t, reda dengan segala lakuan-Nya. Biarkan Allah
Yang Maha Mengerti menguruskan kehidupan kita. Sebaik-baik perbuatan adalah
menjaga makam yang kita sedang berada di dalamnya. Jangan meminta makam
yang lebih tinggi atau lebih rendah. Semakin hampir dengan Allah s.w.t
semakin hampir dengan bahaya yang besar, iaitu dicampak keluar dari majlis-Nya
sesiapa yang tidak tahu menjaga kesopanan bermajlis dengan Tuhan Yang Maha
Mulia dan Maha Tinggi. Oleh yang demikian, tunduklah kepada kemuliaan-Nya
dan berserahlah kepada kebijaksanaan-Nya, nescaya Dia akan menguruskan
keselamatan dan kesejahteraan para hamba-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar