Senin, 28 Oktober 2013

40: Umat Yang Diasuh Oleh nabiMuhammad s.a.w


Para sahabat Rasulullah s.a.w boleh dibahagikan
kepada tiga golongan. Pertama adalah mereka
yang memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w
berhijrah ke Madinah. Kedua adalah mereka
yang memeluk Islam selepas Rasulullah s.a.w
berhijrah ke Madinah. Ke tiga adalah mereka
yang memeluk Islam sesudah pembebasan
Makkah. Al-Quran telah meletakkan ketentuan
bahawa golongan pertamalah yang paling mulia,
diikuti oleh golongan ke dua dan seterusnya
golongan ke tiga. Berdasarkan kenyataan al-
Quran itulah Abu Bakar as-Siddik berhujah
dengan kaum Ansar berhubung dengan isu
perlantikan pengganti Rasulullah s.a.w. Kaum
Ansar memperakui memang demikianlah
kenyataan al-Quran. Oleh yang demikian
golongan pertamalah yang berhak memegang
jawatan amir dan golongan kedua jawatan wazir.
Di antara yang paling mulia dalam golongan
pertama, maka Abu Bakar as-Siddik adalah yang
paling mulia. Neraca keadilan Umar al-Khattab
telah menunjukkan keutamaan Abu Bakar as-
Siddik. Sekalian kaum Muslimin membenarkan
pertimbangan Umar dan Abu Bakar as-Siddik
dilantik menjadi khalifah umat Islam yang
pertama.
Golongan pertama telah melalui jalan yang tidak
dilalui oleh golongan-golongan yang lain. Mereka
adalah yang pertama beriman kepada Rasulullah
s.a.w. Mereka terpaksa membayar harga yang
mahal demi agama mereka dan iman mereka.
Hak asasi mereka dirampas oleh kaum Quraisy.
Ketahanan iman mereka benar-benar diuji.
Setelah mereka lulus ujian iman baharulah Allah
s.w.t mengeluarkan mereka daripada Makkah
untuk melakukan satu laku pekerjaan yang sangat
mulia, yang tidak dilakukan oleh golongan yang
lain. Mereka memperolehi fadilat hijrah.
Setelah hijrah golongan pertama ini menjadi
seumpama air meresap ke dalam golongan
kedua untuk memberi kehidupan kepada mereka.
Golongan kedua yang telah bersatu dengan
golongan pertama telah menjadi kuat, dan
kedua-duanya menjadi tentera Allah, para
mujahidin. Hasil daripada perjuangan mereka
itulah muncul golongan ke tiga dan seterusnya
berkembang hingga ke hari ini dan sampai ke
hari kiamat.
Di dalam golongan ke tiga terdapat orang-orang
yang satu ketika dahulu sangat-sangat memusuhi
Rasulullah s.a.w, kaum Muslimin dan agama
Islam. Dari kalangan mereka ada orang yang
pernah menyiksa kaum Muslimin, malah ada
yang pernah membunuh orang Islam. Perjuangan
golongan pertama dan ke dua bukanlah untuk
membalas dendam atau untuk mencari
keuntungan diri. Mereka adalah tentera Allah
yang berkewajipan membawa agama Allah
kepada umat manusia. Mereka adalah golongan
manusia yang dipilih khusus untuk memimpin
umat manusia agar selamat daripada neraka.
Ada sebahagian cendikiawan yang datang
kemudian tidak bersetuju dengan beberapa
tindakan para Mujahidin itu. Mereka perlu
memahami daya nilai kemanusiaan dan daya
nilai Muslim. Manusia umum menggunakan bakat
fitrah kemanusiaan dalam membuat penilaian.
Fitrah kemanusiaan hanya berupaya
menggunakan kekuatan akal fikiran sebagai
sumber yang paling kuat. Fitrah Muslim pula
tunduk menyerah kepada wahyu. Penyerahan
kepada wahyu Tuhan dilakukan dengan iman,
bukan dengan hujah dan takwil. Kaum Muslimin
berkewajipan menundukkan fitrah asas kepada
fitrah Muslim yang menyerah kepada berita yang
datang dari Tuhan. Kaum Muslimin hendaklah
tidak membuang perkataan Tuhan kerana melihat
kepada hukum logik fitrah asas.
Golongan pertama dan kedua menerima dengan
baik orang-orang yang telah memusuhi mereka,
menindas mereka, berperang dengan mereka
dan membunuh saudara-saudara mereka.
Keadaan demikian boleh terjadi kerana sifat
pemaaf yang kuat tertanam dalam jiwa kaum
Muslimin yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w.
Umat yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w berpusat
kepada dua perkara penting iaitu al-Quran dan
masjid. Mereka menjadi umat yang belajar al-
Quran, mengamalkan al-Quran dan menyebarkan
al-Quran. Islam dan al-Quran bergandingan.
Tidak dinamakan Islam tanpa al-Quran. Umat
Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan
mempelajari al-Quran secara membaca,
menghafal dan mengamalkan. Mereka juga
berkewajipan menyebarkan apa yang mereka
pelajari dan amalkan. Sesiapa yang menerima
agama Islam daripada Nabi Muhammad s.a.w
melalui proses yang demikian. Setiap orang
dibawa tunduk kepada perkataan Tuhan, bukan
kepada fikiran, ilham atau kasyaf orang tertentu.
Orang yang memiliki fikiran, ilham atau kasyaf
berkewajipan mengharmonikan apa yang ada
dengan mereka itu dengan perkataan Tuhan. Apa
sahaja yang bercanggah dengan perkataan Tuhan
mesti ditolak.
Masjid adalah tempat yang paling mulia bagi
umat Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w
banyak menghabiskan waktu baginda s.a.w di
dalam masjid. Baginda s.a.w bersembahyang di
dalam masjid. Baginda s.a.w menerima tetamu
di dalam masjid. Baginda s.a.w menyusun
strategi peperangan di dalam masjid. Peraturan
yang baginda s.a.w lakukan di salam masjid
menjadi asas kepada perlantikan Abu Bakar
sebagai pengganti baginda s.a.w, kerana Abu
Bakar dipilih oleh baginda s.a.w menjadi imam
sembahyang semasa ketiadaan baginda s.a.w.
Orang yang menjadi ketua kaum Muslimin adalah
imam bagi saf yang berjemaah di dalam masjid.
Begitulah pentingnya institusi masjid yang
kepada umat yang dididik oleh Nabi Muhammad
s.a.w.
Al-Quran dan masjid menjadi dasar yang kukuh
kepada umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi
golongan yang mencintai jihad. Mereka adalah
golongan yang telah menjualkan harta dan nyawa
mereka kepada Tuhan. Kecintaan mereka adalah
kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada
jalan-Nya. Tidak ada yang mereka cintai melebihi
yang tiga itu.
Semangat jihad pengikut-pengikut Nabi
Muhammad s.a.w yang tidak ada tolok
bandingnya dapat dilihat pada peristiwa Perang
Uhud. Dalam peperangan tersebut 70 orang
tentera Muslimin gugur syahid. Setelah para
syuhada tersebut dikebumikan Nabi Muhammad
s.a.w membawa mereka yang masih hidup
pulang ke Madinah. Kebanyakan daripada
mengalami kecederaan yang serius. Abdul
Rahman bin Auf mendapat luka 20 liang. Hanya
satu malam sahaja mereka berkesempatan
berehat dan merawat luka mereka. Keesokan
paginya para petugas telah menyeru semua
tentera Muslimin yang menghadiri Perang Uhud
kelmarin keluar untuk mengejar tentera musyrikin
yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Hanya mereka
yang menyertai peperangan kelmarin sahaja yang
dibenarkan ikut serta. Betapa iman mereka diuji
begitu hebat sekali oleh Tuhan. Mereka menyahut
seruan tersebut tanpa ragu-ragu dan
membuktikan bahawa mereka adalah orang-
orang yang benar-benar menjualkan diri dan
harta mereka kepada Allah s.w.t. Mereka keluar
semula daripada Madinah mengejar musuh yang
telah mengalahkan mereka kelmarin. Mereka
sanggup berbuat demikian kerana iman. Mereka
percaya kepada janji Allah s.w.t bahawa para
syuhada sebenarnya tidak mati. Mereka terus
memperolehi nikmat dan kurniaan Tuhan
sekalipun mereka tinggal di dalam alam yang
berbeza.
Selepas Perang Uhud, Jabir bin Abdullah duduk
termenung mengenangkan ayahnya yang telah
syahid, di antara 70 syuhada Uhud itu. Rasulullah
s.a.w bertanyakan keadaannya dan dia
menceritakan punca kesugulannya. Rasulullah
s.a.w bersabda: “Kalau Tuhan hendak berbicara
dengan seseorang hanyalah dari sebalik hijab
tetapi ayahmu dihidupkan dan Tuhan bercakap
dengannya berhadapan. Lalu Tuhan berfirman,
‘Wahai hamba-Ku! Sebutlah apa yang engkau
ingini nescaya Aku beri’. Dia menjawab, ‘Pintaku
hanya satu wahai Tuhanku. Hidupkan aku sekali
lagi supaya aku mati terbunuh kali ke dua pada
jalan-Mu’. Tuhan menjawab, ‘Telah tertulis
bahawa orang yang mati tidak akan kembali lagi’.
Maka berkata pula hamba yang memohon tadi,
‘Wahai Tuhanku! Jika demikian sampaikanlah
kepada makhluk-Mu yang telah aku tinggalkan
bahawa betapa bahagianya daku sekarang’”.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Kawan-kawanmu
yang syahid di Uhud itu, arwah mereka disimpan
oleh Tuhan di dalam rongga burung hijau,
terbang dan hinggap di sekitar sungai-sungai
syurga, makan buah-buahannya dan hinggap
pada kidil-kindil emas yang tergantung di bawah
naungan Arasy. Setelah mereka merasai
kelazatan makanan dan minuman dan sambutan
yang amat baik atas mereka, berkatalah mereka,
‘Alangkah baiknya kalau kawan-kawan kita yang
masih hidup di dunia mengetahui apa yang
diperbuat oleh Tuhan untuk menyambut kita ini.
Siapakah agaknya yang kan menyampaikan
kepada mereka di dunia bahawa kita ini hidup di
dalam syurga dan tetap diberi rezeki, supaya
mereka jangan enggan berjihad dan jangan takut
berperang’. Tuhan menjawab, ‘Aku sendiri akan
menyampaikannya’”.
Para mujahidin bergerak ke medan perang
dengan ucapan: “Cukuplah Allah bagi kami
dan Dia jualah sebaik-baik Penjaga ”.
Tekad mereka bulat. Keyakinan mereka penuh
kepada kempimpinan Rasul Allah. Penyerahan
mereka hanyalah kepada Allah s.w.t. Tugas
mereka adalah menyebarkan apa yang Allah
s.w.t sampaikan kepada Rasul-Nya. Mereka
bekerja untuk menyelamatkan diri mereka, ahli
mereka dan umat manusia umumnya daripada
azab api neraka.
Pengikut Nabi Muhammad s.a.w hidup bersama-
sama tiga perkara pokok iaitu al-Quran, masjid
dan jihad. Jihad bukan sahaja mengangkat
senjata. Dalam keadaan aman jihad mereka
adalah memperkuatkan umat Islam secara rohani
dan jasmani. Ahli ilmu memberi tumpuan kepada
urusan mempelajari ilmu dan menyampaikannya
kepada orang ramai. Dalam keadaan aman juga
mereka berjihad merombak apa juga adat,
kebudayaan dan peraturan yang tidak
bersesuaian dengan apa yang dibawa oleh
Rasulullah s.a.w. Apabila datang hukum Tuhan
mengharamkan arak, maka dengan senang hati
mereka melepaskan keinginan dan tabiat
meminum arak. Begitu juga dengan lain-lain
peraturan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
Mereka menerima perintah Tuhan dengan penuh
kerelaan, tidak berdolak-dalih atau berhujah
dengan kekuatan akal mereka bagi tujuan
mengabaikan perintah Tuhan.
Nabi Muhammad s.a.w mengajar umat baginda
s.a.w supaya memelihara ketulinan, keaslian dan
kemurnian Islam. Baginda s.a.w mahu umat
baginda s.a.w membawa identiti sendiri yang
mudah dikenal dan dibezakan daripada kaum
lain. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan
memelihara ibadat mereka, upacara keagamaan
mereka, adat dalam masyarakat, kebudayaan
dan sebagainya agar semua itu benar-benar
bersih daripada pengaruh agama lain.
Kaum Muslimin diberi kesedaran bahawa
kemasukan pengaruh agama atau adat lain
walaupun dipandang kecil, akan membuka jalan
kepada kemasukan pengaruh yang lebih besar.
Mempertahankan ketulenan Islam merupakan
jihad juga. Umat Islam seharusnya boleh berkata
dan menunjukkan dengan pasti bahawa yang ini
Islam dan yang itu bukan Islam. Seharusnya ada
sempadan yang jelas di antara Islam dengan
bukan Islam. Misalnya, bagi upacara
perkahwinan, seharusnya dikenalpasti sempadan
Islam, yang dibolehkan oleh Islam dan yang
dilarang oleh Islam. Begitu juga bagi bidang-
bidang perekonomian, politik pendidikan dan
lain-lain. Apa juga yang datang dari luar yang
boleh diterima oleh peraturan Islam hendaklah
‘diIslamkan’ terlebih dahulu, seumpama kulit
binatang halal yang hendak digunakan
disamakkan terlebih dahulu. Pekerjaan
‘menyamakkan’ segala ilmu, sistem, adat,
kebudayaan, hukum dan lain-lain menjadi medan
jihad yang sangat luas bagi cendikiawan Muslim.
Setiap Muslim yang diberi kepakaran
dalam sesuatu bidang sebenarnya diberi
amanah oleh Tuhan supaya memelihara
bidang yang menjadi kepakarannya itu
agar berada dalam keadaan Islam.
Kepentingan ekonomi, politik, kuasa atau
sesuatu tidak seharusnya melunturkan
warna Islam. Jihad cendikiawan Muslim
dalam medan ini tidak akan habis
sampai ke hari kiamat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar