Rabu, 30 Oktober 2013

18: KAMI DATANG DARI ALLAH, KEPADAALLAH KAMI KEMBALI


Apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku
tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku ……
( Ayat 72 : Surah Saad )
Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan
yang menghidupkan roh dipanggil nyawa.
Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan untuk
melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan
yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu.
Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan
dinamakan akal. Roh yang satu boleh dilihat
melalui empat aspek. Aspek roh yang melahirkan
bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-
lain dinamakan roh juga. Aspek roh yang
melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek
roh yang melahirkan pengetahuan dinamakan
akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan
dinamakan nyawa.
Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui
sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri
walaupun sifat manusia bukan sifat Tuhan.
Dalam persoalan roh, aspek roh yang
menghasilkan bakat-bakat dikaitkan dengan sifat
Kudrat. Nafsu pula dikaitkan dengan sifat Iradat.
Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu. Nyawa dikaitkan
dengan sifat Hayat.
Kudrat Allah s.w.t yang memberikan keupayaan
kepada roh. Roh berperanan membekalkan
bakat-bakat, keupayaan serta tenaga. Kebolehan
mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan
lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh
mempastikan setiap bakat itu pergi kepada alat
atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh
menghantarkan bakat melihat kepada mata,
mendengar kepada telinga, berkata-kata kepada
lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada
pancaindera yang sesuai untuk masing-
masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah
s.w.t. Sebab itu pekerjaan roh adalah tepat dan
sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti
meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat
mendengar kepada lutut. Dalam syariat roh
diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang
menjaga matahari, bulan, bintang dan planet-
planet lainnya akan mengheret masing-masing itu
pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan
maklumatnya telah dibekalkan kepada malaikat
atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan
perintah Tuhan dengan tepat, tanpa kegoncangan
yang datang daripada nafsu dan akal. Roh atau
malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat
hanya mentaati perintah Allah s.w.t tanpa berfikir
atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan
Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah
negeri akan berbuat demikian tanpa kasihan
belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu
bapa, isteri dipisahkan daripada suami dan
banyak nyawa terkorban serta harta benda yang
rosak. Malaikat atau roh yang menghantar bakat
melihat kepada mata akan terus berbuat
demikian walaupun mata itu digunakan untuk
melihat sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t,
melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya
memberhentikan penghantaran bakat tersebut.
Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa
dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa
rangsangan nafsu dan pertimbangan akal.
Pada roh yang ditentukan untuk manusia ada
aspek yang dipanggil nafsu. Nafsu menjadi faktor
yang membezakan manusia dengan malaikat.
Nafsu melahirkan kemahuan, perasaan, timbang
rasa dan seumpamanya. Nilai-nilai yang ada
pada nafsu mempengaruhi haluan roh
menggunakan bakat-bakatnya. Jika tidak ada
pengaruh nafsu, roh akan hanya menggunakan
bakat-bakatnya untuk perkara-perkara kebaikan
yang diredai Allah s.w.t. Peranan nafsu
menyebabkan bakat roh boleh digunakan untuk
kebaikan atau kejahatan berdasarkan nilai-nilai
yang menguasai nafsu. Tabiat nafsu yang
berbagai-bagai menyebabkan ia dikenali dengan
berbagai-bagai nama, berdasarkan kadar
kebaikan atau kejahatan yang menjadi tabiat
nafsu itu. Pada tahap nafsu bertabiat paling
buruk ia dikenali sebagai nafsu ammarah. Pada
tahap ia berkemampuan membezakan yang baik
daripada yang buruk ia dinamakan nafsu
lawwamah. Pada peringkat nafsu lawwamah,
mengenali dan mengakui keburukan tidak
menghilangkan sepenuhnya tabiat buruk itu
daripada nafsu. Apabila tabiat buruk itu sudah
hilang sepenuhnya daripada nafsu ia dinamakan
nafsu mulhamah. Nafsu mulhamah, walaupun
sudah tidak memiliki tabiat buruk tetapi ia masih
belum menetap dan boleh kembali dipengaruhi
oleh tabiat buruk. Jika ia sudah menetap, teguh
dan tabiat buruk tidak sampai kepadanya lagi, ia
dinamakan nafsu muthmainnah. Nafsu yang
berada dalam suasana muthmainnah merupakan
nafsu yang diredai Allah s.w.t dan dijamin
syurga untuknya. Nafsu yang bertaraf ahli syurga
ini akan mengarahkan bakat-bakat roh kepada
perkara-perkara kebaikan sahaja.
Aspek roh yang berkait rapat dengan keupayaan
membuat pilihan, selain nafsu, adalah akal. Jika
nafsu menjadi pembeza di antara manusia
dengan malaikat, akal pula menjadi pembeza di
antara manusia dengan haiwan. Akal memiliki
keupayaan untuk berfikir, mengingat,
menimbang, berangan-angan dan
seumpamanya. Bakat akal yang demikian
berpusat pada otak. Ia berguna bagi
menguruskan perkara-perkara lahiriah seperti
bidang sains dan teknologi, sosial dan lain-lain
bidang kehidupan. Akal jenis ini mampu bergerak
dalam sekop fitrah kemanusiaan tetapi tidak
berupaya melonjak kepada fitrah Muslim kerana
ia lemah dalam perkara yang berkaitan dengan
ketuhanan. Akal yang berpusat pada otak
disempadani oleh logik sedangkan Tuhan tidak
ada sempadan.
Bakat-bakat roh, nafsu dan akal boleh
dibahagikan kepada dua kategori. Kategori
pertama adalah kemanusiaan dan yang keduanya
kehambaan kepada Tuhan. Bakat-bakat roh,
nafsu dan akal yang berfungsi memenuhi
keperluan hidup manusia secara lahiriah
dinamakan kemanusiaan. Bakat yang digunakan
untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan berbuat
bakti kepada makhluk Allah s.w.t kerana-Nya
dinamakan kehambaan (ubudiah). Akal yang
berpusat pada otak adalah akal kemanusiaan. Ia
tidak mampu menghayati kebesaran, keagungan
dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Akal yang
berguna bagi pengajian tentang ketuhanan
adalah akal yang berhubung dengan hati nurani,
yang bersuluhkan cahaya petunjuk Tuhan.
Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau
satu roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak
demikian) tidaklah engkau tahu apa itu kitab dan
apa itu iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri
petunjuk kepada barangsiapa yang Kami
kehendaki daripada hamba-hamba Kami.
( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Aspek bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang ada
perkaitan dengan roh urusan Tuhan itulah yang
mampu menyatakan kehambaan kepada Tuhan.
Nur atau cahaya roh urusan Tuhan menjadikan
alam ghaib terang benderang sehingga bakat-
bakat roh boleh melakukan ibadat kepada Allah
s.w.t, nafsu boleh mengasihi Allah s.w.t dan
akal pula dapat merenungi bidang ghaib
sehingga mendapat pengetahuan tentang Tuhan.
Roh dengan bakat-bakatnya, nafsunya dan
akalnya tidak boleh berfungsi jika tidak ada
penghidupan atau nyawa. Allah Yang Maha
Hidup mengurniakan penghidupan kepada roh
urusan-Nya dan roh urusan Tuhan menggerakkan
Roh Insan untuk hidup. Penghidupan atau nyawa
roh itu, yang juga diistilah sebagai roh, bukanlah
Hayat Allah s.w.t. Allah s.w.t memiliki Hayat
yang Mutlak sebab itu Dia berkuasa menciptakan
penghidupan atau nyawa yang tidak Mutlak untuk
makhluk-Nya. Nyawa Insan (roh) hanyalah
makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan sifat Hayat
Allah s.w.t. Walaupun begitu kejadian roh
(nyawa) ini mengatasi segala kejadian yang lain
kerana apa juga bentuk kewujudan hanya boleh
berfungsi setelah digerakkan oleh nyawa. Nyawa
(roh) yang istimewa ini adalah nyawa bagi roh,
bukan nyawa bagi jasad. Ciptaan roh bernyawa
(hidup) dikaitkan dengan tiupan Roh Allah s.w.t.
Sebelum ada roh, tidak ada bakat-bakat, tidak
ada malaikat. Sebelum ada nyawa tidak ada
penghidupan. Dalam suasana tidak ada malaikat
sebagai pemangkin atau penghijab dan tidak ada
penghidupan sebagai penggerak, Tuhan
menciptakan roh yang bernyawa. Roh itu menjadi
bernyawa kerana tiupan Roh Allah s.w.t. Ciptaan
roh bernyawa ini merupakan ciptaan secara
langsung tanpa perantaraan malaikat. Pada
ciptaan yang paling istimewa ini perantaraan
hanyalah hijab ketuhanan atau sifat Tuhan. Roh
bernyawa yang berhijabkan sifat Tuhan inilah
yang diistilahkan sebagai tiupan Roh Allah s.w.t.
Roh yang berhijabkan hijab ketuhanan itu
merupakan ciptaan Tuhan yang paling murni,
paling istimewa dan paling mulia. Setelah roh
yang paling murni itu diciptakan ia berfungsi pula
sebagai pemangkin atau penghijab kepada
ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain. Jadi, roh yang
paling murni itu adalah ciptaan kelas pertama
dan kejadian yang lain adalah ciptaan kelas
kedua. Roh yang paling murni atau latif itu lebih
murni daripada cahaya malaikat. Malaikat tidak
berupaya menyaksikannya. Kedudukan roh yang
paling latif itu satu tingkat lebih tinggi daripada
tingkat terakhir yang dipijak oleh Jibrail pada
malam Israk dan Mikraj. Walaupun Jibrail
merupakan salah satu makhluk bangsa nur yang
latif tetapi kelatifan nur Jibrail lebih rendah
daripada kelatifan roh yang paling latif itu. Sebab
itu Jibrail tidak dapat memasuki medan nur roh
yang paling latif itu. Roh yang paling latif itu
adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya
di kalangan ahli tasauf dipanggil Roh
Muhammad. Kelatifan roh baginda s.a.w itulah
yang menjadi hijab melindungi baginda s.a.w
melalui pergeseran alam ghaib, sehingga
baginda s.a.w sampai kepada Arasy iaitu medan
nur roh yang paling latif itu. Nabi Muhammad
s.a.w kembali ke tempat asal roh baginda s.a.w,
tempat yang tidak ada makhluk lain kecuali nur
yang latif itu.
Tuhan berkehendak mengadakan kenyataan
kepada roh yang paling latif itu dan untuk itu Dia
ciptakan jasad Adam a.s. Setelah jasad Adam
a.s sempurna diciptakan, Tuhan ‘hubungkan’ roh
yang paling latif itu dengan jasad tersebut.
Hubungan itu menyebabkan Adam a.s menjadi
hidup dengan mempunyai rohnya sendiri, yang
‘menumpang’ bakat kehidupan kepada roh yang
latif. Walaupun jasad Adam a.s dijadikan
daripada tanah tetapi rohnya berkait dengan roh
yang paling latif, malah roh Adam a.s atau Roh
Insan adalah bakat roh yang paling latif itu. Tidak
putus hubungan roh individu dengan roh yang
menjadi sumber kepada kewujudan roh-roh.
Roh yang paling latif, roh Nabi Muhammad
s.a.w, sumber kepada Roh-roh Insan,
berkedudukan sebagai khalifah Allah s.w.t,
utusan-Nya atau urusan-Nya yang melaksanakan
perintah Allah s.w.t. Ia menyimpan segala
maklumat mengenai segala yang Tuhan mahu
ciptakan. Roh urusan Tuhan itulah yang bertugas
dengan tepat memastikan apa yang Tuhan
kehendaki itu terlaksana dengan tepat.
Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad)
melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.
( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )
Bakat kekhalifahan roh yang paling latif itu hanya
menjadi kenyataan setelah Adam a.s diciptakan.
Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi
bekas menterjemahkan bakat-bakat khalifah
Allah s.w.t yang menjadi urusan Allah s.w.t. Roh
Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif,
yang hanya dihijabkan oleh hijab ketuhanan,
dibekalkan dengan kebolehan untuk mengalami
suasana Hadrat Ilahi, merasai kehadiran Tuhan
serta mengenali Tuhan dalam aspek yang ada
hubungan dengan makhluk dan Tuhan dalam
aspek yang melampaui segala bentuk
perhubungan dengan makhluk. Roh Insan yang
diterangi oleh roh yang paling latif mengenali
Allah s.w.t secara tasybih dan tanzih. Hadrat
Ilahi atau hakikat yang dialami oleh Roh Insan
diistilahkan sebagai Rahsia-rahsia Allah s.w.t.
Rahsia-rahsia Allah s.w.t yang dikurniakan
kepada Roh Insan tidak diketahui oleh makhluk
yang lain. Oleh yang demikian makhluk yang lain
mesti akur dengan kedudukan insan sebagai
khalifah Allah s.w.t. Oleh kerana Adam a.s yang
menyatakan kekhalifahan itu maka sekalian
makhluk mesti akur dengan kedudukan Adam a.s
sebagai ciptaan Tuhan yang menanggung Rahsia
Allah s.w.t yang paling mulia. Sekalian makhluk
mesti tunjukkan bukti penerimaan tersebut
dengan cara sujud menghormati Adam a.s.
Intipati kepada roh adalah aspeknya yang
melahirkan penghidupan, yang diistilahkan
sebagai nyawa, seumpama air yang mengalir
kepada seluruh tubuh, menggerakkan semua
bakat-bakat. Atas dasar perkaitan roh dengan
jasad, aspek nyawa itu dinamakan Nyawa Insan.
Ada juga yang menamakannya Insan Batin. Ada
juga yang memanggilnya Insan Rahsia Allah
s.w.t, bagi menggambarkan hubungannya
dengan Hadrat Ilahi (Rahsia Allah s.w.t). Selain
itu ada pula yang memanggilnya diri yang
sebenarnya. Oleh kerana kedudukan
hubungannya dengan Hadrat Tuhan maka dialah
yang benar-benar bertaraf hamba Tuhan, yang
tahu melakukan kehambaan kepada Tuhan
sebagaimana yang Tuhan kehendaki. Jika dia
berhenti bekerja maka semua bakat-bakat akan
berhenti berfungsi. Jika dia menyembah Allah
s.w.t maka semua bakat-bakat menyembah
Allah s.w.t.
Roh mempunyai keupayaan untuk menghidupkan
jasad dan menggerakkan bakat-bakat yang ada
pada jasad. Kesan daripada tindakan roh, jasad
menjadi hidup dan keupayaan yang
menghidupkan jasad itu dinamakan nyawa bagi
jasad. Nyawa yang menghidupkan jasad ini
biasanya dipanggil Roh Haiwani. Roh yang
menggerakkan Roh Haiwani itu dinamakan Roh
Insani. Roh Haiwani menghidupkan jasad. Roh
Insani pula memperolehi kehidupan daripada
Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Apabila
Roh Insani berhenti ‘membekalkan’ Roh Haiwani,
jasad akan mengalami kematian, tetapi Roh Insan
tidak mati walaupun jasad sudah mati. Oleh
sebab itu kematian jasad tidak menyelamatkan
manusia daripada soal-jawab di dalam alam
kubur. Alam kubur merupakan salah satu
daripada pintu syurga atau pun pintu neraka.
Insan yang hidup di dalam kubur akan
memandang kepada salah satu tempat
kesudahannya, sama ada syurga atau neraka.
Wap bahagia atau celaka sudah dapat dirasakan
oleh ahli syurga sekalipun kiamat belum berlaku.
Roh Haiwani atau nyawa kepada jasad bekerja
melalui pernafasan, iaitu udara yang keluar
masuk melalui hidung dan mulut dan juga aktiviti
turun naik di dalam jantung yang mengalirkan
darah ke seluruh tubuh. Roh Haiwani dan aktiviti
jasad berkait rapat. Jika pengaliran udara ke
dalam jasad ditahan atau aktiviti jantung
diberhentikan, Roh Haiwani tidak berupaya lagi
menghidupkan jasad. Jadi, nyawa jasad dan
jasad saling bergantungan, saling perlu
memerlukan. Tubuh yang sihat dengan jangka
hayat nyawa jasad ada kaitan.
Kesatuan bakat-bakat roh, nafsu, akal dan
nyawa dinamakan rohani atau hati nurani yang
bertaraf hamba Tuhan yang sebenarnya. Dalam
keadaan yang asli, tanpa pengaruh alam jasad
dan alam benda, rohani berkedudukan sebagai
insan yang sempurna. Rohani dikuasai oleh sifat
Wahdaniah, iaitu rohani menyaksikan keesaan
Allah s.w.t, tidak menyengutukan-Nya dengan
sesuatu apa pun. Kecenderungan rohani hanya
satu iaitu melakukan ubudiah atau kehambaan
kepada Allah s.w.t.
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau mengambil
dari anak-cucu Adam dari tulang-tulang
punggung mereka, dan Dia jadikan mereka saksi
atas diri mereka sendiri: “Bukankah Aku Tuhan
engkau?” Semua menjawab: “Memang, kami
menyaksikan”. Supaya jangan kamu berkata di
hari kiamat: “Sesungguhnya kami lalai dari ini”.
Atau supaya tidak kamu katakan: “Yang musyrik
itu hanyalah bapa-bapa kami yang dahulu
sedangkan kami ini hanyalah keturunan sesudah
mereka. Maka apakah Engkau akan
membinasakan kami lantaran apa yang
dikerjakan oleh orang-orang yang berbuat
salah?” Dan demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat
itu supaya mereka kembali. ( Ayat 172 – 174 :
Surah al-A’raaf )
Sebelum bercantum dengan jasad semua
keturunan Adam yang masih dalam keadaan
rohani yang suci murni, yang menyaksikan
keesaan Tuhan, telah dihadapkan oleh Tuhan
dengan ikrar ubudiah (kehambaan). Sekalian
mereka menyaksikan dan memperakui ketuhanan
Allah s.w.t. Rohani menyaksikan yang demikian
kerana mereka bermakrifat tentang keesaan Allah
s.w.t dan ketuhanan-Nya. Rohani yang telah
bermakrifat tentang Allah s.w.t itulah diri
manusia yang sebenarnya, sementara jasad
adalah alat baginya membuktikan kehambaannya
kepada Tuhan. Oleh yang demikian mereka tidak
ada alasan kelak untuk mengatakan bahawa
mereka tidak diberi pengetahuan tentang Tuhan.
Mereka juga tidak boleh memberi alasan menurut
hukum lahiriah yang berhubung dengan pertalian
jasad dengan mengatakan mereka menjadi
musyrik kerana ibu bapa mereka musyrik.
Sebelum ada kaitan dengan jasad menurut nasab
keturunan, manusia yang sebenar (rohani) sudah
mendapat keterangan yang jelas tentang Tuhan.
Tuhan kurniakan jasad kepada manusia rohani
supaya mereka membuktikan kebenaran ikrar
kehambaan yang mereka telah buat dengan
Tuhan.
Manusia rohani berkewajipan mencari jalan
kembali ketika mereka masih mengenderai jasad
kerana jasad itu nanti yang akan menjadi saksi
ke atas mereka. Manusia rohani ‘masuk’ ke alam
jasad untuk melakukan pekerjaan yang
diamanahkan oleh Tuhan. Pekerjaan itu adalah
menjadi khalifah, mentadbir kehidupan berjasad
menurut perintah dan peraturan Tuhan. Apabila
dikeluarkan daripada alam jasad habislah
tempuh yang dibenarkan untuk bekerja.
Datanglah tempuh perkiraan dan pemberian
ganjaran atau hukuman.
Percantuman rohani dengan jasad menyebabkan
manusia mempunyai dua jenis diri. Jasad
dinamakan diri zahir dan rohani dinamakan Diri
Batin. Diri zahir menjadi sarang atau bekas
kepada Diri Batin. Jasad yang pada mulanya
berkedudukan sebagai mayat bertukar menjadi
hidup dan mempunyai nilai-nilai kehidupan
setelah ia bercantum dengan diri rohani. Diri
rohani pula yang pada mulanya tidak dapat
mempamerkan bakat-bakat dan nilai-nilai yang
ada padanya, telah boleh menjadi nyata dan
mempamerkan apa yang ada dengannya.
Percantuman dengan Diri Batin melahirkan pada
diri zahir nyawanya, bakat-bakatnya, nafsunya
dan akalnya. Alam diri zahir adalah jasadnya
dan alam kebendaan yang nyata. Diri zahir
berkehendakkan apa yang menggembirakan
jasadnya daripada benda-benda dan perkara-
perkara yang nyata. Diri zahir juga menggunakan
akalnya pada perkara yang nyata. Nafsu dan
akal diri zahir akan mengarahkan segala bakat
dan kekuatannya kepada benda dan perkara
yang zahir. Tidak ada keinginannya untuk
melakukan ibadat kepada Allah s.w.t dan
melakukan kebaktian kepada-Nya. Tidak lahir
pengetahuannya tentang Tuhan. Tidak ada kasih
sayangnya kepada Tuhan. Tidak ada
renungannya kepada kebesaran dan
kebijaksanaan Tuhan. Segala-gala yang pada diri
zahir adalah yang zahir juga. Tidak ada urusan
kehambaan kepada Tuhan pada diri zahir.
Keadaan diri zahir adalah matanya tertutup
daripada melihat kepada sesuatu tentang Tuhan,
telinganya tuli daripada mendengar peringatan
kepada Tuhan, mulutnya terkunci daripada
bercakap tentang Tuhan dan bakat-bakat
anggotanya terikat daripada melakukan
kehambaan kepada Allah s.w.t.
Diri Batin atau manusia rohani berkewajipan
membuka tutupan daripada mata diri zahir agar
ia boleh melihat sesuatu tentang Tuhan,
membuka penyumbat telinganya agar ia boleh
mendengar sesuatu tentang Tuhan, membuka
kunci mulutnya agar ia boleh bercakap sesuatu
tentang Tuhan dan membuka ikatan anggotanya
agar ia boleh melakukan sesuatu kerana Tuhan.
Pekerjaan manusia rohani sangat berat. Manusia
zahir menjadi ujian bagi manusia rohani.
Kebanyakan manusia rohani tertarik kepada
keelokan manusia zahir dan ghairah dengan
kepuasan yang dinikmati oleh manusia zahir.
Manusia rohani yang sepatutnya menjadi khalifah
kepada manusia zahir telah berubah menjadi
alatnya.
Adam a.s merupakan manusia zahir yang
pertama ‘bersanding’ dengan manusia rohani.
Tugas Adam a.s adalah meramaikan manusia-
manusia zahir kerana ramai manusia-manusia
rohani mahu menyatakan diri mereka. Adam a.s
diciptakan daripada anasir tanah yang asli.
Sesungguhnya Aku hendak jadikan manusia
daripada tanah. ( Ayat 71 : Surah Saad )
Ciptaan pertama yang daripada tanah itu
diberikan keupayaan untuk melahirkan keturunan.
Keturunan Adam a.s membiak melalui
percantuman unsur bapa dengan unsur ibu.
Kedua-dua unsur tersebut bercantum di dalam
perut ibu dalam suasana yang diuruskan oleh
Tuhan yang dinamakan ‘rahim’. Rahim ini
dinisbahkan kepada nama Tuhan ar-Rahim, Yang
Pengasih dan Penyayang. Cantuman unsur ibu
dengan unsur bapa, setelah melalui beberapa
proses, akhirnya membentuk satu bentuk
kewujudan yang bernama manusia zahir. Apabila
manusia zahir sudah berumur di antara 120
hingga 145 hari, manusia zahir yang di dalam
perut ibu itu ‘dikahwinkan’ dengan manusia
rohani oleh urusan Tuhan yang bernama ar-
Rahim itu. Apabila menjangkau usia sembilan
bulan sepuluh hari, manusia yang sudah
bercantum unsur zahir dengan unsur rohani dan
telah dicelup di dalam kilang pencelupan ar-
Rahim, melunsur keluar dari alam kandungan ibu
kepada alam dunia. Manusia masuk ke dunia,
setelah menerima pencelupan daripada ar-
Rahim, membawa bekal sesuatu yang sangat
murni, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah
s.a.w yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan
dalam keadaan fitrah”.
Percantuman dengan manusia zahir, terikat
dengan darah, daging dan tubuh seluruhnya,
diselimuti pula oleh hijab yang tebal, iaitu dunia,
menyebabkan manusia rohani lupa kepada asal
usulnya dan lupa kepada ikrar yang telah
dibuatnya dengan Tuhan. Pengetahuannya
tentang Tuhan juga tertutup. Mereka lupa kepada
jalan kembali ke tempat asal mereka. Walaupun
lupa tetapi benih fitrah masih tersembunyi di
dalam ‘bumi’nya. Tuhan Yang Maha Penyayang,
Maha Pengampun menghantarkan Kitab-kitab
Suci dan Rasul-rasul untuk ‘menyiramkan’ fitrah
suci itu agar ia tumbuh dan keluar dari bumi
yang gelap gelita untuk menyaksikan kebenaran
yang sudah ada dengannya.
Dan sesungguhnya telah Kami utuskan Musa
dengan ayat-ayat Kami: “Bahawa engkau
keluarkan kaum engkau dari gelap gelita kepada
terang benderang, dan peringatkanlah mereka
dengan hari-hari Allah”. Sesungguhnya pada
yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi tiap-
tiap orang yang sabar dan bersyukur. ( Ayat 5 :
Surah Ibrahim )
Rasul-rasul memberi peringatan kepada manusia
rohani tentang hari-hari Allah s.w.t, iaitu suasana
asal mereka yang mengenal Tuhan dan
mengabdikan diri kepada Tuhan, disaksikan oleh
ikrar mereka sendiri.
Katakanlah: “Inilah jalanku, yang aku dan orang-
orang yang mengikuti daku seru (manusia)
kepada Allah dengan basirah (pandangan yang
jelas). Dan Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku
ini dari golongan orang musyrikin”. ( Ayat 108 :
Surah Yusuf )
Rasul-rasul, Nabi-nabi dan orang yang mewarisi
mereka melihat kebenaran dengan basirah, iaitu
mata rohani mereka. Basirah menyaksikan yang
benar sebagaimana yang telah disaksikan oleh
rohani sebelum berkahwin dengan jasad. Basirah
dapat menembusi benteng jasad dan dunia untuk
melihat kepada jalan yang terbentang luas
menuju Tuhan. Semua ilmu dalam dunia ini tidak
berupaya mendatangkan basirah. Ilmu membuat
kapal angkasa, ilmu membuat komputer, ilmu
membina bangunan yang tinggi-tinggi, ilmu
kedoktoran dan lain-lain ilmu dalam dunia tidak
berupaya menghasilkan basirah, tidak mampu
melihat kepada hakikat ketuhanan. Seseorang
memerlukan ilmu yang datangnya dari alam
ghaib yang tersembunyi, ilmu yang lahir daripada
kesedaran terhadap Tuhan.
Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa
yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya
untuk memberi peringatan tentang hari
pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )
Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau
satu Roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak
demikian) tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan
apa itu Iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri
petunjuk kepada barangsiapa yang Kami
kehendaki daripada hamba-hamba Kami.
( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Maka mereka dapati seorang hamba di antara
hamba-hamba Kami yang telah Kami berikan
kepadanya rahmat dari sisi Kami dan telah Kami
ajarkan kepadanya yang langsung dari Kami.
( Ayat 65 : Surah al-Kahfi )
Orang yang mahu mencari jalan pulang perlu
kepada bimbingan orang yang sudah ada
basirah, iaitu orang yang hampir dengan Allah
s.w.t dan berupaya menyaksikan kemutlakan
atau mengalami suasana Hadrat Ilahi. Orang
yang demikian berkedudukan sebagai khalifah
kerohanian. Bergabung dan mendapat bimbingan
khalifah kerohanian perlu bagi mencari jalan
pulang. Pengembara pada jalan ini semakin
berkurangan dan pembimbing pada jalan
tersebut lebih berkurangan lagi. Pada satu masa
nanti pemandu yang mahir sangat sukar didapati.
Ketika itu orang yang terperangkap dalam dunia
dan alam jasad mereka sendiri tidak dapat
menemui jalan lagi.
Manusia yang terperangkap dengan dunia putus
hubungan kemanusiaanya dengan kemurnian
rohaninya. Pengetahuannya tidak menghala
kepada Ilmu Tuhan. Dia hanya boleh berfikir
tentang kehidupan duniawi sahaja. Dia boleh
menjadi saintis yang bijak atau pemimpin yang
handal, tetapi akalnya tidak berupaya
menyingkap Rahsia ketuhanan yang tersembunyi
di sebalik yang nyata. Nafsunya tidak menghala
kepada Iradat Tuhan. Dia tidak ada selera untuk
mengingati Tuhan, tidak ada rasa kasih sayang
kepada Tuhan dan tidak takut atau malu kepada
Tuhan. Keinginannya semata-mata tertumpu
kepada kesenangan dan keseronokan duniawi.
Nafsu yang bertaraf begini menjadi istana iblis.
Nyawanya pula hanyalah sedutan dan hembusan
nafas serta peredaran darah yang hampa. Tidak
ada kelazatan bermunajat kepada Allah s.w.t.
Anggota tubuhnya tidak digunakan untuk berbakti
kepada Allah s.w.t. Segala daya dan upayanya
ditujukan untuk memperolehi kemewahan dan
menikmati kesenangan hidup di dunia semata-
mata. Setiap anasir alam mengenakan tarikan
kepada orang yang seperti ini. Unsur zahirnya
menjadi bertambah kuat sehingga keupayaan
unsur rohaninya terkunci dan terpenjara. Orang
yang seperti ini berkedudukan seperti haiwan
yang pandai berfikir dan pandai berkata-kata.
Tidak ada bezanya taraf haiwan cerdik ini
dengan haiwan lain yang tidak berakal.
Manusia rohani yang dapat membebaskan
dirinya daripada fitnah yang datang daripada
manusia zahir akan dapat menghadap kepada
Tuhan, berbakti kepada-Nya dan menjalankan
perintah-Nya dengan menggunakan manusia
zahir dan lain-lain anasir zahir. Nafsunya
menghadap kepada Iradat Tuhan. Lahirlah rasa
kasih sayang kepada Tuhan. Keinginan untuk
menghampiri Tuhan sangat kuat dalam jiwanya.
Semangat untuk berbakti kepada Tuhan sentiasa
berada pada tahap yang tinggi. Akalnya
menghadap kepada Ilmu Tuhan. Kelihatanlah
kepadanya kebesaran, keagungan dan
kebijaksanaan Tuhan. Digunakannya akalnya
untuk menguruskan kehidupan harian agar sesuai
dengan kehendak Tuhan. Apabila nafsu dan akal
sudah menjurus ke jalan Tuhan, maka semua
bakat-bakat yang ada pada dirinya tidak lagi
digunakan untuk berbuat sesuatu yang dimurkai
Tuhan. Kebaktiannya kepada makhluk Tuhan
merupakan kebaktiannya kepada Tuhan kerana
dia berbuat demikian demi menjunjung perintah
Tuhan.
Manusia rohani yang nafsu, akal dan anggotanya
berjalan pada jalan Tuhan, nyawanya atau Diri
Batinnya yang paling seni akan merasakan
kelazatan bermunajat kepada Tuhan dan dapat
mengalami suasana Hadrat Tuhan. Mengalami
suasana Hadrat Tuhan dikatakan mengenali
Tuhan melalui jalan rahsia kerana pengalaman
yang demikian tidak boleh disamakan dengan
apa juga bentuk pengalaman yang lain. Diri Batin
yang sampai kepada suasana tersebut digelarkan
Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t).
Rahsia Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t. Tidak
benar jika dikatakan Allah s.w.t yang menjadi
batin kepada Insan Batin atau Allah s.w.t adalah
nyawa kepada manusia rohani. Perkaitan Allah
s.w.t dengan manusia bukanlah hubungan
secara langsung dalam nyata atau ghaib. Ia
bukan hubungan seperti kulit dengan daging atau
roh dengan jasad. Ia juga tidak seperti hubungan
roh dengan roh. Tuhan mengatakan roh adalah
amr (urusan) Tuhan. Kedudukan Insan Batin, roh
atau rohani hanyalah seperti kedudukan amr
Tuhan, bukan tubuh kepada Tuhan, bukan bekas
yang mengalir di dalamnya sifat atau bakat
Tuhan. Apa sahaja yang selain Tuhan adalah
ciptaan Tuhan bukan Tuhan.
Kelatifan Diri Batin, roh atau rohani
menyebabkan mudah timbul sangkaan yang
menyamakannya dengan Tuhan atau
memperhubungkannya secara langsung dengan
Tuhan. Bunyi seruling bukanlah bunyi suara
orang yang meniup seruling. Seruling menjadi
hijab yang menceritakan bahawa ada orang yang
meniup seruling. Suara seruling membawa
perutusan daripada peniupnya. Suara seruling
membawa ‘kehadiran’ peniupnya. Kehadiran
tersebut adalah rahsia peniup seruling dan
rahsia seruling itu sendiri. Orang arif mengenali
peniup seruling dengan mendengar suara
seruling. Orang arif juga mengenali jenis seruling
melalui bunyinya. Perkenalan itu menjadi
mungkin kerana di antara peniup seruling dan
seruling ada rahsia atau ‘kehadiran’ yang
bercerita. Rahsia atau ‘kehadiran’ itulah
hubungan di antara peniup seruling dengan
seruling dan bunyi seruling. Hubungan Tuhan
dengan Insan Batin, roh atau rohani lebih unik
daripada hubungan peniup seruling, seruling dan
bunyi seruling. Hadrat (kehadiran) Tuhan atau
Rahsia Tuhan lebih unik daripada kehadiran
peniup seruling. Hadrat Tuhan dirasai oleh batin
manusia dalam suasana tiada berhuruf, tiada
bersuara, tiada berupa dan tiada upaya untuk
menceritakannya. Sebab itulah suasana tersebut
menjadi rahsia di antara Tuhan dan Insan Batin.
Insan batin itu dinamakan Insan Sirullah (Insan
Rahsia Allah s.w.t). Ia bermaksud insan diberi
keupayaan oleh Allah s.w.t untuk menanggung
Hadrat-Nya, Rahsia-Nya, amanah-Nya dan nur-
Nya. Apa juga istilah yang digunakan ia
membawa maksud yang sama iaitu keadaan
Tuhan dan yang berkaitan dengannya dinamakan
urusan Tuhan. Roh sebagai ciptaan Tuhan yang
paling unik, istimewa dan luar biasa, dalam
keadaan keasliannya yang murni berfungsi
sebagai perutusan yang membawa urusan
Tuhan. Matlamat perjalanan manusia rohani
adalah kembali kepada kedudukannya yang asal,
yang bertaraf amr Tuhan. Manusia rohani yang
kembali kepada taraf amr Tuhan itulah yang
benar-benar mengenali Tuhan.
Dalam mencari jalan pulang manusia rohani
mesti membawa bersama-samanya ‘rakan-
kongsinya’ iaitu manusia zahir. Setelah manusia
rohani dan manusia zahir bercantum bersama,
maka segala urusan adalah bersama. Ketika
manusia rohani belum bercantum dengan
manusia zahir, ia adalah suci, murni dan tulin,
tidak memikul sebarang beban. Setelah memikul
beban ia berkewajipan membawa beban itu
kepada jalan yang benar bersama-samanya. Jika
manusia rohani berjaya memimpin manusia zahir
kepada jalan yang lurus itu tandanya ia berada
pada jalan yang benar, benar menanggung
amanah Tuhan. Apabila sampai kepada satu
peringkat manusia rohani dan manusia zahir akan
menjadi bersesuaian di antara satu sama lain.
Apa yang lahir kepada zahir itulah yang ada
pada rohani. Lidah tidak mengeluarkan perkataan
melainkan apa yang ada dalam hati yang suci
bersih. Segala perbuatan dan kelakuan zahir
adalah baik-baik belaka kerana aspek zahir telah
tunduk kepada aspek rohani. Keadaan demikian
dikatakan diri zahir dengan Diri Batin berkamil,
zahirnya adalah batinnya dan batinnya adalah
zahirnya. Tidak ada perbezaan lagi di antara
zahir dengan batin.
Aspek zahir manusia mestilah tunduk kepada
syariat zahir dan aspek batin tunduk kepada
syariat batin. Rangsangan dan tarikan tubuh
badan serta anasir alam mestilah diharmonikan
di bawah payung syariat. Syariat memperakukan
keperluan zahir seperti makan, minum, tempat
tinggal, pakaian, pendidikan, kesejahteraan hidup
dan lain-lain. Berjalan pada jalan kerohanian
tidak mewajibkan meninggalkan pekerjaan, isteri-
isteri, anak-anak, masyarakat, makanan,
minuman, pakaian dan lain-lain yang diharuskan
oleh syarak. Syariat meletakkan peraturan dalam
segala aspek kehidupan. Peraturannya adalah
jelas dan mudah diikuti.
Jika aspek zahir manusia tunduk kepada
peraturan syariat zahir sehingga menjadi
bersesuaian dengannya, aspek rohani akan
memperolehi kecemerlangan dalam syariat batin.
Baharulah benar seorang itu masuk ke jalan
kerohanian. Orang yang boleh terbang ke dalam
daerah kerohanian adalah orang yang memiliki
dua sayap. Sayap pertama adalah syariat zahir
dan sayap kedua adalah syariat batin. Kedua-
dua sayap tersebut dinamakan syariat, tidak lagi
digunakan istilah syariat zahir dan syariat batin.
Bila zahir dan batin sudah berkamil, tidak ada
lagi perbezaan di antara zahir dengan batin.
Tiada lagi perpisahan di antara syariat zahir
dengan syariat batin. Setiap amalan sentiasa
ditemani oleh ‘kerana Allah Ta’ala’.
Bagi membawa syariat zahir berkamil dengan
syariat batin, seseorang bukan sekadar
melakukan kebaikan, malah kebaikan itu perlu
dilakukan dengan cara yang betul. Perbuatan
sembahyang mestilah menurut syarat dan
rukunnya, bukan sekadar bersembahyang sahaja.
Melakukan pekerjaan yang halal mestilah dengan
cara yang betul agar kemanfaatannya maksima
dan kemudaratan boleh dielakkan daripada
pekerjaan tersebut. Begitu juga dalam urusan
mendidik anak-anak dan lain-lain. Setiap ahli
syariat (Muslim) berkewajipan mempelajari cara
yang betul dalam melakukan apa juga pekerjaan
dan amalan yang baik yang perlu dilakukannya.
Orang yang mahu kembali kepada jalan Tuhan
perlulah faham bahawa dia tidak ada hak untuk
mengubah apa yang telah dihukumkan oleh
Tuhan. Apa yang Tuhan katakan benar mesti
diterima sebagai benar. Apa yang Tuhan katakan
salah mesti diterima sebagai salah. Tidak ada
sesiapa yang berhak meminda apa yang Tuhan
telah tentukan. Tidak ada sesiapa yang boleh
mengubah waktu sembahyang lima waktu atau
bulan yang difardukan berpuasa. Tidak ada
sesiapa yang boleh menghalalkan zina, arak, judi
dan riba, atas apa alasan sekalipun. Perbuatan
yang Tuhan haramkan tetap haram walaupun
dibuat sebagai lakunan atau main-main. Segala
perbuatan manusia akan digantung di lehernya
sendiri.
Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan)
amalannya pada tengkuknya, dan Kami akan
keluarkan baginya pada hari kiamat satu kitab
yang dia akan menemuinya dengan terbuka.
( Ayat 13 : Surah Bani Israil )
Bila kehidupan dalam dunia ini diharmonikan
menurut peraturan syariat, dunia ini tidak lagi
menjadi dunia yang dibenci, malah ia menjadi
taman untuk menanam tanaman akhirat. Ia
menjadi medan untuk mempertajamkan
kerohanian. Orang yang benar-benar mencari
jalan kerohanian dalam dunia ini akan
menemuinya. Tuhan sediakan dalam setiap kaum
dan puak orang-orang pilihan yang
berkemampuan membimbing orang ramai
kepada-Nya. Manusia pilihan itu adalah para
arifbillah, insan sejati yang menjadi khalifah-Nya.
Orang arif, walaupun rohani mereka sangat elok,
tetapi ia ditutupi oleh keadaan luar yang sangat
sederhana dalam segala segi dan mereka terdiri
daripada orang-orang yang tidak terkenal.
Namun, orang yang demikian adalah umpama air
wangi Tuhan di dalam dunia, boleh dicium
keharumannya oleh orang-orang yang beriman,
benar dan jujur sahaja. Orang yang mencium
keharuman itu akan mengikuti baunya.
Keharuman yang muncul dari orang arif
melahirkan rasa rindu kepada Tuhan dalam hati
orang yang beriman. Rasa rindu menarik kaki
orang yang beriman untuk berjalan pada jalan
Tuhan, kembali kepada kedudukannya yang asli.
Orang yang boleh berjalan dengan mudah
kepada Tuhan adalah orang yang lebih sempurna
kedudukan syariatnya. Hakikat atau kebenaran
sejati tidak muncul dengan baik sebelum syariat
betul kedudukannya. Hakikat yang tidak sesuai
dengan syariat adalah kebenaran bayangan
semata-mata, bukan kebenaran sejati.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar