Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha
Pengasih. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w,
keluarga baginda dan seluruh penolong-penolong agama-Nya.
Sebahagian besar generasi terdahulu mendengar
kehebatan kitab al-Hikam, mereka mendalaminya, meneliti dan mengutip mutiara
yang ada di dalamnya. Perjalanan masa telah merubah manusia, pemergian
generasi yang alim dalam bidang tasawuf amat dirasai, sehingga kitab al-Hikam
tidak lagi menjadi teks penting dalam pengajian seharian, samada dalam
sistem pendidikan formal maupun yang tidak formal; kecuali sedikit. Sebahagiannya
memberi alasan istilah dan penggunaan bahasa yang digunakan sukar untuk
difahami dengan sebaiknya. Pandangan ini ditambah dengan sikap untuk menjauhi
bidang tariqat dan tasawuf, menyebabkan kitab yang bernilai ini diabaikan
oleh generasi kini.
Oleh itu, terdapat beberapa usaha untuk
mentafsirkan kitab al-Hikam yang dilakukan oleh sebahagian ulama, dan ternyata
khazanah al-Hikam ibarat air lautan, yang tidak akan kering bahkan lagi
jauh penerokaan dilakukan, maka lagi banyak khazanah yang dapat dikeluarkan.
Umpama lautan, di permukaan manusia belayar, di dalamnya ribuan jenis makhluk
hidup, ikan, udang, ketam dan lainnya, manakala di dasarnya menyimpan jutaan
khazanah yang bernilai.
Buku Syarah al-Hikam ini merupakan secebis
usaha berterusan untuk menggali mutiara yang masih tersembunyi di dalam
kitab yang berharga ini. Usaha ini diharapkan dapat menjelaskan kepada
umum beberapa persoalan hidup dan kehidupan yang dilalui oleh manusia,
kerana putaran kehidupan manusia yang berkisar kepada keperluan zahir dan
batin, tidak akan terlepas dari merasai betapa agungnya penciptaan manusia.
Akibat fitnah dunia yang dilalui oleh manusia, maka segala khazanah yang
berharga telah hilang penilaiannya yang sebenar, menyebabkan manusia bertungkus
lumus mencari sesuatu yang akan ditinggalkan; manakala yang akan dibawa
diabaikan.
Kitab ini juga diharapkan dapat memberi
rangsangan kepada kita semua untuk mendekati kembali jalan-jalan kebenaran
yang sebenar melalui usaha mendekatkan diri terhadap Allah s.w.t. Usaha
ini tentulah lebih mudah kerana penulis menjelaskan penunjuk-penunjuk bagi
melaluinya. Dengan gaya bahasa yang mudah dan ulasan yang baik, maka diharapkan
buku Syarah al-Hikam ini menjadi panduan bagi umat Islam umumnya dan pencinta
kebenaran hakiki memahami jalan-jalan yang sebenar bagi mendekatkan diri
kepada Allah s.w.t.
Semoga dengan petunjuk Ilahi yang memandu
kita kepada jalan kebenaran saya mengharapkan buku Syarah al-Hikam ini
dapat membantu pembaca memahami khazanah yang amat bernilai yang ada di
dalam al-Hikam. Di samping ianya menambah koleksi tafsiran dan syarah terhadap
kitab ini yang dilakukan oleh para ulama-ulama yang lain.
Saya mengakui penelitian saya yang singkat
mungkin terdapat berbagai kelemahan, dan saya mengharapkan agar kita menjadi
peneliti yang baik bagi memperindahkan lagi khazanah ilmu ini. Lantaran
itu, sebarang pandangan baik dan nasihat yang berguna diharapkan dapat
kita kutip samada dari teks asalnya ataupun syarah yang dilakukan oleh
penulis.
Semoga kitab ini dapat dimanfaatkan oleh
para pembaca sekalian dan sekaligus memantapkan aqidah dan ibadah kita
selaras dengan tugas kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa.
Sekian, wassalamualaikum wrh wbt.
Akhukum fil Islam
Dato’ Hj. Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Pensyarah Kanan ITM Cawangan Pahang,
Bandar Pusat Jengka, Pahang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar