Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Selasa, 29 Oktober 2013
28: Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik
Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah
pimpinan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai,
sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke
Madinah, merupakan seorang yang sangat
berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan
Abu Sufyan di Makkah. Selepas Perang Bu’as
tamat penduduk Madinah (nama asalnya Yasrib)
sudah sepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai
sebagai raja di Madinah, malah mahkotanya pun
sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah
bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi
raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang
menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.
Sebelum Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke
Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di
sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab,
orang beragama yang memiliki peradaban yang
mulia. Kaum Yahudi juga menguasai bidang
ekonomi dan mempunyai kekuatan dalam bidang
ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai
ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli
ketenteraan menyebabkan mereka dipandang
tinggi oleh orang Arab Madinah.
Orang Arab Madinah memandang kaum Yahudi
sebagai manusia yang berjaya dan disegani.
Kedudukan kaum Yahudi yang demikian
menyebabkan orang Arab Madinah suka meniru
peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk
agama Yahudi. Bagi orang Arab agama Yahudi
dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi
sahaja. Walaupun tidak menerima agama Yahudi
tetapi banyak daripada nilai-nilai moral Yahudi
diterima pakai oleh orang Arab Madinah.
Golongan Arab Madinah yang berilmu merupakan
orang yang paling banyak menceduk peradaban
Yahudi dan meng-Arabkan peradaban tersebut.
Di antara mereka adalah Abdullah bin Ubai.
Kumpulan Abdullah bin Ubai mempraktikkan
nilai-nilai moral yang lebih tinggi daripada orang
Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu mereka
dipandang tinggi dan dihormati. Ketika Perang
Bu’as hampir berlaku di antara dua puak
terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai
menentang suku-suku mereka yang mahu
berperang itu. Bila peperangan berlaku juga
Abdullah bin Ubai tidak ikut serta dalam
peperangan tersebut. Sikap berkecualinya itulah
yang menyebabkan dia dicadangkan untuk
menjadi raja setelah kedua-dua pihak yang
berperang itu berdamai.
Walaupun menimba dari telaga Yahudi namun
ahli fikir Arab Madinah mempertahankan ke-
Araban mereka. Sikap yang demikian
menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang
kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab.
Mereka menganggap diri mereka setaraf dengan
orang Yahudi yang berilmu dan mereka lebih
mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh
kerana apa yang terbentuk dalam aliran
pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada
satu bentuk kepercayaan atau akidah yang
mereka pertahankan. Mereka mempertahankan
satu perkara sahaja, iaitu merekalah golongan
Arab yang paling pintar dan apa sahaja yang
datang daripada orang Arab yang lain tidak sama
dengan apa yang ada dengan mereka. Apabila
agama Islam datang ke Madinah dibawa oleh
orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah bin Ubai
itu sudah ada keputusan sejak awal-awal lagi
untuk menolaknya. Mereka menganggap apa
yang baharu datang itu lebih rendah daripada
apa yang ada dengan mereka. Mereka menjadi
golongan yang tidak mempertahankan sebarang
kepercayaan dan juga tidak ada satu
kepercayaan yang mereka terima. Sebagaimana
puak Yahudi yang menganggap semua bangsa di
dunia lebih rendah daripada mereka, begitu juga
kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air
daripada telaga Yahudi menganggap semua
orang Arab lebih rendah daripada mereka.
Mereka memandang rendah apa sahaja yang
datang daripada orang Arab yang lain. Mereka
adalah puak yang sudah ada keputusan untuk
mengunci mata, telinga dan hati mereka
daripada segala agama yang datang kepada
mereka.
Arus perkembangan Islam melanda Madinah
dengan deras dan menyeluruh. Dalam masa
kurang daripada satu tahun hampir keseluruhan
penduduk Madinah sudah memeluk agama
Islam. Segala aktiviti berpusat kepada Nabi
Muhammad s.a.w dan agama Islam. Kumpulan
Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka
sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan
melainkan ikut serta di dalam rentak
perkembangan Madinah, jika tidak mereka akan
tersisih. Penyertaan mereka di dalam arus
tersebut juga bertujuan mencari jalan merampas
semula kekuasaan di Madinah sebagaimana
sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi
Muhammad s.a.w ke sana. Mereka mahu orang-
orang Makkah meninggalkan Madinah.
Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu
bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada
satu agama yang mereka pertahankan, maka
mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga
medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa,
pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan
haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada
dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada
agama yang diperjuangkan dan tidak ada
kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan
tersebut menyertai kegiatan agama orang lain
dalam keadaan yang dipanggil munafik. Mereka
memakai baju agama padahal mereka tidak
ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya.
Munafik berbeza daripada kafir. Orang kafir tidak
percaya kepada agama Islam kerana mereka
mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka
pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan
mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang
munafik pula di samping tidak beriman kepada
agama Islam, mereka tidak mendatangkan
kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka
tidak menyebarkan sebarang bentuk
kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh
menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka
adalah orang Islam sejati dan mereka boleh
menentang Islam seolah-olah mereka adalah
orang kafir tulin. Mereka menganggapkan Islam
sebagai baju yang boleh dipakai dan
ditanggalkan menurut keadaan yang membawa
keuntungan kepada mereka.
Al-Quran menceritakan keadaan puak munafik:
Dan sebahagian daripada manusia ada yang
berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan
Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-
orang yang beriman. Mereka hendak
memperdayakan Allah dan orang yang beriman,
padahal mereka tidak perdayakan melainkan diri
mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di
hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan
penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka
seksaan yang pedih sebab mereka telah
berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka:
“Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”,
mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan
orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah
bahawa mereka itu adalah orang yang membuat
kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila
dikatakan kepada mereka, “Berimanlah
sebagaimana orang yang telah beriman”. Mereka
berkata, “Apakah harus kami beriman seperti
orang-orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah
mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi
mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka
bertemu dengan orang yang beriman mereka
berkata, “Kami telah beriman”. Apabila
bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka,
mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak
lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang
beriman)”. ( Ayat 8-14 : Surah al-
Baqarah )
Yang tuli, yang bisu, yang buta. Lantaran itu
mereka tidak akan kembali. ( Ayat 18 : Surah
al-Baqarah )
Orang munafik sangat berbeza daripada orang
kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak
beriman baik secara terang atau pun secara
bersembunyi. Ancaman azab neraka dan
pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir
kepada iman. Orang munafik pula mengucap dua
Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan
tidak keberatan menyertai amalan ibadat
bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi
ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak
berbekas pada hati mereka. Mulut mereka
mengatakan beriman kepada Allah s.w.t dan hari
akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah
orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada
hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan
perbuatan orang yang beriman kerana mereka
mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati
mereka. Ada kepentingan diri yang mereka mahu
jaga.
Puak munafik tidak mengakui kenabian dan
kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka
Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang lelaki
Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain,
yang tergolong dalam kalangan bangsa Arab
yang mereka pandang lebih rendah daripada
mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi
Muhammad s.a.w. Mereka mahu agar baginda
s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga
tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi
Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka
menganggapkan Nabi Muhammad s.a.w, maka
mereka tidak menerima kedudukan wahyu
sebagai Kalam Allah s.w.t. Mereka menganggap
wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad
s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain
yang boleh dihujah dan ditolak. Puak munafik,
dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di
dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi
Muhammad s.a.w.
Tuhan memperingatkan Rasulullah s.a.w supaya
berwaspada terhadap puak munafik yang akan
mencuba untuk membawa baginda s.a.w tunduk
kepada pemimpin mereka. Baginda s.a.w
diperingatkan bahawa puak munafik itu tidak
suka kepada baginda s.a.w.
Wahai Nabi! Berbaktilah kepada Allah dan
jangan engkau taat kepada kafir-kafir dan
munafik-munafik, sesungguhnya Allah adalah
Mengetahui, Bijaksana. ( Ayat 1 : Surah al-
Ahzaab )
Dan jangan engkau tunduk kepada orang-orang
kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah
gangguan mereka. Dan berserah dirilah kepada
Allah kerana cukuplah Allah sebagai Pengawal.
( Ayat 48 : Surah al-Ahzaab )
Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah
kepada apa yang diturunkan oleh Allah kepada
Rasul-Nya”, kamu melihat orang munafik
berpaling daripadamu sungguh-sungguh. (ayat
61 : Surah an-Nisaa’ )
Dan dari kalangan mereka ada yang menyakiti
Nabi dan mereka berkata, “Dia itu
pendengar!” (Maksudnya mengiyakan sahaja apa
yang orang lain kata). Katakanlah: “Dia memang
pendengar kebaikan kamu, dia beriman kepada
Allah dan dia percaya kepada mereka yang
beriman, dan jadi rahmat bagi orang yang
beriman di antara kamu”. Dan mereka yang
menyakiti Rasul Allah bagi mereka azab yang
pedih. ( Ayat 61 : Surah at-Taubah )
Sangat sukar menangani puak munafik kerana
secara terangnya mereka mengaku beriman
walaupun hati mereka menolak. Mereka juga
sanggup bersumpah bagi menegakkan benang
basah.
Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah
kepada kamu untuk menyenangkan kamu,
padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut
mereka sukakan jika adalah mereka orang yang
beriman. ( Ayat 62 : Surah at-Taubah )
Oleh kerana puak munafik hidup dalam kepura-
puraan mereka sangat takut jika rahsia mereka
diketahui oleh orang lain.
Amat takut orang munafik itu bahawa akan
diturunkan atas mereka suatu surah yang
mengkhabarkan kepada mereka apa yang ada
dalam hati mereka. Katakanlah: “Perolok-
olokkanlah! Sesungguhnya Allah akan
mengeluarkan apa yang kamu takutkan itu”.
(Ayat 64 : Surah at-Taubah )
Apabila tembelang mereka pecah puak munafik
itu akan berdalih secara selamba dan mudah.
Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak
dapat dielakkan puak munafik tidak akan
mempertahankan kesesatan dan kebohongan
yang mereka telah lakukan.
Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu
mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau
senda dan bermain-main”. Katakanlah: “Apakah
dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan (dengan)
Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok? ” ( Ayat
65 : Surah at-Taubah )
Puak munafik menyebarkan ajaran yang
menyalahi syariat Islam. Apabila syariat
meletakkan peraturan amal makruf dan
mencegah yang munkar, puak munafik akan
menilai yang makruf sebagai keuntungan duniawi
dan yang munkar pula sebagai kerugiannya.
Mereka menganggap zakat dan sedekah sebagai
bukan amal makruf kerana ia merugikan dari segi
keduniaan.
Laki-laki munafik dan perempuan munafik yang
sebahagian mereka adalah dari yang sebahagian,
mereka menyuruh yang munkar dan melarang
dari yang makruf dan mereka genggamkan
tangan mereka (bakhil). Mereka telah melupakan
Allah dan Allah pun melupakan mereka.
Sesungguhnya orang munafik itu adalah orang
yang fasik (melewati batas). ( Ayat 67 : Surah
at-Taubah )
Puak munafik pandai berdolak-dalih. Mereka
berani menggunakan nama Allah bagi menutup
kesesatan dan kekufuran mereka. Tuhan
memerintahkan Nabi s.a.w agar berjihad
memerangi orang munafik kerana mereka adalah
orang yang kufur.
Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan
munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka.
Tempat kembali mereka adalah jahanam dan
itulah yang seburuk-buruk kesudahan. Mereka
akan bersumpah dengan Nama Allah bahawa
mereka tidak pernah berkata, padahal mereka
pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka
telah kafir sesudah Islam dan mereka sangat
mengingini apa yang tidak dapat mereka capai.
Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan
kerana Allah dan Rasul-Nya telah
memperkayakan orang yang beriman dengan
kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah
baik bagi mereka dan jika mereka berpaling,
Allah akan azabkan mereka dengan satu azab
yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak
ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak
ada penolong. ( Ayat 73 – 74 : Surah at-
Taubah )
Al-Quran memberi peringatan tentang ancaman
puak munafik terhadap keselamatan dan
kepercayaan orang yang beriman. Tuhan
menamakan satu surah al-Quran dengan nama
surah al-Munafiqun, bagi menyedarkan kaum
Muslimin betapa bahayanya kehadiran puak
munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin.
Tuhan menggesa Nabi Muhammad s.a.w dan
kaum Muslimin semua zaman agar berwaspada
terhadap tipu daya dan fitnah yang datang
daripada puak munafik.
Apabila orang munafik datang kepada kamu
mereka akan berkata, “Kami mengakui
bahawasanya kamu Rasul Allah,” padahal Allah
mengetahui bahawasanya engkau pesuruh-Nya
dan Allah menyaksikan bahawasanya kaum
munafik itu adalah orang yang berdusta. Mereka
jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai
perlindungan, lalu mereka halangi manusia dari
jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah
mereka kerjakan. Yang demikian (adalah)
lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu
dimetrai atas hati mereka; oleh itu mereka tidak
dapat memahami. ( Ayat 1 – 3 : Surah al-
Munafiquun )
Dan apabila engkau lihat mereka, menghairankan
kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka
berkata-kata, engkau dengarkan perkataan
mereka. Mereka seolah-olah kayu yang
disandarkan. Tiap-tiap teriakan mereka sangka
buat membahayakan mereka. Mereka adalah
musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka.
Allah laknati mereka! Ke manakah mereka
dipalingkan? ( Ayat 4 : Surah al-
Munafiquun )
Tuhan memperingatkan sungguh-sungguh kepada
Nabi s.a.w dan kaum Muslimin sekaliannya pada
semua zaman, supaya jangan membiarkan racun
yang ditabur oleh golongan munafik
memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi
peringatan!
Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir
dan munafik dan berlaku keraslah terhadap
mereka dan tempat kembali mereka itu adalah
jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )
Tuhan memberi peringatan kepada kaum
Muslimin, sekiranya kegiatan puak munafik yang
mencampur adukkan kesesatan dan kekufuran ke
dalam akidah Islam tidak dibendung, nescaya
umat Islam akan menemui kehancuran. Setiap
umat Islam mestilah berwaspada terhadap orang
munafik yang berada di tengah-tengah mereka.
Tanda munafik mudah dikenal melalui
keengganan mereka berjuang pada jalan Allah
s.w.t.
Dan supaya dibuktikan-Nya pula keadaan orang-
orang munafik. Dikatakan kepada mereka:
“Marilah berperang pada jalan Allah atau
pertahankanlah.” Mereka menjawab, “Kalau kami
tahu berperang nescaya kami ikut kamu
(berperang).” Mereka itu pada hari tersebut lebih
hampir kepada kufur daripada kepada iman.
Mereka berkata dengan mulut mereka apa yang
tidak ada dalam hati mereka. Dan Allah lebih
Mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan.
(Adalah) mereka yang berkata kepada saudara-
saudara mereka sambil mundur, “Kalau mereka
ikut kami tentu mereka tidak terbunuh.”
Katakanlah: “Kalau begitu tolakkanlah kematian
daripada kamu jika memang kamu orang yang
benar.” ( Ayat 167 – 168 : Surah a-Li
‘Imraan )
Kemunafikan lebih ketara melalui amalan yang
mereka lakukan sambil lewa sahaja, semata-
mata sebagai pameran.
Orang munafik menipu Allah dan Allah pun
(balas) menipu mereka. Dan apabila mereka
berdiri kepada sembahyang mereka berdiri dalam
keadaan malas. Mereka menunjuk-nunjuk kepada
manusia dan tidaklah mereka mengingati Allah
kecuali sedikit. Keadaan mereka terumbang
ambing di antara yang demikian itu, tidak kepada
mereka itu, tidak kepada mereka ini; kerana
barangsiapa disesatkan oleh Allah maka tidak
akan engkau dapat satu jalan (keselamatan)
baginya . ( Ayat 142 – 143 : Surah an-
Nisaa’ )
Tuhan memberi amaran yang keras kepada orang
munafik:
Sesungguhnya jika tidak berhenti juga orang
munafik itu dan orang yang dalam hatinya ada
penyakit dan pengacau-pengacau di Madinah,
nescaya Kami akan kerahkan engkau terhadap
mereka. Kemudian itu tidaklah mereka akan
bertetangga lagi dengan engkau di situ kecuali
bagi masa yang singkat. Mereka di dalam
keadaan terkutuk di mana sahaja mereka
dijumpai dan mereka akan dibunuh sampai
semusnah-musnahnya. Sunah Allah yang telah
berlaku pada orang-orang yang terdahulu. Dan
sekali-kali tidak akan didapati bagi Sunnatullah
itu satu pengganti. ( Ayat 60 –62 : Surah al-
Ahzaab )
Al-Quran telah memberi gambaran yang jelas
tentang orang munafik. Rasulullah s.a.w dan
kaum Muslimin mengenali puak munafik yang
ada di dalam masyarakat mereka. Mereka dapat
menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin
Ubai adalah pemimpin puak munafik. Keterangan
yang telah diberikan oleh al-Quran memberi
manfaat bagi kaum Muslimin dalam mengawasi
pergerakan puak munafik agar perpaduan,
keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin
dapat dipelihara. Umat Islam yang datang
kemudian mestilah memerhatikan petunjuk
daripada al-Quran bagi mengenali musuh-musuh
mereka.
Abdullah bin Ubai telah pun mati. Markas puak
munafik, sebuah masjid yang dibina di Zu Awan,
sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada
zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi kaum Muslimin
perlu berwaspada kerana racun munafik masih
berjalan hingga ke hari ini.
Puak munafik terdiri daripada orang-orang yang
sangat licik. Mereka hidup bersama-sama orang
Islam, mengaku sebagai orang Islam dan
melibatkan diri dalam kegiatan kaum Muslimin,
malah mereka merasakan yang mereka lebih
Islam daripada orang-orang Islam yang lain.
Memang sukar untuk mengenali hati yang
munafik, sedangkan mulutnya mengucapkan dua
Kalimah Syahadah dan anggotanya melakukan
ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain.
Orang munafik bergerak di dalam masyarakat
orang Islam, sebagai orang Islam dan
menggunakan ajaran Islam. Orang munafik
melakukan apa yang sudah dibuat oleh kaum
Yahudi dan Nasrani, iaitu mengubah maksud
kitab Allah dan meminda syariat Islam. Mereka
mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara
mereka sendiri. Puak munafik adalah ilmuan
yang mengeluarkan al-Quran tiruan dan Hadis
palsu, terutamanya dalam soal yang
bersangkutan dengan akidah dan kebatinan.
Daripada puak yang demikianlah muncul istilah
kebudayaan Islam yang ditampalkan kepada
kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat
Tuhan. Lahir pula persatuan Islam pada nama
tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan
umat Islam. Ada pula istilah seni bina Islam
diletakkan pada bangunan yang digunakan
sebagai sarang perjudian dan pelacuran. Lebih
buruk lagi timbul akidah syirik yang dikatakan
sebagai akidah Islam yang sebenarnya. Racun
yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Ubai dan
kawan-kawannya sudah meresap ke dalam
darah daging umat Islam di seluruh dunia pada
masa kini. Hanya bimbingan daripada Allah s.w.t
dapat menyelamatkan umat Islam daripada fitnah
puak munafik itu.
Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan
dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak
pasti apakah yang mereka pegang dan imankan.
Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan dan
pegangan orang lain dengan mengadakan
perubahan kepada yang asli, tetapi mereka tetap
menggunakan label yang asli, seperti lembu yang
mati di tepi jalan diletakkan label halal. Orang
munafik bergerak di dalam masyarakat orang
Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa yang
mereka bawa adalah perkara yang sudah
diselewengkan. Orang yang berilmu dapat
melihat penyelewengan tersebut tetapi orang
jahil akan keliru kerana si munafik bercakap
tentang Allah s.w.t dan agama Islam. Lebih-lebih
lagi si munafik itu pandai menggunakan hujah
keagamaan, terutamanya secara usul yang tidak
ada kesudahan. Mereka suka menggunakan cara
berteka teki yang sukar dimengerti. Lebih
mengelirukan lagi apabila si munafik berhujah
dengan menyandarkan kepada Hadis Nabi s.a.w,
perkataan sahabat dan wali-wali yang mereka
gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang
jahil. Si munafik boleh bersumpah bohong
dengan menggunakan nama Allah bagi
memerangkap orang yang jahil. Orang Islam yang
jahil mudah terperangkap dengan ajaran sesat
orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi
lebih mudah setelah berlaku proses asimilasi
agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan
Keristian ke dalam agama Islam.
Setiap kaum Muslimin yang insaf berkewajipan
menyelak setiap hamparan dan membongkar
setiap tutupan bagi mencari racun munafik yang
bersembunyi di dalam kalangan umat Islam.
Racun tersebut mestilah dikeluarkan. Inilah jihad
kaum Muslimin zaman ini!
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar