Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Selasa, 29 Oktober 2013
33: Persediaan Menerima KedatanganJazbah
Apabila Allah s.w.t berkehendak menyampaikan
wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w, Dia
menggerakkan hamba-Nya itu supaya berkhalwat
di Gua Hiraa. Pemergian baginda s.a.w ke Gua
Hiraa adalah kerana Tarikan Rahmani atau
Petunjuk Ghaib yang datang secara langsung
daripada Allah Yang Maha Tinggi. Petunjuk
Ghaib mempersiapkan Nabi Muhammad s.a.w.
Apabila baginda s.a.w sudah bersedia baharulah
wahyu diturunkan.
Seseorang yang akan menerima urusan Tuhan
akan dipersiapkan oleh Tuhan menurut
kebijaksanaan-Nya. Seseorang yang akan
menerima jazbah dipersiapkan terlebih dahulu.
Ada orang yang diheret kepada jalan bersuluk.
Walaupun mereka memasuki suluk di dalam
kesedaran namun pada hakikatnya mereka ditarik
oleh Petunjuk Ghaib. Petunjuk Ghaib bertindak
ke atas mereka, yang pada zahirnya kelihatan
sebagai bimbingan guru mereka. Kehadiran guru
yang arif memudahkan murid memahami
petunjuk-petunjuk sampai kepada mereka
daripada alam ghaib.
Sebahagian ahli jazbah memasuki jalan yang
tidak ada guru. Mereka boleh dibahagikan
kepada dua golongan. Golongan pertama
memasuki jalan memencilkan diri di tempat yang
jauh daripada orang ramai. Ketika bersendirian
itulah timbul kecenderungan dalam hati mereka
untuk melakukan sesuatu ibadat dengan
bersungguh-sungguh. Kemudian jazbah
didatangkan kepada mereka. Golongan ini
biasanya sukar untuk kembali kepada kehidupan
biasa seperti orang ramai. Orang yang menjadi
majzub secara terus menerus kebanyakannya
terdiri daripada golongan ini. Golongan kedua
pula adalah mereka yang menetap dalam
masyarakat, tidak mengasingkan diri di tempat
yang jauh. Ketika masih berada bersama-sama
orang ramai itulah didatangkan minat kepada
mereka untuk melakukan sesuatu amalan atau
ibadat. Apabila mereka didatangi oleh jazbah
mereka tetap juga berada di dalam lengkungan
orang ramai. Ahli jazbah seperti ini mengalami
berbagai-bagai perkara ganjil sambil diperhatikan
oleh orang ramai. Mereka terpaksa berhadapan
dengan reaksi orang ramai dan keadaan
memudahkan buat mereka kembali semula
kepada kehidupan biasa nanti.
Majzub berbeza daripada majnun (gila). Kepada
kedua-duanya dibukakan keghaiban. Orang
majnun tersangkut pada alam makhluk halus atau
alam khadam. Mereka suka bercakap sendirian
seolah-olah mereka bercakap dengan seseorang.
Sebenarnya mereka memang bercakap dengan
sesuatu yang orang lain tidak nampak dan tidak
dengar. Isu percakapan mereka adalah perkara
ganjil yang terdapat pada alam lain. Sekiranya
orang majnun kembali kepada kesedaran biasa
semula, mereka akan lupa kepada apa yang
mereka telah alami pada alam makhluk halus itu.
Pengalaman majnun tidak meninggalkan kesan
yang mempengaruhi fahaman dan pegangannya.
Orang Majzub pula tertarik kepada ‘alam
ketuhanan.’ Walaupun bercakap sendirian, isu
percakapan mereka adalah Tuhan. Mereka
banyak bercakap mengenai aspek misal
ketuhanan. Kelakuan mereka yang kelihatan
seperti orang yang tidak siuman, bercakap
sendirian mengenai misal ketuhanan, boleh
menyebabkan orang ramai menyangkakan
mereka sudah gila. Apabila orang majzub
kembali kepada kesedaran biasa semula,
pengalaman jazbah tidak hilang daripada ingatan
mereka. Pengalaman yang demikian
meninggalkan kesan yang kuat pada jiwa
mereka. Mereka yang keluar daripada alam
jazbah membawa bersama-sama mereka
kekuatan kerohanian yang kuat sehingga mereka
mampu melakukan untuk masyarakat apa yang
orang lain tidak mampu.
Allah s.w.t menyediakan berbagai-bagai cara
bagi mempersiapkan hamba-hamba-Nya.
Pengalaman seorang hamba Allah dimuatkan di
sini untuk dijadikan iktibar bagi orang yang
berminat pada jalan kerohanian.
Petunjuk Ghaib mendatangi hati si hamba itu
sebagai kecenderungan atau dorongan yang
kuat. Si hamba itu merasakan seolah-olah
menerima perintah yang tidak boleh diengkari
namun dia tunduk kepada ‘perintah’ itu dengan
kerelaan. ‘Perintah’ yang datang itu menyuruh si
hamba itu menziarahi 100 buah masjid.
Allah s.w.t memperakui masjid-masjid sebagai
rumah-Nya. Tuan rumah sentiasa meraikan
tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Allah s.w.t
adalah Tuan rumah yang paling baik, menyambut
para tetamu-Nya dengan penuh kelembutan dan
kasih sayang.
Para kekasih Allah gemar mengunjungi rumah-
Nya. Mereka jadikan masjid sebagai tempat
bermunajat. Tempat yang selalu disebut nama-
nama Allah s.w.t, diucapkan kata-kata pujian
dan kesyukuran kepada-Nya, dipenuhi oleh
keberkatan. Keberkatan itu umpama cahaya yang
menerangi kegelapan. Sesiapa yang mendatangi
cahaya akan dapat melihat dan berada jauh
daripada cahaya akan tinggal di dalam
kegelapan. Bermunajat di dalam cahaya
keberkatan di dalam rumah-Nya melahirkan rasa
kehadiran-Nya.
Si hamba mandi mensucikan diri dan berwuduk.
Kemudian dia bersembahyang sunat dua rakaat
bagi memulakan perjalanannya. Sesudah
bersembahyang dia bermunajat kepada
Tuhannya: “Ilahi! Engkau jualah maksud dan
tujuanku. Keredaan Engkau jua yang daku cari.
Berikan daku petunjuk di dalam perjalananku,
berkatilah langkahku dan bimbinglah daku untuk
sampai kepadaMu”. Selesai bermunajat kepada
Tuhan si hamba memulakan perjalanan ke
masjid-masjid dengan kalimah:
Kunjungan ke masjid-masjid cara ini bukanlah
kunjungan sosial, bukan bertujuan untuk
menuntut ilmu atau berkenalan dengan ahli-ahli
masjid. Setiap masjid yang dikunjunginya adalah
umpama negeri asing yang tidak seorang
penduduk pun yang dikenalinya atau
mengenalinya. Bertegur sapa dan bersalaman
sekadar yang patut sahaja tanpa membanyakkan
kata-kata merupakan adat berkunjung ke masjid.
Setiap memasuki masjid kerjakanlah
sembahyang sunnat tahiyyatul masjid, kemudian
duduk beriktikaf sambil bermunajat kepada Allah
s.w.t, memohon petunjuk dan bimbingan-Nya
demi mencari keredaan-Nya. Jika waktu
sembahyang fardu sudah sampai kerjakanlah
sembahyang berkenaan secara berjemaah.
Sesudah berwirid dan berdoa berpindahlah ke
masjid yang lain pula.
Berkunjung ke masjid-masjid menurut Petunjuk
Ghaib memberi kesan kepada jiwa hamba Allah
itu. Suasana kehidupannya berubah. Dia
mendapat kekuatan untuk menyelamatkan diri
daripada pengaruh dan rangsangan yang datang
daripada orang ramai. Kegiatan yang
menyeronokkan dan melalaikan terpisah
daripadanya. Jika dahulu dia sanggup
menghabiskan wang yang banyak kerana tujuan
berseronok dan membazir, kini setiap sen yang
dia ada digunakan semata-mata untuk jalan
Allah s.w.t. Jika dahulu dia sanggup
mengembara dari jambatan ke jambatan kerana
mencari nikmat memancing, kini dia
mengembara dari masjid ke masjid kerana
mencari nikmat bermunajat kepada Allah s.w.t.
Kekuatan dan keupayaan yang sama kini
digunakan untuk mencari keredaan Allah s.w.t.
Setiap waktu dan ruang digunakan untuk
mengingati Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam.
Si hamba kehilangan minat kepada makhluk dan
aktiviti kehidupan harian. Seberapa banyak hilang
minatnya terhadap makhluk, lebih banyak pula
minatnya untuk menghampiri Allah s.w.t. Bila
perhatiannya banyak tertuju kepada Allah s.w.t,
fikiran dan hatinya kurang memerhatikan kepada
hukum sebab akibat. Dia lebih memerhatikan
perjalanan takdir daripada perjalanan sebab
musabab. Bila perhatiannya tertuju kepada
perjalanan takdir hatinya tidak lagi terganggu
dengan kerenah makhluk yang bergerak di dalam
arus sebab musabab. Dia sudah boleh
merasakan kedamaian di tengah-tengah
kekacauan yang berlaku di sekelilingnya.
Hati manusia mempunyai satu muka. Jika ia
menghadap kepada makhluk ia akan
membelakangi Tuhan. Jika ia menghadap kepada
Tuhan ia akan membelakangi makhluk. Sekiranya
Allah s.w.t berkehendak mengurniakan taufik dan
hidayat kepada hamba-Nya, Dia akan palingkan
muka hati si hamba itu kepada-Nya. Hati yang
menghadap kepada Tuhan akan dapat merasai
kehadiran-Nya, dengan demikian menambahkan
keyakinan kepada Allah s.w.t. Si hamba akan
menjadi seorang yang gemar beribadat. Dia
sanggup melakukan ibadat dengan banyaknya
semata-mata kerana Allah s.w.t, demi mencari
keredaan-Nya. Kekuatan yang diperolehi oleh
hati sewaktu menziarahi 100 buah masjid sudah
mampu mengadakan sekatan kepada
pancaindera daripada melakukan sesuatu yang
Allah s.w.t tidak suka.
Apabila minat mahu berbakti kepada Tuhan
sudah kuat, si hamba akan menilik kepada
kecacatan dan keaiban dirinya. Dia berasa malu
menghadap Tuhan dengan dirinya yang diselaputi
oleh kekotoran. Dia juga melihat dirinya sebagai
seorang yang ‘berpenyakit’, tidak berupaya
membuat kebaktian kepada Tuhan dengan
sempurna. Dia sangat ingin menyucikan dirinya
dan menyembuhkan penyakitnya agar dia boleh
berkhidmat kepada Tuhan dengan sekuat
tenaganya dan dalam keadaan suci.
Setelah tamat peringkat menziarahi 100 buah
masjid, didatangkan pula minat untuk
‘menziarahi’ dirinya sendiri.
Dan pada diri kamu apakah tidak kamu
perhatikan? ( Ayat 21 : Surah adz-
Dzaariyaat )
Si hamba merenung perjalanan kehidupannya di
dalam dunia. Sudah sangat banyak kekotoran
yang mengenai dirinya zahir dan batin, dan
racun yang memasuki dirinya zahir dan batin.
Dia perlu menyucikan rohani dan jasmaninya. Dia
perlu mengubati penyakit rohani dan jasmaninya.
Dalam dia mencari-cari alat penyucian dan
penawar itu hatinya mengingati firman Tuhan:
Dan jika ada satu kitab bacaan yang (mampu)
dijalankan gunung-gunung dengannya atau
dibelah bumi dengannya atau dibuat bercakap
orang-orang yang sudah mati dengannya (maka
al-Quranlah Kitabnya). Bahkan kepunyaan Allah
jua segala urusan. Apakah tidak tahu orang yang
beriman bahawa jika Allah mahu nescaya Dia
pimpin semua manusia? ( Ayat 31 : Surah ar-
Ra’d )
Al-Quran mampu menyucikan kekotoran yang
menjadi hijab di antara hamba dengan Tuhan. Al-
Quran juga menjadi penawar yang menguatkan
hamba berjalan kepada Tuhannya. Si hamba
yakin dengan al-Quran sebagai Kitabullah yang
diturunkan untuk kebaikan manusia. Oleh kerana
kekotoran dan penyakitnya banyak berhubung
dengan hati dia harus memulakan dengan hati al-
Quran. Hati al-Quran dapat menyucikan hatinya
dan menguatkannya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tiap sesuatu mempunyai hati, begitu juga al-
Quran. Hati al-Quran adalah Surah Yaa Siin.
Sesiapa membacanya akan ditulis pahala
sebanyak sepuluh kali membaca al-Quran”.
Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud:
“Dalam al-Quran ada satu surah namanya Surah
Yaa Siin. Surah ini mensyafaatkan bagi sesiapa
yang membacanya dan menuntutkan keampunan
bagi orang yang mendengarnya”. Fadhilat Surah
Ya Sin sangat besar. Ia menjadi penawar bagi
berbagai-bagai penyakit. Kekotoran dan penyakit
tidak dapat bertahan apabila penawar dari Surah
Yaa Siin memasuki setiap rongga dan sekalian
maujud.
Si hamba meletakkan pergantungannya kepada
Allah s.w.t. Selepas peringkat menziarahi 100
buah masjid dia menjadikan pembacaan Surah
Yaa Siin sebagai wiridnya. Dibacanya berulang-
ulang, sekadar kemampuannya setiap hari. Dia
berada dalam keadaan demikian beberapa hari.
Setelah dia selesai membaca Surah Yaa Siin
sebanyak 203 kali dia membaca doa yang
pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w:
Ya Allah! Ya Tuhanku! Adakanlah di
dalam hatiku nur, dalam pendengaranku
nur, dalam penglihatanku nur, adakanlah
di sebelah kananku nur, sebelah kiriku
nur, dihadapanku nur dan berikan daku
nur.
Berkat rumah Allah dan nur hati al-Quran
memberi kekuatan kepada hati si hamba untuk
menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib.
Hatinya sudah bersedia untuk menghadapi
perjalanan kerohanian, sebagaimana yang
dikehendaki oleh Allah s.w.t.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar