Kamis, 24 Oktober 2013

ISTILAH ISTILAH TASAWUF

ihsan: Suasana hati yang merasakan kehadiran
Allah s.w.t tidak terhijab.
ijtihad: Daya usaha orang alim dan arif dalam
mencari tindakan dan pegangan yang benar
berhubung dengan perkara-perkara yang baharu
timbul di dalam masyarakat, berlandaskan
sumber hukum syariah yang betul.
iktikad: Pegangan yang berhubung dengan
kepercayaan agama.
ilham: Apa juga perkara abstrak yang sampai
kepada manusia ada sumbernya. Fikiran dan
khayalan tidak terjadi dengan sendirinya. Ada
pencetus atau yang merangsang yang
menggerakkan akal untuk berfikir atau berkhayal.
Akal berfikir menurut rangsangan yang
diterimanya. Perangsang akal itu dinamakan
ilham. Ia bersumberkan alam ghaib yang tidak
dapat difikir oleh akal. Jika akal boleh
memikirkan mengenainya maka akal tidak
memerlukan sumber tersebut. Kelemahan akal
itu ditampung oleh ilham. Sumber yang
merangsang akal itu ada dua iaitu yang baik dan
yang jahat. Sumber yang baik datangnya dari
alam malakut (alam malaikat) dan sumber yang
jahat datangnya dari alam jin yang dibawa oleh
syaitan. Nur yang terpancar dari alam malakut
menggerakkan akal supaya memikirkan tentang
kebesaran dan kemurahan Tuhan dan berbakti
kepada-Nya. Cahaya api syaitan yang terpancar
dari alam jin merangsang akal untuk melakukan
kejahatan dan kerosakan.
Iliyyin: Sebahagian daripada syurga, di mana
catatan amalan yang baik-baik ditempatkan.
ilmu ahkam: Ilmu yang berhubung dengan
hukum-hukum, dinamakan juga ilmu fikah.
ilmu asrar: Ilmu yang berhubung dengan
perkara-perkara ghaib dan seni, dinamakan juga
ilmu tasauf.
ilmu ghaib: Ilmu laduni.
ilmu hakikat: Ilmu ketuhanan.
ilmu laduni: Pengetahuan yang diperolehi
bukan melalui proses pembelajaran.
Pengetahuan tersebut boleh dibahagikan sebagai
pengetahuan umum dan pengetahuan khusus.
Pengetahuan umum adalah naluri semulajadi
yang dibekalkan kepada sesuatu kejadian,
misalnya manusia mempunyai pengetahuan
laduni untuk membezakan kesakitan yang dirasai
di dalam perut apakah ianya kesakitan kerana
mahu membuang air besar ataupun kesakitan
kerana sakit perut biasa. Bagitu juga dengan
bayi yang dikurniakan pengetahuan laduni untuk
menangis sebagai menceritakan keadaannya
yang lapar atau sakit. Laduni yang khusus adalah
pengetahuan mengenai ketuhanan secara rohani.
Pengetahuan yang demikian dicampakkan ke
dalam hati tanpa perlu belajar. Seseorang itu
dengan tiba-tiba sahaja mengetahui sesuatu
tentang Tuhan atau perkara ghaib. Pembelajaran
seterusnya berperanan menambahkan atau
memperjelaskan pengetahuan tersebut.
Ilmu Mutlak: Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah s.w.t
adalah Ilmu secara keesaan. Tidak ada jarak,
ruang dan masa dalam suasana Ilmu Tuhan.
Tuhan mengetahui yang abadi tatkala Dia
mengetahui yang azali. Tuhan mengetahui
kematian seseorang hamba-Nya tatkala Dia
mengetahui kelahirannya. Tuhan mengetahui
bilangan ke sejuta tatkala Dia mengetahui
bilangan yang pertama. Dia mengetahui yang
akhir tatkala Dia mengetahui yang awal dan Dia
mengetahui yang batin tatkala Dia mengetahui
yang zahir.
ilmu Rabbani: Seperti ilmu hakikat dan ilmu
laduni, iaitu ilmu yang datangnya secara
langsung daripada Allah s.w.t.
ilmu tasauf: Satu aliran ilmu dan kefahaman
agama yang menitik-beratkan soal hati,
penyuciannya dan hubungannya dengan Tuhan.
iman syuhudi: Keyakinan yang lahir daripada
penyaksian mata hati.
Insan Batin: Sama seperti Diri Batin.
Insan kamil: Sama seperti Hakikat Insan Kamil.
Insan Rahsia Allah s.w.t: Insan Batin atau
Diri Batin yang berhubungan dengan Latifah
Rabbaniah dan hal-hal ketuhanan dinamakan
Insan Rahsia Allah s.w.t kerana hakikatnya tidak
diketahui oleh makhluk, hanya Allah s.w.t yang
mengetahuinya. Pengetahuan yang dikurniakan
kepada makhluk mengenai perkara ini sangatlah
sedikit.
Insan Sirullah: Insan Rahsia Allah s.w.t.
Iradat: Kehendak Allah s.w.t.
Israk: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil
Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin
dengan menunggang kenderaan alam ghaib yang
dinamakan buraq. Dalam perjalanan tersebut
Rasulullah s.a.w diperlihatkan seluruh bahagian
alam dunia termasuklah bahagiannya yang ghaib
dan tersembunyi. Peristiwa ini berlaku pada
tahun ke sebelas Nabi Muhammad s.a.w
diutuskan menjadi rasul.
istidraj: Kesenangan dan kemewahan yang
mendatangi secara berterusan kepada orang
yang mengingkari perintah Allah s.w.t, berbuat
dosa dan maksiat. Kesenangan dan kemewahan
yang demikian membuat manusia menjadi lalai
dan bertambah kekufuran serta kefasikannya.
Ketika mereka sedang asyik dengan kesenangan
dan kemewahan tersebut Tuhan datangkan bala
dengan tiba-tiba sehingga apa yang dimilikinya
menjadi tidak bermanfaat kepadanya. Jadilah
mereka orang yang berputus asa.
istighfar: Permohonan kepada Allah s.w.t agar
diampunkan dosa.
istiqamah: Menetap dengan sesuatu amalan
atau suasana.
ittisal: Selepas suasana wusul sampailah
kepada suasana ittisal, iaitu berhubungan dengan
Allah s.w.t. Dalam suasana yang demikian nama
tidak terlintas lagi dalam ingatan, yang ada
hanyalah pandangan mata hati yang
mengandungi kejeliraan, kemesraan dan
kelazatan. (Sila lihat maksud wusul untuk
memahami maksud ittisal).
Jabarut/Alam Jabarut : Istilah yang digunakan
bagi menceritakan mengenai keadaan atau
suasana sifat Tuhan sebagai penjana kepada
segala bakat dan keupayaan yang dengannya
makhluk diciptakan dan seterusnya menikmati
kesinambungan kewujudan.
jalan kenabian: Jalan yang menurut Sunah
Rasulullah s.a.w yang telah diikuti oleh para
sahabat. Orang yang berjalan pada jalan ini
menetap dalam kesedaran, tidak memasuki
suasana yang ada fana, baqa, zauk, bersatu
dengan Tuhan dan yang seumpamanya.
Penekanan pada jalan kenabian adalah
kehambaan kepada Tuhan, mengerjakan yang
makruf dan mencegah yang munkar dan berjihad
pada jalan Allah s.w.t. Pada jalan ini kecintaan
kepada Tuhan berlaku secara rasional. Tidak ada
rintihan untuk bersatu dengan Tuhan atau
tangisan kerana berpisah dengan-Nya. Pada
jalan kenabian seseorang Muslim menetap dalam
suasana kehidupan harian, tidak mengasingkan
diri di tempat yang sunyi. Mereka menceburkan
diri dalam urusan mengadakan kesejahteraan
kepada masyarakat.
jalan kesufian: Jalan kesufian terkenal dengan
latihan kerohanian yang dilakukan secara
mengasingkan diri di tempat-tempat yang sunyi.
Pada jalan ini penekanannya adalah hubungan
hamba dengan Tuhan. Dalam aspek ini
seseorang sufi sangat bersungguh-sungguh.
Aspek hubungan sesama manusia sangat kurang
dilakukan. Biasa terjadi seseorang sufi tidak
menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya.
Penekanan terhadap hubungan dengan Allah
s.w.t semata-mata dengan latihan yang menjurus
ke arah tersebut biasanya membawa sufi kepada
suasana yang ada pengalaman zauk, jazbah,
fana, baqa dan bersatu dengan Tuhan.
Sebahagian sufi menetap pada jalan kesufian
sementara sebahagian yang lain kembali kepada
jalan kenabian. Sufi yang telah sempurna
perjalanannya biasanya kembali kepada jalan
kenabian dan mengambil bahagian dalam urusan
masyarakat.
jalan mahabbah: Peralihan daripada jalan
kesufian sebelum menetap pada jalan kenabian.
Ketika berada pada jalan mahabbah seseorang
itu terlepas sedikit demi sedikit daripada kesan
mabuk, fana dan baqa. Apabila kesedarannya
kembali sepenuhnya dia kembali menetap pada
jalan kenabian.
Jamhut: Keadaan Allah s.w.t yang tidak dapat
dihuraikan.
jazbah: Sufi melatihkan diri untuk tidak
mengingati sesuatu kecuali Allah s.w.t.
Penghapusan kesedaran kemanusiaan membawa
sufi bertembung dengan suasana atau hal yang
dinisbahkan kepada ketuhanan. Pembukaan
terhadap alam ghaib memberi kesan yang kuat
kepada hati sufi. Kesan tersebut dinamakan
jazbah. Sufi yang mengalami jazbah merasai atau
menyaksikan dengan mata hatinya tentang hal-
hal ketuhanan.
jazbah khadam: Ada orang yang melakukan
latihan atau amalan khusus untuk membuka alam
ghaib bukan kerana mahu mendekati Allah s.w.t.
Bila terbuka alam makhluk halus kepadanya,
makhluk halus menguasainya. Penguasaan
makhluk halus tersebut menyebabkan berlaku
perubahan pada jiwa dan fikirannya. Dia menjadi
alat yang menterjemahkan keadaan makhluk
halus yang menguasainya. Sebahagian daripada
mereka dapat mengambil manfaat daripada
makhluk halus yang berdampingan dengannya.
Sebahagian yang lain pula dikuasai secara
menyeluruh oleh makhluk halus tersebut hingga
menyebabkan mereka menjadi gila. Penguasaan
makhluk halus tersebut dinamakan jazbah
khadam.
junub: Keadaan tidak suci. Junub zahir terjadi
kerana keluar mani (samada dengan bersetubuh
ataupun tidak) dan juga kerana bersetubuh
(keluar mani ataupun tidak). Junub batin adalah
kelalaian hati daripada mengingati Allah s.w.t.
Apabila hati lalai maka syaitan akan
memasukinya. Kekejian syaitan mengotorkan
hati.
Kalam Hakiki: Kalam Allah s.w.t. Apa sahaja
yang ada pada Allah s.w.t adalah Hakiki atau
Mutlak. Perkataan Allah s.w.t yang ke sejuta
dengan perkataan-Nya yang pertama tidak
berbeza, tiada jarak ruang atau masa. Tiada
jarak dan perbezaan di antara Kalam-Nya tatkala
mula-mula menciptakan alam dan tatkala Dia
mengadakan kiamat kelak. Perkataan-Nya Yang
Hakiki bukanlah susunan kata-kata yang ada
abjad dan suara. Hanya Dia yang mendengar
dan mengetahui Kalam Hakiki-Nya.
Kalimah Syahadah: Asyhadu an- la ilaha illa
Llah wa- asyhadu anna Muhammad ar- Rasul ul-
Llah
Kalimah Tauhid: La ilaha illa Llah
kamaliah: Nafsu kamaliah.
kasyaf : Terbuka pandangan mata hati kepada
perkara ghaib. Kasyaf ada dua jenis iaitu kasyaf
kecil dan kasyaf besar. Kasyaf kecil ialah
terbuka pandangan mata hati untuk melihat
kepada benda-benda dan suasana alam yang
ghaib seperti alam kubur, makhluk halus, alam
arwah dan sebagainya. Kasyaf besar pula adalah
terbukanya pandangan mata hati untuk melihat
sesuatu mengenai Tuhan pada perkara dan
suasana makhluk.
Kebenaran Hakiki: Kebenaran yang sejati
sebagaimana yang dikhabarkan oleh al-Quran
dan al-Hadis.
khalaq: Makhluk yang diciptakan oleh Allah
s.w.t.
khalifah: Hamba yang diamanahkan oleh Tuhan
untuk memikul beban menguruskan kehidupan di
bumi serta memakmurkannya menurut peraturan
yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Khalifah
bertanggungjawab menegakkan keadilan dan
kebenaran.
khalifah ar-rasyidin: Pemimpin umat Islam
yang dibimbing oleh Allah s.w.t dan diperakui
kebenaran mereka oleh Rasulullah s.a.w. Mereka
ialah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Selain
mereka Umar bin Abdul Aziz dikatakan termasuk
juga dalam kumpulan khalifah ar-rasyidin.
khalifah kerohanian: Salik yang telah kembali
kesedarannya dan mempunyai keupayaan untuk
menguruskan kehidupannya dan bidang
pengkhususannya serta mempunyai ilmu yang
mencukupi dalam bidang kerohanian layak
bergelar khalifah kerohanian. Mereka mempunyai
keupayaan untuk membimbing orang lain berjalan
pada jalan Allah s.w.t. Mereka mampu
menghuraikan pengalaman kerohanian yang
ditempuh oleh orang yang menerima bimbingan
mereka.
khalq: Makhluk, iaitu perubahan keadaan ‘adam
daripada tidak ada kepada ada setelah
memperolehi nikmat penciptaan daripada Allah
s.w.t.
khalwat: Pengasingan diri di tempat yang sunyi.
khurafat: Kepercayaan yang menyalahi ajaran
agama.
Khutbah Makrifat: Kesimpulan mengenai
kedudukan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang tidak
ada Tuhan melainkan Dia, kedudukan kewujudan
pada sisi-Nya dan kedudukan makhluk yang
diciptakan-Nya. Penghayatan kepada Khutbah
Makrifat yang ringkas hanya terjadi setelah
seseorang memperolehi makrifat, iaitu mengenal
Allah s.w.t dan mengenal peraturan-Nya pada
makhluk-Nya.
khilafiah: Perkara-perkara yang menimbulkan
keraguan dan pertikaian lantaran tidak ada nas
yang jelas mengenai hukumnya.
kitabul mubin: Kitab yang nyata, iaitulah
segala perkara yang dijadikan oleh Allah s.w.t.
Hati yang memiliki nur makrifat menyaksikan apa
sahaja kejadian Tuhan seumpama cermin untuk
dia melihat sesuatu tentang Tuhan. Sekalian
alam ini merupakan kitab baginya untuk
mengenal Allah s.w.t dan memperolehi hikmah
dalam menjalani kehidupan harian.
Kuasa Mutlak: Kuasa Allah s.w.t. Tatkala Allah
s.w.t berkuasa menciptakan hamba-Nya tatkala
itu juga Dia berkuasa mematikannya. Tatkala Dia
berkuasa menciptakan alam tatkala itu juga Dia
berkuasa mengkiamatkannya. Kuasa Mutlak tidak
berjalan mengikut susunan. Pada Kuasa Mutlak
tidak ada suasana bergerak langkah pertama
dahulu baharu bergerak langkah ke dua. Bagi
Kuasa Mutlak langkah awal dengan langkah akhir
adalah yang sama. Pada Kuasa Mutlak tidak ada
jarak tindakan-Nya menciptakan alam dengan
tindakan-Nya mengadakan kiamat terhadap
alam. Jarak, ruang dan masa menguasai makhluk
yang tidak mutlak. Allah s.w.t Yang Mutlak tidak
dikongkong oleh jarak, ruang dan masa. Keadaan
yang demikian dipanggil Berdiri Dengan Sendiri.
Kudrat: Kuasa, iaitu kuasa Allah s.w.t.
kufur syariat: Perlakuan yang jelas memesong
akidah yang menyebabkan seseorang itu
terkeluar daripada agama Islam, misalnya
sengaja menghalalkan perkara yang diharamkan
oleh Allah s.w.t.
kufur tarekat: Kufur tarekat berlaku di luar
kesedaran dan kawalan orang yang sedang
dikuasai oleh jazbah. Dalam suasana yang
demikian orang yang berkenaan mungkin
mengeluarkan perkataan yang menyalahi syariat
seperti mengakui persamaan wujud hamba
dengan Wujud Tuhan. Oleh kerana perkara
tersebut berlaku diluar kesedaran dan
kawalannya maka kesalahannya itu perlu
dimaafkan, tetapi ianya tidak boleh diikuti oleh
orang lain yang di dalam kesedaran biasa.
Kursi: Arasy menjadi benteng yang kukuh
menghijab makhluk daripada Tuhan. Tanpa hijab
Arasy kewujudan makhluk akan hancur kerana
tidak tahan menerima tajalli Tuhan. Kursi pula
menjadi benteng yang kukuh menghalang
pencerobohan makhluk terhadap
perbendaharaan Tuhan seperti Lohmahfuz.
Makhluk yang menerima perintah mendiami
ruang di bawah daripada Kursi. Tidak ada
daripada kalangan makhluk ini yang mampu
menembusi Kursi untuk mengambil sesuatu
daripada perbendaharaan Tuhan. Hanya makhluk
yang menjalankan Urusan Tuhan diizinkan
mengambil perintah Tuhan yang dibentengi oleh
Kursi. Jadi, Kursi menjadi hijab atau benteng
yang memisahkan golongan makhluk yang
membawa urusan Tuhan dengan makhluk yang
menanggung kewajipan menjalankan perintah
Tuhan.
Lahut/Alam Lahut: Makam zat Allah s.w.t
yang tidak mampu diceritakan.
latah: Ucapan yang menyalahi syariat yang
muncul daripada orang yang sedang mengalami
jazbah atau zauk, misalnya ucapan, “Ana al-
Haq”. Oleh kerana ucapan yang demikian keluar
di luar kesedaran dan kawalannya, maka orang
yang berkenaan berhak dimaafkan tetapi orang
yang sengaja mengucapkan yang demikian di
dalam kesedaran biasa berhak dihukum kufur.
latifah: Unsur seni yang ghaib dan tidak dapat
dijangkau oleh pancaindera, akal dan khayalan.
Latifah Akhfa: Ia adalah Latifah atau unsur
nurani yang paling dalam. Kesedaran kebatinan
pada tahap Latifah Akhfa menghilangkan sifat-
sifat yang menghijabnya iaitu sifat Rabbaniah
(ketuhanan) yang tidak layak dipakai oleh
makhluk. Sifat tersebut melahirkan rasa
sombong, ujub dan riak. Apabila tenaga ibadat
dan zikir berjaya membebaskan Latifah Akhfa
daripada sifat rabbaniah akan muncullah sifat
kebaikan seperti ikhlas dan tawaduk yang
sebenarnya. Kesedaran dalam daerah ini
membuat seseorang gemar bertafakur. Dalam
kesedaran Latifah ini juga hati mengalami rasa
kasih, keasyikan dan kerinduan yang bersangatan
terhadap Rasulullah saw. Ucapan selawat
merupakan ucapan yang sangat merdu dan
mengasyikkan. Keasyikan terhadap Rasulullah
saw dalam daerah Latifah Akhfa ini juga
membuat seseorang mengalami suasana
‘pertemuan’ dengan rohani Rasulullah saw sama
ada dalam mimpi atau pun dalam jaga. Pada
tahap ini juga muncul Cinta Allah yang lebih
halus dan lebih seni yang membawa hati
bermuraqabah atau berhadap kepada Allah s.w.t
semata-mata, tidak kepada selain-Nya.
Latifah Kalbu: Nur Ilahi menjadi sumber
kepada semua kewujudan dan penghidupan.
Apabila berhubung dengan alam unsur kesan
atau bakat nur Ilahi itu dinamakan Latifah
Rabbaniah. Latifah Rabbaniah yang berkait
dengan hati nurani dinamakan Latifah Kalbu. Ia
merupakan induk kepada semua Latifah. Ia
adalah umpama badan bagi semua unsur nurani
atau rohani. Ia menjadi raja yang memerintah
sekalian anggota tubuh manusia. Ia juga menjadi
tilikan Allah s.w.t. Jika baik ia maka baiklah
sekalian anggotanya. Ia dibungkus oleh alam
perasaan yang berbolak-balik. Kesungguhan
beribadat dan berzikir membebaskan Latifah
Kalbu daripada hijab alam perasaan. Bila ia
bebas daripada tutupan alam perasaan maka ia
akan menghadap kepada alam ghaib dan
menerima ilham yang bebas daripada bisikan
syaitan. Hati yang bebas daripada bisikan syaitan
dapat menghadap kepada Allah s.w.t dengan
tenang.
Latifah Khafi: Unsur nurani yang lebih
mendalam daripada Latifah Sir. Latifah ini
dihijabkan oleh sifat syaitaniah yang menerbitkan
perasaan dengki, khianat dan busuk hati. Apabila
tenaga ibadat dan zikir yang dilakukan dengan
bersungguh-sungguh berjaya menghancurkan
sifat syaitaniah, akan muncullah sifat Latifah yang
asli iaitu sabar, syukur, reda dan tawakal yang
sebenarnya. Kesedaran pada tahap Latifah Khafi
membuat seseorang memperolehi kekuatan
rohani untuk menghampiri Allah s.w.t dan pada
tahap Latifah ini juga selalu muncul perkara yang
luar biasa seperti kebolehan mengubati penyakit
dan mempunyai firasat yang tajam, walaupun
bidang tersebut tidak pernah dipelajarinya.
Kebolehan yang demikian adalah kurniaan Allah
s.w.t semata-mata.
Latifah Kullu Jasad: Latifah Rabbaniah yang
menguasai sekalian jasad. Latifah ini dihijab oleh
sifat lalai dan jahil. Setelah tenaga zikir berjaya
memecahkan hijab tersebut akan lahirlah sifat
beramal dan bermakrifat. Apabila Latifah Kullu
Jasad sudah terlepas daripada hijab kelalaian
dan kejahilan, maka sekalian anggota akan
tunduk dan ikut serta dalam kegiatan ibadat.
Kejeliraan ibadat dan zikir akan turut dirasakan
oleh sekalian anggota tubuh badan.
Latifah Nafsu Natiqah: Latifah Rabbaniah
yang menguasai otak manusia. Otak manusia
berfungsi ataupun manusia mempunyai akal
kerana Latifah Nafsu Natiqah ini. Kadang-kadang
manusia dipanggil haiwan yang pandai berfikir.
Keadaan tersebut ditujukan kepada Nafsu
Natiqah yang dimiliki oleh diri manusia itu. Nafsu
Natiqah dihijab oleh sifat-sifat ammarah. Apabila
berada dalam keadaan terhijab itulah akal
manusia tidak dapat digunakan untuk
menyaksikan sesuatu tentang Tuhan. Nafsu
Natiqah dibaluti oleh gambaran keduniaan dan
angan-angan yang menyenangkan hawa nafsu.
Jika ibadat dan zikir berjaya menghancurkan
hijab tersebut akan lahirkan sifat jiwa yang
tenang dan akal dapat merenung sesuatu tentang
Tuhan.
Latifah Rabbaniah: Perkara-perkara ghaib lagi
latif yang termasuk di dalam perkara urusan
Tuhan yang hakikatnya tidak diketahui oleh
manusia.
Latifah Roh: Salah satu bakat atau keupayaan
nurani yang ada pada Latifah Kalbu ialah Latifah
Roh. Ia dibahasakan sebagai roh haiwani atau
nyawa yang menghidupkan jasad. Apabila
Latifah Roh berhenti berfungsi maka jasad akan
mengalami kematian. Latifah Roh dibungkus oleh
sifat- sifat keji yang mengheret manusia untuk
memenuhi tuntutan syahwat tanpa menghiraukan
akibat dan dosa. Suasana Latifah Roh yang
tertutup itulah menyebabkan manusia mudah
terdorong kepada maksiat. Tenaga ibadat dan
zikir akan memecahkan tutupan tersebut dan
membebaskan Latifah Roh melahirkan bakat dan
keupayaannya yang kuat beribadat, bertawakal
dan reda dengan takdir Allah s.w.t. Kesedaran
pada tahap Latifah Roh ini membuatkan
seseorang melakukan ibadat dan berzikir dengan
banyaknya tanpa berasa penat dan jemu.
Latifah Sir: Unsur nurani yang lebih seni
daripada Latifah Roh adalah Latifah Sir. Ia
dibahasakan sebagai Roh Insan. Peranan Latifah
Sir inilah yang memastikan bahawa insan
menjadi insan, tidak menjadi makhluk lain dan
juga makhluk lain tidak menjadi insan. Latifah Sir
atau Roh Insani ini dihijab oleh sifat buruk yang
mendorong manusia bermusuhan sesama sendiri,
melakukan kezaliman, berdendam dan saling
membenci. Apabila sifat-sifat ini dihancurkan
dengan tenaga ibadat dan zikir akan muncullah
sifat Latifah Sir yang asli iaitu mencintai Allah
s.w.t dengan teramat sangat. Kesedaran
kebatinan pada tahap Latifah Sir inilah yang
sering membuat hati gilakan Allah s.w.t hingga
ke tahap tidak rasional.
lawwamah: Nafsu lawwamah.
mabuk: Keadaan orang yang di dalam jazbah.
Dia lupa kepada dirinya tetapi pancainderanya
masih aktif. Hati nuraninya dikuasai oleh hal
ketuhanan yang berbeza dengan sifat
kemanusiaan. Oleh yang demikian lahirlah
perbuatan dan perkataan yang menyalahi
peraturan kemanusiaan.
mahabbah: Cinta.
majnun: Gila.
majzub: Orang yang mengalami jazbah.
makam: Hati hamba menjadi tempat curahan
kurniaan Allah s.w.t. Dikurniakan-Nya berbagai-
bagai hal kepada hati hamba-Nya. Kurniaan yang
demikian adalah semata-mata kerana rahmat
dan belas kasihan-Nya kepada hamba-Nya.
Hamba tidak berupaya mendapatkan yang
demikian dengan amal dan ilmunya. Tetapi
apabila kurniaan tersebut diterima oleh hati,
maka si hamba perlu mengambil langkah yang
sesuai bagi menetapkan hal berkenaan pada
hatinya. Apabila hal kurniaan Allah s.w.t itu
menetap di dalam hati. Hal yang telah
diserapkan menjadi makam akan membentuk
sifat dan keperibadian khusus dan berterusan
menurut hal berkenaan.
makam abid: Ada sebahagian daripada
hamba-Nya dikurniakan hal merasakan
kehambaan yang sangat kuat terhadap Allah
s.w.t. Hal yang demikian membuatkan si hamba
itu mempergiatkan amal ibadatnya. Setelah
keadaan yang demikian sebati dengannya akan
terbentuklah sifat dan keperibadian yang teguh
kehambaannya dan kuat ibadatnya. Suasana
yang demikian dinamakan makam abid.
makam al-buhut: Hamba yang sampai kepada
penghujung jalan ilmu dan makrifat akan
menemui suasana kehairan-hairanan tentang zat
Ilahiat yang tidak mampu dihuraikan oleh ilmu
dan tidak mampu diperkenalkan oleh makrifat.
Bila suasana demikian menguasai jiwa raganya
dia dikatakan memperolehi makam al-buhut.
makam alif: Suasana hati yang menghadap
Tuhan dengan tetap, tidak teringat kepada
sesuatu yang lain.
makam Amin: Orang yang lulus ujian iman dan
menetap di atas jalan takwa memperoleh
kesejehteraan dan ketenangan. Suasana yang
demikian dinamakan makam Amin. Imannya telah
teguh, tidak dapat digoncangkan oleh sesuatu.
makam arifbillah: Setelah melepasi peringkat
kehairan-hairanan si hamba dibawa kepada ilmu
dan makrifat yang berbeza dengan yang
sebelumnya. Pada tahap ini si hamba mendapat
pengetahuan tentang Allah s.w.t secara
mengetahui tetapi tidak ada pengetahuan
tentang-Nya namun, keyakinannya teguh bahawa
Allah s.w.t yang diketahuinya. Dia juga
memperolehi makrifat secara mengenali Allah
s.w.t tetapi tiada sebarang pengenalan tentang-
Nya, tetapi keyakinannya teguh bahawa Allah
s.w.t yang dikenalinya. Dia dikatakan melihat
Allah s.w.t secara tanpa huruf, tanpa suara,
tanpa ibarat dan tanpa sesuatu yang boleh
disifatkan. Hamba yang mengenali Allah s.w.t
pada tahap demikian dikatakan mencapai
makam arifbillah.
makam asbab: Manusia dikelilingi oleh
perjalanan hukum sebab musabab dan mereka
mengambil bahagian dalam sistem tersebut.
Mereka melihat kekuatan hukum sebab dalam
menghasilkan akibat. Bila keyakinan sudah
penuh terhadap keberkesanan hukum sebab-
akibat itu menguasai hati maka mereka dikatakan
berada dalam makam asbab.
makam baqa: Kebaqaan adalah suasana
kerohanian yang muncul selepas suasana
kefanaan. Dalam proses menaik, iaitu kefanaan,
berlaku pelepasan benda-benda alam, makhluk
dan diri sendiri daripada kesedaran hati
seseorang. Kehendak diri sendiri juga terhapus.
Pada kemuncak kefanaan seseorang tidak ingat
dan tidak menyedari tentang sesuatu melainkan
Allah s.w.t. Selepas peringkat kemuncak
kefanaan itu, ingatan dan kesedarannya terhadap
dirinya dan makhluk lain kembali sedikit demi
sedikit. Pada tahap ini walaupun dia melihat,
menyedari dan mengingati dirinya dan makhluk
namun, hatinya masih lagi kuat dikuasai oleh hal
ketuhanan yang menyebabkan dia melihat
suasana kekekalan dirinya dengan Tuhan. Dia
masih melihat persamaan wujudnya dengan
Wujud Tuhan. Suasana yang demikian dinamakan
makam baqa. Setelah melepasi makam baqa ini
baharulah hamba dapat membezakan
sepenuhnya wujud makhluk dengan Wujud
Tuhan.
makam fana: Suasana terhapusnya kesedaran
terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya,
yang ada hanyalah Allah s.w.t.
makam hakikat: Suasana yang ada
pengalaman mengenai hal-hal ketuhanan seperti
menyaksikan suasana ilmu Tuhan atau urusan
pentadbiran Tuhan. Orang yang berada pada
makam hakikat hanya melihat Tuhan, dengan
Tuhan dan kepada Tuhan.
makam Hakikat Muhammad: Nur Allah
merupakan sumber kepada segala kewujudan.
Setiap makhluk yang Tuhan ciptakan adalah
berdasarkan hakikat berkenaan yang ada pada
sisi Allah s.w.t. Hakikat yang ada pada sisi Allah
s.w.t itu adalah terjemahan kepada keadaan Nur
Allah s.w.t. Kesemua hakikat-hakikat tersebut
menceritakan sebahagian daripada keadaan Nur
Allah s.w.t kecuali satu hakikat. Hakikat yang
satu ini merupakan terjemahan sepenuhnya
mengenai Nur Allah s.w.t. Hakikat yang
mendapat penguasaan Nur Allah s.w.t secara
keseluruhan itu adalah hakikat yang berdasarkan
kepadanya Nabi Muhammad s.a.w diciptakan
dan ia dinamakan Hakikat Muhammad. Jadi,
Hakikat Muhammad merupakan hakikat yang
menyeluruh sementara hakikat-hakikat yang lain
adalah umpama cabang-cabangnya. Oleh yang
demikian terdapat ‘jambatan’ di antara hakikat-
hakikat yang lain dengan Hakikat Muhammad.
Oleh kerana susunan hakikat yang demikian,
maka ada dari kalangan hamba-hamba Allah
yang dapat menyeberangi jambatan tersebut
untuk sampai kepada Hakikat Muhammad.
Keadaan ini berlaku dalam pengalaman
kerohanian semata-mata, bukan perjalanan
secara nyata. Hamba yang mengalami suasana
demikian dikatakan mencapai makam Hakikat
Muhammad. Pada makam ini hati si hamba
dikuasai oleh rasa kecintaan teramat sangat
kepada Allah s.w.t dan rasa yang demikian
membuat hatinya berhadapan sepenuhnya
dengan Allah s.w.t.
makam hamba pilihan: Hamba yang dipilih
oleh Allah s.w.t untuk memikul sesuatu tugas
akan dibawa kepada jalan yang akan
memantapkan kerohaniannya sehingga dia layak
memikul tugas berkenaan. Dalam proses
tersebut si hamba dihadapkan dengan ujian bala
bencana. Tujuan bala tersebut bukanlah untuk
memusnahkan si hamba itu tetapi untuk
membentuk dirinya. Oleh yang demikian Allah
s.w.t memperkuatkan hamba-Nya itu dengan
bekalan kesabaran. Kesabaran dalam
menghadapi ujian merupakan latihan yang sangat
berkesan membentuk kerohanian seseorang.
Dalam menuju kemantapan si hamba dibekalkan
pula dengan kekuatan reda. Bila kerohaniannya
sudah cukup mantap dicanai oleh keredaan dia
menetap dalam suasana yang dipanggil makam
hamba pilihan. Dalam suasana ini dia sudah
benar-benar bersedia untuk memikul beban
tugas yang Allah s.w.t sediakan untuknya.
makam ihsan: Apabila hati seseorang hamba
itu dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada
setiap masa maka ia dikatakan mencapai makam
ihsan.
makam ikhlas: Ikhlas peringkat pertama
adalah ikhlas yang dipaksakan samada sebelum
melakukan sesuatu perbuatan ataupun sesudah
melakukannya. Seseorang itu perlu mengingatkan
dan mengawasi hatinya agar keikhlasan tidak
dirosakkan oleh ungkitan ataupun perasaan riak.
Setelah keikhlasan sudah menjadi sifat dan
keperibadian, seseorang itu tidak perlu
memperingatkan dan mengawasi hatinya
daripada anasir yang merosakkan keikhlasan itu,
malah tidak terlintas pada hatinya tentang
perbuatannya itu ikhlas atau tidak. Hamba yang
sudah benar kedudukannya dengan Tuhannya
akan memiliki keikhlasan secara spontan pada
setiap amalannya tanpa dia perlu
memperjelaskan niatnya. Suasana yang demikian
dinamakan makam ikhlas.
makam insan: Setelah melepasi peringkat fana
dan baqa dalam perjalanan kerohanian
seseorang salik itu kembali kepada kesedaran
manusia biasa, iaitu dia kembali kepada makam
insan.
makam Jabarut: Dalam perjalanan menaik
kerohanian salik akan sampai kepada peringkat
penguasaan sifat Tuhan terhadap hatinya. Dia
dikatakan memasuki makam jabarut.
makam kalbu: Apabila salik dapat melepaskan
pengaruh alam benda dan tarikan hawa nafsu
daripada hatinya, dia masuk kepada kesedaran
hati. Dia dikatakan mencapai makam kalbu.
makam keesaan: Allah s.w.t adalah Tuhan
Yang Maha Esa. Kekuatan akal dan khayal tidak
mampu menyingkap atau menghuraikan keadaan
keesaan Tuhan itu. Keesaan Tuhan tersingkap
melalui pengalaman kerohanian. Dalam suasana
keesaan itu seseorang diizinkan merasai
ketiadaan diri dan segala yang lain, yang ada
hanyalah Allah s.w.t.
makam kehambaan: Keadaan orang yang
menyaksikan kehambaan dirinya dan ketuhanan
Allah s.w.t.
makam kehampiran: Suasana hati yang
merasai kehampiran dengan Allah s.w.t.
makam ketuhanan : Hal-hal atau keadaan
ketuhanan. Sebahagian orang mengalami jazbah
dan merasai hal-hal atau keadaan tersebut.
makam keteguhan: Sebelum mencapai satu
tahap kematangan kerohanian, hati salik berada
dalam keadaan berbolak-balik. Keresahan dan
dukacita masih berpeluang memasuki hatinya.
Setelah dia melepasi peringkat tersebut
kesabaran, penyerahan dan keredaannya kepada
Allah s.w.t menjadi teguh. Dia memasuki makam
ketetapan yang penuh dengan ketenangan.
makam kewalian: Hamba yang sampai
kepada makam ketetapan dibawa kepada
penjagaan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Tuhan
memelihara hatinya dan anggotanya daripada
melakukan maksiat. Dia dipermudahkan
melakukan ibadat dan kebajikan. Apa sahaja
yang sampai kepadanya sudah ditapis. Dia
hanya menerima yang bersih dan tiada
kemudaratan sahaja. Apabila dia terbabas
kepada melakukan kesalahan dia dengan segera
dibawa kembali kepada jalan yang benar.
Suasana demikian dinamakan makam kewalian.
makam khalifah: Kedudukan yang layak
menjadikan seseorang khalifah kerohanian yang
boleh membimbing orang lain.
makam Lahut: Hal Zat Allah s.w.t yang
melepasi semua penyifatan.
makam mahabbah: Apabila hati hamba
mempunyai pertalian dengan hakikat dirinya dan
terbuka hubungan dengan Hakikat Muhammad
akan memancarlah nur yang membukakan rasa
cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah
s.w.t. Dia dikatakan mencapai makam
mahabbah.
makam makrifat: Hamba yang sudah sampai
kepada peringkat mengenal Allah s.w.t secara
hakiki dikatakan memperolehi makam makrifat.
makam melihat Allah s.w.t.: Hati yang
akrab dengan Allah s.w.t berada dalam keadaan
menyaksikan sesuatu mengenai-Nya pada setiap
masa dan setiap suasana. Dia menyaksikan
sesuatu mengenai Allah s.w.t pada dua perkara
yang bertentangan dengan sekali pandang.
Perjalanan hukum sebab musabab dan
pergerakan makhluk di dalamnya tidak menutup
pandangannya daripada menyaksikan rububiah.
Dia dikatakan mencapai makam melihat Allah
s.w.t. Melihat-Nya bukanlah dengan mata di
kepala tetapi ia adalah penyaksian mata hati
yang lahir daripada kecintaan dan kerinduan
kepada-Nya.
makam Mukmin: Apabila kecintaan terhadap
Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada
jalannya melebihi daripada segala-galanya maka
layaklah seseorang muslim itu disebut sebagai
berada pada makam Mukmin.
makam muqarrabin: Hati yang sudah
melimpah-ruah dengan Nur Ilahi akan merasakan
keakraban dengan-Nya. Tidak ada lagi hijab dan
jarak yang memisahkan di antara hamba dengan
Tuhan. Allah s.w.t disaksikan di mana-mana,
pada segala sesuatu dan pada setiap waktu. Apa
sahaja yang dipandang menjadi cermin untuk
melihat sesuatu mengenai-Nya. Apa sahaja yang
sampai kepada hati adalah umpama tutur-kata-
Nya. Beginilah suasana hati yang merasai
kehampiran dan keakraban dengan Tuhan atau
yang sampai kepada makam muqarrabin.
makam Muslim: Apabila seseorang Islam
dapat berpegang teguh dengan peraturan Islam
dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin
maka layaklah dia mendapat makam Muslim.
makam musyahadah: Keakraban dan
kehampiran dengan Allah s.w.t membawa hati si
hamba kepada hal atau suasana kerohanian yang
dipanggil saling berhadapan dan berpandangan
dengan Tuhan. Inilah makam musyahadah.
makam muttaqin: Apabila sifat ketakwaan
sudah teguh seseorang hamba itu mencapai
makam muttaqin.
makam nafsu: Sifat nafsu boleh dibahagikan
kepada dua peringkat iaitu nafsu yang keji dan
nafsu yang terpuji. Jika sifat nafsu yang keji
menguasai hati maka hati itu berada dalam
makam nafsu yang keji. Jika sifat nafsu yang
terpuji menguasai hati maka hati berada dalam
makam nafsu yang terpuji. Makam nafsu yang
paling keji ialah nafsu ammarah. Makam nafsu
yang terpuji ialah muthmainnah ke atas. Nafsu
yang keji menghijab hati daripada menerima nur
dari alam ghaib, dengan demikian menghalang
cahaya iman daripada memasuki hati.
makam penetapan : Apabila pencarian telah
berakhir dan pengalaman kerohanian telah
menemukan Yang Haq maka seseorang itu
mendapat kepastian mengenai ketuhanan dan
kehambaan yang telah mengelirukannya dahulu.
Ketika mencari pandangannya masih diliputi oleh
keraguan dan ketidak-pastian. Dia masih
‘memandang ke atas’ atau dalam keadaan
mencari atau menanti yang dia sendiri tidak tahu
apa yang dicari dan dinanti. Bila Kebenaran
Hakiki dibukakan kepadanya dia mendapat
keyakinan dengan pegangan atau iktikadnya dan
ianya tidak bergoncang lagi. Dia dikatakan
memperolehi makam penetapan.
makam penyaksian: Pada makam penyaksian
mata hati sentiasa memandang kepada Allah
s.w.t. Apa sahaja yang dilihat dan dihadapi
membuka pandangan hati kepada sesuatu yang
mengenai Tuhan, seperti nama-Nya, sifat-Nya,
kebesaran-Nya, kemuliaan-Nya dan lain-lain.
Pada makam ini Allah s.w.t dikenali melalui dua
perkara yang bertentangan. Pertentangan
tersebut tidak menutup pandangan hati untuk
melihat kehadiran Allah s.w.t pada kedua-dua
perkara tersebut. Apabila kehadiran Allah s.w.t
dapat disaksikan atau dirasakan pada dua
perkara yang berlawanan dengan sekali
pandang, maka seseorang itu dikatakan berada
pada makam penyaksian.
makam pilihan: Apabila Allah s.w.t memilih
seseorang hamba-Nya bagi sesuatu tujuan
menurut kehendak-Nya, si hamba itu akan
dibawa melalui berbagai-bagai proses dan
latihan kerohanian sehingga dia berada dalam
keadaan layak dan kuat untuk menanggung
beban tugas yang akan Allah s.w.t letakkan di
atas bahunya. Hamba yang sudah layak memikul
tugas itu dikatakan berada pada makam pilihan.
Dia dipilih oleh Allah s.w.t untuk melaksanakan
sesuatu urusan-Nya demi kebaikan agama-Nya
dan makhluk-Nya.
makam reda: Setelah hamba berjaya melepasi
ujian dengan kesabaran yang teguh dia masuk
pula kepada suasana reda dengan takdir Allah
s.w.t. Bila sifat reda sudah teguh pada hatinya
dia mencapai makam reda.
makam roh: Roh atau rohani pada asal
kejadiannya adalah suci bersih. Percantuman
dengan jasad menyebabkan wujud hijab-hijab
yang menutup keaslian roh itu. Setelah melalui
beberapa proses dan latihan kerohanian hijab-
hijab tersebut dapat disingkapkan. Keaslian roh
muncul semula. Semua ini dinamakan makam
roh.
makam sabar: Hati yang teguh dengan sifat
kesabaran berada dalam makam sabar.
makam siddiqiyat: Makam orang yang benar,
iaitu orang yang bersesuaian kehendaknya dan
pebuatannya dengan kehendak Allah s.w.t dan
peraturan agama-Nya.
makam Sir: Bila hati kembali kepada kesucian
dan kemurniaannya yang asli dan kembali
memakai sifat rohani yang sejati, ia dikatakan
berada pada makam sir.
makam syuhud: Makam syuhud adalah
makam penyaksian iaitu menyaksikan rububiah
pada setiap waktu dan semua suasana.
makam takdir: Apabila hamba reda
sepenuhnya kepada kehendak dan ketentuan
Allah s.w.t dia dikatakan mencapai makam
takdir. Kesenangan dan kesusahan menjadi dua
perkara yang serupa baginya, iaitu takdir Tuhan
untuknya.
makam tajrid: Suasana hati yang bergantung
sepenuhnya kepada Allah s.w.t, teguh dengan
sifat-sifat sabar, tawakal, reda dan ikhlas
kepada-Nya. Karenah makhluk dan teka teki
sebab musabab tidak melemahkan pergantungan
dan penyerahannya kepada Allah s.w.t.
makam tauhid sifat: Pada makam tauhid sifat
hamba menyaksikan kesempurnaan dan keelokan
sifat Allah s.w.t. Dia tidak melihat ada makhluk
yang berkuasa mendatangkan kemudaratan dan
kemanfaatan kepada sesiapa pun. Penyaksian
hatinya adalah Allah s.w.t jualah yang berkuasa
dan Dia jualah yang hidup. Dia Berdiri Dengan
Sendiri dengan segala sifat kesempurnaan-Nya.
makam tiada doa: Bila ingatan dan kesedaran
terhadap diri sendiri serta kehendak diri sudah
lebur di dalam hal ketuhanan tidak ada apa lagi
yang mendorong si hamba berdoa kepada Tuhan.
Bila dirinya dikembalikan bersama-sama
kehendaknya dia kembali kepada suasana yang
ada permintaan dan doa.
makrifat: Pengenalan terhadap hakikat-hakikat
yang dialami oleh hati yang membawa kepada
pengenalan terhadap Tuhan. makrifat diperolehi
setelah terjadinya kasyaf, iaitu pembukaan
kepada keghaiban.
makrifatullah: Hasil daripada pengalaman
mengenai hakikat-hakikat seseorang hamba itu
memperolehi makrifatullah, iaitu mengenal Allah
s.w.t sekadar yang Dia mahu diri-Nya dikenali.
makruf: Perbuatan baik yang sesuai dengan
nilai-nilai murni kemanusiaan yang dilakukan
kerana mentaati perintah Allah s.w.t.
malakut: Malaikat. Alam malakut adalah alam
malaikat.
mansuh: Dibatalkan.
mardhiah: Nafsu mardhiah.
mata hati: Kebolehan atau bakat untuk
menyaksikan perkara ghaib dan hal-hal
ketuhanan yang ada pada hati, juga kebolehan
hati untuk mengenal hakikat sesuatu.. Mata hati
dapat melihat kejahatan syaitan sekalipun syaitan
datang sebagai orang yang kelihatan alim dan
warak. Lebih penting lagi mata hati mampu
menyaksikan sesuatu mengenai Tuhan pada
sesuatu perkara dan kejadian yang
disaksikannya. Walaupun digunakan istilah mata
hati tetapi ianya bukanlah bakat melihat seperti
mata zahir di kepala. Mata hati melihat dan
mendengar sekaligus. Suasana alam ghaib
bukanlah seperti alam nyata. Rupa dan bahasa
alam ghaib tidak sama dengan rupa dan bahasa
alam nyata. Walaupun rupa dan bahasanya
berbeza namun, mata hati boleh mengenal rupa
tersebut dan memahami bahasa berkenaan.
Keadaannya samalah seperti orang yang
bermimpi menemui seseorang yang lain. Orang
yang bermimpi itu mengenali orang yang
ditemuinya itu walaupun orang tersebut tidak
memperkenalkan dirinya. Orang yang bermimpi
itu juga mengetahui apa yang diberitahu oleh
orang yang berkenaan walaupun orang tersebut
tidak berkata apa-apa. Demikianlah halnya mata
hati, melihat dan mendengar sekaligus,
mengenali dan memahami apa yang ditemuinya.
mati hisi: Dalam suasana ini apa juga yang
mengisi alam ini lenyap dari alam perasaan.
Tidak ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa,
ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia
mengalami suasana yang kosong, tiada isi, tiada
rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan
apa-apa. Hatinya dikuasai oleh Wujud Allah s.w.t
semata-mata, tidak ada yang lain. Keadaan
kerohanian pada peringkat ini adalah
menyaksikan zat yang kosong dari makhluk, yang
maujud hanya Allah s.w.t.
mati maknawi : Apabila seseorang sampai
kepada peringkat keasyikan terhadap sifat Allah
s.w.t bakat diri zahirnya dikuasai oleh bakat diri
batin atau hati nuraninya. Penglihatan mata zahir
dikuasai oleh penglihatan mata hati. Benda-
benda alam tidak lagi menarik perhatiannya.
Sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada
hatinya ketika mata hatinya memandang kepada
sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna dan
Kekal. Kesedaran pancainderanya hilang dan dia
dikuasai oleh suasana sifat Allah s.w.t. Kefanaan
pada peringkat ini membuat seseorang melihat
kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat kepada
jasad yang akan binasa dan tidak juga kepada
dunia yang bersifat sementara. Dia dikuasai oleh
suasana rohani sepenuhnya
mati surri: Pengaruh nur dari alam ghaib
kepada hati menyebabkan segala kewujudan
yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus
dari alam perasaan atau hati. Hatinya dikuasai
oleh suasana alam ghaib yang bersifat nur.
Dalam suasana demikian pengaruh nama Allah
s.w.t sangat memberi bekas pada hatinya. Orang
yang mengalami kefanaan ini sudah terputus dari
sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan
yang ganjil dan aneh, tidak secucuk dengan
tatasusila dan adab masyarakat. Percakapannya
sukar dimengerti dan kadang-kadang
menyinggung perasaan orang lain. Mungkin juga
terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada
zahirnya bersalahan dengan syariat.
mati tabii: Apabila hati seseorang mendapat
keasyikan terhadap hal ketuhanan fikiran dan
pancainderanya menjadi tidak aktif. Pendengaran
dan penglihatan zahir tidak memberi kesan
kepada hati dan fikiran. Pemikiran, perasaan dan
keinginannya tidak memberi bekas kepada
hatinya. Dia melihat kelakuan dirinya terjadi
diluar kawalannya dan dia tidak berupaya
menyekat apa yang mahu terjadi itu. Dia
merasakan seolah-olah kuasa ghaib
mengheretnya untuk berbuat sesuatu dan dia
tidak berupaya menentang kuasa tersebut.
Hubungan hatinya dengan Allah s.w.t sangat erat
hinggakan setiap kali dia menyebut Allah hatinya
merasakan seolah-olah Allah menjawab
seruannya itu. Pada peringkat ini kesedaran diri
lenyap di dalam lakuan Allah s.w.t. Hatinya
menghayati bahawa Allah s.w.t jualah yang
berkuasa melakukan segala sesuatu.
Mikraj: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul
Makdis naik ke alam langit-langit, sampai ke
Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam
Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di
Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah
sembahyang fardu.
muazzin: Juru bang.
mubah: Perkara yang pada dasarnya adalah
halal tetapi dikhuatiri bercampur dengan perkara
yang haram.
Muhajirin: Orang yang berhijrah dari Makkah ke
Madinah.
mujahadah: Perjuangan mengawal hawa nafsu
dan membuang sifat-sifat yang tercela,
menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.
mulhid: Orang yang berpegang kepada fahaman
wahdatul wujud dan membuang syariat hanya
sekadar bersandar kepada ilmu tanpa melalui
pengalaman kerohanian mengenai hakikat.
muqarrabin: Orang yang merasakan akan
kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika.
muridin: Sama seperti salik.
mursyid: Guru yang arif mengenai syariat zahir
dan syariat batin dan juga mengamalkan kedua-
duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis
ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia
memahami selok-belok perjalanan kerohanian
dan mampu menghuraikan pengalaman-
pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh
muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian
memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca
perkembangan pemikiran dan jiwa muridnya.
Bakat tersebut memudahkan mursyid itu
membimbing muridnya.
musyahadah: Saling berhadapan, iaitu hamba
berhadapan dengan Tuhan. Apa yang berlaku
bukanlah berhadapan secara langsung. Ia adalah
pengalaman kerohanian yang menyentuh hal
ketuhanan. Tuhan membukakan hijab supaya
hamba dapat mengenali-Nya sekadar yang Dia
mahu diri-Nya dikenali.
muttakhaliq: Orang yang memasuki alam
kerohanian dan mengalami hal ketuhanan. Sifat,
keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya
berubah. Segala sesuatu diisbatkannya kepada
Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat
dan Tuhan yang menggunakan alat ataupun dia
melihat Tuhan mengurniakan kepadanya alat dan
dia sendiri yang menggunakan alat tersebut.
muttaqin: Orang yang menjalankan perintah
Allah s.w.t dengan tepat dan bersungguh-
sungguh meninggalkan larangan-Nya, iaitu orang
yang bertakwa.
muwahhid: Orang yang dikuasai oleh hal di
mana kesedaran dan ingatannya terhadap dirinya
dan sekalian makhluk sudah tidak ada lagi. Dia
dikuasai oleh suasana ‘Allah’ semata-mata. Dia
melihat ‘Allah’, mendengar ‘Allah’ dan merasa
‘Allah’ pada semua perkara dan ketika.
mazhab: Aliran kefahaman mengenai agama.
Mikraj: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul
Makdis naik ke Alam Langit-langit, sampai ke
Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam
Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di
Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah
sembahyang fardu.
Muhajiirin: Orang yang berhijrah dari Makkah
ke Madinah.
mujahadah : Perjuangan mengawal hawa nafsu
dan membuang sifat-sifat yang tercela,
menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.
Mujahidin: Tentera yang berjuang demi jihad
pada jalan Allah s.w.t.
mujtahid: Orang yang berkelayakan untuk
berijtihad.
muktabar: Kedudukan atau kebolehan yang
diperakui oleh orang-orang yang mempunyai ilmu
dalam bidang berkenaan.
mulhamah: Nafsu mulhamah.
mumkinul wujud: Wujud makhluk.
munafik : Munafik kelas pertama muncul di
Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Ubai. Mereka
menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka tidak memperakui bahawa wahyu itu
datangnya dari Tuhan. Mereka beranggapan Nabi
Muhammad s.a.w hanyalah seorang manusia
biasa, bukanlah seorang rasul yang diutus oleh
Tuhan. Mereka beranggapan wahyu hanyalah
perkataan yang keluar daripada pemikiran Nabi
Muhammad s.a.w. Walaupun mereka menolak
kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan agama
yang baginda s.a.w bawa namun, suasana di
Madinah membuat mereka terpaksa menyertai
Islam. Mereka memeluk agama Islam secara
zahir sahaja sedangkan hati mereka menolaknya.
Mereka menjadikan Islam bukan sebagai agama
Tuhan, tetapi hanyalah sebagai sebuah
pertubuhan atau pergerakan kemanusiaan. Oleh
yang demikian mereka membuang ajaran dan
peraturan agama pada bila-bila masa sahaja
yang mereka suka. Mereka juga gemar
mempersendakan kepercayaan agama yang
mereka anggap lebih rendah daripada nilai-nilai
kemanusiaan yang ada dengan mereka. Sifat-
sifat munafik itu ‘berjalan’ dari satu generasi ke
generasi yang lain, hinggalah kepada generasi
sekarang. Kemunafikan yang ada bergantung
kepada kekuatan sifat-sifat munafik yang
menguasai hati. Jika sifat-sifat munafik itu
sampai kepada tahap mampu menutup hati
daripada melihat kebenaran ajaran dan peraturan
Islam maka sifat-sifat kemunafikan itu bertukar
menjadi kekufuran.
munkar: Perkara baik menurut nilai-nilai murni
kemanusiaan yang diperakui oleh ajaran agama
menjadi perkara makruf sementara perkara buruk
pula menjadi perkara munkar. Dalam agama,
perbuatan makruf berhak mendapat pahala dan
perbuatan munkar layak menerima dosa.
muraqabah: Kehampiran hati dengan Allah
s.w.t menyebabkan hati merasai bermuraqabah
atau berhadapan dengan Tuhan.
mursyid: Guru yang arif mengenai syariat zahir
dan syariat batin dan juga mengamalkan kedua-
duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis
ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia
memahami selok-belok perjalanan kerohanian
dan mampu menghuraikan pengalaman-
pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh
muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian
memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca
perkembangan pemikiran dan jiwa muridnya.
Bakat tersebut memudahkan mursyid itu
membimbing muridnya.
muta’allim: Orang yang menuntut ilmu.
muthmainnah: Nafsu muthmainnah.
Mutlak: Keadaan Tuhan yang Berdiri Dengan
Sendiri.
mutahaqqiq: Salik yang telah melepasi
peringkat fana dan baqa dan kembali kepada
kesedaran kemanusiaan seperti biasa.
Mutahaqqiq berkemampuan menguruskan
kehidupan di dalam dunia ini sebagaimana
seorang manusia biasa, tidak lagi terbawa-bawa
dengan kemabukan dan latah.
muttakhaliq: Muttakhaliq adalah orang yang
memasuki alam kerohanian dan mengalami hal
ketuhanan. Sifat, keperibadian, daya-rasa dan
daya-nilainya berubah. Segala sesuatu
diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada
melihat dirinya sebagai alat dan Tuhan yang
menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan
mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri
yang menggunakan alat tersebut.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar