Kamis, 31 Oktober 2013

MUKADIMAH


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi
Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah,
Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam
ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul,
Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian
keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w.
Segala puja dan puji sekaliannya hanya untuk
Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Agung, Maha
Tinggi, Maha Besar, Maha Perkasa, Maha Mulia
dan Maha Sempurna. Kami panjatkan syukur
atas segala rahmat, nikmat, taufik, hidayat dan
segala kurniaan-Mu yang tidak pernah putus
sejak zaman azali hinggalah kepada zaman
abadi. Walau bagaimanapun suci puji-pujian
kami terhadap diri-Mu namun, Engkau meninggi
dan melampaui apa yang kami ucapkan, rasakan
dan apa yang terlintas dalam fikiran dan
penghayatan kami. Sesungguhnya Engkau adalah
Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berdiri
Dengan Sendiri, Pencipta sekalian makhluk.
Walau bagaimana luas sekalipun kesyukuran
kami namun, ia hanyalah sezarah di dalam ruang
kurniaan-Mu. Kami sandarkan puji dan puja kami
terhadap-Mu kepada puji dan puja-Mu terhadap
diri-Mu sendiri agar apabila Engkau Memuji diri-
Mu Engkau mengingati pujian kami terhadap diri-
Mu. Kami sandarkan kesyukuran kami kepada
rahmaniat-Mu agar apabila Engkau meratai
segala kurniaan-Mu dengan rahmaniat-Mu,
Engkau mengingati kami yang bersyukur terhadap
segala kurniaan-Mu. Sebesar-besar kurniaan-Mu
kepada kami adalah Engkau utuskan kepada
kami kekasih-Mu, Nabi Muhammad s.a.w.
Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga
buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda
s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta
mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan
kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-
Nya serta berjihad pada jalan-Nya.
Wahai Tuhan kami! Dengan taufik dan hidayat-
Mu yang maha luas, dapatlah kami menyudahkan
penulisan kitab “Kebenaran Hakiki” ini selepas
lebih daripada tujuh tahun memulakannya.
Tempuh tujuh tahun lebih itu kami rasakan
seperti baharu kelmarin kerana setiap saat yang
kami gunakan dalam urusan-Mu Engkau payungi
kami dengan rahmat-Mu. Tidak ada pekerjaan
yang sukar dan berat apabila ia dilakukan demi
mematuhi perintah dan kehendak-Mu.
Ya Tuhan! Kami sujud ke Hadrat-Mu dan kami
mengaku bahawa sesungguhnya Engkau adalah
Tuhan dan kami adalah hamba-Mu. Apa juga
yang kami perolehi daripada nikmat ilmu, nikmat
zahiriah dan nikmat batiniah semuanya adalah
kurniaan-Mu. Segala kebaikan yang Engkau
kurniakan kepada kami, kami kembalikan
kepada-Mu. Segala keburukan dan kecacatan
yang keluar daripada kami adalah kerana
kegelapan hati kami. Kami memohon keampunan
dan kemaafan-Mu. Ampunkanlah juga dosa ibu-
bapa kami dan kasihanilah mereka sebagaimana
mereka menjaga kami dengan penuh kasih
sayang, wahai Tuhan Yang Ghafur.
Kami memulakan perjalanan kami sebagai orang
yang tidak mengetahui apa-apa tentang tarekat,
hakikat, makrifat, Sir dan lain-lain yang biasa
diperkatakan oleh orang-orang tasauf. Penggerak
kami adalah pembukaan daripada Allah s.w.t
Yang Maha Mengasihani. Ketika kami sedang
hanyut di dalam kelalaian arus angan-angan, Dia
dengan Kasihan Belas-Nya membawa kami
menghadap kepada-Nya. Apa yang telah
dibukakan kepada kami walaupun dalam tempoh
yang singkat tetapi memerlukan masa lebih
daripada tujuh tahun untuk memahami dan
menghuraikannya.
Dalam proses tersebut kami banyak bertanya
dan membaca buku-buku tasauf. Dalam
perjalanan kami, kami telah bertemu dengan
orang-orang yang membuang kehambaan dan
berpegang kepada fahaman penyatuan dengan
Tuhan. Kami temui kitab-kitab tulisan tangan
yang kononnya ilmu para wali. Apabila
mengambil perkataan orang yang demikian dan
kitab yang demikian, kami menjadi lebih keliru.
Dalam satu segi, diperkatakan tentang perjalanan
nafsu dan latihan kerohanian yang sama dengan
apa yang dikatakan oleh ulama tasauf yang
muktabar. Mereka menggunakan ayat-ayat al-
Quran dan kesah-kesah Rasulullah s.a.w juga,
tetapi di sana sini terdapat pemahaman
tersendiri mengenai maksud ayat-ayat al-Quran
dan ada pula cerita-cerita tentang Rasulullah
s.a.w yang tidak boleh ditemui dalam kitab-kitab
sejarah. Perkara yang paling mengelirukan
adalah yang mengenai akidah. Berpegang
kepada orang-orang yang demikian dan kitab-
kitab yang demikian membuat seseorang tidak
tahu di mana mahu diletakkan al-Quran dan al-
Hadis.
Kitab-kitab tasauf yang boleh didapati di kedai-
kedai buku, sebahagian daripadanya
memperbesarkan jazbah, zauk, fana, bersatu
dengan Tuhan dan baqa dengan Tuhan. Pada
satu peringkat kami menyangkakan bersatu
dengan Tuhan itulah tahap paling tinggi boleh
dicapai oleh manusia. Orang yang bersatu
dengan Tuhan itulah orang yang sudah benar-
benar ‘sampai’. Walaupun anggapan yang
demikian muncul di dalam hati tetapi di satu
bahagian hati yang tersembunyi menolak
anggapan tersebut.
Kami bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah
mempertemukan kami dengan kitab-kitab
karangan Imam Ibnu Athaillah, Syeikh
Muhammad Abdul Haq Ansari mengenai sufisma
yang dibawa oleh Syeikh Ahmad Sirhindi, Syeikh
Abdul Qadir Jilani, Imam an-Nafari dan lain-lain
yang telah membuka pandangan kami, dengan
izin Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t
mengurniakan rahmat yang berlimpah ruah
kepada arwah mereka sekalian.
Kitab al-Hikam karangan Imam Ibnu Athaillah
telah memainkan peranan yang penting kepada
kami dalam perjalanan mencari jawapan. Apa
yang kami temui melalui kata-kata hikmah Imam
Ibnu Athaillah itu telah kami susunkan dalam
bentuk buku yang kami beri jodol “Syarah al-
Hikam”.
Pandangan kami menjadi lebih jelas lagi setelah
membaca keterangan yang diberikan oleh Syeikh
Ahmad Sirhindi dalam kitab yang disusun oleh
Syeikh Muhammad Abdul Haq Ansari. Di atas
tapak yang dibina oleh Syeikh Ahmad Sirhindi itu
kami mempelajari sejarah kehidupan Rasulullah
s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w. Ia telah
memberi pemahaman yang tetap kepada kami.
Baharulah kami dengan yakin menolak kitab-
kitab yang diedarkan secara bersembunyi yang
kononnya atas alasan ilmu para wali tidak boleh
diberikan kepada orang ramai.
Apa yang kami temui dan kami fahamkan itu
kami tuliskan sebagai kitab “Kebenaran Hakiki”
ini. Semoga keterangan di dalamnya boleh
membantu saudara-saudara kami yang masih
mencari-cari.
Dengan segala kerendahan hati kami nyatakan
bahawa kami bukanlah dari golongan ulama
tasauf. Apa yang kami tuliskan adalah
berdasarkan pengalaman dan kajian kami.
Adalah lebih baik jika saudara-saudara yang
membaca kitab ini merujuk semula kepada orang
yang alim dalam bidang ini.
Kami serahkan pekerjaan kami kepada Allah
s.w.t. Segala kebaikan yang ada pada kitab ini
adalah hak Allah s.w.t. Kekurangan dan
kecacatannya adalah kerana kejahilan kami.
Segala puji dan puja hanya untuk-Nya.
Sesungguhnya Engkau yang memberi petunjuk
kepada hamba-hamba-Mu. Terimalah dan
berkatilah pekerjaan kami. Amin!
Penghargaan yang tidak terkira kami tujukan
kepada sahabat kami, Dol @ Zulkifli bin Abdullah,
yang telah banyak membantu kami dengan
menyediakan keperluan-keperluan kami bagi
memudahkan pekerjaan kami menyiapkan kitab
ini. Penghargaan kami juga kepada sahabat-
sahabat yang lain yang telah memberi teguran
dan pandangan yang baik berhubung penulisan
kitab ini. Semoga Allah s.w.t memberkati mereka
sekalian.
Kami teramat berhutang budi kepada Ybg. Dato’
Haji Tuan Ibrahim bin Tuan Man, yang di dalam
kesibukan beliau masih juga memberi ruang
untuk meneliti kitab “Kebenaran Hakiki” ini serta
memberi pandangan dan teguran yang membina.
Sentuhan ikhlas beliau telah menambahkan
semangat serta keyakinan kami di dalam
pekerjaan kami. Semoga Allah s.w.t sentiasa
memelihara dan memberkati beliau.
Kami sangat bersyukur kepada Allah s.w.t yang
telah meneguhkan kesabaran ahli-ahli kami yang
terpaksa menanggung berbagai-bagai kesulitan
selama kami berada dalam pekerjaan ini.
Semoga Allah s.w.t mengurniakan ganjaran yang
melimpah ruah kepada mereka semua. Amin!
Wassalam.
MOHAMAD NASIR BIN MAJID
(TOK FAQIR AN-NASIRIN)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar