Selasa, 29 Oktober 2013

31: Tarekat Ujian Bala Bencana


Allah s.w.t memilih dari kalangan orang-orang
yang beriman orang-orang yang tertentu bagi
menjalankan sesuatu tugas menurut kehendak-
Nya. Mereka yang akan diberi tugas khusus akan
dibawa melalui latihan kerohanian yang disusun
secara langsung oleh Tuhan. Melalui latihan
tersebut mereka mengalami perubahan
kerohanian sehingga rohani mereka menjadi
cukup kuat untuk menanggung beban tugas yang
diamanahkan oleh Tuhan.
Latihan kerohanian secara khusus biasanya
melibatkan ujian bala bencana. Ujian ditujukan
kepada jiwa dan jiwa yang menghadapi tekanan
ujian biasanya akan mengadakan tindak balas
bagi menghadapi tekanan tersebut. Tindak balas
itu membuat jiwa menjadi kuat dan
berkemampuan menghadapi keadaan yang kan
ditemui semasa menjalankan tugas khusus nanti.
Al-Quran telah menceritakan dengan indah kesah
hamba Allah s.w.t yang telah berjalan dalam
tarekat ujian bala. Surah Yusuf, surah yang ke
dua belas, menceritakan kesah suka duka Nabi
Yusuf a.s. Ketika kecilnya beliau a.s didengki
dan dikhianati oleh saudara-saudara sendiri.
Yusuf a.s dicampakkan ke dalam perigi yang
dalam. Beliau a.s terpaksa tinggal di dalam
perigi tersebut beberapa lama sehinggalah satu
kumpulan pengembara datang ke tempat itu.
Yusuf a.s diselamatkan daripada perigi tetapi
dijual pula sebagai hamba. Beliau a.s dibeli oleh
seorang bangsawan Mesir.
Zaman remaja Yusuf a.s menemukan beliau a.s
dengan fitnah kaum wanita. Keelokan paras rupa
Yusuf a.s menyebabkan beliau a.s menjadi
idaman setiap wanita yang memandang kepada
beliau a.s, termasuklah isteri tuannya sendiri.
Keremajaan tidak membuat Yusuf a.s hilang
pedoman. Beliau a.s berjaya melepaskan diri
daripada perangkap wanita bangsawan, isteri
tuannya itu, tetapi sebagai natijah kepada
keengganannya melayani keinginan wanita
tersebut beliau a.s telah dianiaya dan
dimasukkan ke dalam penjara. Yusuf a.s
menerima semua ujian itu dengan hati yang reda.
Ujian bala bencana yang dihadapinya satu
persatu itu telah mematangkan jiwa Yusuf a.s.
Bila jiwa beliau a.s sudah cukup kuat, tarekat
ujian bala pun berakhir. Datang pula tarekat
kehidupan harian. Yusuf a.s dikeluarkan daripada
penjara dan dilantik sebagai Perdana Menteri
Mesir secara terhormat.
Kesah suka duka Yusuf a.s memberi pengajaran
kepada orang yang beriman bahawa hidup ini
bukan selalunya senang, selesa dan mudah.
Tidak semua yang diidamkan boleh diperolehi
dan tidak semua yang dirancangkan boleh
terlaksana. Kadang-kadang seseorang itu perlu
melalui penderitaan yang lama sebelum menemui
kebahagiaan. Yusuf a.s telah menempuh semua
peringkat penderitaan dengan hati yang sabar
dan tabah, sentiasa bertenang tanpa berkeluh-
kesah. Setelah tamat tempuh ujian datanglah
peringkat mempraktikkan apa yang sudah
dipelajari selama berada dalam kursus intensif
dahulu.
Nabi Musa a.s juga melalui tarekat ujian bala
sebelum diangkat menjadi Rasul. Musa a.s
berasal daripada keturunan Bani Israil. Kaumnya
ditindas oleh kaum Kibti yang berkuasa.
Pemerintah Kibti adalah Firaun. Ketika kaumnya
ditindas oleh kaum Kibti, Musa a.s hidup dengan
aman di dalam istana Firaun, kerana beliau a.s
adalah anak angkat Firaun. Kehidupan yang tidak
berhadapan dengan cabaran, penderitaan dan
kesusahan tidak mampu membuat Musa a.s
layak menerima jawatan sebagai Rasul Allah.
Oleh itu Musa a.s dibawa kepada tarekat ujian
bala bagi memantapkan kerohanian beliau a.s.
Musa a.s dengan tidak sengaja telah membunuh
seorang Kibti. Kejadian tersebut menimbulkan
kemarahan kaum Kibti. Mereka berpakat untuk
membunuh Musa a.s. Musa a.s terpaksa
melarikan diri, meninggalkan negerinya dan
kesenangan yang dinikmatinya. Beliau a. s
terpaksa merantau dari satu tempat ke satu
tempat sehingga beliau a.s sampai ke negeri
Nabi Syuaib a.s. Beliau a.s tinggal bersama-
sama Nabi Syuaib a.s dan bekerja sebagai
pengembala kambing. Setelah beberapa tahun
kemudian Musa a.s berkahwin dengan anak Nabi
Syuaib a.s yang bernama Siti Safar.
Setelah berkahwin Musa a.s membawa isteri
beliau a.s merantau. Semasa dalam perantauan
itu Siti Safar yang sarat mengandung mengalami
kesakitan. Ketika itu hari hujan. Musa a.s tidak
dapat menghidupkan api untuk memanaskan
isteri beliau a.s. Beliau a.s keluar mencari api.
Beliau a.s melihat cahaya api dari kejauhan.
Beliau a.s pergi ke sana. Sampai di sana bukan
api yang beliau a.s temui. Musa a.s menemui
destininya. Beliau a.s menyaksikan kenyataan
Tuhan dan beliau a.s diangkat menjadi Rasul.
Sebagai pesuruh Allah s.w.t, Musa a.s menerima
perintah yang sangat berat. Beliau a.s mesti
kembali kepada kaum Bani Israil dan kaum Kibti,
menyeru mereka supaya kembali kepada ajaran
tauhid. Musa a.s mesti berhadapan semula
dengan kaum yang masih lagi menyimpan
dendam mahu membunuh beliau a.s. Perintah
Allah s.w.t mesti dilaksanakan tanpa ragu-ragu
dan dengan membuang segala kepentingan diri
sendiri.
Tarekat ujian bala bermula daripada manusia
yang pertama lagi. Adam a.s dan Hawa hidup
senang lenang di dalam syurga. Kehidupan
syurga adalah abadi. Di dalamnya tidak ada
kematian, tidak ada penyakit, tidak ada susah,
tidak ada panas, tidak ada lapar dan tidak ada
apa sahaja yang tidak menyenangkan. Rupanya
kehidupan syurgawi tidak cukup untuk
memantapkan kerohanian seseorang manusia
bagi mencapai makam pilihan Tuhan dan mampu
menanggung tugas khusus yang Tuhan tentukan.
Selama Adam a.s tinggal di dalam syurga beban
sebagai khalifah di bumi tidak dipikulnya. Beliau
a.s perlu menjalani perubahan bentuk kehidupan,
untuk itu beliau a.s dihantar ke bumi, ke dalam
dunia. Di bumi Adam a.s menjalani tarekat ujian
bala. Beliau a.s mesti menjalani tarekat yang ada
kematian, ada penyakit, ada kesusahan, ada
panas, ada lapar ada berbagai-bagai perkara
yang tidak menyenangkan. Tarekat ujian bala
mengajar dan memperkenalkan apa yang tidak
dialami dan dikenal di dalam syurga, dengan
demikian pengalaman dan pengenalan Adam a.s
menjadi sempurna. Baharulah Adam a.s layak
memikul tugas sebagai khalifah Allah di bumi.
Mahkota khalifah itu hanya boleh dipakai oleh
Adam a.s setelah beliau a.s menjalani tarekat
ujian bala dan memasuki pintu taubat. Ujian bala
bencana dan taubat adalah dua perkara yang
sangat penting dan berkesan dalam menaikkan
taraf kerohanian seseorang insan.
Umat manusia yang dari keturunan Adam a.s
akan mengulangi kesilapan yang pernah
dilakukan oleh bapa mereka itu. Bahang syurgawi
dirasakan juga oleh keturunan beliau a.s. Syurga
adalah kekal abadi dan manusia merasakan
tempat mereka tinggal ini juga abadi. Semasa di
dalam syurga Adam a.s sangat menginginkan
kehidupan yang abadi dan itulah yang
membuatnya boleh diperdayakan oleh iblis
supaya memakan buah daripada pokok larangan
yang kononnya boleh membuatkan Adam a.s
menjadi abadi di dalam syurga. Keturunan Adam
a.s juga akan mendekati pokok larangan di dalam
dunia kerana menyangkakan ia akan membuat
mereka hidup kekal di dalam dunia. Pokok
larangan di dalam dunia itu adalah hawa nafsu.
Orang yang merasai buah daripada pokok hawa
nafsu akan merasakan dunia ini sebagai syurga
yang kekal abadi. Timbullah keasyikan kepada
dunia dan lalailah mereka di dalam arus
keseronokan. Dalam kelekaan itulah mereka
dijajah oleh iblis.
Ketika manusia sedang asyik di dalam kelekaan
dan dikuasai oleh iblis itu, jatuhlah kemurkaan
Allah s.w.t ke atas mereka. Hancurlah syurga
dunia mereka. Lenyaplah khayalan mereka
tentang keabadian dunia dan kelazatan hawa
nafsu. Tahulah mereka bahawa hawa nafsu
adalah pokok larangan yang membuat manusia
lupakan amanat Allah s.w.t. Manusia yang telah
menerima padah daripada pokok larangan itu
akan menjadi menyesal. Mereka bertaubat
bersungguh-sungguh kepada Tuhan.
Bercucuranlah air mata mereka membasahi pipi,
misai dan janggut. Sujudlah mereka ke Hadrat
Ilahi Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.
Taubat telah menjadikan Adam a.s sebagai
manusia pilihan dan diberi kedudukan istimewa
sebagai khalifah Allah di bumi. Taubat juga
menjadikan keturunan Adam a.s sebagai
manusia pilihan yang akan meneruskan tugas
kekhalifahan di bumi. Manusia yang diheret
kepada taubat adalah manusia istimewa yang
dipilih oleh Allah s.w.t untuk mendapatkan
rahmat dan kasih sayang-Nya.
Seseorang hamba yang akan memikul tugas
kekhalifahan di bumi akan dipersiapkan melalui
cara yang sesuai bagi memantapkan
kerohaniannya. Ujian bala bencana merupakan
satu bentuk latihan yang perlu bagi membentuk
kewibawaan seseorang. Orang yang dibawa
kepada tarekat ujian bala dipisahkan daripada
kesenangan dan punca yang menyenangkannya.
Dia dikeluarkan daripada alam keasyikan dan
kelalaian. Beban dunia yang sedang dipikulnya,
seperti kebesaran, kemuliaan dan kekayaan
dicabut daripadanya. Dia dijadikan miskin
sesudah kaya, hina sesudah mulia dan kerdil
sesudah berkedudukan tinggi. Hamba yang
melalui tarekat kemiskinan ini akan menjadi
sangat miskin sehingga dia hampir-hampir
mengemis untuk mendapatkan keperluannya.
Tuhan selamatkannya daripada menjadi
pengemis. Dibukakan sedikit pintu rezeki
untuknya. Bekerjalah dia sesuai dengan bidang
rezeki yang dibukakan kepadanya. Bidang kerja
peringkat ini berbeza daripada bidang kerja yang
lalu. Kali ini medan rezeki yang boleh
diterokainya sangat sempit, tidak memadai untuk
dia menyelesaikan masalah kehidupan yang
dihadapinya, hinggakan dia hampir-hampir
meminjam. Bila dia sampai hampir kepada
keadaan akan meminjam, Tuhan bukakan sedikit
lagi bidang rezekinya. Selamatlah dia daripada
keperluan meminjam.
Latihan melalui tarekat ujian bala sehingga ke
peringkat ini sudah berjaya menghancurkan
sebahagian besar daripada keegoan dirinya. Dia
sudah sampai ke pintu mengemis dan
meminjam. Tuhan selamatkannya daripada
mengemis dan meminjam kerana masih ada lagi
sisa-sisa ego diri yang menghalangnya untuk
mengemis dan meminjam dengan rela. Ujian
bala bencana kan terus menekan keegoan
dirinya sehingga sisa-sisa itu juga terhapus. Dia
memasuki peringkat latihan kerohanian yang
lebih berat. Pada peringkat ini pintu rezekinya
ditutup sama sekali sehingga tidak ada jalan
langsung untuknya mencari rezeki. Pintu
meminjam juga tertutup baginya. Tuhan
menghalang tangan manusia daripada
memberinya pinjaman. Hiduplah dia dalam
keadaan yang sangat susah. Beban berat yang
menekan jiwanya itu menyebabkan hatinya
‘pecah’. Peringkat ini merupakan peringkat
peralihan kepada perkembangan kerohaniannya.
Dirinya yang lama ‘digantikan’ dengan diri yang
baharu. Hati yang telah ‘pecah’ itu ‘digantikan’
dengan hati yang baharu. Dalam suasana hati
yang baharu inilah dia dapat merasakan sesuatu
hubungan yang unik dengan alam ghaib. Dia
merasakan seakan-akan petunjuk dan bimbingan
ghaib mendatangi hatinya. Dia merasai
kemunculan gerak hati yang datang dari daerah
kesedaran yang dalam. Gerak hati yang demikian
menguasai jiwanya. Dia bergerak dan melakukan
sesuatu dengan ‘arahan’ atau cetusan rasa yang
seni, yang kuat menguasai hatinya dan dia yakin
dengan cetusan rasa tersebut. Cetusan rasa atau
gerak hati itulah yang menjadi pembimbingnya.
Pada tahap ini baharulah dikatakan dia benar-
benar memasuki bidang kerohanian.
Dia memasuki latihan kerohanian peringkat
selanjutnya. Dia menerima cetusan rasa, gerak
hati atau ‘perintah dari dalam’ agar dia
mendapatkan apa yang diperlukan dengan cara
meminta kepada orang lain. Tuhan bukakan
tangan orang ramai supaya memberi kepadanya.
Jika dia meminta dia akan memperolehi apa
yang diperlukannya dan jika dia enggan meminta
dia tidak akan memperolehi apa-apa. Peringkat
meminta-minta ini merupakan latihan
menghancurkan keegoan tahap paling halus.
Sisa-sisa ego diri terhapus daripada hatinya.
Tidak ada apa-apa lagi baginya kecuali
mematuhi cetusan rasa atau gerak hati yang
dinisbahkan kepada ilham yang dihantar oleh
Tuhan. Perbuatan meminta-minta kepada orang
lain tidak sedikit pun membuatnya berasa aib.
Apabila orang ramai memberi apa yang dia
minta, bertambahlah keyakinannya bahawa gerak
hatinya adalah benar. Akhirnya dia sampai
kepada tahap kematangan jiwa tanpa ego diri.
Jadi, latihan di atas tidak diperlukannya lagi.
Bentuk latihan kerohaniannya diubah daripada
meminta kepada meminjam. Tuhan bukakan hati
orang ramai yang berkemampuan untuk
memberinya pinjaman, walaupun pada zahirnya
kelihatan dia tidak akan mampu membayar
pinjaman tersebut. Dalam peringkat meminta-
minta dahulu dia melihat makhluk sebagai
sumber rezekinya. Pada peringkat meminjam ini
pula dia melihat rezekinya datang daripada
Tuhan melalui makhluk. Walaupun tangan
manusia menghulurkan bantuan kepadanya tetapi
dia melihat ‘Tangan’ Tuhan yang sebenarnya
memberi. Dia melalui proses latihan yang
demikian beberapa lama. Kemudian bentuk
latihan diubah lagi.
Dalam peringkat latihan kerohanian yang
berikutnya dia tidak boleh lagi melihat makhluk
sebagai sumber rezeki dan juga tidak boleh
bergantung kepada Tuhan melalui makhluk. Dia
dibawa kepada suasana mesti bergantung
kepada Tuhan semata-mata, tiada perantaraan.
Pada peringkat ini Tuhan putuskan hubungannya
dengan makhluk. Orang-orang yang dahulunya
tidak keberatan memberi apa sahaja yang dia
meminta dan meminjam, kini terhalang berbuat
demikian. Tangan makhluk tertahan daripada
memberinya sesuatu jika dia meminta kepada
mereka. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan
secara langsung. Jika dia memerlukan sesuatu,
dia hanya perlu menadah tangannya, memohon
kepada Tuhan, pasti Tuhan akan hantarkan apa
yang diperlukannya itu melalui cara yang Dia
pilih. Latihan yang begini membuat hatinya
bergantung kepada Tuhan sahaja, tidak lagi
melihat keberkesanan makhluk.
Kemudian latihan yang dikenakan kepadanya
diubah dalam bentuk lain pula. Dia hanya boleh
meminta kepada Tuhan dengan hatinya, dengan
berharap penuh kepada Tuhan, tanpa ucapan
lisan, tanpa menadah tangan. Jika dia meminta
dengan lisan atau menadah tangan dia tidak
akan memperolehi apa yang diperlukannya. Jika
dia meletakkan harapan kepada Tuhan di dalam
hatinya Tuhan akan memberi. Latihan begini
menambahkan kesedaran dan penghayatannya
bahawa Tuhan mengetahui yang zahir dan yang
batin, yang diucapkan dengan lidah dan yang
dibisikkan oleh hati, yang meminta dan yang
mengharap. Bertambahlah pengenalannya
tentang Tuhan.
Apabila dia sudah mengenali Tuhan secara
demikian, dia dibawa kepada suasana latihan
yang lain pula. Pada peringkat ini dia tidak boleh
meminta apa-apa, baik secara lisan atau
pengharapan dalam hati. Dia tidak boleh lagi
berdoa atau menyampaikan hajatnya kepada
Tuhan. Jika dia meminta atau berharap, apa
yang diminta dan diharapkan itu tidak akan
diperolehinya. Dia hanya boleh menyerah
sepenuhnya kepada Tuhan. Terserah kepada-Nya
mahu memberi atau tidak dan apa yang mahu
diberi-Nya. Dalam suasana yang demikian dia
dapati Tuhan tetap memberikan keperluannya
walaupun dia tidak meminta dan mengharap.
Tuhan tetap memeliharanya dan memberikannya
apa yang patut. Pada peringkat ini dia mengenali
Tuhan al-Karim yang memberi apabila diminta,
memberi tanpa diminta, memberi hanya dengan
hamba berhajat sahaja, memberi menurut
keperluan hamba tanpa hamba meminta atau
berharap, memberi yang lebih baik daripada apa
yang hamba minta atau harapkan, memberi pada
waktu yang sesuai hamba menerimanya dan
memberi tanpa had, tanpa terpengaruh kepada
permintaan, harapan atau kehendak sesiapa pun.
Allah s.w.t adalah Tuhan yang berbuat apa yang
Dia kehendaki. Pada tahap ini tidak ada lagi
kehendak dan hawa nafsu yang mengingkari
Tuhan pada si hamba itu. Inilah peringkat
kewalian umum. Peringkat seterusnya bergantung
kepada tugas khusus yang akan dipikul oleh
hamba yang mencapai kewalian umum itu. Dari
kalangan wali-wali yang umum itulah dipilih dan
diberi latihan yang lebih khusus untuk
menjalankan sesuatu tugas yang Tuhan
kehendaki bagi manfaat makhluk-Nya.
Latihan kerohanian yang disusun oleh Tuhan
secara langsung atau yang diistilahkan sebagai
tarekat ujian bala memberi kesan yang lebih
mendalam dan lebih cepat dalam
mempertingkatkan kekuatan rohani, berbanding
dengan latihan secara suluk dan lain-lain. Para
sahabat Rasulullah s.a.w yang melalui tarekat
ujian bala tidak perlu memasuki tarekat yang ada
suluk atau khalwat, tetapi mereka merupakan
golongan yang paling teratas dalam senarai wali-
wali Allah s.w.t. Latihan secara bersuluk dan
berzikir adalah jalan biasa, sementara
pembentukan kerohanian secara ujian bala
bencana adalah jalan pintas yang cepat
menyampaikan kepada matlamat. Ahli ibadat dan
ahli zikir mungkin mengambil masa dua tahun
untuk mencapai tahap kerohanian yang dicapai
oleh ahli bala dalam masa dua bulan.
Istilah ujian membawa maksud yang sangat luas.
Ujian boleh ditakrifkan sebagai rangsangan atau
pengaruh alam benda kepada rohani manusia.
Alam benda pada hakikatnya tidak mempunyai
sebarang kekuasaan dan kekuatan, tetapi
percantumannya dengan alam rohani
menyebabkan alam benda mampu mengeluarkan
kesan dan pengaruh. Kesan dan pengaruh alam
benda itu tertuju kepada rohani, iaitu menarik
rohani agar melupakan kedudukannya yang asli
yang hanya tahu bertauhid. Maksud ujian yang
sebenarnya adalah ujian kepada pegangan
tauhid. Rohani yang berpegang kepada tauhid
diuji apakah alam benda akan membuatnya
melakukan syirik. Dalam segi ini bolehlah
dikatakan kewujudan alam benda hanyalah daya
yang merangsang untuk menguji rohani. Ujian
tersebut menjadi dalil sama ada rohani mampu
bertahan dalam tauhid dan sampai kepada
kedudukannya sebagai amr Tuhan atau pun jatuh
ke dalam lembah syirik. Rohani yang dapat
bertahan menerima ujian alam benda akan
mengasihi Tuhan dan merindui-Nya. Rohani yang
tewas di dalam ujian itu akan memanjai
syahwatnya dan meletakkan sepenuh perhatian
kepada alam benda.
Tujuan latihan kerohanian sama ada dengan cara
berzikir atau ujian bala bencana adalah untuk
mengeluarkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t
daripada hati. Hati hanya layak diisi dengan
Allah s.w.t, kecintaan kepada-Nya dan ketaatan
kepada-Nya, sementara yang selain-Nya hanya
layak duduk di pinggiran sahaja. Bagi mencapai
tahap ini diperlukan kesabaran. Kesabaran
merupakan sumber kepada segala kebaikan dan
melaluinya orang yang beriman dapat meningkat
kepada taraf menyerah diri dengan sepenuh
kerelaan kepada Tuhan. Daripada makam sabar
orang mukmin melompat ke makam reda. Ketika
di dalam makam kesabaran ada perjuangan
menentang yang batal. Bila sudah sampai
kepada makam reda perjuangan tidak ada lagi
kerana yang batal sudah hancur. Tipu daya
syaitan, rangsangan hawa nafsu dan tarikan
dunia tidak ada kuasa terhadap orang yang reda
sepenuhnya dengan peraturan dan kehendak
Allah s.w.t. Hati yang demikian dinamakan hati
yang bertauhid.
Pada peringkat permulaan menerima ujian
daripada Tuhan si hamba banyak berdoa
memohon Tuhan mengangkatkan kesusahannya
dan memberikannya kesenangan. Tuhan tidak
menerima rayuannya dan dia dibiarkan
berterusan di dalam kesusahan. Dia menghadapi
perjuangan batin yang hebat. Senjatanya adalah
sabar. Dia bersabar dan terus bersabar sambil
meletakkan harapan kepada Tuhan. Setelah
beberapa lama, kesusahan dan masalah yang
dihadapinya tidak juga terangkat daripada
bahunya, mulalah berubah pandangannya. Dia
mula menilai kembali apa yang menyusahkan
dan menjadi masalahnya itu. Penilaian semula
membuatnya melihat bahawa perkara yang
dianggap sebagai kesusahan dan masalah itu
sebenarnya bukanlah perkara besar yang perlu
ditakuti untuk bertembung dengannya.
Kesusahan dan masalah itu timbul daripada
keinginannya terhadap sesuatu dan yang
diingininya itu bukanlah sesuatu yang berharga,
terutamanya pada sisi Tuhan dan pada
kehidupan akhirat. Dia menyedari bahawa dia
hanya mengejar sesuatu yang tidak berharga,
yang diingini oleh hawa nafsunya, dan dia lari
daripada sesuatu yang sangat berfaedah.
Berubahlah keadaan hatinya dan hilanglah
keinginannya kepada apa yang dia mahukan
selama ini. Bila dia dapat mengalahkan
keinginannya maka menanglah rohaninya. Rohani
mula celik dan melihat kepada perjalanan takdir
Tuhan, tidak lagi melihat kepada kekuatan
makhluk yang bergerak di dalam arus takdir. Dia
melihat bahawa segala perkara berada di dalam
genggaman Tuhan. Tidak ada sesiapa yang
berkuasa mendatangkan kebaikan dan
kemudaratan kecuali dengan izin Allah s.w.t.
Fanalah dia dalam lautan takdir.
Kefanaan di dalam lautan takdir memperlihatkan
aspek ketuhanan pada segala kejadian. Dia
melihat Tuhan yang mentadbir dan mengurus.
Jika dia memperolehi sesuatu pengetahuan dia
merasakan Tuhan yang mendatangkan
pengetahuan itu kepadanya. Keadaan ini
membuatnya merasakan seolah-olah Tuhan
bertutur-kata dengannya. Bertambahlah
keseronokannya mengenang Tuhan dan
bertambahlah keinginannya mahu menghampiri
Tuhan. Orang yang berada pada peringkat ini
tidak berminat lagi untuk mendampingi makhluk
Tuhan. Dia lebih suka bersendirian sambil
mendengar ‘tutur-kata’ Tuhan. Fikirannya telah
bebas daripada urusan orang ramai dan dunia
seluruhnya. Dia juga telah membuang usaha dan
ikhtiar untuk mendapatkan sesuatu. Dia tidak lagi
menggunakan cara keduniaan untuk
mendapatkan sesuatu faedah atau
menghindarkan sesuatu bahaya. Dia bergantung
dan menyerah bulat kepada Tuhan. Ini
menandakan dia sudah berjaya menundukkan
hawa nafsunya. Apabila dia maju ke hadapan
lagi dia sampai kepada suasana tidak
mempunyai sebarang matlamat dan tujuan, baik
berupa keduniaan atau pun keakhiratan. Maksud
dan tujuannya hanya satu, iaitu Allah s.w.t. Ini
menandakan dia tidak lagi dikuasai oleh
sebarang kehendak dan keinginan. Pada tahap
ini apa yang muncul daripadanya terjadi secara
spontan, tanpa berfikir atau merancang dan pada
masa yang sama dia merasakan kedamaian dan
kelazatan berhubungan dengan Allah s.w.t.
Apabila hawa nafsu, kehendak diri dan segala
sesuatu telah hancur dari hatinya, maka hati itu
menjadi sesuai untuk diisi dengan kehendak
Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikannya insan
baharu yang dilengkapi dengan kehendak dan
tenaga yang baharu. Kehendaknya sesuai
dengan kehendak Allah s.w.t dan tenaganya
bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t. Allah
s.w.t akan memeliharanya agar sisa-sisa nafsu
dan kehendak diri tidak kembali menguasainya.
Apabila sisa-sisa nafsu dan kehendak diri cuba
muncul, Allah s.w.t akan menghancurkannya
sehingga selamatlah hamba itu berada di dalam
suasana yang baharu. Bila hamba telah sesuai
dengan Allah s.w.t, perintah-Nya, peraturan-Nya
dan kehendak-Nya, maka seluruh alam akan
tunduk kepada hamba Allah itu. Bila hamba
menetap di dalam menjaga agar tidak terjerumus
ke dalam yang haram, maka apa sahaja yang
haram akan lari daripadanya walau di mana dia
berada. Begitulah keadaan wali Allah (hamba
yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah s.w.t).
Di dalam tarekat ujian bala si hamba bukan
sahaja menjadi sasaran anak panah bala, malah
kadang-kadang dia juga menjadi busur panah
yang menghantar bala kepada orang lain, seperti
peranan tanah, air, api dan angin yang
menyampaikan bala kepada makhluk Tuhan. Bila
Tuhan perintahkan air menghanyutkan apa
sahaja, api membakar apa sahaja, angin
menerbangkan apa sahaja dan tanah
menimbuskan apa sahaja tanpa kasihan belas
atau timbang rasa dan tidak ada ragu-ragu.
Suami dipisahkan daripada isteri. Anak-anak
dipisahkan daripada ibu bapa. Pemilik
dipisahkan daripada harta miliknya. Tanaman
dipisahkan daripada peladang. Ternakan
dipisahkan daripada penternak. Hamba Tuhan
iaitu manusia, juga sering berfungsi sebagai alat
yang menyampaikan bala kepada orang lain.
Khaidir a.s diperintahkan menebuk kapal dan
membunuh kanak-kanak yang masih kecil.
Ibrahim a.s diperintahkan menyembelihkan
anaknya sendiri. Manusia lain juga biasa
mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Ada
orang yang terlanggar orang lain dan
menyebabkan kematiannya, meninggalkan isteri
dan anak-anak tanpa tempat bergantung. Ada
pula orang yang tertembak rakan sendiri semasa
berburu. Ada juga kejadian seorang yang
membawa anak jirannya bermain di pantai dan si
anak tersebut mati lemas. Menjadi alat yang
menyampaikan bala kepada orang lain lebih
berat daripada menjadi sasaran bala, tetapi bila
Tuhan kehendaki, perkara yang demikian tetap
juga berlaku. Bila hamba reda menerima ujian
bala dari Tuhan dan reda juga menjadi alat
menyampaikan bala maka Allah s.w.t pun reda
kepadanya:
Wahai nafsu muthmainnah! Kembalilah kepada
Tuhanmu dalam keadaan reda (dan) diredai. Iaitu
masuklah ke dalam (golongan) hamba-hamba-
Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku. (Ayat
27 – 30 : Surah al-Fajr )
Hamba pilihan Tuhan dibawa kepada sesuatu
matlamat yang khusus untuknya. Jika muncul di
dalam hatinya sesuatu yang boleh mengubah
haluannya menuju matlamat yang ditetapkan oleh
Allah s.w.t, akan didatangkan ujian kepadanya
agar kecenderungan yang cuba
memesungkannya itu segera hilang dan dia
kembali kepada haluan yang betul. Demikianlah
hamba pilihan itu dijaga agar hatinya tidak
terpengaruh dengan apa sahaja yang selain Allah
s.w.t. Melalui proses yang demikian hatinya
menjadi bersih dan langkahnya akan sentiasa
berada di atas jalan yang lurus. Kesabarannya
menghadapi ujian menjadi bertambah kuat. Bila
Allah s.w.t reda dengannya, Dia akan
menjaganya dan menyelamatkannya daripada
kejahatan makhluk-Nya. Hati hamba itu menjadi
kuat dalam mengawal anggotanya. Darjat
takwanya bertambah dan tenteramlah dia di sisi
Tuhan Yang Maha Perkasa.
Orang mukmin pilihan melalui dua peringkat
kehidupan. Dalam peringkat pertama dia hidup
dalam kesejahteraan, keberkatan dan menerima
nikmat yang tidak terhingga. Perjalanannya
sesuai dengan peraturan Tuhan. Rumah
tangganya aman damai. Pekerjaan yang
dibuatnya mendatangkan keberkatan. Doanya
sangat makbul. Dia memperolehi ilmu yang
halus-halus dan diberi pula kesempatan untuk
menyaksikan perkara ghaib. Hiduplah dia dalam
kedamaian, kesejahteraan, tidak diganggu oleh
apa-apa pun. Kehidupan yang demikian menetap
padanya beberapa lama sehingga dia
menyangkakan itulah penetapan dan makamnya.
Kemudian datanglah peringkat kehidupannya
yang kedua. Secara tiba-tiba sahaja Tuhan
melontarkan batu-batu ujian kepadanya. Dia
ditimpa oleh bala yang datang berturut-turut dan
dari berbagai-bagai jurusan. Dia tidak berupaya
menahan apa yang datang itu. Seluruh
kehidupannya dibolak-balikkan oleh gelombang
ujian. Dia menghadapi kesusahan dan
penderitaan yang amat sangat. Perubahan yang
berlaku secara mendadak itu membuatkan orang
mukmin tadi tercengang-cengang, tidak
mengerti. Dia kehilangan segala yang berharga.
Orang-orang yang segolongan dengannya
terpisah daripadanya tanpa sesuatu sebab yang
kukuh. Dia tidak dapat mencari penjelasan. Jika
datang sesuatu alamat atau mimpi dia tidak
mampu menghuraikannya. Dia kehilangan
pedoman untuk memahami sesuatu perkara yang
sampai kepadanya. Bila dia membuat sesuatu
janji dia tidak pasti apakah dia dapat
melaksanakan janji tersebut. Bila dia berdoa
tidak ada tanda-tanda yang doanya akan
dimakbulkan. Bila dia cuba merenung ke dalam
lubuk hatinya untuk mencari sesuatu keterangan,
dilihatnya hatinya dibungkus oleh kejahilan. Apa
juga cara yang digunakannya hanya kekecewaan
yang ditemuinya. Hanya nasib malang yang
menyata pada penglihatannya. Dia ditinggalkan
dalam keadaan demikian beberapa lama. Dalam
keadaan yang sudah sangat berat itu kadang-
kadang kesusahan dan penderitaan ditambah
lagi ke atas bahunya. Hatinya digoncangkan
dengan sesungguhnya. Masuklah dia ke dalam
ruang di mana semua pintu tertutup dan semua
langkah terikat. Pada masa itu hatinya akan
menjadi kosong. Tidak ada apa-apa lagi yang
tinggal dalam hatinya. Tabiat dan sifat
kemanusiaannya hilang terus. Kesedarannya
terhadap dirinya tidak ada lagi. Dia tidak
memperdulikan lagi kesusahan dan penderitaan
yang menimpanya. Tatkala itu dia hanya
mempunyai kesedaran rohani semata-mata.
Ujian yang datang dengan hebatnya secara
bertimpa-timpa telah menghancurkan dirinya
yang mempunyai kehendak dan nafsu, yang
sebelum itu datang dan pergi bersilih ganti
Setiap kali diri yang hilang itu kembali ia
menggerakkan sisa-sisa nafsu dan kehendaknya
yang masih tinggal. Ujian yang datang dengan
hebat itu telah benar-benar menghapuskan sisa-
sisa nafsu, keinginan dan syahwatnya. Baharulah
dia benar-benar mencapai tahap yang suci murni
iaitu kesucian roh sebelum berkait dengan jasad.
Baharulah dia benar-benar masuk ke dalam
makam penetapan yang tidak akan berubah lagi.
Bebaslah hatinya daripada lintasan dan
rangsangan. Pancainderanya tidak ada kekuatan
lagi untuk melakukan maksiat. Dia adalah
umpama malaikat suci yang dipelihara daripada
dosa dan noda. Allah s.w.t pun membuka pintu
rahmat dan keredaan-Nya. Hatinya dipenuhi oleh
cahaya iman dan ilmu. Dia dikembalikan kepada
kedudukannya yang mulia. Keberkatan dan
kesejahteraan hidup dikurniakan semula
kepadanya. Dia menjadi tumpuan orang ramai.
Mereka bersedia untuk berkhidmat kepadanya.
Manusia dari berbagai-bagai lapisan
mengunjungi dan memuliakannya. Dia dipelihara
secara zahir melalui makhluk tetapi pada
hakikatnya melalui kasih sayang dan rahmat
Allah s.w.t. Bila dia sudah sampai kepada
makam penetapan keadaan yang ada dengannya
berkekalan sehingga dia meninggal dunia dan
kembali kepada Tuhannya.
Orang yang sedang dilatih pada jalan kerohanian
akan mengalami ujian yang mengubah suasana
hatinya. Perkara biasa jika doa mereka menjadi
tidak makbul sesudah makbul, perkataannya
tidak terlaksana sesudah ia mudah menjadi
kenyataan. Ada orang yang diberi kebolehan
untuk mengubati penyakit. Apa sahaja penyakit
yang diubatinya akan sembuh. Kemudian
keadaan berubah. Apa sahaja penyakit yang
diubatinya tidak akan sembuh. Sesudah itu dia
masuk kepada suasana di mana kadang-kadang
sembuh dan kadang-kadang tidak sembuh, ada
doanya yang makbul dan ada yang tidak makbul,
ada firasatnya yang menyata dan ada yang tidak.
Latihan yang demikian perlu bagi meyakinkannya
bahawa dia tidak akan terlepas daripada
pergantungan dengan Allah s.w.t walau dia
berada pada makam mana sekali pun. Timbullah
keyakinannya bahawa pada setiap makam
kerohanian mesti ada pengharapan dan
ketakutan kepada Allah s.w.t. Hamba Allah yang
dijaga akan ditetapkan untuk menyaksikan
kehambaannya pada setiap masa, pada semua
makam. Sesiapa yang inginkan kejayaan pada
jalan kerohanian dan mencapai ketetapan,
hendaklah melazimi kehambaan sepanjang masa
dengan sebenar-benar kehambaan pada segala
keadaan dan makam.
Orang yang belum mencapai makam penetapan
perlu berwaspada dengan dirinya sendiri. Dirinya
yang menjadi sumber kepada nafsu dan
berbagai-bagai keinginan akan kembali
kepadanya dan meninggalkannya beberapa kali.
Setiap kali ia datang ia akan cuba mengheretnya
kepada apa yang telah ditinggalkannya sebelum
tenggelam ke dalam lautan kerohanian dahulu.
Ketika ia muncul seketika itu, timbullah
keinginannya kepada harta, perempuan dan
kedudukan yang pernah dimiliki dan dikasihinya
dahulu. Nafsunya meminta dipuaskan dan
keinginannya meminta dipenuhi. Nafsu dan
keinginannya meminta dia kembali kepada alam
yang telah ditinggalkannya. Oleh yang demikian,
berhati-hatilah dengan diri sendiri. Jihad
terhadap diri perlu dilakukan secara berterusan.
Jangan terpedaya dengan helah hawa nafsu dan
keinginan yang banyak muslihatnya. Berjihadlah
sehingga ia tidak kembali lagi buat selama-
lamanya. Baharulah diri itu bangkit semula
sebagai insan baharu, bertenaga baharu,
berpandangan baharu, mempunyai selera dan
citarasa baharu, berwawasan baharu dan segala-
galanya pada dirinya adalah baharu yang
melayakkannya bergelar hamba Tuhan.
Orang yang sedang melakukan mujahadah perlu
mendirikan benteng di sekeliling hatinya. Hati itu
perlu dipelihara agar apa sahaja yang selain
Allah s.w.t tidak dapat masuk ke dalamnya. Hati
mesti dipertahankan dengan pedang tauhid. Apa
sahaja yang mahu masuk ke dalam hati dan
mencabar kedudukan Allah s.w.t mestilah
dipancung dengan pedang tauhid sehingga
bebaslah hati daripada yang selain Allah s.w.t.
Hati hanya dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah
s.w.t, ketaatan kepada Allah s.w.t,
penyembahan hanya untuk Allah s.w.t, pemujian
hanya untuk Allah s.w.t dan tidak ada apa lagi
yang mencabar kedudukan Allah s.w.t pada
hatinya. Bila keadaan ini sudah sebati dalam
hatinya Allah s.w.t memasukkannya ke dalam
pemeliharaan-Nya (kewalian). Tugas mengawal
hatinya diambil alih oleh tentera-tentera Allah
s.w.t yang bertugas melindunginya secara
berterusan dengan menggunakan pedang tauhid.
Syaitan, hawa nafsu kebinatangan, pengaruh
dunia dan makhluk yang merosakkan, angan-
angan kosong dan apa sahaja yang tidak baik
tidak berupaya lagi menawan hati hamba yang
dipelihara oleh Allah s.w.t. Keberkatan,
kekeramatan dan kemuliaan yang dikurniakan
kepadanya tidak menggoncangkan hatinya. Isteri-
isteri, anak-anak dan kaum keluarganya dijaga
agar tidak menjadi fitnah kepadanya. Apa sahaja
yang daripada dunia ditapis terlebih dahulu
sebelum sampai kepadanya agar yang datang itu
tetap bersih dan tidak membahayakannya. Beban
yang ditanggungnya akan diangkatkan supaya
tidak ada lagi penguasaan makhluk ke atasnya.
Jadilah dia hamba yang merdeka daripada
sekalian makhluk. Dia hanya memperhambakan
dirinya kepada Tuhan. Dia masuk ke dalam
penjagaan ar-Rahim yang mendakapnya dengan
rahmat, kasih sayang dan keredaan-Nya.
Penghidupannya adalah berenang dalam lautan
takdir, bertindak secara spontan menurut firasat
hatinya yang dipenuhi oleh nur suci.
Tanda seseorang itu telah sampai kepada
makam takdir dan berada dalam ketetapan
adalah Tuhan mengembalikan keinginannya
(dalam keadaan terpelihara) dan dia
diperintahkan supaya mengambil bahagiannya
yang selama ini disimpan bagi keselamatannya.
Bahagiannya itu ditahan buat sementara kerana
dia masih di dalam perjalanan dan belum
mencapai ketetapan. Tanpa ketetapan hati apa
yang diingini boleh merosakkan hati itu sendiri.
Bila dia sudah memperolehi ketetapan dia boleh
menerima bahagiannya tanpa dicederakan oleh
apa yang diterimanya itu. Apa yang
diperuntukkan kepadanya hanya dia yang berhak
mengambilnya. Tidak ada sesiapa yang dapat
merebut haknya.
Allah s.w.t menetapkan keadaan hamba-Nya itu
sebagai manusia biasa yang bertubuh badan dan
hidup di dalam dunia supaya Dia dapat
menyerahkan haknya yang Dia sebagai
Pemegang amanah telah menyimpannya demi
kebaikan si hamba itu sendiri. Bila hatinya sudah
teguh dan kuat, tidak boleh digugat oleh apa
yang diperuntukkan kepadanya, maka ia
diserahkan kepadanya untuk dinikmatinya
sebagai balasan terhadap perjuangannya
menahan diri dan melawan hawa nafsu. Allah
s.w.t bukakan pintu-pintu kebaikan supaya
nyatalah kedudukannya pada sisi-Nya dan
terbuktilah kebenaran janji-janji-Nya kepada
hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh
dalam mentaati-Nya. Allah s.w.t bukakan
keinginannya terhadap apa yang disediakan
untuknya dan dia digerakkan supaya meminta
yang demikian. Permintaannya pasti dimakbulkan
kerana Allah s.w.t tidak mahu menyekat
bahagian yang Dia telah tentukan untuk hamba-
Nya, juga supaya terbukti kedudukan hamba itu,
keredaan Allah s.w.t kepadanya dan keberkatan
doanya. Itulah nikmat yang Allah s.w.t sediakan
untuk hamba-hamba-Nya yang benar-benar
ikhlas kepada-Nya, bersabar terhadap ujian-Nya
dan reda dengan takdir-Nya, sekalipun panjang
masa perjuangannya dia sentiasa mengawal diri
agar tidak keluar daripada sempadan yang Dia
tentukan dan melalui berbagai-bagai peringkat
kerohanian sehinggalah mencapai makam
penetapan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Setelah
melengkapi bulatan perjalanannya dia kembali
kepada kedudukannya sebagai seorang individu
untuk mengambil bahagiannya dalam kehidupan
dunia ini sehingga berakhir hayatnya.
Tarekat ujian bala adalah sistem latihan
kerohanian yang Allah s.w.t susun kepada
hamba-hamba-Nya yang dipilih untuk
melaksanakan kewajipan sebagai khalifah atau
wakil-Nya di bumi, menyeru umat manusia
supaya kembali kepada jalan-Nya. Mereka
mengajar manusia supaya mengenal Tuhan,
mentaati peraturan-Nya, memakmurkan bumi ini
dengan kebaikan dan membasmi kemunkaran.
Tuhan Yang Maha Mengasihi tidak berhenti
menghantarkan wakil-wakil-Nya kepada umat
manusia supaya orang yang benar-benar ikhlas
mahu mencari-Nya akan menemui-Nya melalui
bimbingan wakil-Nya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar