Selasa, 29 Oktober 2013

39: Makam Penetapan


Orang kerohanian yang kembali kepada
kesedaran kemanusiaan dan masuk kepada
suasana penetapan, hidup sebagai seorang
Muslim biasa. Orang arif dan orang awam dalam
agama Islam tertakluk kepada hukum dan
peraturan yang sama. Semuanya bertuhankan
Tuhan Yang Satu. Semuanya berpenghulukan
Nabi yang satu. Semuanya berkiblatkan Kiblat
yang satu. Semuanya berimamkan Kitab yang
satu. Sekalian kaum Muslimin bersaudara.
Aku reda Allah adalah Tuhan, Islam
adalah agama, Muhammad s.a.w adalah
Nabi dan Rasul, al-Quran adalah ikutan,
Kaabah adalah Kiblat dan semua
mukminin dan mukminat adalah saudara.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dan aku naik saksi
bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah
Pesuruh Allah.
Pada makam penetapan orang arif bergerak
dalam masyarakat seperti air yang mengalir pada
bumi, menghidupkan bumi yang mati. Bila bumi
sudah hidup akan tumbuhlah pokok Islam yang
akar tunjangnya teguh di dalam bumi dan
pucuknya menggamit langit. Daunnya rendang
menjadi tempat berteduh bagi musafir yang lalu
sebentar di atas muka bumi. Buahnya enak dan
lazat memberi kekuatan kepada musafir berjalan
menuju destinasi.
Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang
yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan)
berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat
mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan
keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di
muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat
mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil,
sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu
Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan
tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana
Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan
(kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah
janjikan mereka yang beriman dan beramal salih
dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang
besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )
Setiap Muslim mestilah memilih benih yang baik
untuk di tanam. Tuhan hanya menyediakan satu
tempat sahaja sebagai kebun untuk bercucuk
tanam. Tuhan memberikan kepada manusia satu
peluang sahaja untuk mengusahakan ladangnya.
Kebun tersebut adalah dunia dan peluang
tersebut adalah hidup di dalam dunia ini. Tidak
ada kebun lain dan tidak ada peluang lain. Pokok
yang paling baik ditanam adalah pokok yang
batangnya berdiri tegak, dahannya rukuk
merendahkan diri dan julainya yang berat dengan
buah sujud mencecah bumi dengan penuh
kehambaan. Pokok yang baik mengeluarkan buah
yang baik untuk kehidupan dunia dan ia terus
berbuah di dalam kubur. Di akhirat kelak
buahnya akan memberikan kegembiraan yang
abadi.
Pengalaman zauk dan jazbah hanyalah
kedudukan yang sementara, bukan penetapan
dan bukan matlamat. Nabi Muhammad s.a.w
memasuki pengalaman Israk dan Mikraj hanya
satu bahagian daripada malam sahaja. Dalam
perjalanan yang mengambil masa yang singkat
itu baginda s.a.w menerima perintah
sembahyang lima waktu. Perintah sembahyang
yang diterima dalam masa yang singkat itu
membawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan
sembahyang sepanjang hayat baginda s.a.w.
Pengalaman yang singkat membuka jalan kepada
penetapan. Baginda s.a.w yang dikeluarkan
daripada dunia sebahagian daripada malam
kembali semula ke dunia untuk meneruskan baki
umur baginda s.a.w dan di dunia ini juga
baginda s.a.w menghabiskan umur baginda
s.a.w. Di sini juga jasad baginda s.a.w
disemadikan. Begitulah jalan yang Tuhan
tentukan untuk manusia yang paling mulia, paling
sempurna.
Tuhan ciptakan Adam a.s tanpa ibu dan ayah.
Tuhan ciptakan Isa a.s tanpa ayah. Tuhan
ciptakan Kekasih-Nya, Muhammad s.a.w dengan
beribu dan berbapa. Tuhan jadikan Kekasih-Nya
itu merasai lapar, dahaga, sakit dan mati di
dalam dunia. Sahabat-sahabat baginda s.a.w
yang merupakan manusia pilihan kelas pertama
melalui jalan yang demikian juga. Orang-orang
yang benar yang datang kemudian melalui jalan
itu juga. Itulah sebaik-baik jalan dan ia
dinamakan Jalan Nabi atau Sunah Nabi
Muhammad s.a.w.
Pada Jalan Nabi tentera Muslimin berperang
dengan menggunakan pedang, kepintaran akal
dan kekuatan jasmani. Mereka memukul dan
dipukul. Mereka menerima luka-luka. Mereka
membunuh dan dibunuh. Mereka selalu menang
tetapi ada juga kekalahan. Namun mereka terus
juga berjuang di dalam perbatasan manusia
biasa. Mereka tidak bersandar kepada ilmu kebal
atau ilmu menutup pandangan musuh. Mereka
tidak bersandar kepada mukjizat. Jika Tuhan
kirimkan mukjizat melalui Nabi-Nya mereka
menerimanya dengan syukur. Jika Tuhan
tetapkan mereka berperang dengan
menggunakan bakat kemanusiaan biasa mereka
terus juga berjuang dengan penuh semangat dan
kesabaran.
Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah
menunjukkan cara menghadapi kehidupan
sebagai manusia biasa. Baginda s.a.w bersama-
sama sahabat yang paling mulia, Abu Bakar as-
Siddik, telah menunjukkan contoh yang paling
baik dalam menghadapi cabaran sewaktu
melakukan hijrah. Konsep bertawakal yang
sebenarnya diajarkan oleh Rasulullah s.a.w
melalui peristiwa hijrah tersebut. Baginda s.a.w
diutuskan untuk membimbing umat manusia yang
tidak boleh terbang di udara atau berjalan di
atas air dan juga tidak kebal. Jika orang yang
membimbing menggunakan cara terbang di
udara, berjalan di atas air, kenyang tanpa
makan, tidak ditimpa penyakit, maka yang boleh
mengikuti pembimbing yang demikian hanyalah
para malaikat. Nabi Muhammad s.a.w dan
pewaris perjuangan baginda s.a.w perlu
bergerak dan bertindak di dalam sempadan
kemanusiaan agar orang ramai boleh mengikuti
mereka. Orang kerohanian yang kembali kepada
kesedaran kemanusiaan akan bergerak sebagai
manusia biasa juga. Mungkin ada perkara yang
luar biasa keluar daripada mereka. Itu adalah
sebagai anugerah Tuhan kepada mereka. Perkara
tersebut tidak boleh dipandang sebagai identiti
mereka.
Ahli hakikat yang kembali kepada kesedaran
biasa akan hidup seperti manusia lain juga.
Pekerjaan utama mereka adalah menyeru umat
manusia ke jalan Tuhan. Di samping itu mereka
juga melakukan apa yang layak dilakukan
sebagai manusia. Mereka membuat pekerjaan
menurut bakat dan keupayaan yang Tuhan
kurniakan kepada mereka. Sebahagian daripada
mereka menceburkan diri ke dalam bidang
perdagangan untuk menjadi model kepada
pedagang-pedagang yang lain. Ada yang menjadi
pengusaha, nelayan, pemandu teksi, petani dan
lain-lain. Golongan pilihan itu menyerap ke dalam
masyarakat melalui semua bidang kehidupan
agar umat manusia boleh menguruskan setiap
bidang dengan mencontohi model yang Tuhan
hantar kepada mereka. Manusia pilihan itu akan
meneruskan kehidupan masing-masing menurut
warna pencelupan pilihan Tuhan, sehinggalah
mereka kembali kepada Tuhan dalam keadaan
reda meredai.
Kami datang dari Allah dan kepada Allah
kami kembali.
Di awal perjalanan kerohanian seseorang itu
merasakan kehadiran Pembimbing Ghaib yang
mengiringinya. Hadrat (kehadiran) tersebut
sentiasa bersama-samanya sehingga dia sampai
ke gerbang penetapan. Selama ‘dikuasai’ oleh
Hadrat tersebut si hamba berada dalam suasana
tidak bernama atau tidak ada identiti sendiri.
Apa juga keberkatan yang diperolehinya
diisbatkan kepada keberkatan Hadrat tersebut.
Segala pengetahuannya diisbatkan kepada
pengetahuan Hadrat berkenaan. Si hamba tidak
mengakui sesuatu kebaikan itu sebagai kebaikan
dirinya. Semuanya diisbatkan kepada Hadrat
yang bersamanya.
Penguasaan Hadrat ghaib itu menjadi jazbah
yang paling kuat menguasai seseorang yang
berjalan pada jalan kerohanian. Hadrat inilah
yang paling akhir berpisah dengan si hamba
berbanding dengan semua pengalaman jazbah
yang lain. Apabila si hamba masuk ke dalam
kota penetapan, secara tiba-tiba sahaja si
hamba menyedari Hadrat ghaib itu sudah
kembali ke Hadrat Ilahi. Tugas Hadrat ghaib itu
sebagai Pembimbing dan Protokol sudah selesai.
Hadrat tersebut telah melaksanakan tugasnya
membentuk si hamba itu menurut kehendak Allah
s.w.t. Bila si hamba sudah boleh menguruskan
dirinya sendiri Hadrat tersebut pun kembali
kepada kedudukan urusan Allah s.w.t. Si hamba
telah kembali kepada dirinya dengan lengkap
dan sempurna. Dia sudah boleh memakai
identitinya semula. Dia kembali kepada namanya
yang sekian lama terpisah daripadanya.
Peringkat perpisahan dengan Hadrat ghaib dan
bersatu dengan nama dan identiti sendiri
merupakan penetapan yang sebenarnya. Ia
dinamakan makam penetapan yang teguh. Si
hamba kembali kepada kedudukan sebagai satu
individu yang memikul amanah dan ada tugas
yang perlu dilaksanakannya. Pada tahap ini
baharulah bakat khalifah yang dikenalinya pada
peringkat Hakikat Khalifah dahulu menjadi bakat
dirinya. Khalifah Allah berurusan secara langsung
dengan Allah s.w.t, tidak melalui perantaraan
yang nyata atau yang ghaib, tidak ada tawasul.
Orang yang masih menggunakan cara
tawasul menandakan kesan mabuk belum
lagi habis daripadanya.
Khalifah pada makam penetapan bukan seperti
khalifah pada makam hakikat. Khalifah Allah
pada makam penetapan berpijak pada bumi
nyata, tidak lagi ‘mencari-cari’ atau ‘memandang
ke atas’ atau ‘menantikan sesuatu.’ Khalifah yang
sudah menetap adalah golongan salihin dan
siddiqin. Benar kedudukan syariat, benar
kedudukan tarekat, benar kedudukan hakikat dan
benar kedudukan makrifat pada satu kedudukan
iaitu syariat yang lengkap. Inilah makam khalifah
Allah yang menjadi pewaris nabi.
Khalifah Allah menguruskan daerah
kekhalifahannya iaitu dirinya sendiri dan bidang
pengkhususannya. Bidangnya yang paling
penting adalah berdakwah ke jalan Allah. Bagi
melakukan semua itu dia kembali ke dunia,
menghadapi dunia yang diporak-perandakan oleh
syaitan dan hawa nafsu. Dalam melaksanakan
tugasnya dia dijaga oleh Allah s.w.t. Apabila
Allah s.w.t menentukannya menguruskan hal-
ehwal makhluk maka diberinya petunjuk dan
kekuatan dalam melaksanakan tugasnya.
Allah s.w.t kurniakan kepada para khalifah-Nya
kurniaan yang tidak rosak binasa. Mereka diberi
kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan
kesedihan. Nasib mereka menjadi baik dan tidak
buruk lagi. Apa sahaja perkara keduniaan yang
sampai kepada mereka sudah ditapis dan
mereka menerima yang baik-baik sahaja.
Kedudukan mereka akan ditinggikan dan tidak
rendah lagi. Mereka menjadi pusat pertemuan
orang ramai. Melalui sembahyang mereka
kesulitan orang ramai dapat diselesaikan. Melalui
doa mereka bala terangkat daripada orang ramai.
Mereka menjadi pengawal kerohanian kepada
orang-orang yang di dalam daerah kekhalifahan
mereka. Apabila mereka sudah bersesuaian
dengan Allah s.w.t dan perintah-Nya maka
seluruh alam tunduk kepada mereka dalam
keadaan merendah diri. Apabila mereka teguh
menjaga diri daripada perkara yang haram, maka
yang haram akan lari daripada mereka walau ke
mana sahaja mereka pergi. Khalifah Allah adalah
mereka yang kuat memerhatikan larangan Allah
s.w.t, menjaga diri daripada terjerumus ke dalam
perkara yang tidak disukai oleh Allah s.w.t dan
mereka sangat bersegera di dalam melakukan
ketaatan kepada-Nya.
Apa sahaja yang dari Allah s.w.t adalah nur.
Malaikat yang bertugas menjalankan perintah
Allah s.w.t adalah nur. Khalifah Allah diselimuti
oleh nur suci. Nur pada matanya, nur pada
telinganya, nur pada lidahnya, nur di kanannya,
nur di kirinya, nur di hadapannya, nur di
belakangnya dan seluruh maujudnya diselimuti
oleh nur.
Takutlah kamu firasat orang mukmin kerana
mereka melihat dengan nur Ilahi. ( Maksud
Hadis )
Si hamba yang dibaluti oleh nur tidak
dibahayakan oleh kegelapan. Ilmunya adalah nur
yang dari Allah s.w.t. Nur membuka tutupan
sehingga yang benar nyata kebenarannya dan
yang salah tidak dapat berselindung. Tidak ada
lagi syak dan wasangka. Nur Ilmu menghapuskan
kesamaran dan teka teki. Segala perkara adalah
jelas dan nyata. Yang jelas dan nyata itu adalah
kebenaran al-Quran dan as-Sunah.
Si hamba yang telah kembali kepada kesedaran
kemanusiaan dan berupaya menguruskan hal-
ehwal dirinya dan orang lain, diizinkan menikmati
sepenuhnya bahagian yang baik-baik yang
diperuntukkan kepadanya. Bahagian tersebut
telah dipegang oleh Pemegang Amanah iaitu al-
Waliyyu (Yang Memelihara) selama si hamba itu
di dalam perjalanan demi kebaikan si hamba itu
sendiri. Bila keupayaan khalifah dikurniakan
kepadanya bahagiannya juga dikembalikan. Apa
yang menjadi bahagiannya tidak dapat diambil
oleh orang lain.
Ketika berjalan kepada Allah s.w.t dahulu
diserahkannya semua hak dirinya kepada Allah
s.w.t. Diserahkannya dirinya, namanya, sifatnya,
bahagiannya dan sekalian makhluk kepada Allah
s.w.t. Kini Allah s.w.t mengembalikan semuanya
itu kepadanya. Dirinya, namanya, sifatnya dan
bahagiannya kembali kepadanya. Makhluk juga
kembali kepadanya. Dia menjadi pengurus
terhadap apa yang Allah s.w.t kembalikan
kepadanya. Pada zahirnya dia yang menguruskan
tetapi pada hakikatnya Allah s.w.t, al-Waliyyu,
yang menguruskan hal-ehwal si hamba itu.
Hamba yang diuruskan oleh Allah s.w.t itulah
yang dimaksudkan sebagai wali Allah dan
khalifah Allah.
Si hamba yang sampai kepada makam
penetapan menjadikan seluruh kehidupan ini
sebagai ibadat. Lidahnya basah dengan zikir. Dia
mengucapkan zikir yang biasa diucapkan oleh
orang Islam biasa dan hatinya terikat dengan
masjid. Dia juga berbakti kepada orang tuanya
selaku anak yang salih. Allah s.w.t kurniakan
kedudukan yang tinggi lagi mulia kepada hamba-
Nya yang sentiasa ingat kepada-Nya, yang
hatinya terikat dengan masjid dan yang berbakti
kepada orang tuanya. Kedudukannya satu tingkat
di bawah kedudukan nabi-nabi. Hamba yang
demikian diliputi oleh Nur Arasy, sebagaimana
yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w
sewaktu baginda s.a.w Mikraj melepasi Sidratul
Muntaha.
Maha Suci Allah s.w.t yang menciptakan satu
golongan daripada umat manusia sebagai
hamba-Nya yang pilihan untuk Dia taburkan
rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia,
sekalian makhluk-Nya dan sekalian alam ciptaan-
Nya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar