Kamis, 24 Oktober 2013

ISTILAH ISTILAH TASAWUF (HABIS)

ISTILAH N - Z
nafs: Diri manusia. Bila dipandang sebagai diri
yang mempunyai keinginan ia dipanggil nafsu.
Bila dipandang sebagai diri yang berakal ia
dipanggil nafsu natiqah. Bila dipandang sebagai
gabungan berbagai-bagai sifat ia dinamakan hati.
Nafsu, nafsu natiqah dan hati adalah diri
manusia sendiri yang dipandang melalui
berbagai-bagai aspek.
nafsu ammarah: Peringkat nafsu yang paling
rendah dan paling kuat dikuasai oleh syahwat,
dunia dan syaitan. Hijab yang muncul melalui
nafsu ini menyebabkan tertutup hubungan hati
dengan Tuhan. Nafsu mengarahkan semua
pancaindera dan akal kepada perkara-perkara
keduniaan semata-mata. Hati yang tidak
menerima cahaya iman akan menghasilkan sifat-
sifat ammarah
nafsu kamaliah: Peringkat nafsu yang paling
tinggi, iaitu tahap kesempurnaan nafsu. Nafsu
kamaliah adalah peringkat nafsu yang paling
sempurna, suci bersih dan murni.
nafsu lawwamah: Sifat nafsu yang paling
rendah, iaitu ammarah, adalah ego, enggan
mengakui kesalahan diri sendiri. Apabila sifat
nafsu itu menjadi bertambah baik cahaya
kebenaran dapat menyelinap masuk ke dalam
hati dan akal. Dalam suasana yang demikian
seseorang dapat melihat dan mengakui
kesalahan dirinya. Suasana diri yang boleh
mengkeritik diri sendiri itu dinamakan peringkat
lawwamah.
nafsu mardhiah: Sifat nafsu yang luhur, yang
diredai oleh Allah s.w.t.
nafsu mulhamah: Sifat nafsu sebelum
memasuki kembali kepada suasana rohani yang
asli.
nafsu muthmainnah: Nafsu yang bersih, tulen
dan asli yang menjadi sifat nafsu yang asal
kepunyaan rohani sebelum dipengaruhi oleh
anasir jasad dan alam dunia. Apabila dicemari
oleh anasir jasad dan dunia tahap kesucian nafsu
menurun kepada mulhamah. Jika kekotoran
bertambah lagi ia menurun kepada tahap
lawwamah. Nafsu yang sudah banyak tercemar
dan berada pada tahap yang paling hina dikenali
sebagai ammarah.
nafsu radhiah: Tingkat nafsu di antara
muthmainnah dan mardhiah. Kemuncak fana
berlaku dalam peringkat radhiah. Orang radhiah
lupa kepada dirinya dan makhluk sekaliannya.
Kesedarannya hanyalah pada Allah s.w.t.
nasut: Alam benda-benda.
nisbat: Istilah yang digunakan dalam tarekat
Naqsabandiyah bagi menceritakan suasana yang
tidak putus ingatannya kepada Allah s.w.t.
nur: Unsur seni lagi latif yang termasuk dalam
perkara Latifah Rabbaniah. Nur bukanlah cahaya
seperti cahaya lampu, cahaya matahari, cahaya
kilat dan lain-lain cahaya yang boleh dilihat.
Kekuatan akal dan khayal tidak mampu
menghuraikan hakikat nur. Apa sahaja yang
dinisbahkan kepada Tuhan adalah dalam
keadaan nur. Malaikat yang menjalankan
perintah Tuhan adalah nur. Roh yang menjadi
urusan Tuhan adalah nur. Wahyu yang
diturunkan oleh Tuhan adalah nur. Taufik, hidayat
dan rahmat Tuhan adalah nur juga. Ilmu juga
nur. Nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan
Hadrat Tuhan yang dirasai oleh hati adalah nur
juga. Nur yang termasuk di dalam golongan
kewujudan yang diperintah, seperti malaikat dan
roh manusia, adalah makhluk dan menghuni
ruang alam. Nur urusan Tuhan, nama-nama,
sifat-sifat dan Hadrat Tuhan bukanlah makhluk
dan tidak mengambil ruang. Nur yang
dinisbahkan secara langsung kepada Tuhan
adalah keadaan atau hal Tuhan dan dipanggil
Nur Allah. Walaupun terjadi pengalaman
kerohanian mengenai Nur Allah, seperti nama-
nama-Nya, sifat-sifat-Nya dan Hadrat-Nya, itu
bukan bermakna Nur Allah masuk ke dalam hati,
fikiran atau khayalan manusia. Apa yang manusia
alami hanyalah gubahan Tuhan untuk melahirkan
makrifat tentang Diri-Nya. Gubahan Tuhan yang
demikian membuka pengertian tentang hakikat
ketuhanan yang diselubungi oleh selimut ghaib
yang kukuh.
nurani: Unsur atau anasir nur. Hati yang
merupakan daging segempal adalah anasir nyata
dan dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan
anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan
hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada
anasir nur maka ia mampu menerima hal
ketuhanan yang dari nur.
Nur Akal: Akal ada dua jenis, iaitu akal zahir
dan akal batin. Akal zahir mengenderai otak.
Akal batin adalah unsur nur. Apabila akal batin
sudah diterangi oleh nur baharulah perkara
ketuhanan dapat difahami. Nur bagi akal batin
menerangi akal yang pada otak. Baharulah
manusia dapat memikirkan tentang ketuhanan
dan perkara ghaib.
Nur al-Muwaajahah: Nur al-muwaajahah
berperanan membawa hamba ‘berhadapan’ dan
‘menyaksikan’ Tuhan dalam suasana “Tidak ada
sesuatu yang serupa dengan-Nya”.
nurani: Unsur atau anasir nur. Hati yang
merupakan daging segempal adalah anasir nyata
dan dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan
anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan
hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada
anasir nur maka ia mampu menerima hal
ketuhanan yang dari nur.
Nur Iman: Cahaya iman. Iman adalah
hubungan hati dengan Allah s.w.t. Hati adalah
bangsa nur atau nurani. Apa juga yang dari Allah
s.w.t adalah dalam unsur nur. Iman yang
terpancar di dalam hati adalah juga nur. Nur
Iman yang menerangi hati nurani membuka
hubungan dengan Nur Ilahi.
Nur Kalbu: Nur yang memancar di dalam hati.
Nur kalbu menerangi akal. Akal yang diterangi
oleh nur berguna bagi pengajian tentang perkara
ghaib dan ketuhanan. Tanpa sinaran Nur Kalbu
akal tidak mampu bertafakur mengenai perkara
ghaib dan ketuhanan.
Nur Muhammad: Urusan Tuhan yang berada
pada sisi-Nya berhubung dengan penciptaan
alam makhluk. Bolehlah dikatakan bahawa
sekalian alam makhluk termasuklah manusia, jika
disaksikan dalam Ilmu Tuhan maka sekaliannya
disaksikan sebagai Nur Muhammad. Jika
dipandang sebagai hakikat maka ia adalah
Hakikat Insan dan juga Hakikat Alam. Nur
Muhammad adalah suasana pentadbiran Tuhan
bukan makhluk yang mendiami ruang alam.
Bekas alam yang menerima bakat dan
keupayaan Nur Muhammad itu dinamakan Roh
Muhammad.
Nur Sir: Nur Rahsia Allah s.w.t. Nur sir yang
menerima sinaran Nur Allah dan nur sir
memancarkannya kepada nur hati, lalu hati
mengalami sesuatu hal ketuhanan. Apa yang
Allah s.w.t mahu sampaikan kepada hamba-Nya
disampaikan-Nya kepada sir. Sir menterjemahkan
utusan Tuhan itu dalam bentuk nur dan nur
tersebut dihantarkan kepada hati. Hati yang
mempunyai bakat makrifat memahami perutusan
nur yang dihantarkan oleh sir itu.
nur tawajjuh: Hati hanya boleh menghadap
dan menghampiri Tuhan kerana peranan nur. Nur
yang berperanan demikian dinamakan nur
tawajjuh.
Nurullah: Nur Allah s.w.t.
Nur Zikir: Ibadat yang dilakukan oleh seseorang
hamba melahirkan nur. Wuduk melahirkan nur.
Sembahyang melahirkan nur. Zikir juga
melahirkan nur. Syarat bagi melahirkan nur
dalam ibadat itu ialah ikhlas kerana Allah s.w.t
semata-mata. Setiap nur yang lahir daripada
ibadat itu mempunyai fungsinya masing-masing
dalam membantu seseorang hamba mendekati
dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Nur zikir
melahirkan ingatan, kasih sayang dan kerinduan
kepada-Nya. Zikir yang sudah melahirkan nur
akan menambahkan kekuatan seseorang hamba
dalam pengabdiannya kepada Tuhannya dan dia
memperolehi kelazatan dalam berbuat demikian.
Nyawa Insan: Jasad hidup kerana Roh Haiwani
dan Roh Haiwani pula memperolehi penghidupan
daripada Roh Insan atau Nyawa Insan yang
dinamakan juga Latifah Sir.
Pembimbing Hakiki: Di dalam pengajian
ketuhanan tidak ada istilah kebetulan. Tidak ada
yang berlaku secara kebetulan, tanpa dirancang
atau ditadbir. Semua yang berlaku adalah di
bawah tadbir Allah s.w.t. Jika secara tiba-tiba
seseorang itu mendapat sesuatu pengetahuan
atau terbuka kepadanya sesuatu jalan, ianya
berlaku bukanlah secara kebetulan tetapi
menurut tadbir Tuhan. Oleh kerana hal tersebut
berlaku secara tiba-tiba sumber kedatangannya
tidak diketahui dengan jelas tetapi diyakini
bahawa al-Haq, iaitu Tuhan yang Maha
Mengasihani memberi taufik dan hidayat kepada
hamba-Nya yang berkenaan. Apabila pengajaran
tersebut dinisbahkan kepada al-Haq atau Tuhan,
ia diistilahkan sebagai Pembimbing Hakiki. Orang
yang menerima bimbingan secara demikian
dapat merasakan bahawa pengetahuan yang
sampai kepadanya adalah secara terancang
bukan secara kebetulan. Kehadiran Pembimbing
Hakiki tersebut, walaupun tidak diketahui
hakikatnya, menambahkan keyakinan kepada
hamba yang sedang berjalan pada jalan Tuhan
itu.
Pembimbing Rohani: Sama seperti
Pembimbing Hakiki.
Penglihatan Mutlak: Penglihatan Allah s.w.t
yang bersifat Mutlak. Penglihatan Allah s.w.t
tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan.
Jika dikatakan Allah s.w.t Melihat makhluk-Nya,
maka Dia Melihat makhluk-Nya itu sejak azali,
sebelum makhluk diciptakan. Dia Melihat
makhluk-Nya tatkala makhluk itu diciptakan. Dia
Melihat makhluk-Nya sesudah makhluk
diciptakan dan sampailah kepada keabadian. Dia
Melihat perbuatan makhluk sebelum makhluk
melakukan perbuatan itu, ketika makhluk
melakukannya dan sesudah makhluk
melakukannya. Dia Melihat yang awal dan yang
akhir, yang zahir dan yang batin. Pada setiap
perbuatan dan kejadian ada Penglihatan-Nya.
Pada setiap penglihatan makhluk ada juga
Penglihatan-Nya. Oleh yang demikian makhluk
tidak dapat melakukan dan melihat sesuatu
tanpa Allah s.w.t Melihatnya.
Penyaksian Hakiki: Penyaksian Hakiki mata
hati adalah suasana hati yang sentiasa
menyaksikan sesuatu tentang Tuhan, pada setiap
masa dan semua kejadian.
Perbendaharaan Yang Tersembunyi:
Rahsia-rahsia ketuhanan atau hakikat-hakikat
yang berada pada sisi Tuhan. Kumpulan hakikat-
hakikat tersebut dinamakan Hakikat
Muhammadiah.
Perintah Batin: Hati nurani dinamakan juga Diri
Batin. Nur dari alam ghaib diterima oleh hati
nurani atau Diri Batin itu. Nur yang dari alam
ghaib mempunyai kekuatan menguasai hati
nurani. Perutusan yang disampaikan oleh nur
tersebut diterima oleh hati nurani seumpama
menerima perintah, tidak berupaya
mengingkarinya. Hati kemudian memaksa
pancainderanya untuk melakukan menurut
perutusan yang telah diterimanya. Hal yang
demikian dinamakan perintah batin. Orang yang
menerima perintah batin ini sering melakukan
sesuatu yang pada zahirnya kelihatan tidak
munasabah bagi orang ramai. Namun begitu
orang berkenaan tidak ragu-ragu melakukan
perkara yang telah disampaikan kepada Diri
Batinnya itu sekalipun dipandang remeh oleh
orang lain.
Petunjuk Ilmu: Hati nurani adalah unsur nur
dan ilmu juga unsur nur. Nur ilmu memancar
kepada nur hati. Pancaran nur ilmu
mengwujudkan sesuatu suasana di dalam hati.
Hati memahami perutusan yang dibawa oleh nur
ilmu itu. Hal yang demikian dinamakan petunjuk
ilmu.
Petunjuk Laduni: Apabila nur dari alam ghaib
dinisbahkan kepada pekerjaan atau urusan
Tuhan ia dinamakan Petunjuk Laduni. Ia adalah
bimbingan yang Allah s.w.t sampaikan kepada
hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.
Qadak : Urusan atau suasana Pentadbiran
Tuhan mengenai sesuatu perkara. Ia boleh juga
dikatakan sebagai hakikat bagi kejadian Tuhan
ataupun suasana ilmu Tuhan yang mengenai
makhluk-Nya. Apa juga yang Tuhan berkehendak
menciptakan sudah ada pada sisi-Nya, dalam
Ilmu-Nya sebagai Pentadbiran-Nya dan dipanggil
hakikat-hakikat yang menguasai segala kejadian.
Qadar: Apa yang terzahir atau berlaku menurut
Qadak yang pada sisi Tuhan atau menurut
kehendak yang ada pada Ilmu-Nya atau menurut
hakikat-hakikat yang menguasai. Qadak berada
pada sisi Tuhan dan Qadar adalah yang ‘keluar’
menurut Qadak tersebut. Qadak adalah ilmu
Tuhan dan Qadar adalah perbuatan-Nya menurut
Ilmu-Nya. Boleh juga jika maksud yang dijelaskan
mengenai Qadak digunakan untuk Qadar dan
maksud untuk Qadar digunakan untuk Qadak.
Sebahagian ulama mentafsirkan Qadar sebagai
suasana ilmu Tuhan dan Qadak pula suasana
perbuatan Tuhan. Kedua-dua bentuk pentafsiran
tersebut boleh diguna-pakai.
Qurbi Faraidh: Suasana kerohanian di mana
seseorang itu berubah kesedaran dan sifatnya.
Dalam suasana yang demikian seseorang itu
melihat ketidak-upayaan dirinya dan dia hanya
menumpang daya dan upaya yang dari Allah
s.w.t. Dia melihat apa sahaja yang keluar
daripadanya adalah di bawah kekuasaan dan
perbuatan Tuhan secara langsung tanpa dia ikut
campur sedikitpun.
Qurbi Nawafil: Suasana kerohanian di mana
seseorang melihat dirinya sebagai bekas yang
Tuhan letakkan bakat-bakat dan keupayaan serta
dia diizinkan menggunakan bakat-bakat serta
keupayaan tersebut. Orang yang demikian
melihat dirinya sebagai pengurus yang diberi
kuasa untuk mentadbir apa yang dibekalkan
kepadanya.
Qutubul Aqtab: Ketua Agung sekalian wali-
wali.
radhiah: Nafsu radhiah.
raghib: Orang yang dilalaikan oleh dunia,
syaitan dan dorongan hawa nafsu yang rendah.
Akalnya tidak terbuka untuk memikirkan tentang
kebesaran dan kemurahan Tuhan Hatinya hanya
dipenuhi oleh tuntutan hawa nafsu, tidak ada
selira untuk mengingati Tuhan atau beribadat
kepada Tuhan.
Rahsia: Rahsia atau Sir adalah ‘perantara’ yang
kerananya penciptaan makhluk menjadi mungkin.
Ia menjadi pemangkin atau hijab kepada
kewujudan makhluk. Rahsia atau Sir inilah yang
memungkinkan ada hubungan makhluk dengan
Tuhan. Hakikatnya hanya Allah s.w.t sahaja yang
mengetahuinya.
Rahsia Allah s.w.t: Sama seperti Rahsia.
Roh Allah s.w.t: Hakikat Roh. Urusan Tuhan
yang berhubung dengan roh-roh. Ia dinamakan
Roh Allah, iaitu hakikat yang berada pada sisi
Allah s.w.t yang menguasai semua roh-roh.
Roh Insan: Latifah Sir.
Roh Muhammad: Roh yang paling latif yang
menjadi penjana kepada sekalian kehidupan.
Roh Mutlak: Roh Allah s.w.t.
Roh Tuhan: Roh Allah s.w.t.
Rububiah: Suasana Pentadbiran Tuhan
mengenai makhluk.
salat daim: Sembahyang yang berkekalan. Ada
beberapa pengertian mengenai salat daim.
Pertama, ia bermaksud sembahyang yang
dilakukan secara berkekalan, iaitu tidak
meninggalkan sebarang sembahyang fardu.
Kedua, ia bermaksud hati sentiasa terikat dengan
sembahyang, samada sedang melakukan
sembahyang atau sedang menunggu untuk
mengerjakan sembahyang sebelum masuk waktu
sembahyang. Ke tiga, ia bermaksud suasana
Latifah pada tahap kesedaran sir. Dalam
kesedaran tersebut muka hati sentiasa
menghadap kepada Allah s.w.t, tanpa diganggu
oleh kesibukan pekerjaan atau kehadiran makhluk
yang perlu dilayani. Keadaannya samalah seperti
keadaan orang yang sedang berpuasa.
Kesibukan dalam urusan harian tidak
menghilangkan suasana berpuasa pada hati
orang berkenaan. Pada tahap kesedaran sir
setiap perbuatan dan perkataan menjadi ibadat.
salihin: Orang salih, iaitu orang beriman yang
berjalan sesuai dengan peraturan syariat.
salik: Orang yang memasuki bidang latihan
kerohanian.
salikin: Sama seperti salik.
sama’ah: Menceritakan kebaikan yang
dilakukan bagi tujuan mendapatkan puji-pujian.
Samad: Salah satu daripada nama-nama Allah
s.w.t yang menceritakan tentang hal-Nya. As-
Samad membawa maksud bahawa Allah s.w.t
jualah tempat makhluk berhajat dan bergantung.
Makhluk tidak mungkin bebas daripada
pergantungan kepada-Nya. As-Samad juga
membawa maksud bahawa Allah s.w.t sahajalah
yang berkuasa menerima permohonan hamba
dan memperkenankannya. Selain itu as-Samad
juga membawa maksud bahawa Allah s.w.t
adalah penghujung segala sesuatu. Segala doa,
hajat, harapan, cita-cita, khayalan dan
sebagainya, walaupun dituju kepada sesiapa
sahaja namun, kesudahannya sampai kepada Dia
juga. Tidak ada perkataan, perbuatan, niat dan
lain-lain yang terlepas daripada Allah as-Samad.
siddik: Salah satu daripada sifat-sifat yang
wajib bagi Rasulullah s.a.w. Siddik bererti benar,
iaitu Rasulullah s.a.w adalah benar dalam
penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w
hanya menyampaikan apa yang diperintahkan
oleh Allah s.w.t. Baginda s.a.w tidak mengada-
adakan cerita dan tidak pula menyembunyikan
sebarang perkhabaran yang disampaikan oleh
Allah s.w.t.
Sifat Hakiki: Sifat Allah s.w.t yang melampaui
penyifatan dan ibarat.
Sir: Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t yang
menghubungkan makhluk dengan-Nya. Hakikat
hubungan tersebut tidak diketahui oleh makhluk.
Suara Hakiki: Perintah batin, petunjuk ilmu,
petunjuk laduni atau nur dari alam ghaib diterima
oleh hati nurani. Nur yang demikian sampai
kepada hati dengan membawa sesuatu perutusan
dan pengertiannya ditanamkan kepada hati
seumpama menanam sebiji benih. Hati adalah
umpama bumi yang menumbuhkan benih
tersebut. Setelah benih itu tumbuh maka
pokoknya menjadi nyata. Sehubungan dengan itu
hati berperanan menterjemahkan perutusan
segumpal yang diterimanya. Dalam berbuat
demikian hati seolah-olah menerima pengajaran
dan tutur-kata yang menghuraikan perutusan nur
yang diterimanya. ‘Tutur-kata’ yang didengar
atau difahami oleh hati itu dinamakan Suara
Hakiki. Ia adalah suara hati bukan suara manusia
berkata-kata secara nyata.
suhuf: Catatan wahyu yang diturunkan kepada
nabi-nabi yang sedikit bilangannya dinamakan
suhuf sementara yang lebih banyak dinamakan
kitab.
syariat: Hukum dan peraturan Tuhan mengenai
sesuatu perkara yang wajib dipatuhi oleh
manusia. Syariat diturunkan kepada nabi-nabi
dan mereka menyampaikannya kepada umat
manusia.
syariat batin: Peraturan syariat yang
berhubung dengan amalan hati seperti niat,
iman, tawakal dan sebagainya.
syariat zahir: Peraturan syariat yang berhubung
dengan amalan zahir seperti cara-cara
mengerjakan sembahyang, haji dan lain-lain.
syurgawi: Nikmat, kesejahteraan dan
keselamatan yang ada di syurga.
syuhud: Penyaksian dengan mata hati.
Walaupun perkataan penyaksian digunakan
namun, syuhud bukanlah melihat semata-mata.
Syuhud menggabungkan penyaksian,
pendengaran dan perasaan hati. Dalam syuhud
apa yang disaksikan itu jugalah yang didengar
dan dirasakan. Gabungan bakat-bakat yang ada
pada hati itulah dinamakan syuhud.
syirik: Melanggar sempadan yang memisahkan
ketuhanan daripada kehambaan. Syirik terjadi
apabila taraf ketuhanan diturunkan sehingga
menyamai taraf kehambaan dan juga apabila
taraf kehambaan dinaikkan sehingga menyamai
taraf ketuhanan. Syirik bukan sahaja terjadi
dalam perkara penyembahan malah perkara-
perkara lain juga boleh menyebabkan syirik,
seperti pemujian, penyayangan, ketaatan dan
sebagainya. Jika berlaku pemujian, penyayangan
dan ketaatan kepada makhluk sehingga
membelakangi hak ketuhanan Allah s.w.t, maka
terdapatlah syirik padanya.
syuhada: Orang yang mati syahid, iaitu orang
yang mati dalam peperangan pada jalan Allah
s.w.t.
syuhudi: Penyaksian dengan mata hati.
Walaupun perkataan penyaksian digunakan
namun, syuhud bukanlah melihat semata-mata.
Syuhud menggabungkan penyaksian,
pendengaran dan perasaan hati. Dalam syuhud
apa yang disaksikan itu jugalah yang didengar
dan dirasakan. Gabungan bakat-bakat yang ada
pada hati itulah dinamakan syuhud.
syurgawi: Sifat-sifat yang ada dalam syurga
seperti keselamatan dan kelazatan.
tabligh: Salah satu daripada sifat-sifat yang
wajib bagi Rasulullah s.a.w. Tabligh bermaksud
menyampaikan, iaitu Rasulllah s.a.w
menyampaikan sebagaimana yang diperintahkan
oleh Allah s.w.t, tanpa menyembunyikan atau
meminda sesuatu.
tafakur: Proses pengambilan ilmu oleh akal
zahir daripada akal yang bersuluhkan nur. Proses
ini berlaku sebagai perbincangan dengan diri
sendiri. Diri sendiri yang menjadi penanya dan
penjawab. Bantuan nur membuka kefahaman
terhadap perkara-perkara yang tidak difahami
sebelumnya. Aspek diri yang bertanya mendapat
jawapan yang memuaskan daripada aspek diri
yang menjawab.
tajalli: Hal ketuhanan yang Allah s.w.t gubahkan
bagi memperkenalkan Diri-Nya dan gubahan
tersebut dihantarkan-Nya kepada hati hamba-
Nya.
tajalliyat: Tajalli.
tajalli ilmu: Pembukaan terhadap pengetahuan
mengenai pengalaman kerohanian yang telah
dilalui dan hasilnya tercapailah makrifat.
tajalli Rahmani: Pembukaan mengenai hal-hal
ketuhanan yang dipengaruhi oleh Tarikan
ketuhanan secara langsung. Dalam tajalli
Rahmani salik mencapai fana dan ikut hancur
adalah ego dirinya. Apabila salik kembali kepada
kesedaran semula dia kembali dengan tawaduk,
tanpa ego diri, sombong atau takbur.
tajalli roh: Pembukaan mengenai perkara ghaib
berlandaskan kekuatan Roh Haiwani yang
dihijabkan oleh sifat-sifat nafsu yang rendah.
Tajalli roh mendorong kepada penyaksian
terhadap ketuhanan roh. Orang yang menerima
tajalli roh menjadi semakin ego, merasakan
ketuhanan diri dan membuang syariat.
tajalli rohani: Sama seperti tajalli roh.
tajrid: Suasana hati yang melihat sesuatu
perkara dari sumbernya, iaitu Tuhan. Kepantasan
mata hati memandang kepada Tuhan
menyebabkan hukum sebab musabab tidak
mempengaruhinya. Hati yang demikian kuat
berserah dan bergantung kepada Tuhan, bukan
kepada makhluk. Walaupun tindakan menurut
hukum sebab musabab diambil namun,
keberkesanan diletakkan kepada Tuhan dan
ketentuan-Nya, bukan pada sebab musabab
tersebut.
takwa: Sempadan hukum dan peraturan Tuhan
yang perlu dijaga oleh seseorang hamba. Hamba
yang bertakwa memelihara dirinya agar tidak
terdorong untuk keluar dari sempadan tersebut.
Dalam berbuat demikian hati dikuasai oleh rasa
taat, merendah diri, takut, harap dan sebagainya
kepada Tuhan. Gabungan sifat-sifat kehambaan
tersebut merupakan sifat takwa.
tanzih: Keadaan Tuhan yang melampaui
penyifatan.
taqarrub: Mendekati Allah s.w.t.
tarekat: Jalan, cara atau sistem yang digunakan
bagi tujuan mendekatkan diri kepada Tuhan.
tarekat Islam : Peraturan syariat zahir dan
syariat batin.
tarekat kehidupan harian : Menyesuaikan
kehidupan yang dijalani harian dengan peraturan
syariat zahir dan syariat batin.
tarekat sufi: Jalan kesufian.
tarekat tasauf: Pendekatan diri kepada Tuhan
melalui cara tasauf menurut kaedah yang
dibentuk oleh guru-guru tasauf yang telah
mencuba sendiri sesuatu kaedah itu.
tarekat ujian bala: Ujian bala seperti penyakit,
kesusahan mencari rezeki, kemalangan dan lain-
lain adalah merupakan proses latihan kepada
jiwa agar ia kembali kepada Tuhan.
tasauf: Satu aliran ilmu dan kefahaman agama
yang menitik-beratkan soal hati, penyuciannya
dan hubungannya dengan Tuhan.
tasybih : Keadaan Tuhan yang boleh disifatkan.
taubat
nasuha: Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat
jenis ini adalah seumpama mencabut rumput
dengan akarnya sekali agar rumput tersebut tidak
berpeluang tumbuh kembali. Orang yang
melakukan taubat nasuha bukan sahaja berhenti
melakukan kesalahan malah faktor-faktor yang
boleh membuka pintu kepada kesalahan tersebut
juga dihapuskan.
taufik: Pertolongan Tuhan.
tauhid syuhudi: Penyaksian satu wujud oleh
mata hati, dinamakan wahdatul syuhud.
tauhid wujudi: Keyakinan atau kepercayaan
tentang satu wujud, dinamakan wahdatul wujud.
tawaduk: Merendah diri, terutamanya dengan
Allah s.w.t.
tawajjuh: Salah satu suasana kerohanian di
mana berlaku ‘lonjakan’ kesedaran daripada
kesedaran kebendaan kepada kesedaran hakikat
yang membawa hati merasakan kehampiran Allah
s.w.t.
tawakal: Meletakkan harapan, pergantungan
dan penyerahan hanya kepada Allah s.w.t.
Tawakal beserta setiap amalan, di sepanjang
amalan itu, bukan hanya datang sesudah amalan
dibuat. Tawakal yang menemani setiap langkah
pekerjaan membuat hati sentiasa memandang
kepada Allah s.w.t, melihat Kudrat dan Iradat-
Nya, Haula dan Kuwwata-Nya serta Qadak dan
Qadar-Nya. Hamba tidak terlepas daripada
berhajat dan bergantung kepada Allah s.w.t
walau satu detik pun. Allah s.w.t memiliki sifat
iftiqar yang mewajibkan hamba memerlukan-Nya.
Di atas kefaqiran terhadap Allah s.w.t itulah
hamba tidak putus bertawakal kepada-Nya.
tawasul: Mengadakan perantaraan bagi
menyampaikan seseorang kepada Allah s.w.t.
Ada murid yang bertawasul kepada gurunya bagi
mendekatkan dirinya dengan Tuhan. Ada orang
yang bertawasul kepada amalan baiknya bagi
menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Ada juga
orang yang bertawasul kepada arwah orang yang
sudah meninggal dunia bagi sesuatu maksud.
ubudiah: Suasana kehambaan, iaitu wujud yang
diperintah dan tertakluk kepada hukum ketentuan
Tuhan.
ukhrawi: Perkara atau suasana akhirat.
Uluhiyah: Suasana ketuhanan, iaitu Wujud yang
memerintah dan mentadbir. Sekalian makhluk
berhajat dan bergantung kepada-Nya.
uns: Hati yang telah merasai jalinan hubungan
dengan Allah s.w.t dan lahir rasa kasih
terhadap-Nya.
uzlah: Pengasingan diri di tempat yang sunyi
bagi tujuan menyucikan hati, membuang sifat-
sifat yang tercela, menambahkan ibadat kepada
Tuhan dan seterusnya mendekati-Nya.
Wahadiyyah: Suasana ketuhanan yang
dinamakan nama-nama Tuhan. Nama-nama
Tuhan yang banyak memperincikan keadaan
Tuhan Yang Satu. Secara hakikat suasana yang
demikian dinamakan Hakikat Insan.
Wahdat: Suasana ketuhanan yang dipanggil
sifat-sifat Tuhan. Suasana sifat menceritakan
keadaan nama-nama yang terkumpul, tidak
diperincikan. Semuanya berada dalam satu
kesatuan. Satu nama Tuhan menceritakan satu
keadaan Tuhan tetapi nama Allah menceritakan
keseluruhan aspek Tuhan. Wahadiyyah
menceritakan aspek Tuhan secara satu-satu.
Wahdat pula menceritakan aspek Tuhan Yang
Satu iaitu Allah s.w.t, tetapi ia bukanlah Allah
s.w.t. Wahadiyyah dan Wahdat hanyalah
keadaan atau perihal Allah s.w.t tetapi bukanlah
Dia. Suasana Wahdat ini dinamakan Hakikat
Muhammadiah, yang menerima maklumat yang
lengkap daripada Allah s.w.t. Maklumat Hakikat
Muhammadiah itu kemudiannya disalurkan
kepada cabang-cabang hakikat.
wahdatul ma’abud: Fahaman dan
kepercayaan kepada satu Tuhan yang wajib
disembah, ditaati dan segala pengabdian
hanyalah untuk-Nya. Syariat mengajarkan
wahdatul ma’abud, tidak ada Tuhan melainkan
Allah s.w.t.
wahdatul syuhud: Menyaksikan satu wujud.
Penyaksian tersebut berlaku dalam pengalaman
kerohanian.
wahdatul wujud: Doktrin yang membawa
fahaman dan kepercayaan bahawa hanya satu
wujud sahaja yang ada iaitu wujud Tuhan. Wujud
makhluk dan wujud Tuhan adalah wujud yang
sama. Wujud hamba dan wujud Tuhan bersatu
pada satu wujud.
wahyu: Petunjuk dan ajaran yang Allah s.w.t
turunkan kepada nabi-nabi melalui beberapa
cara, cara yang paling terkenal adalah wahyu
yang dibawa oleh Jibrail. Wahyu tahap pertama
diterima oleh Alam Hijab dalam peringkat Alam
Arasy. Tidak ada makhluk mengetahui keadaan
nur wahyu yang pada Alam Hijab itu. Nur Arasy
menghalang makhluk alam bawah daripada
menghampirinya. Sebagaimana Jibrail tidak
dapat menghampiri Nur Arasy begitu jugalah
Jibrail tidak mampu bertahan menerima nur
wahyu yang pada Alam Hijab. Allah s.w.t
membaluti nur wahyu itu dengan rahmat-Nya dan
ia dibawa turun kepada Jibrail yang menanti di
luar Alam Hijab. Rahmat Allah s.w.t
menyelamatkan Jibrail daripada hancur apabila
menanggung nur wahyu. Rahmat Allah s.w.t
sentiasa menemani nur wahyu itu melalui setiap
peringkat alam sehingga ia sampai kepada nabi
yang ditakdirkan menerima wahyu tersebut.
Tidak diketahui bagaimanakah hakikat nur wahyu
yang sebenarnya, tetapi rahmat Allah s.w.t
mempermudahkannya sehingga wahyu yang
sampai kepada nabi itu menjadi boleh diterima,
ditanggung, dibaca dan difahami oleh manusia.
Walaupun begitu di dalam bungkusan rahmat
Allah s.w.t itu tetap ada nur wahyu yang asli
yang mampu meleburkan Jibrail. Apabila Allah
s.w.t berkehendak memperkenalkan Kalam-Nya
Yang Hakiki, disingkap-Nya sedikit tabir yang
menutupi nur wahyu itu. Tatkala itu hati yang
berhadapan dengannya menjadi hancur, fana.
Setelah sedar semula hamba itu mendapat
makrifat tentang Kalam Tuhan. Bagaimana
mungkin kewujudan alam ini bertahan
menanggung hal-hal ketuhanan yang
menguasainya? Semuanya adalah kerana rahmat
Allah s.w.t.
Wajibul Wujud: Wujud Yang Wajib iaitu Wujud
Tuhan.
wali: Hamba yang kembali kepada taraf amr
Tuhan dan diletakkan-Nya di bawah payung
pemeliharaan serta penjagaan-Nya. Seseorang
wali melakukan sesuatu perkara bukan dengan
kehendak dirinya sendiri tetapi dengan kehendak
dan izin Allah s.w.t. Walaupun demikian
seseorang wali masih juga mungkin melakukan
kesalahan-kesalahan tetapi pemeliharaan Allah
s.w.t cepat menariknya kembali kepada jalan
yang benar.
wali kecil: Tahap seseorang hamba dipelihara,
dijaga dan ditadbir secara sepenuhnya oleh
Allah s.w.t, seumpama seorang bayi di tangan
ibunya. Semua perkara dilakukan oleh si ibu,
bayi hanya menanti. Si bayi tidak mampu
menguruskan dirinya sendiri. Begitulah keadaan
wali kecil yang diuruskan sepenuhnya oleh Allah
s.w.t. Apabila dia meningkat lagi Allah s.w.t
kembalikan bakat-bakat dan keupayaan
mengurus kepada dirinya sehingga dia menjadi
khalifah yang mampu menguruskan kehidupan di
dalam dunia ini.
Wali Qutub: Wali peringkat tinggi.
warak: Sifat orang yang beriman, iaitu cermat di
dalam segala pekerjaan. Orang yang beriman
menjaga batas hukum. Perkara yang halal adalah
jelas dan perkara yang haram juga jelas. Di
antara yang halal dengan yang haram itu ada
daerah yang samar-samar, yang dikatakan
mungkin halal dan mungkin haram. Orang
beriman yang warak meninggalkan perkara yang
samar-samar dan meragukan itu. Semakin jauh
daerah yang meragukan itu ditinggalkan semakin
selamatlah iman seseorang.
warid: Kurniaan Allah s.w.t kepada hati iaitu
sinaran Nur-Nya yang dengan itu hati merasai
atau mengalami sesuatu hal mengenai
ketuhanan.
waridah: Warid.
wirid: Amal ibadat seperti sembahyang, puasa
dan zikir yang dilakukan secara teratur dan
berterusan mengikut satu pola tertentu.
wisal: Penyerapan yang berkekalan terhadap
sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut menguasai
hati secara terus menerus dan terbentuklah
sesuatu keperibadian dan sifat khusus pada
orang berkenaan yang dipakainya sehingga ke
akhir hayatnya.
Wujud Hakiki: Wujud Tuhan, iaitu Wujud
mutlak.
Wujud Mutlak: Wujud Tuhan. Wujud Mutlak
adalah wujud yang tidak boleh disifatkan. Istilah
wujud itu sendiri tidak menepati maksud Wujud
Mutlak. Bila dikatakan wujud maka ada lawannya
iaitu tidak wujud. Tidak ada sekutu atau lawan
bagi Allah s.w.t. Dia melepasi wujud atau tidak
wujud. Dia tidak ada perkaitan dengan Wajibul
Wujud atau mumkinul wujud. Jika perkataan
wujud mahu digunakan maka Wujud-Nya adalah
Mutlak, iaitu melampaui wujud. Sifat yang boleh
dikatakan tentang Allah s.w.t adalah “Laisa
kamithlihi syaiun – tidak ada sesuatu sebanding
dengan-Nya”.
wusul: Biasanya hamba mengingati Allah s.w.t
melalui nama-nama-Nya.. Jika tidak ada sebutan
nama-Nya atau tidak ada ingatan hati kepada
nama-Nya, maka hati berpaling atau terlepas
daripada mengingati-Nya. Dalam perjalanan
makrifat ada tahap di mana ingatan kepada Allah
s.w.t bukan lagi melalui nama. Ia adalah dalam
keadaan hati ‘memandang’ kepada-Nya tanpa
mengingati nama-Nya. Hamba menyaksikan
bahawa nama tidak mempunyai kekuatan apa-
apa, malah nama itu juga bergantung kepada-
Nya. Hamba yang sampai kepada makrifat tahap
ini merasakan kehadiran Allah s.w.t tanpa dihijab
oleh sebarang nama. Ingatannya kepada Allah
s.w.t adalah rasa jelira, mesra dan lazat
berhadapan dengan-Nya. Suasana yang
demikian dinamakan wusul atau sampai, iaitu
sampai kepada-Nya. Suasana tersebut adalah
pengalaman kerohanian bukan sampai secara
nyata.
wisal: Penyerapan yang berkekalan terhadap
sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut menguasai
hati secara terus menerus dan terbentuklah
sesuatu keperibadian dan sifat khusus pada
orang berkenaan yang dipakainya sehingga ke
akhir hayatnya.
zauk: Pengalaman rasa yang dialami oleh hati
yang berhubung dengan Tuhan. Melalui
pengalaman tersebut hati mengenali Tuhan.
zauk hakikat: Pengalaman rasa mengenai
sesuatu perkara atau suasana pada sisi Allah
s.w.t yang menjadi sumber kepada kewujudan
sesuatu perkara dan suasana tersebut.
zikir: Hubungan fikiran dan perasaan dengan
Allah s.w.t. Zikir meliputi ucapan, perbuatan dan
perasaan. Ucapan nama-nama dan sifat-sifat
Allah s.w.t adalah zikir. Melakukan sesuatu
amalan kerana mentaati perintah Allah s.w.t
adalah zikir. Merenung dan memikirkan tentang
kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t yang
ternyata pada kerapian ciptaan alam maya ini
adalah juga zikir. Merasai keagungan dan
keindahan Allah s.w.t adalah juga zikir. Apa juga
yang beserta ‘kerana Allah Ta’ala’ adalah zikir.
zikir daim: Zikir yang berkekalan. Apabila
suasana ‘kerana Allah Ta’ala’ tidak putus,
seseorang hamba itu sentiasa berada di dalam
zikir, samada zikir ucapan atau zikir perbuatan
atau zikir perasaan ataupun gabungan
kesemuanya. Keadaan ini diperolehi setelah
mencapai tahap penyaksian hakiki mata hati,
iaitu mata hati menyaksikan Allah s.w.t pada
setiap masa, semua keadaan dan segala
kejadian. Allah s.w.t disaksikan pada dua
perkara yang berlawanan dengan sekali
pandang. Kerenah makhluk dan simpang siur
perjalanan sistem sebab musabab tidak
menyambar pandangan mata hati daripada
menyaksikan sesuatu tentang Tuhan yang
Hadrat-Nya meliputi segala sesuatu.
zindik: Kumpulan yang tidak mempercayai
agama tetapi berpura-pura menganut fahaman
keagamaan. Kumpulan ini muncul di Makkah,
seperti kumpulan munafik muncul di Madinah.
Puak munafik berpura-pura menyertai Islam
kerana pada ketika itu agama Islam mempunyai
kekuatan di Madinah. Puak zindik berpura-pura
menganut fahaman agama berhala kerana pada
ketika itu agama berhala mendapat tempat di
kalangan orang Makkah.
zuhud: Suasana hati yang tidak dikuasai atau
dipengaruhi oleh dunia, walaupun kemewahan
dan kesenangan keduniaan dimilikinya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar