Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Rabu, 30 Oktober 2013
21: TAUBAT: PINTU KESELAMATAN
Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari
Tuhannya lalu Dia ampunkannya kerana Allah itu
Maha Pengampun Maha Penyayang. ( Ayat
37 : Surah al-Baqarah )
Dia jualah Penerima taubat hamba-hamba-Nya
dan mengampunkan dosa dan Dia Mengetahui
apa yang kamu kerjakan. ( Ayat 25 : Surah
asy-Syura )
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan
mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah
tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan
kerana Allah Maha Pengampun Maha
Penyayang. ( Ayat 70 : Surah al-Furqaan )
Adam a.s, manusia pertama, telah melakukan
kesalahan. Ketika itu beliau a.s mendiami syurga.
Manusia secara tabi’inya tidak dapat
mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan,
sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang
serba menyenangkan, apa lagi mereka tinggal di
dalam dunia yang serba memayahkan. Adam a.s
mengakui kesalahannya dan merujuk kembali
kepada Tuhan, memohon agar Tuhan
mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi
menutup kesalahannya dan menggantikannya
dengan kebaikan. Tuhan Yang Maha Pengampun
Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam a.s
beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat. Adam a.s
bertaubat dengan penuh keinsafan dan
keikhlasan. Tuhan yang mengajarkan Adam a.s
bertaubat itu menerima taubatnya dan
mengampunkan kesalahannya. Taubat
mengembalikan Adam a.s kepada Tuhan as-
Salam, Yang Mensejahterakan. Taubat yang
dilakukan oleh Adam a.s adalah taubat yang
disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih.
Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan
dan menggantikannya dengan kebaikan.
Iblis, jin yang pertama diciptakan Tuhan, telah
melakukan kesalahan. Kesalahan Adam a.s
adalah lupa kepada pesanan Tuhan. Kesalahan
iblis pula adalah engkar kepada perintah Tuhan.
Adam a.s mengakui kesalahan dan bertaubat.
Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya dan
enggan bertaubat. Adam a.s yang bertaubat
menerima nikmat keampunan dari Tuhan. Iblis
yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan
laknat dari Tuhan. Adam a.s kembali kepada
Tuhan dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak
jauh dari Tuhan dan hilang peluang untuk
kembali. Di akhirat kelak taubat membawa Adam
a.s kembali kepada syurga dan iblis pula akan
dicampakkan ke dalam neraka jahanam, tempat
yang paling buruk dan paling azab.
Taubat adalah jalan kembali kepada Tuhan.
Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak
jauh dari Tuhan. Jika dia tidak bertaubat dia
tetap tinggal jauh dari Tuhan. Jika kemudiannya
dia berbuat kebaikan maka dia berbuat baik
dalam keadaan jauh dari Tuhan. Dia boleh
melakukan suruhan syariat tetapi tanpa taubat
dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Tuhan.
Hamba yang melakukan kesalahan sangat perlu
bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman.
Iman yang menguatkan amal salih. Tanpa iman
tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat
sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal
yang demikian sangat sedikit nilai salihnya. Salih
itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu
amal itu di sisi Tuhan. Amal yang tidak disertai
oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala
bukan sahaja berguna di akhirat. Keberkatan
pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia
merupakan terjemahan kepada pahala yang
diperolehi daripada amal yang salih. Di akhirat
kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata
lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian
tidak mampu diselesaikan lantaran tidak
bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.
Bani Adam memiliki tabii keadaman. Mereka
tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak
wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak
pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu
bertaubat. Nabi Muhammad s.a.w yang suci
bersih pun sering bertaubat. Paling tidak
memohon keampunan di atas kelemahan sebagai
manusia yang tidak berupaya melakukan perintah
Tuhan dengan sempurna.
Ramai manusia terhalang daripada memperolehi
apa yang layak diperolehinya sebelum mereka
memasuki pintu taubat. Adam a.s yang
diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi
hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah
beliau a.s melalui pintu taubat dan menerima
keampunan dari Tuhan. Roh syariat, roh agama,
nur iman, nur Ilahi dan yang seumpamanya
hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh
dengan air taubat. Orang yang bertaubat dan
Tuhan mengampunkan dosanya, kesuciannya
kembali kepada kesucian roh yang latif, yang
suci dan hampir dengan Tuhan. Manusia yang
rohnya kembali kepada taraf amr Tuhan akan
memperolehi keselamatan di dunia dan di
akhirat. Manusia yang memiliki roh yang
demikian mampu mengkamilkan batin syariat
dengan zahir syariat atau antara iman dengan
amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah
bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga
boleh kembali kepada Tuhan dan layak
dipakaikan mahkota khalifah di bumi.
Taubat yang hanya merupakan kata-kata, tanpa
mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan,
tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa
tersebut, tidak mengambil langkah mencegah
daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak
melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan
dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak
terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam.
Taubat yang demikian adalah umpama
memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja
sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan.
Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya
tidak dicabut. Orang yang benar-benar bertaubat
mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan
tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan
membebaskan dirinya daripada punca
kesalahan. Taubat yang begini umpama
mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam
tanah dan membuangnya jauh-jauh.
Taubat luaran adalah penyesalan secara umum
dan samar-samar. Tauabat dalaman adalah
penyesalan yang jelas tentang apa yang
dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya.
Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi
menghampiri zina, bukan sekadar tidak
melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri
zina, sekalipun tidak melakukannya, itu bukanlah
taubat yang sebenarnya. Adam a.s yang telah
melakukan kesalahan dengan memakan buah
larangan di dalam syurga, setelah bertaubat
beliau a.s tinggal di bumi yang sangat jauh
daripada pokok larangan yang menjadi isu
kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah
orang yang berdosa tidak jatuh lagi ke dalam
jurang dosa tersebut.
Orang yang benar dengan taubatnya mempelajari
keadaan dirinya, mencari punca dan faktor yang
menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa.
Dia mengawasi perjalanan nafsunya,
membebaskannya daripada ego yang mengheret
kepada kejahatan dan kedurhakaan kepada
Tuhan. Jihad membuang nilai-nilai buruk
daripada daerah nafsu akan memberi kekuatan
kepada rohani. Rohani yang sedar dan celik akan
dapat melihat kepada kejahatan dan dapat
mengeluarkan teguran daripada dalam. Teguran
dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada
peringkat awalnya suara hati hanya sekadar
memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang
berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin
banyak nilai-nilai buruk dikeluarkan daripada
daerah nafsu suara hati akan menjadi lebih kuat.
Hati akan sempat memberi peringatan sebelum
terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan
penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan
kesedaran seseorang tentang yang benar dan
yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya
hakikat yang benar dan yang salah. Apabila
hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia
akan lebih mudah melakukan yang benar dan
meninggalkan yang salah.
Dalam perjalanan menuju tahap yang suci bersih
seseorang perlu menentang nafsu kehaiwanan
yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang
suci bersih. Nafsu kehaiwanan hanya inginkan
makanan, minuman, pakaian, tidur, melakukan
yang sia-sia dan berseronok. Dalam daerah
nafsu yang rendah itu juga ada sifat ego yang
jahat seperti takabur, sombong, dengki, dendam,
tamak dan lain-lain penyakit hati. Semua itu
mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya
kemurnian nafsu yang asli kembali menyerlah.
Orang yang benar-benar bertaubat mampu
berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci,
bersih dan murni. Hijab yang muncul dari alam
zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan
bercahaya, memperlihatkan keserian wajah yang
menggambarkan kedamaian jiwa.
Syariat mengajarkan jihad menyelamatkan diri
daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia
melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga
melalui dirinya yang tidak kelihatan. Mata,
telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, syahwat dan
segenap tubuh boleh menjadi pintu buat dosa
memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga
menjadi pintu dosa.
Dosa adalah umpama besi dan neraka umpama
besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi
dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan
yang harum memasukkan dosa ke dalam tubuh
manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging,
tulang, sumsum dan seluruh tubuh. Tangan yang
melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa
seperti balutan lumpur. Tangan yang berbalut
dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan,
pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa
sahaja yang disentuhnya.
Syahwat yang berzina akan dibaluti dosa dan
dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa itu
juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang
menyuap makanan dibaluti dosa. Makanannya
haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani
yang terbentuk dalam tubuhnya juga terpalit
dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia
menghantar air mani yang terpalit dosa ke dalam
kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu lagi
bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa.
Anak keluar ke dunia membawa kekuatan dosa,
bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai
bayi yang dibungkus oleh dosa sejak dalam
kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit
yang ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar
sahaja ke dunia sudah pun menghidapi penyakit
aids.
Kecelakaan menimpa manusia yang berdosa
kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja
yang mereka lakukan. Apa sahaja yang
dipegangnya dan apa yang keluar daripadanya
beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari
jalan untuk menjahanamkan Bani Adam. Dosa
yang menemani seseorang itu membawa bahang
api neraka kepadanya ketika dia masih hidup
dalam dunia ini, apa lagi setelah dia memasuki
lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya
menjadi resah gelisah dan kepanasan. Isteri yang
cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta
yang banyak tidak menemukannya dengan
kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh
manusia tidak mendamaikan jiwanya. Beban
dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai
mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.
Fikiran dan perasaan yang dibaluti dosa,
walaupun memikirkan sebaik mungkin,
merancang dengan penuh kerapian, membuat
kajian dengan teliti namun, hasilnya adalah
kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-
pakar perubatan untuk membantu orang sakit
itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan
manusia. Satelit yang diciptakan untuk
kesejahteraan umat manusia itulah yang
memandu peluru berpandu dan bom nukliar
untuk membunuh umat manusia sendiri.
Sentuhan fikiran, perasaan dan anggota yang
berdosa lebih mengwujudkan neraka dalam
dunia daripada memberi kesejahteraan kepada
umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan
dalam dunia inilah yang mengheret dunia kepada
kiamat.
Ulama zaman dahulu suka memperingatkan umat
manusia supaya menghindarkan diri daripada
melakukan dosa demi kesejahteraan manusia
sendiri. Ramai daripada ulama hari ini segan
mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap
kolot. Orang ramai hari ini tidak tahu tentang
dosa tetapi sangat mengerti tentang kemudaratan
pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai
secara saintifik terlebih dahulu untuk mengetahui
kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum
arak? Apakah kemudaratan memakan daging
babi? Apakah kemudaratan tidak
bersembahyang? Apakah kemudaratan tidak
berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke
dalam ‘tabung uji’ terlebih dahulu sebelum
disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih
tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa
atau tidak.
Kaum Muslimin memainkan peranan yang penting
di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai
pengimbang kepada ketidak-stabilan yang terjadi
kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan
menyekat mala petaka yang mengancam dunia
akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin
mempunyai keupayaan yang tinggi kerana
mereka berpegang kepada syariat yang benar
yang mengajar mereka ibadat taubat dan
memperkenalkan mereka kepada Tuhan Yang
Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat
yang mengalir daripada kaum Muslimin
menyejukkan api neraka dunia yang keluar
daripada dosa-dosa manusia. Taubat merupakan
kurniaan Tuhan yang besar kepada orang-orang
yang beriman demi faedah mereka sendiri dan
umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti
disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan
hidup di dunia dan juga di akhirat. Kaum
Muslimin seharusnya memandang serius kepada
ibadat taubat sebagaimana kesungguhan mereka
dalam ibadat sembahyang dan lain-lain. Mereka
mestilah benar di dalam taubat sebagaimana
benarnya hati mereka menghadap Tuhan di
dalam sembahyang.
Taubat, sebagaimana juga ibadat yang lain, ada
aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek zahir
melibatkan cara dan peraturan yang
bersangkutan dengan perbuatan zahir. Aspek
batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan
zahir digantungkan kepada niat yang berada
dalam batin.
Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan
amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang
membicarakan tentang syariat zahir dinamakan
ilmu fikah. Ilmu yang membicarakan tentang
syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fikah
dan tasauf digunakan pada zaman yang di
belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w
semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau
ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan
ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan
tasauf. Ilmu fikah mengajar manusia cara
beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar
manusia menghadap Tuhan dengan benar dalam
melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang
cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah
menganggap tasauf sebagai persaingan kepada
fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman
yang membezakan tasauf daripada syariat, yang
mengatakan fikah itulah syariat dan tasauf adalah
bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan.
Tasauf berperanan memudahkan seseorang
melakukan peraturan syariat sebagaimana yang
dikehendaki oleh fikah. Fikah pula membentuk
jalan yang lurus agar seseorang boleh
menghadap kepada Tuhan dan menghampiri-Nya
sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf.
Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat
yang sempurna. Berfikah tanpa tasauf dibolehkan
bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang
Islam tetapi bertasauf tanpa fikah tidak mungkin.
Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan
niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan
sembahyang.
Taubat yang benar menggabungkan cara fikah
dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat
melakukan sembahyang sunat taubat dan
memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan
yang berhubung dengan orang lain diselesaikan
secara meminta maaf atau membayar hutang jika
ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia
bertaubat. Dia tidak mendekati ruang yang boleh
membawanya kepada kesalahan semula. Bagi
kesalahan kepada orang lain dia perlu
mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.
Taubat yang lebih mendalam perlu kepada
bimbingan orang arif yang telah melakukan
taubat secara khusus. Orang arif melakukan
taubat dengan penuh rasa takut kepada Tuhan.
Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan
jatuh ke atas kepalanya. Dia berasa takut dan
lari kepada Tuhan memohonkan keampunan-Nya.
Dia takut dicampakkan jauh daripada Tuhan. Dia
takut ‘kehilangan’ Tuhan yang sangat dikasihinya.
Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya
dan keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana
Tuhan Melihat dan Mendengar segala perbuatan
dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan
azab Tuhan yang sangat keras. Ucapan yang
keluar dari mulut orang yang takutkan Tuhan
memberi kesan yang mendalam kepada jiwa
orang yang mahu bertaubat. Keadaan takutkan
Tuhan itu turut menguasai jiwa orang berkenaan
yang mahu bertaubat itu. Perkataan yang keluar
daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh
cahaya suci menyinar pada cermin hati orang
yang mendengar. Hati yang menerima pancaran
cahaya suci daripada orang suci akan menjadi
jaga dan hidup. Hati yang hidup itu melakukan
taubat dengan sebenar-benarnya.
Orang arif yang mampu membimbing orang lain
memasuki pintu taubat adalah orang yang telah
sampai kepada makam kehampiran dengan
Tuhan. Kemudian mereka dihantar balik kepada
alam rendah bagi membimbing orang lain yang
berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan
kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut
orang arif berjalan menurut Sunah Rasulullah
s.a.w. Tugas pembimbing kerohanian berbeza
daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan
menyampaikan kepada semua orang.
Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan
semua orang. Mereka hanya mengambil orang-
orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk
mengikuti latihan intensif bagi menambahkan
bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada
orang ramai. Rasul diberi kebebasan dalam
melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing
jalan kerohanian mesti mengikuti jalan rasul,
tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru
kerohanian yang mengaku dirinya bebas
daripada Sunah Rasulullah s.a.w, mendakwa
dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah
jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran. Guru
kerohanian yang benar berpegang teguh kepada
prinsip agama yang dibawa oleh Rasulullah
s.a.w, tidak membawa peraturan baharu. Cara
penyampaian mereka boleh jadi berbeza dengan
cara Rasulullah s.a.w kerana kebijaksanaan
manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak
sampai mengubah hukum dan peraturan. Orang
arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan
Rasulullah s.a.w melebihi kehampirannya dengan
isteri, anak dan kaum keluarga mereka.
Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian
yang lebih erat daripada hubungan darah daging.
Dalam masyarakat Islam sudah ramai orang alim
yang memperkatakan tentang zahir syariat iaitu
ilmu fikah. Sebab itu orang arif lebih
menumpukan soal batin iaitu ilmu tasauf yang
menumpukan soal hati. Bidang fikah lebih
bersifat umum. Satu fatwa yang dikeluarkan oleh
seorang alim fikah sesuai untuk orang ramai dan
kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat
persendirian. Bagi satu orang hanya ada satu
sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya.
Oleh sebab itu guru kerohanian perlu ada kasyaf
yang membolehkannya mengerti kedudukan
muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi
memandu murid yang didatangi oleh jazbah atau
mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang
arif mengerti jalan khusus yang sedang dilalui
oleh muridnya dan dia mampu membimbing
muridnya menuju matlamat dengan selamat.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar