Selasa, 29 Oktober 2013

35: Perbendaharaan Yang Tersembunyi


Juru-bicara dalam diri si hamba menyampaikan:
“ Allah s.w.t bertitah, ‘ Jangan sesiapa
mengganggu Keesaan-Ku. Tidak ada sesiapa
dapat merobohkan Keperkasaan-Ku. Sesiapa
yang mencerobohi Benteng Keperkasaan-Ku akan
Aku bakar dengan api Keagungan-Ku dan dia
akan binasa! Selamatkanlah diri kamu. Pergilah
kamu dan masuklah kamu ke dalam
Perbendaharaan-Ku Yang Tersembunyi untuk
mengenal Daku sekadar Daku izinkan engkau
mengenali Daku’”.
Perbendaharaan Yang Tersembunyi itu
bernama:
Pintu gerbangnya bernama:
Kuncinya bernama:
Cahaya yang menerangi di dalamnya
bernama:
Kenderaan di dalamnya bernama:
Dengan izin Allah s.w.t si hamba masuk ke
dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi.
HAKIKAT ASMA’ (NAMA-NAMA ALLAH
S.W.T)
Ke mana sahaja kamu hadapkan muka kamu di
situ Wajah Allah. ( Ayat 115 : Surah al-
Baqarah )
Di dalam Perbendaharaan-Nya Yang
Tersembunyi, ke mana sahaja di halakan
pandangan hanya Wajah-Nya yang kelihatan.
Wajah-Nya disaksikan sebagai:
Wajah-Nya menyata melalui sifat-sifat dan nama-
nama-Nya. Wajah-Nya disaksikan melalui Jamal-
Nya dan Jalal-Nya. Wajah Jamal-Nya menyata
melalui nama-nama: ar-Rauf, al-Wadud, al-
Halim, al-Karim, al’Afuwwu, al-Ghaffar, al-
Mannan, al-Hannan, as-Sobbur, asy-Syakur dan
ar-Razak. Wajah Jalal-Nya menyata melalui
Nama-nama: al-Jabbar, al-Muntaqim, al-‘Aziz,
al-Muta’al, al-Mutakabbir, al-Muhaimin, al-Jalil,
al-‘Adzim, al-Kabir, al-Mu’iz, al-Qabidh dan al-
Khafidh. Nama-nama Tuhan ada yang
menunjukkan kepada sifat dan ada yang
menunjukkan kepada Zat. Aspek Zat yang boleh
disifatkan dipanggil tasybih dan yang tidak boleh
disifatkan dipanggil tanzih. Kesempurnaan jiwa
hamba adalah berada di antara kedua-dua aspek
tersebut:
Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya
dan Dia Mendengar dan Melihat (Ayat 11 :
Surah asy-Syura )
Walaupun Dia tidak serupa dengan sesuatu tetapi
Dia adalah Mendengar dan Melihat. Allah s.w.t
menyatukan kedua-dua aspek tersebut pada satu
ayat. Bila kedua-dua aspek tersebut menyatu
pada jiwa si hamba dia akan merasakan
ketenteraman dan kedamaian.
Ada nama-nama-Nya yang kelihatan sebagai
berlawanan di antara satu dengan yang lain. Al-
Hayyun menghidupkan dan al-Mumit mematikan.
Al-Hadi memberi petunjuk dan al-Muzil
menyesatkan. Kelihatan seolah-olah ada
perlumbaan di antara nama-nama yang
berlawanan sifat. Muncullah as-Salam yang
mensejahterakan sehingga tidak berlaku
perlumbaan atau perlawanan. Sekaliannya
berada dalam kesejahteraan, mengambil bidang
masing-masing tanpa mengganggu bidang yang
lain. Percantuman dua perkara yang berbeza
melahirkan pengenalan yang sebenarnya.
Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir, Dia
Yang Zahir dan Dia juga Yang Batin. ( Ayat 3 :
Surah al-Hadiid )
As-Salam yang mensejahterakan membawa
setiap nama kepada ketetapan bidang tugas
masing-masing. Bila sekaliannya berada dalam
ketetapan as-Samad melengkungi sekaliannya.
As-Samad menjadi sempadan bagi satu nama
dan juga sempadan bagi sekalian nama-nama.
Kesemua nama-nama dikemudikan oleh al-
Wahid, memperkenalkan Wahdaniatik, keesaan
Tuhan. Al-Wahid memimpin sekalian nama-nama
bagi memperkenalkan al-Ahad. Penyaksian
terhadap Wahdaniatik Tuhan membawa
pengakuan terhadap kedudukan-Nya sebagai al-
Malik, Raja yang memerintah dan juga al-Malik-
ul-Mulk, Raja kepada segala kerajaan, dan juga
Rabbul Arbab, Tuhan yang menguasai sekalian
bakat-bakat ketuhanan. Kesemuanya
menceritakan yang satu iaitu ALLAH! ALLAH
adalah nama yang paling agung yang
mengandungi dan menyimpulkan sekalian nama-
nama yang lain. ALLAHmenunjukkan
terkumpulnya sekalian nama-nama dan ALLAH
adalah juga nama bagi Zat.
Sesungguhnya ALLAH menguasai segala sesuatu
( Ayat 20 : Surah al-Baqarah )
ALLAH yang memegang semua kekuasaan
menetapkan:
Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia
yang menguasai ubun-ubunnya. Dan Tuhanku
adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 :
Surah Hud )
Allah s.w.t menetapkan nama-nama-Nya menjadi
hakikat-hakikat yang menguasai sekalian
kejadian-Nya. Setiap yang maujud ubun-ubunnya
dipegang oleh nama Tuhan dan nama Tuhan
yang menjadi hakikat itu mengheret makhluk yang
di bawah bidang kekuasaan-Nya pada jalan yang
Allah s.w.t telah tentukan. Tidak ada satu
makhluk pun boleh bebas daripada nama Tuhan
yang menjadi hakikat yang menguasainya. Nama
al-Hadi membimbing seseorang kepada jalan
yang benar. Semua guru-guru merupakan
‘cermin’ tempat zahirnya kesan kekuasaan al-
Hadi. Sesiapa sahaja yang mendapat bimbingan
kepada jalan yang lurus dan sesiapa sahaja yang
membimbingnya, pada hakikatnya al-Hadi yang
memberi bimbingan. Al-Muzil mempunyai
kekuatan untuk menyesatkan dan kekuatan ini
terzahir pada makhluk-Nya yang bernama iblis.
Sekalipun kelihatan iblis yang menyesatkan
manusia tetapi iblis bukan berdiri dengan sendiri.
Iblis tidak mempunyai sebarang kekuasaan. Allah
s.w.t mengizinkan iblis menumpang kekuasaan
al-Muzil. Oleh kerana iblis menumpang
kekuasaan nama Tuhan maka tidak ada
kekuasaan makhluk dapat mengalahkannya.
Hanya satu sahaja kekuasaan yang mampu
mengatasinya, iaitulah kekuasaan ALLAH yang
menguasai segala kekuasaan. Lantaran itu Dia
mengajarkan:
Daku berlindung kepada ALLAH dari syaitan yang
direjam
Segala kekuasaan tunduk kepada kekuasaan
ALLAH. Allah yang memiliki segala kekuasaan
itu menetapkan:
Barangsiapa dibimbing oleh Allah pada jalan
yang benar, engkau tidak dapat menyesatkannya.
Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah,
engkau tidak dapat membimbingnya kepada jalan
yang benar. ( Maksud Hadis )
Manusia hanya ada satu pilihan sahaja iaitu
tunduk menyerah kepada Allah s.w.t.
Penyerahan kepada Allah s.w.t merupakan
kekuatan maksima yang tidak terkalahkan oleh
kekuatan yang lain.
Oleh kerana nama-nama Tuhan menjadi hakikat
yang menguasai segala sesuatu, maka tidak ada
makhluk yang dapat mengubah perjalanan
hakikat yang menguasainya. Unta tidak boleh
meminta menjadi matahari. Bulan tidak boleh
meminta menjadi bumi. Gunung tidak boleh
meminta menjadi langit. Malaikat tidak boleh
meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh
meminta menjadi Tuhan. Setiap sesuatu dikawal
oleh hakikat masing-masing. Dalam aspek ini
setiap kejadian Tuhan tidak mempunyai pilihan.
Mereka adalah hamba yang terikat. Sebagai satu
kejadian yang dikawal oleh satu hakikat ia bebas
bergerak di dalam sempadan hakikatnya. Oleh
kerana nama Tuhan menjadi hakikat maka
makhluk memperolehi bakat-bakat yang berkuasa
melahirkan kesan. Hakikat yang menguasai
manusia adalah hakikat yang paling lengkap dan
sempurna. Tidak ada yang dapat mengatasi apa
yang ada dengan manusia. Keistimewaan hakikat
yang menguasai manusia menyebabkan di dalam
sempadan kemanusiaan, manusia bebas
melahirkan fikiran, perbuatan, kehendak dan
pilihan. Dalam aspek ini manusia adalah hamba
yang merdeka.
Hakikat yang menguasai makhluk itulah yang
menyebabkan makhluk mendapat nikmat
penciptaan dan nikmat kesinambungan
kewujudan. Hakikat menjadi pemangkin atau
hijab yang mempertahankan apa yang Tuhan
ciptakan. Hubungan wujud makhluk dengan
Wujud hakikat adalah perkaitan mumkinul wujud
dengan Wajibul Wujud. Wujud hakikat adalah
wujud ketuhanan, wujud pemerintah atau
pentadbiran ketuhanan. Wujud makhluk adalah
wujud yang diperintah, wujud yang menumpang,
yang bergantung, berhajat dan berharap kepada
wujud yang memerintah.
Hakikat bukanlah makhluk. Ia adalah suasana
pentadbiran Tuhan. Qadak dan Qadar yang
ditentukan Tuhan adalah di dalam sempadan
hakikat yang daripada suasana tersebut
berlakulah takdir. Takdir tidak menyimpang
daripada hakikat yang menguasainya. Setiap
makhluk di heret oleh hakikat yang
menguasainya. Sesiapa yang berhakikatkan
hakikat kenabian akan menjadi nabi. Sesiapa
yang berhakikatkan hakikat kewalian akan
menjadi wali. Sesiapa yang berhakikatkan
Hakikat Manusia akan menjadi manusia.
Tiada perubahan dalam kalimat Allah itu. ( Ayat
64 : Surah Yunus )
Orang yang mengenal dirinya sebenarnya
mengenali hakikat yang menguasai dirinya, iaitu
suasana ketuhanan yang menguasai kewujudan
dan penghidupannya. Mengetahui hakikat
ketuhanan yang menguasai diri tidak menjadikan
diri itu Tuhan. Tuhan tetap Tuhan tidak berubah
menjadi hamba. Hakikat ketuhanan adalah
pemerintah dan hamba pula adalah makhluk
yang diperintah. Diri tetap berada pada taraf
kehambaan walaupun mengenali hakikat
ketuhanan.
Diri yang menetap pada kedudukan kehambaan
dengan menyerah sepenuhnya kepada
pemerintah itulah sebenarnya wali Tuhan. Wali
Tuhan pada peringkat ini menetap pada makam
kehambaan dengan menyaksikan Rububiah pada
setiap ketika dan dalam semua suasana.
HAKIKAT ALAM DAN HAKIKAT INSAN
Satu makhluk dikuasai oleh satu hakikat. Apabila
sekalian makhluk dikumpulkan dan dilihat
sebagai satu kewujudan sahaja ia dipanggil alam.
Hakikat yang menguasai sekalian alam ini
dipanggil Hakikat Alam. Manusia merupakan
salinan kecil kepada sekalian alam. Apa sahaja
yang ingin dilihat pada alam makhluk boleh
dilihat pada manusia. Manusia boleh dilihat
sebagai malaikat, syaitan, haiwan, bumi yang
kaku atau langit yang tinggi, atau apa sahaja
anasir alam. Pada manusia ada sifat kebaikan
dan ada sifat kejahatan, ada unsur alam bawah
yang gelap dan ada unsur alam atas yang
terang. Keunikan ciptaan manusia itu
menyebabkan manusia mengenal Tuhan dari
berbagai-bagai aspek, melebihi pengenalan yang
ada dengan makhluk yang lain. Makhluk lain
bergerak dalam sempadan yang ditentukan
untuknya sahaja. Malaikat yang menjaga langit
pertama tidak boleh turun ke dunia dan tidak
boleh naik ke langit ke dua melainkan dengan
perintah Tuhan kerana sesuatu sebab. Malaikat
yang menjaga matahari tidak menggangu urusan
bulan. Malaikat yang bertugas memberi rezeki
tidak terlibat dengan urusan mencabut nyawa.
Setiap malaikat bergerak di dalam sempadannya
masing-masing atau di kuasai oleh satu hakikat
sahaja. Manusia dikuasai oleh hakikat-hakikat
yang berkumpul sebagai satu hakikat. Manusia
menguruskan penglihatan, pendengaran,
pergerakan dan lain-lain. Manusia mampu
melepasi alam bumi, Alam Langit dan sampai ke
Arasy, seperti yang dibuktikan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. Manusia dalam aspek
kerohaniannya boleh menerima isyarat-isyarat
dari alam ghaib dan menerima perkhabaran
daripada Loh Mahfuz. Manusia mempunyai ilmu
mengenai semua perkara. Keistimewaan manusia
adalah kerana hakikat yang menguasai sekalian
alam itu juga adalah hakikat yang menguasai
manusia. Bila dipandang hakikat tersebut
sebagai hakikat yang menguasai manusia istilah
Hakikat Insan digunakan. Setiap makhluk akan
hanya mempunyai ilmu menurut hakikat yang
menguasainya. Perkara tersebut diketahui kerana
maklumat mengenainya ada pada hakikat yang
menguasainya. Apa yang tidak diketahui dan
tidak mungkin diketahui adalah apa yang tidak
termasuk di dalam sempadan hakikat yang
menguasainya itu. Pada hakikat yang menguasai
lembu tidak ada maklumat tentang 2 + 2 = 4.
Mengajar lembu untuk mempercayai bahawa 2 +
2 = 4 adalah perbuatan yang sia-sia dan tidak
akan berhasil walaupun dicuba sehingga ke hari
kiamat.
Pada hakikat yang menguasai manusia ada
maklumat tentang matematik, sains dan
teknologi, termasuklah teknologi maklumat yang
tercanggih, astronomi, perubatan, sastera,
pertukangan, penternakan, pertanian dan lain-
lain. Oleh sebab itu manusia boleh diajar
mengenai perkara-perkara tersebut. Fungsi
belajar sebenarnya adalah ‘memperingatkan’
manusia tentang apa yang sudah ada
dengannya. Manusia tidak mempelajari perkara
baharu kerana semua maklumat sudah pun
dibekalkan kepada kejadian manusia sejak
manusia yang pertama diciptakan.
Dan telah diajarkan kepada Adam sekalian
nama-nama…. ( Ayat 31 : Surah al-
Baqarah )
Oleh yang demikian percubaan mengajar ilmu
walau bagaimana rumit sekalipun ia boleh
berjaya kerana dia hanya perlu ‘celik’
memandang kepada apa yang sudah tertanam
pada kejadiannya yang asli.
Hakikat yang menguasai manusia iaitu Hakikat
Insan dikenali juga sebagai Hakikat Adam kerana
hakikat ini menguasai kejadian Adam a.s dan
sekalian keturunannya. Hakikat Insan tidak boleh
diketahui dan tidak ada kenyataannya tanpa
penciptaan Adam a.s, yang dipanggil juga Bapa
Jasad. Adam a.s adalah penggerak kepada alam
badan kebendaan. Pada zaman dan ruang yang
tidak ada Adam a.s, tidak ada anasir yang
bergerak pada tubuh badan. Iblis juga tidak ada.
Pada ketika itu semua kejadian berada dalam
suasana rohani yang tidak tahu berbuat drrhaka
kepada Tuhan. Apabila Allah s.w.t menciptakan
Adam a.s dan meneranginya dengan hakikat
yang menguasai perjalanan sekalian makhluk,
yang terkandung padanya semua bakat dan nilai,
maka segala kejadian boleh bergerak pada jalan
menyatakan bakat masing-masing. Secara
automatik muncullah iblis. Sebelum Adam a.s
diciptakan, Azazil yang padanya tersimpan
maklumat mengenai kejahatan tidak berupaya
menggunakan bakat tersebut. Sebaik sahaja
Adam a.s diciptakan maklumat mengenai
kejahatan yang terpendam itu sudah boleh
menyata dan dengan serta merta Azazil bertukar
menjadi iblis. Penciptaan Adam a.s
membolehkan anasir jahat memakai tubuh
badan.
Malaikat yang tidak memerlukan badan
kebendaan boleh wujud sebelum Adam a.s
diciptakan. Pada zaman sebelum ada Adam a.s
semuanya bertaraf malaikat, termasuklah Azazil,
Bapa Jin. Semua mereka tidak ada pilihan
melainkan beribadat kepada Tuhan. Dalam
keadaan yang demikian neraka seolah-olah tidak
akan mendapat rezeki. Sebaik sahaja Adam a.s
diciptakan keupayaan dan bakat jahat telah
mempunyai bekas untuk menyalurkan
kejahatannya. Di sinilah letaknya rahsia syariat.
Tanpa Adam a.s tidak ada kejahatan, maka
syariat tidak diperlukan. Bila syariat tidak zahir
hakikat tidak menyata. Semuanya tersembunyi
dan tidak ada yang mengenal Tuhan. Bila syariat
zahir baharulah ada makrifat tentang Tuhan.
Syariat mengandungi kesempurnaan makrifat
kerana syariat memperkenalkan Yang Esa melalui
dua aspek yang bertentangan. Syariat
memperkenalkan yang kanan melalui kewujudan
yang kiri, begitu juga sebaliknya. Jika tidak ada
kiri tidak akan dikenali kanan. Syariat
memperkenalkan cahaya dengan adanya gelap.
Jika tidak ada gelap tidak akan diketahui apa itu
cahaya. Syariat memperkenalkan taat dengan
adanya ingkar. Jika tidak ada ingkar tidak akan
diketahui apa itu taat. Syariat memperkenalkan
ibadat dengan adanya maksiat. Jika tidak ada
maksiat tidak akan diketahui apa itu ibadat.
Syariat memperkenalkan pahala dengan adanya
dosa. Jika tidak ada dosa tidak akan diketahui
apa itu pahala. Satu perkara memperkenalkan
lawannya yang satu lagi dan kedua-duanya
memperkenalkan penghubung keduanya.
Penghubung tersebut memperkenalkan wujud
yang menguasai.
Penciptaan Adam a.s yang dikuasai oleh hakikat
yang sempurna menyebabkan alam menjadi
sempurna. Adam a.s adalah pasak alam yang
menstabilkan alam. Tanpa Adam a.s neraka akan
bergegar kerana tidak ada sesiapa yang akan
masuk ke dalamnya. Bila Adam a.s diciptakan
neraka menjadi tenteram kerana ia tahu haknya
akan ditunaikan. Tanpa Adam a.s, hakikat
kenabian dan hakikat kewalian tidak akan ada
kenyataan, tidak akan muncul nabi-nabi dan
wali-wali ke dunia, maka tidak ada sesiapa
mengenal Tuhan.
Mengalami suasana Hakikat Insan di dalam
Perbendaharaan-Nya yang tersembunyi
memakrifatkan hamba dengan Pentadbiran Tuhan
ke atas makhluk-Nya, termasuklah manusia.
HAKIKAT MUHAMMADIAH
(HAKIKAT KEPADA SEMUA HAKIKAT-
HAKIKAT)
Hakikat Insan yang menguasai keturunan Adam
a.s membekalkan segala bentuk maklumat yang
diperlukan oleh bangsa manusia untuk menjadi
khalifah di bumi. Walaupun begitu Allah s.w.t
memperingatkan:
Kami firmankan: “Turunlah kamu sekalian dari
(syurga) ini, kemudian jika datang pada kamu
satu petunjuk daripada-Ku, maka barangsiapa
yang menuruti petunjuk-Ku itu, tidaklah ada
ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka akan
berdukacita”. ( Ayat 38 : Surah al-
Baqarah )
Walaupun Adam a.s dikuasai oleh hakikat yang
membekalkan maklumat yang lengkap namun
beliau a.s tetap tertakluk kepada petunjuk yang
Allah s.w.t turunkan dari masa ke masa. Ini
bermakna ada hakikat yang lebih sempurna dan
lebih lengkap serta menguasai Hakikat Insan itu.
Pada Hakikat Insan terkumpul segala maklumat
mengenai kejadian manusia dan sekalian
makhluk, tetapi tidak dibekalkan maklumat
mengenai yang bukan manusia dan bukan
makhluk. Hakikat yang menyimpan segala
maklumat mengenai apa yang ada dengan
Hakikat Insan ditambah lagi dengan maklumat
mengenai syariat Tuhan, makrifat tentang Tuhan,
suasana Ilmu Tuhan dan apa sahaja selain Allah
Yang Hakiki, dinamakan hakikat kepada hakikat-
hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Ia lebih
dikenali sebagai Hakikat Muhammadiah, kadang-
kadang dipanggil sebagai Hakikat Muhammad
sahaja. Hakikat Muhammadiah ini merupakan
Hakikat yang menguasai Nabi Muhammad s.a.w,
sebab itu dinamakan Hakikat Muhammad. Inilah
yang membuatkan Nabi Muhammad s.a.w lebih
istimewa daripada semua manusia dan sekalian
makhluk. Hakikat Muhammadiah atau urusan
Tuhan yang menguasai kejadian Nabi
Muhammad s.a.w itu adalah juga urusan Tuhan
yang menguasai sekalian urusan-urusan Tuhan.
Manusia dari segi fitrahnya dihubungkan dengan
Hakikat Insan tetapi dari segi Islam, iman, tauhid
dan makrifat dihubungkan dengan Hakikat
Muhammadiah. Hakikat Muhammadiah menyata
melalui Rasul-rasul dan Nabi-nabi. Jika semua
keturunan manusia dikuasai oleh Hakikat Insan
atau Hakikat Adam, maka semua Nabi-nabi dan
Rasul-rasul dikuasai oleh hakikat yang
menyeluruh atau Hakikat Muhammadiah.
Adam a.s diperakui sebagai wakil kepada
sekalian manusia. Muhammad s.a.w pula
menjadi wakil kepada sekalian Nabi-nabi dan
Rasul-rasul. Bila disebut Nabi Muhammad s.a.w
ia membawa maksud kesatuan sekalian Nabi-
nabi dan Rasul-rasul kerana pada Nabi
Muhammad s.a.w terkumpul semua kebaikan
para nabi dan para rasul, ilmu sekalian nabi dan
rasul, syariat yang dibawa oleh sekalian nabi dan
rasul dan semua mengenai Islam, iman, tauhid
dan makrifat para Nabi dan Rasul. Nabi
Muhammad s.a.w merupakan Rasul Allah yang
paling agung, paling sempurna dan paling mulia.
Oleh yang demikian sekalian makhluk
menyaksikan:
Maklumat yang tersimpan pada hakikat yang
menyeluruh menyata dengan sempurna pada
Nabi Muhammad s.a.w.
Apabila disebut Nabi Muhammad s.a.w ia
meliputi risalat sekalian Rasul-rasul. Jika disebut
Nabi Ibrahim a.s atau Nabi Musa a.s ia
membawa maksud satu bentuk risalat daripada
risalat yang menyeluruh yang berkumpul pada
kerasulan Muhammad s.a.w. Semua nabi-nabi
menyaksikan “La ilaha illah Llah Muhammad ur-
Rasullullah ”. Semua nabi-
nabi memberi peringatan tentang kedatangan
Muhammad Rasul Allah, Rasul yang paling mulia
dan paling sempurna, yang membawa intisari
yang lengkap dan menyeluruh bagi maklumat
yang terkumpul pada sumber kerasulan iaitu
Hakikat Muhammadiah.
Walaupun Hakikat Muhammadiah merupakan
hakikat yang menyeluruh, tetapi ia bukanlah Allah
s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w bukanlah Allah
s.w.t dan bukan juga penjelmaan Allah s.w.t.
Hakikat Muhammadiah adalah urusan Allah s.w.t
‘yang menyampaikan’ melalui rasul-rasul-Nya
apa yang Dia berkehendak menyampaikan. Bila
urusan Allah s.w.t ini berhubung dengan Jibrail
a.s dan rasul-rasul ia dipanggil wahyu. Wahyu
yang terpendam pada sisi Allah s.w.t dipanggil
Hakikat Muhammadiah. Bila ia dipandang
sebagai penyimpan segala maklumat tentang
urusan Tuhan ia dipanggil Perbendaharaan Yang
Tersembunyi. Hakikat Muhammadiah atau urusan
Tuhan yang menyeluruh atau Perbendaharaan
Yang Tersembunyi itu dikurniakan secara lengkap
dan sempurna kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Oleh yang demikian wahyu yang disampaikan
kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah wahyu
yang paling lengkap. Risalat yang dikurniakan
kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah risalat
yang paling lengkap. Kerasulan yang dikurniakan
kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah kerasulan
yang paling lengkap dan paling tinggi.
Istilah Hakikat Muhammadiah kadang-kadang
menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah
orang. Perlu difahamkan bahawa Hakikat
Muhammadiah pada suasana urusan Tuhan itu
tidak turun atau menjelma menjadi Nabi
Muhammad s.a.w, apa lagi menjadi orang lain.
Urusan Tuhan tetap berada pada tahap urusan
Tuhan. Hakikat tetap berada pada tahap hakikat.
Apa yang diperkatakan adalah suasana makrifat,
penyaksian dalam ilmu dan pengalaman rasa
(zauk). Hal atau keadaan hakikat yang
sebenarnya hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu.
Manusia hanya bercerita menurut kadar makrifat,
ilmu dan pengalaman yang ada dengan mereka,
sekadar yang Allah s.w.t kurniakan kepada
mereka. Pengalaman kerohanian pada peringkat
Hakikat Muhammadiah lebih membuat si hamba
mengenali kemuliaan dan ketinggian darjat Nabi
Muhammad s.a.w, walaupun baginda s.a.w
hanyalah seorang manusia keturunan Adam a.s,
seperti manusia yang lain.
Mengalami suasana Hakikat Muhammadiah
melahirkan keasyikan terhadap Nabi Muhammad
s.a.w. Sehingga kepada peringkat ini si hamba
masih lagi tidak ada perhatian dan kesedaran
terhadap dirinya sendiri. Perhatiannya dan
kesedarannya hanyalah tertuju kepada apa yang
dialaminya dalam suasana Perbendaharaan Yang
Tersembunyi. Bila dikuasai oleh keasyikan
terhadap Rasulullah s.a.w, apa sahaja yang
berkenaan dengan baginda s.a.w sangat
memberi kesan pada jiwanya. Dia merasakan
kehampiran yang amat sangat dengan Rasulullah
s.a.w, seolah-olah tidak terpisah. Ucapan
selawat dan salam memberi kelazatan kepada
jiwanya. Dia menikmati puji-pujian terhadap
Rasulullah s.a.w seakan-akan ia adalah untuknya
juga. Dalam suasana yang demikian hatinya
dikuasai oleh dua hal sahaja iaitu Allah s.w.t dan
Rasulullah s.a.w. Dia tidak menyaksikan yang
lain. Apa yang hatinya menyaksikan adalah
kecintaan Allah s.w.t kepada rasul-Nya dan
kecintaan serta ketaatan Rasulullah s.a.w
kepada Tuhannya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar