Assalamualaikum wr.wb.
TUNDUKKANLAH KEAKUANMU,
DENGAN BERSUHBAH
SUHBAH (pendampingan dengan Orang Soleh) akan memberi kesan kepada akhlak serta perjalanan hidup seseorang. Jika lihat di zaman kegelapan jahiliah, Para Sahabat r.a tidak mencapai kedudukan yang terpuji, kecuali setelah mereka bersuhbah dengan Rasulullah saw serta duduk bersama Baginda saw.
Begitulah juga dengan Para Tabien, mereka telah mendahului orang lain dalam memilih kemuliaan setelah bertemu dan mengikuti Para Sahabat Rasulullah saw.
Dari sudut lain, manusia tidak sunyi daripada penyakit hati. Melalui diri sendiri, penyakit yang tersembunyi seperti Ujub, Riya’, Nifaq, Hasad, Ego, Sombong, Bakhil dan sebagainya tidak disedari. Bahkan kadang-kadang manusia menyangka bahawa dia adalah manusia yang paling sempurna akhlaknya dan paling teguh Agamanya, sedangkan dia sebenarnya adalah orang yang jahil murakkab dan berada dalam kesesatan yang nyata.
Firman Allah swt:
“Katakanlah: Apakah (kamu ingin) Kami khabarkan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baik.” ( Al-Kahf :103-104 )
Seseorang manusia tidak mungkin mampu untuk melihat keaiban wajahnya sendiri, kecuali dengan cermin yang bersih dan rata yang mampu memperlihatkan gambaran sebenar keadaannya. Begitu juga seseorang Mukmin, dia semestinya mempunyai saudara Mukmin yang ikhlas, jujur dalam memberi nasihat.
Dia berkawan dengannya serta sentiasa mendampinginya, lalu kawan tadi memperlihatkan kepadanya keaiban diri dan memberitahu tentang penyakit-penyakit hati yang tersembunyi sama ada dengan kata-kata ataupun hal.
Di antara cermin ada yang tidak rata dan bertompok-tompok yang akan mengubah kecantikan bentuk wajah. Beginilah keadaan kawan-kawan di antara mereka ada yang tidak memperlihatkan kepadamu tentang hakikat dirimu yang sebenar. Dia memujimu sehingga kamu menyangka diri kamu sempurna lalu hatimu dipenuhi dengan Tipu Daya dan Ujub.
Apabila kamu berada dalam satu tempat maka bersahabatlah dengan golongan terpilih (berakhlak tinggi) diantara mereka. Jangan kamu berkawan dengan orang yang rosak lalu kamu akan rosak binasa bersama mereka.
Tentang seseorang, janganlah kamu bertanya dengan (tuannya) tetapi tanyalah kepada kawannya. Kerana semua orang yang berkawan pasti mengikut dan terpengaruh dengan kawannya.
Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar." ( At-Taubah : 119 )
Sabda Rasulullah saw: Diriwayatkan oleh Abu Ya’la, daripada Ibnu Abbas r.a katanya:
"Dikatakan kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah saw! Kawan kami (yang kami duduk bersamanya) yang mana satukah yang paling baik?"
Jawab Baginda saw: "
Orang yang apabila kamu melihat kepadanya boleh mengingatkan kamu kepada Allah swt, percakapannya menambahkan ilmumu serta amalannya mengingatkan kamu kepada akhirat."
Abu Hamid Al-Ghazali ra.
Imam Hujjatul Islam Al Ghazali ra berkata:
“Menyertai Ahli Sufi adalah fardhu ain kerana seseorang itu tidak sunyi daripada keaiban dan penyakit, kecuali Anbiya alaihimussalam.
Beliau berkata:
“Pada mulanya aku mengingkari keadaan orang-orang soleh serta kedudukan Orang Arifin sehinggalah aku bersuhbah dengan Syeikhku iaitu Yusuf An-Nassaj. Beliau sentiasa menggilapku dengan mujahadah sehingga aku memperolehi warid, lalu aku melihat Allah swt di dalam tidur. Allah berkata kepadaku: “Wahai Abu Hamid! Tinggalkan kesibukan hatimu dan bersuhbahlah dengan kaum yang Aku jadikan mereka di bumiKu sebagai tempat Aku memandang. Mereka adalah orang yang menjual dunia dan akhirat demi cintaKu”. Aku berkata: “Demi keagunganMu – aku tidak akan mengecapinya – jika Engkau tidak memberikan diriku dengan ketenangan berbaik sangka terhadap mereka." Allah berfirman:
“Sesungguhnya Aku telah lakukan perkara tersebut. Pemutus di antara kamu dan mereka ialah kesibukanmu mencintai dunia. Maka keluarlah daripadanya dengan pilihanmu sendiri sebelum kamu keluar dalam keadaan terhina. Sesungguhnya telahKu limpahkan Cahaya dari samping QudusKu."
Tiba-tiba dalam keadaan gembira aku terjaga dari tidur. Selepas itu aku pergi berjumpa dengan Syeikhku, lalu aku ceritakan mimpiku, beliau tersenyum sambil berkata:
“Wahai Abu Hamid! Ini adalah bentangan kami yang lahir pada permulaannya, bahkan sekiranya kamu bersuhbah denganku nescaya basirahmu akan memperolehi pertolongan dan bantuan.
Wallahua'lam.
[ Ust Iqbal ]
Tidak ada komentar:
Posting Komentar