Sabtu, 29 Maret 2014

Menghapus dosa

TAJDID IMAN: DOSA HANYA DAPAT DILUPUS
DENGAN EMPAT CARA
SESUNGGUHNYA manusia melalui setiap hari
dalam hidupnya dengan dua pilihan, iaitu sesaat
yang dilalui dengan haruman taat atau sesaat yang
dipalit maksiat.
Hitungannya sangat halus, jika dia kehilangan satu
detik saja dalam berbakti mungkin kakinya akan
terjerumus ke lubang neraka. Begitu juga jika dia
terlebih satu detik berharga, satu detik itulah yang
menyelamatkannya ke syurga.
Alangkah beruntungnya orang yang memiliki HATI
selembut kapas, tembus pandangan ke setiap sisi
daripada zahir dan batinnya. Melihat, memandang,
menilai dan mengukur diri sendiri hingga lupakan
‘aib orang lain.
Al-Qusyairi pernah menulis dalam Risalahnya:
“Permulaan orang yang bertaubat ialah kesedaran
hatinya dari kelalaian dan dia memandang dirinya
buruk lagi hina. Seseorang hanya akan sampai ke
tahap ini kerana dua sebab iaitu KUASA Allah
subhanahu wa ta’ala YANG MENUNJUKINYA dan
KEMAHUANNYA MENDENGAR SUARA HATINYA
SENDIRI. Seperti sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi
wasallamyang bermaksud: “Dengarlah nasihat
Allah di dalam HATI setiap Muslim.” (Hadis riwayat
Imam Ahmad)
Bukankah lebih baik berasa diri kotor dan bersalah
daripada mengaku bersih dan tidak sensitif
langsung dengan amal perbuatan dilakukan?
Adakalanya maksiat itu memberi pengaruh baik
bagi diri jika ia dilalui dengan semangat TAUBAT.
Hal ini pernah disebutkan Prof Yusuf al-Qardawi,
beliau menukilkan perkataan Ibnu ‘Athaillah dalam
kitabnya Al-Taubah Ilaa Allah, beliau berkata:
“Boleh jadi Allah sudah membukakan pintu
ketaatan kepadamu, tetapi tidak membukakan
untukmu pintu penerimaan dan boleh jadi Allah
mentakdirkan untukmu berbuat maksiat yang
menyebabkan kamu bertaubat dan hampir kepada
Allah. Sesungguhnya maksiat yang mencetuskan
ketundukan dan membuat hatimu hancur lebih
baik daripada ketaatan yang mengakibatkan
ketakjuban diri sendiri dan ketakburan.”
Dalam melayari samudera kehidupan, kita
memerlukan keteguhan HATI. Cubalah memandang
segalanya dengan positif. Pujuk HATI yang luka
dan hilang pertimbangan kerana diasak maksiat.
Namun, ramai juga terkorban kerana memandang
remeh perkara TAUBAT.
SESUNGGUHNYA DOSA HANYA DAPAT
DIHAPUSKAN DENGAN EMPAT CARA:
• DENGAN TAUBAT
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi
orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh dan
tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha,
ayat 82)
• MELAKUKAN AMAL SALIH (SHOLEH)
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan
melakukan amal salih, maka kejahatan mereka
ditukarkan oleh Allah dengan kebaikan. Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-
Furqan, ayat 68-70)
• DATANGNYA MUSIBAH
Sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallamyang
bermaksud:
“Seorang Muslim yang ditimpa kecelakaan,
kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita
hatta tertusuk duri sekalipun nescaya Allah akan
menebus dosa-dosanya dengan apa yang
menimpanya itu.” (Hadis Muttafaqun Alaih)
• DILEBUR DI DALAM API NERAKA
Daripada Abu Zar bahawasanya Rasulullah
salallahu ‘alaihi wasallambersabda yang
bermaksud:
“Sesungguhnya aku mengetahui mengenai lelaki
yang terakhir keluar dari neraka pada hari kiamat,
dikatakan kepadanya: “Bentangkanlah dosa-dosa
kecilnya!” Sedangkan dosa besarnya
disembunyikan. Kemudian dikatakan kepadanya:
Kamu mengerjakan ini pada hari ini dan ini pada
hari ini. Dia mengakui tanpa membantah kerana
terlalu bimbang dengan dosa besarnya. Lalu
dikatakan: Berikanlah kebaikan sebagai pertukaran
untuk setiap kejahatan yang dilakukannya. Lalu dia
berkata: Aku mempunyai dosa-dosa lain, tetapi
tidak dibentangkan di sini. Kata Abu Zar: Aku
melihat Rasulullah salallahu ‘alaihi
wasallamketawa hingga nampak gigi geraham
baginda.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, Ibn al-Qayyim
menyatakan ia sahih)
BAGAIMANAKAH KEADAAN ORANG YANG SUKA
MENGULANG-ULANGI MAKSIAT DAN
TAUBATNYA?
Adakah dia akan diampuni oleh Allah Taala?
Dalam hal ini Rasulullah salallahu ‘alaihi
wasallambersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seorang hamba sudah melakukan
dosa, lalu dia berdoa: Wahai Tuhanku,
sesungguhnya aku sudah berdosa, maka
ampunilah aku! Maka Tuhannya berfirman: Hamba-
Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang
mengampunkan dosa dan menghukumnya maka
Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam
keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun
melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku
sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah
aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa
dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa
dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya.
Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut
ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu
berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan
dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman:
Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan
yang mengampunkan dosa dan menghukumnya,
maka Aku mengampuninya, hendaklah dia
melakukan menurut kehendaknya.” (HR al-Bukhari
dan Muslim)
Al-Qardawi mengulas hadis itu, katanya:
“Ungkapan maka hendaklah dia melakukan
menurut kehendaknya, makna yang sebenar hanya
Allah saja Yang Maha Mengetahuinya.
Penafsirannya ialah setiap kali hamba melakukan
dosa, dia bertaubat, yang demikian itu menjadi
penghapus dosa-dosanya. Ia bukan bermakna
sengaja melakukan dosa, rela dan suka
bermaksiat dengan tujuan untuk mempermain-
mainkan Allah subhanahu wa ta’ala.”
Manusia boleh melakukan apa saja sesuka
hatinya, Allah tetap Maha Pengampun. Tetapi
adakah kita sanggup mengambil risiko bermain-
main dengan rahmat dan ampunan-NYA jika kita
sendiri tidak pasti permainan itu akan berakhir di
mana?
Adakah berakhir dengan husnul khatimah atau
su’ul khatimah? Risiko itu tetap ada di atas jalan
yang kita tempuhi. Mati dalam taat atau maksiat?
Kita sendiri yang memilih.
Beranikah kita mencuri peluang atas rahmat dan
maghfirah-NYA?
Bersama Dr Juanda Jaya
TAJDID IMAN : CARA HAPUS DOSA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar