Senin, 21 Oktober 2013

93 & 94: Hikmat Pada Pemberian Dan Penolakan

ADAKALANYA KAMU MENERIMA
PEMBERIAN YANG PADA HAKIKATNYA
ADALAH PENOLAKAN DAN ADA
KALANYA KAMU DITOLAK TETAPI PADA
HAKIKATNYA KAMU DIBERI.

JIKA DIBUKA KEPADA KAMU PINTU
KEFAHAMAN TENTANG PENOLAKAN
NESCAYA BERUBAH PENOLAKAN
MENJADI PEMBERIAN.

Sesuatu yang kuat menghalang perjalanan
kerohanian seseorang murid adalah kehendak
diri sendiri. Dia berkehendakkan sesuatu yang
menurut hematnya akan membawa kebaikan
kepada dirinya. Kehendak atau hajat
keperluannya itu mungkin menyentuh tentang
dunia, akhirat atau hubungan dengan Allah s.w.t.
Jika hajatnya tercapai dia merasakan yang dia
menerima kurniaan Allah s.w.t. Jika hajatnya
tidak diperkenankan dia akan merasakan dia
menerima penolakan Allah s.w.t dan dijauhkan.
Orang yang berada pada peringkat ini selalu
mengaitkan makbul permintaan atau doa dengan
kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Jika Allah s.w.t
mengabulkan permintaannya dia merasakan itu
adalah tanda dia hampir dengan-Nya. Jika
permintaannya ditolak dia merasakan itu
tandanya dia dijauhkan. Anggapan begini
sebenarnya tidak tepat. Tidak semua penerimaan
doa menunjukkan pendekatan dan tidak semua
penolakan menunjukkan dijauhkan. Bagi orang
yang masih dalam perjalanan dia tidak
seharusnya membesarkan hajat keperluannya.
Dia perlu menghancurkan nafsu dan keinginan
dirinya supaya dia dapat masuk ke dalam
suasana berserah diri kepada Allah s.w.t.
Kehendak dan hajat menghalangnya dari
berserah diri kepada Allah s.w.t. Pemberian
yang sesuai dengan hajat dan permintaannya
menambahkan kekuatan halangan tersebut.
Keadaan ini menambahkan lagi hijab antaranya
dengan Allah s.w.t. Dalam segi ini, pemberian
yang diterimanya walaupun mempunyai manfaat
tetapi sebenarnya merupakan kerugian kerana
tertutup jalan menuju Allah s.w.t. Jadi,
pemberian itu merupakan penolakan yang tidak
disedarinya.
Orang yang hajatnya ditolak akan mengalami
keadaan yang berbeza daripada orang yang
hajatnya dimakbulkan. Orang yang mempunyai
keinginan terhadap sesuatu mempunyai
hubungan hati dengan apa yang diingini itu.
Hatinya cenderung atau kasih kepadanya. Jika
keinginannya sangat kuat dan tidak dapat
dikawalnya, dia akan sanggup berkorban apa
sahaja untuk mendapatkan apa yang diingininya
itu. Jika dia bermohon kepada Tuhan maka dia
akan meminta dengan bersungguh-sungguh.
Harapannya bulat tertuju kepada Allah s.w.t.
Sekiranya dia mampu tentu dipaksanya Allah
s.w.t agar memberi apa yang dia hajati itu. Apa
akan terjadi sekiranya Allah s.w.t menolak
permintaannya dan membiarkan harapannya itu
musnah? Dia akan menghadapi perpisahan
dengan apa yang dia ingini itu. Pada mulanya dia
akan merasakan beban yang sangat berat
menghimpit jiwanya, tetapi kemudiannya dia
mendapat tenaga untuk bertahan. Dia dapat
bersabar menghadapi penolakan tersebut.
Akhirnya dia berputus asa terhadap apa yang
pernah diingininya. Dia menjadi reda dengan
penolakan yang diterimanya. Bila dia reda
dengan lakuan Allah s.w.t, dia akan dibawa
kepada keredaan Allah s.w.t. Semua orang
mahukan keredaan Allah s.w.t, tetapi sedikit
sekali yang reda dengan Allah s.w.t. Bagaimana
kita boleh memperolehi keredaan-Nya jika kita
tidak reda dengan lakuan-Nya? Hamba yang
menerima penolakan Allah s.w.t, kemudian
dibawa kepada reda dengan lakuan-Nya, dibayar
dengan keredaan-Nya. Bukankah ini jauh lebih
baik dari apa yang dia inginkan dahulu? Jadi,
penolakan yang pada mulanya dirasakan pahit
sebenarnya merupakan kurniaan yang sangat
besar.
Seseorang yang telah mencapai darjat yang
tinggi dalam bidang kerohanian akan selalu
ditolak permintaannya, sehingga dia benar-benar
memperolehi keteguhan. Penolakan itu adalah
sebagai mendidik rohaninya agar terus tegak
dalam ubudiyah yang kuat, tidak menjadi terlalu
yakin dengan diri sendiri yang boleh
menyebabkan kurang pergantungan kepada Allah
s.w.t. Penolakan membuatnya mengerti betapa
lemahnya dirinya dan betapa dia berhajat
kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memperkenalkan
bahawa Dia yang terkaya dari sekalian makhluk
dan sekalian makhluk tidak lepas dari bergantung
kepada-Nya.
Hamba yang dibuka pintu pemahaman tentang
penolakan tidak berasa cemas atau curiga
menghadapi penolakan tersebut. Sebaliknya dia
akan terus berserah diri kepada Allah s.w.t dan
membuang tuntutan memilih. Dia tahu bahawa
keinginan yang datang ke dalam hatinya adalah
ujian Allah s.w.t. Jika Allah s.w.t tidak memenuhi
hajatnya, dia tahu Allah s.w.t menambahkan
beban ujian tersebut. Allah s.w.t yang
mendatangkan ujian maka Dia jua yang
mendatangkan kesabaran kepada hamba-Nya
untuk menanggung beban ujian tersebut. Allah
s.w.t yang menolak permintaan hamba-Nya Dia
juga yang menjadikan si hamba itu reda dengan
penolakan tersebut. Penolakan mendatangkan
dua nikmat kepada seseorang hamba iaitu
nikmat sabar dan reda. Kedua-dua nikmat ini
jauh lebih berharga dan berguna dari apa yang
diingini oleh hatinya. Sabar dan reda menjadi
pintu kepada berbagai-bagai nikmat yang lain
yang besar-besar, sehingga si hamba tidak
terkilan langsung lantaran menerima penolakan
pada mulanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar