Senin, 21 Oktober 2013

90-92: Qabadh Dan Basath

 
 
DILAPANGKAN KAMU (DIBERI
KEGEMBIRAAN) SUPAYA KAMU TIDAK
DITINGGALKAN DALAM KETAKUTAN.
DIBERIKAN RASA TAKUT DAN GERUN
SUPAYA KAMU TIDAK DITINGGALKAN
DALAM KESUKAAN. DIBEBASKAN KAMU
DARI KEDUA-DUANYA SUPAYA KAMU
TIDAK DITARIK OLEH SESUATU SELAIN
DIA (ALLAH S.W.T).

ORANG ARIF, APABILA DIBERIKAN
NIKMAT KELAPANGAN ATAU
KEGEMBIRAAN AKAN LEBIH BERASA
TAKUT DARIPADA APABILA DIBERI
NIKMAT YANG MERUPAKAN
KESEMPITAN DAN KETAKUTAN, KERANA
TIDAK DAPAT TEGAK DI ATAS BATAS-
BATAS KESOPANAN DALAM KEADAAN
KESENANGAN KECUALI SEDIKIT.

KELAPANGAN DAN RIA HATI
MEMPUNYAI RUANG UNTUK NAFSU
MENGAMBIL KESEMPATAN DARIPADA
KEGEMBIRAAN ITU DAN PADA TAKUT
DAN GERUN TIDAK ADA KESEMPATAN
UNTUK NAFSU MENCELAH.

Qabadh adalah perasaan yang timbul dalam hati
apabila hati berhadapan dengan sifat keagungan
Allah s.w.t. Hati dapat merasai keperkasaan-
Nya. Bila hati melihat keperkasaan Allah s.w.t
dan mengakui kelemahan dirinya, maka lahirlah
perasan takut, gerun, kecut dan berbagai-bagai
perasaan yang seumpamanya sehingga seolah-
olah berkecai sekalian tulang belulangnya, luruh
segala dagingnya dan dia merasai kelemahan
yang amat sangat di samping Yang Maha
Perkasa, Maha Agung dan Maha Keras. Basath
pula adalah perasaan yang timbul apabila hati
berhadapan dengan sifat keindahan Allah s.w.t.
Hati melihat Allah s.w.t Yang Maha Indah, Maha
Lemah-lembut, Maha Pemurah, Maha
Pengampun dan seumpamanya, lalu terasalah
pada hati akan kelazatan, kenikmatan,
kesenangan, keselesaan, kesejahteraan dan
seumpamanya yang tidak terperi.
Orang yang menerima nikmat dalam bentuk
qabadh akan menjadi tidak bermaya, seakan-
akan lumpuh. Apa yang dialami oleh hati
berbekas pada anggota zahir. Tubuh badan turut
merasakan qabadh. Jika seseorang dikuasai oleh
qabadh dalam tempuh yang lama, mungkin
tubuhnya tidak dapat bertahan dan dia mungkin
akan mati lantaran takutkan Allah s.w.t. Allah
s.w.t mendatangkan qabadh sebagai
memperkenalkan keperkasaan-Nya bukan untuk
membinasakan hamba-Nya. Oleh sebab itu Dia
tidak membiarkan hamba-Nya binasa dalam
qabadh, maka didatangkan-Nya pula basath,
iaitu kegembiraan yang amat sangat. Hati yang
dipenuhi oleh basath akan merasai keriangan
yang tidak terucapkan dan dia menjadi
seumpama orang yang mabuk dalam kelazatan
Pengalaman qabadh membuat seseorang
mengetahui betapa hebatnya tuntutan Allah s.w.t
jika ditegakkan keadilan dan keperkasaan-Nya.
Tidak ada dosa yang terlepas daripada perkiraan
dan hukuman-Nya. Pengalaman basath pula
memperlihatkan kemurahan Allah s.w.t.
Walaupun hamba-Nya menghadap-Nya dengan
membawa dosa sebanyak buih di lautan namun,
Dia bersedia mengampunkannya. Pengalaman
yang berganti-ganti antara qabadh dan basath
menambahkan makrifat seseorang.
Qabadh dan basath adalah dua hal yang
bertentangan. Apabila seseorang hamba
dimasukkan ke dalam darjat pilihan, mata
hatinya tidak lagi melihat kepada pertentangan
tersebut, sebaliknya terus tertuju kepada Allah
s.w.t yang menjadikan pertentangan sebagai
bukti kebijaksanaan-Nya. Pertentangan hanya
wujud jika dilihat secara berasingan, seperti
melihat tangan kanan dengan tangan kiri. Jika
kedua-duanya dilihat sebagai kesatuan, iaitu
tangan kanan dan tangan kiri itu dibawa
bertemu, maka kedua-duanya itu bertemu
dengan sempurna, tiada lagi perlawanan. Makam
melihat Allah s.w.t dalam dua perkara yang
bertentangan dengan sekali pandang adalah
makam arifbillah. Pandangannya tidak terlepas
daripada menyaksikan Allah s.w.t. Allah s.w.t
dilihat pada orang yang kena bunuh dan orang
yang membunuh dengan sekali pandang. Tidak
terhijab pandangannya oleh hukum sebab
musabab. Inilah makam hamba pilihan yang
disemayamkan di Hadrat-Nya. Tidak ada sesuatu
selain-Nya yang dapat menarik keluar hamba ini
dari Hadrat-Nya.
Orang arifbillah yang mengekalkan ubudiyahnya
terhadap Allah s.w.t melihat qabadh dan basath
sebagai ujian dari Allah s.w.t. Di antara dua hal
tersebut, mereka lebih khuatir jika dikenakan
ujian basath. Hati yang leka dengan kesenangan
dan keselesaan mudah tergelincir dari
memelihara adab sopan ubudiyah. Di dalam hal
yang semacam ini, nafsu mudah mengambil
kesempatan di atas kemurahan Allah s.w.t.
Suasana qabadh pula dapat mengukuhkan
ubudiyah dan nafsu tidak berpeluang mencuri
masuk. Qabadh menambahkan harapan dan
pergantungan kepada Allah s.w.t.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar