Senin, 21 Oktober 2013

89: Tujuan Orang Arifbillah

MAKSUD DAN TUJUAN ORANG
ARIFBILLAH ADALAH BENAR DALAM
UBUDIYAH (KEHAMBAAN) DAN
MELAKSANAKAN HAK-HAK RUBUBIAH
(KETUHANAN).

Insan adalah ciptaan Allah s.w.t yang paling
istimewa kerana padanya digabungkan aspek
zahir dengan aspek batin. Aspek zahirnya
menyerupai alam semesta dan aspek batinnya
berkaitan dengan hal-hal ketuhanan. Hal-hal
ketuhanan yang menyinari batin manusia itulah
yang menyebabkan sekalian malaikat
diperintahkan sujud kepada Adam a.s, bapa
kepada sekalian insan.
(Ingatkanlah peristiwa) tatkala Tuhanmu
berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku
hendak menciptakan manusia – Adam - dari
tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan
kejadiannya dan Aku tiupkan padanya roh dari
(ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud
kepadanya”. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )
Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan
dengan roh urusan Allah s.w.t. Ini yang
menjadikan manusia sebagai makhluk yang
paling mulia, sehingga malaikat diperintahkan
sujud kepada manusia. Roh urusan Allah s.w.t
menjadi nur yang memberi petunjuk kepada
manusia. Hati nurani yang diterangi oleh nur ini
akan terpimpin kepada jalan Allah s.w.t. Roh
urusan Allah s.w.t itulah yang memungkinkan
segala urusan sampai kepada Allah s.w.t,
termasuklah ibadat, amalan, doa, rayuan dan
apa sahaja yang manusia lakukan. Orang
arifbillah menyedari dan menghayati hakikat ini.
Kesedaran terhadap roh urusan Allah s.w.t itu
membuat mereka menjadikan benar dalam
ubudiyah (kehambaan) sebagai tujuan hidup
mereka dan pada masa yang sama juga mereka
menunaikan hak ketuhanan. Kehambaan
dinyatakan melalui syariat:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah
dan beribadat-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-
Dzaariyaat )
Hak ketuhanan Allah s.w.t pula dinyatakan
melalui pandangan hakikat:
“Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri
kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu!
Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang
bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah
yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku
tetap di atas jalan yang lurus”. ( Ayat 56 :
Surah Hud )
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka,
akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan
pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau
(wahai Muhammad) yang melempar ketika
engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang
melempar (untuk membinasakan orang-orang
kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )
Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan hakikat
pula menyaksikan Rububiyah, tidak luput dari
Hadrat Allah s.w.t dalam segala perkara dan
pada setiap masa. Bila dua jalan tersebut
berpadu sebagai satu jalan, lahirlah amal zahir
dan amal batin yang tidak bercerai tanggal.
Orang arifbillah bersungguh-sungguh
mengerjakan tuntutan syariat dan pada masa
yang sama beriman serta bertawakal sambil
menyaksikan hakikat ketuhanan (Rububiyah)
menguasai segala sesuatu.
Tidak ada yang hidup, yang berkuasa, yang
berkehendak, yang mengetahui, yang
mendengar, yang melihat dan yang berkata-kata
melainkan semuanya di bawah urusan
Rububiyah. Apa sahaja yang berada di dalam
genggaman atau diheret oleh Rububiyah itu
dinamakan ubudiyah. Rububiyah adalah
kewujudan yang memerintah dan ubudiyah pula
kewujudan yang diperintah.
Hati yang suci bersih, apabila disinari oleh Nur
Ilahi, berpeluang mengembara secara kerohanian
dari ubudiyah kepada Rububiyah untuk
memperolehi makrifat-Nya. Pengembaraan
kerohanian bermula dari alam kebendaan (nasut),
naik ke alam lakuan (malakut) dan seterusnya ke
alam sifat (Jabarut). Kemudian dia melalui
asma’ (nama-nama Allah s.w.t) dan hakikat
segala sesuatu. Seterusnya dia mencapai
fanafillah (hilang lenyap kesedaran diri di bawah
penguasaan Allah s.w.t). Setelah melepasi
daerah fana dia masuk kepada daerah
baqabillah (kesedaran kekal bersama-sama Allah
s.w.t). Kemudian dia turun kepada kesedaran
sifat (Jabarut). Di dalam daerah ini dia mengenali
hakikat dirinya dan Hakikat Insan (manusia), iaitu
suasana Rububiyah yang menguasai sekalian
manusia dan juga dirinya. Bila dia turun lagi, dia
kembali kepada alam insan semula, memikul
amanah sebagai khalifah Allah yang
bertanggungjawab menjalankan perintah Allah
s.w.t di atas muka bumi ini. Salik yang telah
menyempurnakan pengembaraannya dan
mendapat amanah kekhalifahan itulah yang
dinamakan arifbillah. Martabat ini dicapai dengan
menghapuskan segala kepentingan diri sendiri ke
dalam kefanaan Allah s.w.t, sehingga mencapai
makam baqa.
Orang arifbillah mengalami dan mengenali
suasana ubudiyah dan Rububiyah. Dia telah
berjaya menyatukan syariat dan hakikat. Taat
kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan
mematuhi perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya
dan berjalan sesuai dengan Sunah Rasulullah
s.a.w, adalah tujuan dan maksud orang
arifbillah. Mereka kuat melakukan amal ibadat
tetapi tidak melihat kepada amal itu. Segala
sesuatu dikembalikan kepada Allah s.w.t. Allah
s.w.t yang memberi petunjuk dan Dia juga yang
memberi kekuatan untuk melakukan ketaatan
kepada-Nya. Tidak ada yang berlaku melainkan
di bawah takluk Kudrat dan Iradat Allah s.w.t
jua.
Kearifan tidak berpisah dengan ubudiyah.
Rasulullah s.a.w merupakan manusia yang paling
arif dan baginda s.a.w jugalah yang menjadi
manusia yang paling kuat berbuat ubudiyah di
antara sekalian makhluk.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar