HARAPAN ADALAH YANG DISERTAI
AMAL. JIKA TIDAK IA ADALAH ANGAN-
ANGAN.
Harapan dan angan-angan adalah dua perkara
yang serupa tetapi datang melalui saluran yang
berlainan, lalu meninggalkan kesan yang
berbeza. Segala perkara yang datangnya dari
Kudrat dan Iradat Allah s.w.t akan diasingkan
apabila sampai ke perbatasan langit dunia.
Sebahagiannya diserahkan kepada dunia dan
sebahagian lagi dipelihara daripada gangguan
dunia. Apa sahaja yang diserahkan melalui dunia
akan melahirkan kekeliruan dan keraguan serta
menutup kebenaran. Apa yang tidak diusik oleh
dunia akan tetap berada dalam kesucian yang
murni dan tidak putus dari tali kebenaran.
Sesiapa yang menerima hidangan dari dunia
akan menerima kesannya iaitu gambar-gambar
sangkaan dan khayalan. Salah satu kesan yang
didatangkan oleh dunia adalah angan-angan.
Angan-angan adalah sejenis alam khayalan yang
berada di bawah bumbung langit dunia. Di dalam
alam ini seseorang itu boleh mendapatkan apa
sahaja dengan cara berkhayal, dan yang
diperolehi dari khayalan itu menimbulkan sejenis
kelazatan atau kepuasan kepada nafsu orang
yang berkenaan. Misalnya, seorang pemuda yang
tergilakan seorang gadis, boleh mendapatkan
gadis itu di dalam alam khayal dan berbuat apa
sahaja yang mendatangkan kelazatan dan
kepuasan. Alam khayalan ini juga yang
menyambut penagih-penagih dadah dan
peminum arak. Banyaklah yang boleh didapati di
dalam alam khayalan, tetapi apabila kesedaran
datang semula seseorang itu akan berpisah
daripada semua yang dimilikinya di dalam alam
khayalan tadi. Kelazatan di sana boleh dinikmati
di sana sahaja, tidak boleh dibawa kepada alam
nyata ini.
Pada saluran yang tidak diganggu oleh dunia,
perkara yang berbeza terjadi. Apabila seseorang
memperolehi kurniaan dari Allah s.w.t yang tidak
dikotori oleh dunia, akan lahirlah satu tenaga di
dalam dirinya yang dinamakan harapan. Jika
angan-angan mengheret seseorang kepada alam
khayalan, harapan pula mengemaskan
kedudukannya berpijak di atas bumi kenyataan.
Tenaga harapan adalah tenaga yang datangnya
dari Allah s.w.t. Pengurniaan tenaga harapan
adalah tanda bahawa si hamba itu diasingkan
daripada kekufuran kerana tidak berputus asa
melainkan orang kafir. Tenaga harapan menjadi
benteng memisahkan iman daripada kufur. Orang
yang memperolehinya sebenarnya mendapat
taufik dan hidayat dari Allah s.w.t. Apabila Allah
s.w.t mengurniakan kepada hamba-Nya harapan
itu tandanya yang Dia berkenan membawa si
hamba itu kepada apa yang diharapkan. Tenaga
harapan akan menggerakkannya menuju kepada
apa yang disediakan untuknya. Pergerakan atau
amal tidak terpisah daripada tenaga harapan.
Jauh sekali perbezaan antara orang yang
berharap dengan orang yang berangan-angan.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Orang bodoh adalah yang memperturutkan hawa
nafsunya dan berangan-angan mendapatkan
syurga dari Allah s.w.t. ( Maksud Hadis )
Allah s.w.t berfirman:
Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu
sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah
membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu
yang salah itu) maka menjadilah kamu dari
orang-orang yang rugi!” ( Ayat 23 : Surah
Fussilat )
Orang yang diheret oleh angan-angan akan jatuh
ke dalam jurang kebinasaan, rugi di dunia dan
lebih rugi lagi di akhirat. Orang yang diheret oleh
harapan dengan berbagai-bagai amal itulah yang
berjaya, baik di dunia dan lebih baik lagi di
akhirat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar