BUKANLAH ORANG ARIF ORANG YANG
MEMPEROLEHI ISYARAT LALU
MERASAKAN ALLAH S.W.T LEBIH
DEKAT DARI ISYARATNYA. ORANG ARIF
ADALAH ORANG YANG TIDAK
MENYEDARI ISYARAT KERANA FANA
DALAM WUJUD ALLAH S.W.T DAN
DILIPUTI OLEH SYUHUD (PENYAKSIAN)
KEPADA ALLAH S.W.T.
Hikmat yang lalu menggambarkan keadaan orang
awam yang dihijab oleh cahaya dunia dan
syaitan sehingga mereka tidak jadi untuk berbuat
taat kepada Allah s.w.t. Hikmat 87 ini pula
menggambarkan keadaan orang yang berjalan
pada jalan Allah s.w.t dan sudah pun mengalami
hakikat-hakikat tetapi cahaya hakikat masih
menjadi hijab antaranya dengan Allah s.w.t.
Pengalaman tentang hakikat menurut istilah
tasauf dipanggil isyarat tauhid. Isyarat-isyarat
tersebut apabila diterima oleh hati maka hati
akan mendapat pengertian tentang Allah s.w.t.
Isyarat-isyarat demikian membuatnya berasa
hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang berasa
hampir dengan Allah s.w.t tetapi masih melihat
kepada isyarat-isyarat tersebut masih belum
mencapai makam arifbillah. Orang arifbillah
sudah melepasi isyarat-isyarat dan sampai
kepada Allah s.w.t yang tidak boleh diisyaratkan
lagi. Makam ini dinamakan fana-fillah atau lebur
kewujudan diri dalam Wujud Mutlak dan
penglihatan mata hati tertumpu kepada Allah
s.w.t semata-mata, iaitu dalam keadaan:
Tiada sesuatu sebanding dengan-Nya.
Tidak ada nama yang mampu menceritakan
tentang Zat-Nya. Tidak ada sifat yang mampu
menggambarkan tentang Zat-Nya. Tidak ada
isyarat yang mampu memperkenalkan Zat-Nya.
Itulah Allah s.w.t yang tidak ada sesuatu apa
pun menyerupai-Nya. Maha Suci Allah s.w.t dari
apa yang disifatkan.
Murid yang berjaya dalam perjalanannya
mengalami berbagai-bagai hal. Pengalaman
tersebut datang sebagai isyarat-isyarat yang
tiba-tiba sahaja tercetus di dalam hati, dan hati
tiba-tiba sahaja dapat menangkap sesuatu yang
ghaib dan berkaitan dengan ketuhanan.
Pengalaman hati tersebut mencetuskan daya
tafakur. Hasil dari tafakur dapatlah dia
memahami tentang Tuhan. Pengetahuan tentang
ketuhanan itu membuatnya merasakan hampir
dengan Tuhan. Murid pada peringkat ini dapat
melihat kelebihan tauhid yang Allah s.w.t
kurniakan kepadanya. Ini menunjukkan dia masih
berdalilkan pengalaman kerohaniannya secara
tidak sedar bagi mendapat penjelasan tentang
tauhid.
Berbeza keadaannya daripada orang arifbillah
yang tidak lagi melihat kepada tauhid kerana dia
sendiri telah fana di dalam tauhid. Orang
arifbillah mencapai kefanaan yang mutlak setelah
melalui empat peringkat kematian, dipanggil mati
tabii, mati maknawi, mati surri dan mati hisi.
Mati cara ini bukanlah kematian tubuh badan
tetapi ia adalah pelenyapan segala sesuatu
selain Allah s.w.t secara berperingkat-peringkat
dari alam kebatinan seseorang. Ia diistilahkan
sebagai mati kerana pengalaman demikian hanya
berlaku setelah rohani seseorang dapat melepasi
kurungan duniawi dan masuk ke alam kebatinan
yang mendalam atau dikatakan dia terjun ke
dalam dirinya sendiri. Rohani manusia bukanlah
satu ruang seperti ruang-ruang yang ada di
dunia. Rohani adalah Latifah Rabbaniah, perkara
ghaib yang sangat seni dan dinisbahkan kepada
Allah s.w.t, hanya Allah s.w.t mengetahui
hakikatnya. Rohani boleh dihalusi kepada
beberapa peringkat. Peringkat pertama
dinamakan Latifah Kalbu (hati) yang menjadi
asas kepada semua Latifah-Latifah. Ia juga
dinamakan tubuh batin. Peringkat yang lebih
mendalam dinamakan Latifah Roh yang
dibahasakan sebagai roh haiwani iaitu nyawa
yang menghidupkan tubuh badan. Latifah Roh
menjadi batin kepada Latifah Kalbu. Batin
kepada Latifah Roh pula dinamakan Latifah Sir
yang dibahasakan sebagai roh insani, yang
membekalkan bakat kehidupan kepada roh
haiwani dan seterusnya menghidupkan jasad.
Batin kepada Latifah Sir dinamakan Latifah Khafi
dan batin yang paling dalam dinamakan Latifah
Akhfa.
Bila terbuka medan Latifah kalbu, hati merasakan
mati tabii. Kematian cara ini membuat fikiran
tidak aktif. Hati mendapat keasyikan tentang
alam ghaib dan dalam keasyikan itu
pendengaran zahir tidak memberi kesan kepada
hati dan fikiran. Dia tidak mendengar apa-apa
lagi kecuali suara hatinya yang menyebut Allah,
Allah, Allah! Kemudian, tanpa dipaksa-paksa
lidahnya menyebut Allah, Allah, Allah! Setiap kali
dia menyebut Allah hatinya merasakan seolah-
olah Allah menjawab seruannya itu. Pada
peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam
lakuan Allah s.w.t. Pemikiran, perasaan dan
keinginan tidak berfungsi lagi. Semua perkara
terhapus, yang ada nur iman dan tauhid. Hatinya
menghayati:
Tiada yang berbuat sesuatu melainkan Allah
s.w.t.
Dalam keadaan demikian dia menghayati firman
Allah s.w.t:
“Padahal Allah menjadikan kamu dan benda-
benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 :
Surah as-Saaffaat )
Dan tidaklah akan berkehendak, kecuali jika
dikehendaki oleh Allah, ( Ayat 29 : Surah at-
Takwiir)
Orang yang memasuki alam kebatinan peringkat
ini melihat pergerakan yang terjadi pada dirinya
berlaku tanpa dia merancang dan juga dia tidak
mampu menyekatnya dari berlaku. Keadaannya
sama seperti orang yang melihat dirinya di dalam
mimpi. Dia tidak berkuasa menyuruh atau
melarang apa yang dirinya lakukan di dalam
mimpi itu. Dia seakan-akan melihat orang lain,
bukan dirinya sendiri. Pengalaman yang seperti
di dalam mimpi itu dialami secara jaga oleh
orang yang mencapai fana peringkat pertama
atau memasuki suasana mati tabii. Oleh sebab
dia melihat dengan jelas dan yakin akan
perbuatan dirinya terjadi di luar bidang
kekuasaannya, maka perbuatan itu dinafikan
keluar dari dirinya dan diisbatkan kepada
perbuatan Allah s.w.t. Dia menghayati bahawa
Allah s.w.t jualah yang melakukan segala
perkara.
Setelah melepasi medan Latifah kalbu seseorang
itu masuk kepada medan Latifah Roh dan jika
diizinkan Allah s.w.t dia berpeluang mengalami
suasana mati maknawi. Dalam suasana mati
maknawi, penglihatan mata zahir dikuasai oleh
penglihatan mata hati. Mata zahir tidak lagi
tertarik kepada alam benda. Dia seolah-olah
melihat cermin yang ditembusi cahaya, maka
sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada
pandangannya ketika mata hatinya memandang
kepada sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna
dan Kekal. Kesedarannya terhadap sifat dirinya
hilang dan dia dikuasai oleh suasana sifat Allah
s.w.t. Penghayatan hatinya pada ketika ini
adalah:
Tiada yang hidup melainkan Allah s.w.t.
Kefanaan pada peringkat ini membuat seseorang
melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat
kepada jasad yang akan binasa dan tidak juga
kepada dunia yang bersifat sementara. Dia
dikuasai oleh suasana rohani yang tidak akan
binasa kerana rohani hidup menumpang Hayat
Allah s.w.t.
Setelah melepasi medan Latifah Roh dia masuk
kepada medan Latifah Sir dan jika Allah s.w.t
izinkan dia dapat merasakan suasana mati surri.
Dalam suasana mati surri, segala kewujudan
yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus
dari alam kebatinannya. Dia masuk ke alam
ghaib yang penuh dengan Nur Ilahi. Nama Allah
s.w.t berbekas pada hatinya dan dia menghayati
kenyataan:
Tiada yang terpuji melainkan Allah s.w.t.
Orang yang mengalami kefanaan ini sudah
terputus dari sifat-sifat kemanusiaan maka
lahirlah perwatakan yang ganjil dan aneh, tidak
secucuk dengan tatasusila dan adab masyarakat.
Cara dia berpakaian, makan dan minum tidak
seperti orang ramai lagi. Percakapannya sukar
dimengerti dan kadang-kadang menyinggung
perasaan orang lain. Mungkin juga terkeluar dari
mulutnya ucapan yang pada zahirnya bersalahan
dengan syariat.
Setelah melepasi Latifah Sir seseorang itu masuk
ke dalam medan Latifah Khafi dan jika diizinkan
Allah s.w.t dia berpeluang memasuki susana
mati hisi. Dalam suasana ini apa juga yang
mengisi alam ini lenyap dari alam perasaannya
Tidak ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa,
ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia
mengalami suasana yang kosong, tiada isi, tiada
rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan
apa-apa. Dia menghayati suasana:
Tiada yang maujud secara mutlak melainkan
Allah s.w.t.
Semua yang lain dari Allah s.w.t binasa, Wujud
Allah s.w.t yang tidak binasa. Keadaan
kerohanian pada peringkat ini adalah:
Zat yang kosong dari makhluk, yang maujud
hanya Allah s.w.t.
Setelah melepasi suasana kematian dalam empat
Latifah itu seseorang itu masuk kepada batin
yang paling dalam iaitu Latifah Akhfa. Dia sudah
melepasi suasana fana dan masuk kepada
suasana baqabillah atau kekal bersama-sama
Allah s.w.t. Dia sentiasa bersama-sama Allah
s.w.t baik ketika jaga mahu pun ketika tidur.
Segala gerak gerinya merupakan ibadat. Mata
hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t.
Kesibukannya dengan apa jua urusan tidak
melindungi penglihatan hakiki mata hatinya.
Tampak nyata baginya:
Tiada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t; tiada
yang berkehendak melainkan apa yang
dikehendaki Allah s.w.t; tidak ada daya dan
upaya melainkan daya dan upaya yang dari Allah
s.w.t. Segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t
dan kembali kepada-Nya.
Mata hatinya melihat bahawa segala kewujudan
selain Zat Allah s.w.t, sifat Allah s.w.t,
perbuatan Allah s.w.t dan asma’ Allah s.w.t
hanyalah kewujudan yang tidak berhakikat. Inilah
makam arifbillah, iaitu orang yang benar-benar
mengenal Allah s.w.t.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar