KESEDIHAN LANTARAN TIDAK BERBUAT
TAAT TETAPI TIDAK BERGERAK UNTUK
BERBUAT DEMIKIAN ADALAH TANDA
DIPERDAYA (OLEH SYAITAN).
Dunia adalah satu bola besar yang di dalamnya
penuh dengan warna-warna syaitan yang
menutup pandangan mata hati manusia. Hati
yang tertarik kepada warna syaitan akan
menghadap kepadanya sambil membelakangi
kebenaran. Walaupun syaitan mencuba sedaya
upaya menutup hati manusia tetapi kadang-
kadang ada juga cahaya kebenaran yang berjaya
menyelinap masuk ke dalam hati. Pada masa itu
orang yang berkenaan dapat melihat keburukan
dan kecacatan yang ada pada dirinya. Dia akan
berasa gundah-gulana melihat keadaan dirinya
yang tidak berbuat taat kepada Allah s.w.t. Dia
melihat kepada umurnya yang berlalu dengan
sia-sia. Timbullah keinginanya untuk mengubah
cara hidup. Bila dia melihat orang lain rajin
berulang-alik ke masjid dia pun ingin berbuat
demikian. Bila dia melihat orang lain rajin
beribadat, berzikir, memuji dan memuja Allah
s.w.t, dia juga mahu berbuat demikian. Bila dia
melihat orang lain alim dalam bidang agama dia
pun ingin menjadi alim juga. Apa juga bidang
ketaatan kepada Allah s.w.t yang orang lain buat
dia juga ingin membuatnya, bahkan dia ingin
melakukan lebih dari orang lain. Begitulah
keinsafan yang timbul pada dirinya.
Orang yang rohaninya masih terkurung di dalam
bola dunia tidak terlepas dari gangguan warna
syaitan. Syaitan sentiasa sahaja memancarkan
cahayanya bagi mengelirukan pandangan hati.
Syaitan mempunyai berbagai-bagai cara dalam
memesungkan manusia dari jalan Allah s.w.t.
Kejayaan syaitan yang paling besar adalah jika
dapat mengheret manusia melakukan
kederhakaan kepada Allah s.w.t dengan berbuat
syirik. Jika ia gagal berbuat demikian ia tidak
akan membiarkan hamba-hamba Allah s.w.t
berjalan dengan senang lenang di atas jalan yang
lurus.
Syaitan akan mengenakan berbagai-bagai tipu
muslihat terhadap manusia yang sudah timbul
keinsafan untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t.
Syaitan tidak melawannya dengan kekerasan.
Orang ini akan dihadapi dengan lemah-lembut
dan pujuk rayu. Perhatian orang tadi dialihkan
daripada apa yang dia ingin lakukan kepada apa
yang dia sudah lakukan. Syaitan memperlihatkan
kepadanya betapa besarnya kebaikan yang
pernah dilakukannya Ditiupkan ke dalam hati
orang itu bahawa dia sebenarnya sudah berada
di atas jalan yang lurus. Syaitan membuktikannya
dengan memperingatkannya tentang segala
kebaikan yang telah dilakukannya. Telah ramai
orang yang ditolongnya, semuanya dia masih
ingat. Telah banyak sedekah yang
dikeluarkannya, semuanya dia masih ingat. Dia
juga biasa bersembahyang, walaupun dia juga
biasa meninggalkannya. Dia tertinggal
sembahyang bukan kerana cuai, tetapi kerana
kesibukan dan tidak disengajakan.
Banyak lagi perkara-perkara baik yang diulang
tayang oleh syaitan. Syaitan terus membuaikan
hatinya sehingga dia merasakan yang dirinya
tidaklah seburuk yang disangkakannya ketika
mula-mula datang keinsafan tadi. Hilanglah
kesedihan yang mengacau jiwanya lantaran
menyangka yang dia memang sudah berada
dalam golongan yang taat. Keinginan yang
membara tadi sudah mula malap dan akhirnya
padam terus. Dia kembali kepada kehidupannya
sebagaimana sediakala.
Begitulah cara syaitan memperdayakan manusia.
Mula-mula ditiupkan waswas ke dalam hati,
kemudian dibentuknya sangkaan-sangkaan yang
menutup kebenaran. Manusia pun menurut
sangkaan dengan meyakini bahawa apa yang
dituruti itu adalah kebenaran. Begitulah yang
terjadi kepada orang yang melihat kepada amal
secara lahiriah sahaja. Penglihatannya tidak
sampai kepada roh amal itu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar