Selasa, 22 Oktober 2013

85 : SEBAIK BAIK PERMINTAAN

SEBAIK-BAIK PERMINTAAN ADALAH
APA YANG ALLAH S.W.T TUNTUT
DARIPADA KAMU.

Pada setiap ketika dan setiap keadaan pasti ada
tuntutan Allah s.w.t terhadap kita yang kita
berkewajipan menyempurnakannya. Pada ketika
dan keadaan berkenaan yang paling baik kita
pohonkan daripada Allah s.w.t adalah agar kita
dapat menyempurnakan kewajipan tersebut.
Setiap waktu, ruang, benda-benda serta kejadian
yang mengisi waktu dan ruang itu merupakan
ujian Allah s.w.t. Apa yang dimaksudkan dengan
ujian adalah cabaran terhadap iman (tauhid).
Waktu dan ruang serta isinya berperanan
mengalihkan pandangan kita daripada tauhid
kepada yang mengisi waktu dan ruang tersebut.
Waktu dan ruang adalah dua keping besi tajam
yang membentuk gunting, kerjanya memotong tali
yang menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t.
Apabila tali itu putus, terlepaslah perhatian dari
menyaksikan Rububiyah, maka terjadilah syirik.
Apa sahaja yang berada di dalam waktu dan
ruang yang menutup pandangan mata hati dari
menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t, adalah
menjadi bahan yang disyirikkan dengan Allah
s.w.t.
Anasir alam yang paling banyak mengisi waktu
dan ruang adalah sebab musabab, memakai
berbagai-bagai topeng, menggunakan berbagai-
bagai nama dan menunggang berbagai-bagai
jenis kenderaan, iaitu benda, kejadian dan
suasana. Sebab musabab menguji iman kita, dan
kita dituntut memelihara iman itu. Apabila kita
menerima sebab musabab kita hendaklah tidak
meletakkan keberkesanan terjadinya sesuatu
hukum kepada sebab musabab. Apa juga yang
berlaku adalah menurut tadbir Ilahi dan benda-
benda alam yang membentuk sistem sebab
musabab adalah alat yang mempamerkan hikmat
kebijaksanaan peraturan dan perbuatan Allah
s.w.t. Jangan dibiarkan sebab musabab
memperlihatkan kekuatannya seolah-olah Allah
s.w.t tidak ikut campur dalam urusannya. Kita
bertanggungjawab menjaga iman kita agar tidak
dihanyutkan oleh arus sebab musabab yang
setiap detik singgah kepada kita. Terpelihara
iman adalah yang sebaik-baik diminta. Paling
utama diminta adalah terpelihara iman ketika
dikeluarkan roh dari jasad.
Dalam perjalanan mempertahankan imannya
seseorang itu akan silih berganti berhadapan
dengan salah satu daripada empat keadaan:
nikmat; bala; taat dan maksiat. Keempat-empat
itu adalah alat untuk menguji iman. Dalam
menghadapi ujian nikmat pohonlah kepada Allah
s.w.t agar kita dapat mengikat nikmat tersebut
dengan syukur. Apabila berhadapan dengan ujian
bala, merayulah kepada Allah s.w.t agar bala itu
dihindarkan atau jika bala itu tidak mahu pergi
juga mintalah agar Dia menguatkan kita dengan
kesabaran dan seterusnya mintalah agar Allah
s.w.t mententeramkan hati kita dengan reda.
Apabila kita diberi kesempatan berbuat taat,
ketahuilah ketaatan itu adalah kurniaan Allah
s.w.t, kerana kasihan belas dan rahmat-Nya
kepada kita, bukan ketaatan terjadi kerana
kebolehan dan keupayaan kita. Jangan melihat
amal sebagai hasil usaha kita tetapi hendaklah ia
dilihat sebagai pemberian Allah s.w.t yang wajib
disyukuri dan seharusnya kita merendah diri
kepada-Nya. Apabila terjerumus melakukan
maksiat pula, ketahuilah bahawa jika kita tidak
peduli ke lembah kehancuran mana yang kita
jatuh, maka Allah s.w.t juga tidak peduli di
jurang mana kita binasa dan di neraka mana kita
menanggung azab seksa. Jika tidak mahu
dibinasakan oleh Allah s.w.t dan diseksa dengan
azab yang pedih, larilah kepada Allah s.w.t
dengan meninggalkan lembah maksiat,
bertaubatlah dengan sepenuh hati, sebenar-
benar taubat.
Dalam mengajukan permintaan kepada Allah
s.w.t yang perlu dilihat adalah diri sendiri, bukan
apa yang diingini. Penting bagi seseorang
mengenali dirinya dan menghisab dirinya. Cari di
mana cacat dan kekurangan yang ada pada kita.
Apa yang kurang minta Allah s.w.t percukupkan
dan apa yang cacat minta Dia perelokkan. Apa
sahaja yang datang adalah perutusan dari Allah
s.w.t yang perlu kita renungi. Pohonlah bantuan
Allah s.w.t agar disingkapkan rahsia yang
menyelubungi perutusan yang datang itu agar kita
tidak tertipu oleh muslihatnya. Ingatlah semasa
masih ada hayat, nafas masih boleh disedut,
tidak lain yang patut dituntut melainkan tauhid!
Berdoalah bersungguh-sungguh agar hidup kita
diterangi oleh tauhid dan mati kita jua dalam
keteguhan tauhid!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar