JIKA KAMU INGIN MENGETAHUI
KEDUDUKAN KAMU DI SISI ALLAH
S.W.T, LIHATLAH DI MANA KAMU
DIDUDUKKAN.
Perkara biasa sekiranya seseorang itu diganggu
oleh keinginan mahu mengetahui kedudukannya.
Keinginan yang baik tidak lahir dari perasaan
mahu menunjuk-nunjuk atau mahu bermegah-
megah dengan pencapaiannya. Sebenarnya dia
memerlukan pendorong bagi mendapat
keyakinan yang teguh. Keinginan yang bertujuan
meneguhkan keyakinan tidak dianggap tercela.
Nabi Ibrahim a.s pernah memohon kepada Allah
s.w.t agar diperlihatkan kepadanya
bagaimanakah mereka yang telah hancur menjadi
tanah dibangkitkan semula, bagi menambah dan
memperteguhkan keyakinan beliau a.s. Wali-wali
Allah dikurniakan kekeramatan sebagai
menyokong dan memperkuatkan keyakinan
mereka. Orang yang masih di dalam perjalanan
juga memerlukan penyokong bagi
memperbaharui semangat juang dan
memperkukuhkan keyakinannya. Salah satu
caranya adalah melihat kepada kedudukannya di
sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menetapkan
beberapa darjat dan memperlihatkan tanda-
tanda bagi darjat masing-masing. Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Jika Allah s.w.t kasih kepada seseorang
hamba maka diuji-Nya dengan bala, jika
dia sabar dipilih-Nya dan jika dia reda
diistimewakan-Nya”. ( Maksud Hadis )
Lihatlah kepada diri kita. Jika kita dikenakan bala
itu tandanya kita berada di dalam golongan
hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Hamba yang
dikasihi adalah hamba yang sabar dan reda. Jika
tidak ada sabar dan reda itu tandanya kita
terkeluar daripada kedudukan hamba yang
dikasihi, bala yang dikenakan kepada kita
merupakan hukuman terhadap dosa yang kita
lakukan. Hamba yang sabar ketika menerima
bala adalah hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t,
kerana hanya yang dipilih oleh-Nya sahaja yang
diperteguhkan dengan kesabaran, manakala
hamba yang dijauhkan dibiarkan hanyut di dalam
keperitan bala. Jika hamba itu naik pula dari
sabar kepada reda, itu menunjukkan dia
diistimewakan kerana hanya hamba yang
istimewa sahaja yang dikurniakan reda, sebab
reda mencairkan kesakitan dan keperitan bala
lalu menukarkannya menjadi nikmat.
Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu
(yang sempurna imannya) ialah mereka yang
apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya)
gementarlah hati mereka; ( Ayat 2 : Surah al-
Anfaal )
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman
kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah
orang-orang yang apabila diberi peringatan dan
pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera
merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat
patuh), dan menggerakkan lidah dengan
bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan
mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur,
(sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan
sembahyang tahajud dan amal-amal salih);
mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan dengan
perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta
dengan perasaan ingin memperolehi lagi
(keredaan-Nya); dan mereka selalu pula
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami
beri kepada mereka. ( Ayat 15 – 16 : Surah
as-Sajdah )
Allah s.w.t menerangkan dengan jelas tentang
keadaan hamba-hamba-Nya yang berada dalam
makam Mukmin. Lihatlah kepada diri kita dan
jawablah sendiri adakah tanda-tanda Mukmin itu
ada pada kita atau tidak ada. Jika tidak ada,
perbanyakkan sembahyang malam dan
bersedekah.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa ingin mengetahui kedudukannya di
sisi Allah s.w.t hendaklah ia melihat (dalam
hatinya) bagaimana keadaan Allah s.w.t pada
sisinya, kerana Allah s.w.t mendudukkan hamba-
Nya menurut ukuran si hamba itu mendudukkan
Allah s.w.t pada dirinya. ( Maksud Hadis)
Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi:
Aku adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku,
maka hendaklah dia menyangka dengan apa
yang dia kehendaki.
Perkara pokok dalam memahami kedudukan kita
di sisi Allah s.w.t adalah dengan melihat
bagaimana keadaan hati kita terhadap Allah
s.w.t. Jika hati kita lalai dari mengingati Allah
s.w.t maka kedudukan kita adalah hamba yang
lalai. Jika hati kita kuat bergantung kepada amal
maka kedudukan kita adalah ragu-ragu dengan
jaminan Allah s.w.t. Jika hati kita kuat bertajrid
itu tandanya kita didudukkan hampir dengan-Nya.
Jika kita sabar menghadapi ujian bala itu
tandanya kita didudukkan dalam golongan
pilihan. Jika kita reda dengan apa juga takdir
Allah s.w.t itu tandanya kita didudukkan dalam
kumpulan yang diistimewakan. Jika kita
merasakan diri kita kosong dari segala sesuatu,
yang ada hanya Allah s.w.t, itu tandanya kita
berada di dalam makam makrifat. Jika kita
berasa senang dengan syariat yang dibawa oleh
Nabi Muhammad s.a.w itu tandanya kita orang
Islam. Jika gementar hati kita bila mendengar
peringatan kepada Allah s.w.t dan mendengar
ayat-ayat-Nya dibacakan itu tandanya kita
seorang Mukmin. Jika sifat benar sebati dengan
kita dalam segala keadaan itu tandanya kita
seorang muhsinin. Jika kita menjalankan perintah
Allah s.w.t dengan tepat, bersungguh-sungguh
meninggalkan larangan-Nya itu tandanya kita
seorang muttaqin. Jika kita berasa akan
kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika itu
tandanya kita seorang muqarrabin. Jika kita
merasakan wujud diri kita lebur di dalam Wujud
Mutlak itu tandanya kita seorang ariffin. Jika kita
gemar menangis dalam mengingati Allah s.w.t di
samping melihat bala dan nikmat, senang dan
susah, sihat dan sakit, penolakan dan
penerimaan dan segala perkara yang
bertentangan tidak lagi berbeza pada penglihatan
mata hati kita itu tandanya kita dikuasai oleh
Cinta Allah s.w.t. Jika apa sahaja yang kita
hadapi memperlihatkan Wujud Allah s.w.t itu
tandanya kita baqa atau kekal bersama-sama
Allah s.w.t. Lihatlah di mana kita didudukkan, di
situlah kedudukan kita di sisi Allah s.w.t.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar