Selasa, 22 Oktober 2013

82 : TANDA AMAL DITERIMA ALLAH SWT

BARANGSIAPA YANG DAPAT MERASA
BUAH DARI AMALNYA SEKARANG (DI
DUNIA) IA MENJADI BUKTI DITERIMA
AMALNYA KELAK (DI AKHIRAT)

Buah dari amal adalah kesan yang lahir dari
amal kebaikan yang dilakukan. Kesan itu menjadi
tanda menunjukkan sama ada amal seseorang itu
diterima oleh Allah s.w.t atau tidak. Banyak ayat
al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang
menceritakan tentang tanda-tanda yang boleh
dibuat ukuran tentang amal yang dilakukan.
Misalnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa tidak dicegah oleh sembahyangnya
dari melakukan perbuatan keji dan munkar, maka
dia tidak bertambah dekat dengan Allah s.w.t,
bahkan bertambah jauh.
Sembahyang yang diterima oleh Allah s.w.t
adalah sembahyang yang mendekatkan orang
yang melakukannya kepada Allah s.w.t dan
tandanya adalah orang itu dilindungi dari
terjerumus melakukan perbuatan keji dan
munkar. Andaikata mata hati dapat melihat
nescaya akan kelihatan sembahyang dan amal
kebaikan yang lain, mengeluarkan nur-nur yang
menjadi tentera melindungi orang yang berbuat
sembahyang dan kebaikan itu daripada
percubaan tentera musuh menjatuhkannya ke
dalam lembah kekejian dan kemunkaran. Orang
tersebut kadang-kadang terlintas juga dihatinya
untuk melakukan maksiat, tetapi nur-nur yang
menjadi tentera amal kebaikan bertindak
menghindarkannya daripada melakukan maksiat
yang ingin dilakukannya itu, hinggakan dia sendiri
hairan bagaimana dia boleh terselamat padahal
dia sudah berada di hadapan pintu maksiat.
Tentera nur tersebut bukan setakat mengawal
kejahatan daripada menghampiri tuannya bahkan
ia juga sering menarik tuannya kepada kebaikan
hinggakan orang itu selalu berpeluang berbuat
kebaikan tanpa dirancang dan dia selalu berasa
hairan bagaimana bila ada sahaja kerja kebaikan
maka tiba-tiba dia ikut serta melakukannya
sedangkan tiada sesiapa menjemputnya untuk
melakukan pekerjaan itu. Inilah yang dinamakan
buah daripada amal kebaikan. Jika dia ikhlas
menjaga amal kebaikannya, maka tentera nur
yang lahir dari amal itu akan ikhlas pula
melindunginya, bukan sahaja ketika di atas muka
bumi ini, malah tentera nur itu akan
menemaninya di dalam kubur, memberi cahaya
dan menghilangkan kesunyiannya.
Orang yang tidak mendapat buah dari amalnya
sering ditarik ke arah yang berlawanan. Dia
mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat
walaupun dia sudah berusaha berungguh-
sungguh untuk menjauhkannya. Dia berasa berat
untuk beribadat walaupun dia sudah mencuba
untuk khusyuk. Walaupun banyak amal kebaikan
yang dilakukannya tetapi jika amal itu tidak
ikhlas, iaitu tidak ada nyawanya maka dia tidak
dapat menghidupkan tentera nur dari amal
tersebut, yang boleh menjaganya daripada
kebinasaan.
Oleh sebab amal kebaikan orang Mukmin tidak
dibalas sepenuhnya semasa dia hidup di dunia
ini maka Allah s.w.t menggantikannya dengan
sejenis rasa kelazatan dan kepuasan mengiringi
amalnya sehingga dia tidak berasa bosan dan
tidak berasa rugi kerana beramal. Amal yang
salih ditempatkan di Iliyyin yang berhampiran
dengan syurga. Walaupun orang Mukmin masih
hidup di dunia, amalnya telah pun diangkat ke
Iliyyin dan amal itu sudah dapat mencium bau
syurga. Keharuman bau syurga itu disalurkan
kepada tuannya yang berada di dunia. Oleh
sebab itu orang Mukmin sudah dapat mengecap
bau syurga sebelum memasukinya dan ketika
mereka masih hidup di dunia. Keharuman dan
kelazatan imbasan syurga dirasai ketika mereka
beramal, terutamanya ketika bersembahyang.
Suasana sembahyang mereka seolah-olah
mereka berada di dalam syurga, sebab itulah
mereka tidak mendengar desiran angin dan tidak
sakit ditikam dengan tombak, kerana kelalaian
dan kesakitan tidak ada di dalam syurga. Allah
s.w.t berfirman:
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak
ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak
berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-
orang yang beriman serta mereka pula sentiasa
bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan
yang menggembirakan di dunia dan di akhirat;
tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji
Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar.
( Ayat 62 – 64 : Surah Yunus)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar