Selasa, 22 Oktober 2013

81: AKHIRAT TEMPAT PEMBALASAN BAGI HAMBA-HAMBA YANG MUKMIN

SESUNGGUHNYA DIJADIKAN NEGERI
AKHIRAT SEBAGAI TEMPAT
PEMBALASAN BAGI HAMBA-HAMBA-
NYA YANG BERIMAN KERANA NEGERI
INI (DUNIA) TIDAK CUKUP LUAS (BAGI
MENAMPUNG) APA YANG ALLAH S.W.T
HENDAK BERIKAN KEPADA MEREKA.
BAHAWASANYA DIGANDAKAN SEGALA
KADAR (PEMBALASAN) MEREKA, JAUH
DARI PEMBALASAN TERHADAP MEREKA
YANG DI DALAM NEGERI YANG TIDAK
KEKAL INI.

Dunia dan manusia ditentukan dengan ajal. Ajal
bagi manusia adalah maut, dan ajal bagi dunia
adalah kiamat. Umat manusia yang terdahulu
hidup sehingga melebihi seribu tahun. Umat Nabi
Muhammad s.a.w hidup sekitar enam puluh
tahun sahaja. Apabila maut datang berakhirlah
kehidupannya di dunia. Apa sahaja yang
dimilikinya berpisah daripadanya. Jasadnya
dihantar ke dalam tanah, dan hartanya kepada
waris-warisnya. Kemuliaan, kekuasaan,
kesayangan, kebencian, kehinaan dan segala-
galanya ditinggalkannya. Keluarlah roh dari dunia
dan ditunggunya pula ketibaan ajal dunia.
Berapa juta tahun dunia boleh hidup tiada
sesiapa mengetahuinya melainkan Allah s.w.t,
yang pasti dunia juga pasti ‘mati’ satu ketika
nanti. Masa kematiannya mungkin sudah hampir.
Nabi akhir zaman sudah diutuskan lebih seribu
empat ratus tahun yang lalu. Nikmat Allah s.w.t
telah disempurnakan. Agama Allah telah
diperlengkapkan. Apa sahaja yang harus
diberikan kepada dunia telah diberikan. Tidak
ada lagi yang tinggal. Jika dunia diistilahkan
sebagai bernafas, maka semua nafasnya telah
pun digunakannya, hanya tinggal nafas yang di
dalam simpanan yang digunakan sekarang.
Demi masa (waktu asar)! ( Ayat 1 : Surah
al-‘Asr )
Waktu telah asar. Matahari telah condong ke
barat, hanya beberapa ketika sahaja lagi ia akan
terbenam. Sebentar lagi cahaya alam akan
dicabut dan tinggallah dunia dalam kegelapan.
Muazzin menyambut ketibaan waktu asar dengan
memberikan peringatan kepada manusia:
Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam
kerugian - kecuali orang-orang yang beriman dan
beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan
kesabaran. ( Ayat 1 – 3 : Surah al-‘Asr )
Dunia mengasingkan manusia kepada dua
golongan. Pertama adalah yang beriman dan
beramal salih serta mengajak kepada kebenaran
dan kesabaran. Kedua adalah yang kufur dan
menolak kebenaran. Dunia menjadi penjara
kepada yang beriman dan menjadi syurga
kepada yang kufur. Rasulullah s.a.w bersabda:
Dunia ini penjara bagi orang Mukmin dan syurga
bagi orang kafir.
Syurga adalah kelazatan dan kesenangan yang
menjadi balasan kepada perbuatan baik. Orang
kafir yang berbuat kebaikan menerima balasan
kebaikan ketika mereka masih di dunia. Allah
s.w.t memberi balasan lebih banyak dari
kebaikan yang hamba-Nya lakukan agar mereka
tidak boleh merungut tentang balasan yang
mereka terima. Dunia ini tidak ada nilainya di sisi
Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengatakan
bahawa dunia ini pada sisi Allah s.w.t nilainya
tidak melebihi sebelah sayap nyamuk. Andainya
dunia ini ada harga bagi Allah s.w.t nescaya
tidak diizinkan orang kafir merasa walau seteguk
air. Oleh sebab dunia ini tidak berharga maka ia
dihamburkan kepada orang-orang kafir seluas-
luasnya supaya mereka berasa puas menerima
imbuhan bagi penat lelah dan usaha mereka, dan
tidak ada lagi tanggungan balasan yang tinggal
buat mereka apabila mereka meninggalkan dunia
ini. Di akhirat kelak mereka tidak boleh lagi
membuat tuntutan terhadap kebaikan yang
mereka lakukan semasa di dunia. Segala hutang
telah dibayar oleh Allah s.w.t ketika mereka
masih hidup.
Orang yang tidak beriman berbuat kebaikan
dengan menggunakan keupayaan jasmaninya,
sementara orang yang beriman menggunakan
keupayaan rohaninya. Kebaikan yang lahir dari
keupayaan jasmani hanya mampu disebarkan
kepada ruang yang sempit, oleh sebab itu ruang
yang sempit juga diperlukan untuk diisi balasan
untuknya. Ruang yang ada di alam dunia ini
sudah cukup luas untuk diisikan dengan
pembalasan terhadap kebaikan-kebaikan
jasmani. Rohani pula mampu merentasi daerah
yang lebih luas. Semakin kuat rohani seseorang
semakin luas daerah yang boleh diterokainya.
Manusia yang memiliki rohani yang paling kuat
adalah Nabi Muhammad s.a.w dan keupayaan
rohani baginda s.a.w diceritakan oleh Allah s.w.t
dengan firman-Nya:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai
Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat
bagi sekalian alam . ( Ayat 107 : Surah al-
Anbiyaa’ )
Keupayaan rohani Rasulullah s.a.w mampu
meliputi seluruh alam, menabur rahmat kepada
semua zaman, semua ruang serta sekalian isi
alam. Tidak ada satu juzuk pun dari alam yang
tidak berteduh di bawah payung rahmat rohani
Rasulullah s.a.w. Berbeza daripada keupayaan
jasmani baginda s.a.w yang hanya berdakwah
selama lebih kurang dua puluh dua tahun sahaja.
Begitulah besarnya perbezaan antara keupayaan
rohani dengan keupayaan jasmani. Oleh itu nilai
kebaikan yang dilakukan masing-masing juga
berbeza. Oleh sebab besarnya kebaikan yang
bersangkutan dengan rohani maka ruang yang
diperlukan untuk mengisi balasan baginya juga
besar. Ruang yang ada di alam dunia ini tidak
cukup luas untuk diisikan dengan balasan
tersebut, lebih-lebih lagi balasan untuk kebaikan
digandakan oleh Allah Yang Maha Pemurah.
Dunia ini selain ruangnya sempit ia juga hina di
sisi Allah s.w.t, sedangkan balasan kebaikan
untuk orang yang beriman sangat mulia dan
tinggi nilainya. Jika balasan yang mulia itu diisi
ke dalam bekas yang kotor, maka kekotoran
bekas itu akan bercampur dengan kemuliaan
balasan itu yang menyebabkan kecacatan pada
balasan tersebut. Untuk mengelakkan sesuatu
yang baik lagi mulia daripada terjejas, disediakan
Allah s.w.t kepada orang yang beriman tempat
yang mulia, dan orang Mukmin itu akan dijemput
dengan penuh kemuliaan untuk mendapatkan
bahagiannya yang mulia di tempat yang mulia.
Apa yang akan diperolehinya nanti akan kekal
bersama-samanya, tidak seperti balasan dunia
yang bersifat sementara.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar