Selasa, 22 Oktober 2013

78 : KARUNIA ALLAH SWT YANG MENETAP PADA HAMBA-NYA


SEBAHAGIAN PARA HAMBA
DITENTUKAN OLEH ALLAH S.W.T UNTUK
BERKHIDMAT KEPADA-NYA DAN ADA
PULA SEBAHAGIAN YANG
DIISTIMEWAKAN ALLAH S.W.T DENGAN
MENCINTAI-NYA. KEPADA MASING-
MASING ITU DIBERIKAN BANTUAN DARI
KURNIAAN TUHAN DAN KURNIAAN
TUHAN ITU TIDAK TERBATAS.

Para hamba Allah s.w.t yang sampai kepada
penghujung perjalanan mereka dikurniakan Allah
s.w.t menetap dengan salah satu dari dua hal,
iaitu sama ada berkhidmat kepada Allah s.w.t
atau fana dalam mencintai-Nya. Para hamba
yang ditentukan untuk berkhidmat kepada Allah
s.w.t terdiri dari dua golongan. Golongan
pertama adalah ahli akhirat yang mencapai
makam Mukmin dan golongan kedua adalah ahli
Allah s.w.t yang diserapkan oleh hal abid dan
zahid. Para Mukmin adalah tentera Allah s.w.t
yang berjuang menegakkan syariat Allah s.w.t
dengan bersenjatakan sabar. Mereka tidak
berhenti-henti berjihad pada jalan Allah s.w.t,
menegakkan syariat-Nya dan memerangi hawa
nafsu. Ahli jihad tersebut tidak takut mati kerana
mereka melihat kematian dalam jihad adalah
mati syahid dan darahnya digantikan dengan
syurga yang maha indah. Para Mukmin, ahli jihad
yang teguh dalam kesabaran adalah para hamba
yang didekatkan.
Para abid dan zahid pula adalah hamba-hamba
yang telah melepasi makam sabar dan masuk
kepada makam reda lalu menjadi hamba-hamba
pilihan dan dimuliakan. Makam abid dan zahid
sangat mulia di sisi Allah s.w.t kerana mereka
tidak membuat sebarang pekerjaan kecuali
beribadat kepada Allah s.w.t, mentaati sekalian
perintah-Nya dengan keikhlasan sejati tanpa
mengharapkan sebarang balasan. Mereka tidak
melihat kepada amal perbuatan mereka tetapi
melihat ibadat itu sebagai kurniaan dari Allah
s.w.t yang sangat berharga. Semakin banyak
amal ibadat yang terdaya mereka lakukan
semakin kuatlah kesyukuran mereka. Hati mereka
tidak lagi diganggu oleh tarikan dunia dan
rangsangan syahwat. Jika para Mukmin biasa
diibaratkan sebagai orang yang menanam pokok
kerana mengetahui pokok tersebut akan
mengeluarkan buah yang lazat rasanya, Mukmin
yang abid dan zahid pula diibaratkan sebagai
orang yang membaja dan menyiram pokok
tersebut supaya ia bertambah subur.
Ada pula, dari kalangan Mukmin, Allah s.w.t
tentukan untuk mencintai-Nya. Cinta Allah adalah
sesuatu yang sangat sulit untuk dihuraikan.
Terlalu sedikit para hamba yang dipilih untuk
memilikinya. Golongan yang sedikit itu adalah
anbia dan aulia Allah s.w.t yang agung. Jika
mahu memahami maksud Cinta Allah, selamilah
ucapan mereka yang sedang asyik dalam
kecintaan tersebut. Pencinta Allah s.w.t yang
paling agung, Nabi Muhammad s.a.w
mengucapkan:
“Sekiranya diletakkan matahari pada tangan
kananku dan bulan pada tangan kiriku dengan
menyuruh aku menghentikan dakwah yang aku
lakukan, nescaya tidak akan aku berhenti,
melainkan Allah s.w.t membinasakan daku atau
memenangkan daku!”
“Tidak aku hiraukan walaupun sekalian makhluk-
Mu memusuhi daku asalkan Engkau tidak murka
kepadaku”.
Imbasan Cinta Allah s.w.t hanya dapat dilihat
daripada sabda Rasulullah s.a.w dan dari
kalangan umat baginda yang dipilih mewarisi
Cinta tersebut. Abu Bakar as-Syubli membawa
puntung kayu api kerana dia mahu membakar
syurga dan kaabah agar Allah s.w.t dicintai
dengan sebenar-benarnya, bukan kerana syurga,
dan agar manusia benar-benar menghadap Allah
s.w.t bukan terhenti pada kaabah. Abu Yazid al-
Bustami menasihatkan, “Jika kebajikan yang
dikurniakan kepada Adam, kesucian malaikat
Jibrail, kemuliaan Ibrahim, rindu dendam Musa
dan Cinta Muhammad s.a.w, dikurniakan kepada
kamu, janganlah kamu menyukainya kerana itu
semua adalah hijab. Carilah Dia dari Dia sahaja,
maka yang lain itu semuanya kamu punya”.
Cinta Allah s.w.t adalah pengalaman kerohanian
yang sangat seni dan aneh. Para hamba yang
dikurniakan pengalaman tersebut telah terlebih
dahulu melatihkan diri berpuluh-puluh tahun
lamanya. Mereka berjuang tanpa henti-henti
menentang hawa nafsu dan cita-cita yang
berkaitan dengan dunia dan akhirat. Mereka
mencarinya dalam ketaatan dan sopan santun
terhadap Allah s.w.t. Orang yang mencintai Allah
s.w.t ghaib dalam melihat Allah s.w.t hinggakan
tidak sedar lagi terhadap apa sahaja yang selain
Allah s.w.t. Fana dia dari dirinya dan sekalian
alam maujud. Dia tidak dapat membezakan
antara sakit dengan senang, emas dengan tanah
kering. Orang yang dikuasai oleh Cinta Allah
s.w.t tidak berasa apa-apa walaupun kepalanya
dipancung. Abu Mansur al-Hallaj tersenyum dan
ketawa bila dia disalib. Kemudian kaki dan
tangannya dipotong, matanya dicungkil, lidahnya
dikerat dan akhirnya kepalanya dipancung. Cinta
Allah s.w.t yang menguasainya menghilangkan
ketakutan dan kesakitan. Bila kakinya dipotong
dia menyaksikan kaki rohnya bebas berjalan
menuju Tuhannya. Bila tangannya dipotong dia
menyaksikan tangan rohnya bebas mencapai
Tuhannya. Bila matanya dicungkil dia
menyaksikan mata rohnya lebih terang
memandang kepada Tuhannya. Bila lidahnya
dikerat dia menyaksikan lidah rohnya semakin
petah berkata-kata dengan Tuhannya. Bila
kepalanya dipancung dia merdeka sepenuhnya
untuk ‘bersanding’ dengan Tuhannya.
Jika diselami benar-benar akan didapati bahawa
Cinta Allah s.w.t sebenarnya tidak dimiliki oleh
sesiapa pun tetapi Cinta Allah s.w.t itulah yang
menawan hati seseorang. Cinta Allah s.w.t itu
menguasai bukan dikuasai. Cinta Allah s.w.t
menarik seseorang ke dalam kefanaan dari
dirinya dan segala-galanya lalu masuk ke dalam
tauhid hakiki. Syarat bagi seseorang untuk layak
menanggung Cinta Allah s.w.t adalah seandainya
semua harta yang ada di dalam perut bumi
dikeluarkan dan diberikan kepadanya, dia
menolak demi Wajah Allah s.w.t. Hati yang
sanggup berbuat demikian layak menerima Cinta
Allah s.w.t. Orang yang benar-benar mabuk
dalam percintaan tidak ingat akan harta dan
dunia.
Golongan pencinta Allah s.w.t adalah tetamu
Allah s.w.t yang dimuliakan. Mereka dihidangkan
dengan berbagai-bagai hidangan yang tidak
pernah dinikmati oleh golongan lain. Merekalah
yang merasai buah dari pokok yang ditanam oleh
golongan Mukmin dan dijaga oleh golongan abid
dan zahid. Daya rasa mereka tidak lagi serupa
dengan daya rasa manusia biasa.
Asma binti Abu Bakar as-Siddik tatkala tuanya,
mengalami satu peristiwa yang luar biasa.
Anaknya, Abdullah, telah dituduh sebagai
pemberontak oleh pemerintah pada ketika itu.
Abdullah dijatuhkan hukuman bunuh. Mayatnya
diheret dari lorong ke lorong selama beberapa
hari, dan mayat itu menjadi busuk. Apabila
mayat itu diheret di hadapan rumah Asma, yang
pada ketika itu sudah tidak boleh melihat,
tercium bau yang sangat harum. Asma
bertanyakan mayat siapakah yang berbau harum
itu. Dia diberitahu yang mayat itu adalah mayat
puteranya. Asma mengucapkan syukur kepada
Allah s.w.t kerana menjadikannya ibu kepada
seorang pemuda yang salih.
Para pencinta Allah s.w.t adalah aneh. Mereka
bukan lagi dalam kesedaran manusia dan bukan
juga dalam kesedaran malaikat. Mereka bukan
lagi penghuni dunia dan bukan juga penghuni
langit. Mereka adalah tetamu Rumah Allah s.w.t
yang tidak ada apa di dalamnya kecuali Allah
s.w.t.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar