Selasa, 22 Oktober 2013

77: JANGAN MEREMEHKAN WIRID YANG LAMBAT KEDATANGAN WARID


JIKA ENGKAU MELIHAT SEORANG
HAMBA YANG DITETAPKAN ALLAH
S.W.T DALAM MENJAGA WIRIDNYA DI
SAMPING BERTERUSAN BANTUAN
ALLAH S.W.T, MAKA JANGAN ENGKAU
MEREMEHKAN PEMBERIAN ALLAH
S.W.T KEPADANYA SEKALIPUN BELUM
TERLIHAT PADANYA TANDA ORANG
ARIF (AHLI MAKRIFAT) DAN SERI
CAHAYA ORANG YANG CINTA KEPADA
ALLAH S.W.T (MUHIBBIN), KERANA
SEKIRANYA TIDAK ADA WARID TIDAK
MUNGKIN ADANYA WIRID.


Wirid dan warid yang telah disentuh pada Hikmat
64 disinggung lagi dalam Hikmat 77 ini. Orang
yang berpegang teguh dengan wiridnya
menempuh salah satu dari dua jalan. Jalan
pertama adalah jalan ahli akhirat dan jalan kedua
adalah jalan ahli Allah s.w.t. Ahli akhirat
berpegang teguh pada wiridnya sesuai dengan
tuntutan syariat kerana dia mengharapkan
balasan syurga dan dijauhkan dari azab neraka.
Mereka berpeluang memperolehi kurniaan Allah
s.w.t untuk mencapai makam Mukmin. Orang
Mukmin adalah orang yang terjamin syurga
baginya. Mereka bukan sahaja terjamin
mendapat syurga di akhirat, bahkan semasa
hidup di dunia lagi mereka mendapat berbagai-
bagai kurniaan Allah s.w.t seperti keberkatan
pada usaha dan ketenangan pada jiwa. Orang
Mukmin berada dalam makam asbab.
Keberkatan yang dikurniakan kepada mereka
menyebabkan mereka dapat menjalankan
kehidupan mereka mengikut kedudukan asbab
tanpa bercanggah dengan syariat. Kejayaan
mengharmonikan berbagai-bagai anasir dalam
dirinya di bawah payung syariat menyebabkan
jiwanya menjadi tenang.
Jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Orang
yang menjalani jalan ini dinamakan salikin, salik,
muridin atau murid. Orang salik mengamalkan
wirid bukan kerana berkehendakkan balasan
syurga dan bukan kerana mahu mengelakkan
seksaan neraka. Tujuannya adalah untuk
membersihkan hati dan berharap agar Allah
s.w.t mengurniakan kepadanya makrifat.
Makrifatullah yang dicari bukan syurga yang
dituntut. Apabila memperolehi makrifat dia
dipanggil orang arif, iaitu orang yang mengenal
Allah s.w.t. Seterusnya, kehalusan adab
sopannya dan kehalusan kurniaan Allah s.w.t
kepadanya menjadikannya orang yang mencintai
Allah s.w.t (muhibbin).
Walau jalan mana yang ditempuh, di sana
terdapat mereka yang telah berpegang teguh
dengan berwirid tetapi tanda-tanda orang yang
berjaya sampai ke puncak tidak kelihatan pada
mereka. Mereka tidak mendapat kurniaan Allah
s.w.t dalam bentuk pengalaman kerohanian yang
halus-halus. Tidak ada tanda ahli makrifat dan
tidak ada cahaya ahli muhibbin pada mereka.
Kemungkinannya mereka dipandang rendah oleh
orang lain. Orang ramai menilai pencapaian
berdasarkan kepada apa yang nyata, seperti
pembuktian dengan kekeramatan, mulut masin
atau kefasihan menyampaikan ilmu makrifat.
Pandangan yang demikian merupakan satu
kekeliruan. Sebenarnya kesanggupan untuk
mengekalkan wirid sudah merupakan kurniaan
yang besar daripada Allah s.w.t. Sekiranya Allah
s.w.t tidak mengurniakan kepadanya keteguhan
hati tentu mereka tidak sanggup mengekalkan
wirid. Keteguhan hati dalam menjaga wirid
adalah warid yang datang dari Allah s.w.t dan
tidak semua orang memperolehinya. Oleh yang
demikian janganlah meremehkan orang yang
teguh menjaga wirid sekalipun tidak kelihatan
tanda-tanda kecemerlangan pada mereka.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar