Selasa, 22 Oktober 2013

76 : MURID YANG TERPEDAYA


SEBAHAGIAN DARI KEJAHILAN MURID
IALAH : BURUK ADABNYA TETAPI
BALASAN KE ATASNYA
DIPERLAMBATKAN LALU DIA
MENYANGKA SEKIRANYA ADABNYA
ADALAH JELIK TENTU ALLAH S.W.T
SUDAH MEMUTUSKAN BANTUAN DAN
PASTI DIA AKAN DIJAUHKAN.
KETAHUILAH! ADAKALANYA KURNIAAN
TELAH DIPUTUSKAN TETAPI SI MURID
TIDAK MENYEDARINYA. SEKIRANYA
TIDAK ADA KURNIAAN BAHARU ITU PUN
MERUPAKAN PUTUS BANTUAN. ADA
KALANYA DIA SUDAH DIJAUHKAN
TETAPI DIA TIDAK MENYEDARINYA,
MESKIPUN HANYA DIJAUHKAN DENGAN
CARA MEMBIARKANNYA MENURUT
SANGKAANNYA.

Hikmat 75 menceritakan tentang istidraj yang
dialami oleh orang yang lalai daripada peringatan
Allah s.w.t, Hikmat 76 ini pula mengingatkan
murid yang berjalan pada jalan kerohanian
supaya gejala istidraj itu tidak menimpanya
ketika dalam perjalanan. Bagi orang awam tidak
bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t boleh
menyebabkan tersingkirnya rasa nikmat yang
mengiringi kurniaan itu. Bagi orang Mukmin di
samping bersyukur adalah penting baginya
memelihara adab sopan bersama-sama Allah
s.w.t. Mungkin saranan supaya beradab sopan
bersama-sama Allah s.w.t bunyinya janggal bagi
orang awam, tetapi bagi mereka yang mendekati
Allah s.w.t, mereka dapat merasakan kehadiran
Allah s.w.t pada setiap masa dan di mana
sahaja. Apabila seseorang itu meyakini bahawa
Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di
mana dia berada, Allah s.w.t mendengar
pertuturannya dan bisikan hatinya maka dia
berkewajipan memelihara adab sopan sebagai
hamba yang berdiri di hadapan Tuannya.
Bertambah hampir seseorang dengan Allah s.w.t
bertambah pula tuntutan adab sopan ke atasnya.
Perjalanan menuju Allah s.w.t bukanlah
perjalanan mencari kemuliaan sama ada
kemuliaan duniawi atau ukhrawi. Perjalanan ini
adalah tindakan menghinakan diri di hadapan
Allah s.w.t, kerana hina, lemah dan jahil adalah
sifat makhluk, hanya Allah jua Yang Mulia, Yang
Berkuasa dan Yang Mengetahui. Sekalian
makhluk berkehendak kepada-Nya dan Dia Maha
Kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa
pun.
Adab sopan yang paling utama dijaga adalah
yang menyentuh keyakinan bahawa Allah s.w.t
adalah Tuhan sekalian alam, Maha Bijaksana
dan Maha Mengerti dalam urusan mentadbir dan
menguruskan penghidupan sekalian makhluk
yang dicipta-Nya. Seorang hamba hendaklah
yakin kepada kebijaksanaan Tuannya. Terserah
kepada Tuannya memilih layanan yang hendak
diberikan kepada si hamba itu.
Ibrahim bin Adham telah menceritakan kisah
beliau membeli seorang hamba. Berikut adalah
percakapannya dengan hamba yang dibelinya itu:
Ibrahim: “ Siapakah nama kamu?”
Hamba : “ Panggil sahaja dengan nama apa yang
tuan suka”.
Ibrahim : “ Apa yang kamu ingin makan?”
Hamba : “ Apa sahaja makanan yang tuan beri”.
Ibrahim : “ Apakah pakaian yang kamu
perlukan?”
Hamba : “ Apa sahaja pakaian yang tuan mahu
berikan”.
Ibrahim : “ Apa pekerjaan yang kamu hendak
buat?”
Hamba : “ Apa sahaja pekerjaan yang tuan
perintahkan”.
Ibrahim : “ Apakah kehendak kamu?”
Hamba : “Apa kehendak tuan itulah kehendak
hamba Seorang hamba tidak berkehendak
kecuali apa yang dikehendaki oleh tuannya”.
Ibrahim bin Adham berfikir, sekiranya dia hamba
Allah s.w.t tentu dia menyerah sepenuhnya
kepada Allah s.w.t. Beginilah adab sopan
seorang hamba Allah s.w.t dengan Allah s.w.t.
Seorang yang mengaku sebagai hamba Allah
s.w.t tidak seharusnya membeberkan hajat
keperluannya. Bukankah Allah Maha Mengerti
dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Seorang
hamba berdiri di hadapan Tuannya tanpa
mengemukakan tuntutan, tanpa sebarang
kehendak, cita-cita dan alasan. Reda dengan
lakuan Tuannya itulah sifat hamba yang sejati.
Seorang murid yang sedang dalam perjalanan
masih belum teguh sifat redanya terhadap takdir
Allah s.w.t, lantaran itu dia cenderung untuk
membeberkan hajatnya kepada Allah s.w.t,
seolah-olah Allah s.w.t tidak melihat
keadaannya. Banyaklah permintaannya kepada
Allah s.w.t. Dia mungkin meminta Allah s.w.t
melepaskannya dari sesuatu yang tidak
disenanginya tanpa berfikir bahawa yang tidak
disenanginya itu mungkin mendatangkan
kebaikan baginya. Dia mungkin meminta
didekatkan kepada Allah s.w.t kerana dia
merasakan dia sudah layak didekatkan. Dia
mungkin meminta kekeramatan agar orang ramai
mengakui kebenarannya. Tuntutan-tuntutan yang
demikian menunjukkan tiada sopan santun
seorang hamba kepada Tuannya, iaitu Allah s.w.t
yang sempurna pengertian-Nya dan sempurna
pembahagian-Nya.
Walaupun si hamba itu telah tidak bersopan di
hadapan Allah s.w.t, mungkin dia tidak
dihukumkan dengan serta-merta. Ini membuat si
hamba tadi menyangka bahawa tiada salah pada
adabnya. Ini menandakan kejahilannya.. Dia tidak
sedar bahawa kurang beradab sopan itu sudah
merupakan balasan terhadapnya. Lebih buruk
lagi dia tidak dikurniakan pengalaman kerohanian
yang lebih mendalam. Apabila dia memutuskan
penyerahan terhadap Allah s.w.t, putus juga
perjalanannya mendekati Allah s.w.t. Tetapi dia
masih menyangkakan yang dia terus mendekati
Allah s.w.t. Apabila dia dibiarkan menurut
sangkaannya itu bermakna dia dijauhkan tanpa
dia menyedarinya. Begitulah hebatnya akibat
tidak menjaga adab sopan dengan Allah s.w.t.
Jika seorang murid tidak mahu putus
kesopanannya dengan Allah s.w.t maka
hendaklah dia mendekati Allah s.w.t dengan
kesabaran. Pintu kesabaran adalah pintu yang
paling hampir untuk masuk ke Hadrat Allah
s.w.t. Senjata yang paling kuat mempertajamkan
kesabaran ialah ucapan:
“ Wahai Tuhanku. Engkau berbuat sesuatu
sebagaimana Engkau kehendaki”.
Dalam perkara adab sopan bersama-sama Allah
s.w.t ini termasuk juga adab sopan terhadap
Rasul-rasul-Nya, Malaikat-malaikat-Nya dan
Kitab-kitab-Nya. Imam as-Syafi’e dalam
menghuraikan Hadis yang bermaksud “Sekiranya
Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya
dipotong tangannya”, dibaca oleh Imam as-
Syafi’e, “Sekiranya perempuan yang mulia anak
kepada lelaki yang mulia itu mencuri nescaya
dipotong tangannya”. Begitulah halusnya sopan
santun Imam as-Syafi’e, sehingga beliau enggan
menyebut ibarat yang boleh menunjukkan
kecacatan terhadap Rasulullah s.a.w dan puteri
baginda yang mulia itu. Orang-orang Islam yang
beradab sopan tidak memperkaitkan Rasulullah
s.a.w dengan Abu Lahab, tidak membesarkan
perkara yang tidak elok yang berlaku di Makkah,
tidak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk, tidak
membacanya di tempat membuang air, tidak
membuang najis dengan menghadap ke kiblat
dan banyak lagi perkara yang termasuk dalam
adab sopan beragama yang menjadi kewajipan
bagi orang yang mengaku beragama Islam
menjaganya. Jangan memandangnya sebagai
perkara yang remeh-temeh kerana setiap raja
mempunyai peraturan atau taman larangan, dan
peraturan atau taman larangan Tuhan ialah adab
sopan dalam majlis-Nya. Oleh sebab seseorang
itu tidak luput dari penglihatan Allah s.w.t walau
sejenak pun maka sepanjang masa seseorang itu
berada dalam majlis-Nya dan berkewajipan
memelihara adab sopan atau peraturan-Nya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar