Selasa, 22 Oktober 2013

74: SYUKUR MENGIKAT NIKMAT


BARANGSIAPA TIDAK MENSYUKURI
NIKMAT BERMAKNA MEMBUKA JALAN
UNTUK KEHILANGAN NIKMAT ITU. DAN
BARANGSIAPA BERSYUKUR MAKA
SESUNGGUHNYA DIA MENGADAKAN
PENGIKAT BAGI NIKMAT YANG
DIPEROLEHINYA.


Biasanya kita takrifkan nikmat sebagai harta
benda atau sesuatu yang menyenangkan.
Kejadian dan keadaan yang selesa juga
dianggap sebagai nikmat. Harta yang banyak
adalah nikmat. Tubuh badan yang sihat adalah
nikmat. Rupa yang cantik adalah nikmat. Suara
yang merdu adalah nikmat. Betulkah semua itu
nikmat? Jika harta menjadi nikmat tentu sahaja
orang yang mempunyai harta yang banyak akan
lebih tenteram jiwanya. Jika kesihatan adalah
nikmat tentu orang yang sihat tubuh badannya
akan berasa bahagia. Jika wajah yang cantik dan
suara yang merdu adalah nikmat tentu mereka
yang memilikinya mendapat kepuasan. Tetapi,
apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang yang
berharta masih juga berasa miskin hingga
mereka berasa perlu melakukan rasuah. Orang
yang memiliki tubuh badan yang sihat masih
tidak senang dengan tubuh badannya. Orang
yang memiliki wajah yang cantik dan suara yang
merdu masih tidak berasa senang dengan
kecantikan wajah dan kemerduan suara yang
dimiliki oleh orang lain. Anehnya pula orang yang
tidak berharta, tubuh sering dihinggapi penyakit,
wajah tidak cantik dan suara tidak merdu, boleh
hidup dengan aman, bahagia dan tenteram.
Golongan yang memiliki segala-galanya tidak
merasakan kenikmatan sedangkan golongan yang
tidak memiliki apa-apa pula yang merasakan
kenikmatan hidup ini. Apakah sebenarnya yang
dimaksudkan dengan istilah nikmat?
Jika kita mahu memahami maksud nikmat, kita
perlu memahami perjalanan hukum sebab
musabab yang sampai kepada kita. Kita melihat
beberapa orang menerima benda yang serupa
dan menghadapi keadaan yang serupa tetapi
keadaan jiwa mereka tidak serupa. Ada orang
yang terus menerus merungut walau sebanyak
mana harta yang diterimanya. Ada orang yang
terus menerus berkeluh-kesah walaupun
keadaan yang menguntungkan mendatanginya.
Ada pula orang yang sentiasa tenteram walaupun
tidak didatangi harta. Namun, dia tetap tenteram
walaupun didatangi keadaan cemas atau
kesusahan. Jika kita renungkan dengan
mendalam kita dapat merasakan bahawa apa
yang mendatangi kita adalah alat, sementara
sesuatu yang datang bersama-sama alat itulah
yang menimbulkan nikmat ataupun sebaliknya.
Alat yang datang mungkin serupa tetapi sesuatu
yang ikut serta itu tidak serupa. Mata benda dan
kejadian hanyalah kenderaan yang membawa
utusan, dan utusan inilah yang mencetuskan
kebahagiaan atau keresahan. Utusan inilah yang
perlu disingkap untuk mengenali nikmat atau
celaka.
Secara umumnya sebab musabab turun
mengenai manusia melalui tiga saluran. Saluran
pertama dinamakan saluran dosa. Apa sahaja
yang turun melalui saluran ini menjadi hukuman
terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan,
semuanya memberi tekanan kepada jiwa.
Pemilikan harta yang banyak tidak memberi
kepuasan kepadanya. Pemilikan isteri yang cantik
tidak menyejukkan pandangannya. Tidak ada
nikmat yang turun melalui saluran ini. Semuanya
membawa tekanan kepada jiwa sebagai balasan
kepada dosa-dosa yang telah dilakukan. Jika
perkara-perkara yang seharusnya menyenangkan
seperti memiliki harta yang banyak dan isteri
yang cantik masih memberi tekanan kepada jiwa,
apa lagi pada perkara-perkara yang dipanggil
bala bencana, tentu sahaja lebih menekan jiwa
orang berkenaan. Juru iring atau utusan yang
bertindak pada saluran ini adalah syaitan.
Syaitan adalah sahabat kepada orang yang
berdosa. Syaitan adalah utusan yang buruk,
busuk dan keji. Walau apa pun yang turun
melalui saluran ini bau busuk syaitan itulah yang
diterima oleh hati. Oleh sebab itu hati tidak
dapat merasakan kenikmatan, ketenteraman dan
kepuasan.
Saluran kedua dinamakan saluran pembersihan.
Apa sahaja yang turun melalui saluran ini
berperanan untuk menyucikan hati. Utusan-
utusan yang turun melalui saluran ini berganti-
ganti antara yang baik dengan yang buruk.
Utusan yang buruk berfungsi sebagai
menghukum hati akibat sisa-sisa dosa yang
masih melekat pada dindingnya. Utusan yang
baik pula berperanan menyucikan dinding hati
yang telah ditinggalkan oleh kekotoran dosa.
Sebab musabab yang turun melalui saluran ini
pada peringkat permulaannya bercampur-campur
di antara yang menggembirakan dengan yang
menekankan. Tekanan dan kelapangan yang
berganti-ganti itu melahirkan kesabaran pada hati
orang berkenaan. Bila hati sudah bersih
sepenuhnya daripada dosa, maka hanya proses
pembersihan yang berlaku, tidak ada lagi
hukuman. Pada peringkat ini hanya utusan yang
baik-baik membawa sebab musabab kepadanya.
Utusan yang baik-baik itu adalah para malaikat
yang membawa perintah Allah s.w.t. Bila tidak
ada lagi gangguan dari utusan yang kotor hati
dapat memperteguhkan kesabarannya.
Saluran ke tiga dinamakan saluran peningkatan
darjat. Hati yang sudah menerima hukuman dosa
dan telah pula menjalani proses penyucian,
layak untuk dibawa naik kepada Allah s.w.t.
Sebab musabab yang turun melalui saluran ini
berperanan membawa hamba hampir dengan
Tuhannya. Semua perkara yang datang dibawa
oleh utusan yang baik-baik, dipelihara agar tidak
diganggu oleh golongan kotor dan ditapis terlebih
dahulu supaya yang dibawa itu tidak
memudaratkan penerimanya. Oleh itu tidak ada
sebarang tekanan dan kekeliruan pada hati yang
berada di dalam saluran ini. Hati sudah melepasi
peringkat sabar dan masuk ke dalam reda.
Walau bala bencana yang besar turun melalui
saluran ini namun, hati tidak sedikit pun terusik,
keredaan sejati terhadap ketentuan Allah s.w.t
menguasainya. Bala bencana itu dirasakan oleh
hati sebagai nikmat.
Begitulah tiga saluran turunnya hukum sebab
musabab yang menentukan nikmat atau celaka
kepada hati yang menerimanya. Ada satu lagi
saluran yang khusus bagi orang yang dipilih
khusus oleh Allah s.w.t. Orang yang pada
peringkat ini sudah selamat dari waham sebab
musabab dan tidak lagi melihat kepada sebab
musabab. Penglihatan mata hatinya berpindah
dari melihat kepada perjalanan sebab musabab
kepada memerhatikan perbuatan Allah s.w.t.
Allah s.w.t tidak tunduk kepada hukum sebab
musabab di dalam menentukan keputusan-Nya
dan Dia tidak memerlukan sebab untuk berbuat
sesuatu yang dikehendaki-Nya. Penglihatan
orang pada peringkat ini hanya tertumpu kepada
Allah s.w.t, baik dalam kenikmatan mahu pun
dalam menghadapi malapetaka. Bila Allah s.w.t
menjadi terang benderang, nescaya putuslah
segala hukum sebab musabab, dan apabila Allah
s.w.t dapat dilihat dengan penyaksian hakiki
mata hati nescaya putuslah segala nisbah.
Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut
fikiranku sendiri. ( Ayat 82 : Surah al-Kahfi )
Begitulah ucapan Nabi Khaidir a.s menceritakan
kepada Nabi Musa a.s tentang perbuatannya
menebuk perahu, membunuh kanak-kanak dan
mendirikan pagar tanpa alasan yang terang.
Inilah makam yang dinyatakan oleh ayat:
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka,
akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan
pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau
(wahai Muhammad) yang melempar ketika
engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang
melempar (untuk membinasakan orang-orang
kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )
Seorang murid yang masih dalam peringkat
pembersihan masih lagi melihat kepada sebab
musabab dan perjalanan hukum sebab musabab
yang sampai kepadanya adalah melalui saluran
yang kedua. Dia masih dalam perjuangan, sabar
menghadapi bencana dan sabar dalam
kesenangan. Dalam menghadapi bencana dia
bersabar agar tidak bergoncang imannya dan
dalam menghadapi kesenangan dia bersabar
agar tidak terjatuh ke dalam kelalaian. Sabar
begini menunjukkan dia bersyukur lantaran Allah
s.w.t meletakkannya di dalam saluran yang
mempunyai utusan yang baik-baik yang
membawa nikmat. Dia melihat bahawa sabar itu
sendiri adalah nikmat yang mesti disyukuri. Jika
dia tidak bersyukur dengan kesabaran yang
dikurniakan kepadanya itu dia akan jatuh ke
dalam saluran yang pertama di mana apa jua
yang sampai kepadanya menjadi bala yang
mencengkam jiwa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar