Selasa, 22 Oktober 2013

73: NIKMAT DAN BALA ADALAH JALAN MENDEKATI ALLAH S.W.T.


SESIAPA YANG ENGGAN MENGHADAP
ALLAH S.W.T DENGAN KEHALUSAN
KURNIA-NYA AKAN DIHERET (UNTUK
MENGHADAP-NYA) DENGAN RANTAI
UJIAN BALA.

Sekiranya Allah s.w.t telah menentukan
seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya,
sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-
Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah
s.w.t melalui dua cara.
Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-
Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan
dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai
kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk
menerima pujukan. Ada pula orang yang tidak
endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya.
Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t
memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-
Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan
berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia
diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta,
kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi
perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia
tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah
s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan
semua ikatan tersebut dengan cara
mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala
memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi
penghalang antaranya dengan Allah s.w.t.
Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia
berputus asa dari apa yang telah terpisah
daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada
makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah
s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah
s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah
terbuang. Kakinya berasa ringan untuk
melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya
tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah
s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi
gangguan duniawi dan mata benda. Begitulah
dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk
membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. Allah
s.w.t berfirman:
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang
ada di langit dan di bumi tunduk menurut,
samada dengan sukarela atau dengan terpaksa;
dan (demikian juga) bayang-bayang mereka;
pada waktu pagi dan petang. ( Ayat 15 :
Surah ar-Ra’d )
Walau jalan mana pun yang ditempuh oleh
seseorang hamba itu, Allah s.w.t menantinya
dengan keampunan, rahmat dan kasih sayang-
Nya. Si hamba dibawa hampir dengan-Nya dan
dikurniakan berbagai-bagai nikmat yang
menggembirakan sehingga mereka tidak berasa
rugi lantaran berpisah daripada kesenangan
duniawi.
Ujian menjadi batu pengasah untuk menggilap
iman seseorang. Ada orang diuji dengan rezeki,
ditaburkan rezeki kepadanya atau disempitkan.
Keluasan rezeki membentuk kesyukuran dan
kesempitan membentuk kesabaran. Jiwa yang
dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran akan
menimbulkan rasa penyerahan dan pergantungan
yang kuat kepada Allah s.w.t. Keluasan rezeki
membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha
Baik, Maha Pemurah. Kesempitan rezeki
membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha
Keras, Maha Perkasa. Pada kedua-duanya dia
mengenali Allah s.w.t yang menghalau takdir
demi takdir dengan penuh hikmat kebijaksanaan.
(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan
mengapa mereka tidak melihat (dengan hati
mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendaki-Nya (sebagai cubaan
adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan
Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian
samada diterima dengan sabar atau tidak)?
Sesungguhnya hal yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan (yang
membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang
yang beriman. ( Ayat 37 : Surah ar-Ruum )
Orang yang beriman dengan Allah s.w.t dan
takdir-Nya akan mendapat pimpinan-Nya. Allah
s.w.t berkuasa membalikkan hati-hati. Dipimpin-
Nya hati orang yang beriman agar menghadap
kepada-Nya. Orang yang dipimpin-Nya akan
berasa mudah untuk mengabdikan diri kepada-
Nya. Kehalusan pimpinan-Nya itu membuat
hamba mengenali kekuasaan-Nya pada
membalikkan hati yang keras menjadi lembut dan
yang malas beribadat menjadi rajin.
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang
menimpa (seseorang) melainkan dengan izin
Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah,
Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima
apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan
sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 11 : Surah at-
Taghaabun )
Orang-orang yang beriman akan sentiasa diuji
kerana ujian itu membawa berbagai-bagai
ganjaran, nikmat dan kurniaan dari Allah s.w.t.
Kekuatan amal ibadat tidak berdaya mengangkat
darjat seseorang hamba, lalu Allah s.w.t
hantarkan ujian dan melalui ujian itulah hamba-
Nya dipersucikan dan diangkat darjatnya. Dalam
melakukan yang demikian, Allah s.w.t kenakan
ujian kepada hamba-Nya melalui perkara-perkara
yang hampir dengan hamba itu, seperti harta dan
keluarga.
Sesungguhnya hartabenda kamu dan anak-anak
kamu itu hanyalah menjadi ujian; dan di sisi Allah
jualah pahala yang besar. ( Ayat 15 : Surah
at-Taghaabun )
Ujian menjadi pengasing, mengasingkan hati
yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam
medan ujian itu ramai manusia disesatkan oleh
iblis kerana hati mereka diselimuti oleh keraguan.
Orang yang beriman dapat bertahan menghadapi
gelombang ujian itu, malah ujian menambahkan
kekuatan iman. Keupayaan mengekalkan iman di
dalam mengharungi lautan ujian membuat hamba
menginsafi bahawa sebenarnya Allah jua yang
memelihara imannya itu, bukan kekuatan dirinya.
Dan sesungguhnya iblis telah dapati
sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu
mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari
orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya
dengan hasutannya). Dan sememangnya tiadalah
bagi iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan
mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi
melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah
yang benar-benar beriman kepada hari akhirat
dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan
(ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta
mengawasi tiap-tiap suatu. ( Ayat 20 & 21 :
Surah Saba’ )
Hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t itulah
yang akan menemui kejayaan di dunia dan di
akhirat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar