Laman
- Beranda
- al ilmu
- al kisah
- Allah dan Jalan menuju Allah
- Cahaya
- Do'a Doa
- Futuhat Al Makiyyah
- Hadits Qudsy
- Kalam Kalam Hikmah
- Kata Hati
- Kebenaran Hakiki
- Kitab Tauhid
- Mahkota Aulia Illaita'ala
- Mutiara Kalam Habaib
- My notes
- Qitab Sirr Al Asrar
- Shalawat
- Syaikh Abdul Qadir Al Jailani
- Syar'i
- Syarh Al Hikam
- Taddabur Ayat Ayat
- Tokoh dan Biografi
Senin, 21 Oktober 2013
4: MANUSIA KEMBALI KE KAMPUNGHALAMAN, KEPADA ASAL USUL /PERMULAAN MEREKA
Manusia dipandang daripada dua sudut; wujud
lahiriah dan wujud rohani. Dalam segi kewujudan
lahiriah keadaan kebanyakan manusia adalah
berlebih kurang sahaja di antara satu sama lain.
Oleh yang demikian peraturan kemanusiaan yang
umum boleh digunakan untuk sekalian manusia
bagi urusan lahiriah mereka. Dalam sudut
kewujudan rohani yang tersembunyi di sebalik
wujud lahiriah, setiap manusia adalah berbeza.
Jadi, peraturan yang khusus mengenai diri
masing-masing diperlukan.
Manusia boleh kembali kepada asalnya dengan
mengikuti peraturan umum, dengan mengambil
langkah-langkah tertentu. Dia mestilah
mengambil peraturan agama yang jelas dan
mematuhinya. Dengan demikian dia boleh maju
ke hadapan. Dia boleh meningkat dari satu
peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi
sehingga dia sampai dan memasuki jalan atau
peringkat kerohanian, masuk ke daerah makrifat.
Peringkat ini sangat tinggi dan dipuji oleh
Rasulullah s.a.w, “Ada suasana yang semua dan
segala-galanya berkumpul di sana dan ia adalah
makrifat yang murni”.
Untuk sampai ke peringkat tersebut Perlulah
dibuang kepura-puraan dan kepalsuan yang
melakukan kebaikan kerana menunjuk-nunjuk.
Kemudian dia perlu menetapkan tiga matlamat.
Tiga matlamat tersebut sebenarnya adalah tiga
jenis syurga. Yang pertama dinamakan Ma’wa –
syurga tempat kediaman yang aman. Ia adalah
syurga duniawi. Kedua, Na’im – taman keredaan
Allah dan kurniaan-Nya kepada makhluk-Nya. Ia
adalah syurga di dalam alam malaikat. Ketiga
dinamakan Firdaus – syurga alam tinggi. Ia
adalah syurga pada alam kesatuan akal asbab,
rumah kediaman bagi roh-roh, medan bagi
nama-nama dan sifat-sifat. Kesemua ini adalah
balasan yang baik, keelokan Allah yang manusia
berjasad akan nikmati dalam usahanya
sepanjang tiga peringkat ilmu pengetahuan yang
berturut-turut; usaha mematuhi peraturan syariat;
usaha menghapuskan yang berbilang-bilang
pada dirinya, melawan penyebab yang
menimbulkan suasana berbilang-bilang itu, iaitu
ego diri sendiri, bagi mencapai peringkat
penyatuan dan kehampiran dengan Pencipta;
akhirnya usaha untuk mencapai makrifat, di
mana dia mengenali Tuhannya. Peringkat
pertama dinamakan syariat, kedua tarekat dan
ketiga makrifat.
Nabi Muhammad s.a.w menyimpulkan keadaan-
keadaan tersebut dengan sabda baginda s.a.w,
“Ada suasana di mana semua dan segala-
galanya dikumpulkan dan ia adalah hikmah
kebijaksanaan (makrifat)”. Baginda s.a.w juga
bersabda, “Dengannya seseorang mengetahui
kebenaran (hakikat), yang berkumpul di dalamnya
sebab-sebab dan semua kebaikan. Kemudian
seseorang itu mesti bertindak atas kebenaran
(hakikat) tersebut. Dia juga perlu mengenali
kepalsuan dan bertindak ke atasnya dengan
meninggalkan segala yang demikian”. Baginda
s.a.w mendoakan, “Ya Allah, tunjukkan kepada
kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu. Dan juga tunjukkan
kepada kami yang tidak benar dan permudahkan
kami meninggalkannya”. Orang yang kenal
dirinya dan menentang keinginannya yang salah
dengan segala kekuatannya akan sampai kepada
mengenali Tuhannya dan akan menjadi taat
kepada kehendak-Nya.
Semua ini adalah peraturan umum yang
mengenai diri zahir manusia. Kemudian ada pula
aspek diri rohani atau diri batin manusia yang
merupakan insan yang tulen, suci bersih dan
murni. Maksud dan tujuan diri ini hanya satu iaitu
kehampiran secara keseluruhan kepada Allah
s.w.t. Satu cara sahaja untuk mencapai suasana
yang demikian, iaitu pengetahuan tentang yang
sebenarnya (hakikat). Di dalam daerah wujud
penyatuan mutlak, pengetahuan ini dinamakan
kesatuan atau keesaan.
Matlamat pada jalan tersebut harus diperolehi di
dalam kehidupan ini. Di dalam suasana itu tiada
beza di antara tidur dengan jaga kerana di dalam
tidur roh berkesempatan membebaskan dirinya
untuk kembali kepada asalnya, alam arwah, dan
dari sana kembali semula ke sini dengan
membawa berita-berita dari alam ghaib.
Fenomena ini dinamakan mimpi. Dalam keadaan
mimpi ia berlaku secara sebahagian-bahagian. Ia
juga boleh berlaku secara menyeluruh seperti
israk dan mikraj Rasulullah s.a.w. Allah
berfirman:
“Allah memegang jiwa-jiwa ketika matinya dan
yang tidak mati, dalam tidurnya, lalu Dia tahan
yang dihukumkan mati atasnya dan Dia lepaskan
yang lain”. (Surah Zumaar, ayat 42).
Nabi s.a.w bersabda, “Tidur orang alim lebih
baik daripada ibadat orang jahil”. Orang alim
adalah orang yang telah memperolehi
pengetahuan tentang hakikat atau yang sebenar,
yang tidak berhuruf, tidak bersuara. Pengetahuan
demikian diperolehi dengan terus menerus
berzikir nama keesaan Yang Maha Suci dengan
lidah rahsia. Orang alim adalah orang yang zat
dirinya ditukarkan kepada cahaya suci oleh
cahaya keesaan. Allah berfirman melalui rasul-
Nya:
“Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya.
Pengetahuan batin tentang hakikat roh adalah
rahsia kepada rahsia-rahsia-Ku. Aku campakkan
ke dalam hati hamba-hamba-Ku yang baik-baik
dan tiada siapa tahu Keadaannya melainkan
Aku.”
“Aku adalah sebagaimana hamba-Ku mengenali
Daku. Bila dia mencari-Ku dan ingat kepada-Ku,
Aku besertanya. Jika dia mencari-Ku di dalam,
Aku mendapatkannya dengan Zat-Ku. Jika dia
ingat dan menyebut-Ku di dalam jemaah yang
baik, Aku ingat dan menyebutnya di dalam
jemaah yang lebih baik”.
Segala yang dikatakan di sini jika berhasrat
mencapainya perlulah melakukan tafakur – cara
mendapatkaan pengetahuan yang demikian
jarang digunakan oleh orang ramai. Nabi s.a.w
bersabda, “Satu saat bertafakur lebih bernilai
daripada satu tahun beribadat”. “Satu saat
bertafakur lebih bernilai daripada tujuh puluh
tahun beribadat”. “Satu saat bertafakur lebih
bernilai daripada seribu tahun beribadat”.
Nilai sesuatu amalan itu tersembunyi di dalam
hakikat kepada yang sebenarnya. Perbuatan
bertafakur di sini nampaknya mempunyai nilai
yang berbeza.
Sesiapa merenungi sesuatu perkara dan mencari
penyebabnya dia akan mendapati setiap
bahagian mempunyai bahagian-bahagian sendiri
dan dia juga mendapati setiap satu itu menjadi
penyebab kepada berbagai-bagai perkara lain.
Renungan begini bernilai satu tahun ibadat.
Sesiapa merenungi kepada pengabdiannya dan
mencari penyebab dan alasan dan dia dapat
mengetahui yang demikian, renungannya bernilai
lebih daripada tujuh puluh tahun ibadat.
Sesiapa merenungkan hikmah kebijaksanaan Ilahi
dan bidang makrifat dengan segala
kesungguhannya untuk mengenal Allah Yang
Maha Tinggi, renungannya bernilai lebih daripada
seribu tahun ibadat kerana ini adalah ilmu
pengetahuan yang sebenarnya.
Pengetahuan yang sebenarnya adalah suasana
keesaan. Orang arif yang menyintai menyatu
dengan yang dicintainya. Daripada alam
kebendaan terbang dengan sayap kerohanian
meninggi hingga kepada puncak pencapaian.
Bagi ahli ibadat berjalan di dalam syurga,
sementara orang arif terbang kepada kedudukan
berhampiran dengan Tuhannya.
Para pencinta mempunyai mata pada hati
mereka
mereka memandang sementara yang lain
terpejam
sayap yang mereka miliki tanpa daging tanpa
darah
mereka terbang ke arah malaikat Tuhan jualah
yang dicari!
Penerbangan ini terjadi di dalam alam kerohanian
orang arif. Para arifbillah mendapat
penghormatan dipanggil insan sejati, menjadi
kekasih Allah, sahabat-Nya yang akrab,
pengantin-Nya. Bayazid al-Bustami berkata,
“Para Pemegang makrifat adalah pengantin Allah
Yang Maha Tinggi”.
Hanya pemilik-pemilik ‘pengantin yang pengasih’
mengenali mereka dengan dekat dan secara
mesra.. Orang-orang arif yang menjadi sahabat
akrab Allah, walaupun sangat cantik, tetapi
ditutupi oleh keadaan luaran yang sangat
sederhana, seperti manusia biasa. Allah
berfirman melalui rasul-Nya:
“Para sahabat-Ku tersembunyi di bawah kubah-
Ku. Tiada yang mengenali mereka kecuali Aku”.
Kubah yang di bawahnya Allah sembunyikan
sahabat-sahabat akrab-Nya adalah keadaan
mereka yang tidak terkenal, rupa yang biasa
sahaja, sederhana dalam segala hal. Bila melihat
kepada pengantin yang ditutupi oleh tabir
perkahwinan, apakah yang dapat dilihat kecuali
tabir itu?
Yahya bin Muadh al-Razi berkata, “Para kekasih
Allah adalah air wangi Allah di dalam dunia.
Tetapi hanya orang-orang yang beriman yang
benar dan jujur sahaja dapat menciumnya”.
Mereka mencium keharuman baunya lalu mereka
mengikuti bau itu. Keharuman itu mengwujudkan
kerinduan terhadap Allah dalam hati mereka.
Masing-masing dengan cara tersendiri
mempercepatkan langkahnya, menambahkan
usaha dan ketaatannya. Darjah kerinduannya,
keinginannya dan kelajuan perjalanannya
bergantung kepada berapa ringan beban yang
dibawanya, sejauh mana dia telah melepaskan
diri kebendaan dan keduniaannya. Semakin
banyak seseorang itu menanggalkan pakaian
dunia yang kasar ini semakin dia merasakan
kehangatan. Penciptanya dan semakin hampirlah
kepada permukaan akan muncul diri rohaninya.
Kehampiran dengan yang sebenar (hakikat)
bergantung kepada sejauh mana seseorang itu
melepaskan kebendaan dan keduniaan yang
menipu daya.
Penanggalan aspek yang berbilang-bilang pada
diri membawa seseorang hampir dengan satu-
satunya kebenaran. Orang yang akrab dengan
Allah adalah orang yang telah membawa dirinya
kepada keadaan kekosongan. Hanya selepas itu
baharulah dia dapat melihat kewujudan yang
sebenarnya (hakikat). Tidak ada lagi kehendak
pada dirinya untuk dia membuat sebarang
pilihan. Tiada lagi ‘aku’ yang tinggal, kecuali
kewujudan satu-satunya iaitu yang sebenarnya
(hakikat). Walaupun berbagai-bagai kekeramatan
yang muncul melalui dirinya sebagai
membuktikan kedudukannya, dia tidak ada kena
mengena dengan semua itu. Di dalam
suasananya tidak ada pembukaan terhadap
rahsia-rahsia kerana membuka rahsia Ilahi
adalah kekufuran.
Di dalam buku yang bertajuk “Mirsad” ada
dituliskan, ‘Semua orang yang kekeramatan zahir
melalui mereka adalah ditutup daripadanya dan
tidak memperdulikan keadaan tersebut. Bagi
mereka masa kekeramatan muncul melalui
mereka dianggap sebagai masa perempuan
keluar darah haid. Wali-wali yang hampir dengan
Allah perlu mengembara sekurang-kurangnya
seribu peringkat, yang pertamanya ialah pintu
kekeramatan. Hanya mereka yang dapat
melepasi pintu ini tanpa dicederakan akan
meningkat kepada peringkat-peringkat lain yang
lebih tinggi. Jika mereka leka mereka tidak akan
sampai ke mana-mana.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar