Senin, 21 Oktober 2013

3: PERMULAAN PENCIPTAAN


Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan
di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya
dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya.
Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan
fahamkan apa yang aku katakan.
Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya
menciptakan cahaya Muhammad daripada
cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi
Dia berfirman:
“Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya
Wajah-Ku”.
Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w
dengan sabdanya: “Mula-mula Allah ciptakan
ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya
sebagai ruh suci”.
“Mula-mula Allah ciptakan qalam”.
“Mula-mula Allah ciptakan akal”.
Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan
permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi
Muhammad s.a.w, Kebenaran tentang
Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi
nama yang indah-indah. Dia dinamakan nur,
cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari
kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat jalal
Allah. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari
Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”.
(Al-Maaidah, ayat 15)
Dia dinamakan akal yang meliputi (akal universal)
kerana dia telah melihat dan mengenali segala-
galanya. Dia dinamakan qalam kerana dia
menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia
mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.
Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada
segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam
maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan
sabdanya, “Aku daripada Allah dan sekalian
yang lain daripadaku” . Allah Yang Maha Tinggi
menciptakan sekalian roh-roh daripada roh
baginda s.a.w di dalam alam kejadian yang
pertama, dalam bentuk yang paling baik.
‘Muhammad’ adalah nama kepada sekalian
kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah
sumber, asal usul dan kediaman bagi sesuatu
dan segala-galanya.
Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya
Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada
cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk
yang lain daripada arasy. Kemudian Dia
hantarkan roh-roh turun kepada peringkat
penciptaan yang paling rendah, kepada alam
kebendaan, alam jirim dan badan.
“Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat
yang paling rendah” . (Surah Tin, ayat 15)
Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia
diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan
bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak,
kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-
sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh
yang meliputi (roh universal). Di sana Dia
pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya.
Roh-roh ini dinamakan ‘roh pemerintah’. Dengan
berpakaian cahaya mereka turun kepada alam
malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani’.
Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada
alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah
dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia’.
Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh
yang berdaging, berdarah.
“Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya
kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu
akan dibangkitkan sekali lagi”. (Surah Ta Ha,
ayat 55)
Selepas peringkat-peringkat ini Allah
memerintahkan roh-roh supaya memasuki
badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka
pun masuk.
“Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya
dan Aku tiup padanya roh-Ku…”. (Surah Shad,
ayat 72)
Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan
badan, dengan darah dan daging dan lupa
kepada asal usul kejadian dan perjanjian
mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan
mereka pada alam arwah Dia telah bertanya
kepada mereka:
“Adakah aku Tuhan kamu? Mereka telah
menjawab:Iya, bahkan!.”
Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa
kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan
untuk kembali kepada tempat asal mereka.
Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha
Pengampun, sumber kepada segala keselamatan
dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-
Nya. Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan
kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada mereka
untuk mengingatkan mereka tentang asal usul
mereka.
“Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa
(membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami
mengatakan): hendaklah kamu keluarkan kaum
kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan
ingatkan mereka kepada hari-hari Allah”. (Surah
Ibrahim, ayat 5)
Iaitu ‘ingatkan roh-roh tentang hari-hari di mana
mereka tidak terpisah dengan Allah’.
Ramai rasul-rasul telah datang ke dunia ini,
melaksanakan tugas mereka dan kemudian
meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah
membawa kepada manusia perutusan,
peringatan serta menyedarkan manusia dari
kelalaian mereka. Tetapi mereka yang
mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya,
manusia yang ingin kembali kepada asal usul
mereka, menjadi semakin berkurangan dan terus
berkurangan ditelan zaman.
Nabi-nabi terus diutuskan dan perutusan suci
berterusan sehingga muncul roh Muhammad
yang mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi,
yang menyelamatkan manusia daripada
kehancuran dan kelalaian. Allah Yang Maha
Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata
manusia iaitu membuka mata hati yang
ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan manusia
dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk
menyatukan mereka dengan keindahan yang
abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah.
Allah berfirman:
“Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-
orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan
pandangan yang jelas (basirah)”. (Surah
Yusuf, ayat 108).
Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita
telah bersabda, “Sahabat-sahabatku adalah
umpama bintang di langit. Sesiapa daripada
mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan
yang benar”.
Pandangan yang jelas (basirah) datangnya
daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di
dalam jantung hati orang-orang yang hampir
dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah.
Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan
mendatangkan pandangan dalam (basirah).
Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang
datangnya daripada alam ghaib yang
tersembunyi pengetahuan yang mengalir
daripada kesedaran Ilahi.
“Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu
dari sisi Kami (ilmu laduni)”. (Surah Kahfi,
ayat 65).
Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari
orang yang mempunyai pandangan dalam
(basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan
serta perangsang daripada orang yang seperti ini
adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat
memupuk pengetahuan orang lain, mestilah
seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya
menyaksikan alam mutlak.
Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan
saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah
kerana melalui taubat kamu akan memohon
kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada
kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah.
Allah memerintahkan:
“Dan berlumba-lumbalah kepada keampunan
Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas)
langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-
orang yang berbakti. Yang menderma di waktu
senang dan susah, dan menahan marah, dan
memaafkan manusia, dan Allah kasih kepada
mereka yang berbuat kebajikan”. (Surah
Imraan, ayat 133 & 134).
Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah
dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada
Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut
tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada
jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke
bumi ini untuk merosakkan dunia ini. Kita
dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan
berak. Roh penghulu kita menyaksikan kita.
Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan
kamu. Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang
akan berlaku kemudian hari apabila baginda
s.a.w bersabda, “Dukacitaku adalah untuk umat
yang aku kasihi yang akan datang kemudian”.
Apa sahaja yang datang kepada kamu datang
dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata
atau tersembunyi; nyata dalam bentuk peraturan
syarikat dan tersembunyi dalam bentuk hikmah
kebijaksanaan atau makrifat. Allah Yang Maha
Tinggi memerintahkan kita supaya
mensejahterakan zahir kita dengan mematuhi
peraturan syarikat dan meletakkan batin kita
dalam keadaan yang baik dan teratur dengan
memperolehi hikmah kebijaksanaan atau
makrifat. Bila zahir dan batin kita menjadi satu
dan hikmah kebijaksanaan atau makrifat dengan
peraturan agama (syarikat) bersatu, seseorang
itu sampai kepada makam yang sebenarnya
(hakikat).
“Dia alirkan dua laut, padahal kedua-duanya
bertemu. Antara dua itu ada dinding yang kedua-
duanya tidak mampu melewatinya”. (Surah
Imraan, ayat 19 & 20).
Kedua-duanya mesti menjadi satu. Kebenaran
atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya
menggunakan pengetahuan melalui pancaindera
dan deria-deria tentang alam kebendaan.
Dengan cara tersebut tidak mungkin mencapai
matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat dan
penyembahan memerlukan kedua-duanya iaitu
peraturan syarikat dan makrifat. Allah berfirman
tentang ibadat:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia
melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”.
(Surah Dzaariyat, ayat 56).
Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya
mengenali Daku’. Jika seseorang tidak
mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya
dengan sebenar-benarnya, meminta pertolongan-
Nya dan berkhidmat kepada-Nya?
Makrifat yang diperlukan bagi mengenali-Nya
boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam
yang menutupi cermin hati seseorang,
menyucikannya sehingga bersih dan
menggilapkannya sehingga bercahaya. Kemudian
perbendaharaan keindahan yang tersembunyi
akan memancar pada rahsia cermin hati.
Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui
rasul-Nya:
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi.
Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk
supaya Aku dikenali”.
Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya
mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.
Ada dua peringkat makrifat yang suci. Seseorang
itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil
yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi
sifat-sifat tersebut. Satu lagi ialah mengenali Zat
Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah
manusia secara zahirnya dapat menikmati
kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Makrifat
yang memimpin kepada Zat Allah tidak
diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di
dalam jiwa atau roh suci manusia yang berada di
dalam dirinya yang zahir ini.
“Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan roh
kudus”. (Surah Baqarah, ayat 87).
Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa
ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan
kepada mereka.
Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi dengan
hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua
aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di
dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-
benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk
mendapatkaan kebaikan. Nabi s.a.w bersabda,
“Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada
lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah,
satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang
diperlukan bagi melaksanakan harapan kita”.
Pada peringkat permulaannya seseorang itu
memerlukan pengetahuan syarikat. Ini
memerlukan pendidikan yang mengenalkan dalil-
dalil luar tentang Zat Allah yang menyata di
dalam alam sifat-sifat dan nama-nama ini.
Apabila bidang ini telah sempurna sampailah
giliran pendidikan kerohanian tentang rahsia-
rahsia, di mana seseorang itu masuk ke dalam
bidang makrifat yang murni untuk mengetahui
yang sebenarnya (hakikat). Pada peringkat yang
pertama seseorang itu mestilah meninggalkan
segala-galanya yang tidak dipersetujui oleh
syariat malah, kesilapan di dalam melakukan
perbuatan yang baik mestilah dihapuskan.
Perbuatan yang baik mestilah dilakukan dengan
cara yang betul, sebagaimana keperluan pada
jalan sufi. Keadaan ini boleh dicapai dengan
melatihkan diri dengan melakukan perkara-
perkara yang tidak dipersetujui oleh ego diri
sendiri dan melakukan amalan yang
bertentangan dengan kehendak hawa nafsu.
Berhati-hatilah di dalam beramal agar amalan itu
dilakukan bukan untuk dipertontonkan atau
diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya
mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah,
demi mencari keredaan-Nya. Allah berfirman:
“Barangsiapa berharap menemui Tuhannya,
hendaklah dia mengerjakan amal salih dan
janganlah dia mempersekutukan sesuatu dengan
Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
(Surah Kahfi, ayat 110).
Apa yang dihuraikan sebagai daerah makrifat itu
adalah tahap penghabisan bagi daerah kejadian
yang pertama. Ia adalah permulaan dan
merupakan rumah yang setiap orang kembali ke
sana. Di samalah roh suci dijadikan. Apa yang
dimaksudkan dengan roh suci adalah roh insan.
Ia dijadikan dalam bentuk yang paling baik.
Kebenaran atau hakikat tersebut telah ditanam di
tengah-tengah hati sebagai amanah Allah,
diamanahkan kepada manusia agar disimpan
dengan selamat. Ia bangkit dan menyata melalui
taubat yang sungguh-sungguh dan usaha
sebenar mempelajari agama. Keindahannya akan
memancar ke permukaan apabila seseorang itu
mengingati Allah terus menerus, mengulangi
kalimah “La ilaha illah Llah”. Pada mulanya
kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati
sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.
Sufi menggambarkan keadaan kerohanian yang
demikian dengan menganggapnya sebagai bayi,
iaitu bayi yang lahir di dalam hati, dibela dan
dibesarkan di sana. Hati memainkan peranan
seperti ibu, melahirkannya, menyusun, memberi
makan dan memeliharanya. Jika anak-anak
diajarkan kepakaran keduniaan untuk
kebaikannya, bayi hati pula diajarkan makrifat
rohani. Sebagaimana kanak-kanak bersih
daripada dosa, bayi hati adalah tulen, bebas
daripada kelalaian, ego dan ragu-ragu. Kesucian
bayi biasanya menyata dalam bentuk zahir yang
cantik. Dalam mimpi, kesucian dan ketulenan
bayi hati muncul dalam rupa malaikat. Manusia
berharap mendapat ganjaran syurga sebagai
balasan kepada perbuatan baik tetapi hadiah-
hadiah yang didatangi dari syurga didatangkan
ke mari melalui tangan-tangan bayi hati.
“Dalam kebun-kebun kenikmatan…melayani
mereka anak-anak muda yang tidak berubah
keadaan mereka”. (Surah Waqi’ah, ayat 12
– 17 ).
“Melayani mereka adalah anak-anak muda
laksana mutiara yang tersimpan”. (Surah Tur,
ayat 24).
Mereka adalah anak-anak kepada hati, menurut
yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil anak-
anak kerana keelokan dan ketulenan mereka.
Keindahan dan ketulenan mereka menyata dalam
kewujudan zahir, dalam darah daging, dalam
bentuk manusia. Oleh kerana keelokan dan
kelembutan sifatnya ia dinamakan anak-anak
hati, tetapi dia adalah manusia sejati yang
mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan
kerana dia berhubung erat dengan Pencipta
sendiri. Dia adalah wakil sebenar kemanusiaan.
Di dalam kesedarannya tidak ada sesuatu malah
dia tidak melihat dirinya sebagai sesuatu. Tiada
hijab, tiada halangan di antara kewujudannya
dengan Zat Allah.
Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan suasana
demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w,
“Ada masa aku dengan Allah di mana tiada
malaikat yang hampir dan tidak juga nabi yang
diutus”. Maksud ‘nabi’ di sini ialah kewujudan
lahiriah yang sementara bagi Rasulullah s.a.w
sendiri. Malaikat yang paling hampir dengan
Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w,
kejadian pertama. Dalam suasana kerohanian itu
baginda s.a.w sangat hampir dengan Allah
sehingga wujud zahirnya dan rohnya tidak
berkesempatan menghijabkannya dengan Allah.
Baginda s.a.w menggambarkan lagi suasana
demikian, “Ada syurga Allah yang tidak ada
mahligai dan taman-taman atau sungai madu dan
susu, syurga yang di dalamnya seseorang hanya
menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci” .
Allah s.w.t berfirman:
“Beberapa muka pada hari itu berseri-seri.
Kepada Tuhannya dia memandang”. (Surah
Qiamat, ayat 22 & 23).
Pada suasana atau makam tersebut jika
seseorang makhluk termasuklah malaikat
mendekatinya kewujudan badannya akan
terbakar menjadi abu. Allah s.w.t berfirman
melalui rasul-Nya:
“Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku
dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja,
semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh
pandangan-Ku”.
Jibrail yang menemani Nabi Muhamamd s.a.w
pada malam mikraj, apabila sampai di Sidratul
Muntaha, telah mengatakan jika dia melangkah
satu langkah sahaja lagi dia akan terbakar
menjadi abu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar