"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang
hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui
apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu
semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah
dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia
kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini
pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap
bulan ini dan kota ini sebagai suci maka
anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim
sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang
diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya
yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain
tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa
sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu
dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas
segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan
riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba'
hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi
keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa
untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara
besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai
hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai
atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak
untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana
kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan
berlemah lembutlah terhadap mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan
pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas
mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh
memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke
dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat
lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan,
tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan
kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah
sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari
yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada
suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas
segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu,
awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-
kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran
selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul
yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir
agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah
dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah
disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua
perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh
dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak
akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran
dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku
ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan
hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya
pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya
lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang
mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah,
bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu
kepada hamba-hamba- Mu. "
Khutbah terakhir Nabi Muhammad saw
9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH, DI LEMBAH
URANAH, GUNUNG 'ARAFAH
Tidak ada komentar:
Posting Komentar