Kamis, 31 Oktober 2013

5: JALAN PARA SAHABAT R.A


Kaum Muslimin yang dibimbing secara langsung
oleh Rasulullah s.a.w telah menunjukkan
kecemerlangan dalam apa juga bidang yang
mereka ceburi dan apa juga suasana yang
mereka berada di dalamnya. Mereka mampu
bertahan ketika menghadapi ujian bala bencana,
menanggung penghinaan, ejekan, penentangan
dan penyiksaan sehingga mereka terpaksa
mengharungi lautan ke Habsyah dan meredah
padang pasir ke Yasrib demi menyelamatkan
agama mereka. Di hadapan Raja Habsyah,
Jaafar bin Abu Talib selaku ketua Muhajirin di
Habsyah, telah memberi penerangan lengkap
dan jelas mengenai Nabi Muhammad s.a.w dan
agama Islam, mematahkan hujah wakil pihak
Quraisy yang menuntut agar kaum Muslimin
dihantar pulang ke Makkah. Jelas sekali para
sahabat Rasulullah s.a.w bukan sahaja memiliki
ketahanan jiwa menanggung kesusahan malah
mereka juga memiliki kecerdasan akal fikiran.
Mereka adalah duta-duta Rasulullah s.a.w,
menterjemahkan sifat-sifat baginda s.a.w iaitu
benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana.
Mereka boleh berdiri di hadapan sesiapa sahaja
bagi menyampaikan kebenaran secara bijaksana.
Apa yang terbit dari mereka adalah bakat-bakat
dan sifat-sifat Roh Islam yang tulen yang
memenuhi seluruh rongga tubuh mereka dan
setiap ruang hati mereka. Ketulenan Roh Islam
yang mengendalikan kehidupan mereka
menyebabkan mereka Islam pada perkataan,
Islam pada perbuatan dan Islam pada amalan
hati.
Ketulenan Roh Islam lahir apabila ia digilap
dengan cara mengesakan Allah s.w.t,
mengabdikan diri kepada-Nya dengan beramal
salih dan bertakwa serta mengasihi saudara
Muslimnya apa yang dikasihi untuk dirinya
sendiri. Apabila jalan atau tarekat tersebut diikuti
akan muncullah Roh Islam yang sejati dan tulen.
Ketulenan itu diuji pula dengan dihadapkan
kepada ujian bala bencana, penekanan pada
zahir dan batin. Jika ujian bala tidak
mencederakan iman maka sahlah ketulenan Roh
Islam seseorang Muslim itu. Begitulah tarekat
yang didukung oleh kaum Muslimin yang diasuh
secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Mereka
tundukkan jasad kepada pemerintahan roh dan
roh ditundukkan kepada perintah Allah s.w.t
yang disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Roh
Islam tidak dikuasai oleh sesuatu melainkan
kekuasaan Allah s.w.t. Roh Islam merdeka dari
segala sesuatu kecuali Allah s.w.t, Rasul-Nya
dan agama-Nya. Apa juga kekacauan yang
melanda dunia tidak akan sampai kepada Roh
Islam selagi orang Islam tidak menjualkan
akhiratnya untuk kebendaan dan duniawi.
Kaum Muslimin dibimbing oleh Nabi Muhammad
s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w dibimbing oleh
Jibrail a.s. Jibrail a.s dibimbing oleh Allah s.w.t.
Nabi Muhammad s.a.w telah memasuki satu
jalan khusus untuk baginda s.a.w sendiri.
Baginda s.a.w memasuki alam khalwat sewaktu
berusia 36 tahun. Baginda s.a.w pergi ke Gua
Hiraa melalui bimbingan Allah s.w.t,
sebagaimana firman-Nya:
Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan
yang benar), lalu Ia memberikan hidayah
petunjuk (dengan wahyu – al-Quran)? ( Ayat 7 :
Surah adh-Dhuha )
Tuhan yang memimpin Nabi Muhammad s.a.w
ke Gua Hiraa. Pimpinan yang demikian
dinamakan Tarikan Rahmani atau tarikan yang
langsung dari Allah s.w.t. Ketika mencari
kebenaran Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi
kepada pendeta Yahudi dan Nasrani yang
terkenal alim mengenai kitab-kitab dari langit dan
juga ilmu falsafah. Baginda s.a.w pergi ke Gua
Hiraa yang gelap gelita, meletakkan sepenuh
harapan dan pergantungan kepada Allah s.w.t.
Apa yang dicari oleh Nabi Muhammad s.a.w
tidak dapat dihurai dan dibukakan oleh sesiapa
sahaja kecuali Allah s.w.t. Apa yang Allah s.w.t
berkehendak mengurniakan kepada Nabi
Muhammad s.a.w melebihi apa yang mampu
diberikan oleh manusia.
Setelah fitrah suci baginda s.a.w menerima
pembukaan dengan kedatangan wahyu yang
pertama, selesailah urusan berkhalwat. Khalwat
di Gua Hiraa telah memberikan makna yang
besar kepada penghidupan Nabi Muhammad
s.a.w. Latihan tersebut menjadi asas yang kukuh
di dalam pembentukan keperibadian dan
kekuatan jiwa Nabi Muhammad s.a.w. Hasilnya
rohani dan jasmani baginda s.a.w mampu
bertahan menerima kunjungan wahyu yang maha
berat dan ia juga membuatkan baginda s.a.w
mampu melakukan Israk dan Mikraj di kemudian
hari nanti. Tanpa kekuatan yang diperolehi di
Gua Hiraa mungkin jasad dan roh baginda s.a.w
akan hancur bila ‘dihempap’ oleh wahyu dan bila
baginda s.a.w memasuki alam tinggi ketika
Mikraj. Hanya golongan nabi-nabi yang
dipersiapkan untuk menjadi cukup kuat bagi
menerima kedatangan wahyu dan juga memasuki
alam tinggi. Golongan yang selain nabi-nabi,
walaupun siddiqin dan salihin, mereka hanya
menerima percikan wahyu dan memasuki alam
tinggi secara pengalaman kerohanian seperti
zauk dan kasyaf, tidak secara langsung seperti
yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Oleh yang demikian siddiqin dan salihin juga
wajib merujuk kepada wahyu di dalam
menentukan kebenaran sesuatu perkara. Siddiqin
yang paling utama, Abu Bakar as-Siddik, juga
tertakluk kepada wahyu yang diturunkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada fikiran, ilham
dan kasyaf orang siddik dan salih yang bebas
daripada wahyu. Kenyataan ini dibuktikan oleh
Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat
baginda s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w tidak
meninggalkan khalwat sebelum wahyu datang.
Para sahabat tidak meninggalkan Rasulullah
s.a.w, sentiasa mentaati baginda s.a.w dalam
apa perkara sekali pun.
Setelah wahyu datang tamatlah peringkat khalwat
yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda s.a.w sebagai penterjemah wahyu yang
paling arif menyampaikan ajaran wahyu kepada
pengikut-pengikut baginda s.a.w tanpa
membawa mereka memasuki proses khalwat
baik di Gua Hiraa atau di mana-mana gua.
Tarekat atau jalan sebelum kedatangan wahyu
dengan selepas kedatangan wahyu adalah
berbeza. Wahyu membawa Nabi Muhammad
s.a.w dan pengikut baginda s.a.w memasuki
tarekat kehidupan harian di atas muka bumi, di
dalam dunia, secara bertauhid dan beramal salih
serta bertakwa. Semua itu dilakukan dengan
memperakui dan memelihara kewujudan
kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.
Golongan hamba yang telah memeluk agama
Islam memperakui kedudukan mereka sebagai
hamba. Tidak ada hamba yang memeluk Islam
lari dari tuan mereka. Mereka tetap menghormati
institusi kemasyarakatan sekalipun telah memilih
Islam yang mempunyai institusinya sendiri.
Golongan pedagang terus juga berdagang.
Golongan pertukangan dan pertanian terus juga
bertukang dan bertani. Tidak ada di antara
mereka yang meninggalkan urusan kehidupan
harian lantaran mahu berkhalwat secara khusus
seperti yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w.
Islam tidak mengubah kehidupan harian. Apa
yang Islam buat adalah menyusun semula
kehidupan itu agar ia menjadi jalan yang lurus
menuju kebaikan di dunia dan di akhirat dan
seterusnya menemui Tuhan Rabbul Jalil.
Muslim generasi pertama telah membina asas
jalan yang lurus dengan keringat dan darah
mereka, dengan harta dan jiwa mereka. Generasi
yang datang kemudian dapat berjalan di atas
jalan lurus yang sudah siap di bina, tidak perlu
lagi membina jalan yang lain. Rasulullah s.a.w
dan para sahabat baginda s.a.w yang berjuang
menegakkan jalan yang lurus itu tidak
melepaskan sifat-sifat benar, amanah,
menyampaikan dan bijaksana dalam segala
urusan termasuklah ketika bertawakal, berserah
diri dan beriman kepada Qadak dan Qadar.
Mereka beriman kepada takdir dan berserah diri
secara bijaksana dan benar. Mereka melihat
tanda mereka berserah diri kepada Tuhan adalah
mereka menggunakan segala bakat dan
keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka
untuk bergerak di atas jalan yang lurus,
melakukan amal salih dan bertakwa. Mereka
melihat bahawa tanda mereka beriman kepada
takdir adalah mereka menggunakan segala
kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan
yang benar kerana yang demikian itulah takdir
yang paling benar, sementara yang lain itu
hanyalah bayangan takdir yang samar-samar dan
tidak layak diimani.
Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan
contoh teladan yang benar mengenai konsep
beriman kepada takdir dan bertawakal. Baginda
s.a.w cenderung bergerak dan bertindak di
dalam sempadan kemanusiaan biasa dengan
menggunakan bakat kemanusiaan seperti orang
ramai. Pada malam pemuda-pemuda Quraisy
mengepung rumah baginda s.a.w untuk
membunuh baginda s.a.w, baginda s.a.w telah
menyuruh Saidina Ali bin Abu Talib tidur di
tempat baginda s.a.w biasa tidur dan Saidina Ali
diselimutkan dengan kain selimut baginda s.a.w
sendiri. Baginda s.a.w menggunakan strategi,
kebijaksanaan dan helah kemanusiaan untuk
mengalahkan kumpulan yang mahu membunuh
baginda s.a.w itu. Setelah keluar dari rumah,
baginda s.a.w bersama-sama sahabat paling
akrab, Saidina Abu Bakar, bersembunyi di dalam
Gua Saur. Rancangan persembunyian di sana
telah di atur dengan sangat rapi sehingga rahsia
tersebut tidak bocor. Semasa di dalam
persembunyian itu maklumat sentiasa di hantar
kepada baginda s.a.w oleh anak lelaki Saidina
Abu Bakar. Makanan disediakan oleh bekas
hamba Saidina Abu Bakar yang mengembalakan
kambing Saidina Abu Bakar di kaki Bukit Saur.
Semua jejak yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w
dan Saidina Abu Bakar dihapuskan sehingga
tidak ada tanda-tanda yang mereka bersembunyi
di Gua Saur. Sekali lagi kaum musyrikin
ditewaskan oleh kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.
Sebaik sahaja keadaan di dalam negeri Makkah
reda dan tenang sedikit dan telah ada ruang
untuk Rasulullah s.a.w bergerak, maklumat
tersebut dengan pantas dihantarkan oleh anak
Saidina Abu Bakar dan dengan segera pula
Rasulullah s.a.w bertindak di atas kesempatan
yang terbuka itu. Unta-unta Saidina Abu Bakar
yang kuat, yang dijaga khusus untuk tujuan hijrah
itu, dan bekalan makanan dengan segera
dihantarkan ke Gua Saur. Rasulullah s.a.w
bersama-sama Saidina Abu Bakar, dengan
dipandu oleh jurupandu yang mahir, bersegera
meninggalkan Gua Saur. Pergerakan yang begitu
pantas hanya boleh terjadi dengan perancangan
yang rapi dan bijaksana. Setelah meninggalkan
Gua Saur baginda s.a.w mengambil jalan yang
bertentangan dengan arah Yasrib. Jalan yang
paling sukar dan paling tidak di sangka telah
dipilih oleh Rasulullah s.a.w. Selepas melepasi
kawasan bahaya baharulah Rasulullah s.a.w
membelok ke arah Yasrib.
Tidak ada pengkaji sejarah yang tidak berasa
kagum dengan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.
Kebijaksanaan baginda s.a.w sudah menyerlah
ketika baginda s.a.w masih muda belia lagi.
Kekuatan akal baginda s.a.w dapat mengalahkan
kekuatan akal semua manusia. Semua akal
tunduk kepada akal yang mendapat pembukaan
daripada Allah s.w.t. Kebijaksanaan merupakan
mukjizat Rasulullah s.a.w yang sangat ketara.
Ketika suku-suku Quraisy sudah sampai kepada
peringkat mahu berperang sesama sendiri akibat
kebuntuan akal mereka menentukan siapakah
yang layak meletakkan semula Hajaral Aswad ke
tempat asalnya setelah Kaabah dibina semula,
Nabi Muhammad s.a.w yang pada masa itu
masih seorang pemuda, dengan mudah sahaja
menyelesaikan pertikaian tersebut, tanpa
memerlukan masa untuk berfikir, tanpa meminta
pendapat sesiapa dan tanpa ragu-ragu baginda
s.a.w mengeluarkan formula yang diterima oleh
semua orang. Kebijaksanaan baginda s.a.w
menjadi lebih sempurna lagi setelah mendapat
penerangan daripada wahyu. Tidak ada sepatah
pun perkataan baginda s.a.w yang sia-sia. Tidak
ada satu pun perbuatan baginda s.a.w yang
tidak bermanfaat. Hanya Nabi Muhammad s.a.w
seorang sahaja di dunia ini yang setiap patah
perkataan dan setiap perbuatannya direkodkan.
Hingga kini belum ditemui sebarang kesilapan
pada perbuatan dan perkataan baginda s.a.w.
Rasulullah s.a.w melaksanakan segala tugas
dengan cemerlang, dengan menggunakan bakat
dan keupayaan kemanusiaan. Memang benar
baginda s.a.w dikurniakan mukjizat tetapi
mukjizat hanya datang setelah baginda s.a.w
menggunakan bakat kemanusiaan dalam
melaksanakan tugas. Baginda s.a.w tidak
melemparkan sifat-sifat kemanusiaan lantaran
kunci mukjizat berada dalam tangan. Bahkan
keupayaan baginda s.a.w menyelesaikan
masalah kemanusiaan dengan menggunakan
bakat kemanusiaan merupakan mukjizat yang
sangat luar biasa. Baginda s.a.w telah
membuktikan bahawa seseorang insan yang
dapat mempertahankan sifat-sifat kemanusiaan
dan kehambaan dalam segala keadaan dan
makam itulah perkara yang sangat luar biasa. Di
bumi, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai
hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Di langit, Nabi
Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba Allah
s.w.t dan Rasul-Nya. Bahkan di hadapan Allah
s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w sujud sebagai
hamba-Nya dan Rasul-Nya. Tidak terbalik
pandangan baginda s.a.w lantaran berlaku
perubahan stesen dan makam.
Peristiwa hijrah memberi pengajaran yang sangat
berguna kepada umat manusia agar mereka
menghargai bakat dan keupayaan kemanusiaan
yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka. Nabi
Muhammad s.a.w telah mengajarkan bahawa
menggunakan akal fikiran, mengadakan strategi
dan perancangan serta melakukan ikhtiar dan
usaha adalah sebahagian daripada pakej
beriman kepada takdir, bertawakal dan berserah
diri. Jika ada orang yang mentafsirkannya secara
lain tentu sekali tafsirannya berbeza dengan
tafsiran yang dikeluarkan secara nyata melalui
perbuatan oleh Rasulullah s.a.w.
Sebelum kedatangan wahyu Nabi Muhammad
s.a.w memasuki amalan berkhalwat. Setelah
wahyu datang baginda s.a.w dibimbing oleh
wahyu untuk membimbing umat manusia.
Baginda s.a.w membawa pengikut-pengikut
baginda s.a.w meredah lautan bala bencana,
menanggung penyiksaan dan menghadapi
penentangan kerana semua itu adalah batu ujian
yang menggilap iman. Tarekat khalwat sudah
berubah menjadi tarekat kehidupan harian yang
penuh dengan ujian bala bencana.
Rasulullah s.a.w dan Muslim generasi pertama
berjalan di atas ranjau kehidupan, menghadapi
kezaliman dan menanggung penderitaan.
Keluarga Yasir yang menjadi hamba kepada suku
Banu Makhzum telah diseksa dengan sangat
teruk sekali. Mereka dijemur di lembah Makkah
diwaktu panas terik dengan diletakkan batu di
atas dada mereka. Rasulullah s.a.w menziarahi
keluarga Yasir dan memberikan kekuatan rohani
kepada mereka. Baginda s.a.w bersabda yang
maksudnya: “Bergembiralah wahai keluarga
Yasir. Kamu akan mendapat tempat di dalam
syurga”. Ucapan Rasulullah s.a.w itu menjadi
penawar yang sangat mujarab, memberi
kekuatan kepada keluarga Yasir untuk
menanggung penderitaan yang sedang menimpa
mereka. Mereka mampu mempertahankan iman
mereka dengan penuh kesabaran. Mereka telah
terhibur dengan janji yang disampaikan oleh
Rasulullah s.a.w. Mereka sedikit pun tidak
berasa ragu dengan jaminan Rasulullah s.a.w itu.
Mereka telah mencium bau syurga dan ia
menjadikan mereka tenang, reda dengan takdir
Tuhan. Kebahagiaan syurga yang menunggu di
hadapan menyapu segala kesakitan yang sedang
dialami.
Walaupun diseksa dengan hebatnya oleh Banu
Makhzum namun keluarga Yasir tidak berganjak
daripada kepercayaan mereka. Usaha untuk
membawa mereka kepada kekufuran hanya sia-
sia. Orang Banu Makhzum yang gagal mengubah
akidah keluarga Yasir, menjadi kerasukan
syaitan. Apabila syaitan sudah menguasai
mereka sepenuhnya hilanglah keperimanusiaan
mereka. Dada Yasir direjam dengan tombak.
Samyah, isteri Yasir, menjadi lebih bersemangat
dan berani menentang tuannya. Banu Makhzum
tidak tahu hendak buat apa lagi dengannya.
Samyah diserahkan kepada Abu Jahal yang ikut
serta menyeksa keluarga Yasir itu. Abu Jahal
yang bersekutu dengan iblis, mengambil sebilah
tombak dan dengan sekuat-kuat tenaganya
merejamkan tombak itu ke bahagian kemaluan
Samyah hingga tembus ke belakang. Keluarlah
dua roh suci, naik kepada Tuhan mereka,
membawa kemenangan di dalam
mempertahankan tauhid. Yasir dan isterinya
Samyah menjadi syuhada yang pertama dalam
Islam. Nama mereka yang diukir dengan tinta
emas tidak mungkin padam dari lembaran
sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Yasir dan
Samyah mendahului para syuhada yang lain,
menunggu mereka di pintu syurga.
Selain Yasir dan keluarganya, Bilal bin Rabah
dan ibunya juga menerima seksaan yang berat
daripada tuan mereka. Mereka menjadi hamba
kepada Umayyah bin Khalaf. Bilal menghadapi
segala penyeksaan ke atasnya dengan semangat
yang kental. Bilal berkata kepada tuannya:
“Walaupun tuan cincang lumat badan saya, tuan
pisahkan roh dari tubuh saya, namun agama ini
tetap saya anuti dan saya pertahankan sedaya
upaya saya. Tubuh saya tidak memerlukan
makanan yang enak atau pakaian yang cantik
atau kehidupan yang selesa. Roh saya yang
memerlukan makanan dan pakaian dan perlu
dipersucikan. Kini saya sudah temui yang dapat
memenuhi keperluan roh saya sebanyak
mungkin. Saya tidak memerlukan apa-apa lagi
dari tuan. Sia-sia sahaja tuan menghalangi saya
dari mendapatkan yang demikian”.
Ketegasan Bilal menambahkan kemarahan
Umayyah. Tangan Bilal diikat dan lehernya dibelit
dengan rantai yang berduri. Bilal tidak diberi
makan dan minum. Usaha yang kejam itu gagal
meruntuhkan iman Bilal. Kemudian Bilal diheret
mengelilingi kota Makkah. Orang ramai
mengejeknya sambil membalingnya dengan batu.
Tindakan begini juga tidak menggugat iman Bilal.
Apabila sampai berhampiran dengan Kaabah
Bilal menjerit sekuat-kuat hatinya: “AHAD! AHAD!
AHAD!” Perkataan inilah yang sangat dibenci oleh
kaum musyrikin Quraisy. Bilal tidak putus-putus
menyebut Ahad, Ahad, Ahad. Bilal dibawa pula
ke padang pasir yang sangat panas. Beliau
dipakaikan baju perang (baju besi). Bilal yang
dipakaikan baju besi itu dijemur di tengah panas
yang sangat terik. Iman Bilal terus memancar.
Perkataan Ahad terus keluar dari celah bibirnya.
Orang musyrikin sudah tidak dapat menahan
geram lagi. Mereka beramai-ramai mengangkat
seketul batu besar dan diletakkan di atas dada
Bilal. Nun di atas sana matahari ‘menyala’. Di
bawah pula pasir ‘membara’. Di antara keduanya
adalah Bilal yang berpakaian baju besi dan
ditindih pula oleh batu besar. Bilal tidak nampak
matahari, pasir atau batu besar. Bilal tidak
merasakan kepanasan atau keberatan. Bilal
hanya melihat satu sahaja iaitu Yang Maha Satu,
Maha Esa, Ahad! Bilal menikmati kelazatan
menyaksikan Yang Maha Esa. Dari celah
bibirnya, dengan nada yang perlahan dan
tersekat-sekat, masih lagi keluar ucapan: “Ahad!
Ahad! Ahad!” Dengarlah Bilal bermunajat: “Jika
mereka mahu membunuh aku agar aku
menyengutukan Tuhan ar-Rahman, biarlah aku
mati daripada aku berbuat demikian. Aku lebih
takut menyengutukan Allah. Allahumma! Tuhan
Ibrahim, Tuhan Yunus, Tuhan Musa dan Tuhan
Isa. Selamatkan iman daku!”
Bilal telah lulus ujian makam keesaan. Bilal
sudah memperolehi pancaran Ahadiyyah. Allah
s.w.t menghantarkan wakil-Nya untuk
menyelamatkan hamba-Nya yang telah
membuang segala sesuatu dari hatinya selain
Allah s.w.t. Abu Bakar, lelaki benar lagi jujur,
datang ke tempat Bilal yang sedang teruk
diseksa. Abu Bakar mahu membeli Bilal yang
imannya sudah dibeli oleh Allah s.w.t. Apakah
Umayyah mahu melihat Bilal mati dan dia
kerugian? Umayyah mengambil peluang yang
ditawarkan oleh Abu Bakar. Bilal dijualkan
kepada Abu Bakar dengan harga lima kali lebih
mahal daripada harga biasa seorang hamba. Abu
Bakar membayarnya tanpa tawar menawar. Abu
Bakar cuba mengangkat batu yang di atas dada
Bilal tetapi tidak berdaya. Beliau naik berang.
Disergahnya orang-orang yang berada di tempat
itu. Baharulah mereka datang mengangkat batu
tersebut. Baju besi juga ditanggalkan dari tubuh
Bilal. Bilal sudah bebas dari matahari yang
menyala dan pasir yang membara. Bilal sudah
bebas dari batu yang menindih dadanya. Bilal
sudah bebas dari baju besi yang
membungkusnya. Bilal bertanya kepada Abu
Bakar: “Adakah tuan membeli saya untuk
menjadi hamba tuan?” Abu Bakar menjawab:
“Demi Allah, wahai Bilal engkau aku bebaskan”.
Bebaslah Bilal sepenuhnya dari segala bentuk
perhambaan kecuali kehambaan terhadap Allah
s.w.t. Ibu Bilal, Hamamah, juga dibeli oleh Abu
Bakar dan dimerdekakan. Lain-lain hamba yang
dibeli dan dibebaskan oleh Abu Bakar adalah
Amir bin Furahah (lelaki yang mengembala
kambing di kaki Gunung Saur sewaktu Rasulullah
bersembunyi di sana sebelum berangkat ke
Madinah), Abu Fukaihah, Zinnirah, Ummu Ubais,
an-Nahyah dan anak perempuannya, Khabbab
bin al-Aratti (lelaki yang berada bersama-sama
adik perempuan Umar al-Khattab dan suaminya
ketika Umar menerpa masuk dan merampas
lembaran yang tertulis ayat al-Quran yang
sedang dibaca oleh adiknya) dan seorang hamba
perempuan kepada Banu Zuhrah.
Rasulullah s.a.w dan Muslim telah menjalani
tarekat ujian bala. Mereka terpaksa meninggalkan
kampung halaman, rumah tangga, kaum
keluarga, harta benda dan pekerjaan demi
menyelamatkan akidah mereka. Walau
bagaimana keras ujian yang mereka terima
namun, mereka tetap berpijak di atas bumi yang
nyata. Tarekat mereka adalah kekhalifahan di
bumi. Mereka beriman kepada akhirat dan
perkara ghaib dan mereka juga beriman kepada
perkara kehidupan harian di dalam dunia ini yang
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka menuju
akhirat dengan menunggang dunia. Tidak ada di
antara mereka yang lari daripada dunia lantaran
cintakan Allah s.w.t dan akhirat. Mereka adalah
kumpulan yang diperakui oleh Rasulullah s.a.w
sebagai puak yang paling baik pernah wujud di
atas muka bumi. Itulah puak yang
menggabungkan kehidupan dunia dengan
kehidupan akhirat, puak yang menjadikan dunia
sebagai kebun akhirat. Mereka menyintai Allah
s.w.t dan Rasul-Nya tanpa membuang dunia dan
akhirat. Mereka mendukung tarekat Islam iaitu
mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan
melakukan kehambaan kepada Allah s.w.t
dengan sebenar-benar kehambaan serta
melakukan amal salih dan bertakwa.
Mungkin tidak seorang pun yang datang
kemudian telah mengalami zauk atau kefanaan
yang dialami oleh Bilal sewaktu dijemur di panas
terik dengan berpakaian baju besi dan ditindih
batu besar di atas dadanya. Dalam kemuncak
kefanaan dan zauk Bilal mengucapkan: “Ahad!
Ahad! Ahad!” Suasana ketuhanan yang
menguasai Bilal dan yang sedang disaksikan
oleh mata hati Bilal menyebabkan terucap
perkataan AHAD bukan “ana al-Haq!” Masih
adakah umat kemudian yang semulia Bilal, juru
azan Rasulullah s.a.w? Bukankah pada malam
Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w mendengar
bunyi terompah Bilal di dalam syurga. Kemuliaan
dan ketinggian darjat Bilal masih tidak mengatasi
darjat Abu Bakar as-Siddik, sedangkan Abu
Bakar tidak melalui makam fana dan zauk.
Beliau r.a sentiasa di dalam keadaan jaga.
Zauknya adalah mencintai Allah s.w.t dan Rasul-
Nya. Kefanaan beliau r.a adalah wahyu.
Kebaqaan beliau r.a adalah ubudiah. Begitu juga
halnya dengan Umar, Usman dan Ali. Jalan yang
ditempuh oleh para sahabat itu adalah jalan yang
dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w
dan jalan demikian diistilahkan sebagai jalan
kenabian.

6: JALAN KENABIAN


Para sahabat Rasulullah s.a.w adalah kumpulan
kaum Muslimin yang paling bertuah kerana
Rasulullah s.a.w berada di tengah-tengah
mereka. Mereka menerima pengajaran wahyu
secara langsung daripada baginda s.a.w. Mereka
adalah puak yang paling diberkati Allah s.w.t
kerana Dia kurniakan kepada mereka cahaya
(Nur) Nabi Muhammad s.a.w secara terus, tanpa
dihijab oleh ruang, zaman atau masa. Apa yang
mereka perolehi daripada Nur Nabi Muhammad
s.a.w adalah yang paling benar dan asli pada
tahap maksimum. Jika Nabi Muhammad s.a.w
diibaratkan sebagai matahari, maka para sahabat
menerima pancaran matahari ketika ia berdiri
tegak tanpa segumpal awan pun melindunginya.
Umat yang di belakang pula adalah umpama
orang yang menerima pancaran cahaya matahari
ketika ia telah condong ke barat dan ketika awan
mendung sudah berarak dipermukaan langit.
Kaum Muslimin yang menerima tarekat secara
langsung daripada Rasulullah s.a.w menetap di
atas jalan kehambaan dan kesedaran. Wahyu
yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w secara
langsung membakar sifat-sifat keji para sahabat
tanpa membakar identiti mereka. Mereka
mengikuti tingkah-laku Rasulullah s.a.w dengan
bersungguh-sungguh untuk memakai sifat-sifat
benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana.
Mereka berusaha menyesuaikan diri dengan
Rasulullah s.a.w kerana baginda s.a.w adalah
model yang Allah s.w.t hantarkan untuk
diteladani. Apabila jalan yang demikian diikuti
maka para sahabat menjadi duta-duta kepada
Rasulullah s.a.w, cermin yang membalikkan
cahaya Nabi Muhammad s.a.w dan penyambung
lidah Nabi Muhammad s.a.w. Cara yang
demikian meneguhkan iman di atas landasan
kehambaan. Tidak ada percubaan untuk
membuang kehambaan dan menjadi Tuhan.
Tidak ada pengalaman kerohanian yang
memabukkan. Banyak daripada pengalaman
yang ganjil-ganjil yang dialami oleh para sufi
yang datang kemudian, tidak dialami oleh para
sahabat Rasulullah s.a.w. Golongan yang
menjalani tarekat yang diterima secara langsung
daripada Rasulullah s.a.w tidak mengalami atau
jarang terjadi pengalaman dan penyaksian
terhadap tajalli-tajalli, warna dan cahaya.
Pengalaman yang demikian tidak terjadi di
peringkat awal sahabat menerima Islam dan
tidak juga di peringkat akhir. Pengalaman yang
demikian tidak berlaku kerana ‘matahari’
kenabian tidak ditutup oleh awan mendung
keraguan dan syak wasangka yang biasa
dikeluarkan oleh akal fikiran. Pengembara pada
jalan kenabian iaitu tarekat para sahabat tidak
terpukau dengan tajalli dan tidak tertarik dengan
bayangan. Tajalli dan bayangan adalah fenomena
yang timbul selama awan mendung menutupi
cahaya matahari yang asli. Setelah awan
mendung berlalu muncullah cahaya yang terang
benderang, tanpa rupa, tanpa warna dan
bayangan juga hilang.
Para sahabat yang mengikuti jalan kenabian
sangat menyintai akhirat. Keluarga Yasir yang
sedang hebat menderita diseksa oleh orang Banu
Makhzum, menjadi tenang apabila menerima
jaminan syurga daripada Rasulullah s.a.w.
Syurga yang dijanjikan itu memberi semangat
dan kekuatan kepada keluarga Yasir. Kecintaan
mereka kepada akhirat lahir daripada kecintaan
mereka kepada Allah s.w.t yang berjanji untuk
memperlihatkan Diri-Nya di akhirat kelak. Mereka
tidak meninggalkan akhirat atau pun dunia
lantaran kecintaan mereka kepada Allah s.w.t.
Kecintaan kepada Allah s.w.t yang disertai oleh
kecintaan kepada akhirat dan dunia tidak
menggoncangkan iman dan pegangan tauhid
mereka.
Apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin
bukanlah memaksa kaum Muslimin menafikan
ketuhanan Allah s.w.t, tetapi mereka mahu
diadakan sekutu bagi Allah s.w.t. Kaum Muslimin
yang hati mereka sudah dipenuhi oleh kecintaan
kepada Allah s.w.t tidak mahu mempersekutukan
Allah s.w.t dengan sesuatu. Inilah prinsip
menyintai Allah s.w.t yang berdasarkan iman,
yang dibentuk melalui jalan kenabian. Cinta yang
demikian diperkuatkan dengan kecintaan kepada
akhirat dan syurga. Syurga diingini kerana syurga
adalah tempat pertemuan sebenar hamba
dengan Tuhan. Allah s.w.t menggalakkan hamba-
Nya menyintai akhirat dan syurga di samping
benar dalam menyintai-Nya dan Rasul-Nya. Cinta
yang berdasarkan kepada iman itu juga tidak
memisahkan seseorang daripada dunia.
Tujuan manusia diciptakan adalah supaya
mereka mengabdikan diri kepada Tuhan dengan
cara menjadi khalifah di bumi, di dalam dunia.
Manusia sebagai khalifah atau wakil Tuhan
berkewajipan memakmurkan kehidupan di dalam
dunia ini, melaksanakan peraturan dan kehendak
Allah s.w.t. Dunia adalah daerah kekhalifahan
manusia. Dunia adalah kebun buat manusia
bercucuk tanam. Dunia adalah tempat buat
manusia bekerja sebagai hamba Tuhan. Dunia
adalah amanah yang Tuhan
pertanggungjawabkan kepada makhluk
berbangsa manusia. Cinta kepada Allah s.w.t
yang berdasarkan iman mendorong seseorang
manusia menyempurnakan tugas dan
kewajipannya di dalam dunia. Tugas yang sangat
penting di dalam dunia adalah menyuruh yang
makruf dan mencegah yang munkar dan
semuanya itu hendaklah dibuat berlandaskan
kepada tauhid.
Pada jalan kenabian yang diikuti oleh para
sahabat, kesungguhan digembelingkan ke arah
mematuhi peraturan syariat. Mereka meyakini
syariat dengan sepenuh jiwa raga dan bersedia
untuk mempertahankan syariat dengan segala
kemampuan yang mereka ada. Rasulullah s.a.w
menolak permintaan puak Taqif yang datang dari
Taif, agar berhala mereka tidak dirobohkan
dalam tempuh satu tahun dari masa mereka mula
menerima Islam dan mereka juga meminta
dikecualikan daripada melakukan sembahyang
lima waktu. Agama Tauhid tidak boleh bertolak-
ansur dengan berhala. Mengenai sembahyang
pula baginda s.a.w bersabda yang maksudnya:
“ Tidak ada Islam tanpa sembahyang.”
Tentera Islam meredah padang pasir, memikul
senjata, berperang, membunuh dan dibunuh,
semuanya dilakukan dengan membawa peraturan
syariat, termasuklah sembahyang lima waktu.
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Khalifah
Abu Bakar as-Siddik memerangi puak Islam yang
enggan mengeluarkan zakat. Syariat dipegang
sewaktu Rasulullah s.a.w masih hidup dan juga
selepas kewafatan baginda s.a.w. Kaum
Muslimin berkewajipan menanggung syariat
sehingga ke akhir hayat mereka. Tidak ada had
atau makam di mana seseorang bebas daripada
tuntutan syariat. Rasulullah s.a.w sendiri pun
terikat dengan tuntutan syariat, malah
kesungguhan baginda s.a.w bersyariat melebihi
orang lain.
Orang yang memasuki jalan kenabian adalah
hamba yang Allah s.w.t pimpin kepada-Nya.
Jalan tersebut sudah dilalui oleh para anbia,
siddiqin dan salihin. Pada jalan tersebut sesuatu
adalah terang dan jelas, tiada kesamaran.
Tuntutan pada jalan ini adalah syariat, tidak perlu
melakukan latihan yang berat, merbahaya dan
samar-samar. Pada jalan kenabian latihan
bersuluk dan berkhalwat tidaklah sepenting
menjaga tuntutan fardu di samping
melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan
harian. Amalan pada jalan kenabian tidak
mengganggu pekerjaan harian, tidak perlu
mengasingkan diri ke tempat yang tidak ada
orang. Cara yang diajarkan oleh Sunah Rasulullah
s.a.w boleh mengelakkan seseorang terbawa-
bawa ke dalam zauk, berkelakuan ganjil, meratap
dan menangis atau mengeluarkan perkataan
yang menyalahi syariat. Orang yang berjalan
pada jalan kenabian tidak mengambil tahu
tentang tajalli Tuhan, Rahsia Tuhan, fana dalam
Tuhan, baqa dengan Tuhan atau yang
seumpamanya. Kasyaf, zauk, jazbah dan
keramat jarang sekali ditemui pada orang yang
melalui jalan kenabian. Jika ada pun perkara
yang demikian berlaku, ia berlaku bukan
disengajakan, tidak dibuat amalan khusus untuk
memperolehi yang demikian. Mereka yang
beramal menurut Sunah Rasulullah s.a.w
mendapat kelazatan di dalam sembahyang dan
membaca al-Quran bukan di dalam zauk. Mereka
bertindak menguruskan kehidupan harian secara
manusia biasa tanpa perlu bersandar kepada
kekeramatan. Mereka menetap di dalam
kesedaran, tidak dibawa ke alam fana. Mereka
terus berada di atas landasan kehambaan, tidak
memasuki suasana bersatu dengan Tuhan atau
baqa dengan-Nya. Mereka menghabiskan masa
dengan melakukan tuntutan syariat, bukan
berbahas tentang af’al, asma’, sifat dan zat
Tuhan. Mereka berpegang kuat kepada wahyu
dan perkataan Rasulullah s.a.w, tidak mencari-
cari apa yang dipanggil ilmu rahsia, ilmu isi atau
yang seumpamanya.
Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak
digesa berperang dengan jasad dengan
melakukan latihan yang menyakitkan jasad. Pada
jalan kenabian penekanan diberikan kepada soal
kesederhanaan dan menjaga agar tidak
melampaui batas. Dibenarkan mengadakan
pembalasan tetapi sekadar kejahatan yang
dilakukan orang, jangan melampau dalam
pembalasan dan jika sanggup memaafkan
adalah lebih baik. Dibenarkan tidur tetapi jika
bangun bersembahyang tahajjud adalah lebih
baik. Dibenarkan makan dan minum tetapi jika
berpuasa adalah lebih baik. Cara yang demikian
lebih memudahkan orang ramai mengikutinya.
Orang khusus juga boleh mencapai matlamat
melalui jalan ini.
Pengembara pada jalan kenabian membina
kecintaan kepada Allah s.w.t berdasarkan
bimbingan syariat. Cinta yang lahir melalui cara
yang demikian berada di dalam batasan rasional,
tidak terjadi kecintaan yang asyik mahsyuk
sehingga lupa diri dan makhluk di sekeliling.
Kasih yang rasional melahirkan rasa syukur
tatkala menerima nikmat dari Allah s.w.t dan
sabar di dalam menerima ujian. Cara yang
demikian membuat kehambaan sentiasa
menemani pengembara pada jalan kenabian.
Rasa bergantung, berhajat dan berharap kepada
Allah s.w.t tidak pernah lepas dari hati hamba
itu. Kasih yang berdasar kepada iman menjadi
lebih kuat dengan cara mendukung syariat,
mematuhi Sunah Rasulullah s.a.w, dengan tulus
ikhlas beramal sesuai dengan perintah al-Quran
dan Sunah Rasulullah s.a.w dalam perkara zahir
dan batin, juga tidak melakukan perkara yang
munkar. Jika yang demikian dilakukan seseorang
itu selamat daripada kekufuran dan seterusnya
seseorang itu dibawa kepada suasana berserah
diri kepada Allah s.w.t. Cara yang demikian
menundukkan keinginan diri sendiri kepada
ketentuan dan kehendak Allah s.w.t. Tunduk
kepada ketentuan dan kehendak Allah s.w.t
menambahkan kecintaan kepada-Nya yang
didasarkan kepada iman. Kasih yang demikian
menjadi lebih kuat apabila dilakukan kebaktian
kepada agama-Nya, peraturan-Nya, Sunah
Rasul-Nya, menolong makhluk-Nya,
menghapuskan kezaliman dan kemunkaran serta
menegakkan keadilan di atas muka bumi. Kasih
kepada Allah s.w.t secara demikian melahirkan
juga kasihkan makhluk Allah s.w.t dan orang
yang berkenaan bekerja untuk membasmikan
perkara-perkara yang tidak baik dari umat
manusia seperti kemiskinan, penyakit, kesusahan
dan lain-lain. Pada jalan kenabian kecintaan
kepada Allah s.w.t berkait rapat dengan
kecintaan kepada peraturan Allah s.w.t dan
makhluk-Nya. Matlamatnya adalah melaksanakan
kehendak Allah s.w.t sebaik mungkin.
Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak
mengalami suasana fana, bersatu dengan Tuhan,
baqa, tajalli atau menyaksikan satu wujud
(wahdatul wujud) yang biasa ditemui oleh
pengembara pada jalan kesufian. Pada jalan
kenabian Allah s.w.t kurniakan yang lebih baik
dan lebih benar daripada semua itu. Dikurniakan
kepada pengembara pada jalan kenabian makna
agama yang sebenarnya yang tidak bercampur
dengan kesamaran dan kekeliruan. Allah s.w.t
jadikan mereka saksi bagi agama-Nya, menjadi
puak yang menyatakan kebenaran agama-Nya
dan kebenaran Rasul-Nya menyampaikan
perintah-Nya. Allah s.w.t kurniakan kepada
mereka makam yang mulia iaitu menjadi
penyebar agama-Nya secara benar dan bersih
daripada bidaah dan kesesatan. Orang yang
berjalan pada jalan kenabian dikurniakan rasa
ghirah (kecemburuan) beragama. Perasaan yang
demikian membuat mereka bersedia berjuang
melindungi agama dan mempertahankannya
daripada gangguan musuh-musuh agama.
Merekalah yang sebenar-benar dipilih dan
dilantik sebagai khalifah Allah s.w.t pada bumi
dan diberikan izin menggunakan cop mohor-Nya
di dalam melaksanakan tugas kekhalifahan itu.
Allah s.w.t akan membantu, menolong dan
membela mereka menjalankan tugas mereka
menyebarkan syariat, memakmurkan bumi,
mengalahkan musuh-musuh Islam dan
menyelamatkan umat Islam daripada penindasan
bangsa-bangsa lain.
Pada jalan kenabian tidak ada fana dalam
perbuatan Allah s.w.t, fana dalam nama Allah
s.w.t, fana dalam sifat Allah s.w.t dan fana
dalam zat Allah s.w.t. Bila tidak ada fana tidak
ada juga baqa. Bila yang demikian tidak ada
maka tidak ada pula mabuk. Kecintaan kepada
Allah s.w.t berjalan di dalam kesedaran. Tidak
terjadi keasyikan yang melahirkan ucapan yang
pelik-pelik. Tidak ada tangisan dan rayuan untuk
bersatu dengan Tuhan atau dukacita lantaran
berpisah dengan Tuhan. Para sahabat yang
diasuh sendiri oleh Rasulullah s.a.w sentiasa
berada di dalam kesedaran sepenuhnya, bukan
kefanaan. Mereka mengejar kecintaan kepada
Allah s.w.t dan kehampiran dengan-Nya dengan
cara mentaati Rasulullah s.a.w di dalam mentaati
Allah s.w.t. Mereka bekerja memahami wahyu
Tuhan dan mengamalkannya dalam kehidupan
harian. Mereka tidak memasuki jalan suluk
secara khusus kerana bagi mereka kehidupan
inilah tempat bersuluk. Suluk mereka adalah
takwa, iaitu berjalan di celah-celah duri
kejahilan, kemusyrikan, kemunafikan,
kemunkaran dan kefasikan. Mereka bersuluk
secara menjaga diri agar tidak melakukan dosa
dan maksiat terutamanya syirik kepada Allah
s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa.
Rasulullah s.a.w diutuskan ketika umat manusia
mengalami kegelapan akidah dan keruntuhan
akhlak. Baginda s.a.w berkewajipan
menyelamatkan umat manusia. Baginda s.a.w
bekerja keras bagi mengubati penyakit-penyakit
yang dihidapi oleh bangsa manusia dalam segala
segi termasuklah akidah, akhlak, sistem
perekonomian, sistem pentadbiran masyarakat
dan lain-lain. Agama yang dibawa oleh
Rasulullah s.a.w mencakupi segala aspek
kehidupan umat manusia, bersesuaian dengan
akal budi manusia, mengimbangi soal lahiriah
dengan soal batiniah. Agama yang dibawa oleh
Nabi Muhammad s.a.w memperbetulkan aspek
lahiriah yang telah diputar-belitkan oleh kaum
Yahudi dan aspek batiniah yang telah dikelirukan
oleh kaum Nasrani. Tugas suci yang ditanggung
oleh Rasulullah s.a.w itu ditanggung juga oleh
kaum Muslimin yang menjadi pengikut baginda
s.a.w. Tugas yang sama dipikul oleh kaum
Muslimin yang datang kemudian dengan
mendukung jalan kenabian.
Jalan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w dan
diikuti oleh para sahabat adalah jalan singkat
dalam mencapai matlamat iaitu keredaan Allah
s.w.t. Jalan yang ada suluk adalah jalan jauh
yang perlu dilalui oleh orang-orang tertentu
kerana sesuatu sebab yang perlu, terutamanya
pada zaman yang telah jauh daripada zaman
Nabi Muhammad s.a.w. Ketika baginda s.a.w
masih hidup bimbingan wahyu dan pengajaran
secara langsung daripada baginda s.a.w lebih
kuat dan lebih berkesan daripada cara
berkhalwat sendirian jauh daripada Rasulullah
s.a.w. Beriman dan beramal salih lebih dituntut
daripada mengasingkan diri. Berjuang
menyelamatkan manusia daripada neraka adalah
juga termasuk dalam perkara amal salih. Di
dalam melaksanakan tugas suci itu Rasulullah
s.a.w dan kaum Muslimin perlu berperang
menghapuskan faktor-faktor yang membentengi
umat manusia daripada sampai kepada
kebenaran. Banyak puak yang pada mulanya
enggan menerima atau mendengar ajaran Islam,
telah dengan rela memeluk Islam setelah mereka
dikalahkan. Muslim zaman Rasulullah s.a.w
sanggup mati demi menyelamatkan umat
manusia daripada api neraka.
Nabi Muhammad s.a.w sebagai juru pandu yang
mahir telah mengemudikan perjalanan kaum
Muslimin di celah-celah kehidupan jahiliah.
Kehidupan jahiliah dipenuhi oleh duri-duri
keruntuhan akidah dan akhlak. Orang jahiliah
menyembah berhala, mendewa-dewakan sesama
manusia, meminum arak, berjudi, berzina,
membunuh anak-anak perempuan,
menyelesaikan permasalahan dengan cara
berlaku kejam dan membunuh, menjadikan
wanita sebagai alat memuaskan nafsu dan
bermacam-macam perlakuan yang menyalahi
moral dan etika kemanusiaan. Di dalam
menangani masalah jahiliah itu Rasulullah s.a.w
menekankan dua perkara pokok iaitu
mengembalikan akidah manusia kepada tauhid
dan mengembalikan akhlak manusia kepada
nilai-nilai murni kemanusiaan (fitrah). Selama
baginda s.a.w berdakwah di Makkah tumpuan
baginda s.a.w adalah akidah dan akhlak.
Penekanan kepada aspek akhlak semata-mata,
iaitu nilai murni kemanusiaan semata-mata,
tanpa tauhid, tidak akan memberi kesan yang
mendalam kepada pembentukan keperibadian
manusia. Revolusi akhlak semata-mata tanpa
revolusi akidah mungkin mampu mengwujudkan
manusia yang baik tetapi manusia yang demikian
hanya bergerak pada soal-soal kebendaan dan
keduniaan sahaja. Kejayaan dan kecemerlangan
diukur melalui pencapaian pada perkara
kehidupan keduniaan dan kebendaan semata-
mata. Tanpa akidah manusia akan mengalami
kekosongan jiwa dan kekosongan tersebut akan
diisi oleh sesuatu seperti ketaasuban kepada
keluarga, keturunan, kaum dan bangsa.
Pengisian dengan anasir keduniaan itu akan
menarik manusia kembali kepada kerosakan
akhlak. Ramai manusia yang memulakan
perjalanan mereka dengan baik sehingga
memperolehi akhlak yang mulia. Setelah
mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dalam
kehidupan lahiriah jiwanya yang kosong diresapi
oleh berbagai-bagai anasir keduniaan dan
kebendaan. Kesudahannya mereka jatuh ke
dalam perlakuan yang mencemarkan nilai murni
kemanusiaan. Ramai pemimpin yang telah
berjuang dengan ikhlas bagi membebaskan
negara mereka daripada penjajah. Setelah
mencapai kemerdekaan dan menjadi pemimpin,
mereka yang tiada pengisian akidah itu bertukar
menjadi tamak kuasa dan menindas rakyat.
Ramai juga golongan peniaga yang memulakan
perniagaan mereka secara jujur sehingga orang
ramai memberi sokongan padu kepada mereka.
Saham mereka melambung naik. Setelah
mencapai kejayaan dan kekayaan, jiwa mereka
yang kosong diisikan dengan harta benda.
Akibatnya lahirlah sifat menambun harta tanpa
batasan sehingga harta orang ramai yang
diamanahkan kepada mereka juga
diselewengkan. Ramai manusia yang memulakan
sesuatu kerjaya dengan menghormati nilai-nilai
murni kemanusiaan, tetapi setelah kejayaan
dicapai, nilai murni tersebut dibuang begitu
sahaja. Orang yang seperti inilah yang selalu
mendatangkan kesusahan kepada mana-mana
badan atau persatuan yang mereka anggotai.
Revolusi akhlak akan hancur jika ia tidak
mengiringi revolusi akidah. Rasulullah s.a.w telah
membina jalan yang menyelaraskan akidah
dengan akhlak. Semakin kuat dan benar akidah
kaum Muslimin semakin murni akhlak mereka.
Kemurnian akhlak kaum Muslimin menjadi daya
penarik kepada kaum lain. Orang yang belum
Islam lebih mempelajari tentang Islam melalui
akhlak kaum Muslimin. Pembentukan akhlak
kaum Muslimin merupakan dakwah secara tidak
langsung kepada kaum lain. Pada jalan kenabian
kaum Muslimin berkecimpung di dalam
masyarakat dan mereka melakukan dakwah
sepanjang masa dengan mempraktikkan nilai-
nilai murni kemanusiaan.
Orang yang meminati bidang kerohanian, tasauf
dan tarekat biasanya tertarik kepada soal
kewalian. Kewalian biasanya dihubungkan
dengan jalan kesufian. Apabila memperkatakan
tentang wali-wali Allah maka nama-nama mereka
yang memasuki jalan kesufian sering ditonjolkan.
Orang-orang seperti Syeikh Abdul Qadir Jilani,
Ibrahim bin Adham, Hasan Basri, Junaid,
Rabiatul Adawiah dan lain-lain orang sufi
biasanya disenaraikan sebagai wali-wali Allah.
Mengaitkan kewalian secara khusus dengan
kesufian semata-mata telah menimbulkan banyak
kekeliruan dan merugikan umat Islam sendiri.
Apabila nama-nama sufi sering ditonjolkan
sebagai wali Allah, timbullah anggapan bahawa
hanya dengan memasuki jalan kesufian
seseorang itu boleh mencapai makam kewalian.
Kewalian pada jalan kenabian tidak ditonjolkan.
Kefahaman tentang kewalian haruslah
diperbetulkan. Haruslah diketahui bahawa orang
yang menerima Islam secara langsung daripada
Rasulullah s.a.w adalah wali Allah. Wali-wali
Allah yang sezaman dengan Rasulullah s.a.w,
mendengar pengajaran daripada baginda s.a.w
sendiri, melihat wajah baginda s.a.w, mendengar
tutur-kata baginda s.a.w, makan bersama-sama
baginda s.a.w, berperang di samping baginda
s.a.w, adalah wali-wali Allah peringkat paling
tinggi. Tidak ada kewalian yang lebih tinggi
daripada kewalian para sahabat Rasulullah
s.a.w. Kewalian yang muncul selepas sahabat,
termasuklah kewalian para sufi tidak melebihi
kewalian para sahabat. Di dalam senarai nama-
nama wali Allah peringkat tertinggi yang sezaman
dengan Rasulullah s.a.w, mendahuluinya adalah
orang-orang seperti Abu Bakar as-Siddik, Umar
al-Khatab, Usman bin Affan, Ali bin Abu Talib,
Zahid bin Harisah, Zubair bin Awam, Abdul
Rahman bin Auf, Saad bin Abu Waqqas, Talhah
bin Ubaidillah, Al-Arqam bin Arqam, Yasir dan
anak-anaknya Amar dan Abdullah, Samyah isteri
Yasir, Bilal bin Rabah, Jaafar bin Abu Talib,
Muaz bin Jabar, Abdullah bin Rawahah, Said bin
Muaz, Dihyah bin Khalifah al-Kalbi yang Jibrail
a.s pernah muncul dalam rupanya, Saad bin
Ubada dan ramai lagi yang tergolong di dalam
senarai wali-wali Allah peringkat tertinggi yang
tidak ada wali pada zaman kemudian mengatasi
kedudukan mereka. Setelah selesai senarai nama
para sahabat itu baharulah datang nama-nama
wali-wali yang datang kemudian seperti Abdul
Qadir Jilani dan lain-lain.
Memasukkan nama para sufi sahaja di dalam
senarai wali-wali yang datang kemudian
merupakan kekeliruan yang nyata dan ia adalah
sikap yang tidak adil kepada kewalian itu sendiri.
Orang ramai jangan lupa untuk melihat kewalian
orang-orang yang menetap pada jalan kenabian
seperti Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Hanafi,
Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Nawawi, Imam
Ghazali dan lain-lain. Harus juga diperhatikan
ahli-ahli ilmu yang telah banyak menyumbang
kepada umat manusia dalam bidang perubatan,
kimia, falsafah, astronomi dan lain-lain. Apakah
tidak layak orang yang seperti Ibnu Rusyd dan
Jamaluddin al-Afghani dipanggil wali Allah?
Wali-wali di peringkat paling atas adalah
sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, termasuklah
syuhada di Badar. Mereka telah mendapat
pengiktirafan dan sanjungan daripada al-Quran
dan disokong oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Perkataan al-Quran dan Rasulullah s.a.w adalah
muktamad. Wali-wali yang datang kemudian
kedudukan mereka diperbesarkan oleh manusia
sendiri, bukan perakuan secara langsung oleh
Rasulullah s.a.w. Para sahabat adalah wali-wali
yang lebih utama daripada wali yang datang
kemudian sama ada dari jalan kesufian atau pun
dari jalan kenabian. Kenyataan ini mesti
dihunjam ke dalam fikiran umat Islam yang keliru
dengan kedudukan kewalian. Ramai kaum
Muslimin meninggalkan perkataan wali-wali
peringkat tertinggi dan berpegang kepada
perkataan wali yang lebih rendah atau orang
yang tidak sahih kewaliannya.
Walaupun istilah wali tidak popular digunakan
pada zaman Rasulullah s.a.w tetapi kewalian
para sahabat tidak boleh dinafikan. Sebahagian
daripada mereka telah disebut nama mereka
dengan sahih oleh Rasulullah s.a.w sebagai ahli
syurga. Baginda s.a.w juga memberi jaminan
bahawa sesiapa yang mengikuti mana-mana
sahabat baginda s.a.w sesungguhnya orang itu
telah mengikuti yang benar. Wali-wali seperti
Imam Syafi’e dan Imam Malik merupakan yang
paling hampir jalan mereka dengan jalan para
sahabat Rasulullah s.a.w. Oleh itu perkataan
mereka lebih kuat dan lebih kukuh daripada
perkataan wali-wali yang bukan berada pada
jalan kenabian. Sangat tidak wajar kaum
Muslimin membuang perkataan Imam Syafi’e
kerana terpengaruh dengan perkataan zauk Abu
Mansur al-Hallaj. Jalan yang ditempuh oleh Abu
Mansur yang ada zauk, fana dan jazbah itu
dinamakan jalan kesufian.

7: JALAN KESUFIAN


Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik
penyampai, sebaik-baik pembimbing. Baginda
s.a.w berkemampuan menyampaikan menurut
tahap akal dan suasana kebatinan seseorang.
Ahli falsafah mampu menerima pengajaran
baginda s.a.w dan ahli kerohanian juga mampu
menerimanya. Orang yang semata-mata bertaklid
kepada baginda s.a.w juga mampu menerima
pengajaran baginda s.a.w. Apa yang baginda
s.a.w ajarkan akan terhunjam ke dalam akal
fikiran dan hati nurani seseorang. Kalam yang
keluar daripada mulut baginda s.a.w
menanamkan pengertian pada akal dan
penghayatan pada jiwa. Apabila baginda s.a.w
mengajarkan ayat-ayat al-Quran, maksud yang
sebenar dari ayat-ayat tersebut akan terpahat
pada fikiran dan hati sahabat-sahabat baginda
s.a.w. Walaupun baginda s.a.w menyampaikan
melalui perkataan dan perbuatan tetapi baginda
s.a.w juga mampu berkomunikasi secara
langsung dengan akal dan hati nurani. Perbuatan
dan perkataan baginda s.a.w bertindak sebagai
kunci yang membuka tabir hijab yang menutupi
akal dan hati. Mata akal dan mata hati menjadi
celik apabila menerima sentuhan perkataan dan
perbuatan baginda s.a.w. Para sahabat yang
menerima pengajaran secara langsung daripada
baginda s.a.w akan mengalami perubahan
dengan mudah, sesuai dengan apa yang baginda
s.a.w ajarkan. Sebaik sahaja baginda selesai
membaca ayat yang mengharamkan arak maka
pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w
membuang tabiat meminum arak. Sebaik sahaja
baginda s.a.w selesai menyampaikan perintah
sembahyang fardu lima waktu sehari semalam,
maka pada ketika itu juga para sahabat baginda
s.a.w masuk ke dalam arus sembahyang fardu
lima waktu sehari semalam. Apabila baginda
s.a.w menyampaikan kewajipan berpuasa pada
bulan Ramdhan, maka pada bulan Ramdhan
tahun itu juga para sahabat baginda s.a.w
melakukan fardu puasa. Apabila baginda s.a.w
melantik wakil-wakil untuk menyampaikan surat-
surat kepada semua penguasa umat manusia di
sekitar Semenanjung Arab, maka dengan rela
mereka menjalankan tugas tersebut tanpa
menghiraukan mereka akan dibunuh atau tidak
dalam melaksanakan tugas tersebut. Apabila
baginda s.a.w membacakan ayat tentang Allah
s.w.t, maka pada ketika itu juga para sahabat
mengenal Allah s.w.t. Sesungguhnya Nabi
Muhammad s.a.w memancarkan nur yang
menerangi akal dan hati manusia.
Kebolehan baginda s.a.w yang luar biasa
menembusi akal dan hati manusia itu adalah
kerana baginda s.a.w dilengkapkan dengan sifat-
sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah.
Baginda s.a.w membawa dan menyampaikan
yang benar, tidak menyembunyikan, tidak
mengubah kebenaran dan disampaikan dengan
penuh kebijaksanaan. Apabila datang yang benar
maka yang batal akan menyingkir. Cahaya
kebenaran yang dipancarkan oleh Nabi
Muhammad s.a.w menghalau kegelapan yang
menyelubungi akal dan hati. Kekuatan cahaya
kebenaran yang mampu dipancarkan oleh
seseorang pembimbing adalah bergantung
kepada setakat mana kesempurnaan sifat-sifat
siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang
dimilikinya. Sifat-sifat tersebut dimiliki oleh Nabi
Muhammad s.a.w pada tahap kesempurnaan
paling tinggi, paling kuat dan paling sempurna.
Oleh yang demikian baginda s.a.w meninggalkan
kesan yang paling maksima di dalam
penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w
mampu menyampaikan sesuatu perkara dengan
menggunakan perkataan paling mudah dan
paling ringkas tetapi memberi pengertian yang
sangat luas dan kesan yang sangat mendalam
kepada pendengarnya. Selama baginda s.a.w
berdakwah 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di
Madinah, baginda s.a.w menyampaikan 6,666
ayat al-Quran dan kata-kata baginda s.a.w yang
dikumpulkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal
berjumlah 40,000, dengan kata-kata yang hanya
sebanyak itu selama 23 tahun baginda s.a.w
sudah menyampaikan dengan lengkap satu
agama yang mencangkupi seluruh kehidupan
dunia dan akhirat, yang mampu bertahan
sehingga hari kiamat. Pekerjaan yang begitu
besar dan bidang yang begitu luas baginda
sempurnakan dengan tutur-kata yang sangat
sedikit. Kemampuan Nabi Muhammad s.a.w itu
tidak mungkin dapat dicabar oleh sesiapa pun,
walau pada zaman mana sekalipun.
Nabi Muhammad s.a.w, mahaguru yang paling
arif, pembimbing yang paling bijaksana, telah
mengasuh satu kumpulan kaum Muslimin untuk
memikul tugas berat membimbing umat manusia.
Para pembimbing yang diasuh oleh Rasulullah
s.a.w merupakan kumpulan pembimbing yang
paling baik di kalangan yang melakukan tugas
tersebut. Setelah Rasulullah s.a.w wafat,
matahari yang mengeluarkan cahaya petunjuk
mula condong, awan mendung mula berarak,
muncullah bayang menghijab perjalanan.
Semakin lama Rasulullah s.a.w meninggalkan
dunia ini semakin kurang kesan dan pengaruh
yang mampu dihasilkan oleh seseorang
pembimbing. Orang ramai telah mengalami
kesulitan di dalam mendapatkan bimbingan
menuju kepada Yang Haq. Sifat-sifat siddik,
amanah, tabligh dan fatanah yang ada dengan
orang-orang yang seharusnya menjadi
pembimbing sudah sangat berkurangan. Ilmu
yang mereka sampai tidak lagi berkemampuan
membuka pintu akal dan pintu hati. Dalam
keadaan yang demikian orang yang benar-benar
mencari Yang Haq hilang keyakinan kepada
mereka yang memikul tugas sebagai pembimbing
di dalam masyarakat. Pencari kebenaran, setelah
gagal memperolehi yang di cari melalui ahli ilmu,
telah kembali kepada fitrahnya sendiri. Orang
yang kembali kepada fitrahnya melihat satu-
satunya jalan yang memberi harapan kepadanya
adalah memulakan perjalanan seperti yang
dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika
dunia diselubungi oleh kegelapan akidah dan
akhlak dahulu. Orang ini memilih jalan
bersendirian, berkhalwat di tempat yang tidak
dikunjungi oleh manusia. Walaupun lari dari
manusia tetapi orang fitrah itu membawa
bersama-samanya pusaka yang ditinggalkan oleh
Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran dan as-Sunah. Di
dalam suasana bersendirian itulah dia melakukan
amalan yang diajarkan oleh al-Quran dan as-
Sunah berhubung dengan bidang perhubungan
hamba dengan Tuhan. Dalam suasana yang
demikian, tidak ada perhubungan sesama
manusia. Aspek ini ditinggalkan.
Jalan fitrah yang diterokai oleh kumpulan
manusia yang mengasingkan diri itu menjadi
asas kepada jalan yang kemudian hari dikenali
sebagai jalan kesufian. Pengasas aliran sufi
adalah manusia fitrah yang hidup di dalam
masyarakat yang penuh dengan kegelapan,
kekeliruan dan ketidak-pastian. Mereka lari
daripada kegelapan, kekeliruan dan ketidak-
pastian itu sebagaimana Rasulullah s.a.w lari
dari suasana jahiliah dahulu. Manusia fitrah yang
tinggal sendirian itu melakukan amalan yang
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu
bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain.
Amalan mereka tidak bersalahan dengan syariat,
cuma bidang syariat yang ada hubungan dengan
orang ramai tidak diamalkan. Amalan cara yang
demikian kemudian harinya dipanggil suluk.
Manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat
yang penuh dengan kegelapan jahiliah akan
merasai tekanan dan kegelisahan pada jiwanya.
Jalan keluar bagi orang yang seperti ini adalah
mengasingkan diri di tempat yang jauh daripada
orang ramai dan menghabiskan masanya dengan
beribadat kepada Allah s.w.t. Sebahagian
daripada golongan yang memilih jalan
mengasingkan diri akan terus menerus berada di
dalam keadaan demikian sementara
sebahagiannya pula kembali kepada masyarakat
setelah rohani mereka mencapai kematangan.
Orang yang memasuki jalan bersendirian terus
menerus berada pada jalan kesufian dan yang
kembali kepada masyarakat adalah orang sufi
yang berpindah dari jalan kesufian kepada jalan
kenabian. Orang yang kembali kepada jalan
kenabian lebih sempurna perjalanannya dan dari
golongan inilah muncul para pendakwah yang
membimbing umat manusia kepada jalan Allah
s.w.t. Kebanyakan sufi yang telah matang
kembali kepada jalan kenabian. Abdul Qadir
Jilani, Ibrahim Adham, Junaid, Hasan Basri dan
ramai lagi merupakan sufi yang kembali kepada
jalan kenabian setelah menyempurnakan jalan
kesufian. Mereka adalah ahli sufi yang mengikuti
jalan kenabian. Sufi yang kembali kepada jalan
kenabian ini mempunyai keperibadian yang kuat
dan percampuran dengan orang ramai tidak lagi
memberi tekanan kepada jiwa mereka, malah
mereka mampu membimbing orang lain untuk
berjalan kepada Yang Haq. Bagi orang yang
seperti ini pengembaraan pada jalan kesufian
merupakan sebahagian daripada latihan
memantapkan kerohaniannya bagi melaksanakan
tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Golongan
tersebut adalah orang yang menjadi pilihan Allah
s.w.t dalam menegakkan syariat-Nya di atas
muka bumi dan memimpin umat manusia kepada
jalan lurus yang sebenarnya.
Peringkat kewalian pada jalan kesufian berbeza
dengan peringkat kewalian pada jalan kenabian.
Kewalian sufi masuk kepada suasana
meninggalkan semua makhluk dan
membenamkan ingatan secara terus menerus
kepada Allah s.w.t. Kewalian sufi bergerak
menghapuskan kehendak diri sendiri dan sifat-
sifat kemanusiaan. Sebutan dan ingatan yang
terus menerus kepada Allah s.w.t membawa sufi
fana diri atau melupakan diri sendiri. Di dalam
fana sufi memperolehi jazbah iaitu pengalaman
yang berkaitan dengan suasana ketuhanan.
Setelah melepasi peringkat fana sufi sampai
kepada peringkat baqa atau kekal bersama-sama
Allah s.w.t. Di dalam menuju baqa, pada
peringkat fana yang paling tinggi sufi hilang
kesedaran diri sepenuhnya. Wujudnya hilang dari
pandangan dan perasaannya. Hanya Wujud Allah
s.w.t sahaja yang menguasainya. Pada peringkat
tersebut sufi mengalami apa yang diistilahkan
sebagai wahdatul wujud, di mana wujud hamba
dengan Wujud Tuhan tidak lagi berbeza pada
alam perasaan sufi. Suasana demikian diperolehi
akibat didorong oleh rasa kecintaan kepada Allah
s.w.t secara asyik mahsyuk yang bersangatan
dan pada masa yang sama kesedaran terhadap
diri sendiri hilang. Pengalaman wahdatul wujud
menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai
mabuk. Sufi hanya melihat kepada Wujud Tuhan,
tidak lagi kepada wujud dirinya dan sekalian
wujud yang selain Tuhan. Bila kewujudan diri
sendiri hilang dari alam perasaan sufi sering
mengucapkan perkataan yang diistilahkan
sebagai latah seperti pengakuan bahawa dirinya
adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi bakat
dirinya.
Kebanyakan sufi sangat mementingkan
pengalaman bersatu dengan Tuhan. Mereka
menjalani latihan yang berat-berat bagi
menghilangkan kesedaran terhadap diri sendiri,
iaitu mencapai fana dan dikuasai oleh kecintaan
kepada Allah s.w.t yang mengasyikkan. Bagi
memperolehi yang demikian sufi perlu
menghapuskan semua keinginannya, sifatnya dan
identiti dirinya secara menyeluruh. Pekerjaan
yang demikian sangat berat, perlu dilakukan
latihan menindas jasad. Latihan yang merbahaya
dan luar biasa terkenal di kalangan para sufi di
dalam proses meleburkan kedirian mereka.
Latihan yang demikian membawa sufi melupakan
dunia dan akhirat.
Orang sufi percaya rohnya adalah Roh yang dari
Allah s.w.t, yang suci bersih. Roh yang suci itu
dipenjarakan oleh jasad. Sufi berasa
berkewajipan membebaskan rohnya daripada
penjara jasad dan mencapai tujuan iaitu bersatu
dengan Tuhan. Oleh yang demikian sufi
mengistiharkan perang terhadap jasad dengan
cara menindas keperluan jasad seperti makan,
minum, tidur, tutur-kata, pergaulan dan
sebagainya. Selagi rohaninya tidak bebas dari
pengaruh jasad sufi tidak akan berasa aman.
Sikap penindasan terhadap jasad ini
menimbulkan kegelisahan, kehangatan dan
kemarahan di dalam roh haiwaninya yang
menghubungkan rohnya dengan jasad. Tindak-
balas daripada roh haiwani itu sering
menimbulkan sikap kasar dan agressif pada
orang sufi, terutamanya bagi mereka yang berada
pada peringkat permulaan melatihkan diri.
Setelah dapat menguasai peringkat roh haiwani
sufi akan beransur-ansur menjadi tenang dan
kesedaran pancainderanya mengecil sehinggalah
hilang terus. Dia mencapai kehampiran dengan
Tuhan dan seterusnya memasuki suasana
bersatu dengan-Nya. Baharulah sufi merasakan
kerihatan daripada jihadnya terhadap jasad.
Jalan yang ditempuh itu menyebabkan sufi gemar
kepada yang indah-indah, mendengar suara yang
merdu, lagu-lagu kasih, puisi dan cerita-cerita
percintaan. Sebahagian daripada para sufi
terbawa-bawa kepada berzikir secara menyanyi
dan menari sambil diiringi oleh muzik. Keadaan
yang demikian menambahkan rasa kecintaan
mereka kepada Allah s.w.t dan mengubati
kerinduan mereka kepada-Nya. Kerinduan
kepada Tuhan sangat menekan jiwa dan
menimbulkan kegelisahan yang amat sangat.
Aktiviti yang mengasyikkan dapat meredakan
tekanan dan kegelisahan tersebut. Perjalanan
yang demikian menyebabkan timbul sikap kasar
dan tidak terkawal di kalangan sebahagian sufi,
selama kecintaan kepada Tuhan belum mereka
kuasai dan kerinduan kepada-Nya belum terubat.
Kerinduan dan keasyikan menyebabkan sufi lupa
bukan sahaja kepada diri dan makhluk, malah
sering juga terjadi peraturan syariat dan etika
moral tidak diambil berat oleh sebahagian
mereka. Sebahagian sufi masih melakukan
peraturan syariat tetapi semata-mata kerana
menghormati syariat Tuhan bukan kerana
menghayati peraturan tersebut.
Para sufi yang bersungguh-sungguh dengan
latihan kerohanian mereka, setelah memperolehi
keasyikan, akan masuk ke dalam suasana
kebatinan di mana mereka menyaksikan rupa,
bentuk, cahaya dan warna. Pengalaman yang
demikian banyak berlaku pada peringkat awal
perjalanan sufi. Penyaksian yang demikian
sangat menggembirakan mereka, menambahkan
keyakinan dan semangat untuk maju terus. Oleh
kerana penyaksian tersebut terjadi di dalam
suasana kebatinan yang ghaib, sufi mudah
menghubungkan yang disaksikan itu dengan
Allah s.w.t. Timbullah konsep ketuhanan yang
tidak jelas dan mengelirukan.
Penghujung jalan para asyikin adalah bersatu
dengan Tuhan. Sufi mengalami kefanaan, dirinya
hilang dia berkamil dengan Tuhan. Dia dikuasai
oleh suasana ketuhanan. Pada peringkat ini
sering terjadi ucapan latah seperti: “Ana al-Haq!”
Ucapan latah yang meletakkan ketuhanan pada
diri itu berlaku kepada sufi ketika kesedaran
terhadap diri sendiri hilang lenyap. Suasana yang
demikian diistilahkan sebagai mabuk. Dalam
suasana yang demikian hubungan hati orang sufi
dengan Tuhan sangat erat. Dia telah melepaskan
segala-galanya demi Tuhannya. Dia telah
membuang makhluk dan dirinya demi
kecintaannya kepada Tuhan. Gelombang
kefanaan yang melanda hati sufi itu mengubah
suasana kebatinannya menyebabkan sering
muncul keajaiban daripada dirinya, doanya cepat
makbul, perkataannya menjadi kenyataan, dia
boleh melakukan perkara yang luar biasa seperti
berjalan di atas air atau masuk ke dalam api.
Hasilnya bertambah teguhlah keyakinannya
terhadap apa yang dipegangnya.
Perkara luar biasa yang muncul daripada sufi
yang di dalam zauk itu menyebabkan orang
ramai menjadi percaya kepada apa yang sufi itu
iktikadkan. Sufi yang di dalam kefanaan diri
menyaksikan satu wujud lalu memperkatakan
mengenainya. Muncullah fahaman wahdatul
wujud. Orang ramai yang melihat keajaiban pada
sufi itu dengan mudah menerima fahaman
wahdatul wujud yang dipegang oleh sufi itu. Sufi
membina fahaman wahdatul wujud melalui
pengalaman kerohaniannya, melalui penyaksian
mata hatinya. Dia mengalami sendiri suasana
semua wujud hilang dan hanya satu wujud sahaja
yang menyata. Orang ramai pula berpegang
kepada fahaman wahdatul wujud secara ikut-
ikutan, tanpa mengalaminya dan tanpa benar-
benar mengerti mengenainya. Pegangan sufi
dibentuk melalui pengalaman rasa sementara
orang lain pula melalui khayalan dan andaian.
Sufi yang berkata atau melakukan sesuatu yang
menyalahi syariat, bertentangan dengan
perkataan al-Quran dan perkataan Rasulullah
s.a.w ketika dia dikuasai oleh hal atau mabuk,
boleh dimaafkan kerana dia berbuat demikian
tanpa kesedaran. Orang lain yang di dalam
kesedaran biasa yang mengikuti orang sufi
secara meniru-niru perlu diberi penjelasan
bahawa perbuatan mereka adalah sesat dan
kufur.
Pengalaman wahdatul wujud adalah umpama
bayangan yang muncul akibat awan mendung
menutupi sinar matahari. Setelah awan berlalu
bayangan pun hilang. Orang sufi yang berjalan
terus akan melepasi peringkat bayangan
tersebut. Fahaman wahdatul wujud ditinggalkan
di belakang dan dia masuk kepada jalan
kenabian, berpegang teguh kepada al-Quran dan
as-Sunah. Kebenaran yang sejati terletak dalam
al-Quran dan as-Sunah bukan pada zauk, jazbah
dan mabuk. Oleh yang demikian orang sufi yang
belum melepasi suasana mabuk dilarang keras
bercampur gaul dengan orang ramai dan
menyampaikan fahaman yang terbentuk ketika
mabuk.

8: KEWALIAN PADA JALAN KENABIANDAN KEWALIAN PADA JALAN KESUFIAN


Terdapat banyak perbezaan dari segi
pengalaman, penyaksian, fahaman dan pegangan
di antara pengembara pada jalan kesufian
dengan pengembara pada jalan kenabian.
Kewalian sufi diliputi oleh bayangan yang
menyata sebagai tajalli-tajalli, sedangkan ia
adalah hijab kepada Yang Haq. Kewalian sufi
memasuki suasana menyaksikan rupa bentuk,
cahaya dan warna. Cinta yang menguasai
kewalian sufi adalah cinta yang mengasyikkan
dan memabukkan, menghilangkan rasional.
Kewalian pada jalan kenabian atau kewalian para
sahabat Rasulullah s.a.w tidak melalui suasana
tajalli dan penyaksian kepada rupa bentuk,
cahaya dan warna. Pada jalan kenabian, cinta
para sahabat kepada Allah s.w.t menyata
sebagai ketaatan yang sejati berlandaskan
kehambaan yang sebenar-benarnya. Kewalian
sufi berpisah daripada dunia dan akhirat. Pada
kewalian para sahabat pula, dunia dan akhirat
menjadi daerah kekhalifahan mereka. Mereka
bertanggung-jawab kepada kehidupan dunia dan
mereka bekerja untuk keselamatan di akhirat.
Kehampiran dengan Tuhan pada kewalian sufi
bercampur dengan unsur bayangan dan terdapat
hijab padanya. Penyaksian sufi sering tertumpu
kepada bentuk-bentuk misal yang dinisbahkan
kepada Tuhan. Orang sufi biasa mengatakan
mereka melihat Tuhan sebagai cuaca subuh atau
sebagai satu bentuk atau satu warna. Gambaran
misal itu menjadi hijab yang menutupi penyaksian
terhadap Allah s.w.t yang tidak berupa, tidak
berbentuk, tidak berwarna, tidak bercahaya dan
tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya:
“ .Pada kewalian terdapat husul iaitu
sampai kepada Tuhan. Pada husul terdapat hijab
atau bayangan iaitu gambaran misal, dan orang
yang memasuki peringkat husul menyatu dengan
bayangan atau misal yang dinisbahkan kepada
Tuhan, sama ada misal itu cahaya, warna,
dirinya sendiri atau apa sahaja. Penyatuan
dengan hijab atau misal ketuhanan itu dirasakan
sebagai bersatu dengan Zat Tuhan. Oleh itu
melalui husul perbezaan di antara hamba dengan
Tuhan dihapuskan. Hamba dengan Tuhan
dipertemukan pada satu wujud dan dinamakan
wahdatul wujud. Wahdatul wujud hanyalah
bayangan, bukan Yang Haq. Kemabukan ketika
dilambung gelombang kefanaan yang
menghasilkannya. Yang Hakiki hanya ditemui
selepas meninggalkan peringkat fana dan
mabuk.
Kewalian pada jalan kenabian, kewalian para
sahabat, tidak bercampur dengan suasana
mabuk, tidak ada fana, bebas daripada
bayangan yang menghijab Yang Hakiki. Kewalian
para sahabat memperolehi wusul atau berjumpa
Tuhan tanpa dihijabkan oleh gambaran misal
yang dinisbahkan kepada Tuhan. Pertemuan di
antara hamba dengan Tuhan berlaku secara jaga,
sedar, bukan dalam suasana mabuk. Bila tidak
diganggu oleh mabuk dan gambaran misal,
hamba menyaksikan kehambaan dirinya dan
hamba menyaksikan ketuhanan Tuhannya.
Hamba menyaksikan Tuhan yang : “ ”
- tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya,
bagaimana Dia dimisalkan oleh sesuatu. Wujud
Tuhan dengan wujud hamba boleh dibezakan.
Mata keyakinan wali pada jalan kenabian
menyaksikan Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha
Tinggi dari apa yang disifatkan, digambarkan dan
dimisalkan. Penemuan wali pada jalan kenabian
sama dengan kenyataan al-Quran dan
pengajaran Rasulullah s.a.w. Kewalian pada
jalan kenabian itulah yang benar-benar berjumpa
dengan Yang Haq. Bila Yang Hakiki ditemui
seseorang itu bebas daripada tarikan keasyikan
kepada nyanyian dan tarian, bebas daripada
mabuk dan pengaruh wahdatul wujud. Tidak
terjadi tajalliyat, tidak ada gangguan bayangan
dan misalan dan lain-lain yang biasa ditemui
pada jalan kesufian. Sebab itu kelakuan ganjil
yang biasa menyerang orang sufi tidak didapati
berlaku kepada para sahabat Rasulullah s.a.w.
Kewalian para sahabat melahirkan kecintaan
kepada Allah s.w.t secara ketaatan dengan
penuh kerelaan di atas landasan kehambaan
yang sebenar-benarnya.
Tajalliyat, sama ada berlaku dalam rupa bentuk,
atau di bawah hijab cahaya dan warna, berlaku
pada kewalian sufi terutamanya pada peringkat
awal perjalanan. Penjelmaan dan tajalliyat
adalah bayangan kepada Yang Haq. Tajalli dan
penyaksian tertuju kepada bayangan. Orang yang
menolak bayangan bebas daripada tajalliyat.
Orang yang memasuki jalan kenabian bebas
daripada tajalliyat tetapi jika dia sampai kepada
jalan kenabian melalui jalan kesufian,
pengalaman tajalliyat ditemuinya.
Orang yang memasuki jalan kesufian bekerja
untuk menghapuskan semua kehendak. Pada
jalan kenabian penghapusan kehendak tidak
dituntut. jalan kenabian memperakui bahawa
kehendak yang asli adalah baik. Kehendak
menjadi jahat apabila diarahkan kepada bahan-
bahan dan perkara-perkara jahat. Jadi, bahan
dan perkara jahat yang perlu dihapuskan
daripada kehendak, bukan kehendak itu sendiri
secara keseluruhannya. Kehendak perlu
diarahkan kepada sesuatu yang baik menurut
petunjuk syariat. Syariat telah menggariskan
sempadan yang baik dan yang jahat.
Pengembara pada jalan kenabian dikehendaki
menjaga dan mengawal kehendak agar tidak
keluar daripada daerah yang baik.
Selain daripada penghapusan kehendak, orang
yang memasuki jalan kesufian juga
menghapuskan sifat-sifat kemanusiaannya. Pada
jalan kenabian pula syariat memisahkan sifat
kemanusiaan yang baik daripada yang jahat.
Orang yang memasuki jalan kenabian hanya
perlu menghapuskan sifat yang jahat dan keji,
tidak perlu menghapuskan sifat kemanusiaan
keseluruhannya. Pada kewalian sufi didapati
penafian perbuatan diri sendiri, sifat-sifat diri
sendiri dan kewujudan diri sendiri. Semua
perkara dan segala sesuatu diisbatkan kepada
Allah s.w.t semata-mata. Hal atau suasana
penafian diri merupakan ciri kefanaan. Orang
yang terus kepada jalan kenabian tidak terlibat
dengan penafian diri, sifat dan perbuatan, tetapi
jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui
jalan kesufian dia mengalami juga hal yang
demikian.
Kewalian pada jalan kesufian dinamakan wali
kecil dan ia dibaluti oleh bayang-bayang yang
bercampur dengan perkara-perkara yang tidak
jelas dan samar-samar. Wali pada jalan
kenabian, termasuklah wali yang telah melepasi
jalan kesufian dan memasuki jalan kenabian,
adalah lebih sempurna. Jalannya, fahamannya,
pegangannya dan tindak-tanduknya lebih jelas,
pasti dan nyata. Wali pada jalan kesufian gemar
menggunakan istilah yang ganjil-ganjil dan tidak
jelas maksudnya. Mereka suka mengadakan
huraian secara berteka-teki yang sukar
dimengerti maksudnya. Hujah mereka banyak
bersandar kepada pengalaman kerohanian
seperti zauk dan kasyaf tanpa merujuk kepada
sumber yang lebih kuat iaitu al-Quran, as-Sunah
ijmak ulama. Wali pada jalan kenabian pula
sentiasa bersikap rasional, bersandar kepada
sumber yang muktabar dan boleh diterima oleh
akal yang sihat. Apabila wali sufi meningkat dan
sampai kepada kewalian cara kenabian dia akan
meninggalkan daerah yang kesamaran dan
meragukan. Dia akan bergabung dengan wali-
wali cara kenabian yang lain di dalam
mengembangkan syiar agama Islam menurut
ajaran al-Quran, as-Sunah dan muafakat ulama.
Bagi orang yang dipimpin, walaupun pada
peringkat permulaannya dia memasuki jalan
kewalian sufi namun, akhirnya dia akan sampai
kepada jalan kewalian cara kenabian.
Pengalamannya dalam bidang kewalian sufi
membantunya membentuk keyakinan setelah dia
berpindah kepada kewalian cara kenabian.
Walaupun kebanyakan sufi yang terkenal
memulakan perjalanan cara kewalian sufi dan
kemudiannya berpindah kepada kewalian cara
kenabian, tetapi kewalian cara sufi bukanlah
syarat yang mesti bagi memperolehi
kesempurnaan kewalian cara kenabian. Ramai
orang yang terus pergi kepada kewalian cara
kenabian tanpa melalui cara kesufian,
terutamanya pada zaman Rasulullah s.a.w. Para
sahabat yang terus memasuki cara kenabian dan
menetap pada jalan tersebut tanpa memasuki
cara sufi telah mencapai darjat kewalian yang
paling tinggi dibandingkan dengan wali-wali pada
semua zaman. Selepas Rasulullah s.a.w, para
sahabat adalah contoh yang paling baik untuk
diikuti. Rasulullah s.a.w telah mengasuh satu
kumpulan manusia sempurna yang boleh diikuti
oleh kaum Muslimin yang datang kemudian.
Umat Islam umumnya telah lama keliru di dalam
memahami maksud kewalian. Kewalian dan
kesufian telah diikat kemas di dalam pemikiran
sehingga timbul anggapan hanya orang sufi yang
boleh menjadi wali. Orang yang menetap pada
Jalan syariat, beriman, beramal salih dan
bertakwa, jika tidak memasuki jalan kesufian
tidak akan sampai kepada makam kewalian.
Orang-orang seperti Imam Syafi’e, Imam Malik,
Imam Hanafi dan Imam Hanbali tidak disebut
sebagai wali Allah. Apakah orang-orang yang
dibimbing oleh Allah s.w.t sehingga mereka
mampu mengadakan mazhab yang diikuti oleh
kebanyakan umat Islam, tidak termasuk ke dalam
kelas wali Allah? Apakah orang yang dipimpin
oleh Allah s.w.t membentuk kumpulan tarekat
yang jauh lebih kecil daripada kumpulan mazhab
lebih tinggi kewaliannya daripada orang yang
mempelopori mazhab yang besar?
Perlu diketahui bahawa orang yang memasuki
aliran kesufian melalui dua peringkat kewalian.
Kewalian peringkat pertama dinamakan wali
kecil, iaitu kewalian cara sufi yang padanya
terdapat amalan suluk, zauk, jazbah, fana,
bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan
lain-lain bentuk pengalaman kerohanian. Setelah
menyempurnakan kewalian cara sufi mereka
diangkat kepada kewalian cara kenabian, darjat
kewalian yang lebih sempurna. Di dalam daerah
kewalian cara kenabian orang-orang sufi seperti
Abdul Qadir Jilani, Hasan Basri, Ibrahim Adham
dan ramai lagi bergabung dengan kumpulan wali
yang menetap pada cara kenabian seperti Imam
Syafi’e, Imam Malik dan lain-lain. Semua wali-
wali pada peringkat tersebut menjadi sesuai
dengan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w, para
sahabat baginda s.a.w dan dengan syariat yang
baginda s.a.w bawa. Malangnya peringkat
kesesuaian orang sufi dengan syariat tidak
menarik perhatian sebahagian daripada kaum
Muslimin yang berminat dengan aliran tarekat
kesufian. Latihan kesufian lebih dikaitkan dengan
kewalian. Kewalian Imam Syafi’e dan Imam
Malik yang menetap pada cara kenabian dan
berlaku dengan lebih teratur tidak menarik minat
mereka. Oleh yang demikian ada kaum Muslimin
yang sanggup melepaskan pendapat Imam
Syafi’e yang bersandarkan al-Quran dan as-
Sunah, demi memegang perkataan wali sufi yang
di dalam mabuk. Mereka juga lebih berpegang
kepada perkataan wali sufi yang sedang mabuk
daripada perkataan wali sufi yang sudah
melepasi peringkat mabuk. Konsep ketuhanan
yang dinyatakan oleh al-Quran dan diajarkan oleh
Rasulullah s.a.w, dipegang oleh para sahabat
dan kaum Muslimin umumnya tetapi ditolak oleh
sebahagian kaum Muslimin yang terpengaruh
dengan ucapan sufi yang latah. Mereka lebih
terpengaruh dengan ucapan kumpulan sufi yang
terperangkap dengan bayangan dan misal.
Kesempurnaan sufi dicapai setelah melalui dua
peringkat kewalian, iaitu kewalian cara sufi dan
kewalian cara kenabian. Seorang sufi perlu
melalui proses menaik dan menurun. Di dalam
proses menaik sufi memasuki perjalanan menuju
Allah s.w.t yang kemudiannya membawanya
kepada perjalanan ‘di dalam’ Allah s.w.t.
Kemuncak perjalanan ini adalah ‘bersatu’
dengan Allah s.w.t, yang menjadi intisari dan
matlamat perjalanan kewalian sufi. Di dalam
proses menaik sufi hanya berhubung dengan
Allah s.w.t, tidak berhubung dengan sesama
makhluk. Sufi terpisah daripada makhluk dan
dirinya sendiri. Sufi mencapai fana dan bersatu
dengan Tuhan. Pengalaman yang demikian
membuat sufi mempunyai satu bentuk kefahaman
tentang ketuhanan.
Setelah menyempurnakan proses pertama sufi
masuk kepada proses kedua, iaitu proses
menurun, menuju kepada kesempurnaan
kewalian dengan melalui jalan kenabian. Ketika
menurun mental sufi mula berpisah daripada
Tuhan. Sufi mula menyaksikan perbezaan di
antara Tuhan dengan hamba. Kesedaran sufi
terhadap dirinya dan makhluk kembali semula
dan akhirnya dia kembali kepada kesedaran
sepenuhnya. Proses kedua membentuk
kefahaman dan pegangan yang berbeza dengan
proses pertama. Pada proses pertama sufi
dikuasai oleh pengaruh wahdatul wujud. Proses
kedua pula memisahkan sufi daripada kesan
wahdatul wujud itu. Sufi yang telah berpisah
dengan fahaman wahdatul wujud mengakui
perbezaan di antara Tuhan dengan hamba dan
menerima kenyataan al-Quran bahawa tidak ada
sesuatu yang serupa dengan Tuhan. Dua proses
yang menghasilkan dua fahaman dan pegangan
yang berlainan berlaku dalam perjalanan sufi.
Orang yang terus kepada cara kenabian tidak
mengalami dua peringkat berbeza yang dilalui
oleh pada cara kesufian. Pada jalan kenabian
tidak berlaku pemutusan hubungan sesama
manusia dan penyatuan dengan Tuhan. Tidak
ada kefanaan dan kelenyapan diri. Tidak ada
zauk, jazbah, mabuk dan tidak berlaku ucapan
latah. Pada jalan kenabian akal fikiran sentiasa
dalam keadaan sedar. Bila tidak ada peringkat
berpisah dengan makhluk tidak ada juga
peringkat kembali kepada diri dan makhluk. Bila
tidak ada proses bersatu dengan Tuhan tidak
ada pula proses berpisah dengan Tuhan.
Pengembara pada jalan kenabian tidak dikuasai
oleh keasyikan kepada Tuhan yang menyebabkan
hilang pandangan terhadap diri sendiri dan
makhluk. Mereka juga tidak dikuasai oleh
keghairahan terhadap makhluk sehingga
melupakan Tuhan. Wali cara kenabian sentiasa
berhubung dengan Tuhan walaupun mereka sibuk
melayani makhluk Tuhan. Hubungannya dengan
Tuhan dan hubungannya dengan makhluk
berjalan serentak tanpa gangguan. Tidak berlaku
percanggahan di antara perhatian kepada Tuhan
dengan perhatian kepada makhluk. Bagi wali
yang berada pada jalan kenabian, berkhidmat
kepada makhluk Tuhan sebenarnya adalah
berkhidmat kepada Tuhan, berdasarkan ingatan
dan perhatian kepada Tuhan kerana Tuhan yang
memerintahkan berbuat demikian. Dalam
menguruskan soal makhluk wali Allah sebenarnya
melaksanakan kehendak Allah s.w.t, bertindak
sebagai khalifah atau wakil-Nya. Walaupun sibuk
melayani orang ramai perhatiannya tetap tertuju
kepada Allah s.w.t dan mereka mengajak orang
ramai kepada Allah s.w.t, taat kepada-Nya dan
menghampiri-Nya. Wali pada jalan kenabian
melakukan pekerjaan yang mulia ditengah-tengah
masyarakat. Allah s.w.t reda dengan amalan
mereka dan mereka senang berbuat demikian.
Wali yang di dalam daerah kenabian inilah yang
menyambung pekerjaan Nabi Muhammad s.a.w
di dalam membimbing dan membawa umat
manusia kepada Allah s.w.t.
Nabi Muhammad s.a.w bertugas menyampaikan
syariat kepada umat manusia. Wali-wali pada
jalan kenabian dan wali sufi yang kembali
kepada jalan kenabian meneruskan pekerjaan
tersebut. Wali yang tidak keluar dari daerah
kesufiannya tidak memperdulikan urusan
disekelilingnya, tidak memperdulikan sekalipun
berlaku kiamat. Wali-wali yang menetap pada
daerah kesufian adalah mereka yang tidak diberi
tugas. Wali-wali sufi yang dipilih dan diberi tugas
akan dibawa kepada daerah kewalian cara
kenabian dan mereka melaksanakan tugas yang
diamanahkan Allah s.w.t kepada mereka. Tugas
utama adalah menyampaikan syariat. Orang
ramai dituntut mentaati Nabi Muhammad s.a.w di
dalam menjalankan peraturan syariat, bukan
mengikuti cara atau amalan wali sufi. Di akhirat
kelak yang dihisab adalah yang berkaitan dengan
syariat. Latihan kerohanian dan tasauf juga
dihisab berdasarkan peraturan syariat. Ketaatan
kepada syariat membawa seseorang kepada
syurga dan perlanggaran kepada syariat
membawa ke neraka. Nabi Muhammad s.a.w
dan wali-wali yang mengikuti baginda s.a.w
menyampaikan dan mengamalkan syariat dan
mereka bersedia untuk berkorban demi
mengembang dan mempertahankan syariat.
Kumpulan manusia yang paling mulia adalah
Nabi-nabi. Tujuan diutus Nabi-nabi adalah untuk
menyebarkan syariat. Pekerjaan menyebarkan
syariat adalah pekerjaan yang paling mulia boleh
dilakukan oleh seseorang manusia di atas muka
bumi. Tidak ada pekerjaan yang lebih mulia
daripadanya. Wali-wali yang menjadi pewaris
Nabi meneruskan pekerjaan tersebut. Hanya
wali-wali yang telah kembali kepada jalan
kenabian yang boleh melakukan pekerjaan
tersebut dengan baik dan tepat. Memimpin umat
manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t adalah
lebih baik daripada melakukan ibadat sendirian
tanpa bercampur gaul dengan orang ramai.
Ketika masyarakat dilanda oleh kerosakan akidah
dan kerosakan akhlak, tuntutan menghidupkan
syariat lebih besar lagi. Usaha menghidupkan
satu peraturan syariat lebih bermakna daripada
latihan kerohanian yang hanya memberi faedah
kepada diri sendiri sahaja. Oleh kerana tujuan
Allah s.w.t memberi bimbingan kepada wali-wali
untuk membimbing umat manusia, maka wali
cara sufi yang menerima petunjuk akan kembali
kepada cara kenabian serta melaksanakan tugas
membimbing umat manusia kepada jalan yang
lurus. Ketaatan kepada syariat memelihara
seseorang agar teguh di atas jalan yang lurus.
Kemuncak kesempurnaan iman, ilmu, amal,
takwa, pengalaman dan pencapaian, terdapat
pada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w
menjadi contoh tauladan yang paling baik dan
paling tinggi untuk diikuti dan baginda s.a.w juga
mestilah dijadikan model di dalam menentukan
kedudukan seseorang wali. s.a.w Ketinggian
darjat seseorang wali ditentukan dengan setakat
mana wali itu menghampiri kualiti-kualiti yang
ada pada Nabi Muhammad. Ada wali yang
melibatkan diri semata-mata dalam urusan
hubungan dengan Tuhan. Wali yang fana dalam
Tuhan ini melakukan tuntutan agama yang paling
minima, seperti bersembahyang, tetapi sangat
kurang penglibatannya dalam kebaktian kepada
sesama manusia. Ada pula wali yang di samping
bersungguh-sungguh di dalam urusan
perhubungan dengan Allah s.w.t, mereka juga
bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan
kewajipan sesama manusia. Wali jenis kedua
menjalani kehidupan yang lebih sesuai dengan
kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan mereka
merupakan wali yang lebih baik, lebih tinggi dan
lebih sempurna. Wali yang bermukim di dalam
daerah kewalian sufi, menjadi majzub atau fana
dalam Allah s.w.t secara terus menerus,
perjalanannya tidak lengkap. Wali yang demikian
hanya berjalan separuh jalan sahaja. Mereka
berhenti sebelum menemui Yang Hakiki. Wali
tersebut melengkapkan perjalanan kepada Tuhan
dan dalam Tuhan sehingga mencapai peringkat
bersatu dengan Tuhan. Suasana bersatu dengan
Tuhan menimbulkan mabuk yang melahirkan
tingkah-laku dan tutur-kata yang ganjil-ganjil.
Kemabukan menyebabkan wali tersebut terputus
daripada peraturan dan sopan santun
kemanusiaan. Dalam keadaan demikian juga
peraturan syariat tidak dihormati. Wali jenis ini
tidak dibolehkan menjadi pembimbing manusia
lain kerana sifat-sifat kemanusiaannya sudah
lenyap. Wali yang layak membimbing manusia
lain adalah yang mara terus melepasi peringkat
bersatu dengan Tuhan, bergerak jauh dari Tuhan
dengan Tuhan, menyaksikan perbezaan di antara
hamba dengan Tuhan, menyaksikan wujud
hamba yang berpisah dengan Wujud Tuhan,
keluar dari suasana mabuk dan kembali kepada
keinsanan untuk menceburkan diri dalam
kegiatan masyarakat. Wali jenis ini merupakan
wali yang melepasi kewalian sufi dan masuk
kepada kewalian cara kenabian. Merekalah yang
menjadi khalifah Allah di bumi, memikul satu-
satu bidang tugas khusus untuk kemanfaatan
manusia umum. Inilah kumpulan wali yang
menyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w
dan para sahabat baginda s.a.w. Kumpulan ini
memikul tugas berdakwah membimbing orang
ramai kepada jalan Tuhan. Orang-orang yang
kembali kepada jalan Tuhan dipersucikan zahir
dan batin agar menjadi hamba Tuhan yang
sebenar-benarnya. Hamba yang dipersucikan,
berjalan pada jalan Tuhan, bekerja menegakkan
syariat Allah s.w.t di atas muka bumi. Pekerjaan
wali-wali yang sampai kepada cara kenabian
merupakan pekerjaan yang paling mulia kerana
mereka melakukan pekerjaan Nabi-nabi. Mereka
mendapat kedudukan yang paling mulia, sebagai
sahabat Allah s.w.t dan Rasul-Nya yang akrab.
Perilaku Rasulullah s.a.w dan para sahabat
baginda s.a.w hendaklah dijadikan neraca dalam
menentukan sesuatu perkara agar penilaiannya
benar dan tepat. Dalam menilaikan kedudukan
seseorang wali, neraca yang didirikan oleh Nabi
Muhammad s.a.w hendaklah digunakan Sikap
menjadikan kekeramatan sebagai pengukur
kewalian adalah sikap yang tidak benar.
Kekeramatan bukanlah petanda ketinggian darjat
seseorang wali, malah kekeramatan bukanlah
syarat kewalian. Biasa terjadi wali yang lebih
rendah kedudukannya mengeluarkan
kekeramatan yang lebih banyak daripada wali
yang lebih tinggi kedudukannya. Wali yang paling
tinggi yang muncul pada zaman di belakang ini
tidak dapat menyamai kedudukan kewalian para
sahabat Rasulullah s.a.w yang paling rendah.
Para sahabat yang berkedudukan sebagai wali
peringkat tertinggi pada semua zaman jarang
atau tidak ada yang mengeluarkan kekeramatan,
tetapi wali yang datang kemudian banyak
mengeluarkan kekeramatan. Perlu diambil
perhatian bahawa orang kafir, ahli maksiat dan
ahli silap mata juga biasa mengeluarkan perkara
yang luar biasa seperti yang terjadi di kalangan
wali-wali. Perkara luar biasa yang dikeluarkan
oleh orang kafir, ahli maksiat dan ahli silap mata,
tidak ada kaitan dengan kedudukan iman.
Konsep kewalian telah lama mengelirukan umat
Islam. Pengagungan kewalian cara sufi dan
pengabaian kewalian cara kenabian telah lama
menguasai pemikiran mereka. Fahaman wahdatul
wujud, isu bersatu dengan Tuhan, pengguguran
taraf kehambaan dan tidak mengambil berat
kepada peraturan syariat telah dikaitkan
kewalian. Kekeliruan ini sudah sangat jauh
mengheret umat Islam. Ia mesti diperbetulkan
dengan cara menyebarkan konsep kewalian yang
sebenar, yang bersesuaian dengan ajaran al-
Quran dan as-Sunah. Perlu difahamkan bahawa
wahdatul wujud adalah kesan sampingan yang
bersifat sementara yang dialami oleh wali sufi
yang masih di dalam perjalanan. Jika dia
menetap pada kewalian sufi kesan tersebut akan
berpanjangan. Jika dia masuk kepada kewalian
yang lebih sempurna, iaitu kewalian cara
kenabian, kesan itu akan hilang. Dia akan
kembali kepada syariat dengan penuh keyakinan.
Wali yang sampai kepada cara kenabian adalah
lebih benar dan lebih tinggi kedudukannya. Wali
cara kenabian bersungguh-sungguh dalam
kehambaan, mematuhi peraturan syariat dengan
sepenuh jiwa raga mereka. Mereka kuat
melakukan ibadat, bertakwa dan beramal salih.
Oleh kerana Islam mencakupi segala bidang
maka Allah s.w.t mendatangkan wali-Nya dalam
segala bidang juga. Dalam Islam ada fardu ain
dan fardu kifayah. Jika tidak ada seorang pun
orang Islam yang menunaikan fardu kifayah
dalam sesuatu perkara maka kesemua orang
Islam menanggung kesalahannya. Begitu juga jika
tidak ada seorang pun wali yang melibatkan diri
dalam fardu kifayah maka kesemua wali
menanggung kesalahannya. Tuhan tidak
berkehendak yang demikian berlaku kepada wali-
wali-Nya. Oleh itu Tuhan mendatangkan wali
dalam segala bidang. Ada wali yang dikhususkan
dalam bidang pentadbiran negara, sebagaimana
Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s mewakili
kenabian dalam bidang tersebut. Ada wali yang
dikhususkan dalam bidang pengurusan pertanian
sebagaimana Nabi Yusuf a.s mewakili kenabian
dalam bidang tersebut. Begitu juga dalam
bidang-bidang yang lain yang memberi manfaat
kepada umat manusia dan makhluk Allah s.w.t.
Nabi Isa a.s mengambil bahagian dalam bidang
perubatan, Nabi Nuh a.s dalam bidang
pertukangan, Nabi Musa a.s dalam bidang
penternakan dan Nabi-nabi yang lain juga ada
bidang kegiatan masing-masing. Nabi
Muhammad s.a.w merupakan Nabi yang paling
aktif di dalam kegiatan kehidupan harian.
Baginda s.a.w pernah memasuki bidang
penternakan dan perniagaan. Baginda s.a.w
adalah juga pemerintah angkatan perang dan
pemimpin agung negara. Baginda s.a.w adalah
seorang mufti dan hakim. Ilmu baginda meliputi
segala bidang ilmu yang diketahui oleh manusia.
Baginda s.a.w mengajarkan ilmu alam,
astronomi, kaji hayat, kedoktoran, sains, sejarah,
siasah dan lain-lain. Tidak akan ada lagi seorang
manusia yang mampu menguasai semua bidang
dan semua ilmu seperti yang dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w. Manusia lain hanya
dikhususkan dalam satu atau beberapa bidang
sahaja. Golongan khusus itu adalah wali-wali
yang dibekalkan dengan pengetahuan dalam
bidang berkenaan. Baik Nabi mahu pun wali
yang menceburi sesuatu bidang pengkhususan
tersebut, mereka melaksanakan tugas mereka
selaras dengan peraturan Allah s.w.t. Kegiatan
harian tidak menyebabkan urusan ibadat mereka
tertinggal. Inilah perbezaan besar di antara wali
yang menceburi bidang kehidupan harian dengan
orang lain yang berada dalam bidang yang sama.
Seorang wali yang menceburi bidang ekonomi
mampu menegakkan sistem perekonomian Islam
di tengah-tengah berbagai-bagai sistem ekonomi
dunia.
Para ilmuan Islam haruslah menyedarkan umat
Islam mengenai kewalian. Tokoh-tokoh ilmu yang
menghiasai lembaran sejarah Islam haruslah
dikaji dengan mendalam apakah tidak mungkin
mereka adalah wali-wali yang dikhususkan dalam
bidang berkenaan. Orang-orang yang lebih jelas
kewalian dan kekhalifahan mereka seperti Imam
Syafi'’e, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam
Hanbali dan lain-lain, hendaklah ditonjolkan
sebagai wali sebagaimana layaknya, supaya
kewalian mereka boleh dicontohi dan tidaklah
orang ramai beranggapan hanya orang sufi
sahaja yang menjadi wali.

9: TUJUAN LATIHAN KEROHANIAN CARASUFI


Manusia fitrah yang memasuki jalan kesufian dan
melakukan berbagai-bagai latihan kerohanian
didorong oleh tujuan yang suci iaitu untuk
menjadi hamba Allah s.w.t sebaik mungkin..
Mereka telah terlebih dahulu mengikuti jalan yang
dilalui oleh orang ramai. Mereka telah
bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan beramal
menurut peraturan syariat. Kehidupan harian
dijadikan tarekat buat bermujahadah pada jalan
Allah s.w.t, demi memperolehi keredaan-Nya.
Dia kuat melakukan ibadat dalam aspek
hubungan dengan Tuhan dan juga amalan dalam
aspek hubungan sesama manusia. Walaupun
mereka sudah menjaga peraturan syariat sekadar
kemampuan mereka, namun hati mereka masih
merasakan kekosongan. Mereka sudah berjumpa
dengan berbagai-bagai guru namun, banyak
persoalan yang timbul dalam fikiran mereka tidak
dapat dijelaskan secara memuaskan hati mereka.
Mereka sampai kepada peringkat mencari
sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu apa yang
dicari. Mereka diganggu oleh persoalan-
persoalan yang mereka tidak tahu di mana mahu
mendapatkan jawapan. Mereka merasakan
kekosongan jauh di dalam lubuk hati, seolah-olah
menantikan sesuatu untuk memenuhinya.
Kekuatan akal mereka sudah sampai ke
perbatasan yang tidak mungkin ditembusi lagi.
Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan fikiran
mereka keliru. Mereka mencuba mencari
kedamaian melalui amalan tetapi tidak berjaya.
Mereka mencuba mendapatkan kedamaian
melalui orang-orang alim yang mereka kenali,
juga tidak berjaya. Orang alim merupakan modal
terakhir mereka. Bila modal tersebut gagal
memberikan hasil yang mereka harapkan, mereka
sampai kepada titik peralihan. Jiwa mereka
mudah terangsang apabila melihat kesyirikan,
kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran yang
berlaku di sekeliling mereka. Mereka melihat
kerosakan berlaku tetapi mereka tidak terdaya
menahannya. Apabila mereka memandang
kepada masyarakat mereka melihat kepada
kemunkaran dan kerosakan dan apabila mereka
memandang kepada diri sendiri mereka melihat
ketidak-upayaan mereka mencegah kerosakan
yang berlaku. Mereka melihat kerosakan yang
berlaku kepada masyarakat seperti melihat
ombak besar yang menggulung diri mereka.
Dalam keadaan yang demikian mereka melihat
jalan keselamatan buat mereka adalah
mengasingkan diri, lalu mereka masuk ke dalam
lembah suluk.
Kumpulan tersebut memasuki suluk dengan niat:
“Ilahi! Engkau jualah tujuan dan keredaan
Engkau jua yang dicari”. Mereka tidak pernah
mengetahui, apa lagi terlibat dengan fahaman
wahdatul wujud, tidak ada motif mahu bersatu
dengan Tuhan, tidak mengimpikan fana, zauk
dan jazbah dan tidak bercadang meninggalkan
syariat. Keyakinan mereka terhadap syariat tidak
pernah bergoyang, cuma sesuatu tentang syariat
itu yang mereka tidak jelas. Jawapan kepada
yang tidak jelas itu mereka tidak perolehi melalui
jalan yang telah mereka lalui. Kesungguhan
melakukan ibadat dan menuntut ilmu tidak
menghilangkan gangguan rangsangan syaitan.
Setiap kebaikan yang dilakukan diiringi oleh
bisikan yang mahu merosakkan kebaikan
tersebut. Dalam suasana demikian ikhlas adalah
sesuatu yang dipaksakan dan mereka mesti
bekerja keras mempertahankan keikhlasan itu.
Bukan setakat mempertahankan keikhlasan
malah kesungguhan melakukan ibadat juga mesti
dibaja kerana ada sahaja sesuatu yang cuba
menghalang mereka berbuat ibadat. Pergaulan
dengan orang ramai menjadi jalan bagi musuh-
musuh ibadat dan ikhlas menyerang mereka.
Benteng yang paling baik bagi mereka
mempertahankan diri adalah suluk. Latihan-
latihan yang dilakukannya semasa bersuluk
membawa mereka melepasi gangguan
rangsangan syaitan. Amal ibadat dapat dilakukan
dengan mudah dan ringan. Sabar, reda, tawakal
dan ikhlas menjadi keperibadian mereka, berlaku
secara spontan, bukan lagi sifat yang
dipaksakan.
Semasa bersuluk itu mungkin mereka terbawa
kepada pengalaman kerohanian dan terdorong
kepada wahdatul wujud, tetapi akar kehambaan
yang teguh akan membawa mereka melepasi
yang demikian untuk kembali kepada jalan
kenabian. Bila rohani mereka telah benar-benar
matang, percampuran dengan orang ramai tidak
lagi memudaratkan mereka. Pada masa itu
mereka ‘diperintahkan’ supaya kembali kepada
masyarakat kerana ada tugas yang perlu mereka
lakukan. Mereka masuk semula kepada kegiatan
masyarakat, membimbing orang ramai agar
selamat daripada kemusyrikan, kemunafikan,
kefasikan dan kemunkaran, seterusnya kembali
kepada Tuhan dengan akidah dan amalan yang
bersih.
Kumpulan yang diceritakan di atas merupakan
orang yang sampai kepada jalan kenabian
melalui jalan kesufian walaupun mereka tidak
mengetahui maksud sufi dan istilah-istilah tasauf.
Mereka telah memperolehi faedah yang besar
daripada latihan kerohanian secara bersuluk.
Hati mereka umpama pelita yang mempunyai
sumbu tetapi tidak mempunyai minyak. Latihan
kesufian umpama memasukkan minyak ke dalam
pelita. Gurunya umpama api yang menyalakan
pelita tersebut. Setelah pelita hatinya menyala
akalnya mampu mendapatkan jawapan kepada
persoalan yang mengganggunya selama ini, yang
tidak dapat di jelaskan oleh orang lain. Jiwanya
menjadi tenang. Darjat kehambaannya meningkat
sehingga sampai kepada kesempurnaan. Dia
layak bergelar hamba Tuhan yang melaksanakan
kehendak dan peraturan Tuhan sebagai yang Dia
kehendaki. Tarekat kesufian telah membawanya
kepada jalan kenabian yang sebenarnya.
Kepercayaan dan keyakinannya kepada
kebenaran syariat bertambah dan menjadi teguh
serta memudahkannya melaksanakan dan
mengamalkan tuntutannya. Mereka bergerak di
dalam masyarakat sesuai dengan cara Nabi
Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda
s.a.w berkecimpung di dalam masyarakat.
Mereka telah sampai kepada tujuan mereka
diciptakan. Sampai kepada tujuan penciptaan
insan itu adalah peringkat paling tinggi. Allah
s.w.t menciptakan insan untuk mengabdikan diri
kepada-Nya. Kehambaan adalah peringkat paling
tinggi dan paling sempurna. Mereka berpegang
kepada Kebenaran Hakiki sebagaimana
dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah. Tidak
ada kebenaran yang mengatasi kebenaran
syariat. Setelah menemui kebenaran syariat dan
mencapai peringkat kehambaan yang sejati,
berakhirlah latihan kerohanian. Peringkat
seterusnya adalah bekerja menurut peringkat
yang dicapai dan kebenaran yang ditemui,
sebagaimana Rasulullah s.a.w bekerja setelah
menghabiskan peringkat khalwat di Gua Hiraa.
Perkembangan kerohanian sufi dalam mencapai
kesempurnaan melalui empat peringkat.
Peringkat pertama dinamakan perjalanan menuju
Allah s.w.t. Sufi bergerak daripada pengetahuan
yang rendah kepada pengetahuan yang lebih
tinggi sampai kepada pengetahuan mengenai
Wajibul Wujud. Dalam proses ini pengetahuan
mengenai mumkinul wujud (wujud yang mungkin)
berkurangan sedikit demi sedikit sehingga
akhirnya terhapus terus. Keadaan ini dinamakan
fana. Fana membawa sufi memasuki peringkat ke
dua, dinamakan perjalanan dalam Allah s.w.t. Ia
merupakan proses perjalanan yang diistilahkan
sebagai makrifat atau mengenal Allah s.w.t
dalam suasana yang dinisbahkan kepada
ketuhanan atau hakikat-hakikat seperti nama-
nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan hal-hal
ketuhanan. Seterusnya sufi sampai kepada
suasana yang tiada perkataan dan bahasa boleh
bercerita, tiada sifat boleh mengibaratkan, tiada
perhubungan boleh dihubungkan dan tiada
sesuatu penjelasan. Pengetahuan tidak ada dan
makrifat juga tidak ada dalam suasana yang
demikian. Tidak ada pengetahuan dan tidak ada
pengenalan yang mampu bercerita tentang zat
Allah s.w.t. Pengalaman pada suasana
kerohanian yang demikian dinamakan baqa atau
hidup bersama-sama Tuhan. Ini adalah
penghabisan peringkat ke dua. Perjalanan
peringkat pertama dan ke dua melengkapkan
kewalian cara sufi. Orang yang telah menempuh
dua peringkat ini dipanggil sebagai wali sufi atau
wali kecil.
Sufi seterusnya bergerak kepada peringkat ke
tiga yang dinamakan perjalanan dari Tuhan.
Dalam peringkat ini perjalanan bermula dari
pengetahuan yang tinggi kepada yang lebih
rendah iaitu dari Wajibul Wujud kepada mumkinul
wujud. Sufi yang sampai kepada peringkat ini
dinamakan orang arif yang lupakan Tuhan melalui
Tuhan, yang kembali dari Tuhan dengan Tuhan,
yang kehilangan tetapi menjumpai, yang terpisah
tetapi bersatu, yang jauh tetapi dekat, yang tidak
boleh dikatakan tetapi tahu, yang tidak boleh
disifatkan tetapi kenal. Peringkat ke tiga ini
merupakan kebalikan kepada peringkat kedua.
Ketika berada pada peringkat kedua sufi
mengalami suasana yang diistilahkan sebagai
fana dalam Tuhan. Pada peringkat ke tiga pula
sufi meninggalkan makam ketuhanan dalam
keadaan tidak berpisah dengan Tuhan. Pengaruh
mabuk dan wahdatul wujud sudah berkurangan.
Kesedaran kemanusiaan sudah mula kembali
sedikit demi sedikit. Bila kesedaran
kemanusiaannya telah bertambah kuat sufi
melengkapkan perjalanan pada peringkat ke
empat iaitu perjalanan dalam alam kebendaan.
Pada peringkat ini sufi kembali mengenali
sesuatu yang dilupakannya pada peringkat
pertama dahulu. Peringkat pertama membuat sufi
lupa tetapi peringkat ke empat membuat sufi
kembali mengingati. Alam kebendaan menjadi
terang benderang kepadanya dan akhirnya dia
kembali sepenuhnya kepada kesedaran dirinya
dan alam maujud. Dia kembali kepada tempat
dia bermula. Perjalanannya menjadi lengkap.
Perjalanan peringkat ke tiga adalah perubahan
dari jalan kesufian kepada jalan kenabian.
Peringkat ke empat adalah penyempurnaan cara
kenabian untuk memikul tugas yang mulia iaitu
membimbing umat manusia kepada Tuhan,
meneruskan perjuangan Nabi-nabi.
Ada pula orang yang memasuki jalan kesufian
kerana dipaksa bukan dengan disengajakan.
Golongan ini boleh diibaratkan sebagai orang-
orang yang mempunyai tugas tetapi mereka leka
dengan kehidupan harian sehingga tercampak
jauh daripada tujuan mereka diciptakan. Dengan
rahmat dan belas kasihan Tuhan mereka
disentak dari kelalaian tersebut dan diheret
menghadap Tuhan. Mereka dipisahkan daripada
apa sahaja yang menghalang mereka daripada
kembali kepada Tuhan. Dalam golongan inilah
terdapat raja yang diturunkan dari takhtanya,
orang kaya yang jatuh miskin, orang cantik yang
menjadi hodoh dan yang seumpama mereka.
Perubahan yang mendadak menimpa mereka
memisahkan mereka daripada beban berat yang
menghalang mereka berjalan kepada Tuhan dan
pada masa yang sama juga mereka terpisah
daripada orang ramai. Mereka tidak ada pilihan
kecuali mengasingkan diri. Dalam pengasingan
itu mereka memperbanyakkan ibadat kepada
Tuhan, membentuk penyerahan yang sejati,
merelakan apa jua takdir yang sampai kepada
mereka. Kesan daripada ujian yang menimpa
mereka secara mengejut itu dihapuskan semasa
pengasingan atau bersuluk. Dalam keasyikan
beribadat itu terbuka kepada mereka peringkat-
peringkat perjalanan seperti yang dilalui oleh sufi
kumpulan pertama. Kumpulan pertama berjalan
kepada Tuhan berbekalkan pengharapan.
Kumpulan ke dua ini pula tidak membawa
sebarang bekal kerana segala sesuatu telah
diserahkan kepada Tuhan. Mereka telah rela
dengan apa juga takdir yang sampai kepada
mereka. Kumpulan pertama bekerja keras
menghapuskan segala kehendak diri sendiri agar
kehendak Tuhan menjadi kehendaknya juga.
Pada kumpulan ke dua pula segala kehendak diri
sendiri telah dihapuskan ketika ujian bala
bencana menghempap mereka. Penghapusan
kehendak diri berlaku dengan cepat diikuti oleh
sifat penyerahan bulat kepada Tuhan,
menghapuskan sifat-sifat keji dari hati mereka.
Seterusnya kesedaran diri ikut lenyap bersama-
sama dengan pengaruh akal fikiran dan
perasaan. Mereka masuk kepada suasana yang
dipanggil majzub. Orang majzub mengalami
berbagai-bagai hal ketuhanan yang menghasilkan
makrifat. Kumpulan yang berjalan melalui tarekat
ujian bala ini berjalan lebih pantas daripada
kumpulan pertama yang melakukan latihan
bersuluk secara kesedaran dan kehendak
sendiri, tetapi perkembangan kerohanian pada
kumpulan pertama lebih teratur daripada
kumpulan ke dua. Bimbingan dari guru yang arif
dan bekalan ilmu yang mencukupi membantu
kumpulan pertama meningkat dalam bidang
kerohanian secara bersistematik dan mereka
memperolehi penerangan mengenai apa yang
mereka alami. Kumpulan ke dua pula biasanya
menjadi majzub tanpa berguru dan mengalami
hakikat tanpa mendapat penjelasan
mengenainya. Kumpulan majzub ini akan berjalan
terus melalui berbagai-bagai pengalaman tanpa
mendapat pengetahuan yang jelas mengenai apa
yang mereka alami. Setelah mereka melepasi
peringkat majzub dan kembali kepada kesedaran
keinsanan baharulah mereka mempelajari hakikat
yang telah mereka alami. Kumpulan yang
bergerak secara perguruan selamat daripada
fitnah masyarakat. Kumpulan yang tiba-tiba
menjadi majzub tanpa berguru sering
menimbulkan fitnah kepada orang ramai kerana
latar belakang mereka yang tidak kuat dan tidak
alim dalam bidang agama, sedangkan mereka
mula bercakap tentang ketuhanan, membuat
orang ramai curiga kepada mereka. Lebih buruk
lagi jika di dalam keadaan hilang kesedaran itu
mereka tidak mematuhi peraturan syariat dan
adab kemanusiaan. Walau bagaimana pun
setelah mereka kembali kepada kesedaran dan
memperolehi pengetahuan tentang pengalaman
kerohanian mereka, mereka akan bergerak sesuai
dengan peraturan syariat dan dapat mengelakkan
diri daripada menimbulkan kekeliruan kepada
orang ramai.
Tidak semua orang yang menempuh jalan
kerohanian akan kembali kepada kesedaran
semula. Ada yang menjadi majzub terus
menerus, fana dalam Tuhan secara berterusan
dan tidak kembali lagi kepada kesedaran
keinsanan. Orang yang seperti ini telah naik ke
tempat yang tinggi tetapi tidak menjumpai jalan
turun. Suasana kebatinan mereka berbeza
daripada orang ramai. Lantaran itu adab dan
sopan santun orang ramai tidak memberi apa-
apa makna kepada mereka, malah syariat juga
boleh tertanggal ketika mereka dikuasai oleh
jazbah. Orang yang hilang kesedaran ini tidak
boleh dijadikan pembimbing kerana mereka
bercakap bahasa zauk sedangkan orang ramai
yang dalam kesedaran menggunakan akal untuk
mentafsirkan pengalaman zauk. Akal tidak
mampu menerangkan pengalaman hakikat.
Orang yang dalam zauk banyak bercakap
mengenai perkara ghaib dan hal ketuhanan.
Daripada mulut mereka juga mudah keluar cerita
mengenai penyaksian mata hati terhadap rupa,
bentuk, warna dan cahaya yang dinisbahkan
kepada ketuhanan. Orang yang dalam zauk juga
melahirkan keasyikan yang mendalam kepada
Tuhan. Daripada mereka juga selalu keluar
perkara luar biasa yang diistilahkan sebagai
keramat. Kekeramatan yang disaksikan
menyebabkan orang lain menjadi yakin dengan
apa yang mereka perkatakan. Ada orang yang di
dalam kesedaran menggubah konsep ketuhanan
hanya dengan mendengar ucapan orang majzub.
Tuhan dimasukkan ke dalam sempadan rupa,
bentuk, warna dan cahaya atau sesuatu menurut
khayalan dan sangkaan mereka. Orang yang di
dalam kesedaran biasa, tidak pernah mengalami
zauk, menjual konsep ketuhanan yang diperolehi
dari perkataan orang majzub, adalah orang yang
sesat dan menyesatkan. Golongan ini dan
pengikut mereka adalah kufur, tetapi orang
majzub, walaupun pada zahirnya menyalahi
syariat, mereka patut dimaafkan kerana mereka
dikuasai oleh mabuk.
Ada juga orang yang memasuki aliran kesufian
dengan tujuan mendapatkan kebolehan yang luar
biasa kerana mereka terpesona melihat
kekeramatan yang keluar daripada wali sufi.
Bidang kekeramatan yang paling digemari adalah
keramat zahir iaitu kebolehan luar biasa dalam
bidang keduniaan. Sufi beramal kerana mahu
menyucikan hati bagi mengabdikan diri kepada
Tuhan. Kumpulan sufi celup itu pula
menggunakan amalan sufi untuk mendapatkan
kebolehan yang luar biasa dan ilmu yang mampu
menguasai sesuatu perkara bagi kepentingan
duniawi. Amalan yang dilakukan orang kerana
Allah s.w.t diceduk untuk dijadikan amalan
kerana kepentingan diri sendiri. Pekerjaan ibadat
menurut peraturan syariat digubah menjadi
khurafat. Pengalaman kebatinan pada alam
khadam dikatakan alam ketuhanan. Apabila
memperolehi keramat khadam mereka mendakwa
diri mereka sudah menjadi wali yang agung. Bila
sudah menguasai sesuatu kebolehan yang luar
biasa mulalah mereka mendakwa ketuhanan diri
lalu menanggalkan kehambaan dan
mencampakkan syariat. Mereka adalah puak
yang sesat dan kufur!
Tarekat sufi bukan bertujuan untuk memperolehi
penyaksian terhadap rupa, bentuk, warna dan
cahaya. Ia juga bukan untuk mendapatkan
kekeramatan. Apa juga yang disaksikan dan apa
juga yang diperolehi adalah gubahan Tuhan,
bukan Tuhan. Tarekat sufi bukan untuk
menukarkan manusia menjadi Tuhan. Tuhan tetap
Tuhan dan hamba tetap hamba, tidak boleh
diadakan bahasa yang kesamaran mengenai
perbezaan dua perkara tersebut. Pada satu
peringkat perjalanan sufi mungkin terjadi terbalik
pandangan mereka sehingga mereka tidak
menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan
Tuhan. Perkara demikian berlaku bukan
disengajakan. Ia terjadi akibat pertembungan diri
rohani dengan alam tinggi. Pertembungan
tersebut menimbulkan mabuk. Orang yang
sedang asyik dengan Tuhan, apabila dikuasai
oleh mabuk, tidak melihat lagi kepada yang lain
kecuali Tuhan. Bagi mereka semuanya adalah
Tuhan. Apa yang ditemui pada peringkat ini
bukanlah kebenaran yang muktamad. Ia baharu
suasana menuju kebenaran. Suasana demikian
hanyalah bayangan atau misal yang muncul
dalam alam kebatinan sufi yang sedang
dilambung gelombang kefanaan dan keasyikan
dengan Tuhan. Keasyikan seorang jejaka kepada
seorang gadis sering juga menimbulkan bentuk
misal. Lagu-lagu percintaan sering
menggambarkan rupa kekasih sebagai bulan
purnama dan suara sebagai buluh perindu. Misal
yang digubah dalam kesedaran hanyalah
khayalan, tetapi misal dalam alam ghaib adalah
nyata dalam keghaiban (boleh disaksikan oleh
mata hati tetapi tidak boleh dilihat dengan mata
zahir). Yang menyata pada hati orang yang
sedang dilamun cinta hanyalah gambaran,
bayangan atau misalan yang tidak sedikit pun
menyerupai yang sebenar. Kecintaan kepada
Tuhan memberi kesan yang sangat kuat kepada
hati. Orang yang asyik dengan keindahan Tuhan
boleh berdiri di tepi pantai dari pagi hingga ke
petang, tanpa jemu, tanpa menghiraukan panas
matahari. Bila ditanya apa yang dia lihat, dia
akan mengatakan dia melihat Tuhan. Keasyikan
kepada Tuhan bercampur dengan rindu yang
membara membuat seseorang mabuk ketuhanan
sehingga tidak ada apa yang disaksikannya
melainkan dinisbahkannya kepada Tuhan.
Suasana hati yang demikian juga melahirkan rasa
bersatu dengan Tuhan. Penyatuan hanya berlaku
dalam alam perasaan, bukan penyatuan yang
sebenarnya.
Menyaksikan perkara ghaib dan mendengar
suara ghaib bukanlah kesudahan jalan sufi.
Semua itu hanyalah bayangan. Allah s.w.t
berbeza, tiada persamaan sedikit dengan yang
demikian. Walau bagaimana tinggi pun anggapan
diberikan kepada sesuatu pengalaman
kerohanian itu ia tidak ada nilai sebelum diuji
dengan al-Quran dan as-Sunah. Jika
pengalaman tersebut bersesuaian dengan al-
Quran dan as-Sunah baharulah ia menjadi
berharga dan boleh dipegang. Ketika seseorang
itu masih diperingkat bayangan kerohaniannya
masih belum matang dan dia belum mencapai
kesempurnaan. Jika dia terus menerus di dalam
bayangan, tinggalkan dia dengan alamnya
sendiri. Tuhannya yang akan menjaganya. Ikutlah
wali yang telah sampai kepada kesempurnaan
jalan, beramal sesuai dengan cara Nabi
Muhammad s.a.w.
Jangan sekali-kali melepaskan pandangan
daripada Rasulullah s.a.w dan para sahabat
baginda s.a.w.